KERANA NOMBOR
===============
Kisah yang aku nak kongsikan pada korang semua kali ini adalah kisah yang berlaku sebelum ke alam universiti. Tahap keseraman kisah aku kali ini mungkin tak mencapai tahap piawaian seram korang semua. Aku hanya ingin berkongsi pengalaman.
===============
Di suatu petang, aku, Paklang dan Maklang sedang rancak bersembang di atas pangkin kayu bawah pokok jambu. Sedang kami rancak berbual, kedengaran enjin motosikal memasuki kawasan rumah Paklang. Bunyi kuat dari ekzos bocor motor Honda Cub lampu bulat itu sudah aku kenali. Itu motosikal milik Imam masjid kat kampung aku. Kami panggil dia Haji Mad.
Haji Mad : Assalamualaikum… Lang, Ngah.
Aku/Paklang : Waalaikumussalam.
Haji Mad mematikan enjin motosikalnya dan berjalan ke pangkin tempat kami berkumpul.
Paklang : Dari mana nak kemana ni Haji Mad?
Haji Mad : Aku dari kedai Limah tadi Lang.
Maklang : Kejap ye Haji, saya naik ambilkan cawan sekejap.
Haji Mad : Eh, tak apalah Maklangnya… Aku dah minum dah tadi kat kedai Limah.
Paklang : Ala kamu ni, jemput la jamah sikit. Ada cekodok pisang ni. Jemput makan.
Haji Mad mengambil sebiji cekodok pisang yang dah siap terhidang. Kedengaran ucapan bismillahirrahmanirrahim keluar dari bibir Haji Mad lantas disua cekodok pisang ke dalam mulutnya.
Paklang : Haji kemari ni ada benda penting ke ni?
Haji Mad : Tak ada apa. Saja je aku singgah sekejap. Ni ha… tadi masa aku kat kedai Limah tu ada la aku nampak si Fizul anak Halim tu naik moto sambil peluk ayam jantan kat pinggang. Tak ada kerja lain nak laga ayam la tu.
Paklang : Haji nampak kemana dia pergi?
Haji Mad : Rumah Wak Asi.
Aku : Rumah Wak Asi yang besar dan luas tu?
Haji Mad : Wak Asi mana lagi yang ada kat kampung kita ni Ngah.
Aku : Kalau tak silap Angah la kan, yang ada bumbung kat laman belakang rumah dia tu tempat dia simpan ayam jantan tu.
Haji Mad : Bukan tempat simpan ayam je Ngah. Tempat laga sekali.
Aku : Dalam tu?
Haji Mad : Ye la. Dalam tu.
Maklang : Apa yang dalam tu dalam tu tu?
Maklang datang dengan membawa dua cawan kosong.
Aku : Tak ada apa la Maklang. Sembang-sembang kosong je ni.
Maklang : Yelah tu… Saya masuk ke dalam dulu ye bang.
Paklang : Iyelah.
Paklang : Haa ni Haji Mad, dah mula balik ke laga ayam kat kampung kita ni? Bukan dah lama ke tak kedengaran pasal laga ayam ni. Hish…
Haji Mad : Kita je yang tak dengar.
Aku : Apa la nak jadi dengan budak muda kampung kita ni kan Haji. Apa la yang best sangat laga ayam tu.
Paklang : Kamu ni Ngah. Laga ayam tu tak best pun. Yang bestnya tu taruhan tu.
Aku : Kan berjudi tu kan Paklang.
Paklang : Memangla. Kalau tak ada taruhan kamu ingat nak ke diorang tu laga ayam diorang?
Haji Mad : Entahlah Lang. Kita tegur pun mana nak lutnya. Hati dah keras.
Paklang : Kita teruskan nasihat je lah ye Haji. Nak buat macam mana lagi dah. Kalau dah teruk sangat bolehlah kiranya kita report pihak berkuasa.
Haji Mad : Gitu la nampak gayanya Lang.
Teh O panas dihirup perlahan oleh Haji Mad. Bunyi yang terhasil dari hirupannya itu seakan memberitahu keadaan tekaknya yang kering. Air yang diminum di kedai Limah sudah hilang kesannya mungkin.
Haji Mad : Aku beransur dulu ye Lang, Ngah. Nanti jumpa kat masjid malam nanti ye.
Paklang : Haa… Insyaa Allah kalau tak ada halangan.
Aku : Insya Allah…
Aku kemaskan cawan yang telah digunakan dan membawa semuanya masuk ke dalam rumah. Dalam perjalanan nak masuk ke dalam rumah Paklang mengingatkan aku tentang tugas malam nanti.
Paklang : Ngah, jangan lupa malam nanti. Kita kena ke rumah Pak Awang.
Aku : Haa… ye Paklang. Angah ingat tu.
Pagi tadi Pak Awang datang ke rumah Paklang. Masa tu aku kat rumah aku lagi. Paklang telefon ke rumah aku bagitahu yang Pak Awang minta tolong tengokkan cucunya yang baru umur dua bulan dah banyak hari asyik menangis je bila masuk waktu Maghrib. Anak dengan menantu Pak Awang dah buntu nak memujuk agar anak dia tu berhenti menangis. Ada jugak Pak Awang baca serba sedikit apa yang dia tahu, senyaplah sekejap cucunya. Itupun kerana tidur. Bila buka je mata menangis semula. Itu yang aku ke rumah Paklang terus selepas selesai solat Zohor.
Selesai solat Isyak, Haji Mad memanggil aku dan Paklang. Dia ajak aku dan Paklang untuk ‘mengeteh’ di kedai Limah.
Paklang : Minta maaf banyak-banyak Haji. Aku dan Angah ni ada urusan ni. Nak ke rumah Pak Awang. Lain kali ye aku ikut kamu.
Aku : Maaf ye Haji Mad. Kami nak ke rumah Pak Awang ni. Ada masalah nak kena selesaikan.
Haji Mad : Tak apa. Kamu berdua pergilah selesaikan dulu.
Paklang : Kami pergi dulu ye Haji. Assalamualaikum.
Haji Mad : Waalaikumussalam.
Enjin motor Honda Fame milik Paklang aku hidupkan. Paklang naik membonceng di belakang. Arah tuju perjalanan kami pada malam ini adalah rumah Pak Awang. Rumah Pak Awang ni terletak betul-betul dekat sempadan antara dua kampung. Kedudukan strategik rumahnya membuatkan dia mendapat pendapatan yang tinggi hasil jualan kedai runcitnya yang dibuat di sebelah rumahnya. Orang kampung ni dan kampung sebelah menjadikan kedainya sebagai tumpuan untuk mendapatkan barang-barang runcit.
Perjalanan kami ke rumah Pak Awang mengambil masa 10 minit. Sesampainya di rumah Pak Awang aku lihat jendela rumah Pak Awang dibiarkan terbuka dan pandangan aku tertumpu pada satu susuk tubuh perempuan tua yang menjengah dari dalam. Belum sempat aku buka mulut, Paklang dah menepuk bahu aku dari belakang.
Paklang : Biarkan dulu Ngah. Buat-buat tak nampak dulu.
Aku : Baiklah Paklang.
Enjin motor dimatikan dan salam diberikan.
Aku/Paklang : Assalamualaikum…
Pak Awang : Waalaikumussalam…
Pak Awang menjenguk dari tingkap sambil menjawab salam kami dan kemudian membuka pintu rumah dan menjemput kami naik.
Pak Awang : Jemput naik Lang. Anak saudara kamu pun ikut sekali.
Tangan dihulur dan kami bersalaman antara satu sama lain.
Paklang : Aku yang ajak dia. Mana tau dia boleh bantu. Ni aku nak tanya kamu ni. Kenapa dibiarkan jendela rumah tu terbuka malam-malam macam ni? Tak elok.
Pak Awang : Oh… Tadi aku buka sekejap sebab nak hisap rokok. Lupa pula nak tutup.
Paklang : Lain kali ingat. Haa… mana cucu kamu tu?
Pak Awang : Ada tu kat atas tilam. Baru tidur lepas aku bacakan ayat kursi tadi.
Aku : Paklang…angah nam…
Paklang memotong percakapan aku.
Paklang : Biar dulu Ngah… buat tak tahu dulu. Nanti dia sedar dia lari. Lepas kita balik nanti dia datang balik semula.
Aku : Baik boss.
Paklang : Awang… Mak dengan Ayah budak ni mana?
Pak Awang : Ada kat dapur tengah makan dengan Odah.
Paklang : Oh… Tak apa. Kita tunggu la dulu ye. Biar semua ada kat sini. Sebelum tu kami nak minta izin untuk ambil wudhuk sekejap. Boleh?
Pak Awang : Boleh. Tandas kat dapur sana.
Paklang : Tak apa. Kami guna paip yang kat luar tu je. Tak elok lalu melintas orang tengah makan. Ngah, jom kita ambil wudhuk dulu.
Aku : Baiklah Paklang.
Selesai mengambil wudhuk kami naik semula ke dalam rumah Pak Awang. Tiba-tiba kedengaran cucu Pak Awang menangis. Kuat tangisannya sampai aku yang dengar pun dapat rasa bingitnya bunyi tangisan tu. Aku memandang ke arah bayi tu. Anak dan menantu Pak Awang bergegas mendapatkan anaknya itu. Mereka tidak sedar yang ada sesuatu yang turut serta ada dekat dengan anak mereka.
Wujudnya seperti seorang perempuan tua, berambut putih panjang sampai meleret di lantai rumah. Tangannya kurus dan jarinya panjang-panjang. Diikuti pula kukunya yang panjang dan tajam. Matanya hitam kesemuannya dan kulit mukanya menggerutu. Aku berdehem kuat.
Paklang : Awang, panggil Odah kat dapur tu datang sini. Aku nak selesaikan cepat ni. Kesian budak tu.
Pak Awang ke dapur memanggil isterinya dan kemudian mereka berdua keluar semula ke ruang tamu. Lina anak Pak Awang sibuk mendukung dan memujuk anaknya supaya berhenti menangis sambil berzikir. Razlan menantu Pak Awang pula duduk dilantai dengan penuh kebuntuan.
Paklang : Ngah, ambil budak tu bawak datang sini.
Aku : Baik Paklang.
Aku bangun mendapatkan cucu Pak Awang.
Paklang : Macam ni lah… Awang, Odah, Lina dan Razlan. Paklang ni ada benda sikit nak tanya kamu semua yang ada ni. Sebelum tu nak tahu jugaklah nama anak kamu ni Lina.
Lina : Adam Naufal. Nama anak saya ni Adam Naufal Bin Mohd Razlan.
Paklang : Baiklah. Lagi satu, ada tak sesiapa yang datang melawat dan tengok anak kamu ni.
Lina : Ada… yang datang melawat tu ada la kawan-kawan saya dengan suami. Lepas tu ada la orang kampung yang datang melawat.
Paklang : Dalam ramai yang datang tu ada tak yang pegang dan dukung anak kamu dan bawak dia ke jendela rumah?
Razlan dan Lina berpandangan antara satu sama lain. Begitu juga Pak Awang dan Makcik Odah.
Razlan : Kami tak ingatlah Paklang. Macam ada. Tapi kami tak ingat siapa.
Paklang : Tak apa. Paklang tak nak tahu pun siapa. Cuma nak tahu ada ke tak je. Kiranya ada la ni ye. Ngah… kamu nampak kan?
Aku : Nampak.
Paklang : Boleh buat sendiri atau nak Paklang bantu?
Aku : Angah cuba dulu. Kalau tak boleh Paklang bantu.
Paklang : Baiklah. Mari kita solat sunat hajat dulu. Minta Allah permudahkan semua kerja kita malam ni.
Aku : Baiklah Paklang.
Aku dan Paklang mendirikan solat sunat hajat dua rakaat. Selesai saja solat, Adam Naufal menangis lagi. Kali ini lebih kuat. Aku persiapkan diri untuk sesi rawatan.
Paklang : Razlan… Paklang minta izin tengokkan Adam Naufal sekejap ye.
Razlan : Saya izinkan.
Paklang : Alhamdulillah… Lina… selepas semuanya selesai kamu bagi anak kamu susu ye.
Lina : Baik Paklang.
Paklang : Ngah… Mulakan.
Aku duduk bersila menghadap Adam Naufal. Saat bacaan Al-Fatihah dibacakan, tangisannya reda sedikit. Mata Adam Naufal masih terpejam rapat. Aku kemudian sambung bacaan surah Al-Baqarah ayat 1-5, disambung dengan ayat 163, 255-257 dan 284-286 dari surah yang sama. Adam Naufal dah sepenuhnya berhenti menangis. Aku pandang ke arah Paklang. Paklang cuma mengangguk sebagai tanda untuk teruskan.
Kelibat perempuan tua yang aku lihat tadi mula berjalan datang menghampiri aku dan dia berbaring di sebelah Adam Naufal. Aku mengambil kain putih dan aku tutupkan mata Adam Naufal.
Aku : Wahai makhluk Allah… Aku tahu mana asal kau dan siapa tuan asal kau. Anak ini bukan tumpangan yang kau boleh ganggu sesuka hati. Sebelum kau aku siksa. Lebih baik jika kau sendiri yang pergi dari sini.
Kelibat perempuan tua yang tadinya berbaring di sebelah Adam Naufal sudah hilang dari pandangan mata aku. Makcik Odah yang dari tadi duduk bertimpuh tiba-tiba terbaring ke belakang dan kemudiannya bangun semula dengan satu senyuman sinis.
Odah : Hik… Hik… Hik… Hik…
Paklang : Ngah…
Aku : Angah tau Paklang. Angah nk pagar anak ni dulu.
Makcik Odah bingkas bangun dan berjalan mundar-mandir berhampiran dengan Adam Naufal. Lagaknya seperti nenek tua yang berjalan bongkok. Sesekali dia ketawa kecil.
“Hik…Hikhik…”
Makcik Odah kemudiannya berhenti berjalan. Dipalingkan kepalanya tepat ke arah Lina. Lina yang tadinya duduk di sebelah Razlan, mengesot perlahan ke belakang. Makcik Odah berjalan laju ke arah Lina. Paklang yang menyedari tujuan Makcik Odah, bingkas bangun dan melibas kain putih di belakang badan Makcik Odah. Makcik Odah terjelupuk jatuh. Pak Awang bangun mendapatkan isterinya.
Paklang : Biarkan dia Awang. Buat masa ni isteri kamu hanya jasad je. Minda dan segala pergerakan dia dikawal oleh benda yang dok ganggu cucu kamu tu. Kamu sabar dulu skejap ye.
Pak Awang : Ba…baiklah Lang.
Makcik Odah yang tadinya jatuh tersembam cuba untuk bangun. Belum sempat dia bangun aku dah letakkan kain putih di atas belakang badannya. Kain putih yang aku gunakan itu aku telahpun sapukan minyak Kasturi dan dah dibacakan dengan ayat-ayat ruqyah. Aku kemudiannya mengangkat Adam Naufal dan memberikannya pada Lina.
Aku : Bagi dia minum susu.
Lina : Baik.
Aku berjalan ke Makcik Odah yang terlentang di atas lantai rumah.
Aku : Ha… bangunlah… bangun.
Makcik Odah : Huuuuuhhhh… uhhhhhhh…
Aku : Kenapa? Berat? Tak boleh bangun? Tadi laju sangat nak ke mana?
Makcik Odah : AKU NAK PERGI KAT TUAN AKU!!!
Aku : Kau mana ada tuan dah. Tuan kau dah tak nak kat kau dah. Dia dah buang kau dah.
Makcik Odah : DIA BAGI AKU MAKAN. DIA TUAN AKU!!!
Paklang : Dia bukan bagi kau makan. Dia bagi anak dia makan dari susu badannya. Tapi kau yang sibuk nak mengacau.
Makcik Odah : DIA TETAP TUAN AKU!!!
Paklang : Dia bukan tuan kamu. Ni aku nak tanya kamu ni. Kamu ni muslim?
Makcik Odah menggelengkan kepala.
Paklang : Jadi, apa agama kamu?
Makcik Odah : MAJUSI!!!MAJUSI!!!
Paklang : Kamu nak aku islamkan kamu?
Makcik Odah menggelengkan kepala.
Makcik Odah : LEPASKAN AKU!!!
Paklang : Memandangkan kamu tak nak aku islamkan kamu, sebaiknya kamu pergilah dari sini. Bukan tempat kamu di sini. Nak keluar?
Makcik Odah : AKU NAK TUAN AKU!!!!
Lina menangis ketakutan. Menggigil badannya. Tapi dia tetap meneruskan susuannya pada Adam Naufal.
Paklang : Jangan takut Lina. Dia tak mampu apa-apakan kamu.
Paklang : Ngah… Degil ni. Kita paksa.
Aku : Baik Paklang.
Ayat 126 Surah An-Nahl aku bacakan. Selesai bacaan aku angkat kain putih yang aku letakkan di atas badan Makcik Odah tadi. Belum sempat dia nak bangun aku libaskan kain putih tadi ke badannya. Tersungkur kembali Makcik Odah.
Aku tarik kain putih aku semula. Pantas Makcik Odah bangun. Mukanya menjadi kemerahan kerana marah. Matanya terpejam. Hanya dengusan marah kedengaran.
Aku kemudian membaca ayat 130 surah Ash Shu’ara dan lantas libasan kain putih aku hinggap di badan Makcik Odah. Terjelupuk dia jatuh lagi. Aku sambung lagi ayat 50 dari surah Al-Anfal. Aku hayunkan sekali lagi kain putih aku. Jeritan yang garau memenuhi ruang rumah.
Paklang : Cukup dulu Ngah. Bagi Paklang tanya dia dulu.
Aku : Baik Paklang.
Paklang menghampiri Makcik Odah.
Paklang : Ha… macam mana? Nak keluar ke tak nak? Ke kamu nak aku keluarkan kamu cara paksa.
Makcik Odah diam tanpa sebarang jawapan. Hanya kedengaran dengusan keletihan menahan sakit.
Paklang : Ngah, degil lagi ni. Kena buang je ni. Paklang ambil alih ye.
Aku : Baik Paklang. Angah pun dah letih ni. Nak panggil “dia” datang ke?
Paklang : Tak apa. Kamu dah letih tu. Paklang boleh selesaikan ni. Insyaa Allah.
Paklang memulakan bacaan dengan bacaan Al-Fatihah. Makcik Odah sudah terbaring lemah.
Paklang : Aku minta izin ye ni Awang.
Pak Awang : Aku izinkan.
Paklang meletakkan tapak tangannya di tapak kaki Makcik Odah. Namun tangan Paklang tidak bersentuhan sama sekali dengan kulit Makcik Odah. Surah Al-Mu’minuun ayat 115-117 dibaca oleh Paklang. Paklang mengerakkan tangannya ke bahagian pinggang. Makcik Odah menjerit melawan tolakkan dari Paklang. Paklang menggerakkan lagi tangganya sampai ke bahagian leher sambil membaca:
Paklang : Hasbunallah wani’mal wakiyl, nikmal maula wani’mannasir - Cukuplah Allah bagi kami dan dia sebaik-baik pemimpin, sebaik-baik pelindung, sebaik penolong.
Paklang : Bismillahilladzi la yadhurru ma’asmihi syai’un fil ardhi walaa fissama’i wahuwassami’ul ‘alim - Dengan nama Allah Yang karena bersama nama-Nya tidak ada sesuatu apapun dilangit atau di bumi mampu mendatangkan bahaya, dan Dialah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Paklang : Na’uwdzu bikalimaatillahit tammaati min syarrimaa kholaq. - Kami berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang Dia ciptakan.
Selesai bacaan, Paklang menolak tangannya terus melepasi kepala Makcik Odah bersama dengan laungan kalimah Allahuakbar. Makcik Odah pengsan. Paklang mengarahkan Pak Awang untuk mengangkat dan menyedarkan isterinya.
Paklang : Awang, ambilkan aku segelas air.
Pak Awang bergegas ke dapur dan keluar semula dengan segelas air. Paklang mengambil air dan membacakan al-fatihah tujuh kali lalu diberikan kepada Pak Awang.
Paklang : Bagi Odah minum sikit. Baca selawat dulu. Selebihnya kamu basahkan tapak tangan kamu dengan air tu dan kamu sapukan ke muka Odah. InsyaaAllah tak ada apa-apa dah.
Pak Awang mengikut dan membuat segala yang disuruh oleh Paklang. Paklang bangun dan ke arah Lina dan Razlan. Kepala Adam Naufal diusap dan ditiupkan bacaan ke ubun-ubun rambut Adam Naufal.
Paklang : Ngah, Awang datang sini. Biarkan Odah tu rehat dulu.
Aku bergerak ke tepi Paklang.
Paklang : Lina, Razlan… dengar ni Paklang nak pesan. Anak ni anugerah yang Allah bagi pada kita ni kena lah kita jaga dia elok-elok. Kita kenal semua orang yang rapat dengan kita tapi kita tetap tak tau apa yang ada dalam hati dia. Paklang dah selesaikan semuanya. Insyaa Allah tak ada apa dah lepas ni.
Razlan : Tapi apa yang jadi pada anak saya ni Paklang. Apa kaitan dengan yang Paklang tanya awal tadi?
Paklang : Macam ni lah… ada seseorang yang nak melepaskan sesuatu. Paklang rasa kamu dah tak ingat dah siapa orang tu. Dia dukung anak kamu bawa ke jendela rumah kamu. Lepastu dia panggil apa yang dia ada tu masuk ganggu anak kamu. Tujuan dia nak lepaskan belaan dia kepada isteri kamu. Bila isteri kamu menyusukan anak kamu. Kadang dia datang ikut menyusu sekali. Secara tak langsung isteri kamu dah beri dia makan dan dah jadi tuan makhluk tu. Sebab tu la anak kamu kerap sangat menangis. Sama ada dia lapar ataupun dia diganggu dengan makhluk tu. Jadi jangan bagi orang yang kita tak kenal pegang dan dukung anak kita sembarangan. Kalau ada yang pegang kaki anak kita tu waspadalah. Tak salah ada syak wasangka demi keselamatan anak.
Razlan/Lina : Kami faham Paklang. Kami akan lebih berhati hati lepas ni.
Paklang : Lagi satu. Tutuplah semua tingkap, jendela dan pintu rumah ni bila masuk waktu senja. Tak elok dibiarkan terbuka. Mudah makhluk halus ni masuk. Tambah lagi ada anak kecil dalam rumah ni. Jadi ada tarikan kat situ.
Paklang : Awang, nanti kamu tengokkan Odah. Kalau ada apa yang pelik jadi bagitau aku. Tapi aku rasa dah tak ada apa dah. Benda tu aku dah buang keluar dari rumah ni.
Pak Awang : Baik Lang.
: Lina… buatkan air untuk tetamu kita ni.
Lina : Iye Abah.
Sedang Aku, Paklang, Pak Awang dan Razlan duduk bersembang kosong sambil minum teh o panas. Kedengaran bunyi ekzos bocor motor Honda Cub lampu bulat milik Haji Mad datang. Pandai betul ‘timing’ Haji Mad ni. Langkah kanan. Datang waktu orang menjamu makan.
Haji Mad : Assalamualaikum… Assalamualaikum…
Pak Awang : Waalaikumussalam… Hah… Haji Mad. Naik lah. Macam kalut sangat je ni. Ada apa?
Haji Mad : Paklang ada?
Pak Awang : Ada. Jemput naik dulu.
Terkocoh-kocoh Haji Mad melangkah menaiki anak tangga rumah Pak Awang. Dua anak tangga hanya sekali langkah sahaja.
Haji Mad : Assalamualaikum
Aku/Paklang : Waalaikumussalam.
Paklang : Ada apa ni Haji? Macam baru lepas lari je ni. Naik motor kan tadi?
Aku tersenyum dengar apa yang keluar dari mulut Paklang. Kelakar jugak Paklang aku rupanya.
Haji Mad : Ni… tadi masa aku kat kedai Limah. Si Fizul tu datang dengan muka pucat putih. Kalau aku ambik pisau toreh kat muka dia, aku rasa la tak ada darah keluar.
Aku : Dah kenapa dengan dia tu Haji Mad?
Haji Mad : Tak tau la aku Ngah… aku dengar dia sebut pocong je berulang kali. Lepas tu dia lari. Balik rumah agaknya.
Paklang : Ish… mana datang pulak pocong ni.
Haji Mad : Itu la yang aku tengah fikir ni.
Haji Mad mencapai cawan yang dah berisi teh o panas. Lantas dihirupnya air itu.
Paklang : Macam ni lah… kita ke rumah Halim sekarang. Mesti Fizul tu ada kat rumah. Ngah, kamu ikut ya.
Aku : Baik boss
-BERSAMBUNG-
===============
Gambar: Nadey
Karya asal merupakan hak milik penulis, manakala karya siap sunting adalah milik bersama pihak Arkib Angker Negara. Unsur plagiat dilarang sama sekali.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment