Tuesday, 13 February 2018

HAPUSKAN KAMIL (Episod 1) - Muhsin Zaidi

HAPUSKAN KAMIL (Episod 1)
Penulis : Muhsin Zaidi
_____________________________________________________
Kamil termengah-mengah. Dia melihat sekeliling, suara terjerit-jerit memanggilnya dengan nada yang amat keras masih kedengaran. Kamil duduk melutut di celahan kereta yang tersusun di dalam pusat beli belah itu.

"Mana dia? Tadi aku nampak dia lari ke arah sini!"

Kata salah seorang dari mereka. Wanita berumur lewat 20an itu antara yang paling bersemangat. Kamil mengintai dari jauh.


"Satu, dua, tiga, empat, lima..... dua belas orang! Mampus aku!" Bisik Kamil di dalam hati. Kesemua dua belas orang wanita itu mengejarnya dari dalam pusat beli belah hingga ke ruang parkir kereta.

"Saya rasa dia dah lari balik naik Grab lah. Ahh penat je kita kejar." Kata salah seorang lagi dari mereka. Kamil kembali mengintai, mencari tuan suara itu.

"Pergh boleh tahan curvy! Huhuhu.." Kata hati Kamil. Dia cuma mahu tahu siapa tuan suara dan membuat penilaian ke atas bentuk badannya.

Pertemuan yang diatur oleh Kamil dengan klien-kliennya di sebuah restoran itu bertukar menjadi huru-hara tanpa terduga. Semuanya berubah sekelip mata sahaja.

Kamil adalah seorang lelaki berumur tiga puluh empat tahun, beliau adalah penganggur yang baru bercerai dengan isterinya. Kamil mempunya tiga orang anak lelaki hasil perkahwinannya dengan isteri. Isterinya seorang pengusaha butik pengantin. Mereka bercerai kerana Kamil dipercayai telah terlibat dengan jualbeli pil kuda.

Setelah sepuluh minit Kamil bersembunyi di celahan kereta, akhirnya wanita-wanita yang mengejarnya itu meninggalkan kawasan itu. Kamil menyusup keluar meninggalkan bangunan itu dan menuju ke apartment rakannya yang terletak dua ratus meter dari situ.

"Ha, apahal ni? Nampak macam baru lepas jogging jauh, pakai baju kemeja necktie merah semua cukup. Kau dari mana ni Kamil? Tak cakap pun nak datang." Soal Masri, kawan sekolah Kamil. Mereka juga berkawan di dalam Facebook.

Kamil kelihatan kepenatan berdiri di depan pintu rumah Masri. Sambil itu Masri cuma berkain pelikat dan berbaju Pagoda. Terdapat rokok daun berserta tembakau di dalam poket dada bajunya.

"Bagi la aku masuk dulu, sembang kat dalam."
Balas Kamil, suaranya kepenatan.


Setelah dua cawan air teh diminum setiap seorang, empat batang rokok Dunhill Classic dihisap, beberapa keping selfie diambil, akhirnya luahan panjang Kamil tamat. Masri cuma mengangguk sepanjang mendengar kisah Kamil. Sesekali dia kelihatan menggeleng kepala. Begitu asyik dia menghayati.

"So sekarang macam mana? Apa plan kau Kamil." Tanya Masri serius. Sambil itu matanya menjeling ke arah jam di dekoder Astro rumahnya, sudah 08:33 malam. Dekoder itu kini mengambil alih tugas jam dinding selepas Masri tidak membayar bil Astro yang tertunggak hampir tiga bulan.

"Kita kena mintak tolong Johan la. Aku rasa dia tahu macam mana nak tolong kita." Balas Kamil. Sambil itu jarinya mencapai kotak rokok, diambilnya sebatang lagi lalu disuapkan ke bibir.

"Eh? Kita? Sejak bila aku terlibat dengan masalah kau ni Kamil? Ini masalah kau, aku orang luar je. Aku cuma tolong kau sebab aku kawan kau. Itu je. Jangan nak lebih-lebih." Balas Masri bersahaja namun serius. Nadanya separuh ketawa, terbit mimik muka sarkastik dari wajahnya.

Kamil tidak membalas, dia cuma merenung anak mata Masri. Lalu dia menyalakan rokok yang sudah tersedia berada di bibir. Dia menyedut asap rokok itu dalam-dalam sambil memejamkan mata. Ah cukup angkuh cara Kamil menghisap rokok! Beberapa saat kemudian dia melepaskan kembali asap itu sambil sendawa panjang.

"Sekarang kau pegi mandi dulu, tukar baju kemeja kau tu, pakai baju tshirt aku. Takkan nak keluar malam-malam buta pakai macam ni, kalau orang nampak aku dengan kau macam ni sah-sah orang tuduh aku bawak upline nak closing ahli baru. Pegi la tengok dalam bilik, tengok la baju apa yang muat. Pakai la." Kata Masri bersahaja. Bahasanya agak kasar, namun Kamil sudah biasa. Mereka sudah kenal dari sekolah rendah.

Dia lalu bangun dari meja makan dan terus merebahkan badannya di atas sofa panjang. Sofa panjangnya itu pula kelihatan daif sekali, ia sudah tenggelam di tengah-tengah. Kamil pula melangkah longlai menuju ke dalam bilik.

"Weh Masri anak sapa yang tidur dalam bilik kau ni?" Kata Kamil separuh berbisik, dia menjenguk ke ruang tamu dari bilik.

"Anak saudara aku tu. Diorang datang dari Terengganu pegi ziarah orang sakit kat hospital, dia tumpangkan anak dia kat sini kejap. Mak bapak dia on the way datang nak ambik dia dah. Kau biar je, jangan bukak lampu, karang dia terjaga karang melalak pulak." Balas Masri tenang, sementara itu matanya fokus ke arah telefon bimbit. Masri rupanya sedang "look around" di WeChat.

Beberapa ketika kemudian Kamil keluar dari bilik air dan masuk ke dalam bilik. Dia tercari-cari baju di dalam rak.

"Kau tengok dekat rak tu je. Yang dalam almari jangan usik." Laung Masri dari luar. Dia seolah-olah tahu Kamil baru sahaja membuka pintu almari pakaiannya. Ah, adakah Masri ada belajar ilmu makrifat?

"Ting tong!"

Loceng berbunyi. Itu tandanya adik Masri yang pergi melawat orang sakit di hospital sudah pulang. Mereka mahu mengambil anak lelaki mereka yang sedang menumpang tidur di dalam bilik Masri.

"Ha sampai doh mung Masran, anok mung dok tidur lagi tu dalam bilik. Gi la kejut." Sapa Masri sebaik sahaja melihat Masran dan isterinya di depan pintu rumahnya. Masran terus melangkah masuk menuju ke bilik, isterinya pula menunggu di luar. Masran masuk ke dalam bilik dan terus membuka lampu. Masran tidak tahu di dalam bilik yang gelap itu Kamil yang baru selesai mandi dan sedang menukar pakaian.

"Woi woi nanti dulu, aku tak pakai seluar lagi ni!"

Kedengaran suara Kamil menjerit.


"MasyaAllah!" Kata Masran, dia kembali menutup lampu bilik dan mendukung anaknya yang sedang nyenyak tidur. Dia cepat-cepat melangkah keluar. Mukanya pucat.

"Eh kenapa ni bang? Nampak cemas je. Macam ternampak hantu." Tanya isteri Masran. Masran tidak menjawab, dia terus melangkah laju sambil mendukung anaknya yang berusia empat tahun, mereka melangkah laju menuju lif.

"Malu aku bodoh! Sial lah!" Rungut Kamil. Masri yang masih terbaring sambil membuat "look around" WeChat di atas sofa cuma mengekek ketawa. Ternyata dia terdengar suara pekikan Kamil sebentar tadi.

No comments: