SIRI PARADOKSIKAL: MASA SONGSANG 2
Karya: DeeFen DF
____________________________
8 November 2017 (9:24am)
Zyreff berjalan perlahan menuju perhentian bas. Namun langkahan dipercepatkan lantaran rintik-rintik hujan menaik berterbangan ke atas. Sesetengahnya memasuki rongga hidung lantas merangsang reseptor-reseptor yang sensitif. Aroma petrikor yang menenangkan menerjah saraf olfaktori yang turut diselang-selikan dengan bauan asap sigaret daripada kemeja-t yang dipakainya.
Dari kejauhan kelihatan kelibat beberapa tubuh manusia sedang memerhatikannya berlari anak. Ada yang tersenyum, ada yang berbisik-bisik. Pastinya sedang mengumpat perlakuannya yang janggal di mata. Berlari mengundur. Macam badut sarkas.
Sudah hampir 20 hari dia berada di perhentian bas ini. Dari pagi membawa ke senja. Atau mungkin lebih tepat bagi Zyreff adalah dari senja membawa ke pagi. Segalanya songsang. Tidur pagi buta, bangun bila baru masuk senja. Dia hanya pulang ke rumah sebentar sebanyak 2 kali untuk makan dan berehat seketika.
Setiap hari aktivitinya hanya dipenuhi dengan acara marathon termenung. Menungkan nasib dirinya yang pelik. Memikirkan apa salah yang dia lakukan sehingga dunianya terbalik. Dosa apakah yang menyebabkannya mendapat balasan timbal balik sehebat ini.
Sejak pertemuannya dengan Fatima tempoh hari, bagaikan telah terpahat di hatinya bahawa kewujudannya adalah sebagai penyelamat kepada manusia lain. Juga mungkin sebagai seorang hero untuk membetulkan kesilapan manusia-manusia yang lain.
Dan, di kafe hipster di seberang jalan, masih lagi terlihatkan gadis ayu yang baru dikenalinya tempoh hari. Fatima. Dia sedang mengusap kepala kucing sambil sesekali berkongsi sarapan pagi english platter-nya. Manis senyumnya mampu mendamaikan seketika kepala yang berserabut seperti Zyreff.
Zyreff segera melintas jalan menuju ke arah Fatima. Ingin ditatapnya wajah itu lebih dekat. Entah kenapa dirasakan masih belum puas dilihat wajah itu.
Zyreff berjalan menghampiri. Perlahan gadis itu mengangkat wajahnya lantas menguntumkan senyuman. Zyreff terkaget.
“Apakah Fatima masih ingat akan aku?” bisik hati kecilnya.
Seketika kemudian Fatima kembali menunduk melayani kucing oren berbulu tebal. Langsung tidak dihirau akannya yang sedang menapak melepasi Fatima. Lagak seperti orang yang saling tidak mengenali.
“Hmmmm… Memang patut pun dia tak kenal aku. Dia hanya akan kenal aku pada masa hadapannya. Buat masa sekarang ni, bagi dia, aku hanya sekadar makhluk seperti manusia lain,” gumam Zyreff sambil terus berjalan menjauhi Fatima. Sebuah kerusi rehat di kaki lima yang dibuat daripada besi aloi menjadi pilihan destinasinya untuk duduk.
Suam-suam besi kerusi yang memanaskan sedikit punggung dan paha membuatkannya terasa selesa. Umpama ada tungku panas yang dituam untuk menghilangkan angin dan lenguh-lenguh. Kepalanya didongak dan matanya terpejam rapi. Kembang kuncup hidungnya menyedut udara bandar yang tidaklah sesegar mana. Cuba menghayati nikmat keselesaan.
Tiba-tiba Zyreff tersentak. Kelopak mata terbuka menonjolkan iris matanya yang berwarna sebelah coklat gelap dan sebelah lagi coklat muda. “Macam mana kalau aku tegur Fatima hari ni? Adakah aku akan mengubah apa yang akan telah aku lalui tempoh hari? Apakah pula nasib Fatima? Ahhh! Serabut! Semua ni memeningkan kepala!”
Dikeluarkan ubat penenang sementara kepada keserabutan kepala. Selama beratus-ratus tahun, para perokok tegar seantero alam memperakui kenyataan ini.
Sedang Zyreff melayan kenikmatan 4000 bahan kimia dan 400 racun dalam batang karsinogenik, dia terpandang senaskah surat khabar yang terselit di celahan kerusi rehat itu. Surat khabar berjenama ‘Berita Tabloid’ itu bertarikh 7 November 2017. “Oh…kalau diikutkan waktu normal, ini surat khabar semalam.”
Diselaknya helaian nipis surat khabar. Lumrah bagi lelaki, berita sukan di mukasurat belakang sekali menjadi pilihan bacaan pertama. Dikitarnya pandangan pada tajuk-tajuk berita. ‘Manchester United Menang Bergaya. JDT Uji Pemain Import Zimbabwe. Roger Federer Juarai Grand Slam.’
“Hmmmm… semua berita sukan ni aku dah baca masa dunia aku berputar normal dulu.” Zyreff sekadar berkata di dalam hati bersama mimik muka yang membosan.
Diselaknya lagi lembaran lembik kertas surat khabar. Tertera pada kotak di bahagian bawah terdapat keputusan untuk nombor ekor. Dia mengamati kolum yang selama hidupnya langsung tak pernah diambil peduli.
Terbeliak biji mata Zyreff apabila melihat hadiah jackpot yang bernilai jutaan ringgit. Ditenyeh lagi matanya sambil mengira tanda koma dan digit kosong.
“Hadiah utama 18 juta ringgit. Gila banyak! Patut la orang dok tergila-gila nak beli nombor ekor.”
“Kalau aku guna kelebihan yang ada pada aku dan bagitau keputusan ni kat orang lain, mesti ramai orang akan kaya-raya. Tapi judi itu haram. Aku tak nak bersubahat. Aku sendiri dah banyak dosa. Tak sanggup aku nak tanggung dosa orang lain lagi.”
Apabila tiba di mukasurat yang kedua, matanya tertarik untuk membaca kolum berita tentang kemalangan yang berlaku berhampiran rumahnya. Mangsa yang terlibat adalah seorang pelajar sekolah. Dia mengalami kecederaan parah pada seluruh badan dan berkemungkinan besar bakal lumpuh seluruh badan.
Setalah Zyreff meneliti butiran waktu kemalangan, dia bertekad untuk menolong mengelakkan kemalangan daripada berlaku. Jarinya digenggam kejap dan wajahnya terpancar semangat yang membara.
* * *
6 November 2017 (2:45pm)
Zyreff berlari anak ke arah kawasan kemalangan yang terletak kira-kira 700 meter dari rumahnya. Mengikut surat khabar, kemalangan terjadi jam 1:50pm iaitu ketika pelajar sekolah baru tamat waktu persekolan. Ini bermakna dia ada kira-kira sejam sebelum kemalangan terjadi.
Dia perlu tiba awal ke lokasi kejadian untuk merancang pelan menyelamat.
Sebaik tiba, dia terlihat kesesakan jalan yang serius. Sebuah kereta sedan terselit di celahan longkang yang sederhana lebar. Sekumpulan manusia masih berkerumun menyaksikan kemalangan itu.
Pelajar yang terlibat dengan kemalangan itu telah tiada di tempat kejadian. Ambulans telah membawanya pergi ke hospital. Hanya kesan darah yang tertinggal di atas kaki lima jalan raya.
“Aku kena cari kesan brek pada jalan raya. Aku kena berada kat tempat mula-mula kereta tu terbabas.”
Zyreff berada di situ cukup lama sehingga dapat menyaksikan bagaimana pelajar perempuan itu dirempuh. Pelajar perempuan itu sedang berjalan berseorangan dan kereta yang berputar beberapa kali merempuhnya dari arah belakang akibat tayar hadapannya pecah secara tiba-tiba.
Zyreff berasa serba salah sama ada nak menghalang pelajar itu berjalan di kaki lima atau menyekat kereta itu daripada bergerak laju sebelum tayarnya pecah.
Belum habis dia berfikir untuk membuat keputusan, dia ternampak seorang wanita berpakaian serba hitam sedang memanggil semua orang yang berada di kaki lima itu untuk berada dikelilingnya. Wanita itu menggamit semua orang yang berada di situ umpama ingin membuat suatu persembahan.
Beberapa pelajar sekolah dan orang awam mula mengerumuni wanita itu.
“Okay…ini sesuatu yang baru. Tadi mana ada pun orang berkumpul macam ni. Tempat dorang berkumpul tu betul-betul tempat kereta tu terbabas. Kalau aku tak halang, mesti dorang semua ke rempuh!”
Zyreff telah membuat keputusan untuk menghalang kereta itu daripada bergerak laju ketika melalui kawasan itu. Sehabis laju dia berlari menjauhi kawasan kemalangan. Dia sudah tidak menghiraukan pandangan orang awam yang menyaksikannya berlari laju secara terbalik.
Dia mula menahan kenderaan yang sedang melalui jalan itu. Tujuannya adalah membuat lalulintas menjadi sesak agar semua kenderaan yang melalui kawasan itu akan bergerak perlahan. Bunyi hon bergema tanda para pemandu memarahinya yang tidak semena-mena membuat halangan lalulintas.
Sebenarnya agak sukar bagi Zyreff untuk menghalang kenderaan kerana semuanya bergerak mengundur menyebabkan dia susah untuk mengagak kelajuan.
Namun dia akhirnya berjaya memperlahankan lalulintas walaupun beberapa buah pemandu dan penunggang motosikal membuat isyarat carut dan kata-kata bernada marah yang langsung tidak difahaminya.
Tak beberapa lama kemudian, terlihat kereta yang sepatutnya terlibat dengan kemalangan berjalan mengundur melepasinya.
Nun di kejauhan, sekumpulan manusia masih lagi berkumpul. Zyreff menghela nafas yang panjang. Tahulah dia bahawa dia telah berjaya menghalang kecelakaan daripada terjadi.
Di antara celahan manusia itu, terlihat kelibat wanita serba hitam sedang merenungnya lalu menghilang di sebalik orang ramai.
* * *
7 Mei 1993 (6:03pm)
Zyreff memegang dadanya. Nafasnya turun naik. Mengah. Kesihatannya kadangkala terganggu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kalau mengikut perkiraan waktu normal, umurnya pada tahun 1993 ini adalah 5 tahun.
Pada mula-mula masa berputar songsang, Zyreff menjangkakan yang fizikalnya akan semakin muda sehingga dia akan menjadi bayi semula. Tapi sangkaannya meleset. Perubahan fizikalnya terhenti tatkala umurnya mengundur mencecah 18 tahun. Maka dia sentiasa kelihatan muda remaja.
Zyreff sendiri bingung akan keadaan itu namun dia menerima takdir ini dengan seadanya.
“2017 tolak 1993, maknanya dah 24 tahun aku membuat kerja-kerja hero. Walaupun aku dah mula rasa bosan kerana tiada siapa yang pernah menghargai pengorbanan aku. Hmmmm… tapi macam mana aku nak tahu yang orang hargai pertolongan aku sebab waktu aku tak selari dengan manusia lain.”
Zyreff berbaring di atas tilam toto sambil memandang zink bumbung rumahnya. Ini merupakan rumah ketiganya selepas dia terpaksa keluar daripada flat yang diduduki dahulu.
Ini kerana pada tahun 2006, dia tiba-tiba bertembung dengan penyewa rumah flat yang menyewa di situ sebelum dia tinggal. Penyewa sebelumnya itu sedang mengangkut barang-barang dan kotak yang siap dibalut rapi masuk ke dalam rumah.
Saat itu tahulah Zyreff yang dia perlu keluar daripada rumah flat itu kerana sejak 2006 ke belakang, dia belum berpindah masuk lagi. Sebelum itu dia masih lagi tinggal di asrama rumah anak yatim.
Zyreff kemudian berpindah ke sebuah hutan kecil berhampiran rumah flat itu. Dibinanya rumah daripada papan dan kayu yang dikitar semula.
Dan dua tahun lepas iaitu pada tahun 1995, dia berpindah ke rumah yang diduduki sekarang kerana merasakan hutan kecil itu semakin hari semakin tebal dan menyeramkan. Dia sering terlihat monyet dan binatang berbisa di sekeliling rumahnya. Rumah yang didiami sekarang ini merupakan sebuah rumah kampung yang telah lama ditinggalkan tanpa penghuni.
Dan setiap hari dia akan ke sebuah kedai runcit untuk membaca surat khabar yang tidak terjual. Disemaknya jika terdapat sebarang kejadian di persekitaran tempatnya tinggal yang boleh dibantunya.
Selama berpuluh tahun ini juga dia cuba tidak terlalu menonjolkan dirinya. Langsung tidak berinteraksi dengan manusia yang lain. Selain pemalu dan anti-sosial, dia juga tidak suka orang memandang akan keganjilan dirinya.
Hanya televisyen yang dikutip dari tempat pembuangan sampah menjadi penemannya dikala sunyi walaupun rancangan disiarkan secara terbalik. Menonton Ultraman dan Suria Baja Hitam bermula daripada ‘ending’ bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
Zyreff juga sudah sangat mahir berjalan mengundur. Tujuannya agar tidak kelihatan pelik bila dia berada di sekeliling orang ramai.
* * *
4 Mac 1990 (3:23pm)
Zyreff telah bersedia di tepian sebuah stesen minyak. Sama seperti rutin penyelamatannya yang sebelum-sebelum ini, dia menanti lebih awal.
Menurut berita yang ditontonnya dan juga surat khabar yang dibaca, telah terjadi tragedi kebakaran di stesen minyak lantas menyambar pemuda yang sedang mengisi petrol ke dalam sebuah tong. Kemudiannya akan berlaku letupan yang turut membakar dua orang lagi penumpang kereta tersebut. Ketiga-tiganya maut rentung.
Sebaik melihat api letupan yang tersedut kembali masuk ke dalam tong, dan kereta yang terbakar perlahan-lahan terpadam dan kembali sempurna seperti sediakala, Zyreff berjalan mengundur ke arah mangsa yang baru sahaja tiba di pam stesen minyak itu.
Dari kejauhan sudah kedengaran nada-nada marah yang keluar daripada mulut pemuda itu. Kedua-dua rakan pemuda itu turut serta memaki hamunnya dengan wajah marah. Semua ditujukan kepada Zyreff. Bahasa yang didengarinya semua terbalik membuatkan dia langsung tidak memahami tutur kata pemuda itu.
Hanya senyuman terukir di bibir Zyreff.
Berdasarkan pengalamannya selama berpuluh tahun ini, tindakan pemuda-pemuda itu menunjukkan tanda positif akan kejayaan Zyreff merubah masa depan mereka yang terlibat dalam kebakaran.
Sebaik semakin menghampiri pemuda itu, turut kelihatan pekerja stesen minyak berada di situ. Pemuda itu pula sedang menyimpan kembali tong yang kosong ke dalam but kereta.
Rupanya tindakan Zyreff menghalang pemuda itu daripada mengisi petrol ke dalam tong yang tidak diluluskan telah mengundang kekecohan dan membuatkan pekerja stesen minyak masuk campur untuk meredakan ketegangan.
Kemudiannya Zyreff menyerahkan nota kepada pekerja stesen minyak. Nota itu bertulis agar dapat menghalang pengisian petrol ke dalam tong yang tidak disahkan selamat penggunaannya.
* * *
2 Mac 1990 (1:38pm)
Zyreff sedang tercongok di depan televisyen menonton siaran berita edisi tengahari sambil mengunyah buah pisang yang baru diambilnya petang tadi di belakang rumahnya. Menantikan jika terdapat sebarang berita yang boleh dibantunya.
‘3 orang penjenayah yang terlibat dalam kejadian bunuh dan rompak sedang diburu polis.’
Berita utama ini menarik perhatian Zyreff kerana terjadi di negeri berjirannya. Dia hanya mampu mengagak isi kandungan berita melalui tajuk berita dan visual yang terpapar. Sebarang audio langsung tidak difahaminya.
Menggeletar seluruh tubuh badannya kerana terpandang wajah-wajah penjenayah yang berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup. Ketiga-tiga penjenayah itu merupakan pemuda-pemuda yang dibantunya tempoh hari di stesen minyak.
“Ya Tuhanku… Adakah aku dah tersalah dalam membuat keputusan? Aku dah tersalah menolong orang yang tidak sepatutnya aku tolong. Adakah kejadian kebakaran yang menyebabkan dorang rentung itu merupakan balasan Tuhan atas dosa-dosa dorang?”
“Aku dah merubah masa depan dengan menyelamatkan dorang. Mungkin dorang akan melakukan lebih banyak jenayah. Adakah aku dah bersubahat? Mungkin syaitan sedang ketawakan aku dan bertepuk tangan riang…”
Nafas Zyreff kasar. Dadanya berombak kencang. Mukanya ditekup pada kedua tapak tangan. Perasaan bersalah menyelubungi seluruh jiwanya.
“Selama ini aku langsung tak pernah terfikir akan perkara ni. Mungkin… Mungkin aku tak sepatutnya menganggu takdir yang telah tetapkan. Aku tak layak dan tak sepatutnya masuk campur urusan takdir!”
“Bagaikan tasik terbentang luas yang tenang airnya. Sekali batu dibaling, air akan berkocak dan riak-riak air tersebar ke seluruh permukaan. Sama seperti apa yang aku lakukan. Sekali aku merubah takdir, aku bukan saja merubah takdir manusia yang ditolong itu. Aku turut sama merubah takdir manusia-manusia lain disekelilingnya.”
“Hmmm… Seperti riak air di permukaan, aku dah merubah riak takdir keseluruhannya.”
Persepsi Zyreff terhadap segala jenis bantuan yang dilakukannya selama ini telah berubah. Dia mula diselubungi perasaan takut. Takutkan balasan Tuhan ke atasnya kerana melanggar perjalanan alam.
“Mulai hari ini, aku berhenti daripada melakukan sebarang bentuk pertolongan. Biar aku dengan hidup aku saja.”
* * *
1 Februari 1989 (6:20pm)
Sudah setahun Zyreff berhenti melakukan kerja penyelamatan. Sudah setahun juga siang harinya dipenuhi dengan duduk dan mengelamun di sebuah taman rekreasi sambil memerhatikan tingkahlaku manusia lainnya. Hidupnya berpuluh tahun kesunyian.
“Tiada apa yang dapat aku lakukan selain menunggu nyawa ditarik keluar badan.” Bisik hati kecilnya.
Sehinggalah pada suatu hari, sedang dia duduk di kerusi kegemarannya di bawah pokok saga, dia terdengar nyanyian lagu dan bait-bait lirik yang telah lama tidak didengarinya.
Ku yakinkan diri, demi rinduku… 🎶 🎶
Penawar hanya dari wajah kekasih… 🎶
Walaupun rintangan datang menduga… 🎶
Ku tempuhinya kerna cinta membara… 🎶
Oh mimpi yang terindah… 🎶
Jelmalah dalam nyata… 🎶
Wajah-wajah kekasih… 🎶 🎶
Lunak suara pelantun lagu 90-an itu menyebabkan kepalanya bergoyang perlahan. Terpejam matanya melayan keasyikan lagu.
Bagaikan terkena halilintar, Zyreff terus berdiri. Baru dia tersedar bahawa lagu yang dinyanyikan itu dalam nada yang difahaminya. Ini bermakna manusia yang sedang menyanyi itu mungkin berkeadaan sepertinya.
Zyreff cuba mencari arah datangnya suara. Setelah diamati, suara itu datang dari arah belakang pokok saga sebesar lima pemeluk manusia. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah punca suara.
Rupa-rupanya suara itu milik seorang gadis berpakaian serba hitam.
Mata mereka sama-sama bertentang. Nyanyian gadis itu juga terhenti tiba-tiba. Zyreff melihat mata gadis itu berwarna sebelah coklat gelap dan sebelah lagi coklat muda. Sama sepertinya!
Berdasarkan fizikalnya, Zyreff mengagak gadis itu berusia sekitar 18 tahun.
“Errrr…hai..hai… Se.. Sedap awak nyanyi,” tegur Zyreff teragak-agak.
“Ehh terima kasih,” balas gadis itu sambil tersenyum.
Tiba-tiba mereka berdua terkejut lantas menutup mulut masing-masing. Jari telunjuk diarahkan ke arah satu sama lain. Mata terbuntang luas. Gadis itu mula mengalirkan air mata.
“Awak faham apa saya cakap?” Gentar nada suara Zyreff.
“Ye… ye… YA! Saya faham!” Gadis itu menjawab dengan suara yang hampir terjerit kerana masih lagi terkejut dengan keadaan yang terjadi sekarang.
“Awak nama apa? Saya Zyreff.”
“Saya Zahra.”
“Errr masa awak juga berjalan songsang macam saya? Eh maaf tanya soalan pelik. Saya tak patut terus tanya macam tu. Tapi saya rasa sangat gembira sebab saya…”
“Shhhh!!” Belum habis Zyreff menghabiskan ayat, gadis itu telah memintas percakapannya. “Ya masa saya juga berjalan songsang. Dan ini pertama kali setelah 28 tahun hidup berseorangan saya bertemu dengan orang yang sama seperti saya. Awak dah berapa lama jadi macam ni?”
“28 tahun jugak. Sama! Kita sama! Saya lahir 18 Mac 1988. Awak?” Soal Zyreff teruja. Hatinya melonjak riang lantaran menemui seseorang yang turut senasib sepertinya.
Zahra bingkas berdiri. Ditepuk-tepuk seluarnya yang dipenuhi rumput kering. “Saya pun lahir sama tarikh dengan awak. Menarik! Maknanya umur kita sama. Dan yang lebih pelik, rupa fizikal kita sama. Seperti umur remaja 18 tahun.”
“Betul tu. Sampai sekarang saya tak mampu berfikir apa yang menyebabkan saya jadi macam ni. Saya betul-betul buntu. Semuanya melawan hukum alam.”
“Kalau awak tak kisah, ceritakan kisah hidup awak.” Zahra bertanya polos. Mereka berdua beriringan menuju kerusi rehat.
Zyreff tersenyum lebar kerana buat pertama kalinya dia boleh berjalan beriringan dengan seseorang secara normal. Tak perlu berlakon berjalan mengundur yang terasa kekok dan memenatkan.
“Saya dibesarkan di Rumah Anak Yatim Seri Harapan sehingga umur 18 tahun. Saya tak…”
Belum sempat Zyreff menghabiskan ayatnya, percakapannya sekali lagi dipotong oleh Zahra.
“WHAT?! Wait… Wait… Saya juga dibesarkan di rumah anak yatim yang sama!” pekik Zahra sehingga menarik perhatian beberapa orang pengunjung taman rekreasi itu. Zahra yang terperasan akan suaranya yang tiba-tiba lantang tadi menutup mulutnya dengan wajah yang merah padam kerana menahan malu. “Tapi masa berumur 4 tahun saya dah di bawa pergi dari rumah anak yatim oleh keluarga angkat.”
“Ohhhh… Patutlah saya tak pernah ada memori tentang awak. Rupanya masa awak kecil lagi dah diambil oleh keluarga angkat.”
Seharian Zyreff dan Zahra berada di situ berkongsi kisah hidup masing-masing. Dari lewat petang sehingga awal pagi. Pelbagai emosi yang dizahirkan antara mereka.
* * *
23 September 1988
Perut yang semakin membesar dan sudah hampir sebulan mengalami loya pada waktu pagi menandakan Zahra telah mengandung. Zyreff dan Zahra mengambil keputusan untuk berkahwin setelah sebulan perkenalan mereka.
Perkahwinan mereka hanya dijalankan di rumah tukang nikah berserta tiga orang saksi. Itu pun puas dirancang selama berhari-hari kerana semuanya berlangsung secara terbalik. Akhirnya mereka dinikahkan seperti orang bisu iaitu melalui tulisan.
Alam perkahwinan mereka berdua dipenuhi dengan kegembiraan dan keriangan. Ditambah pula dengan zuriat yang bakal dilahirkan menambahkan kebahagiaan dalam melayari bahtera rumah tangga.
Namun mereka sedikit rungsing memikirkan apakah nasib yang akan dialami oleh anak mereka nanti. Adakah masanya akan songsang seperti mereka ataupun masanya berjalan normal seperti manusia lainnya.
* * *
18 Mac 1988 (12:15pm)
Sejak tiga minggu yang lalu kesihatan mereka berdua jatuh merudum dengan tiba-tiba. Semakin hari semakin teruk. Masing-masing terasa lemah badan, sering semput dan tidak bermaya. Seperti orang yang telah tua.
Zahra pula mula berasa sakit seperti hendak bersalin.
“Abang… Kesihatan kita berdua teruk sangat ni bang,” perlahan suara Zahra. Sesekali mukanya menahan sakit pada perutnya.
“Itu la ayang. Abang pun resah fikir keadaan kita ni.”
“Mungkin ajal kita dah hampir sampai kot bang?”
“Entahlah ayang… Mungkin.. Dah lama kita hidup. 60 tahun.”
“Apa nak jadi dengan anak kita nanti bang kalau kita takda? Sapa nak jaga dia?” Zahra mula mengalirkan air mata memikirkan masa depan anak mereka.
“Kita berserah pada Tuhan ye ayang.”
“Abang… Andai kata ayang dah tak ada nanti, jaga anak kita baik-baik ye. Ayang doakan dia menjadi insan yang baik, sentiasa menolong orang yang susah sebagaimana ayah dia.” Zahra mengusap perutnya. Lalu matanya yang bergenang penuh dengan air mata ditancapkan pada wajah Zyreff. Riak muka Zahra penuh pengharapan pada suaminya itu.
“Baiklah ayang. Selagi kudrat masih bersisa, selagi nyawa masih dikandung badan. Selagi itu abang akan jaga anak kita baik-baik. Abang berjanji…”
Mereka berdua saling berpelukan erat. Basah baju dengan linangan air mata masing-masing. Jauh di sudut hati, mereka berdua tahu yang nyawa mereka telah hampir ke penghujung.
Semakin kerap Zahra mengerang kesakitan setiap kali kontraksi terjadi. Menandakan proses untuk bersalin semakin hampir. Zyreff pula semakin keresahan.
Mereka hanya mampu berdoa agar semuanya dipermudahkan. Hendak dibawa ke hospital, segalanya bergerak songsang. Segalanya tak masuk akal.
Zyreff juga merasakan tubuhnya makin tidak bermaya. Nafas terasa berat dan sukar. Beberapa kali dia berasa pandangannya gelap seolah hendak pitam. Namun dia cuba bertahan kerana melihatkan Zahra yang lebih hebat menahan kesakitan.
Akhirnya tepat jam 11:33am, seorang bayi lelaki selamat dilahirkan. Raut wajahnya yang tenang mendamaikan hati Zyreff dan Zahra. Air mata serta senyuman terpancar di wajah mereka.
“Abang… Maafkan ayang… Maafkan segala kesalahan ayang.” Nafas Zahra sudah tercungap-cungap. Dicium dan dipeluk erat anak lelakinya seperti tidak rela berpisah. Seketika kemudian nafasnya terhenti.
Tangisan panjang anak kecil itu seumpama menangisi pemergian ibunya. Suasana langit di luar pula gelap seperti senja walaupun hari masih siang. Bagaikan alam turut bersedih akan pemergian Zahra.
Zyreff terbatuk-batuk tidak berhenti. Setiap nafas yang dihela terasa tidak puas. Kepalanya terasa berpusing. Seluruh badannya sengal-sengal.
“Aku mesti selamatkan anak aku. Aku rasa aku dah tak mampu hidup lama…”
Sebaik memotong tali pusat, anaknya terus diletakkan didalam raga dan diselimuti dengan kain batik milik Zahra. Dia terus membawa anaknya itu keluar rumah. Tujuannya hanya satu, iaitu menyerahkan anaknya kepada rumah anak yatim tempatnya tinggal dahulu.
Sebaik melangkah keluar rumah, suasana hampir gelap seperti malam. Didongak dan dipandangnya matahari yang berbentuk seperti cincin. Alam sedang menyajikan kepadanya kejadian gerhana matahari penuh. Matahari dan bulan ketika ini berada dalam kedudukan yang selari.
Dengan bersusah-payah dan hampir 20 minit berjalan kaki, akhirnya Zyreff tiba di Rumah Anak Yatim Seri Harapan.
Dia meletakkan anaknya di pintu rumah. Sebelum berlalu pergi, dia memandang sayu wajah anaknya. “Maafkan papa dan mama… Papa dan mama tak mampu untuk menjaga kamu. Tak mampu berada di sisi kamu. Jadilah anak yang baik.” Dikucup berkali-kali anak lelakinya itu. Warna bebola mata anaknya sama tak ubah seperti Zyreff dan Zahra.
Tiba-tiba Zyreff dikejutkan dengan tangisan nyaring bayi. Baru dia perasan rupa-rupanya ada lagi seorang bayi yang ditinggalkan di hadapan pintu rumah itu.
Kelam-kabut Zyreff meninggalkan anaknya untuk mengelakkan dari dirinya dikesan oleh penjaga rumah anak yatim itu. Sebelum itu, Zyreff mengetuk pintu supaya pihak penjaga mengetahui akan keberadaaan anaknya di hadapan pintu.
Zyreff berasa hampir pitam menyebabkannya terpaksa berehat sebentar. Dia merangkak ke sisi rumah untuk mengelak daripada dikesan penjaga.
Suasana menjadi riuh sebentar di dalam rumah anak yatim itu kerana penjaga menemui dua orang bayi. Zyreff hanya memasang telinga mendengar perbualan para penjaga.
“Comelnya dua orang baby ni!”
“Ahaaa.. sorang laki, sorang perempuan.”
“Eh kau tengok mata baby laki ni, sebelah coklat gelap, sebelah coklat muda.”
“Mata baby perempuan ni pun sama juga!”
“Unik!”
“Nak bagi nama apa untuk dorang?”
“Hmmm… Yang laki nama Zyreff Awwal dan yang perempuan Akhira Zahra.”
“Wah! Cantik nama tu! Setuju!”
Zyreff terbeliak mendengar nama yang diberi oleh penjaga rumah anak yatim itu.
"Mungkinkah anak aku tu adalah diri aku sekarang?"
"Akulah bapa dan akulah anak. Aku tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Hidup aku berputar di atas pentas masa yang songsang!"
Zyreff akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir…
- TAMAT –
Nota penulis: Penulis dalam perancangan untuk menjadikan cerita Masa Songsang ini dalam bentuk manuskrip novel. Plot dan watak akan ditambah. Serta akan diwujudkan watak antagonis. Skala plot penyelamatan akan dibesarkan melibatkan insiden kejadian besar dalam negara. Doakan penulis ada kekuatan dan tak kekeringan idea untuk mengarang.
Segala konsep dan idea cerita ini adalah hak milik penulis.
____________________________
Karya: DeeFen DF
Suntingan Gambar (sumber internet): DeeFen DF
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment