Tuesday, 20 February 2018

TIDUR & GOOGLE STREET VIEW - Nil Kuhaku


TIDUR
Masa kecil dahulu, aku memang payah nak tidur seorang diri. Maklumlah, aku anak bongsu.

Aku memang selalu berkepit dengan mak. Sampailah umur aku sebelas tahun, aku dipaksa mak dan abah tidur di bilik sendiri.

Mula-mulanya memang tak berjaya. Aku lansung tak tidur. Pagi esoknya aku pening-pening, muntah. Aku tak ke sekolah pagi itu.

Malam selepas tu, mak tunggu di depan pintu. Mak tegas terutama bab pelajaran. Tiap kali aku buka mata, mak berkata garang;

"Tutup mata! Tidur!"

Lama mak berdiri di hadapan pintu. Cara itu berkesan. Lama kelamaan, aku mampu tidur seorang diri.

Lain pula malam ini.

"Buka mata nak. Bangun." Suara gemersik mak menyapa telinga aku. Aku menutup mata serapat mungkin. Air mata aku berlinangan.

"Nak. Bukalah mata."

Suara mak mendekat, kini betul-betul di mukaku. Aku menyembam muka di bantal peluk. Tubuhku menggigil, peluh sejuk merenik membasahi tubuhku.

Bau kapur barus kian menyengat hidung.

"Nak. Bukalah mata. Bangun." Kali ini suara mak berbunyi gemersik di sisi telinga ku.
Aku memeluk bantal erat, dan suara ‘mak’ bertukar pada hilaian nyaring.


Sudah tiga bulan mak meninggalkan kami. 
Tapi tiap-tiap malam, ‘mak’ muncul.


Aku cuma mampu berdoa pagi cepat menjengah.

Kerana aku, 
Lansung tak dapat tidur.


================
GOOGLE STREET VIEW

Rafi menggeliat malas, kerusi pejabatnya berkeriuk perlahan. Bunyi telefon berdering dan bunyi mesin faks mulai berkurang. Pejabatnya sudah kian lengang.

Lelaki muda itu mendengus, bosan. Jam menunjukkan 5.34 p.m, dia menongkat dagu di meja komputer. Menunggu email maklum balas dari kliennya. Selepas itu dia sudah boleh berkemas balik. Dia merenung ke luar jendela. Mujurlah hari ini cerah. Tidak hujan. Pejabatnya satu tingkat sahaja, jadi senanglah dia mahu meninjau keadaan luar. Di hadapan pejabatnya sudah jem teruk.

Kerusi dipusing-pusingkan, dia bosan. Sangat bosan. Malahan, ini petang Jumaat. Orang lain semua sudah berbondong-bondong pulang. Benarlah dia tiada kehidupan. Dia mencebik.

Oh ya. Pagi tadi dia ternampak basikal Google Maps melalui kawasan pejabatnya. Mungkinkah gambar-gambar tadi sudah dimuatnaik? Dia menarik tetikus, pantas membuka enjin carian Google.

Ya! Sudah dimuat naik. Pantas benar mereka. Dia memulakan dari pintu pagar pejabatnya. Di sana, ada jelas beberapa orang rakan sekerjanya, juga pengawal keselamatan tempat kerjanya yang ternganga melihat basikal tersebut. Dia mengekeh keseorangan. Hebat betul.

Dia terperasan seorang lelaki, bukan pekerja di sini. Tersengih memandang kamera.

Rafi memiringkan kepala. Mungkin siapa-siapa sahaja. Dia menekan lagi punat tetikusnya.

Gambar seterusnya, ke jalan sebelah pejabatnya, adalah lelaki itu lagi. Masih tersengih. Wajahnya cengkung, rambutnya separuh botak. Badannya sangat kurus, tinggi lampai. Masih memandang kamera.

Dia menekan lagi tetikus.

Lelaki itu lagi, tersorok di belakang orang ramai yang sibuk keluar mahu membeli makan tengah hari, tersengih. Sengih itu - umpama kaku di wajahnya. Bagai menyeringai.

Dia mula merasa seram, tapi dia tetap menekan punat tetikus.

Di pagar pejabat.
Di luar kafe.
Di stor.
Di tingkapnya.

Dia tergamam, lantas mengangkat muka pantas.

Tiada sesiapa. 

Rafi tertawa. Dia takut tiada sebab.Dia meraup mukanya sendiri.


Satu mesej masuk. Ah, mesti klien beliau. Dia membuka mesej tersebut.

'PANDANG BELAKANG'

Rafi kehairanan. Dia berpusing.

Seorang lelaki kurus, tinggi lampai menyeringai, memegang kepala pengawal keselamatan di tangan kirinya, dan parang di tangan kanannya.

Dalam hiruk pikuk jem, siapa yang mendengar jeritan Rafi?

=============
Karya dan suntingan: Nil

No comments: