Saturday, 3 February 2018

TUJUH PINTU - Ahmad Rusydi


TUJUH PINTU
karya Ahmad Rusydi

=========================

Pernah tak, tengah kau duduk depan TV dekat rumah yang kau dah diami selama lebih dari tiga tahun, tiba-tiba dari ekor mata kau, kau terpandang sebuah pintu. Pintu yang selama tiga tahun, kau tak pernah pun perasan. Mustahil selama tiga tahun kau duduk dalam rumah yang sama, rumah teres setingkat dengan empat bilik tidur dan dua bilik air, kau tak perasan pun sebenarnya ada pintu ketujuh nun di sudut ruang rumah kau sendiri.

Pintu yang tak pernah terbuka.

Kenapa setiap kali kau bercerita tentang rumah kau, kau cuma sebut empat bilik tidur dan dua bilik air? Orang-orang yang datang ke rumah kau pun tak pernah sebut tentang pintu ketujuh tu.

Kenapa?

Sampailah satu hari, mata hati kau terbuka untuk betul-betul melihat pintu itu. Betul-betul terus ke arah pintu itu dan bukan hanya dari ekor mata kau. Kau pun call isteri kau yang masih berada di tempat kerja.

"Hello. Ika. Buat apa?"
"Dekat tempat kerja lagi. Ada sikit jer lagi kerja. Kenapa bang?"
"Ika, rumah kita ada berapa bilik?"
"Empatlah. Bilik air dua. Kenapa? Abang dekat mana?"
"Dekat rumah."
"Awal abang balik kerja. Bestnya! Anak-anak dah balik?"
"Belum. Dalam van lagi kot. Hmm. Tak apalah. Nak tanya tu jer."
"Abang ni kenapa? Dah dekat rumah, lepas tu tanya rumah kita ada berapa bilik. Macam baru pindah tadi pulak."
"Abang dengar bunyi van dekat luar tu. Anak-anak dah balik kot. Okaylah Ika. Bye."
"Oh, okay. Bye"

Lepas sahaja letak telefon, kau pun terus buat benda-benda lain. Buka pintu untuk anak-anak yang baru sampai rumah dari sekolah. Keluar buang sampah. Buka pagar untuk isteri kau. Dengar isteri kau berceloteh tentang kerja dia. Kau pula bercerita tentang kerja kau. Sampailah si isteri buka balik topik tentang panggilan telefon yang kau buat masa dia di tempat kerja tadi.

"Kenapa abang call Ika tadi sebenarnya?"
"Entah. Saja jer call."
"Hmm. Kita borak tentang apa tadi bang? Lupa dah."
"Eh. Entah. Abang pun lupa. Tak ada apa-apa pun rasanya."
"Yelah. Hmm... Penatnya rasa otak ni bang."

Isteri kau pun sambung bercerita tentang hari dia.
Isteri kau pun lupa tentang topik pintu tu. Padahal isteri kau, tarikh harijadi kawan-kawan anak kau pun dia ingat. Apa yang dia masak masa hujung minggu dua bulan lepas pun dia ingat. Soalan tentang pintu tu baru sahaja beberapa jam tadi kau ajukan pada dia. Dia langsung tak ingat.


Persoalannya adalah; kenapa?

Kenapa tak ada sesiapa yang berminat tentang pintu tu? Tapi biarlah. Tak penting pun. Apalah bezanya rumah kau ada enam pintu atau tujuh pintu. Kan? Tapi tak. Sebab pintu tu penting buat aku.

Persoalannya lagi; Siapa aku?

Aku adalah seorang yang tahu tentang pintu tu. Aku bukan seorang yang tahu tentang kronologi sejarah penciptaan pintu. Bukan juga seorang arkitek atau jurutera yang pandai merekabentuk atau merealisasikan rekabentuk sesebuah pintu.

Aku cuma tahu tentang pintu itu. Pintu ketujuh rumah kau tu.

Beberapa minggu selepas tu masa kau sampai rumah dari tempat kerja, kau tengok kereta Ika belum ada lagi dalam pagar. Kau pun buka pagar dan letak kereta kau bawah porch rumah. Anak-anak pun belum balik lagi ni. Budak-budak sekolah zaman sekarang, mak ayah pula balik kerja dulu. Kelas tambahanlah. Kokurikulumlah. Jam baru menunjukkan pukul enam petang. Kau pun masuk ke dalam rumah. Dalam perjalanan nak ke bilik tidur, kau terpandang sesuatu dari ekor mata kau. Pintu tu! Pintu tu terletak betul-betul di antara hujung sudut belah kanan ruang TV kau, dengan ruang dapur. Kiranya mustahillah sepanjang kau ulang-alik dari ruang TV ke dapur entah buat ke berapa ribu kali dalam masa tiga tahun, kau tak perasan pintu tu. Kau pun teringat yang minggu lepas kau ada call Ika bertanyakan tentang pintu tu. Jantung kau berdegup kencang, sampai hujung jari-jemari kau pun rasa berdenyut ikut rentak jantung kau. Suasana luar biasa sunyinya.

"Macam mana aku boleh lupa?" Kau soal diri kau sendiri.

Perlahan-lahan kau menoleh ke arah pintu tu. Tanpa berkedip. Hampir-hampir saja seminit kau berdiri tercegat di tengah laluan antara ruang TV ke dapur tu. Kenapa kau lupa tentang panggilan telefon kepada isteri kau minggu lepas? Paling penting, kenapa kau lupa terus yang kau pernah nampak pintu tu sebelum ni?

Pintu tu rupabentuknya sama dengan pintu-pintu lain dalam rumah kau. Tinggi lebih kurang tujuh kaki. Warna kuning cair. Malah kalau kau perhatikan betul-betul, pintu tu betul-betul sama dengan pintu bilik anak-anak kau. Maksud aku, betul-betul sama. Lekuk dekat tombol pintu tu. Rekahan cat pada hujung kanan belah atas pintu tu. Semuanya sama. Terlalu sama. Kenapa?

Kaki kau masih kaku tidak berganjak dari tempat kau berdiri tadi. Perlahan-lahan kau angkat kaki nak melangkah ke arah pintu tu sambil otak kau berfikir laju dengan berpuluh-puluh soalan tentang pintu tu. Tiba-tiba telefon bimbit kau berdering. Hampir-hampir saja jantung kau gugur. Terkejut. Kau menggagau-gagau poket mencari telefon sambil mata kau tak beralih dari pintu tu.

"Hel... hello."
"Hello bang. Jangan buka."
"Bu... buka?"
"Ya, jangan buka."
"Pintu ni ke? Ta... tapi... tapi kenapa? Ika pun tahu tentang pintu ni? Kenapa jangan buka pintu ni?"
"Pintu? Pintu apa?"
"Pintu? Pintu apa Ika? Lambat lagi Ika balik?" Tanya kau sambil melihat jam tangan. Jam menunjukkan pukul tujuh malam.
"Taklah. Nak balik dah ni. Jumpa kat rumahlah."
"Okay. Bye!"

Kau pun terus berjalan masuk bilik, caj telefon dan mandi. Fikiran kau kosong dan runsing dalam masa yang sama. Macam kau lupa sesuatu yang penting! Kau tertanya-tanya, kenapa kau rasa berdebar-debar ni? Mungkin mainan minda.

Lepas buka pintu untuk anak-anak dan kemudian untuk Ika, kau pun baring dalam bilik. Jantung kau masih berdegup kencang. Rasa tak sedap hati betul. Lepas mandi, Ika duduk sebelah kau di atas katil sambil melunjurkan kaki. Lenguh mungkin. Ika senyap. Kau pun senyap. Tiba-tiba Ika bersuara;

"Bang. Anak kita berapa orang?"
"Eh, Ika ni. Kenapa?"
"Berapa orang?"
Kau terdiam. Kau rasa kau tahu jawapan kepada soalan tu seolah-olah semacam kau tahu nama kau sendiri.
"Tiga. Kan?"
"Bang. Kenapa kita lupa anak kita sendiri ada berapa orang?"
"Apa Ika ni. Tigalah! Firdaus, Anna dan..."
"Firdaus, Anna... dan siapa?"
"Astaghfirullah! Apa ni? Takkan kita lupa nama anak kita sendiri?!"
"Macam mana kalau kita bukannya lupa? Macam mana kalau kita memang tak ada anak nombor tiga?"
"Mustahil Ika! Memang anak kita tiga orang! Kenapa Ika tiba-tiba tanya macam ni?"

"Hmm. Entahlah. Tadi lepas Ika panaskan lauk dekat dapur, Ika duduk tengok TV. Tiba-tiba Ika terpandang satu pintu dekat sudut ruang antara TV dengan dapur. Ika tak pernah perasan pun tentang pintu tu. Ika ingat Ika mimpi. Ika pun bangun, buka pintu tu."

Dahi kau berpeluh-peluh. Tiba-tiba semua memori kau tentang pintu tu datang semula dalam minda kau. Memori saat pertama kau pindah ke rumah tu. Dengan isteri dan dua orang anak kau. Saat-saat kau ternampak pintu tu entah ke berapa ribu kali. Saat-saat kau nak buka pintu tu tapi akan ada perkara lain yang berlaku untuk halang kau dari buka. Panggilan telefon atau bunyi posmen tekan loceng rumah. Tapi dalam memori kau, tak pernah sekali pun kau buka pintu tu. Fokus kau kembali kepada Ika yang macam tengah menanti kau bertanya apa yang ada di sebalik pintu tu.

"Apa yang ada dalam bilik tu?"
"Bilik? Bilik apa?"
"Bilik... kita tengah borak tentang apa Ika?"
"Eh... entahlah bang. Ika pun dah lupa. Haha."

Dengar Ika gelak, kau pun gelak. Jantung kau dah tak berdegup sekencang tadi. Kau rasa tenang. Sangat tenang. Kau rasa lupa. Kau rasa sangat bahagia dengan hidup kau. Kau ada isteri yang kau sayang. Kau ada dua orang anak, Firdaus dan Anna, yang menjadi keutamaan hidup kau. Kau ada rumah yang selesa untuk anak-anak kau membesar dalamnya. Dan kau ada aku.

Semuanya baik-baik sahaja. Kan?

---

Petang tu kau minta pada bos supaya dia benarkan kau balik awal. Alasannya, dah janji dengan anak-anak nak bawa mereka ke SPCA Ampang. Nak ambil kucing dari pusat perlindungan haiwan tu. Anak-anak nak sangat bela kucing. Nasib baik bos kau seorang yang utamakan keluarga juga, jadi dia faham dan sokong tindakan kau.

"Bagus juga tu. Kadang-kadang kucing ni penyeri rumah juga. Pergilah. Kirim salam pada isteri dan anak-anak ya."

"Okay bos. Terima kasih"

Jam lima petang, kau sampai depan sekolah anak-anak. Mereka pun masuk dalam kereta. Kecoh di dalam kereta mereka bercerita tentang apa yang mereka belajar harini. Berebut-rebut. Anna cerita tentang cikgu Kamsiah yang dah mula masuk bab darab dan bahagi harini. Si Firdaus pula bercerita tentang teknik menyepak bola dengan betul yang cikgu Khuzairi tunjukkan masa kelas pendidikan jasmani tadi. Kau tersenyum sahaja mendengar cerita mereka.

Jam enam petang kau sampai depan pejabat Ika, isteri kau. Nampak sahaja kereta kau, Ika tersenyum lalu masuk ke dalam kereta.

"Bestnya kalau hari-hari abang ambil hantar Ika balik kerja. Boleh tak kalau hari-hari macam ni bang?"

"Boleh. Abang kena berhenti kerjalah. Jadi driver Ika. Tak ada hal." Kau berseloroh.

Jam enam setengah petang, kau sampai di hadapan pintu pagar SPCA Ampang. Mr. Maran dah tunggu depan pejabatnya yang pintunya macam dah berkunci. Temujanji kau dengan Mr. Maran jam enam petang sebenarnya.

"Sorry Mr. Maran saya lambat. Office dah tutup ke?"

"Sudah tutup. Tapi tak apa. Paperwork saya dah buat. Bos ambil saja itu kucing. Saya sudah asing sana." Kata Mr. Maran sambil tangannya dihalakan ke arah sebuah sangkar kecil yang diletakkan di sebelah bangunan yang nampak macam setor.

Selesai ambil sangkar dengan seekor kucing berwarna kelabu di dalamnya, kau pun masuk ke dalam kereta.

"Wah, comelnya ayah! Apa nama dia?" Tanya Anna.
"Eh. Kucing korang. Korang bagilah nama." Kata Ika.

Jam tujuh setengah malam, kau buka pagar dan letakkan kereta di bawah porch. Firdaus bawa sangkar Getih ke dalam rumah. Getih menggeliat dengan ekornya sedikit terangkat. Nampak selesa.

"Keluarkanlah Getih dari sangkar tu Daus. Kesian dia sempit." Ujar Ika.

Anna kelihatan penat sangat tetapi masih tetap asyik bermain dengan Getih yang dari tadi asyik mencakar manja kaki sofa kesayangan Ika.

Kau tersenyum. Rasa bahagia. Mungkin dengan adanya Getih dalam rumah ni, tak adalah kau rasa sunyi bila balik seorang-seorang. Bukannya apa. Semenjak dua menjak ni jantung kau asyik berdebar-debar bila berada di rumah. Macam ada sesuatu benda penting yang kau lupa. Tapi kau tak ingat apa.

"Mungkin aku kena jumpa doktor. Buat check-up. Asyik berdebar jer dada ni." Fikir kau sendirian masa tengah baring atas katil bilik tidur.

Fikiran kau melayang.

Kau tak perasan pun bila Ika duduk sebelah kau. Muka Ika lain macam. Pucat. Bila kau tanya kenapa, dia kata tak ada apa-apa. Ika tercungap-cungap.

Kau rasa macam kau baru jer lepas bertengkar tentang sesuatu dengan Ika. Tapi kau tak ingat apa yang kau dan Ika kelahikan.

"Kita borak apa tadi Ika?"
"Entahlah bang. Ika pun tak ingat. Eh, Ika nak caj telefon tadi. Lupa. Bateri dah kosong betul."
"Eh tu kan telefon Ika tengah caj tu". Jawab kau sambil menuding ke arah meja solek.
Ika bangun perlahan-lahan pergi ambil telefon dia. Muka Ika berkerut.
"Eh, bang. Dah 54%? Bila masa Ika caj ni?"
"Ika lupa kot". Kata aku sambil menoleh jam di dinding.

"Eh, Ika. Dah pukul 10 malam? Ish. Abang rasa baru jer beberapa minit abang baring tadi. Pukul lapan tadi."

"Abang ni. Ika masuk bilik tadi dah pukul sembilan lebih. Abang tengah baring."

"Sembilan lebih? Ika, abang masuk baring tadi pukul lapan malam. Ika duduk sebelah abang baru seminit dua rasanya."

"Apa abang mengarut ni? Ika penatlah. Tekak rasa perit. Macam baru lepas menjerit pula rasanya."
"Kurang air kot. Nanti abang ambilkan air. Ika baringlah."
Kau buka pintu bilik dan kau terlihat Firdaus dan Anna berdiri rapat-rapat di sudut ruang TV. Berpegangan tangan. Muka kedua-duanya pucat. Seakan-akan takut.
"Daus. Anna. Kenapa ni?"

"Mak dan ayah bergaduh ke? Kenapa mak dan ayah jerit-jerit?" Tanya Firdaus takut-takut.
Hati kau rasa tak sedap. Bila masa pula kau dan Ika bergaduh menjerit-jerit?
"Mak dan ayah jerit apa?" Tanya kau dalam nada buat-buat tenang.

"Mak asyik jerit; "Kita mana ada anak nombor tiga!" Ayah pula asyik jerit; "Astaghfirullah, astaghfirullah." Jawab Anna.
Mana ada anak nombor tiga? Apa yang budak-budak ni cakapkan? Memang anak kau tiga orang.
"Mana adik?" Tanya kau.

"Adik? Dekat mana lagi ayah. Dalam bilik tu lah. Dia asyik ajak Daus dan Anna masuk. Tapi taknaklah. Gelap." Jawab Firdaus sambil jarinya menuding ke arah pintu di hujung sudut rumah kau.

Pintu yang kau tak pernah perasan kewujudannya dalam rumah kau sendiri.

Tiba-tiba bulu roma kau meremang! Sebaik sahaja kau melihat pintu tu, ingatan kau tentang pergaduhan kau dengan Ika di dalam bilik tadi datang semula. Berdesup-desup ingatan kau masuk ke kepala macam angin kuat yang masuk melalui celahan tingkap yang kecil.

Kau ingat semuanya! Kau ingat yang Ika tiba-tiba datang duduk di sebelah kau dan bertanyakan soalan yang kau rasa dah banyak kali kau dengar, tetapi lupa; "Bang, anak kita berapa orang?" Kemudian kau dan Ika bertengkar macam orang gila. Kemudian kau teringat yang Ika ada sebut tentang pintu tu!

"Daus. Anna. Pergi panggil mak!" Jerit kau pada anak-anak kau tanpa mengalihkan pandangan kau dari arah pintu tu. Kau tahu satu benda. Kau tak boleh alihkan pandangan kau dari pintu tu. Atau kau akan lupa tentangnya.

Semua memori tentang berkali-kali kau nampak pintu tu dan bagaimana berkali-kali kau cuba membukanya, datang semula ke dalam kepala kau. Terlalu banyak sampai kepala kau rasa pening dengan memori-memori baru yang sebenarnya tersimpan lama di dalam sudut otak kau yang terlindung oleh sesuatu.

Ika berjalan laju-laju datang ke arah kau sambil Firdaus dan Anna mengekori Ika.
"Kenapa ni bang!?"
Kau tak mampu berkata apa-apa. Perlahan-lahan kau angkat tangan kau dengan jari menuding ke arah pintu tu.
"Ika. Ika pun nampak kan pintu tu?" Tanya kau perlahan tanpa memaling ke arah Ika.
Ika berpaling ke arah pintu tu. Dia terdiam. Matanya kosong memandang pintu ketujuh tu.
"Ika, apa ada dalam tu? Jangan alih pandangan! Pandang pintu tu! Ika pernah buka kan? Ada apa dalam tu?"

Ika terjelepok jatuh.
Firdaus dan Anna senyap tanpa sepatah kata.

"Apa dalam tu Ika!? Apa dalam tu!?"
Ika meraung seakan-akan sudah gila, tetapi matanya masih tetap memandang pintu tu. Sejenak kemudian, Ika berkata sesuatu tetapi suaranya terlalu perlahan.

"Apa Ika?"
"Ada anak nombor tiga! Dalam tu ada Adik! Anak kita nombor tiga!"
"Adik? Daus, Anna, siapa nama adik?" Tanya kau kepada Firdaus dan Anna. Mata kau masih tajam memandang pintu tu.

"Adiklah! Adik mana ada nama!" Jerit Anna lagi.
Kau rasa macam kau dah faham sesuatu.
"Macam mana rupa adik?" Tanya kau lagi kepada Anna. Ika sedang teresak-esak di sebelah kaki kau sambil matanya juga memandang pintu tu.

"Macam rupa adiklah! Adik merajuk. Dia tak suka Getih ada dalam rumah ni. Tapi Anna suka!"
Getih? Kucing tu!
"Daus, mana Getih?" Tanya kau kepada Firdaus.
"Dalam bilik adik. Daus nampak adik bawa masuk bilik dia tadi." Jawab Firdaus.

Ika yang tengah teresak-esak tadi tiba-tiba terdiam.

Tombol pintu tu tiba-tiba dipulas dari dalam. Berkeriut perlahan bunyi pintu tu terbuka. Kepala kau seakan-akan berpusing-pusing di tempatnya, namun mata kau masih tetap pada pintu tu. Lutut kau terasa lemah seakan-akan kepala lutut kau diperbuat daripada agar-agar.

Pintu tu dibuka dari dalam hanya selebar lima atau enam inci. Kau masih tak dapat lihat apa atau siapa yang ada dalam bilik tu. Samada pintu tu dibuka terlalu kecil atau mungkin bilik tu terlalu gelap. Kau tak pasti.

Dari celahan bukaan pintu tu perlahan-lahan keluar sebelah tangan seakan-akan tangan seorang kanak-kanak yang berwarna biru kehitam-hitaman. Tangan itu menjinjing sebentuk bangkai berbulu berwarna kelabu dengan darah segar masih menitik-nitik dari lehernya yang terkulai.

BAM!

Pintu tu berdentum tertutup semula. Bangkai Getih masih tergeletak di hadapan pintu tu.

Tanpa sempat kau menarik tangannya, Firdaus berjalan ke arah pintu tu untuk mengangkat bangkai Getih. Sambil memegang bangkai kucing itu, Firdaus berjalan perlahan ke arah ruang TV sambil teresak-esak sedih. Kau pun mengalihkan pandangan kau dari pintu tu lalu menoleh ke arah Firdaus. Ika dan Anna pun sama.

Pandangan mata kau menjadi gelap sebaik sahaja kau alihkan pandangan kau dari pintu tu. Sesaat kemudian penglihatan kau kembali seperti biasa.

"Eh, astaghfirullah Daus! Kenapa dengan Getih tu? Tadi okay jer! Daus jumpa dia dekat mana?" Tanya kau.

Ika tergamam melihat bangkai Getih.

Fikiran kau seakan-akan kosong. Seakan-akan kau terlupa banyak perkara sekaligus. Sekarang tumpuan kau hanya pada bangkai kucing itu.

Malam tu juga kau korek tanah belakang rumah untuk menanam bangkai Getih. Ika dan anak-anak memandang kau dari muka pintu dapur. Firdaus dan Anna masih teresak-esak. Sambil mengkambus semula tanah yang kau korek tadi, di dalam kepala kau masih tertanya-tanya; macam mana kucing ni boleh mati tiba-tiba?

Kau tak ingat apa-apa. Yang kau ingat, bangkai tu dah berada dalam tangan Firdaus. Di ruang TV.

Selesai menanam bangkai Getih, kau pun masuk ke dalam rumah.

Tiba-tiba terlintas dalam benak kau; Getih? Nama apa tu? Tak sesuai pun nama tu untuk kucing. Tapi macam pernah dengar perkataan tu. Masa di kampung dulu, masa kau duduk dengan atuk dan nenek rasanya pernah kau dengar mereka sebut perkataan tu.

Tiba-tiba kau teringat!
Kau pun tanya pada Ika; "Ika, siapa letak nama Getih tu?"
"Budak-budak ni lah bang. Kenapa?"
"Ika tahu tak apa maksud getih tu?"
"Tak. Apa?"

"Getih tu maksudnya darah! Bahasa jawa! Atuk nenek abang kan orang jawa. Abang pernah dengar diorang sebut dulu masa abang duduk dengan diorang."
"Ish abang ni. Takkan lah budak-budak tu nak letak nama pelik macam tu pada kucing."
"Ika, mana anak-anak?"
"Eh, entah. Tadi diorang duk teresak-esak sebelah Ika, lepas tu Anna kata adik panggil nak main dalam bilik..."
"Bilik? Bilik mana?"

Sekali lagi kau tersedar yang minda kau dan Ika dah dipermainkan. Kau dan Ika saling berpandangan. Dari ekor mata kau terlihat susuk tubuh lelaki pendek berwarna hitam berdiri di sisi pintu dapur.
"Allahuakhbar! Siapa kau!?" Jerkah kau kepada aku.
"Dia! Dialah yang Ika nampak dengan Adik dalam bilik tu!" Jerit Ika seakan-akan histeria

Walaupun dari jarak beberapa kaki dari kau, suara aku terdengar seperti betul-betul di sebelah telinga kau.

"Aku dah dapat anak-anak kau. Selama tiga tahun aku cuba tarik anak-anak kau masuk bilik aku. Tapi Firdaus dan Anna tak pernah mahu. Cuma si anak ketiga sahaja yang aku dapat masa mula-mula kau pindah ke sini. Masa anak ketiga kau masih berusia lima hari. Masih belum ada nama. Sekarang umurnya dah tiga tahun. Masih ada denganku. Malam ni, disebabkan kesedihan yang melampau, aku dapat umpan mereka berdua pula masuk ke dalam bilik aku. Kau teruskanlah dengan kehidupan kau. Anggaplah sahaja kau masih ada tiga orang anak yang hidup seperti biasa dengan kau. Lupakan aku. Lupakan pintu tu. Dah tak ada apa lagi yang aku mahu dari kau dan isteri kau. Semoga bahagia."

Tiba-tiba mata kau jadi gelap. Sesaat kemudian, kau terpandang Ika semula. Mukanya tenang.
"Abang, Ika laparlah. Jom kita bawa budak-budak pergi makan."
"Boleh juga. Daus! Anna! Jom pergi makan."
"Yay! Pergi makan luar!" sorak Anna.
"Kita nak pergi makan kat mana ayah?" Tanya Firdaus.
"Meh adik. Mak dukung adik." Kata Ika sambil mengangkat si adik.
Mereka pun berjalan keluar melintasi pintu ketujuh rumah tu.
Keluarga rumah itu hidup bahagia buat selama-lamanya.
Semuanya baik-baik sahaja. Kan?



-Tamat-
=========================
TUJUH PINTU
©Ahmad Rusydi

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com

No comments: