Saturday, 17 February 2018

PENUNGGU RNR (Bahagian 1) - Penatari Hitam


PENUNGGU RNR (Bahagian 1)
Karya: Penatari Hitam

* * * * *

Sudah banyak cerita, sudah banyak pengalaman, sudah ramai yang tahu dan tidak kurang juga ada yang tidak berani lagi singgah di situ. Tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Berbagai-bagai cerita dan pengalaman diceritakan dari mulut ke mulut. Ada juga cerita yang ditokok tambah sampai tak masuk akal, macam mereka sendiri yang mengalami.


Memang tidak dinafikan, lebuhraya dan kawasan rehatnya banyak menyimpan rahsia tersendiri sehingga susah hendak diterokai batas-batas misterinya. Bukan sahaja malam, malah hadirnya kuasa mistik ini tidak kira waktu. Ada ramai juga yang hilang pada waktu siang, beberapa hari kemudian baru ditemui dalam keadaan mamai dan tidak sedar di mana mereka berada. Kadang-kadang bila difikirkan logiknya pemikiran manusia, mana mungkin hal-hal yang melanggar hukum pemikiran kita ini boleh terjadi. Sampai kadang-kadang langsung tidak boleh dihadam oleh sel-sel otak.

Betul ke RNR ada penunggu? Penunggu itu macam mana rupanya? Macam-macam persoalan yang timbul. Mungkin mereka-mereka yang timbulkan persoalan ini belum pernah merasa berjumpa dengan penunggu-penunggu ini. Ini semua habuan masing-masing. Aku pernah dengar sendiri dari mulut-mulut mereka yang pernah mengalami sendiri, diganggu oleh Penunggu RnR.

Kisah 1.
* * * * *
Kak Salbiah dengan suaminya Abang Raof, pernah diganggu oleh penunggu ini. Masa tu mereka sekeluarga hendak pergi bercuti di Langkawi. Mereka tinggal di Melaka. Sebenarnya sudah banyak kali mereka dengar cerita-cerita yang menyeramkan tentang RnR di laluan lebuhraya Utara Selatan.


Tapi bagi Abang Raof dan Kak Salbiah, semua cerita yang mereka dengari itu cuma hiburan untuk kita berhati-hati sahaja. Cuma Suhaila, anak mereka yang sulung memang sedari mula sudah keberatan untuk berhenti di mana-mana RnR pada hari mereka hendak bertolak ke Langkawi.

“Ila dah cakap awal-awal, nanti masa dah masuk lebuhraya nanti...please ye...Ila tak nak kita berhenti di mana-mana RnR. Ila takut.”

“Ilaaaaaa...abah tak suka tau Ila buat keputusan macam ni. Ila ada adik Aiman, ada adik Isha.. kalau diorang nak buang air nanti macam mana? Ila nak ke diorang melepas dalam kereta?”

“Ila takut la bahhhh...macam-macam Ila dengar cerita di RnR tu.”

“Jangan nak mengada-ngada, ok? Kita nak pergi bercuti. Nak happy-happy. Jangan nak spoil mood semua orang… ok? Mama tak suka.”

Anak sulung mereka tu terus tarik muka masam. Suhaila menghentak-hentak kaki tanda protes. Mereka suami isteri cuma diam, tak mahu keruhkan lagi keadaan. Mereka biarkan Suhaila melayan perasaan tidak puas hatinya. Perjalanan mereka sudah jauh meninggalkan Melaka.

Aiman dan Isha sudah lama dibuai mimpi. Tapi Suhaila masih termenung memandang ke luar tingkap. Wajahnya memang nampak kerisauan yang amat sangat. Kegelapan di lebuhraya mula dirasai bila jam hampir pukul 9 malam. Pada mulanya perjalanan, cukup tenang. Terbayang-bayang dalam fikiran Abang Raof dan Kak Salbiah satu percutian yang cukup menggembirakan nanti. Maklum sahajalah, pertama kali ke Langkawi. Tiba-tiba Kak Salbiah bersuara...

“Abangggg... jaga! Orang bawa basikal kat depan tuuuuu!!!”

“Allahuakbarrrrrrr...” Abang Raof cepat-cepat mengelak.

Perlahan-lahan Kak Salbiah sempat nampak seorang makcik tua sedang tersenyum sambil mengayuh basikal naik bukit. Suhaila pun nampak. Abang Raof masih terkejut, dia mengurut dadanya untuk menenangkan keadaan. Perasaan Abang Raof mula terganggu masa tu.

Tumpuannya untuk memandu mula hilang fokus. Aiman dan Isha terpinga-pinga terkejut, terbangun dari tidur. Nasib masa tu tidak ada sebuah kenderaan pun yang datang dari belakang atau dari arah depan. Abang Raof mula rasa tak sedap hati.

Sebelum hampir terlanggar makcik naik basikal tadi, kenderaan dari belakang dan hadapan bergantian potong memotong. Tiba-tiba... lebuhraya tu jadi senyap sunyi. Langit gelap gelita yang amat sangat, Kak Salbiah toleh ke belakang melihat dua orang anaknya, Aiman dan Isha sambung tidur.

Abang Raof tiba-tiba memandu keretanya dengan laju. Kawalan pemanduannya membuatkan Kak Salbiah berasa ketakutan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan pemanduan Abang Raof.

“Kenapa ni bangggg? Hati-hati bang...”

“Sayang jangan toleh belakang!! Jangan toleh!!!”

“Mamaaaa...abahhhhhh...nenek tu naik basikal lajuuuu. Dia kejar kitaaaa....” suara Suhaila membuatkan Kak Salbiah toleh kebelakang.

“Astarfirullahalazim....abangggggg...apa benda tu bangggg????” suara Kak Salbiah macam nak menangis.

“Abang dah bagi tau kan...jangan toleh!!!” Pemanduan Abang Raof semakin tidak terkawal. Keretanya termasuk ke arah satu jalan kecil yang penuh dengan semak-samun.

“Abah nak ke mana ni??? Jangan masuk jalan ni bahhhhh!!!” pekik Suhaila.Lampu kereta terpadam.

* * * * *

Lima belas minit mereka terdiam di dalam kereta, di satu kawasan yang gelap gelita tanpa ada sedikit cahaya pun. Tiba-tiba ada benda melompat-lompat atas bumbung kereta. Suhaila mula menangis teresak-esak. Kak Salbiah cuba tenangkan perasaan Suhaila. Abang Raof tidak bersuara, dia cuma memberi isyarat supaya semua diam. “Sssyyyyyy....”

Perlahan-lahan Abang Raof cuba hidupkan enjin kereta, hendak nyalakan lampu...masing-masing rasa tak sedap hati. Alhamdulillah, enjin dapat dihidupkan. Kemudian lampu menyala, terang menyuluh ke arah depan.

Nampak bangunan usang, ditumbuhi pokok-pokok hutan yang amat menyeramkan. Bangunan medan selera yang sudah lama dibiarkan begitu sahaja. Tandas yang penuh dengan pokok hutan yang menjalar, penuh ditutupi akar-akar pokok hutan. Dinding bangunan tersebut sudah berlumut, ada yang sudah retak dan pecah. Bumbungnya banyak yang sudah berlubang.

“Abahhhhh...cepat jalan bahhhh...cepat bahhhhh!” Suhaila tiba-tiba menjerit.

“Kenapa niiiii???” Abang Raof terpinga-pinga. Pandangannya tadi tertumpu pada bangunan medan selera yang usang itu.

“Kita dah termasuk kawasan dia bahhhh....abah tengok nenek yang naik basikal tadi, kat depan tu bahh. Cepat jalan bahhhhh...dia datang ke arah kita bahhhh...” semakin kuat jeritan Suhaila.

“Kawasan dia apanya??? Ila diam boleh tak? Ini RnR lamalah. Jangan nak merepek!!!” Abang Raof sudah tak dapat kawal perasaan marahnya. Suhaila dimarahinya.

Memang keadaan mereka masa tu jadi kelam-kabut. Riuh rendah bergaduh dalam kereta. Kak Salbiah memarahi Abang Raof...syaitan sudah mula bertepuk tangan. Tujuan mereka sudah berjaya sedikit untuk merosak keimanan manusia.

Abang Raof terus memandu keretanya untuk mencari jalan keluar dari kawasan RnR lama tu, tapi masih terus terpusing-pusing. Jalan keluar masih belum ditemui. Atas bumbung kereta masih ada benda sedang melompat. Suhaila, Aiman dan Isha menangis dan menjerit-jerit ketakutan.

Perempuan tua yang berbasikal laju itu terus mengejar mereka. Abang Raof terus memandu laju, tapi tak tahu hala tuju. Fikirannya bercelaru. Perempuan tua tu sekejap nampak muka melekat di cermin kereta sebelah Abang Raof, kemudian nampak sedang mengayuh basikal laju di sebelah Kak Salbiah pula.

Suhaila menjerit bila tiba-tiba muka perempuan tua tu melekat pada cermin kereta sebelah dia pula. Kemudian bunyi mengilai sayup-sayup terbang ke atas bumbung bangunan medan selera. Abang Raof jadi macam terkunci satu badan. Kereta terus melanggar tiang lampu.

Keesokan paginya barulah mereka ditemui dalam keadaan keletihan tidak bermaya oleh peronda lebuhraya. Percutian mereka ke Langkawi terpaksa dibatalkan.

Kisah 2.
* * * * *
Ramai bila bercerita, semuanya cakap kisah betul, dari pengalaman sebenar. Tapi sejauh mana kebenarannya kisah-kisah tersebut terpulang kepada pendapat dan penerimaan masing-masing. Dari kisah kedua ni pun diceritakan kepada aku oleh seseorang yang mahu dikenali sebagai Sepat. Sepat memberitahu aku bahawa ini dari pengalamannya yang sebenar. Berlaku pada tahun 2007.


Masa kejadian tu berlaku, Sepat masih muda. Masih mentah untuk memikirkan sesuatu dengan matang. Seingat Sepat, masa itu dia bersama tunangnya hendak balik ke Shah Alam dari kampungnya di Kelantan. Ramai orang bercerita tentang penunggu di RnR Temerloh, tapi Sepat masa tu mana tahu takut. Semua cerita-cerita tu dia anggap macam rancangan drama yang diadaptasi dari novel tu. Tajuk je lain, tapi konfliknya lebih kurang sama. Habis-habis sangat, Sepat ketawa sahaja bila dengar kawan-kawannya bercerita tentang RnR Temerloh.

“Jange Patt… mu gedebe sangat denge nate tu. Kecek mu tu jange derah sangat. Habua kita ni masing-masing tak tahhu sapa tahat mana. Kena Patt, nyesey dok guno Patt.” kata Seroh pada Sepat.

“Buke kawe nak kecek derah Seroh. Mu pike tengok, brapo tahun kawe dok gi mari ikut lebuhraya tu laaaa, RnR tu jugok la kawe dok bereti tido guling garok...guling garok. Nate demo-demo dok royak tu, hare kedaroh kawe tok jupo,” kata Sepat.

Itulah yang Sepat cerita. Masa tu dia tidak mahu tahu langsung hal-hal yang bagi dia, hanya sesuatu yang bodoh. Baginya semua tu buang masa. Dia bukan nak cakap besar atau takbur, dia memang tak berapa percaya dengan hantu-hantu ni. Nasihat demi nasihat, namun Sepat tetap ketawa terkekek-kekek. Dia cuma persenda nasihat-nasihat yang diberikan oleh kawan-kawannya.

Sepat berhenti bercerita sambil menyapu air mata yang mengalir di pipinya. Perlahan dia menghirup teh tarik di hadapannya. Ada terselit penyesalan pada wajahnya. Sepat menarik nafasnya dalam-dalam dan mula bercerita semula.

* * * * *
“Hati-hati Patt, jago Suhaila ni molek-molek. Male-male ni mace-mace boleh jadi. Berhuk-berhuk ore dok royak dia buke nok ambe tahhu,” mak Sepat berleter.

“Mak jangan bimbang la...abang Patt memang macam tu. Nanti Su nasihat dia.Su balik dulu mak,” Suhaila mencium tangan bakal mak mertuanya. Sepat sudah tunggu di kereta, di halaman rumah.

“Cepakkk laaaa...lewat doh niiii,” Sepat bersuara dari tepi keretanya.

Pukul 9.35 malam Sepat dengan Suhaila bertolak balik ke Shah Alam. Dalam kegelapan malam, kereta Sepat terus memecut laju meninggalkan Pasir Putih.Suhaila terus mendiamkan diri. Pandangannya dilempar ke luar tingkap. Mukanya masam mencuka seperti memikir sesuatu.

“Kenapa ni sayang??? Marahkan abang ye?”

Suhaila terus membisu. Dia tidak mahu ambil peduli dengan tunangnya itu. Geramnya masa di kampung Sepat tadi masih meluap-luap. Nasihat orang langsung tidak ambil peduli. Nasihat mak dia sendiri, dia buat macam tidak berguna. Geram Suhaila macam hendak tampar-tamparnya muka si Sepat. Sepat sudah faham sangat-sangat, Suhaila kalau marah, memang macam itu. Jangan rasa hendak pujuklah. Tak makan langsung. Tumpul.

Perjalanan mereka sudah mula menyusuri baris-baris dendangan malam yang cukup mengasyikkan. Lebuhraya puaka yang kisah-kisahnya selalu didengari dari cerita-cerita orang itu, nampak tenang, sunyi. Bukan musim perayaan, perjalanan Sepat dan Suhaila lancar. Sepat sesekali tersenyum sendiri bila teringat cerita-cerita orang kepadanya. Semua mengarut...merepek… tidak masuk akal. Suhaila langsung tidak menoleh ke arahnya. Masih masam mencuka.

“Sayangggggg...abang minta maaf la kalau abang ada buat salah. Tapi abang memang tak suka orang bercerita kisah-kisah karut tu. Bukan ada apa-apa pun. Sayang tengok la sendiri. Ada apa-apa yang sayang rasa pelik?”

Suhaila masih tidak menoleh ke arah Sepat. Sepat terus memecut laju keretanya. Hati Suhaila memang susah hendak dipujuk. Tiba-tiba ada benda melayang bercahaya macam api jamung melintas di hadapan kereta Sepat. Sepat terkejut, terus dia menekan brek. Tayar keretanya berdecit lalu terbawa ke tepi bahu jalan dengan sendiri. Nasib baik tidak terlanggar besi pembahagi jalan. Kebetulan, tidak jauh dari tempat dia terbabas tu akan jumpa dengan RnR Temerloh.

“Abang tak takut ke berhenti rehat kat sini???” Tiba-tiba Suhaila bersuara lembut. Walau di dahinya ada sikit tergaris sebab terhentak pada sesuatu masa kereta terbabas tadi.

“Dah la tu sayang...nak buang air, jom abang temankan. Abang nak tengok kereta ni kejap, kalau ada terkemik ke,” kata Sepat sambil turun dari kereta. Dia toleh tengok Suhaila cuma geleng-geleng kepala.

“Abang tak takut ke kalau jadi apa-apa kat sayang???” tanya Suhaila. Tapi mukanya tetap memandang ke luar tingkap.

“Nak takut apa??? Sayang ada dalam kereta, kan?” Sepat bersuara sambil memeriksa keadaan keretanya.

“Kalau dalam kereta ni bukan sayang macam mana? Abang tak takut?” Suhaila bersuara lagi. Sepat cuma dengar sayup-sayup suara Suhaila sebab dia sedang menjenguk ke bawah kereta.

“Kalau sayang tak ada dalam kereta, sayang nak pergi mana? Hehehehehe...lawak la sayang ni. Tadi monyok je...” usik Sepat.

“Sayang kat sini...Hihihihihiiiiii...” Suhaila bersuara sambil ketawa kecil. Dia tiba-tiba meniarap ke bawah kereta. Mukanya betul-betul depan muka Sepat yang sedang menjenguk ke bawah kereta.

“Sayangggggg!!!!!” Sepat terkejut sampai kepalanya terhantuk bawah kereta. Dia terduduk di atas jalan.

Cepat-cepat Sepat bangun berlari tengok ke dalam kereta. Suhaila masih terdiam memandang ke luar tingkap. Hati Sepat berasa lega, tapi yang di bawah kereta tadi siapa? Masa tu seluruh badan Sepat menggigil, habis berpeluh-peluh. Tiba-tiba Sepat dengar Suhaila ketawa. Ketawa yang membuatkan bulu romanya meremang. Sepat tidak tahu hendak buat apa. Kakinya kaku, tidak boleh melangkah. Fikirannya seperti dipanah. Hatinya yang hebat, gagah, menjadi seperti sejemput tanah. Seluruh badan seperti kehilangan darah.

Orang ramai yang berada di RnR itu seperti tidak nampak beban yang sedang ditanggung Sepat ketika itu. Semua yang lalu lalang di situ cuma tengok dan berlalu pergi. Puas Sepat menjerit minta tolong, tapi tidak ada seorang pun yang hendak menolong. Sepat tidak malu lagi, dia meraung dan menangis semahu-mahunya.

“Kenapa abang hendak menangis sekarang? Mak dah pesan tadi...tapi abang degil. Abang hebat, kan?”

“Tapi kenapa jadi sampai macam ni? Abang tak faham...kenapa mereka ni semua tak mahu tolong kita? Apa salah kita kat mereka?”

Air mata Suhaila terus mengalir ke pipi gebunya. Sepat pun sama, meratap semahu-mahunya. Tapi betul kata kawannya, sudah jadi, hendak menyesal tidak berguna. Sepat dapat lihat di atas bumbung medan selera, ada susuk tubuh hitam seakan sebatang pokok besar, sedang mencangkung. Tersengih padanya. Sepat mendengar susuk hitam itu mendengusdan berbisik kepadanya...

“Akulah penunggu di sini. Nanti kau pun akan ada di sini...”

“Kenapa?” tanya Sepat.

* * * * *


Tidak jauh dari RnR Temerloh, ramai orang sedang sibuk membantu pihak Bomba dan Ambulans. Ada sepasang mayat, lelaki dan perempuan meninggal di tempat kejadian kerana tersepit di dalam kereta, kerana melanggar pembahagi jalan. Kelibat putih bercahaya seperti jamung tadi sedang tersengih di atas pucuk pokok di dalam hutan sebelah, sedang memerhati orang ramai sedang mengeluarkan mayat Sepat dan Suhaila.

“HEHEHEHEHE...darahhhhhh...emmmmm...” penunggu puaka sedang menunggu untuk menjilat juadahnya nanti.

Benar atau tidak, masih belum ada siapa-siapa yang dapat mengiyakan. Semua cuma menjadi cerita dari mulut ke mulut. Sesiapa yang pernah dengar, dengarlah suara lelaki dan perempuan menangis di RnR Temerloh. Belum pasti kesahihannya.



___________________________
Suntingan: Ahmad Rusydi Gambar: Dikmang
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: