Monday, 12 February 2018

DUNIA SUNYI - KAEL - Kana Mamat


DUNIA SUNYI - KAEL
Karya : Kana Mamat

===============

“Tuan Kael!!! Turun makan!!!” Jeritan Mak Jah pembantu rumah mengejutkan Kael yang sedang terlentang di atas katil empuknya. Fikirannya menerawang jauh memikirkan sesuatu.

Kael melangkah lemah menuruni anak tangga. Hatinya sudah jemu untuk menjamu selera bersama papa dan mamanya. Manakan tidak, saat makan bersama keluarga adalah masa yang sesuai untuk berbicara tentang hal keluarga. Namun sebaliknya yang berlaku bila papa dan mamanya sibuk dengan urusan perniagaan dan persatuan. Telefon bimbit bagaikan melekat ditangan masing-masing.

Baru sahaja Kael duduk bersama dengan mama dan papanya, telefon papanya berbunyi. Kedengaran seperti papanya menjawab panggilan entah daripada Tan Sri yang mana. Papanya seorang ahli perniagaan yang terkenal dan sudah pun bergelar Datuk Sri Kamil.

“Ya Tan Sri… Ya… Boleh Tan Sri… Petang nanti kita jumpa dekat padang golf… Baik…” perbualan antara Datuk Sri Kamil dengan seorang Tan Sri membuatkan Kael rasa menyampah. Belum pun sempat menjamah sarapan pagi yang terhidang, Kael sudah menolak kerusi dan bangun berjalan meninggalkan papa dan mamanya berdua di meja.

“Nak ke mana tu Kael? Belum makan lagi kan.” Datin Sri Syafiah bertanya.
“Nak naik. Tak ada selera nak makan.” Balas Kael ringkas.
“Nanti kalau lapar turun makan ye.” Pujukan yang acuh tak acuh daripada Datin Sri Syafiah itu membuatkan Kael membalas dengan senyum sini.

Pintu biliknya dibuka. Lantas dia menuju ke meja komputer miliknya. Paparan skrin menunjukkan gambar ketika dia masih kecil. Dipeluk dan dicium oleh kedua ayahanda dan bondanya. Itu dulu. Sekarang semuanya sudah hilang. Datuk dan Datin sibuk dengan urusan sehingga mengabaikan nilai kasih sayang pada satu-satunya anak yang mereka ada. Bukan itu sahaja, malah setiap gerak geri Kael dikawal. Kehidupan Kael tidak ubah seperti burung di dalam sangkar. Itupun selepas beberapa kali Kael ditangkap polis setelah ditahan ketika berlumba haram.

Kael bingkas bangun dari kerusi dan terus melambungkan badannya ke atas katil empuknya. Sekali sekala dia berfikir, alangkah baiknya jika hanya dia sahaja yang ada didunia ini. Tak ada siapa yang boleh kawal apa yang dia inginkan.

Tidak lama kemudian kedengaran kereta bergerak meninggalkan rumahnya. Kedua-dua orang tuanya sudah keluar menjalankan kerja masing-masing.

“Akhirnya…keluar pun dua orang ni.” Bisik hatinya.

Kael bingkas bangun dari katilnya dan tuala mandi dicapai lalu dia menuju ke bilik air. Setelah selesai mandi dia bersiap kemas. Kunci kereta yang tergantung diambil dan kemudian dia bergerak keluar dari biliknya. Ketika menuruni tangga, Kael disapa oleh Mak Jah.

“Tuan Kael nak ke mana ni? Nanti Datuk dan Datin marah kalau dia tahu Tuan Kael keluar.” Mak Jah risau bila melihat Kael yang sudah siap untuk keluar.

“Mak Jah jangan sibuklah. Mak Jah buat kerja Mak Jah je.” Balas Kael kasar. Tanpa mempedulikan Mak Jah, Kael terus melangkah keluar dari rumah dan menghidupkan enjin kereta miliknya yang dihadiahkan oleh Datuk Sri Kamil.

Kael memandu seorang diri tanpa arah tujuan. Sesekali tingkap keretanya diturunkan bagi memberi laluan untuk asap rokok keluar. Masuk kali ini sudah 3 batang rokok disedutnya. Perjalanan yang dia sendiri tidak tahu kemana tujuan itu dirasakan cukup membosankan. Ditemani pula oleh radio yang DJnya syok sendiri membuatkan Kael meraba kotak rokoknya.

“Hishh… masa ni la kau nak habis. Nasib baik depan sana ada 7E.” Digumpalnya kotak rokok yang kosong itu dan dicampak keluar melalui tingkap keretanya.

Kereta Volkswagon Golf GTI milik Kael diparkir betul-betul menghadap kedai serbaneka 7 Eleven. Belum pun sempat Kael melangkah keluar, tingkap keretanya diketuk oleh seseorang.

“Tokk…Tokk…Tokk…”

“Haish… bala apa pulak yang datang ni.” Cermin tingkap keretanya diturunkan.

“Hahh… nak apa? Nak duit? Kejap.”

Pertanyaan kasar dari Kael itu membuatkan lelaki tua yang mengetuk cerminnya itu berundur sedikit kebelakang.

“Maafkan pakcik Tuan. Pakcik bukan nak minta sedekah. Pakcik cuma nak jual syiling ni. Syiling ajaib.” Luah pakcik tua itu ketakutan.

“Syiling ajaib?” Kael seolah berminat.

“Apa yang syiling ajaib ni boleh buat?” Tanya Kael kepada pakcik tua itu.

Setelah dilihat Kael menunjukkan minat. Pakcik tua itu menjadi lebih yakin dan hilang rasa takutnya.

“Macam ni tuan. Syiling ajaib ni boleh menunaikan dua permintaan. Tuan hanya perlu lambungkan syiling ni dan nyatakan hajat Tuan. Jika syiling ini jatuh bahagian kepala di atas. Maka hajat tuan akan tertunai. Tapi jika bahagian ekor di atas, tuan tidak akan dapat apa-apa.” Jelas pakcik tua itu.

“Baiklah. Aku beli. Berapa kau nak jual ni?” Kael menanyakan harga syiling tu.

“Dua ratus saja tuan.” Pakcik tua membalas.

“Ok. Ni ada empat ratus. Aku bayar double. Tapi kalau kau tipu aku, nahas kau aku kerjakan.” Kael menghulurkan 8 keping not RM50 kepada pakcik tua itu.

“Terima kasih tuan. Tapi ingat… setelah permintaan itu ditunaikan, tuan sudah tidak dapat kembalikan semuanya seperti asal.” Balas pakcik tua itu dan terus dia berlalu pergi dengan satu senyuman sinis.

“Hemmm… boleh tunaikan hajat ye.” Getus hati Kael kegirangan tanpa mempedulikan amaran pakcik tua itu tadi. Kael melangkah masuk ke dalam kedai serbaneka demi mendapatkan sekotak rokok.

Setelah selesai urusannya, dia terus memandu pulang ke rumah. Syiling yang dibeli tadi dilambung-lambung. Sesampainya dia dirumah, tanpa mempedulikan sesiapa, Kael terus ke biliknya. Pintu bilik dikunci. Dia terus melepaskan badannya di katil sambil tangannya melambung-lambungkan duit syiling itu.

“Boleh percaya ke cakap orang tua tu tadi. Aku kena cuba dulu. Baru la aku tau betul ke tak kan.” Kael bercakap sendiri.

Syiling yang dipegang itu ditiliknya dengan teliti. Belum pernah dia nampak syiling itu di mana-mana. Sudah beberapa buah negara dia lawati. Tiada satu syiling pun yang menyerupai syiling yang dipegangnya itu. Lalu dia berhajatkan sesuatu.

“Aku nak bebas…tiada siapapun yang boleh halang aku…Aku nak jadi yang paling berkuasa dan aku nak jadi pemerintah bumi ini. Aku nak semua masalah aku hilang. Aku nak semua orang dibumi ini hilang. Hahahahaha.”

Syiling yang digenggamnya tadi dilambung tinggi dan dibiarkan jatuh.

“Ting…ting…”

Syiling yang dilambung itu jatuh ke Jubin lantai bilik Kael. Pantas Kael bangun mendapatkan syiling tersebut.

“Kepala!!!... Yes!!! Yes!!!... Hajat aku akan tertunai…Hahaha” Kael keseronokan.

Diambilnya syiling tersebut. Serentak dengan itu matanya terasa berat dan seolah dipukau, Kael merangkak ke katilnya. Lalu dia tertidur.

***
“Tuan Kael!!! Turun makan!!!”
“Tuan Kael!!! Turun makan!!!”
“Tuan Kael!!! Turun makan!!!”


Kael tersentak. Jam ditangan ditenung. Tarikh yang tertera di jam tangannya sudah bertambah dua hari. Sudah dua hari dia tidur. Genggaman tangannya dibuka. Syiling yang dibeli itu masih melekat ditangannya. Kael kemudiannya meletakkan syiling itu diatas meja tepi katilnya dan dia bingkas bangun keluar dari biliknya menuju ke ruang makan.

Aneh. Satu perasaan yang aneh menyerang diri Kael. Tiada seorang pun didalam rumahnya. 

“Mak Jah!!!” 
“Mak Jah!!!”


Panggilannya tidak bersahut. Pandangannya diarahkan ke meja makan. Makanan terhidang seperti hari-hari sebelum ni. Kael menjadi pelik. Dia berjalan menuju ke dapur.

“Mak Jah!!!!!!” 
“Papa!!!”
“Mama!!!”


Tiada siapapun yang menyahut panggilannya itu.

“Mana pergi semua orang ni? Siapa yang panggi aku tadi?” Kael mencekak pinggang. Kepalanya berpusing kiri dan kanan mencari orang dalam rumahnya itu.


“Ahhh… persetankan semua ni. Aku lapar.” Kael mengomel sendiri. Lantas dia menuju ke meja makan. Semua yang terhidang dilahapnya rakus seolah-olah sudah berbulan dia tidak makan. Setelah kekenyangan dia bersandar dikerusi. Sekali sekala dia rasa seronok hidup sendirian dirumahnya.

Sedang Kael leka bersandar, baru dia teringatkan tentang duit syiling tadi. Dengan tergesa-gesa Kael berlari menaiki tangga ke bilik tidurnya. Dia terus ke meja tepi katilnya dan mendapatkan duit syiling itu.

“Memang betul la apa yang orang tua tu katakan. Hahaha” Kael gembira sambil dia melambung-lambungkan syiling tersebut. Diletakkan duit syiling itu didalam seluar jeansnya. Lalu membuka semua pakaiannya dan terus kebilik air. Kael bersiap-siap untuk keluar.

Saat dia melangkah keluar, dia teringatkan papa dan mamanya. Lalu dia melangkah ke bilik tidur papa dan mamanya itu. Pintu dikuak perlahan. Seperti yang dijangkakan, tiada sesiapa pun di dalam bilik tersebut. Kael melangkah masuk menuju ke peti simpanan milik papanya. Kunci peti yang terletak diatas meja dicapai dan pintu peti besi itu dibuka. Terlihat sejumlah wang yang banyak didalam peti itu dan terdapat juga sepucuk pistol dan sekotak peluru. Di ambil semua isi peti besi itu lalu dia terus keluar dari bilik.

Enjin kereta dihidupkan dan kemudiannya meluru laju keluar dari laman rumah. Sepanjang perjalanan dirasakan cukup selesa tanpa ada sebarang gangguan. Sunyi. Hanya itu yang mampu diungkapkan. Kadang-kadang kelihata kereta diatas jalan raya tanpa pemandu. Hanya kereta dan motosikal sahaja.

“Hahahaha…dunia ini aku yang punya.” Kael menjerit keseronokan.

Pemanduannya terhenti di satu lampu isyarat. Pandangannya tertumpu pada sebuah superbike Kawasaki H2R yang di seberang jalan. Kael keluar dari kereta dan melangkah ke arah motosikal itu.

“Wow… inilah superbike yang aku idamkan selama ni. Inilah yang aku mintak dari papa. Tapi lain yang dibagi. Jadi sekarang superbike ni jadi milik aku lah kan. Hanya aku yang ada di dunia ni. Semua ni milik aku!!!! Hahahaha.”

Kael mencapai helmet fullface yang berada di atas jalan raya, lalu dipakainya. Enjin Kawasaki H2R dihidupkan. Superbike itu ditunggang laju ke Putrajaya. Ada satu hajat yang ingin ditunaikannya. Bangunan Perdana Putra.

Superbike yang ditunggang meluncur laju memasuki kasawan bangunan tersebut. Superbike itu diletakkan dihadapan pintu masuk. Kael berlari memasuki Bangunan Perdana Putra. Peta tingkat ditelitinya. Pejabat Perdana Menteri dicari.

“Jumpa pun. Hahahaha. Hari ini akulah Perdana Menteri Malaysia. Hahahahaha.”

Dihadapan Kael sekarang adalah pintu bilik pejabat Perdana Menteri. Pintu bilik itu ditendang. Tiada siapa pun didalamnya. Ruang pejabat yang tersusun kemas disepahkan oleh Kael. Kemudian dia berlalu keluar. Itu saja keinginan yang dipendam oleh Kael selama ini. Kael kembali ke superbikenya. Tujuan dia yang seterusnya adalah IOI City Mall Putrajaya. Kawasaki H2R ditunggang laju. Kadang-kadang dia menciluk kereta yang pegun di atas jalan raya. Suasana cukup sunyi. Hanya kedengaran deruman enjin superbike yang ditunggangnya.

Simpang ke IOI City Mall di ambil dan dia terus menuju ke bahagian pintu masuk utama. Lantas akal gila Kael datang.

“Apa kata kalau aku bawak motor ni masuk dalam mall? Hahaha… Siapa yang nak marah aku kan?” Kael berfikiran sendiri.

“Ahh… tak apalah. Aku jalan kaki je cukup.”

Superbike yang ditunggangnya tadi diparkir di hadapan pintu masuk. Kael berjalan ke dalam mall. Semua lot kedai dimasukinya. Kedai pakaian. Semua jenis pakaian dicuba satu persatu tanpa rasa bersalah. Apatah lagi kedai makan. King crab diratahnya seorang diri salah sebuah lot kedai. Sudah 3 cerita yang ditontonnya di panggung wayang GSC seorang diri. Berbaring di tempat ice skating dan bermacam lagi yang dilakukannya sesuka hati. Setelah rasa bosan mula datang, Kael melangkah untuk keluar. Namun langkanya terhenti saat dia terdengar sesuatu.

“Vroommm…Vroom…”

“Eh… itukan bunyi kereta? Bukan ke aku seorang je ke yang ada kat sini? Aku kena siasat.” Kael berjalan menunduk perlahan ke arah bunyi yang dia dengar.

Begitu hampir jarak antara dia dengan punca bunyi itu, Kael menyorok dan memerhatikan dari jauh. Ya… Sebuah kereta mewah berjenama Nissan parkir berdekatan dengan superbike milik Kael. Keluar seorang perempuan cantik dari kereta itu. Lalu perempuan itu menuju ke arah superbike Kael dan cuba menyentuh bahagian enjin superbike itu. Lalu perempuan itu berpaling ke kiri dan kanan seolah-olah mencari sesuatu dan kemudian melangkah masuk ke dalam mall.

“Siapa perempuan tu eh?” Bisik hati Kael.

“Macam mana dia boleh ada di dunia milik aku ni?” Hati Kael bertanya lagi.

Kael memerhatikan gerak geri perempuan itu dari jauh. Kelihatan perempuan itu memasuki beberapa butik pakaian dan keluar dengan beberapa helai pakaian mahal ditangannya. Perempuan itu kemudian menuju kembali ke keretanya. Enjin kereta dihidupkan dan perempuan itu kemudian memandu keluar dari kawasan mall.

“Aku kena ikut dia… aku kena ikut.”

Kael bergegas mendapatkan motosikalnya dan cuba mengejar perempuan tadi. Laju pemanduan perempuan itu. Namun kerana kesunyian jalan raya, Kael dapat meneka dengan tepat arah perjalanan kereta itu melalui bunyi deruman enjin yang kuat. Kael mengejar. Akhirnya dia dapat memotong kereta yang dipandu perempuan itu di lebuhraya menghala ke arah Kajang.

“Berhenti!!!! Berhenti!!!! Berhenti!!!!” Kael menjerit supaya perempuan itu tadi memberhentikan keretanya.

Kael menarik brek dan menghentikan motosikalnya. Kedengaran bunyi brek mengejut dari kereta yang dipandu perempuan itu. Kael turun daripada motosikalnya dan mengeluarkan pistol yang diselitkan dibelakangnya lalu diacukan kearah kereta tersebut.

“Keluar!!! Keluar!!!” Tak ubah seperti seorang pegawai polis. Kael mengarahkan perempuan itu keluar.

Pintu kereta dibuka. Sepasang kaki terhulur keluar lalu diikuti dengan badan dan tangan yang diangkat ke atas sebagai tanda menyerah diri.

“Duduk!!! Duduk!!!” sambil mengacukan pistol, Kael mengarahkan perempuan itu duduk.

“Kau siapa? Macam mana kau boleh ada dalam dunia aku ni?” soal Kael.

“Aaa…aaaku… Nama aku Anita. Jangan bunuh aku.” Jawab perempuan itu ringkas.

“Haihhhh…sial la…” Kael mengeluh. Lantas pistolnya disimpan kembali.

“Kau belum jawab lagi soalan aku. Macam mana kau boleh ada dalam dunia aku?” Soal Kael lagi.

“Aku tak tau. Aku sedar semalam dah macam ni. Dah tak ada orang. Semua tempat aku pergi aku seorang diri je. Kau orang pertama yang aku jumpa.” Anita cuba menjelaskan pada Kael.

“Dah… Masuk dalam kereta. Biar aku yang drive.” Kael mengarahkan agar Anita masuk ke dalam kereta bahagian penumpang.

Kereta Nissan GTR itu kemudiannya dipandu laju.

“Kita nak ke mana ni? Dan maaf saya nak tanya. Macam mana awak boleh ada dalam dunia saya?” Anita bertanya

“Nak ke rumah aku. Tak payah minta maaf. Aku pun sama macam kau. Sedar-sedar saja aku dah seorang diri macam ni. Kau orang pertama aku jumpa.” Jawab Kael.

Raut wajah Anita yang cantik sedikit sebanyak menyejukkan hati Kael yang sedikit lega bila mana ada orang yang boleh jadi temannya untuk bercakap. Keadaan menjadi sunyi seketika. Masing-masing senyap tanpa sepatah kata.

“Sebenarnya… aku beli syiling ajaib dari seorang pakcik tua. Dia cakap syiling ni boleh menunaikan hajat. Hajat aku untuk hidup kat dunia macam ni. Sunyi tak ada orang. Tapi kau boleh pulak muncul kat sini.” Kael memulakan perbualan memecah kesunyian.

“Syiling ajaib? Kejap.” Balas Anita.

“Syiling yang macam ni ke?” Anita bertanya sambil menunjukkan syiling pada Kael.

“Mana kau dapat syiling ni?” Kael kaget apabila melihat syiling yang sama seperti yang dimilikinya.

“Heemmm” Anita tersenyum dan kemudian berkata.

“Kita senasib”


-TAMAT SIRI KAEL-
===============
Suntingan & Gambar: Kucing Kelabu
Karya asal merupakan hak milik penulis, manakala karya siap sunting adalah milik bersama pihak Arkib Angker Negara. Unsur plagiat dilarang sama sekali.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: