CERITA
=================================
Skrin laptop direnung tanpa berkelip. Otaknya ligat mencari buah fikiran. Jikalau boleh dipertontonkan di depan mata, pasti Rizal dapat melihat otaknya sedang menggelupur bekerja keras.
"Ahh, tak boleh jadi ni." Bisik Rizal sendirian. Matanya dipejam buat seketika. Nafas ditarik kemudian dihembus perlahan-lahan. Matanya kembali merenung skrin laptop. Lagu 'Syair Si Pari-Pari' dendangan Zamani berkumandang di speaker laptop sedikit sebanyak meredakan perasaan kusutnya.
"Kau apasal Jal? Dari tadi aku tengok main tension lagi." Tegur Rudi, rakan sebiliknya.
"Mau tak tension. Tadi masa main game kat ruang tamu berlambak idea datang. Ni bila aku duduk depan laptop, jangan kata idea, secebis habuk pun takde." Rizal menjawab sebelum meneguk minuman coklat yang sudah mulai sejuk.
"Hak alaa. Pasal tu je ke? Apa la sangat. Aku ingatkan besar gila masalah kau." Tempelak Rudi. Rizal menjeling tajam.
"Kau jangan sampai aku ramas-ramas kepala kau." Rizal memberi amaran. Pantang betul kalau ada orang memperlekehkan minat dia.
"Hahaha sorry. Okay. Kau tulis cerita seram kan? Kau nak idea yang macam mana?" Rudi menyoal. Kotak rokok berwarna kelabu di atas meja disambarnya. Sebatang rokok dikeluarkan sebelum diletak di bibir. Api kecil dinyalakan, membakar hujung rokok.
"Aku nak idea yang mantap. Idea yang lain daripada yang lain. Idea yang boleh buat pembaca meremang. Idea yang boleh buat pembaca susah nak tidur malam." Jawab Rizal bersungguh-sungguh.
Rudi faham benar dengan kawannya, yang juga pemilik blog 'Ceritera Malam' itu. Sanggup berbuat apa saja demi mendapatkan idea yang hebat dan segar.
Pernah sekali Rizal bermalam seorang diri untuk merasai sendiri suasana serta mencari idea menulis sebuah cerita seram di rumah kosong bernombor 15 di bangunan flat mereka. Rumah bernombor 15 itu sangat terkenal di kalangan penduduk flat Bukit Tinggi itu. Mereka juga tahu kisah angker di rumah bernombor 15 itu. Semua orang tahu. Tiada siapa yang berani melintas di hadapan rumah tersebut walaupun siang hari.
"Aku ada idea." Rudi menjawab selepas menghembuskan kepulan asap di udara.
"Haa apa idea kau?" Rizal menanti. Matanya membulat ke arah teman sebiliknya itu.
"Apa kata kau ambik cerita orang, lepas tu kau ubah la sikit." Jawab Rudi sambil tersenyum.
"Gila kau. Aku tak nak tiru cerita orang. Salah tu." Rizal menjawab. Nadanya ditinggikan sedikit.
"Rileks la Jal. Tak payah la suci sangat. Masa kat kolej dulu pun assignment kau 'cilok' yang orang jugak. Yang ni tak payah la kau tiru sebiji. Ubah la sikit." Rudi menjawab tegas.
"Kalau orang tanya nanti macam mana?"
"Alaa. Takde orang tanya la. Kau jangan la menggelabah. Kalau ada pun, kau cakap ni pengalaman kau. Real story." Rudi menghasut lagi.
"Emmm. Yelah. Tapi sekali ni je la aku ikut idea kau. Lain kali jangan harap. Ni aku nak tiru cerita sape ni?" Tanya Rizal sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Kau cari la cerita seram yang lama-lama punya. Google je." Jawab Rudi selamba sambil membuang puntung rokok ke dalam bekas abu.
"Weh, korang tak nak keluar makan ke? Ke nak kirim? Aku dengan Jimi nak keluar ni. Pergi mamak." Tiba-tiba Along, rakan serumah mereka menjenguk ke pintu bilik.
"Aaa, tunggu kejap. Jal, kau nak ikut tak?" Tanya Rudi sambil mencapai t-shirt yang tersangkut dalam almari. T-shirt berwarna putih itu disarung ke tubuhnya yang melidi.
"Tak nak ah. Aku malas keluar. Korang pergi la. Tapaukan aku nasi goreng daging." Rizal bangun mencari dompet. Not merah dikeluarkan, lalu bertukar tangan.
"Yelah." Jawab Rudi pendek. Not kertas dimasukan ke dalam poket seluar.
"Kitorang gerak dulu." Laung Along dari ruang tamu. Rizal hanya membisu di dalam bilik, menghadap laptop.
Matanya tajam meneliti hasil carian cerita-cerita seram di laman sesawang Google. Cerita-cerita seram untuk dia tiru. Serta merta anak matanya membulat, menumpu kepada satu hasil carian.
'Koleksi Kisah Seram Karya Allahyarham Tuan Razak Osman.'
"Penulis cerita ni dah meninggal. Em, boleh ke ni aku ambik? Ahh lantak la. Asalkan traffic kat blog aku tinggi." Rizal terus menekan link tajuk tersebut seterusnya membawa dia ke satu halaman yang berwarna hitam dan merah.
"Pehhh. Banyak gila cerita. Famous la aku lepas ni." Rizal tersenyum sendirian. Dia menekan link bertajuk 'Pendamping Hidup" lalu membaca cerita yang mempunyai 4 ribu patah perkataan itu.
"Menarik jalan cerita ni...." adrenalin Rizal menderu-deru, pantas jemarinya menambah penyedap cerita, jiwanya semakin mendalami cerita yang dicuri itu.
'Tok!'
'Tok!'
'Tok!'
Pada mulanya Rizal tidak mempedulikan ketukan pada pintu rumah sewanya, fokusnya hanya pada cerita yang disunting. Tapi apabila bunyi ketukan itu semakin kuat, dia sudah hilang sabar. Terus dia keluar dari bilik dan menuju ke pintu depan yang pada waktu itu bunyi ketukan semakin rancak.
Tombol pintu dipulas. Pintu dibuka. Namun tiada siapa. Rizal menjenguk keluar. Tiada kelibat orang. Rumah jiran sebelah sudah dua hari bergelap. Penghuninya pulang ke kampung. Rumahnya pula paling hujung.
"Budak-budak nakal punya kerja la ni. Lewat malam pun gigih nak kacau orang." Rizal berang. Pintu ditutup kuat lalu dikunci dari dalam. Dia melangkah menuju ke arah bilik semula. Menyambung kembali kerjanya yang terganggu tadi. Namun langkah kakinya terhenti. Ekor matanya menangkap sesuatu di dapur. Perlahan-lahan Rizal menoleh.
Kelibat seperti seorang lelaki tua sedang berdiri tegak di dapur memandangnya dengan riak yang menyeringai, tajam matanya cukup membuatkan Rizal seriau satu badan.
Rizal terkelu. Digosoknya mata berkali-kali. Kelibat orang tua itu hilang. Lesap.
"Ilusi aku la kot. Ah biarlah." Bisik Rizal untuk sedapkan hati sendiri. Dia merengus kerana kerjanya terganggu.
*****************
"Macam mana cerita kau? Okay tak?" Tanya Rudi sambil bermain PSP di atas katil. Jarinya ligat menekan punat-punat alat kawalan permainan tersebut.
"Okay je. Aku dah copy semua. Tengah ubah ni. Sikit lagi nak habis." Jawab Rizal sebelum menyuap suapan terakhir nasi goreng daging ke dalam mulut.
"Bagus la tu." Rudi membalas pendek. Matanya masih tertumpu di skrin PSP. Sesekali menguap.
"Takkan dah mengantuk? Lemah la tidur awal." Tegur Rizal sambil ketawa. Jari-jemarinya pantas menekan papan kekunci pada laptop.
"Ah sibuk la kau." Balas Rudi sambil bangun dari katil. Bergerak menuju ke dapur. Rizal meneruskan kerjanya.
Tiba-tiba tingkap biliknya dicakar dari luar.
'Apa pula kali ni? Kacau betul!' Getus hatinya. Rizal berpura-pura tidak mendengar sambil sibuk menekan-nekan papan kekunci. Cakaran itu semakin lama semakin kasar.
Seakan dipukau, kepalanya ditoleh ke arah tingkap.
"Kucing rupanya." Bisik Rizal. Lega. Segera dia bangun membuka tingkap. Kucing berwarna kelabu itu dengan pantas melompat masuk lalu duduk sambil mendongak kepala merenung Rizal.
"Haa, duduk situ. Jangan kacau. Aku nak buat kerja kejap." Rizal memberi pesan. Kucing itu mengiau seolah-olah faham.
"Weh Jal... Eh, kucing sape ni?" Tegur Rudi sambil tercegat di pintu bilik.
"Entah la. Dia duk cakar-cakar tingkap dari luar tadi. Aku bagi la dia masuk. Kucing jiran la kot." Jawab Rizal tanpa melihat teman sebiliknya.
"Tapikan Jal, kita duk kat tingkat 4. Rumah hujung sekali. Macam mana kucing ni boleh duduk kat tingkap bilik kita?" Tanya Rudi lagi sambil duduk di katilnya. Matanya tertumpu pada kucing kelabu yang bersaiz kucing dewasa itu. Rizal berhenti menaip.
"Betul jugak cakap kau. Habis macam mana kucing ni boleh.... Ah. Dia berjalan atas paip kat dinding tu kot." Rizal cuba bersikap positif.
"Hmm yela kot."
"Tu, apa benda kat tangan kau?" Tanya Rizal sambil menunding ke arah objek yang digenggam Rudi.
"Oh haa ni. Ketayap. Aku jumpa kat pintu dapur tadi. Tapi tak pernah lagi aku tengok penghuni rumah ni pakai ketayap. Hairan jugak aku sape punya." Jawab Rudi sambil menunjuk ketayap putih di tangan kirinya.
"Pehh. Kotor seh ketayap tu. Siap ada kesan tanah lagi. Ni mesti kerja Along dengan Jimi ni. Nak sakat kita." Rizal membuat andaian. Rudi hanya mengangguk.
"Dah. Kau pergi letak kat bilik diorang. Karang diorang balik dari mamak, biar diorang pulak yang terkejut." Tambah Rizal lagi.
Rudi bangun menuju bilik sebelah. Bilik Along dan Jimi. Tak lama kemudian dia kembali ke bilik.
"Kau letak kat mana?"
"Aku letak dalam almari Jimi."
"Niceeee." Rizal mengangkat ibu jari.
************
"Dah pukul 3 pagi ni. Mana diorang? Tak balik balik lagi." Tanya Rizal sambil membelai kucing kelabu yang sedang tidur di atas ribanya.
"Alaa biasa la tu. Nama pun tengok bola. Subuh nanti baru nampak batang hidung." Jawab Rudi. Matanya hampir layu, namun masih kental bermain PSP.
"Siap!" Rizal merenggangkan tangan. Diperiksanya sekali lagi. Dia berpuas hati setelah mendapati tiada apa-apa kesalahan. Ikon 'save' diklik.
"Hantu Raya Haji Mustapha? Hmm macam best." Rizal membaca satu lagi cerita. Disebabkan rasa seronok melayan karya-karya arwah, dia merasakan terdorong untuk menyunting sebuah lagi cerita untuk malam itu. Penjiwaan karya arwah ini cukup luar biasa, adakah semua karya ini dari rentetan kisah benar?
Tiba-tiba, hampir separuh cerita fokusnya terganggu lagi.
Bahunya dicuit...
Dia menoleh, lihat Rudi sudah hanyut dibuai mimpi.
Rizal menoleh sekali lagi apabila terasa seperti ada seseorang sedang berdiri di belakang menghampirinya. Apabila ditoleh, dia tidak melihat sesiapa. Hanya gelap bilik. Rizal menyambung kembali bacaannya. Sesekali dia mengusap belakang tengkuk yang tiba-tiba meremang.
'Ah! telinga pula...' bisik hatinya
Dijelingnya ke arah kanan dan kiri apabila dia terasa seperti ada angin meniup lembut pada kedua-dua telinganya.
'Aduh!'
Rizal mengangkat kaki apabila kakinya pula terasa disentuh oleh sesuatu yang berbulu. Bahunya kadangkala dipegang dari belakang. Rizal sudah mula tidak senang duduk. Sudah mula gelisah.
'BAM!'
Satu hentakan deras di luar bilik yang mengejutkan Rizal sehingga tubuhnya melonjat sedikit. Kucing di ribanya mengiau kuat dan berlari keluar dari biliknya. Dia melihat pula ke arah Rudi yang sedikit pun tidak terkesan dengan bunyi yang kuat tadi. Dia bangun menuju ke arah bunyi tadi, iaitu dapur. Jantungnya berdegup kencang.
Alangkah terkejutnya Rizal apabila dia melihat sesuatu yang amat ganjil, mustahil rakan serumahnya sebegitu. Terdapat satu lembaga besar berbulu hitam lebat sedang duduk bertinggung atas meja makan di dapur. Mukanya menghadap ke bilik air, membelakangi Rizal. Perlahan-lahan dia menutup pintu bilik.
'Apa benda tu?' Rizal bermonolog.
Dia cuba mengejutkan Rudi. Namun tiada tanda-tanda menunjukan yang Rudi akan bangun.
"Ah lantak la." Rizal segera menuju ke katil bujangnya. Membungkus diri dengan selimut.
Dia mendengar bunyi pintu biliknya dikuak, krekkk........ Menggeletar seluruh badanya apabila dia dapat melihat jelas bayangan seorang lelaki melalui bias selimutnya. Rizal mengintai sedikit.
Susuk seorang lelaki tua memakai baju pagoda putih, berkain pelikat singkat dan berseluar panjang. Di pinggangnya terlilit tali pinggang hijau. Pakaiannya comot dengan kesan tanah, teringat pula pada ketayap pelik yang dijumpai tadi. Kucing kelabu itu kini didukungnya. Mata lelaki tua itu tajam memandang tepat ke mata Rizal. Rizal tersentak, segera memejamkan matanya seerat mungkin, selimut disorot tarik kembali.
Tiba-tiba dia merasa ada sesuatu yang berat membuatkan hujung katilnya merendut, bermula dari kakinya sebelum ia menghempap ke seluruh tubuh. Sesuatu yang besar dan berat. Rizal bergelut untuk lolos, kini lehernya dicekik. Meronta-ronta badannya gelupur, sesak nafas. Tangan yang sedang mencekik itu dirasakan jelas berbulu kasar. Selimutnya dilurut jatuh ke lantai.
Dia dapat melihat jelas seekor makhluk yang seakan-akan mawas yang sedang mengamuk, mencekiknya. Bola matanya dari hitam pekat kini merona merah sagu, tajam, menakutnya dan terjojol keluar dari soket mata. Sambil mencekik, ia menyeringai menunjukkan taringnya yang panjang mencecah dada. Makhluk itu merengus kuat, sepertinya ingin menamatkan riwayat Rizal waktu itu juga.
"Ini akibatnya, kalau ambil sesuatu yang bukan hak kamu." Lelaki tua itu bersuara sambil bergerak menghampiri Rizal yang bertarung nyawa di katil.
Serta-merta lelaki tua itu bertukar wajah. Kulit wajahnya yang berkedut sejuta kini mereput daging-daging sehingga rompong. Biji matanya terperosok ke dalam. Kukunya memanjang runcing dan tajam. Mulutnya ternganga, lidah hitam berjuih sehingga mencecah lantai. Bau hanyir kini memenuhi ruang bilik, amat menusuk rongga hidungnya.
Rizal cuba melawan sekuat yang boleh. Nafasnya tersekat. Air matanya sahaja yang mampu mengalir. Dia tidak mahu mati begini. Matanya dipejam. Dikumpulnya segala kekuatan.
"Assalamualaikum.."
Terdengar suara Along memberi salam diikuti dengan ketukan pintu dari luar rumah. Makhluk berbulu yang sedang mencekik Rizal dan lelaki tua itu terus ghaib, sekelip mata.
Tersedak, peparunya menarik kuat menyedut oksigen. Terbatuk-batuk Rizal sambil memegang lehernya sendiri. Oksigen disedut sedalam-dalamnya sehingga ritmanya stabil. Lega. Dia cuba bangun namun tak berdaya. Badannya terlalu lemah.
"Assalamualaikummm.." Suara Along semakin kuat. Begitu juga dengan ketukan pintu. Rudi tersedar dari tidur dek suara itu.
"Weh Jal. Apahal kau tak bukak pintu tu?" Tanya Rudi sambil memisat kedua matanya. Masih dalam keadaan mamai. Rizal tidak mampu menjawab. Hanya terbaring tercungap-cungap.
Rudi segera bangkit dari pembaringan menuju ruang tamu setelah suara Along semakin kuat memberi salam.
Tinggal Rizal berseorangan. Tak kering lagi keringat peluh tadi, tetiba..."ingat! Ini pengajaran untuk kamu. Lepas ni kalau kamu masih lagi ambil yang bukan hak kamu, mati akibatnya! Faham?!" Suara lelaki tua tadi sayup-sayup kedengaran berbisik ke telinga Rizal. Mengigil Rizal ketakutan, dia hanya mampu berserah, mendengar ugutan dan mengangguk lemah.
Dalam keadaan yang lemah, dia sedaya upaya bangun menuju ke meja laptopnya dan membuang segala cerita yang disunting tadi dengan segala cerita-cerita yang sempat diambil. Merinding bulu romanya. Dia masih dapat merasakan seolah-olah lelaki tua itu masih memerhatikannya, dari belakang.
Hehehe.....
"Awas, aku akan selalu memerhatikan kau...,"
-TAMAT-
=========================
Gambar: Dikmang
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke aanrc2017@gmail.com
No comments:
Post a Comment