NONI BELANDA
Karya Oleh: Nurhan Yusof
Jam 3 pagi tatkala semua orang sudah melayari alam mimpi. Tinggal cuma seorang gadis yang masih berjaga. Wajahnya cantik dengan mata biru dan rambut pula keperangan serta hidung mancung bak seludang mayang. Dia menyandar di dinding tandas sambil menangis. Pipi putihnya basah dengan air mata yang tidak henti mengalir. Lalu dia bangun, melangkah longlai masuk ke dalam bilik yang menempatkan enam buah katil dan salah satunya katil miliknya.
Dalam kesuraman bertemankan satu lampu tidur di sebelah pintu, dia melangkah masuk. Melawat setiap penghuni bilik yang tidur. Dia renung setiap wajah itu lama-lama. Dari satu katil ke satu katil dia lawati. Air mukanya kejap sayu dan kejap marah.
“Mengapa?” Soalnya perlahan dengan nada berbisik.
Dia melangkah keluar dari bilik dan menuruni tangga. Tanpa sesiapa sedar, dia menapak keluar dengan cuma berbaju tidur kuning cair. Destinasinya cuma satu; ke arah halaman luar yang dijadikan taman di belakang bangunan. Di situ ada sebuah mata air yang agak dalam, dihias cantik landskapnya.
Sesudah sampai, dia berdiri di tebing. Memandang permukaan air yang berkilau dek cahaya bulan. Tiba-tiba, angin menderu datang, menggoncang dedaun pokok dan menghembus wajah dan rambutnya yang panjang.
Gadis itu lalu mengeluarkan sebilah pisau lipat yang masih baru. Jemarinya membuka lipatan pisau. Lalu matanya menatap lama ke arah bilah pisau yang tajam. Jari tangan kiri di luruskan, manakala tangan kanan memegang pisau. Sekelip mata darah menitis keluar, lalu bercampur dengan air kolam.
“Penjaga, penjaga mata air. Wahai penjaga mata air. Kabulkan mahuku. Kabulkan mahuku. Balas dendam kepada mereka dan segala keturunan mereka. Janjiku, akan aku beri tubuhku.”
Sekali lagi angin menderu datang. Menghembus wajah dan rambutnya.
Tokk..
Tokk..
Tokk..
Bunyi tapak kaki muncul di belakangnya.
Hikk..!
Hikk!
Suara ketawa kecil.
Gadis itu menoleh. Air matanya sejak tadi tidak pernah henti mengalir. Lembaga itu menghampiri. Ditenungnya wajah gadis itu sambil tersenyum.
“Penjaga, penjaga mata air. Wahai penjaga mata air. Kabulkan mahuku. Kabulkan mahuku. Balas dendam kepada mereka dan segala keturunan mereka. Janjiku, akan aku beri tubuhku.”
Hikk..!
Hikk..!
Makhluk syaitan itu cuma tersengih.
Tiba-tiba…
Bummm!
Air kolam memercik. Tubuh gadis itu terhumban ke dalam air kolam. Air yang tenang mulai berpusing. Wujud pusaran air di tengah kolam.
HIIII HIHIHIHI!
Suara ketawa mengilai bergema di malam hari.
***********
Berpuluh tahun kemudian.
Banglo putih beratap kelabu. Satu-satunya banglo lama di taman perumahan itu, sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak, iaitu pada tahun 1970. Pada asalnya, banglo itu milik seorang tauke kebun getah yang berbangsa Inggeris. Kini sudah dijadikan asrama luar kampus untuk pelajar dari sebuah IPTS (Institut Pengajian Tinggi Swasta). Nama IPTS tersebut biarlah aku rahsiakan. Cukuplah pembaca ketahui tentang cerita ini.
Hari ini, hari pertama aku dan beberapa orang rakan berpindah masuk ke sini. Sebelum ini, banglo ini adalah asrama pelajar perempuan. Namun atas faktor keselamatan, mereka di pindahkan ke asrama yang berada di dalam kampus. Manakala 40 orang pelajar lelaki pula di pindahkan ke banglo ini.
Selesai mengemas barang, aku dan Khai mula meneroka tempat baru ini. Bagi aku, duduk di sini lebih selesa berbanding asrama di dalam kampus. Di sini, jumlah penghuni tidak lebih 40 orang. Kemudahan dan suasana rumah juga selesa. Jika dilihat dari luar, tiada siapa akan sangka bahawa banglo ini adalah asrama.
Habis seluruh bilik dan ruang di dalam banglo ini aku dan Khai terokai. Dari tingkat tiga hingga ke bilik bawah tanah yang dijadikan bilik dobi. Kemudian, Khai mengajak aku ke luar. Di belakang rumah ada kolam yang luas tetapi airnya hijau. Semasa menuju ke arah kolam mata air itu, aku terserempak dengan Arif yang kelihatan kusut dan pucat. Langkahnya cepat keluar dari perkarangan kolam.
“Oi, Arif! Dah nak masuk ke?” Tegur aku.
Arif cuma diam, menapak laju sambil mulutnya berkumat kamit berkata sesuatu. Aku biarkan saja dia. Mungkin emosi tidak stabil kerana bergaduh dengan teman wanita. Beberapa langkah aku dan Khai berhenti di situ sambil memandang air kolam yang tampak tenang. Cuma sesekali ada riak-riak ikan timbul di permukaan.
Kata Pak cik jaga, kolam mata air ini tidak pernah kering walaupun cuaca kemarau. Tetap penuh seperti itu. Seronok juga kalau boleh mandi, tetapi entah mengapa hati aku rasa kolam ini terkandung satu misteri. Nak mandi pun rasa seram. Airnya pula hijau gelap, entah apalah yang ada di dasar.
Malam itu agak sunyi, tidak seperti di asrama dalam kampus. Mungkin di sini masih tidak ramai yang datang berpindah. Jumlah penghuni di dalam asrama ini tidak sampai 15 orang. Selesai saja makan, aku dan lima orang rakan sebilik serta rakan dari bilik lain melepak di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen. Satu bab hingga ke satu bab kami bercerita. Dari cerita cinta hingga ke cerita seram. Tiba-tiba, Khai bangun menutup lampu, yang tinggal cuma lampu meja yang tidak terlalu terang. Dia mula membuka cerita seram yang pernah berlaku di dalam banglo ini.
“Kolam yang ada belakang banglo ni, dipanggil Kolam Air Mata Noni Belanda. Nama kolam ni diambil dari seorang pelajar perempuan dari Indonesia berketurunan Belanda.
“Dulu bekas pelajar dari Indonesia ni suka pergi situ. Situ tempat dia menangis dan meluahkan segala perasaan. Kata orang, dia alami tekanan perasaan. Sampailah satu hari, dia menghilang. Bila kawan-kawan dia cari, yang mereka jumpa cuma mayatnya yang dah terapung di permukaan kolam. Orang kata sebelum dia mati, dia ada buat perjanjian dengan syaitan untuk balas dendam.” Panjang lebar Khai bercerita.
Aku menoleh ke arah belakang, di mana letaknya dapur. Kelihatan angin membuai tirai jendela. Entah mengapa, rasa diri bagai diperhati dari situ. Manakala rakan sebilik aku iaitu Emi dan Rizal sesekali menyapu bulu roma yang berceracak naik. Itulah penangan cerita seram si Khai. Seramnya lain macam.
“Masa mereka temui mayat dia, keadaan mayat tu masih elok. Cuma anehnya walau matanya terpejam, orang boleh nampak bebola matanya bergerak kiri dan kanan dan walaupun kulitnya sejuk dan pucat tetapi masih terasa suam dengan rambutnya yang berubah putih. Punca dia bunuh diri pula ada banyak spekulasi. Ada cakap dia stress sebab mengandung anak luar nikah. Ada pula cakap dia hilang akal sebab gangguan halus. Paling seram, setiap tarikh kematian dia tu, penghuni di sini akan dengar bunyi gelang kaki sambil suara orang menangis dan ketawa. Sejak kematian dia juga, muncul pula berita panas yang tersebar dalam kalangan pelajar, bahawa kolam tu dikatakan boleh memakbulkan hasrat orang. Salah seorang kawan kepada mak aku yang berketurunan Siam, pernah buat hajat di situ. Dia dapat, apa yang dia nak.”
“Kau biar betul Khai?” Soal Mamat dengan mata terbuntang.
“Terus. Emang benar dimakbulnya segala permintaan itu? Macam gampang aja. Kalau begitu, aku juga mau kok. Mau minta dikasi cewek yang cantic,” seloroh Gunawan atau nama manjanya Wan. Pemuda Jakarta yang sangat rapat dengan kami. Makin berminat nampaknya.
“Tak gampang Wan, ada bayarannya. Kau kena bagi kolam tu beberapa titis darah dari ibu jari tangan kiri kau. Kalau kau tak kasi langsung darah, dia akan datang cari kau. Satu lagi syaratnya, lepas hajat kau tercapai, kau kena cari orang lain untuk buat hajat di situ pulak,” jawab Khai.
“Kalau dia dah makbul hajat kau pun, dia akan datang jumpa kau. Kau kena tatap wajah dia dan dia akan kasi kau rambut dia. Baru dia balik.” sambung Khai lagi.
Kali ini, makin ramai pula berjangkit sindrom bulu roma meremang, termasuk aku. Masing-masing menyapu lengan dan leher. Rasa seram mendengar cerita Khai. Sementara wajah Arif kelihatan pucat, sejak tadi cuma mendiamkan diri. Menunduk ke bawah.
“Hek eleh, tak percaya aku dengan benda tahayul ni! Ni semua rekaan senior sebelum ni, nak takutkan junior,” ujar Mamat mencebik.
“Dalam tak percaya nanti, silap-silap kau orang pertama pergi buat hajat.” Khai tersenyum sinis.
“Ya udah, jangan dibicara soal itu lagi. Aku enggak mau makhluk itu mendengar, terus mencari kita. Biarin, aku mau tidur dengan aman. Bibik aku bilang, benda seperti itu jika disebut-sebut, dia akan dengar.”
Gunawan bingkas bangun, mengekori Arif dari belakang menaiki tangga. Kami cuma diam sambil mata mengekori Arif dan Gunawan. Aku pula masih terbayang makhluk itu datang menghantui kami dengan lidahnya yang terjelir panjang hingga perut bersama mata yang terbuntang. Air liur busuk menitis ke lantai, tangannya berkuku panjang datang mahu mencekik. Ah! Aku lantas bangun menuju ke bilik, malas melayan imaginasi yang kian meliar.
*********
Lima pasang mata memandang ke satu arah sambil menelan air liur. Pintu bilik kami ditutup rapat. Sebenarnya tidak mahu orang bilik sebelah tahu akan perihal ini. Kami duduk bersila di tengah bilik. Kotak empat segi dibuka, terbentang keenakan Pizza yang dibeli oleh Mamat.
“Terbaiklah Mamat!” Ujar Emi.
“Thank you bro,” ucap Khai dan Wan serentak.
Mamat tersenyum bangga. Sementara aku pula laju saja tangan mencapai Pizza di hadapan. Bab makan, mudah sungguh lupa diri.
“Woi Arif, makan Pizza ni. Mamat belanja kita wei,” aku memanggil Arif yang mula bangun menuju ke almarinya lalu mencapai topi keledar.
“Ada hal sikit. Jaga diri kau elok-elok, Iskandar,” ujar Arif sambil memandang ke arah aku lalu keluar dari rumah selepas memakai topi keledar.
*******
Hari pertama terdengar langkah kakinya, dia sudah tahu kau sudah datang,
Hari kedua terdengar loceng kaki gemerincing, dia sudah tahu di mana kau ada,
Hari ketiga di mana saja kedengaran hilai tawanya, dia ada di mana saja kau ada,
Hari keempat terdengar dengus nafasnya, dia ada di belakang.
Aku menggonyoh mata yang kurasakan kabur. Suara wanita berbisik di telinga kiri bagaikan bukan mimpi. Masih rasa nafas panasnya di telinga.
Jam 4 pagi, mata aku masih terbuntang. Segar bugar. Tiada tanda rasa mengantuk, gara-gara mimpi aneh sejam yang lalu. Aku tetap baring di atas katil, cuba memaksa mata untuk tidur. Kejap aku miring ke kanan dan kejap ke kiri. Rakan-rakan lainnya sudah pasti sudah lama berlayar ke alam mimpi.
TOKK..!
TOKK..!
TOKK..!
Kedengaran bunyi tapak kaki. Aku tersentak, mungkin telinga tersalah mentafsir bunyi tadi. Sekali lagi aku pasang telinga sambil berkelubung dengan selimut.
Selepas 15 minit, sepi tanpa bunyi. Sah, aku cuma salah mendengar.
************
“Kenapa buat perangai tak senonoh ni? Kamu patutnya sapu dan buang. Bukan biar bersepah macam ni. Mak cik ni dah tua, prihatin la sama dengan Mak cik. Tak akan setiap pagi Mak cik kena buang benda busuk ni?”
Mamat berdiri sambil bercekak pinggang. Aku dan Khai duduk di atas sofa. Diam saja mendengar leteran Mak cik Imah iaitu tukang cuci di dalam rumah ini. Rakan yang lain hanya membuat hal masing-masing. Sudah malas mahu melayani leteran dia, selama tiga hari leterannya cuma benda sama.
Sugul wajah masing-masing, termasuk aku juga. Mata cuma memandang isi di dalam penyodok. Keruping kulit kering yang hanyir. Sudah tiga hari benda sama berlaku, dan kami tidak tahu itu angkara siapa.
“Siapalah kelemumur banyak sangat ni, busuk pulak tu. Tak syampu kepala ke?” Soal aku, sengaja suara di kuatkan dengan niat, empunya angkara mendengar.
Jam 4 pagi.
Aku pandang Arif yang dari tadi merenung ke arah skrin laptopnya. Sejak tadi tidak sekalipun dia berganjak dari tempatnya. Dari jam 9 malam hingga kini, kami membuat kerja di bilik study kerana tidak mahu mengganggu rakan sebilik, jika kami membuka lampu. Itulah padahnya membuat tugasan di akhir masa. Aku juga sama sebenarnya. Air kopi dua cawan sudah aku telan. Mengharap mata mampu bertahan hingga akhir tugasan.
TOKK..!
TOKKK..!
TOKK..!
TOKK..!
Kedengaran bunyi seperti tapak kaki kuda dari luar bilik. Aku diam memasang telinga sambil memandang Arif. Jelas, Arif tidak perasan dengan bunyi itu.
TOKK..!
TOKK..!
TOKK..!
TOKK..!
TOKK..!
Kali ini mata aku dan mata Arif bertaut. Pasti dia juga mendengar. Mulutnya kelihatan terkumat kamit membaca sesuatu. Aku pula bingkas bangun, ingin membuka pintu. Mahu melihat gerangan orang yang sedang membuat bunyi aneh pada waktu lewat malam.
“Jangan..” Arif memegang lengan aku. Nadanya separa membisik.
Telinga aku pula tiba-tiba berdengung. Dunia aku bagai berpusing.
Hari kedua terdengar loceng kaki gemerincing, dia sudah tahu di mana kau ada.
Aku terduduk ke lantai dek penangan kepala yang berpusing. Suara bisikan dan nafas panasnya seolah nyata. Masih terasa.
“Kau rehat kat sofa tu Is, esok je kau sambung. Baca Ayatul Kursi, 3 Qul dan Bismillah Lima. Hembus di tapak tangan kau, raupkan ke muka,” pesan Arif sambil memapah aku ke arah sofa yang tersedia di dalam bilik ini.
TOKK..!
TOKK..! CINGG..!
CINGG..! CINGG..!
TOKK..!
TOKK..!
Bunyi itu masih ada. Seolah-olah dia sedang mundar mandir di laur bilik ini. Sambil menyandar di sofa kerana pening, mulut aku melafazkan doa-doa pelindung. Jujur aku tidak pandai bab menghalau jin atau syaitan. Aku cuma tahu Ayatul Qursi, Tiga Qul dan Bismillah Lima. Doa-doa tersebut aku ulang beberapa kali.
Tak lama kemudian, bunyi itu sayup-sayup kedengaran. Mungkin dia sudah keluar dari rumah. Arif pula sejak tadi duduk di sisi aku. Tidak tahulah sama ada dia takut atau dia mahu memantau keadaan aku.
************
ARGGHHHHH…
Ketika lewat petang. Jeritan nyaring tiba-tiba mengejutkan kami yang sedang bermain badminton di bawah. Jika tidak salah, bunyi itu kedengaran datang dari bilik aku.
ARGGHHHHH..!
Sekali lagi jeritan sama berbunyi. Kami mula bergegas masuk. Berlari ke arah bilik aku. Ketika sampai ke situ, kelihatan sudah ada tiga orang rakan dari bilik sebelah. Mereka berhempas pulas memegang tangan dan kaki Emi yang tiba-tiba menjerit ketakutan sambil menekup telinganya.
Ketika cuba melangkah masuk mahu membantu, tiba-tiba telinga aku pula mula berdengung. Kepala menjadi pening.
Hari ketiga di mana saja kedengaran hilai tawanya, dia ada di mana saja kau ada
Suara bisikan yang sama bersama nafas panas, menerjah telinga. Aku tidak jadi membantu. Cuma duduk di birai katil. Hanya Khai, Arif, dan Wan cuba membantu Emi yang makin agresif.
HIIIHII..!
HIIHIIIHHI..!
Terdengar suara ketawa. Aku pandang sekeliling. Manalah tahu kalua-kalau suara itu dari Mak cik cleaner tempat ini, tetapi tiada.
Hikkk..!
Hikk..!
Hikkkhikk!
“Pergi, pergi, pergi!” Jerkah Emi sambil tangannya menampar telinga sendiri.
“Allahuakbar.. Allahuakbar..!” Khai mula azan.
Tidak lama kemudian, Emi mula tenang. Terduduk di atas katilnya sambil menangis.
“Kau okey ke Is? Aku tengok kau lain macam je tadi.” Khai menyapa lalu berdiri di hadapan aku.
“Aku pening sikit tadi.”
Khai mengangguk. Lalu menghubungi ustaz Hanif yang pernah mengajar kami dalam subjek Tasawwur Islam. Tidak lama selepas berbual, Khai melepaskan keluhan lalu duduk bersila di lantai, menghadap aku yang duduk di atas katil.
“Ustaz tak boleh datang hari ni. Insya Allah esok, lepas zohor baru dia datang. Kita bertahan semampunya.”
Aku mengangguk, tahu masing-masing risau. Tiada seorang pun penghuni rumah ini tahu berubat, yang kami tahu cuma beberapa ayat lazim. Habis sangat azan sahaja.
Malamnya, keenam-enam kami yang duduk satu bilik ini berhimpun. Khai bertindak menjadi kepala yang bertanggungjawab menghimpunkan kami. Pintu bilik kami ditutup. Tidak mahu rakan dari bilik lain masuk campur kerana tidak mahu hal ini menjadi kecoh.
“Cuba bagitau aku, siapa yang ada buat hajat kat Mata Air Noni Belanda tu?” Khai mula menyoal. Dia memandang setiap wajah kami.
Kesemuanya diam.
“Baik mengaku, wei! Aku tanya ni sebab aku nak tolong. Kalau dibiarkan, mau jadi benda lain pulak. Sekali lagi aku tanya, siapa yang dah pergi buat hajat di situ?”
“Astaghfirullah,” Khai istighfar tepat memandang ke arah Emi dan Mamat.
“Bodoh lah, benda khurafat woi!” Suara Khai sedikit meninggi. Aku tahu dia pasti serba salah, kerana dia sendiri yang membuka cerita itu tempoh hari.
“Kok bisanya kamu percaya sih? Udah semuanya dilarang oleh Allah,” Wan pula bersuara.
Mamat tersengih sambil menggaru telinga. Adakalanya geram pula aku melihat tingkahnya. Emi pula tertunduk, wajahnya nampak kesal bercampur takut.
“Kau Iskandar, Arif. Aku tengok kau berdua lain macam je. Baik mengaku.” Khai memandang tajam ke arah Arif dan aku. Aku menggeleng. Arif pula diam.
“Kenapa hari pertama kita di sini, aku nampak kau pergi kolam tu Arif?” Khai menyoal.
Arif diam sambil mengelap dahinya yang tidak peluh. Kedengaran dia mengeluh. Lima pasang mata termasuk aku tajam memandang dia. Kenapa, seolah berat sekali dia mahu bercerita?
“Hari pertama lagi aku tak sedap hati. Masa aku masuk tempat ni pun aku dah nampak perempuan tu berdiri di kolam tu. Kejap nampak dia berdiri dan kejap dia menghayun kaki di tebing kolam. Aku ingat orang, selepas aku letak beg, aku terus pergi periksa. Masa tu aku nampak benda tu. Cuma dia terikat di situ, dia tak boleh keluar dari tempat tu. Sampailah antara kita ni pergi buat hajat, siap bagi darah dekat dia. Sebab tu dia boleh berkeliaran sampai sini.”
“Dah kenapa kau tak cerita?” Soal aku.
“Aku takut kau orang tak percaya,” jawab Arif.
“Hajat apa kau berdua minta?” Soal Khai tepat memandang Mamat dan Emi.
“Duit.. duit untuk aku bayar hutang,” ujar Emi dalam nada kesal dan takut.
“Aku pula, aku sengaja nak tengok benda tu betul ke tak. Sebab itu aku cuba.” Ujar Mamat tersengih.
“Jadinya, apa yang engkau minta?” Soal Wan.
Mamat masih tersengih seperti kerang busuk. Dia kelihatan segan.
“Kawin?” Soal aku.
Mamat menggeleng laju.
“Cewek?” Soal Wan.
Mamat masih tersengih.
“Pizza,” jawab Mamat.
“Allah…Pizza?”
Masing-masing terkebil-kebil. Arif yang berwajah ketat sejak beberapa hari ini kelihatan mahu ketawa. Pizza juga yang di mintanya.
Jam 3 pagi. Kami tidak tidur. Masing-masing sudah menelan air kopi buatan Khai. Niat mahu tidur tadi kami batalkan, apabila melihat Mamat dan Emi tidak keruan. Kejap mereka panas dan kejap mereka sejuk.
Aku pula lepas beberapa jam mula rasa mahu terkucil. Dengan lafaz bismillah, aku melangkah keluar daripada bilik menuju ke tandas. Tiba-tiba aku mula rasa pening dengan telinga berdengung.
Hari keempat terdengar dengus nafasnya, dia ada di belakang
Suara bisikan dengan nafas panas itu kembali. Sambil terketar-ketar menarik zip seluar aku mula mahu menapak keluar. Tanpa di duga, lampu tandas terpadam. Aku tergagau mencari pintu untuk keluar.
TOKK..!
TOKK..!
TOKK!
Bunyi tapak kaki kuda bersama loceng kaki yang gemerincing. Saat mendengar bunyi itu, jiwa sudah melonjak takut.
TOKK..! TOKK..! TOKK..!
HIIHIIIIIIHIHI..!
Ayat kursi yang aku baca sudah tunggang langgang, kaki pula terketar-ketar rasa lemah seperti tiada tulang. Aku melangkah keluar daripada tandas. Seluruh kawasan gelap gelita. Sunyi sepi, seperti cuma aku di situ.
TOKK..! TOKK..!
Bunyi itu dari depan. Mungkinkah dia sedang menunggu di sebalik sudut gelap?
Aku berhenti melangkah. Kedengaran pula dengusan seperti kuda. Aku menoleh ke belakang dalam keadaan terketar-ketar. Di satu sudut ada seseorang berdiri. Aku tahu itu bukannya orang. Ada cahaya lampu jalan menerobos masuk melalui tingkap. Samar-samar makhluk itu melangkah ke arah cahaya. Mungkin sengaja mahu dirinya dilihat oleh aku.
“Allah… Allah…”
Hanya kalimah itu yang aku ingat. Kaki sudah terjelepok jatuh ke lantai. Keringat membasahi wajah dan tubuh badan. Senyumannya lebar menampakkan giginya seperti kuda, rambutnya yang putih bersama keruping kulit kering gugur ke lantai setiap kali dia melangkah.
Hihiiiiihiikhikhik..!
Dia ketawa dengan suara yang halus. Kakinya seperti kaki kuda, melangkah menghampiri aku yang tiada daya untuk berlari. Mulutku bagai terkunci, mungkin waktu itu terlalu takut dan terkejut. Tetapi mengapa aku yang dia cari? Bukan aku yang membuat hajat khurafat. Bau hanyir meloyakan anak tekak. Makin lama makin kuat bau itu.
Kepala aku kian pening, hidung tiba-tiba rasa pedih dan kemudian mengalir darah. Mataku pula, kian gelap dan gagal untuk melihat. Bagai ada tabir hitam menutup seluruh pandangan.
“Allahuakbar.. Allahuakbar!” Sayup suara seseorang melaungkan azan.
ARGHHHHHHHHHH!!!
Nyaring suara jeritan, mungkin marah atau mungkin kerana sakit. Makhluk itu kemudiannya mengundur ke belakang dengan laju sebelum menghilang di dalam kegelapan.
Aku pula tidak sedarkan diri selepas itu, sehinggalah esoknya. Bangun saja, rakan-rakan sudah ada di keliling bersama Ustaz Hanif. Nampaknya ustaz telah datang lebih awal. Cerita Arif, malam itu mereka menjumpai aku pengsan dengan darah mengalir keluar dari telinga dan hidung. Mamat dan Emi pula kerasukan. Keadaan tidak terkawal seketika sehingga Arif dan Khai melaungkan azan, barulah elektrik kembali ada dan Mamat serta Emi pula pengsan.
Paginya, ketika ustaz menjalankan sesi rawatan, Mamat di rasuk. Kejap dia menangis dan kejap dia ketawa. Bau hanyir memenuhi ruang udara. Beberapa orang pembantu ustaz turut sama membantu.
“Siapa engkau?!”
“Hik..Hihihiik..!” Mamat ketawa, matanya tajam memandang setiap orang yang ada di situ.
“Aku tanya siapa engkau?!”
“Namaku Noni Belanda.” Jawabnya tanpa berselindung, dengan tangan menepuk perlahan dadanya dalam rasa penuh megah.
“Dari mana engkau datang?”
“Jauh sekali bersama kapal, merentasi lautan.” Jawabnya dalam dialek Indonesia sambil mendepakan tangan.
“Indonesia?” Ustaz menyoal lagi.
Mamat mengangguk.
“Kenapa ganggu mereka?”
“Kerna mereka yang memanggilku, meminta hajat dariku. Berjanji mahu berikan aku darah merah sebagai ganjaran.”
Ustaz memandang kami semua. Jelas wajahnya marah bercampur kesal.
“Balik engkau, kami tidak memberi darah dan tidak akan membuat hajat. Ianya berdosa.” Jawab ustaz.
“Berdosa bagi kamu, tidak bagiku. Itu perniagaanku. Aku sudah laksana hajat mereka. Aku mau lagi ganjaran.”
Ustaz Hanif kembali memandang Emi dan kemudian kami semua.
“Diaorang cakap, dah bagi darah tu hari tu,” ujar Khai.
Mamat tiba-tiba ketawa.
“Mereka dah beri, apa lagi. Pulang ke tempat engkau atau aku sembelih engkau.” Arah Ustaz Hanif.
Hiiihihiik..hihihiiikk!
“Aku mau dia.” Mamat memandang tajam, sambil mengarah jari telunjuknya ke arah aku.
“Kenapa dengan dia?” Soal Ustaz.
“Ada janji perlu ku lunaskan. Nyawanya perlu aku ambil untuk makbul hasrat seseorang.” Kesemua mata memandang aku yang terpinga-pinga.
“Sumpah, saya tak buat benda khurafat tu.” Aku membidas. Memang bukan angkara aku, menyebabkan dia mahukan aku.
“Siapa yang berhajat mahukan nyawa dia?”
Mamat diam.
“Adara, Adara, Adara. Hihihihiik! Darahnya lazat, lazat, lazat!” Mamat menjilat jari sendiri.
“Iskandar, engkau ada sakitkan hati sesiapa?” Soal Khai.
Aku menggeleng. Tidak pernah pula aku kenal gadis bernama Adara.
“Siapa Adara?” Soal Ustaz.
Mamat diam. Merenung tajam ke arah ustaz.
“Gadis yang pernah tinggal di sini. Hatinya tersakiti kerana beberapa manusia menyebar berita buruk tentang dia. Hikhikk!”
“Manusia-manusia itu yang dibisik ke tangkai hatinya supaya memfitnah dan membenci sesama sendiri. Tugas aku pula, menghasut Adara untuk membuat hajat di kolam itu. Supaya aku yang kelaparan bisa makan. Manusia itu goblok seperti lembu. Kini aku perlu memegang janji, manusia goblok menyebar fitnah perlu di bunuh sehingga ke keturunannya. Itu janjiku dengan Adara dan lelaki itu antara keturunan dari salah satunya manusia. Darahnya santapanku.”
Ton suara mamat, seperti wanita tua.
“Jadi engkau tak mahu pulang?”
Mamat menggeleng laju.
“Jika itu pilihan engkau, terpaksa aku membunuh engkau.”
“Sila, kita lihat siapa yang kuat!” Ujar Mamat dengan riak, wajah berlagak.
Ustaz mula membaca ayat-ayat Al-Quran. Mula tangannya bergerak seperti menarik sesuatu dari mulut Mamat. Mamat pula mengerang sakit, sambil melawan dan meronta mahu dilepaskan. Kejap dia mendengus seperti kuda, kejap dia menangis menahan sakit. Beberapa lama kemudian, Mamat terlentang ke belakang kerana pengsan. Makhluk itu mengalah, lalu melarikan diri.
Selama seminggu kami membaca Yasin. Sepanjang malam kedengaran bunyi tapak kaki bersama loceng yang gemerincing berkeliaran di luar rumah. Sesekali terdengar bunyi esak tangis mendayu-dayu. Mujur rumah itu sudah dipagar oleh Ustaz Hanif.
Esok paginya, ada beberapa utas rambut putih yang panjang dan keruping kulit kering yang hanyir di hadapan pintu. Ustaz Hanif masih datang melawat untuk merawat aku ketika itu. Dia mengambil rambut dan kulit kering tersebut, lalu dibacanya beberapa potong ayat.
ARGGHHHHH..!
Nyaring bunyi jeritan dari arah kolam. Terus saja ustaz dan pembantunya pergi ke sana. Sementara kami disuruh duduk di dalam rumah. Kedengaran laungan azan bersama bunyi tangisan bersilih ganti.
Selepas dua minggu, keadaan aku, Emi, dan Mamat pulih kembali. Hari ini, seluruh penghuni rumah yang ada datang bertandang ke bilik kami. Semua mata tepat memandang Arif yang sedang leka melakar sesuatu di atas kertas bersaiz A4. Selepas beberapa minit kemudian, Arif berhenti melakar. Dia menolak kertas A4 itu ke hadapan bagi membolehkan kami semua melihat.
Ya, lakaran makhluk itu sama seperti mana aku pernah melihatnya ketika malam itu. Noni belanda berkaki kuda dan ada satu loceng di kaki kiri. Seram memandang ke arah lakaran wajah yang tersenyum lebar.
Adakah sekarang sudah selamat? Aku sendiri tidak pasti. Cuma yang aku tahu, ustaz sudah memagar makhluk tersebut di kolam mata air itu. Dia tidak lagi boleh keluar merayau di kawasan banglo ini. Tetapi ada sesekali kami masih mendengar dia menangis.
Mungkin bagi makhluk bernama Noni Belanda, itu adalah perniagaan. Hajat yang dia tunaikan, bayarannya darah. Dalam masa yang sama, dia berjaya menyesatkan manusia dengan perbuatan khurafat.
Khai terkebil-kebil memandang, dengan terketar-ketar dia melempar kertas A4 itu ke lantai.
“Gam… gam… gambar tu berubah.” Khai tidak lagi mahu melihat kertas yang dilemparkannya itu.
Kami masing-masing tidak berani memegang, hanya menunduk untuk melihat.
Benar, wajah yang tersenyum tadi berubah marah riaknya. Kami apa lagi, lari bertempiaran.
-TAMAT-
Karya: Nurhan Yusof
Suntingan: Gongpal Topek
Gambar: Dikmang
Karya merupakan hakcipta penulis.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment