Tuesday, 6 February 2018

PUAKA BULUH PERINDU - Iskandar Zulfaqar


Tajuk : Puaka Buluh Perindu

==============

Perjalanan selama tiga jam tiga puluh minit sekumpulan penuntut universiti awam itu akhirnya menemui destinasi. Masing-masing mengeliat meregangkan urat saraf dan otot-otot sebaik sahaja mereka turun daripada kereta. 

Zarif, selaku ketua kelab rekreasi universiti mereka itu memeriksa setiap barangan dan kelengkapan di dalam bonet kereta sementara Qayyum, Malik, Habib dan Zalikha bagaikan dipukau menatap bukit yang tersergam indah di hadapan mereka. Masing-masing tidak mengelipkan mata tatkala menikmati pemandangan sebuah bukit yang tersergam indah itu.

“Boleh dah kot tolong aku angkat barang-barang ni. Sampai bila nak tengok bukit tu? Sekejap lagi kita akan tawan juga bukit ni.”

Kata-kata Zarif itu memecahkan lamunan mereka yang semakin dalam diselam. Masing-masing tersentak umpama baru sedar daripada pengsan dan segera menghampiri Zarif untuk mengangkat barangan dan kelengkapan mendaki.

“Sorry lah bro. Kita semua mengelamun. Cantik lah bukit ni. Tak sabar aku nak daki,” kata Qayyum.
“Kau ni semua tak sabar. Bukit ni tinggi tau. Nanti pancit di pertengahan jalan baru kau tahu.” Habib pula bersuara.

“Come on lah Bib. Kita ni pasukan pendaki kot. Kita dah tawan Gunung Kinabalu. Tak mungkin lah bukit ni kita tak boleh daki,” kata Malik meninggi diri.

Zalikha bingkas bangun untuk menentang kenyataan sombong Malik itu. “Kau jangan nak sombong sangatlah Malik. Gunung Kinabalu tu lain. Memang lah gunung tu tinggi tapi tak mencabar macam bukit ni. Walaupun bukit ni tidaklah tinggi tetapi ramai yang terkandas tau. Korang semua mesti pernah dengar cerita tentang kes kehilangan pendaki bukit ni. Apa yang aku dengar kehilangan itu ada kaitan dengan…” 

“Korang semua mari kumpul kat sini. Aku ada sedikit taklimat sebelum kita mulakan pendakian.” Zarif memotong kata-kata Zalikha sebelum sempat Zalikha menghabiskan ayat-ayatnya.

“Pertama sekali, aku tak nak sesiapa pun cakap besar. Kita kena sedar yang kita nak masuk tempat orang, walaupun kadang-kala bukannya orang tapi aku nak kita hormat. Jangan sesekali cakap besar terutama sekali ketika mendaki nanti. Kedua, jangan ada sesiapa pun tegur jika terlihat sesuatu yang pelik. kekal dalam barisan dan jangan pecah. InshaAllah tiada apa-apa yang buruk akan berlaku. Perkara yang terakhir aku nak korang padamkan segala tanggapan buruk korang dengan tempat ni. Aku tahu ada antara korang yang dah dengar cerita tentang bukit ni. Kita bersangka baik. Mungkin mereka meninggal kerana kemalangan,” nasihat Zarif panjang lebar.

“Rif, aku ada soalan. Betulkah di puncak bukit ni terdapat pokok buluh perindu seperti yang aku dengar?” soal Zalikha.

Zarif terdiam mendengar soalan yang diajukan oleh Zalikha itu. Semua mata kini tertumpu pada Zalikha. Zarif memang tidak menyangka Zalikha akan bertanyakan soalan begitu. Perkara itulah yang sebenarnya ingin dirahsiakan oleh Zarif daripada pengetahuan semua. Bukan sengaja Zarif ingin rahsiakan perkara itu tetapi dia khuatir jika perkara buruk terjadi.


“Zarif jawablah. Kenapa kau diam?” Malik pula bersuara.

“Baiklah aku jawab. Aku tak pasti sama ada benda ni betul ataupun mitos. Aku dengar pun daripada Jeneral Bakhtiar semasa aku dalam Rejimen Askar Wataniah tahun lepas. Katanya, di puncak bukit ini terdapat sepohon pokok buluh perindu. Aku pun tak boleh nak kata betul ke tidak,” Zarif memulakan bicara jawapan.


“Benda biasalah atas bukit ada pokok buluh. Apa yang peliknya?” Malik mencelah.

“Masalahnya pokok buluh ni bukan macam pokok buluh biasa. Ini buluh perindu. Buluh perindu ni bahaya. Ada orang kata pokok buluh ni boleh digunakan sebagai minyak pengasih. Ada juga orang cakap kalau kita tak mampu menahan diri, kita akan mati di keliling pokok buluh tu kerana pokok itu akan mengeluarkan sebuah bunyi yang sangat sedap untuk didengar sehingga kita leka dan tidak mahu berganjak dari situ. Jangan percaya sangatlah benda-benda macam ni. Tuhan lebih berkuasa,” jelas Zarif.


Sesuatu yang tidak baik terlintas di fikiran Habib tatkala mendengar penjelasan Zarif berkaitan perihal buluh perindu itu. Dia tertarik dengan kelebihan buluh perindu tersebut yang boleh dijadikan sebagai minyak pengasih. 

Sudah lama dia mengidam untuk memiliki minyak pengasih bagi membantu usahanya mendapatkan hati Amelia, gadis yang sudah setahun diburunya itu. Sudah beberapa kali dia disiksa dengan penolakan cinta daripada Amelia ataupun dalam erti kata lain friendzone. Kali ini dia nekad untuk mendapatkan gadis itu dengan bantuan buluh perindu.


“Jangan banyak tanya lagi. Ayuh kita gerak sementara cuaca belum panas.” Zarif bersuara.

Kesemua mereka memulakan misi pendakian tersebut. Setiap daripada mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menawan puncak bukit itu walaupun di dalam hati mereka ada niat yang berbeza. Bagi Zarif, dia berasa bimbang jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada mereka semua kerana semua rakan-rakannya berada di bawah tanggungjawabnya.


Bagi Malik, Qayyum dan Zalikha pula, mereka tidak sabar untuk sampai ke puncak dan melihat sendiri sejauh mana kebenaran cerita tentang buluh perindu itu. Semestinya bagi Habib, dia ingin berjumpa dengan pohon buluh perindu itu untuk diambilnya dan dibuat minyak pengasih.

Lebih kurang satu jam pendakian akhirnya mereka sampai di pertengahan bukit itu. Di situ juga tersedia sebuah pondok buat pendaki untuk melepaskan lelah. Mereka berhenti di situ untuk berehat. Entah mengapa setiap daripada mereka dibadai letih yang terlampau termasuklah Zarif. Zarif terkenal dengan sifatnya yang sangat cergas. Jarang sekali dia lemau ketika mendaki tetapi tidak kali ini. Walaupun baru satu jam pendakian, dia sudah tidak berdaya lagi.

“Lain macam letihnya hari ni. Kau pun dah tercungap tu, Rif.” Malik menegur Zarif.

“Ish! Kau ni Malik. Aku dah cakap kan jangan tegur apa-apa. Aku tak sarapan kot tadi sebab tu letih. Jangan lah fikir pelik-pelik.” Zarif cuba menafikan.


Sedang mereka leka berbual tiba-tiba sahaja pondok yang mereka sedang berlindung di dalamnya itu bergegar. Gegarannya juga bukanlah gegaran biasa. Sangat kuat dan mencemaskan setiap daripada mereka.

“Ya Allah! Kenapa ni?” Zalikha cemas.

“Sabar semua. Jangan panik.” Zarif bingkas bangun dan melaungkan azan sekuat hatinya. 

Seusai azan dilaungkan, gegaran itu pun terhenti. Sukar untuk diterima akal. Hanya pondok itu sahaja yang bergegar tetapi tidak kawasan sekelilingnya. Semua menarik nafas lega tatkala menyedari gegaran itu terhenti.

“Ada yang taknak bagi kita naik atas ni.” Zalikha bersuara.


“Betul tu Zarif. Aku rasa kita kena turun lah. Macam petanda tak baik saja ni. Aku dah rasa tak sedap hati ni,” cadang Qayyum.

“Eh! Tak boleh macam tu. Tak baik buat kerja separuh jalan. Kita kena naik juga sampai puncak.” Habib membantah.

Zarif pula hanya terdiam tidak mampu berkata apa-apa. Dia sedang berada di tengah-tengah perbalahan rakan-rakannya. Zarif masih memikirkan keputusan yang perlu diambil pada situasi genting begini.

“Apa keputusan kau, Zarif? Kau ketua kena buat keputusan. Kami akan ikut saja keputusan kau.” Malik pula bersuara.


“Baiklah! Orang tua-tua ada cakap tak baik kalau buat kerja separuh jalan. Jadi, aku nak kita teruskan pendakian sampai ke puncak. InshaAllah takde apa-apa yang buruk akan berlaku.” Zarif menetapkan keputusannya.

Sejalur senyuman terukir di wajah Habib. Zarif mengambil keputusan yang diingininya. Tetapi tidak pula bagi Zalikha dan Qayyum yang sememangnya tidak mahu teruskan pendakian kerana resah hati mereka semakin membuak. 

“Aku tak setuju, Rif. Kita kena patah balik. Aku tak sedap hati ni.” Qayyum membantah.


“Jangan fikir pelik-pelik, Qayyum. Jangan risau lah. Lagipun ini arahan aku. Korang kena ikut,” arah Zarif tegas.

Tanpa ada sebarang bantahan lagi, misi pendakian diteruskan. Satu jam lagi diambil untuk mereka sampai ke puncak bukit itu. Semua menarik nafas lega. Sejalur senyuman terukir pada wajah Zalikha dan Qayyum yang asyik beriak wajah masam sejak tadi.

“Alhamdulilah. Kita dah selamat sampai ke puncak. Jom hampar tikar. Kita akan berkelah di sini,” arah Zarif kepada semua anak-anak buahnya.

“Nanti dulu! Mana pohon buluh perindu yang kau kata tu?” soal Habib.

“Jangan cakap macam tu Habib. Mungkin itu semua dongeng saja. Kau jangan percaya sangat,” jawab Zarif.

“Celaka! Kau penipu!” Habib mendekati Zarif dan menarik leher bajunya.

Waktu itu juga mereka sekali lagi terasa gegaran yang amat kuat sehingga menyebabkan semua terjatuh menyembah bumi. Namun, kali ini gegarannya tidak lama. Gegaran tersebut berhenti tatkala tubuh mereka bertemu tanah. Masing-masing bangun semula sambil menggosok kepala kerana kesakitan akibat terjatuh. 

Retina mata mereka menangkap sesuatu yang aneh. Dilihat mereka suasana yang tadinya nyaman bertukar sama sekali menjadi berdebu. Pokok-pokok kehijauan semua bertukar layu. Lebih aneh lagi langit yang pada asalnya biru bertukar merah pekat seperti darah.


Zarif menelan air liurnya. Terasa pahit sekali. Peluh mula membasahi dahinya. Ketakutan menguasai dirinya sekarang ini. Setiap bait-bait cerita yang disampaikan oleh Jeneral Bakhtiar terngiang-ngiang di telinganya sekarang ini. Mimpi ngeri telah bermula.

“Apa semua ini?” soal Zalikha tergagap-gagap.

Namun, sebelum sempat Zarif menjawab, muncul seorang wanita cantik betul-betul di hadapan mereka. Wanita itu mengenakan kebaya merah. Sanggulnya diikat kemas seperti wanita zaman dahulu. Senyumnya juga manis seolah-olah meraikan kehadiran mereka.

Dia seterusnya melambai tangannya kepada mereka sebagai isyarat supaya mengikutnya dan berjalan meninggalkan tempat itu. Mereka semua mengikutnya. Dalam lebih kurang 50 langkah perjalanan, wanita itu berhenti. Di hadapannya tersergam sepohon pokok buluh yang sangat aneh. Belum pernah mereka lihat dalam seumur hidup mereka.


Daun-daunnya semua berwarna merah. Batang buluh itu pula berwarna kuning pekat. Dan lebih memeranjatkan ialah di sekeliling pokok itu terdapat bermacam-macam bangkai seperti bangkai harimau, gajah, rusa, ayam hutan dan banyak lagi. Semuanya sudah hampir mereput dan ada juga yang sudah tinggal tulang sahaja. Semuanya dalam keadaan sedang berdiri seperti melihat sesuatu.

“Ya Allah!” Zalikha menjerit kuat sambil menuding jari ke arah kanannya.

Barulah mereka sedar di sebelah kanan Zalikha terdapat tengkorak manusia yang masih berbekal daging yang kian mereput dalam posisi berdiri memandang ke arah pokok buluh itu.


“Dengar sini semua! Aku tahu kita akan lalui benda ni. Kalau kamu semua nak tahu, itulah buluh perindu. Kita sekarang berada di alam mereka. Korang mesti tertanya-tanya kan ke mana hilangnya pendaki sebelum ni? Inilah mereka. Semuanya sudah mereput. Semua dah jadi mayat. Kau nak sangat kan Habib? Inilah buluh perindu!” jelas Zarif.

Habib terdiam sambil memikirkan bagaimana Zarif boleh membaca fikirannya kerana dia tidak pernah memberitahu sesiapa akan niatnya itu. Dia hanya menyimpan niat itu sendiri.

“Bukan semua orang boleh nampak buluh perindu di puncak bukit ini kecuali yang ada keinginan yang mendalam untuk memilikinya. Habib ada keinginan tu dan kita semua telah masuk ke alam ini,” jelas Zarif lagi.

“Aku nak keluar daripada sini!” tengking Zalikha.


“Sia-sia saja Zalikha. Kita dah tiada peluang untuk hidup kecualilah kita betul-betul kuat.”

Seraya itu juga wanita berkebaya merah tadi mematahkan batang buluh perindu itu dengan tangannya sendiri dan meniup batang buluh itu seperti seruling. Suatu bunyi yang sangat mengagumkan terhasil. Masing-masing terpegun dengan bunyi itu. Masing-masing tersenyum sambil menghayati bunyi yang indah yang belum pernah didengar seumur hidup mereka.


Seminggu selepas itu, pihak polis menemui sebuah kereta milik sekumpulan pelajar IPTA yang hilang seminggu lepas. Di media-media cetak dan media massa sibuk memuatkan berita tergempar kehilangan sekumpulan pelajar IPTA yang pergi mendaki di sebuah bukit. Korang mesti nak tahu nama bukit tu kan? Maaf aku tak boleh bagitahu kerana bimbang akan memudaratkan.



TAMAT
Suntingan dan gambar: Nil
===============

Anda ada kisah seram, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata kongsikan kisah anda kepada kami dia aanrc2017@gmail.com.

No comments: