Thursday, 8 February 2018

MAKCIK BAWANG - S Faizal


MAKCIK BAWANG
Karya S Faizal

===========================
Nota kaki- Cerita ini separuh fiksi,separuh benar dan nyata. 
Nama dan tempat secara kebetulan. 
===========================



Kampung Selabak , Teluk Intan. 1989.
Hari ini adalah hari di mana kawan baik aku, si Hashim akan bersanding dan dalam erti kata lain, hari ini adalah kenduri kahwinnya. Semalam aku baru sahaja melihat teman rapat aku itu duduk di hadapan Tok Kadi. Walaupun Hashim terpaksa lapan kali lafaz nikah, akhirnya dia berjaya pabila lafaz yang ke sembilan.

Aku faham, gemuruh campur takut mungkin. Aku memanglah tak berkahwin lagi, tapi selalu juga aku dengar cerita hal sewaktu akad nikah. Pengantin lelaki gagaplah, ada yang pengsan dan ada juga yang diserang sawan!

Jujur, aku kasihan melihat Hashim semalam. Berpeluh dan tergagap gagap menjawab pertanyaan Tok Kadi. Walaupun soalan yang ditanya tidaklah begitu susah, tapi kalau dah diri dirundung kegelisahan, tanyalah soalan mudah, mesti sukar! Jenuh juga aku cuba tenangkan Hashim. Tergelak sendiri aku bila teringat hal semalam.

Baju melayu berwarna biru aku sarungkan. Hari ini aku bertindak sebagai pengapit. Ikutkan hati aku malas, tapi aku dan Hashim dah macam abang dan adik. Mana sahaja aku pergi, mesti ada dia.

Sesudah itu, aku menyarungkan sampin berwarna emas dan aku simpulkan ikatan bunga di sisi pinggang kanan. Ilmu mengikat sampin mujurlah kakak aku yang ajar. Kalau tidak, memang aku tak pakai sampin. Semua set persalinan aku hari itu, kakak aku yang beri. Memandangkan, dia juga terlibat secara langsung dengan acara kahwin dan kenduri Hashim.

Aku tiba awal di kenduri Hashim. Ketika itu aku lihat, sudah ramai yang mula memenuhi ruang legar rumahnya, tapi kebanyakkan orang yang datang, merewang di situ. Aku terus ke pintu belakang rumah. Aku beri salam, dan mata aku disajikan dengan pemandangan para ibu dan anak dara sedang memasukkan telur rebus di dalam sarung, ada yang sedang menyusun pinggan dan ada juga yang sedang asyik menceduk lauk ke dalam pinggan hidangan.

“Kau tercegat tu dah kenapa? Tak tahu nak menolong dah ke?” Telinga aku menangkap suara nyaring dari belakang. Aku toleh, ada figura wanita berusia lewat 50-an sedap menjinjing periuk di atas kepalanya. Mukanya masam melihat aku.

Sumpah, aku tak kenal pun makcik tu. Kenapa nak marah aku depan orang ramai?! Selepas itu pulak, hampir semua wanita yang sedang sibuk menguruskan hal kenduri, semua mula bercakap sesama sendiri. Mengutuk aku! Ah, aku rasa seperti dibuli. Ikutkan hati aku, mahu sahaja aku carutkan makcik semua tu!

‘Pemalas,datang nak makan je...’
‘Apa ingat dia pengapit, boleh datang sesuka hati.’
‘Muka tak lawa mana pun, nak datang lewat sebegini.’

Aku masih di depan mereka dan mengutuk aku! Bangsat! Aku menjerit dalam hati. Cepat-cepat aku berlalu. Ikut pintu hadapan. Lewat? Sekarang jam 9 pagi. Apa yang aku lewat? Malam tadi aku dah bersengkang mata siapkan kelengkapan lain di dalam rumah, mereka bukan tahu pun.

Lagipun aku bukan tiada kerja lain yang mahu dibuat, kerja di pejabat itu pun aku terkejar kejar nak selesaikan sebelum cuti. Ya, aku cuti semata mata nak teman Hashim!

“Man! Sini kau. Hahahaha. Pengapit merangkap sahabat sejati aku!”

Hashim, terpacul depan pintu.

Aku senyum.Lega juga bila melihat Hashim. Sekurang-kurangnya orang ramai situ tahu, kehadiran aku bukan sengaja. Bukan datang nak makan, bukan datang nak buat semak! Aku ini pengapit! Bodoh betul makcik semua itu. Ikutkan hati, aku nak ludah muka mereka semua!

Rupanya, sedang aku mengelamun hal makcik itu, Hashim dah berbuih mulut menerangkan itu dan ini kepada aku. Aku tersedar dari lamunan, itupun bila Hashim mencuit bahu aku.

“Ya,ya. Aku dah bawa kipas dan payung kau. Ada dalam kereta,” ujar aku. Tersenyum.

Hashim ketawa melihat. Dia minta izin untuk bersiap. Lagipun kakak aku dah menunggu dari tadi di dalam. Aku masuk dan aku kagum melihat pelamin yang dihias indah. Malam tadi seingat aku, aku hanya susun bunga dan gantung kain sebagai latar belakang, pagi ini aku lihat. Dah siap semuanya!

“Man, dah sarapan ke ni? Kalau belum, pergi la dekat bawah dapur tu. Ada mee goreng, ada kuih. “ Sapa kakak aku. Aku hanya tersenyum. Aku geleng. Kakak tanya kenapa. Aku gumam. Aku lihat dia hanya tersenyum melihat aku.

Kakak mengarahkan aku supaya menyusun bunga pahar dan tepak sirih yang ada di tepi pelamin itu mengikut lakaran yang dah diminta oleh pihak pengantin. Aku angguk,dan kakak hilang dari pandangan.

Aku segera selesaikan tugas aku. Dah jadi kebiasaan, menolong kakak aku bila ada kenduri kahwin. Dia suka menata rias dan mengubah pelamin. Jarang juga sebenarnya dia menata rias majlis kahwin di kampung, selalunya kakak hanya mengambil urusan tatarias jika majlis itu di bandar. Lagipun, butik pengantinnya di Ipoh. Bila aku tanya kakak, kenapa tolong Hashim, dia hanya menjawab, Hashim kan jiran pada mak.

Sedang asyik aku menarik dan menolak kerusi mengikut susunan lakaran, kakak tetiba menghulurkan aku sepinggan nasi lemak berlaukkan ayam dan sambal kerang! Terliur aku, mata aku segera buntang!

“Man kan tak boleh kalau tak bersarapan. Kakak tahu lah peel adik kakak yang seorang ini...” ujar kakak sambil mukanya menguntum senyuman.

Aku capai pinggan nasi lemak itu dan terus aku menjamahnya di tepi pelamin. Betul juga kata kakak, aku nanti nak jadi pengapit, selepas itu kena tanggalkan segala set pelamin, kalau aku tak makan, silap silap aku yang pengsan!

Jam 1 petang. Majlis berlangsung. Aku bertugas sebagai pengapit. Seronok betul bila duduk di sebelah pengantin. Terasa diri menjadi tumpuan.

Kira-kira jam 3 petang, orang ramai beransur susut. Aku duduk di tepi khemah, membetulkan sampin. Penat betul jadi pengapit ni. Mata aku memandang hidangan lauk pengantin. Sedap. Ada udang, ada siakap dan ada juga ayam golek!

Hashim dah suruh aku jamah tadi, cumanya tadi aku penat. Usai solat Zohor, barulah perut terasa lapar. Aku toleh kiri dan kanan, rasanya khidmat aku sebagai si pengapit dah tak diperlukan lagi kot. Aku tengok si Hashim sedang sibuk melayan tetamu dan saudara maranya di khemah satu lagi.

Aku ceduk nasi, tuang air sirap dan menatang pinggan. Ambil lauk udang, aku cubit ikan siakap dan aku kilas peha ayam golek. Aku ketawa sebelum makan. Rasanya kerja aku hari ini asyik makan dan makan. Sekejap-sekejap aku rasa nak terkencing sahaja sewaktu di atas pelamin. Mana taknya, aku asyik minum air manis! Hashim hidang 5 jenis air. Aku memang tak lepas peluang.

Aku makan dengan penuh etika. Takut nanti aku akan kotor alas meja, kasihan nanti pihak katering nak basuh semula. Memanglah alas meja itu dicipta untuk dikotorkan, tapi aku serba salah melihat alas itu kotor! Sebabkan hal itu, aku telan dan kunyah kepala udang! Biarlah orang kata, makan kepala udang nanti jadi bodoh dan bebal, yang penting alas tak kotor dan tak membazir.

“Kau ni memang mendatangkan masalahkan. Sesuka hati ambil lauk pengantin! Dasar budak bodoh!” Aku terdengar suara dari belakang dan diikuti rasa sakit di tepi lengan! Aduh, lengan aku dicubit makcik pagi tadi yang menjinjing periuk! Matanya merah menyala, melihat aku! Marah betul dia dapat tahu aku makan lauk pengantin. Bukan duit dia pun, bukan mak si Hashim pun!

“Aduh, sakit! Jangan! Saya lapar ni...” pinta aku belas kasihan.

Makcik tadi itu tak habis habis membebel, dan dari jauh, aku lihat susuk tubuh berkebaya hijau dan bersanggul bunga ros. Syukur! Kakak dah sampai!


“Hoi Saodah, budak yang lembam macam ini pun kau nak buat lawan?! Nak mampus ke kau tengahari ni?” Bentak kakak.

Aku rasa, kalau tiada bunyi orang berkaraoke, mesti seluruh majlis gempar dengan suara kakak. Kakak bertegang urat, sambil aku teruskan makan nasi lauk yang enak itu. Itupun sebab makcik dah lepaskan cubitan, aku lihat mata kakak terbeliak. Tangan kanannya diangkat dan ditarik sanggul bunga rosnya itu ke mulut! Kakak nak makan bunga ros ke?

Aku lihat mulut kakak terkumat-kamit, sambil sanggul ros itu sesekali ditiup! Makcik itu tak berhenti memaki-hamun aku dan kakak.

“Kau jangan nak berlagaklah. Datang kampung pun setahun sekali. Adik kau ni menyemak! Sakit mata aku dengan budak lembam macam ini. Umur dah 30 lebih tapi perangai macam budak tadika! Bodoh! Anak haram aku rasa si Man ni!" Bentak si Saodah.

Sejurus perkataan ‘anak haram’ dilafazkan Saodah, serta merta kakak mencucukkan sanggul rosnya tepat di atas meja aku makan! Terpacak! Aku perati macam ada percikan api! Aku kagum.

Cepat-cepat mata aku melihat makcik Saodah. Dia terbatuk batuk dan memuntahkan sesuatu! Pisau! Pisau cukur! Bercampur darah! Kagum betul aku lihat perbuatan kakak! Sudah lama aku tak lihat kakak buat silap mata sebegini.

Aku lihat makcik Soadah kelu, tidak berkata-kata.Terbatuk-batuk. Makin dia batuk, makin banyak pisau cukur yang keluar dari mulutnya. Aku lihat muka kakak ketika itu, ngeri! Mulutnya tak berhenti terkumat-kamit!

Makcik Saodah cepat-cepat berpaling dan berlari anak meninggalkan kami berdua. Mujur keadaan ketika itu hiruk-pikuk, kalau tidak, mesti ramai yang menerpa melihat silap mata kakak!

“Dah, makan ya! Nanti dah habis pergilah rehat dulu. Tunggu kakak panggil” Ujar kakak sambil tangannya mencapai sanggul ros lalu disematkan semula pada rambutnya. Gila! Ada kesan terbakar dekat alas meja. Mengamuklah tauke katering nanti!

Jam 6 petang aku baru tiba di rumah. Seronok. Selepas selesai menanggalkan segala perhiasan pelamin, aku diberi Hashim upah RM50. Dapat duit dan dapat bekal lauk lauk lagi! Ada udang, bolehlah aku buat bekal ke kebun esok pagi.

Selepas Isyak, jalan kecil di depan rumah aku agak sibuk. Jarang sibuk sebenarnya. Ada kenderaan lalu lalang, ada motorsikal, kereta dan yang paling pelik, ada kereta polis dan van dari hospital! Aku keluar menjengah, lalu disapa oleh orang yang lalu lalang, dia kata, makcik Saodah sudah meninggal dunia.

Aku terkejut.

Terus aku membonceng orang itu untuk ke rumah makcik Saodah. Sewaktu aku naik membonceng, kakak hanya tersenyum melihat aku berlalu.

Perkarangan rumah makcik Saodah ramai. Penuh. Macam konsert pun ada. Aku tercengang. Kemudian terdengar cakap cakap dari orang sekeliling , makcik Saodah mati dalam situasi yang mengerikan. Lehernya patah terkulai mengadap belakang dan isi perutnya di tarik keluar.

Aku jenguk dari celah tingkap, aku lihat ada percikan darah merata dinding! Belum sempat aku tengok dengan puas, ada seorang pegawai polis tiba dan segera menutup tingkap! Aku tersenyum. Sedang kami orang kampung memenuhi perkarangan rumah makcik Saodah, tiba-tiba kami digemparkan suara orang menjerit! Rupanya anak si makcik Saodah, Amin. Berlari keliling rumah sambil memegang sabit! Seriau aku. Amin ketika itu menjerit dan seperti ketakutan!

"Jauh! Jangan ikut aku! Kau bunuh mak aku!" Bentak Amin.

Pihak polis ketika itu cuba menenangkan Amin yang kerasukkan. Amin beritahu pada polis, bukan dia yang bunuh emaknya. Emaknya mengadu padanya dia kurang sihat sejak balik dari kenduri siang tadi. Berkali-kali pihak polis mengarahkan Amin meletakkan sabit ke bawah! Dia degil!

“Tak nak! Kalau aku letak dia terkam aku. Aku nampak apa dia buat pada emak aku! Korang tak nampak ke? Tak nampak ke perempuan berbaju hitam tepi polis tu?! Korang buta? Berpakat nak kenakan aku?” Jerit Amin.

Aku lihat pihak polis ada yang memandang kiri dan kanan. Aku dan yang lain tak nampak apa apa pun. Sah. Amin gila. Hari itu bukan main cakap aku ni sewel.

“Kau takkan dapat aku, biar aku bunuh diri!” Tempik Amin dan sepantas kilat, Amin mencabut nyawanya sendiri. Sabit diletakkan di leher dan zasssss! Amin menghiris lehernya. Darah memancut keluar sebelum dia menyembah tanah.

Perbuatan Amin mengundang histeria. Ada makcik dan anak kecil yang pengsan dan meracau dek kerana terkejut. Aku segera pulang. Malas aku nak rasa histeria. Orang dah mati tu, sudahlah. Lagipun Amin gila kan, orang gila kalau mati masuk syurgakan?

Keesokkan harinya, sewaktu aku hendak ke kebun untuk menuai hasil tanaman jagung, aku disapa kakak. Pelik, kakak langsung tak tanya hal Amin dan makcik Saodah. Aku pun tak ingat nak tanya.

“Masa kenduri Hashim, ada sesiapa ganggu tak?” Tanya kakak. Aku angguk. Aku mengadu pada kakak sewaktu peristiwa aku tiba di pintu dapur. Aku ini memanglah lembam, agak payah untuk aku mengingati nama orang, tapi aku ingat raut wajah dan tempat tinggal orang itu.

“Ada makcik tu cakap, saya macam badut. Macam orang bodoh pakai sampin waktu pagi, saya kan pengapit. Mestilah. Lepas itu ada dua tiga orang ketawa kutuk saya. Diaorang cakap saya ni bangsat, bodoh, anak haramlah. Saya diamkan je kak.” Aku mula rasa sedih bila mengadu pada kakak. Kakak menjawab aduan aku dengan soalan ,

“Siapa?”

“Makcik duduk kawasan jambatan warna biru, depan rumah dia ada balairaya, lepas tu makcik yang tinggal dekat selekoh masuk ke dalam kampung ni, rumah warna kuning tu.” Ujar aku. Aku dah mula hendak meraung sedih. Tapi aku tahan.

Kakak tersenyum melihat aku. Sambil itu aku lihat kakak menyisir rambutnya yang panjang ke pinggang. Hari itu aku lihat tidaklah panjang sebegitu. Ah lantaklah. Rambut dia, bukan aku yang kena belai dan jaga.

Malam itu, sekitar jam 11 malam, kakak keluar. Dia kata, hendak berjumpa kawan. Aku ketika itu sudah mamai di sofa.Aku anggukkan sahaja.

********

Ini adalah cerita dari pandangan kakak.
Aku tiba hadapan rumah Fatimah, makcik yang tinggal di jambatan biru. Aku tersenyum. Berani betul si bangsat ini mengutuk keluarga aku. Apa salah si Herman? Kenapa nak hina dia sampai begitu? Aku betulkan galasan beg. Ah, berat pula barang yang aku bawa malam ini.

Aku duduk bersila lama di rumah Fatimah. Aku keluarkan bangkai kucing hitam yang sudah aku belah isi perutnya. Kemudian aku keluarkan sampul kecil, di dalamnya ada gumpalan rambut. Rambut si Fatimah. Mana aku dapat? Aku tadah di takung bilik air dia, aku letak jaring di penghujung paip PVC. Aku tersenyum. Bodoh. Dia ingat aku nak biarkan dia lepas begitu?

Aku sumbat gumpalan rambut di dalam perut kucing hitam itu, bersama dengan katak puru mati, serbuk kaca dan jari peniti. Sebelum aku jahit, aku ludah ke dalam perut kucing itu.

Maafkan kakak ya Comot, susah nak cari kucing berbulu hitam semua, kau seekor sajalah yang warna sebegini di rumah.

Aku bacakan mantera. Selang 5 minit aku gali lubang kecil di tepi rumah Fatimah. Mereka yang di dalam takkan sedar kehadiran aku, awal-awal lagi aku dah pukau seisi rumah. Mereka tidur mati. Ikutkan hati, boleh sahaja aku masuk dan kerat kepala mereka satu per satu. Tapi itu bukan cara aku. Aku nak mereka menderita dahulu.

Usai menanam bangkai kucing, aku beredar dari situ. Aku ke rumah makcik yang tinggal di selekoh simpang pula, si bedebah Saodah. Aku ulang benda yang sama, cumanya aku tak gunakan bangkai kucing, aku gunakan bangkai anak kera. Biar mereka mengelupur. Kerja aku selesai. Tunggu sahajalah malam esok.

Malam esoknya aku ke rumah Fatimah. Aku kepalkan tanah di tangan kemudian aku lempar ke atas bumbung rumah Fatimah. Aku duduk bersila sambil membaca beberapa potong mantera. Aku bingkas bangun bila mendengar suara orang terbatuk-batuk. Aku intai dari luar rumah, aku lihat Fatimah dan suaminya sedang berkipas kepanasan. Sihir aku menggunakan bangkai kucing hitam menjadi. Sejak dari malam semalam, mereka sudah kepanasan.Aku ketawa kecil.

Aku ke depan rumah Fatimah dan aku berdiri di hadapan pintu dan dengan sekali penendang, pintu rumah Fatimah terbuka! Nyata sekali kehadiran aku mengejutkan mereka berdua. Aku terus membaca mantera.

Selesai sahaja, aku lihat Fatimah dan suaminya terduduk, mulutnya mereka berbuih. Aku ketawa. Makin lama perut mereka berdua main membuak ke depan. Padan muka. Semacam mana perut si Comot yang aku tanam semalam. Tak sia-sia aku menuntut ilmu Busung Perut dengan si Pawang Sidik.

Aku duduk bercangkung mengadap Fatimah. Aku pandang matanya, sengsara betul matanya. Dia tak bersuara langsung! Cuma mengeluh kesah mengurut perutnya.

“Mampuslah kau Fatimah. Aku akan pastikan anak cucu kau terima nasib yang sama. Mulut macam kau ini dengan cara ini sahaja baru kau sedar, tapi sayang, dah terlambat.” Bentak aku.

Aku lihat suami si Fatimah dah terbeliak matanya tersembul dari soketnya. Perutnya terburai separuh, terkeluar isi perutnya,darah hitam pekat mengalir keluar.

“Aduh, liat betul nyawa kau ya Fatimah. Kenapa kau tak mampus lagi? Bila perut kau nak meledak?” Bisik aku pada telinga Fatimah.

Aku bangun dari cangkungan, dan terus aku menendang perut Fatimah! Popppp! Puas hati aku! Selepas terkena penyepak aku, baru pecah perut si Fatimah! Terburai isi perutnya! Percikan darah dari kesan sepakan aku memercik hingga ke dinding. Selesai. Fatimah sudah mati.

Giliran Saodah esok malamnya. Aku balik ke rumah dengan hati yang berbunga. Puas hati aku.

Keesokkan pagi, riuh Kampung Selabak dengan kematian ngeri Fatimah dan suaminya. Aku hanya tersenyum mendengar berita ini. Tapi yang aku geram, belum sempat melunaskan dendam aku pada Saodah, petangnya itu, Saodah mencabut nyawanya sendiri dengan menelan racun rumpai. Aku ketawa besar mendengar cerita itu dari Herman.Tak tahan rasanya dengan sihir Anak Kerak aku. Saodah oh Saodah, siapa suruh cari hal dengan aku?

Herman ada tanyakan pada aku, dia tanya kenapa aku buat silap mata lagi? Kasihan Herman. Asyik dikeji. Aku pantang keturunan aku dikeji. Walaupun Herman adik tiri aku, tapi dek kerana kecacatan fizikalnya, aku simpati.

Cukuplah kematian Saodah dan Fatimah menjadi tanda aras kepada orang kampung yang suka bercakap buruk tentang hal orang lain. Apa mereka ini rasa seronok dengan bercakap fitnah tentang orang lain?

Keesokkan paginya, sewaktu aku dan Herman hendak ke pasar, kami di datangi Hashim dan isterinya. Berseri-seri muka si isterinya, masakan tidak, aku tanam susuk berlian! Isterinya kepingin sangat nak bersusuk. Aku ini mudah kesian pada orang, tambahan pengantin baru!

“Kakak, ini nak bagi duit bayaran pelamin hari tu, kan ada bakinya lagi RM200.”Ujar Hashim.

Herman tersipu sipu malu berjumpa dengan Hashim, begitulah Herman. Perangainya memang seperti budak tadika.

“Kak, nanti hujung bulan sepupu saya nak berkahwin, dan dia nak gunakan khidmat kakak. Dia tinggal di Bukit Mertajam.” Ujar isteri Hashim.

“Eh, kenapa jauh sangat!?” Ujar aku kehairanan. Ketika itu Hashim dan adik aku dah jauh berjalan menuju ke gerai makan di tepi pasar.

“Kak, siapa yang tak kenal Mak Andam Saleha! Nama kakak dah tersohor, saya berterima kasih dengan kakak sebab ada bagi saya ‘isi’ untuk jaga suami!” Kata isteri Hashim. Matanya berkaca-kaca, seakan akan terharu dengan ilmu syaitan yang aku perturunkan padanya.

“Tak mengapa, kau sabar. Nanti aku ajar kau Ilmu Damping Bulan Mengambang." Balas aku sambil mata aku tepat memandang muka si isteri Hashim.

“Nah, terimalah sanggul ros kakak ni. Hadiah pengantin baru!” Ujar aku sambil menyelitkan sanggul itu sisipan rambut isteri si Hashim, dan ternyata dia terkejut dengan pemberian spontan aku.

Hashim oh Hashim, kacak juga kau ya!
TAMAT
===================================
KISAH SIRI MAK ANDAM SALEHA
RESEPI MAK ANDAM SALEHA.

ADUH SI SALEHA

===================================
Suntingan : Nadey
Gambar : Dikmang

Karya asal merupakan hak cipta penulis dan karya siap sunting adalah milik bersama Page Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: