Kampung Kuak
==============================
Nota kaki- Tahun 1960-an. Kisah ini diceritakan oleh bapa aku semasa tahun 2005. Maaf jika terdapat kekurangan dari cerita ini.
Kampung Kuak ini merupakan sebuah kampung yang lebih kurang 20 kilometer jauhnya dari Pekan Lenggong, Perak. Kampung Kuak juga terkenal dengan raja buah, durian!
Semasa itu aku baru sahaja bertunang dengan gadis pilihan aku dari Tanjung Malim. Disebabkan tuntutan kerja, aku terpaksa berulang-alik ke kawasan Tanjung Malim. Aku bekerja sebagai seorang wartawan di salah sebuah syarikat akbar tempatan ketika itu, jadinya kerja aku kebanyakkannya akan ke luar kawasan.
Aku senang dengan kerja aku. Sememangnya menjadi impian aku sejak dari bangku sekolah lagi. Tak sia-sia aku mengidolakan Allahyarham Abdul Rahim Kajai. Karya beliau seperti 'Lain Padang Lain Belalang' menjadi bahan bacaan aku berkali-kali sewaktu zaman remaja dulu.
Hendak dijadikan cerita, aku ditugaskan untuk ke Tanjung Malim. Menteri Besar nak buat upacara pecah tanah untuk perumahan baru. Selaku wartawan muda, tambahan pula masih bujang ketika itu, aku sering mendapat tugasan ke kawasan pendalaman .
Walaupun hanya di dalam negeri Perak, perjalanan memakan masa 3 hingga 5 jam. Aku tidak mempunyai kereta, hanya vespa yang aku ada ketika itu. Kalau aku bertugas di luar kawasan, memang aku akan naik turun bas. Setakat tidur sekejap di kerusi stesen bas, di masjid atau surau sudah menjadi perkara normal. Nak berjimat punya pasal. Lepas kahwin nak pakai duit juga.
Kebetulan kali ini aku menumpang kereta kawan seangkatan aku, Baljit Singh dan dia juga merupakan wartawan tetapi dari akhbar Inggeris. Umpama pucuk dicita ulam mendatang, aku terus bersetuju dengan pelawaan Baljit ketika itu. Lagipun, boleh aku berjumpa dengan mata air aku, tunang aku, si Hamidah. Lama benar tak berjumpa. Hanya surat sebagai galang ganti.
"Supian, what time we're leaving?" Soal Baljit. Aku diam. Dalam kepala otak tengah merencana.
"5 in the morning..." ringkas jawapan aku.
Hari kejadian, kami tiba di Tanjung Malam sekitar 10 pagi. Majlis bermula tengahari. Baljit mengambil kesempatan masa yang terluang untuk berehat setelah beberapa jam fokus memandu. Aku pula bertemu Hamidah, melepas rindu, berborak di kedai kopi. In sha Allah, hujung tahun kami akan berkahwin.
Usai berjumpa Hamidah, kami bergegas ke majlis pecah tanah berkenaan. Sewaktu hendak pulang, Baljit tercicir kunci keretanya! Kami panik. Jam sudah menjejak angka 5 petang. Jenuh Baljit memunggah beg sandang dan beg kameranya. Ikutkan, sudah hampir sejam juga kami mengeledah.
Aku dan Baljit duduk melepak di kawasan majlis. Kami duduk di tepi longkang. Masih buntu. Tiba-tiba kami didatangi oleh polis, mereka bertanya hal kenapa masih belum pulang. Setelah Baljit menerangkan hal kehilangan kunci keretanya, sepantas kilat anggota polis yang bertugas bernama Nasir itu mengeluarkan walkie-talkie beliau.
Mujur, menurut Nasir memang pihak polis yang bertugas ketika itu ada terjumpa beberapa barang yang dipercayai tercicir semasa majlis pembukaan tanah tadi. Kami bertiga ke balai polis Tanjung Malim untuk melihat, mana tahu ada kunci kereta Baljit.
Tiba di balai, setelah ditunjukkan oleh Nasir, bekas yang berisi segala macam barang peribadi seperti kunci kereta, dompet, jam pun ada.
"Yahooo! Kita balik juga hari ni! Kita balik!" Laung Baljit setelah menjumpai kuncinya! Aku dan Nasir tersenyum. Lega betul aku ketika itu.
Kami bertolak dari Tanjung Malim jam 6.30 petang. Baljit ada bertanyakan pada aku, jika nak singgah mana-mana surau untuk solat. Aku menjawab, aku akan beritahunya kemudian.
Tiba di pertengahan jalan, giliran aku pula memandu. Kami lagi setengah jam hendak tiba di rumah aku, Baljit pula duduk di Lenggong. Aku mengerling jam tangan, pukul 9 malam. Kawasan untuk ke Kampung Kuak memang gelap, kiri kanan pokok getah dan hutan. Jalannya kecil dan bersimpang siur. Memang memerlukan fokus 100%
Sedang enak aku memandu kereta Datsun kepunyaan Baljit, aku dikejutkan dengan bunyi orang ketawa! Kuat! Bergema. Aku cepat-cepat menoleh ke Baljit. Lena betul dia tidur! Aku perlahankan kenderaan. Sekali lagi aku terdengar bunyi hilaian tawa.
Aku dah mulai resah. Sedang aku mengambil selekoh tajam, aku hampir terbabas apabila ada susuk tubuh berbaju putih berdiri di tengah jalan! Bayangkan, selepas selekoh, ada benda di hadapan kau! Aku tak fikir panjang, aku terus langgar susuk tubuh itu!
Aku menekan pedal break. Menggunakan cermin belakang aku mencari kelibat putih tadi, tiada apa-apa dan tadi pun aku tak rasa seperti aku telah melanggar seseorang. Susuk tubuh yang berbaju putih tadi mungkin hanya ilusi, sepertinya tadi aku hanya melanggar kabus! Lesap. Hilang begitu sahaja!
Aku cuba kejutkan Baljit, tapi entahlah. Dia tak bangun, penat sangat gayanya walhal pemanduan di jalan sebegini mustahil untuk lena. Aku hanya mengomel sendirian! Sekali lagi aku dihantui bunyi orang ketawa!
Aku lihat cermin di sisi kereta, kiri dan kanan, tiada ada apa apa. Bila saat aku menoleh pandangan ke hadapan, alangkah terkejutnya bila susuk tubuh tadi bersila di atas hud kereta!
Rambutnya panjang menutup wajah. Perlahan susuk tubuh itu menyelak rambutnya! Nah, wajahnya bermandi darah, matanya kosong, tiada bola mata. Aku ingat lagi, ianya senyum ke arah aku, menyeringai....
Spontan, aku menekah hon beberapa kali. Dengan harapan, pontianak yang bertenggek di atas hud kereta itu akan pergi dan Baljit juga akan terjaga.
Hampa. Dua-dua tak menjadi. Kenapa dengan Baljit ini? Pengsan ke? Nak menekan pedal minyak agak bahaya bila pemandangan dihalang oleh pontianak, aku langsung tak nampak jalan. Buatnya kereta kami terjatuh tersasar dari laluan jalan, naya! Gaung lereng jalan ini agak curam. Aku terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan. Sudahlah bahu jalannya tidak lebar, agak bahaya namun aku tawakal.
Pontianak itu masih bersila dan ketawa. Ketawa itu sama dengan yang aku dengar tadi! Aku naik berang dan turun dari kereta, mengenggam penumbuk sambil membaca ayat Qursi. Waktu aku membacanya, tak habis-habis lembaga itu mengajuk bacaan aku. Usai membaca, aku meluru ke arah susuk lembaga itu.
"Allahuakbar!!" Seiring penumbuk dilepaskan ke arah lembaga itu, ia hilang! Sekali lagi aku semacam menumbuk kabus, angin, kosong. Kalau ditanya mengenai aksi tadi, entah dari mana aku mendapat keberanian berhadapan makhluk itu. Yang penting, ketika itu aku teramat penat, sememangnya nak sampai ke rumah dengan segera. Aku masuk ke dalam kereta. Baljit masih tidak sedarkan diri. Aku mengeluh, tiada pilihan pemanduan terpaksa diteruskan.
Semasa memandu aku sedar je, lembaga itu elok sahaja terbang di sebelah aku, sama laju dengan pecutan kereta. Aku tajamkan fokus di hadapan sahaja. Mulut ini tak berhenti membaca ayat suci Al Quran. Beberapa ketika, barulah lembaga itu hilang.
Syukur aku selamat tiba di perkarangan rumah. Lembaga itu sudah tidak mengikut. Tidak semena-mena, Baljit tiba-tiba sahaja menjerit dalam kereta!
"Supian! Aku nampak semua! Aku nampak! Tapi aku tak boleh buka mata, tak boleh nak cakap dengan kau!" Ujar Baljit tercungap-cungap.
"Aku dengar bunyi orang ketawa tu, aku nampak kau keluar, aku sedar kau tepuk badan aku, tapi aku tak boleh nak bangun! Aku tengok dekat tepi aku, ada benda mengerikan memeluk aku dari belakang! Tangan hantu tu menutup mulut aku! Benda yang sama duduk atas hud kereta ni tadi! Baljit meneruskan cerita.
Aku menasihatkan Baljit supaya bermalam sahaja di rumah aku. Hari pun sudah lewat malam. Emak yang menyambut kami berdua terkejut melihat kami.
"Kenapa muka kau pucat? Kenapa kamu berdua ni bau hancing macam kencing musang?" Tanya Emak. Kami berdua terdiam. Aku terus ke bilik air. Yang aku perasan, Baljit ada bercakap sesuatu dengan Emak. Mungkin mengadu perihal tadi.
Aku membasuh muka dan mengambil wuduk. Hati aku masih lagi berdebar, teringat cerita Baljit tadi. Usai keluar dari bilik air, aku lihat Emak dengan keadaan mamai terpisat-pisat mata sambil mengikat rambut, keluar dari kamar tidurnya yang berhadapan dengan bilik air.
Allah!
Hati aku yang tak habis berdebar dari tadi kini rasa hendak luruh terus jatuh ke tanah. Aku cepat berlari anak keluar melihat Baljit. Dia kembali ke kereta.
"Hoi, kau buat apa?" Soal aku dari dalam. Baljit menjulang bekas rokoknya.
"Aku ambil rokok akulah!" Jawab Baljit.
"Bila sampai Pian? Lewat kau sampai..." tanya Emak. Aku ketika itu tergagap-gagap. Mujur aku dapat membalas pertanyaan Emak. Nak bercerita macam tak kena dengan waktu, tunggu esoklah!
Sewaktu hendak tidur, Baljit memberitahu aku satu perkara,
"Emak kau tahu apa yang jadi dekat kita tadi Supian! Dia gelakkan aku tadi, dia kata jalan Kampung Kuak ini memang seram!"
Aku terdiam. Aku yang dari tadi tak habis lagi seram, rasa nak demam pula dengar cerita dari Baljit ni. Siapa pula yang menyambut kami masa mula-mula kami sampai tadi tu?
Aku buntu, adakah ini sebab kerana Emak selalu meletakkan ancak di bawah tangga?
Entahlah. Malas nak fikir, esok kena kerja!
-TAMAT-
=========================
Suntingan: Nadey
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment