Thursday, 15 February 2018

TIGA PARIT - S Faizal


TIGA PARIT
Karya : S Faizal
Nota Kaki- Diceritakan semula oleh kawan aku,yang mengalami kisah ini. Berlaku di mana lagi , kalau bukan Johor, deme banyak tempat nama Parit. Seratus peratus kisah nyata.
------------------------------------

Hai. Nama aku Nadia. Aku berasal dari Kulaijaya dan sekarang bermastautin di bumi Pontian. Ya, ini kisah dari Pontian (lagi). Pada mula aku seorang yang skeptikal tentang wujudnya hantu dan jin. Bagi aku , itu hanya momokan orang tua yang bertujuan mendidik anak mereka supaya menjadi manusia berguna.

"Jangan balik waktu Maghrib,nanti kena sorok dengan hantu tetek."
"Jangan keluar malam, nanti kena kencing dengan pontianak."

Mesti kalian pernah dengar bukan? Aku juga tak terkecuali. Aku akui, kaedah ini 70% berkesan.

Ok,berbalik kepada kejadian yang aku alami. Sekitar tahun 2015 tak silap, waktu itu aku sudah mulai bekerja di salah satu bank di bandar Pontian. Aku menyukai kerja yang aku buat ketika itu, tempat kerja berhawa dingin dan hari hari mengadap duit! Ok, aku bergurau. Ketawalah.

Satu malam, sewaktu itu aku keluar ke bandar Pontian. Aku hidup bujang dan malas nak masak. Jadinya aku singgah di restoran kegemaran aku, Rasaria, yang berhadapan dengan Stesen Bas Pontian yang baru. Tengah asyik aku menjamah makanan, telefon aku berdering. Terhibur aku,kawan aku baru dari Kuala Lumpur ingin berjumpa. Kebetulan dia ada kerja di Stesen Janakuasa Tanjung Bin. Kawan serumah semasa di UKM.

Aku aturkan pertemuan. Kami berjumpa di restoran makanan segera McDonalds, memandangkan dia tiba agak lewat dan Rasaria pun bukan restoran 24 jam. Kira kira jam 10 kawan aku tiba, namanya Nadiah. Ya ,sama macam nama aku,cuma ada H.

Kami berbual panjang sambil aku sekali sekala mencicip kopi dan mengunyah kentang goreng. Jujur aku katakan, aku rindu hendak berbual. Di bank, kebanyakkan staf sudah berusia,dan berkahwin. Alih alih nanti perbualan aku dengan mereka berkisarkan Tupperware, hendak masak apa dan hal hal anak. Ada juga sekali sekala hal lampin bayi mana yang terbaik. Aku ketawa bila teringat, tapi itulah, siapa suruh aku memilih.

Sedar tak sedar, jam menjejak angka 1 pagi. Punyalah gila kami berborak, hingga tak sedar sampai lewat pagi. Aku dan Nadiah turun ke bawah dan sempat juga aku memesan makanan lagi. Buat bekal pagi esok. Panaskan guna microwave. Esok lagipun cuti dan aku tak payah keluar beli makanan lagi.

Nadiah ke arah Kukup, kerana katanya dia ada sewa homestay di kawasan situ dengan rakan sekerjanya. Aku terus menuju ke kereta. Hidupkan enjin Myvi aku. Haish, terasa dalam hati nak tukar kereta lain yang lebih besar. Aku tersenyum sendirian. Gila juga aku ni kalau bab berangan. Bersyukurlah Nadia oi!

Kalian ingat tak tentang sikap aku yang skeptikal dan tak percaya hal hantu jin tu? Jaga, kisah seram nak mula dah.

Aku tinggal di Parit Sikom. Aku menyewa seorang diri di situ. Kebiasaan,kalau dari bandar Pontian, aku akan melalui jalan Bakek dan terus via Kayu Ara Pasong. Senang cerita,aku lalu jalan bandar,jalan pekan bukan jalan kampung atau jalan dalam. Entah macam mana malam itu, aku boleh jalan terus. Sepatutnya dari lampu isyarat depan McDonalds,aku belok kiri. Mungkin sebab aku masih berangan?

Aku menyumpah diri sendiri. Aduh. Tersilap jalan. Terdetik di hati aku,
'Alamak, jalan kampung ni. Gelap!'

Tapi aku degil,aku boleh sebenarnya patah balik di simpang depan. Tapi entahlah, kaki aku selamba menekan pedal minyak. Tiba di persimpangan Parit Patah,aku sekali lagi tersilap. Sepatutnya aku belok kiri je,melalui jalan itu. Dari Parit Patah aku boleh ikut jalan Parit Semerah dan seterusnya keluar di jalan utama di kawasan Hospital Pontian.

Ok. Bila aku terus,aku akan masuk melalui jalan Parit Kasim. Ya. Parit Kasim ini kau orang tanyalah penduduk Pontian. Semua takda yang mengembirakan bila bercakap hal Parit Kasim. Semuanya berkisarkan kejadian pelik, seram, kes samun dan juga kejadian kemalangan yang meragut nyawa.

Gambaran mengenai jalan Parit Kasim ni sebenarnya, jalannya agak sempit dan bersimpang siur. Memang situ diwajibkan bawa 60km/j. Di situ juga ada Kubur Dagang. Kubur orang mati tak berbatu nisan, tak bertanda atau jenazah yang tak di tuntut, tanam situ!

Aku ada juga dengar kisah lagenda Parit Kasim. Tapi macam biasa,aku anggap itu semua momokan orang tempatan.

Aku akui, kawasan situ memang gelap bila malam, dan oleh itu, aku buka lampu tinggi (high beam). Perlahan aku menyelusuri jalan yang bersimpang siur. Aku melintasi kawasan Kubur Dagang tersebut. Kira kira 5 minit aku melintasi kubur itu sekali lagi!

Aku dah mula tak sedap hati. Andaian hati aku, mungkin ada dua tanah perkuburan! Aku lalu sekali lagi dan aku cuba cam pintu dan tulisan di tanah perkuburan itu. Sah! Aku kira,aku dah lalu tempat yang sama hampir 10 kali!

Aku perasan, radio yang aku pasang memainkan iklan yang sama, dan jam di panel kereta aku 1.22 pagi. Kali yang entah ke berapa, aku lalu tempat yang sama! Iklan radio yang sama dan waktu sama!

Terus spontan aku berhenti kereta di bahu jalan. Cepat cepat aku tekan punat lampu hazard. Aku lihat kiri aku, kebun pisang. Memang sunyi keadaann ketika itu. Benarlah kata orang di sini, kawasan ini jam 10 malam pun orang dah taknak lalu!

Dahi dan tapak tangan aku mulai berpeluh. Aku dah terperangkap dalam masa ke? Aku cuba tarik nafas. Aku akui,aku dah panik! Mata aku tiba tiba menangkap cahaya lampu dari belakang!

Syukur! Ada kereta yang lalu waktu begini! Aku buka pintu, niat hati aku tak lain tak bukan, nak minta pertolongan!

"Hoi, silau betul kereta ni!” Mengomel aku keseorangan. Memang situ gelap dan kebanyakkan kereta akan pasang lampu tinggi! Aku menghadang mata dengan lengan kanan sambil tangan kiri aku di depakan. Isyarat mohon berhenti.

Kereta itu tak berhenti langsung. Kemudian,aku perasan, kereta itu adalah Myvi berwarna merah,dan sewaktu kereta itu melintasi aku,lampu kereta aku menyuluh kereta tersebut.

Ya Allah! Itu kereta aku! Aku bertambah panik! Meremang serta merta! Nombor plat dan stiker universiti aku jelas kelihatan di belakang! Aku lihat diri 'aku' sedang tertoleh kiri dan kanan. Sama macam aku buat selang beberapa minit yang lalu!

Mata aku sekali lagi tertancap, di belakang tempat duduk kereta 'aku' yang lalu tadi,penuh dengan penumpang!! Rambutnya panjang! Di belakang dan di bahagian hadapan!

Aku terus bergegas masuk semula ke dalam kereta! Masuk gear,tekan pedal! Aku nak kejar kereta 'aku' ! Tika itu, aku mahu buktikan pada diri aku, mungkin aku mamai atau masih berpijak di bumi nyata.

Sewaktu aku cuba mengekori kereta 'aku', lama kelamaan, kereta itu hilang dari pandangan.Ditelan kabus!

Arghhh!!!

Aku melalui jalan yang sama! Sekali lagi! Jelas kelihatan papan tanda perkuburan.Masa itu, aku betul betul dah takut. Takda apa nak dibuktikan,memang hal ghaib itu wujud, cuma aku yang celupar dan ego.

Aku gagahkan memandu kemudian mata aku teralih ke arah cermin pandang sisi.

Mengucap panjang aku. Ada yang menumpang di belakang! Sama macam aku lihat pada kereta ' aku' tadi.

Aku panik! Mereka hanya duduk. Yang menyeramkan bila yang duduk sebelah aku, beralih kedudukan dan perlahan lahan cuba merapatkan mukanya ke aku!

"Arrghhhhhhhhhhhh!" Allahuakbar" hanya itu yang mampu aku aku ucapkan sewaktu tangan aku sekuat hati mengilas stereng ke kanan! Kereta aku berpusing beberapa kali dan berhenti di tengah jalan!

Aku toleh kiri aku dan belakang! Dah takda! Aku masuk gear D dan menekan pedal sekuat hati!Meter kereta aku mencecah 80km/j.Tapi aku perasan,macam makin perlahan,macam kelajuan 20km/j! Aku menjerit ketakutan! Ketika itu baru aku tahu, langit tinggi dan rendah. Padan muka aku. Kalau nak tahu, jujur, aku terkencing di dalam kereta.Habis tempat duduk aku ketika itu lenjun.

Tiba di satu simpang, aku belok ke kanan! Aku sekarang berada di Parit Bengkok.Ya,aku tahu jalan ini.Jalan ini akan tembus ke jalan raya utama di kawasan Parit Kudus. Aku menekan minyak sekuat hati dan macam tadi,kereta aku tak berdesup laju. Aku menangis meraung. Aku jeling jam, tetap1.22 pagi! Tiba tiba lampu kereta aku menyuluh sesuatu!

Allah! Aku ingat dugaan aku sudah berakhir. Di hadapan jalan yang bakal aku lalui, ada beberapa mayat berkafan bergelimpangan! Aku kaget dan tanpa berfikir panjang,aku redah!

Jujur aku beritahu,kereta aku ketika itu umpama melanggar bonggol jalan yang tersusun banyak! Di selang seli dengan ketawa mengilai! Terngiang ngiang di cuping telinga aku! Sedang aku mengawal stereng, kepala dan muka aku dicengkam dari belakang! Kemudian ketika itu,bunyi ketawa itu semakin dekat!

Serentak itu,aku menekan brek. Kereta aku terseret di bahu jalan. Aku menangis. Ketakutan yang teramat sangat. Perlahan aku dapat rasakan,ada pergerakkan di belah belakang kerusi penumpang. Perlahan, ada susuk wajah yang muncul dari tepi kiri aku, dan perlahan, jari jemari yang mencengkam kepala aku,memusingkan kepala aku ke arah kiri. Mengadap susuk wajah itu!

Mata aku cuba dipejamkan,tapi entahlah, tak boleh! Saat itu di depan mata aku, ada susuk wajah yang separuhnya telah lompong dimamah ulat dan gigi taringnya hingga paras dagu! Melihat aku dengan tepat!

Aku cuba hendak melepaskan diri dan menjerit tetapi tak berjaya.

"Aku ada.."

Dua patah dari mulut syaitan itu terus bikin aku pengsan! Ketika itu aku merasakan tubuh badan aku tak boleh terima keadaan sebegitu.Aku dah lembik dan lemah.

Aku terjaga sewaktu jam 5 pagi tepat.Hairan, kereta aku tersadai di tepi jalan sewaktu aku berhenti awal tadi! Sepatutnya aku berada di jalan Parit Bengkok.

Aku terjaga pun sebab ada seorang pemuda yang datang mengetuk tingkap kereta.Katanya, dia ingatkan aku kemalangan.Dari lagak pemuda itu,macam mahu pergi bekerja sebagai pengawal keselamatan ( uniform yang di pakai)

Usai terjaga,dalam keadaan terpisat pisat, aku gagahkan diri memandu pulang.Aku tiba di rumah dalam keadaan lesu.Ingat tak burger Mcdonalds yang aku beli? Dah basi! Air minuman aku pun dah hilang sejuk aisnya!

Aku cakap telefon bimbit,ada dekat 100 panggilan tak dijawab dan beberapa mesej bertanyakan aku di mana.Nadiah hubungi aku sebanyak 40 kali! Aku lihat tarikh dan hari, hari Ahad!

Bingung.Aku terduduk di bilik air. Air sengaja aku buka membasahi tubuh badan ku.Kenapa jadi macam ini? Aku jumpa Nadiah malam itu hari Jumaat malam.Aku 'hilang' hampir 24 jam. Padanlah makanan aku pun basi.

Aku ceritakan semua hal ini pada Nadiah dan dia terus hubungi tunang dan bapa aku.Mereka terus datang dari Seremban ke Pontian.Aku mengambil cuti seminggu dek kerana selepas kejadian itu,aku jadi tak tenteram. Alhamdulillah, selepas berubat dengan perawat Islam, aku pulih sepenuhnya.

Oh ya, mengenai pengawal keselamatan yang ketuk tingkap aku tu, dia sudah meninggal sewaktu hari Sabtu.Sehari sebelum aku 'hilang'. Macam mana aku tahu, Nadiah ada tunjukkan paparan di Facebook, dan aku memang mudah cam muka orang ( kerja bank kan) dan memang benar,itulah pemuda yang ketuk tingkap kereta aku! Pemuda itu di langgar sewaktu balik bekerja ( orang asing).

Entahlah,cerita ini lama aku pendam,terpulang pada kalian hendak percaya atau tidak dan aku kali ini akan momokkan kalian seperti emak emak kita menakutkan anaknya,

"Kalau singgah ke Pontian, berhati hatilah dengan Parit yang itu.Ingat! Jangan sampai tersilap pilih parit!"


p/s- Saat cerita ini ditulis, khabarnya ada kemalangan maut berlaku di kawasan itu Sabtu lepas 11 Feb, ada lelaki berbangsa Cina mati kemalangan di situ, di waktu siang hari!
-TAMAT-
___________________________
Karya: S Faizal
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: