Wednesday, 28 February 2018

TAKUT - Xander Xavier


TAKUT
Karya Oleh: Xander Xavier

Assalamualaikum dan selamat malam kepada semua pembaca Arkib Angker Negara. Di sini saya ada menyediakan sebuah kisah yang saya tak tahu mahu diklasifikasikan sebagai cerita seram atau tidak. Klise atau tidak. Sama seperti yang di filem atau tidak. Namun, saya berharap anda semua terhibur dengan karya picisan ini.
===========================

Saya, Halim. Bekerja di Rapid Pengerang sebagai seorang ‘cleaner’ asrama. Saya baru habis SPM. Jadi sementara menunggu keputusan peperiksaan, saya mengambil keputusan untuk bekerja. Takkanlah nak duduk rumah goyang kaki saja. Sekurang-kurangnya dapat juga duit untuk yuran pendaftaran dan beli komputer riba bila diterima masuk ke universiti nanti. Alhamdulillah Ibu dan Abah membenarkan saya untuk bekerja.

Saya tinggal di Felda Semenchu. Jauh jugalah daripada Pengerang. Jadi saya akan bertolak pada awal pagi. Sekitar pukul 6 dan sampai di tempat kerja pada pukul 7 pagi.

Kemudiannya saya akan pulang sekitar pukul 6 atau 6.30 petang. Sebenarnya kerja habis awal, tapi bila berkumpul dengan kawan-kawan banyak pula perkara yang disembangkan. Kebiasaannya saya akan terpacak di depan pintu rumah pada pukul 7.30 atau 7.45 malam.

Kenapa lama sangat? Satu jam? Saya menunggang motor Vespa lama milik arwah Atok yang tinggal tunggu masa saja untuk tanggal segala bahagian enjinnya. 60 km/j tidak boleh lebih dari itu. Mahu bagaimana lagi, itulah satu-satunya kenderaan yang boleh aku bawa ke tempat kerja. Kereta, Ibu pakai untuk menghantar dan mengambil adik-adik daripada sekolah. Motor EX5, Abah bawa ke kilang. Ini sahajalah pilihan yang ada.


Whatsapp Group Cleaning B1
Azman: Wei, malam besok balik lambat nak?
Jonggang: Nak buat apa? Kau tak puas lagi ke sembang masa cuci jamban?
Fik: Entah kau…
Halim: Akuikut je tapi nak buat apa balik lambat-lambat?
Azman: Hah… Macam ni… Besok hari jadi Mr Lim. Team leader kita yang korang sayang sangat tu. Yang selalu bagi korang pinjam duit kan… Aku sebagai ketua korang mencadangkan elok kiranya kita sambut birthday orang tua tu.Kenang jasa dia dekat korang-korang ni.
Halim: Aku tak de hutang. Tapi… Aku ONZ!!!
Jonggang: ONZ!
Fik: Ajak yang lainlah… ONZ Tak ONZ!
Azman: Ok, aku bagitahu yang lain.


Hari itu seperti biasa, saya bergerak awal. Selesai solat subuh, saya terus mencapai helmet dan bergerak dengan motor vespa kuning karat itu. Bagi sesiapa yang tidak pernah ke Felda Semenchu, anda harus melalui kawasan kebun sawit dahulu sebelum sampai ke kawasan penempatan. Jalan di situ memang agak gelap. Sudah beberapa kali jalanraya itu meragut nyawa manusia. Persimpangannya juga terkenal sebagai lokasi ‘hot’ kemalangan suatu ketika dahulu disebabkan oleh tiada lampu yang ditempatkan di situ.

Dikelilingi suasana gelap dan kelam seorang diri, tidak menghalang bulu roma yang ditutupi dengan baju dan jaket tebal ini daripada memacakkan dirinya. Bukannya saya tidak terbiasa dengan jalan ini tapi entah mengapa pagi ini sedikit berlainan daripada hari-hari sebelumnya. Saya melajukan motosikal Vespa yang tidak berapa laju ini. Tadinya 40 km/j meningkat kepada 50 km/j.

Keadaan sekeliling masih gelap. Jam tangan menunjukkan pukul 6.10 pagi. Berbekalkan cahaya daripada mentol lampu, saya dapat melihat seorang perempuan sedang menghulurkan tangannya. Macam mana saya tahu dia perempuan?

Dia berambut panjang dan memakai baju putih. Hati mula tak sedap. Saya cuba untuk tenang. Saya tahu dialah ‘lagenda’ yang disebut-sebut di sini. Pontianak!

Saya terus memandu melepasi perempuan itu. Malangnya, saya tidak dapat menghalang diri saya daripada memalingkan muka untuk melihat ke arahnya. Dia tersenyum dengan kepala yang senget memandang ke arah saya. Tanpa melengahkan masa lagi, saya terus memecut Vespa yang sedang ditunggang. Ya… Tak boleh pecut pun sebenarnya.60 km/j.

Sepanjang hari itu di tempat kerja saya kelihatan pucat lesi. Beberapa orang kenalan menegur perubahan saya. Tamat waktu bekerja, kami teruskan dengan rancangan sambutan hari jadi. Lokasi yang dipilih oleh rakan-rakan yang lain adalah di sebuah kafe dalam kawasan Bandar Penawar. Saya tolong apa yang patut, tapi saya tidak banyak cakap. Cukup sekadar menolong dan makan. Mereka yang lain melaksanakan sepenuhnya rancangan ini daripada membawa Mr. Lim keluar sehinggalah ketibaannya di kafe.

“Wah, saya banyak terharu lorh! Lu orang memang budak banyak baik,” Mr Lim yang duduk di depan saya berkata sambil menyuap kek ke dalam mulutnya.

“Bos baik sama kita, kita pun mestilah baik sama bos!” Fik menyahut.

“Tapi… Lu… Halim. Kenapa? Muka banyak pucat! Wa perasan ah, harini lu tak banyak cakap. Ada masalah ka? Ceritalah sama kita meh,” Mr. Lim menegur.

“Tak ada apa-apalah bos. Cuma saya tak sedap hatilah. Tadi pagi, saya bawa itu motor mahu pergi kerja, saya nampak Pontianak. Banyak takut bos! Dia senyum dekat saya,” itu sahaja yang saya katakan.

“Husy… Lu… Baik balik sekarang. Hari sudah malam. Kenapa tak cakap awal-awal?” Mr. Lim mengeluarkan arahannya.

“Betullah. Aku rasa baik kau balik. Apasal tak cakap tadi?Tak adalah kitorang suruh kau tunggu sini sampai malam. Mr. Lim pun faham tau,” Jonggang juga menasiahti dengan cara yang sama. Mukanya kelihatan sedikit pucat.

Maka tanpa berlengah lagi, segala barang peribadi dicapai. Setelah bersalaman dengan semua orang, saya bergerak seorang diri ke tempat saya meletakkan motosikal. Jam di tangan menunjukkan tepat pukul 11 malam. Cermin mata dilap sebentar. Habuk yang melekat sedikit sebanyak menganggu penglihatan. Vespa ditunggang perlahan keluar daripada deretan kedai termasuk kafe tadi.

30 minit kemudian… Vespa dibelokkan memasuki persimpangan Semenchu. Saya mula merasakan perasaan tidak enak. Kelajuan motor tidak saya kurangkan. Saya hanya ingin cepat sampai ke rumah. Itu saja harapan saya.

Bulu roma saya tiba-tiba menegak. Perasaan gundah tadi bertambah gulananya. Apa yang tidak kena dengan malam ini.


Saya dapat merasakan Vespa yang saya tunggang semakin berat. Walaupun kelajuannya masih sama, tapi pergerakannya tidak selaju tadi. Saya takut untuk memandang ke belakang. Kata orang tua-tua, kalau motor berat tanpa sebarang masalah enjin, pasti ada yang menumpang.

Saya intip-intip di cermin sisi…
Ya Allah! Pontianak!


Dia sedang tersenyum. Rambutnya menutupi sebahagian wajah. Namun masih terlihat senyuman yang menakutkan itu. Saya menjadi kaku. Tiada apa yang boleh saya lakukan. Hanya berserah kepada takdir. Dia mendekatkan mukanya ke telinga saya yang ditutupi helmet.

“Kau nampak aku tadi pagikan?” Saya terkedu. Suaranya bagai bergema di ruang fikiran.
Hi…. Hi…. Hihi….


Vespa menjadi ringan kembali. Dia sudah terbang.Tanpa berlengah, saya melajukan kecepatan motor. Melebihi 60 km/j. Sesampainya di rumah, saya terus ‘mencampakkan’ Vespa ke dalam bangsal. Helmet juga dicabut kasar dan dicampakkan begitu sahaja. Setelah memberi salam dan mengetuk pintu bagai mahu pecah selama beberapa minit, akhirnya Ibu membuka pintu.

Saya demam buat beberapa hari. Rakan-rakan sekerja juga ada yang datang melawat. Tapi, yang paling menyedihkan adalah Vespa arwah Atok sudah tidak boleh diperbaiki lagi.

Pontianak tu… Entahlah. Saya tak tahu kerana setelah kejadian mengerikan itu berlaku. Abah menghadiahi saya dengan sebuah motosikal baru. Jalan di kawasan itu juga kini juga sudah bertambah baik dengan infrastruktur-infrastruktur yang sepatutnya ada. Satu sahaja pesan saya, kalau nampak, jangan toleh. Jangan toleh belakang.


-TAMAT-
Gambar: Nadey
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: