Sunday 31 December 2017

AISHA; PART 1 - Nil Kuhaku


AISHA; PART 1
KARYA: Nil Kuhaku

===================
-1948, Kota Bharu, Kelantan-

“Assalamualaikum!” laung makcik Jah. Belum sampai tangga rumah lagi, dia dah sibuk bagi salam. Termengah-mengah wanita tua itu membetulkan kain sarungnya yang mahu terlorot. Maklumlah. Perut dah makin besar. ‘Grip’ kain kat pinggang pun tak kuat.

“Allahuakbar!” laung Cik Jah terkejut. Terkejut melihat si Aisha yang duduk berteleku di beranda.

“Kau buat apa tu, Aisha?”

“Aisha tunggu Abang Jalal balik, Cik Jah.” Ujarnya sopan. Cik Jah – tukang urut terkenal di Kampung Batu 48. Dari urut bersalin sampailah ke urut patah, dia tahu. Tapi kes patah hati macam si Aisha, dia tak mampu menolong. Dia menggeleng kepala. Selendang di kepala dibetulkan.

“Mak kau ada?”

“Ada Cik Jah.” Ujar Aisha, masih memandang kejauhan. Menanti sesuatu.

Cik Jah menggeleng. Sempat, dia mengusap kepala Aisha. Menepuk lembut belakang wanita itu, sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

Aisha tahu, semua fikirnya gila. Semua fikirnya tak betul. Tapi dia lebih tahu, Jalal masih hidup. Jalal masih hidup! Dia menggigit bibir. Anak Cina Kelantan itu menunduk. Dia lengkap berbaju kurung, menyarungkan kain sarung tidak berjahit di kepala, menutup auratnya labuh hingga ke siku.

Waktu Jepun datang ke Kota Bharu, keluarganya disembelih Jepun. Dendam mereka pada China masih berbekas, walaupun kaum cina Kota Bharu itu sudah berasimilasi dengan budaya melayu. Sudah pandai makan nasi cicah budu, sudah pandai menyertai sekali main teri (Main Puteri), sudah pandai duduk sekali bila nampak latar wayang kulit dipacak.

Seluruh keluarga Aisha – Cina muslim yang datang dari tanah besar China disembelih. Diseksa. Aisha disorok Jalal dan keluarga mertua, dan gadis bermata sepet itu mengongoi bila mengetahui baba dan mamanya yang sudah tua itu diseksa Jepun. Dia hampir gila apabila membayangkan adik-adiknya yang berumur dalam lingkungan 15-9 tahun itu ditikam hinggai terburai usus.

Kini, Jalal pula dipanggil menyahut seruan berbakti kepada negara. Sekali lagi, Aisha menangis. Mereka baru beberapa bulan berkahwin. Jalal, anak pemain silat terhandal itu mengikut ayahnya, Pak Jamri. Berbakti untuk negara. Petualang harus dihalau. Malam itu, sebelum Jalal bertolak, dia meminta Aisha menceritakan padanya kisah Aishah r.a. Jalal minta Aisha bercerita kisah Fatimah. Kisah taatnya isteri Nabi Ayub. Aisha menurut dalam linangan air mata. Jalal minta Aisha ceritakan kisah-kisah Sulalatus Salatin, terutamanya kisah penaklukan Majapahit ke atas Singapura. Itu kisah kegemaran Jalal.

Aisha menurut. Sepanjang malam, Aisha bercerita pada Jalal, mengenggam tangan kasar suaminya erat.


“Dinda bijak orangnya. Kalau ada apa-apa berlaku, dinda jaga ibu kanda, ya.”

Aisha mengangguk dalam sebak. Pagi itu, Jalal mengucup tangan ibunya. Memohon ampun, mohon halal semua. Pagi itu, alam turut bersedih.

Tak sampai beberapa bulan, Aisha dan ibu mertuanya menerima perkhabaran sedih. Seluruh platun Jalal mati. Tiada yang terselamat. Aisha yang menyambut ibu mertuanya dari jatuh terhantuk ke lantai. Aisha yang mengesat air mata di pipi tua itu. Aisha yang memapah ibu mertuanya bangun untuk mandi. Untuk makan. Berhari-hari tubuh tua itu enggan makan.

“Ibu jangan macam ni bu. Aisha takdok ore lain doh. Aisha sore doh atah dunio ni. Ibu jah nyawo Aisha leni.” Tangis Aisha apabila ibu mertuanya menolak makan.

Mungkin disuntik kata-kata Aisha, Salmah bangkit kembali. Dia bangun memasak lempeng kelapa kegemaran anak menantunya tiba-tiba, pagi itu. Aisha yang baru habis solat Subuh berlari-lari anak ke dapur apabila dia mendengar bunyi bising. Aisha merangkul erat badan tuanya, apabila melihat ibu mertuanya kembali seperti asal. Salmah jadi begitu, kerana takut sebenarnya. Dia takut Aisha akan tinggalkan dirinya suatu hari nanti. Aisha masih muda, baru menginjak umur 19 tahun. Tak adil untuk Aisha berkorban untuk dirinya, si tua yang menanti mati.

“Aisha tak nak tinggalkan ibu. Abang Jalal dah amanatkan ibu pada Aisha.” Ucap menantunya itu, waktu Salmah sibuk mencanai lempeng di dapur.

Kini, mungkin badan kecil Aisha itu tidak tertahan mendengar mulut orang kampung. Kata mereka platun Jalal hancur. Kepala dipenggal. Diseksa sebelum mati. Kuat mana seorang manusia itu? Aisha tak mampu. Sudahlah keluarga pun menemui ajal dengan cara yang sama. Kini anak menantu Salmah cuma termenung di beranda, menanti pulangnya Jalal. Jalal mati tidak berkubur. Awalnya Aisha kuat. Awalnya Aisha yang memimpin Salmah. Kini, Aisha kalah.

“Dia dah makan belum, Salmah?” cuit Cik Jah. Salmah mengeluh.

“Dia masuk untuk solat. Mengaji. Kemudian dia keluar balik. Makan pun cubit sikit-sikit saja, Jah.” Salmah mengeluh.

“Dia jadi begini, sebab apa? Sebab dia mimpikan Jalal?” tanya Cik Jah. Membantu Salmah mengupas bawang. Cik Jah adalah kakaknya si Salmah.

Salmah mengangguk.

“Ceritanya Jalal datang dalam mimpinya berturut-turut. Yang dia masih hidup. Dia selamat. Tapi Jalal tersesat.”

Cik Jah menggeleng kepala. “Ini salah penduduk kampung juga. Duk bercerita cara arwah mati. Allahuakbar, kalau aku pun Mah – aku pun rasa separuh gila.” Cik Jah mengesat air mata. Entahlah bahana air bawang atau dia turut sebak sendiri. Salmah mengangguk. Hatinya kesal dengan orang kampung. Mahu sahaja dia membawa Aisha lari dari Kampung Batu 48, lari jauh-jauh. Tapi ke mana? Dia sebatang kara. Yang dia ada cumalah Jah kakaknya. Anak-anak Jah semua merantau. Tinggallah mereka berdua.

Malam itu, Aisha bermimpi lagi. Jalal sedang berlari dengan kaki cedera, lari jauh ke dalam hutan. Askar-askar Jepun mengejarnya di belakang.

Lelaki kesayangan Aisha itu tidak putus-putus berzikir. Mengulang nama Allah. Aisha cuba berteriak memanggil Jalal, tetapi lidahnya kelu. Lidahnya terkunci!

Jalal berlari di lantai hutan yang berselirat. Dia tersandung, sebelum jatuh terguling ke bawah cerun bukit.

Jalal ternampak sebuah pokok besar, dengan tumbuhan bergayutan dari pepohon. Di batang pokok itu ada huruf jawi yang diukir. ‘Hu’. Tidak berfikir panjang, Jalal menuju ke pokok sebesar lima pemeluk orang dewasa itu, menyorok di belakangnya.

Waktu itu, Jalal tiba-tiba lenyap.

Lalu Aisha terjaga.

Aisha kenal hutan itu, hutan itu dipinggir kampung ini sahaja. Senyap-senyap, Aisha ke dapur. Diambilnya beberapa buah pisang. Sebalang air.

Wanita itu merenung sayu pada tubuh tua yang sedang tidur di lantai. Dia mengucup lembut tangan Salmah.

“Maafkan Aisha ibu. Tapi Aisha kena pergi. Aisha pasti, Abang Jalal masih hidup.”

Dalam pekat malam, gadis itu menarik kuda tua milik Jamri. Sudah lama kuda tua itu tidak ditunggang. “Mari, Merah. Kau kena bawa aku cari Abang Jalal.” Bisik Aisha. Kuda itu berbunyi lembut.

Waktu Salmah terjaga pagi itu, Aisha sudah tiada.

Aisha berjumpa dengan pokok besar itu menjejak Subuh. Segera, Aisha menunaikan solat Subuh. Usai dia mengucapkan salam, dia dengar Si Merah meringking ketakutan.

Aisha mendongak.

“Allahuakbar!” Jerit Aisha. Di atas pokok, bergayut seekor makhluk bertubuh burung hantu. Kepalanya adalah perempuan bermata lapan seperti labah-labah. Makhluk itu tidak berbibir, mukanya cengkung. Merenung Aisha garang.

“Kau siapa?” jerkah Aisha dalam gentar.

“Aku Tsa. Aku penjaga gerbang.” Ucapnya, memusingkan kepala seperti burung hantu. Aisha menelan air liur.

“Kau nampak suami aku, Jalal?” Tanya Aisha tanpa berkias.

“Ya. Aku yang benarkan dia masuk.”

“Masuk ke mana?”

“Alam bunian!” Tsa menyeringai.

“Suamiku manusia. Dia bukan bunian!” Bentak Aisha. Dia benar. Jalal masih hidup!

“Huuu, huu.” Tsa berbunyi seperti burung hantu. Dia melompat dari dahan ke dahan. “Tapi dia membayarku darahnya. Darah dari kakinya!”

“Kau silap. Kaki suamiku tercedera! Dia tak berniat mahu ke dunia bunian!” jawab Aisha. Rasa takutnya hilang apabila mengetahui Jalal masih hidup.

“Huu! Huu! Tsa sudah tersilap. Tapi dia tak pernah keluar. Manusia takkan keluar apabila mereka tinggal di alam bunian!” Makhluk aneh itu mengepak-ngepakkan sayapnya. Aisha menggeleng.

“Tsa, kau boleh tolong aku masuk? Aku mahu bawa suamiku pulang.”

Tsa menyeringai.
“Kau kena bayar dahulu!”

“Aku tiada wang.”

“Aku mahu darahmu!”

“Oh, tak boleh. Darahku tak boleh.” Geleng Aisha. Tsa memusing kan kepalanya. Mengelipkan kelapan-lapan matanya.

“Kenapa tak boleh?”

“Kau tak tau ke aku apa?”

“Kau apa?”

“Aku perempuan.”

“Jadi?”

“Perempuan manusia tidak berdarah. Mereka berdarah sekali sahaja sebulan.”

Tsa mengepakkan sayapnya resah.

“Aku pernah dengar itu! Jadi kau tak berdarah?” Ujar Tsa.

“Ya. Aku tak ada darah. Kau kena tunggu sepurnama lagi, baru aku berdarah.”

“Tsa lapar!” Nyaring makhluk aneh itu berbunyi.

“Kau tak pernah tinggalkan tempat ini untuk mencari makan, Tsa?”

“Tak. Kaum bunian arahkan aku duduk disini selagi tanah tidak bertukar menjadi emas.”

“Kasihan kau, Tsa.”

“Kau kasihankan aku?”

“Ya.” Aisha memancing. “Kalaulah aku boleh berkongsi makanan yang aku bawa, tapi kau cuma makan darah, kan Tsa?”

“Tak! Aku juga makan benda lain. Apa yang kau bawa?”

Aisha menunjukkan sesikat pisang tanduk. Tsa merenung pisang itu kelaparan. Kepalanya digerakkan ke kanan, ke kiri.

“Aku mahu!” Tsa terbang ke bawah. Aisha mengundur, terperanjat. Dari dekat, Tsa kelihatan lagi menakutkan. Dia berdiri setinggi tujuh kaki, mata-mata di kepalanya merenung Aisha tidak berkelip.

“Aku boleh bagi kau, Tsa. Tapi syaratnya, kau kena bagi aku masuk.”

“Nanti, kaum bunian marah Tsa!”

“Kau bagi suamiku masuk. Kaum bunian tak marah. Kalau suami boleh masuk, tentu isterinya boleh. Kan?” Ujar Aisha bermuslihat.

Tsa mundar-mandir. Kehulu, kehilir. Berjalan terkangkang-kangkang seperti burung.

“Huu, huu! Aku benarkan kau masuk. Tapi jangan cakap aku yang bagi!”

“Allahu. Terima kasih Tsa. Ambillah.” Ujar Aisha.

Tsa mengambil pisang itu dengan kakinya yang lebar. Muncul segaris cahaya biru di bawah pokok Hu itu.

“Kau masuk, jangan lupakan nama kau. Jangan lupakan nama suami kau. Nanti kau tak boleh keluar!” Cicip Tsa.

Aisha mengangguk. Tudung kain sarung corak batik Terengganu itu diperkemas.

Tunggu dinda, kanda!

==============

Suntingan dan Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

BIDAN KAMPUNG - Kukil Kufiq


TAJUK : BIDAN KAMPUNG
OLEH : Kukil Kufiq

===============

Cerita ini berlatarbelakang tahun 60-an. Cerita ini saya dengar dari Nenek saya, saya,membesar di bawah jagaan nenek saya. Almaklumlah mak busy, bapak dah tak ade, dia kata cerita ni kisah betul yang jadi kat kampung atuk saya dulu. Kampung atuk saya ni kat Kota Gelanggi, entah betul entah tidak Allah je la yg tahu. Nama-nama dan watak-watak diubah untuk kesesuaian cerita.

===============

Salam baru berpindah semula ke kampungnya, kali ini dia membawa pulang bersamanya seorang isteri yang dinikahinya di Singapura.

Lantas, apabila Siti mula berbadan dua, dan kepayahan hidup di kota membuatkan Salam mengajak Siti untuk tinggal bersamanya di kampung. Sekurangnya di kampung boleh taraf hidup tidaklah tinggi mana. Disamping kerja-kerja kampung, makanan mudah dapat, nak ikan boleh pergi memukat, nak sayur boleh tanam keliling rumah.

Lagipun Salam terfikir, memandangkan adik-adiknya semua ada kehidupan sendiri merantau, siapalah lagi nak diharapkan untuk menjaga rumah pusaka arwah orang tuanya.

Maka selepas berbincang dan dipersetujui oleh Siti, Salam dan Siti pun berangkat pulang ke kampungnya.

Suasana rumah pusakanya tak adalah teruk sangat, cuma adalah semak-samun yang menebal di sekeliling rumah. Salam bersama beberapa orang sahabatnya bergotong-royong membersihkan kawasan sekeliling rumah, sudah berapa lama dia tidak pulang selepas kematian arwah ibunya enam tahun dahulu - baru kali ni Salam pulang. Kali ini dia bertekad, hidup mati biarlah di kampung.

Perabot rumah semuanya lengkap, Siti ibarat cuci kaki je masuk rumahnya kali ni. Hampir sebulan di sana, Siti mula bergaul rapat dengan tetangganya terutama sekali dengan jirannya Esah.

Salam pula mula membuat kerja-kerja kampung,di samping memukat ikan dan mengambil upah menebas.

Pada suatu malam, Salam pulang ketika senja selepas memukat dan dia tanpa sengaja mengikut laluan di depan Rumah Bidan Limah, bidan kampung itu, dapat dilihatnya Bidan Limah sedang duduk di tangga rumah sambil melihat orang lalu lalang di depan rumahnya.

Salam memerhatikan saja bidan tua itu lalu menegurnya, sekadar mahu berbasa-basi.

“Assalamualaikum makcik Limah. Jauh termenung!” ujar Salam, memaniskan muka.

Bidan Limah cuma tersengih-sengih memandang Salam. Salam membalas dengan senyuman.

Cukuplah sembilan bulan kandungan Siti, dan pada malam itu Siti siap untuk melahirkan anak. Salam mengetuk pintu rumah Esah tergesa-esa.

“Esah, tolong tengokkan Siti. Dia dah nak bersalin!” ujar Salam gementar.

“Hah? Yelah. Kau ni nak ke mana?”

“Nak cari bidanlah Esah oi. Tolong ya sekejap!” Balas Salam. Esah mengangguk, dia terkocoh-kocoh membetulkan kain sarungnya sebelum menuju ke rumah si Salam.

Salam mengerling jam. Sudah pukul dua pagi. Klinik desa pun dah tutup masa ini. Terpaksalah dia ke Bidan Limah.

“Ah, aku dahulu hidup je disambut dia. Nak buat macam mana dah tak ada pilihan!” getus hati si Salam.

Salam menunggang basikal dengan tergesa-gesa. Setibanya dia di rumah Bidan Limah, rumah bidan tersebut gelap-gelita dan nampak usang, seperti sudah lama ditinggalkan. Jauh berbeza dari waktu dia melalui rumah bidan tua itu.

Salam tercengang-cengang.

“Engkau cari siapa?” suara serak Bidan Limah mengejutkannya. Dia berpaling ke belakang. Bidan tua itu berdiri di belakangnya, sedang mengunyah-ngunyah sesuatu. Sirih gamaknya.

“Allah terkejut saya. Macam ni, isteri saya si Siti tu dah sakit-sakit nak bersalin.”
“Hah apa kau tunggu lagi. Mari, mari. Bawa aku ke sana.” ngomel wanita tua itu.

Salam membawa Bidan Limah membonceng basikal bersamanya. Sampai di sana, Esah sudah menunggu bersama Siti.

“Rumah kau ni ada tawas, Salam?” ucap Bidan Limah sewaktu dia turun dari basikal.
“Alamak, tak ada.”
“Hm. Daun pisang? Garam?”
“Garam tu adalah sebekas kecik. Cukup-cukup buat masak.”
“Hish kau ni, mana cukup! Pergi cari dahulu. Dah tahu isteri nak bersalin, kenapa tak sedia awal-awal!” ngomel bidan tua itu, membetulkan selendang di bahu. Salam terkulat-kulat.
“Ya, ya. Saya pergi cari sebentar.”

Salam meronda hampir satu kampung. Mana ada kedai buka! Yalah zaman 60-an mana ada kedai buka pagi-pagi. Salam mulai panik.

Sesampainya dia di kedai Pak Ali, dia terus mengetuk rumah Pak Ali. Hampir roboh pintu kedai dikerjakan Salam.

“Kau dah kenapa Salam? Pagi-pagi buta datang kedai aku?” ucap Pak Ali dalam mamai.

"Pak Ali, tolong Pak Ali, Siti nak beranak dah kat rumah tu! Saya nak beli barang Bidan Limah suruh beli." kata Salam dalam kelam-kabutnya.

“Astaghfirullahalazim. Bidan Limah?” terbuntang mata Pak Ali.

“Er, ya lah, Bidan Limah. Kenapa Pak Ali?”

“Dah, tinggal basikal kau! Mari naik motor aku!”

Beristighfar panjang Pak Ali mendengar nama Bidan Limah. Segera dia menarik tangan Salam dan mencapai kunci motornya.Salam yang sedikit terpinga-pinga hanya mengikut seperti orang dungu.

“Barang-barang tu macam mana Pak Ali?”

“Biar dulu!” tegas Pak Ali menjawab.

Yela mana tak datang dungunya, dia nak beli barang tapi lain pulak yang orang tua ni buat. Salam membonceng bersama Pak Ali tanpa banyak soal. Lelaki setengah abad itu menekan minyak, memecahkan kesunyian malam.

Sesampainya di rumah Pak Ali terus melompat dari motor dan secara tergesa-gesa masuk ke rumah Salam.

“Allahuakbar!” Pak Ali bertakbir.

Salam jatuh terduduk. Pucat mukanya.

Siti terbaring, dengan kangkang yang terbuka luas. Perutnya terburai, bayinya yang masih merah hanya tinggal cebisan daging dan tulang. Siti sudah tidak bernyawa. Sudah lama kaku.

-------------------

Apa yang nenek aku cerita, Bidan Limah tu dah mati lima tahun lepas, tapi Salam tak tahu sebab dah lama tak jejak kampung. Orang kampung pulak dah tahu, tapi sebab Salam ni tak bertanya, dorang pun tak cakap apa-apa.Lagipun sebab zaman tu, Bidan Kerajaan/ Community Midwife dah wujud. Klinik desa dah wujud. Arwah Bidan Limah ni ada membela, yang selalu duduk kat tangga rumah dia tu belaan dialah. Orang kampung banyak dah tahu sebab tu ramai tak nak lalu depan rumah dia lepas senja. Kebetulan pulak belaan dia dah lama tak makan, si Salam ni pulak boleh bagi Siti kat belaan tu, memang teruklah jadinya.


Tentang Esah pulak, Pak Ali bagitahu yang si Salam ni mana ada jiran, lagipun Esah satu keluarga ni dah lama tak balik kampung. Zaman tu pula ramai duk membela sakalah, apalah, katanya Esah yang Salam nampak ni saka si arwah ayah si Esah. Kasihan si Siti jadi mangsa dua ekor puaka lapar.

Aku tak tahu kesahihan cerita ni. Tapi kau orang, kalau dah lama tak balik kampung tu, bertanya khabar la sekeliling ya. Tak memasal kau keluar mengeteh dengan makhluk lain!

-TAMAT-
Suntingan dan Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

JENAZAH SIAPAKAH ITU? - Suhana Mat Lazim


JENAZAH SIAPAKAH ITU?

===========================

Dalam tahun 70 an dahulu, jalan di kampung di daerah Sabak Bernam dulu masih lagi terdapat tanah merah. Hanya terdapat rumah-rumah kampung tradisi, kedai- kedai kopi dan kedai runcit. Kedai dekat pekan pun tidak banyak seperti sekarang. Paling bagus untuk hiburan muda mudi ketika itu adalah panggung wayang. Jadi pelbagai perancangan pembangunan sedang di rangka dan cuba untuk direalisasikan oleh kerajaan terdahulu ketika itu.

Bangunan kedai dua tingkat sedang giat dibangunkan termasuklah jalan-jalan kampung yang kecil hendak di besarkan dan jalan yang bertanah merah hendak di tarkan. Semuanya untuk kesenangan rakyat dan orang-orang kampung ketika itu.

Dalam kerancakkan dan kemeriahan hendak membesarkan jalan dan juga mengorek segala longkang serta menebas segala rumput yang bersemak samun. Namun di saat kerancakkan projek itu ada kejadian mistik yang telah berlaku.

..................................................

Pada petang itu terdapat beberapa orang penduduk kampung sedang menjalankan tugas untuk melebarkan jalan kampung iaitu berdekatan dengan Kampung Baru. Ada beberapa orang ditugaskan untuk menebas segala rumput yang berada di bahu jalan. Rumput yang meninggi separas peha dewasa ditebas menggunakan sabit. Ada juga yang ditugaskan menggali tanah dengan cangkul, tujuannya tetap sama iaitu untuk mencabut rumput hingga ke akarnya kerana sabit tidak mencukupi. Itupun sementara menunggu jentera jengkaut tiba. Kerana ketika itu bilangan jentera jengkaut hanya sebuah sahaja, itupun telah digunakan di kawasan lain dahulu. Kemudian, seorang lelaki yang bernama Salleh telah mengorek tanah dengan cangkul sehingga ke dasarnya.

Hampir separuh akar rumput di bahu jalan berjaya di gali hanya dengan menggunakan cangkulnya. Kuat sungguh kudrat orang dulu-dulu. Namun, dalam Salleh sedang leka mengaut rumput yang sudah tercabut dari permukaan tanah dengan cangkulnya, tiba-tiba dia seperti tercangkul sesuatu! Terkejut Salleh! Seperti tidak berpuas hati, Salleh membuat keputusan untuk mengorek dengan lebih dalam lagi. Semuanya untuk mengetahui apakah isi di dalam tanah itu. Apakah ia?

Apabila dia menarik sahaja cangkul itu, tiba-tiba cangkulnya seperti telah tersangkut dengan sesuatu! Rupa-rupanya cangkul yang di tarik Salleh tersangkut dengan cebisan kain yang berada di dalam tanah. Jadi terpaksalah Salleh membetulkan cebisan kain kotor yang bersalut tebal tanah itu yang telah tersangkut pada bilah cangkul. Lalu membiarkan cebisan kain kotor itu ke tanah semula. Untuk mengsahihkan apa yang sedang dilihatnya itu, dia telah memanggil seorang rakannya yang kebetulan berada berhampiran dengannya.

"Husin! Sini kejap!" Teriaknya.

Tanpa membantah rakannya yang bernama Husin itu mula menghampirinya.

"Ada apa?" Husin bertanya.

"Cuba kau tengok kain apa tu? Seram pulak aku. Petang-petang macam ni terjumpa pula kain kotor dekat dalam tanah ni, susah pulak aku nak tarik! Macam tersangkut dekat dalam tanah!" Salleh mula berasa cuak sambil memandang sekeliling.

Namun, tiba-tiba sahaja angin kencang mula menderu datang. Sehingga meliuk-lentuk daun pokok-pokok kelapa yang berada di sekitar tempat mereka berada. Kemudian Husin terus mencapai kain lusuh kotor itu lalu di belek-belek kain itu seakan mengesyaki sesuatu.

"Ini macam kain kapan ni!" Husin seakan pasti dengan kata-katanya. Dia benar-benar yakin!

"Biar betul! Kain kapan? Macam mana ada jenazah tersesat dekat sini? Mustahil lah!" Terbeliak mata Salleh apabila mendengar jawapan dari Husin itu.

Seakan dia tidak percaya terdapat jenazah misteri tidak bernisan di tepi jalan yang selalu menjadi laluan orang-orang kampung di kawasan sekitar. Lalu mereka bercadang ingin memberi tahu akan penemuan jenazah misteri tersebut kepada ketua mereka (JKR) dan juga ketua kampung di kampung terbabit.

..................................................

Setelah di khabarkan akan penemuan jenazah tersebut, maka ketua kampung iaitu Haji Rosdi, imam Jalal (imam surau Kampung Baru) dan beberapa lagi jemaah surau Kampung Baru, ketua operasi (JKR) yang bertanggungjawab dengan pelebaran jalan serta beberapa penduduk kampung yang tinggal berdekatan, telah mula tiba dan memenuhi kawasan berkenaan.

Walaupun jenazah itu masih lagi di bawah tanah dan belum dapat di lihat dan di kenal pasti sepenuhnya lagi, namun mereka tetap yakin bahawa memang ada jenazah seseorang di bawah tanah itu. Ini kerana di laluan jalan menuju ke Kampung Baru itu pasti akan ada kejadian mistik yang berlaku. Seperti akan ada orang yang akan menegur jika seseorang itu melalui jalan tersebut secara berseorangan. Bukan sahaja di tegur, malah pelbagai bentuk gangguan pasti akan diterima jika ada yang melalui jalan tersebut, terutamanya pada waktu malam.

Salleh termenung seketika, seperti mula mengingati peristiwa yang pernah berlaku padanya beberapa minggu lalu. Terngiang-ngiang suara seseorang itu menegurnya...

"LAJUNYA, PERLAHAN SIKIT! BERGEGAR KEPALA AKU DEKAT SINI!"

Apabila di toleh, tiada sesiapa yang kelihatan. Sunyi. Puas Salleh memerhati di kegelapan malam itu. Namun, suara itu sudah tidak kedengaran lagi. Tetapi dia yakin, sememangnya dia ada mendengar suara itu. Seperti suara seorang lelaki! Sungguh kuat dan jelas sekali.

"Salleh! Kau gali cepat!" Lamunan Salleh terhenti. Encik Murad, ketuanya mula mengarahnya untuk menggali tanah itu. Tanpa membantah Salleh mula menggali tanah dengan di bantu Husin.

Apabila tanah yang di gali sudah sampai ke dasarnya malah kedalamannya menyamai sebuah kubur yang sebenar, maka terlihatlah dengan jelas satu jenazah yang separuh mereput di selaputi tanah.

"Memang betul kuburlah...." Salleh mula menebak dalam hati. Tetapi...

"Astargfirullalazim!!!"

Alangkah terperanjatnya mereka yang melihat jenazah tersebut. Salleh dan Husin yang menggali sampai ke bawah, paling terkejut sehingga melompat terus naik ke atas. Sehingga mengeletar seluruh tubuh mereka apabila melihat jenazah itu.

Apa tidaknya, jenazah yang sedang mereka lihat itu sangat menakutkan. Mulutnya ternganga dan matanya seakan terbuka separuh. Manakala wajahnya menampakkan tulang tetapi masih di selaputi kulit wajahnya yang kering.

Namun, sebenarnya bukan perkara itu yang membuatkan mereka terperanjat! Sebenarnya kuku tangan jenazah yang sedang kiam itu telah menjadi sangat panjang sehingga membelit- belit tubuh jenazah itu dengan beberapa kali belitan! Hampir keseluruhan badan jenazah itu, iaitu dari atas pusat hingga ke pangkal peha telah di belit dengan kukunya yang panjang dan kehitaman itu. Sehingga telah mengoyak sebahagian kain kapan akibat di tembusi belitan kuku jenazah itu.

Mereka yang melihat jenazah itu kelihatan sangat terkejut dan tergamam dengan keadaan jenazah yang sedemikian rupa. Dalam pada itu mereka seperti teringin juga mengenali siapakah gerangan si jenazah misteri yang berkuku panjang berlingkar dan tidak bernisan itu. Akhirnya ketua kampung mula bersuara dek kerana tergamam melihat jenazah itu buat beberapa ketika.

"Mari kita angkat jenazah ini naik ke atas!" Ketua kampung mula memberi arahan.

Kemudian seramai tiga orang lelaki turun ke bawah untuk mengangkat jenazah tersebut dan tiga lagi berada di bahagian atas. Namun apabila jenazah itu cuba untuk di angkat...

"Ya Allah! Kenapa jenazah ni berat sangat? Langsung tak terangkat jenazah ni!" Berpeluh-peluh mereka yang berada di bawah cuba untuk mengangkat jenazah tersebut.

Keadaan mereka seperti sedang mengangkat kayu balak ataupun batu besar yang sangat berat. Kemudian turun lagi dua orang lelaki, ini menjadikan lima orang telah berada di bawah. Namun usaha untuk mengangkat jenazah tersebut tetap gagal.

Dalam hampir setengah jam mencuba dan berusaha untuk mengangkat jenazah itu akhirnya mereka mengalah. Tidak larat dan langsung tidak termampu hendak mengangkat jenazah tersebut walaupun bilangan lelaki yang mengangkat jenazah itu seramai lima orang! Apatah lagi dalam keadaan fizikal jenazah itu serta dengan kukunya berselirat sehingga berlengkar membelit tubuhnya. Akhirnya masing-masing terpaksa menarik diri. Lalu imam Jalal dan beberapa orang jemaah surau Kampung Baru pula turun ke bawah.

Setelah di selidiki tubuh dan kain kapan lusuh yang membaluti tubuh jenazah itu serta melihat kuku jenazah yang sangat panjang sehingga mampu membelit hampir separuh tubuhnya, akhirnya mereka mengenal pasti jenazah itu adalah seorang lelaki. Kebarangkalian dia di kuburkan di situ, iaitu di tepi jalan berhampiran Kampung Baru berkemungkinan dalam 80 tahun, 90 tahun ataupun hampir 100 tahun! Ya, itulah penilaian mereka pada ketika itu. Tetapi ia hanya kemungkinan sahaja. Sukar hendak di pastikan. Itupun apabila melihatkan kuku jenazah yang panjang sehingga mampu membelit tubuhnya dengan beberapa kali belitan! Susah kita hendak percaya. Tetapi itulah hakikatnya pada mereka yang telah melihat.

Namun, jika Allah ingin menunjukkan sesuatu kepada kita yang masih hidup ini, ia bukan sesuatu yang mustahil. Mungkin Allah ingin tunjukkan apakah amalan yang sedang di bawanya ketika hidup. Siapalah kita untuk menilainya. Kita hanya mampu menjadi saksi akhir untuk si mati. Namun apa yang lebih penting pada ketika itu adalah, kenapa jenazah lelaki itu sukar untuk di angkat?

Akhirnya mereka yang berada di situ sudah sepakat dan membuat keputusan, jenazah itu akan ditimbus semula hanya untuk satu malam lagi dan cuba untuk mencari ikhtiar lain kerana mereka merasakan jenazah yang mereka jumpai itu bukan jenazah yang ‘biasa-biasa’.

........................................

Malam semakin lewat, ramai mereka yang berada di lokasi sudah pulang ke rumah masing-masing. Jadi kawasan jenazah lelaki misteri itu sudah di tanda dan di pagar dengan tali hanya untuk sementara sehingga subuh menjelang.

Hendak dijadikan cerita, kebetulan pada malam itu abah baru sahaja pulang dari rumah kawannya dengan menaiki basikal dan telah melalui jalan tersebut. Sememangnya itu adalah laluan alternatif. Kalau dia malas hendak pergi ke laluan utama untuk pulang ke rumah yang sudah pun mempunyai lampu jalan. Tambahan pula malam sudah pun agak lewat. Kemungkinan hampir pukul 2.00 pagi, kata abah. Jadi jalan yang paling dekat adalah laluan di Kampung Baru. Hendak tak hendak abah perlu juga melaluinya walaupun keadaan di laluan itu gelap.

Percaya tak, sebenarnya abah langsung tidak tahu menahu fasal akan penemuan jenazah lelaki misteri itu. Macam biasa abah akan pulang lewat ke rumah kerana sesi pembelajaran ilmu persilatan tidak tentu habis waktunya. Di sebabkan itu dengan perasaan beraninya abah mengayuh basikal dengan tiada sedikit pun perasaan takut.

Sedang abah mengayuh basikal betul-betul di laluan itu, tiba-tiba basikal abah berhenti begitu sahaja. Seperti ada yang cuba menahannya dari terus berjalan. Dia cuba untuk menolak basikalnya sekuat tenaga yang boleh, namun tetap gagal.

"Apa kena dengan basikal aku ni? Merajuk tak nak balik ke?" Monolog abah sendirian.

Kemudian abah pun turun dari basikalnya dan terus melihat tayar basikal. Kemungkinan ia tersangkut di lubang, itu yang sedang abah fikirkan. Namun, tiada sebarang lubang pun. Tayar basikal elok terletak di atas jalan tanah merah. Tayar basikal langsung tidak boleh bergerak seumpama di gam. Seperti ada sesuatu yang sedang memegang kemas basikalnya. Apa tidaknya, bulu roma dan tengkuk sudah mula meremang! Abah dapat merasakan ada kuasa ghaib sedang berada berhampiran dan dia juga dapat merasakan ada mata sedang memerhatikannya!

Kemudian tanpa berfikir panjang serta tidak mahu menimbulkan pelbagai masalah yang lain, abah segera menongkat basikalnya dan membiarkan sahaja basikalnya itu terbiar di tengah jalan.

................................................

Seperti biasa arwah atuk masih lagi belum tidur. Tetap setia menunggu anak nombor duanya yang tidak menentu baliknya. Asap lenteng mulai berkepul dihembus di ruang udara.

"Baru balik?" Arwah atuk bertanya apabila melihat kelibat abah yang sedang menaiki tangga luar rumah.

"Ya, lambat sikit pak. Lagipun Jai jalan kaki je balik ni." jawab abah dalam keadaan termengah-mengah.

"Mana kau campak basikal?"

"Mana ada campak! Ada tu dekat jalan Kampung Baru. Tengah elok mengayuh basikal tiba-tiba basikal tak boleh gerak! Puas Jai tarik ke depan, ke belakang. Ke depan, ke belakang! Jenuh! Bulu roma asyik meremang je dari tadi! Itu yang tinggalkan basikal tu dekat situ! " Sambil abah menunjukkan lengannya yang masih merinding itu.

"Kau lalu dekat jalan Kampung Baru tu! Kenapa tak ikut jalan batu 9!" Terbeliak mata arwah atuk mendengar cerita dari abah.

"Jauh nak tempuh sana. Lagipun Jai dari rumah Leman, hantar dia balik lepas bersilat. Sudah tentulah Jai balik ikut jalan Kampung Baru. Lainlah Jai pergi rumah Manan, dah tentulah Jai akan ikut jalan dekat batu 9 tu. Jalan dekat mana-mana pun ada penunggu, bukan tak pernah terserempak! Keranda terbang empat beranak dengan hantu perempuan berkebaya merah tu! Tak kan bapak tak ingat Jai ada ceritu dulu."

Panjang lebar penerangan dari abah.

"Ya bapak ingat. Tapi ini lain. Petang tadi hingga ke malam bapak ada dekat sana."

"Ada apa dekat sana?" Abah terasa ingin tahu.

"Salleh dengan Husin jumpa jenazah lelaki sudah berkapan dekat tepi jalan Kampung Baru tu. Macam jenazah tu dah lama tertanam dekat situ. Yang seram, kuku dia panjang sangat sampai membelit-belit dekat tubuh dia. Kau bayangkan, berapa kali belitan kuku tu. Agaknya sudah berapa lama jenazah tu ditanam? Ada yang kata hampir 100 tahun!" Arwah atuk memulakan cerita.

"100 tahun? Lamanya. Kubur betul ke pak? Zaman bila dia hidup tu? Lagipun jalan tu boleh di katakan hari-hari Jai lalu. Kebanyakkannya waktu siang la. Orang kampung pun ramai lalu. Tapi tak nampak pun ada kubur dekat situ. Satu batu nisan pun tak ada!" Abah seakan tidak percaya dengan apa yang di dengarnya.

"Kubur betullah. Ada liang lahad lagi. Tak kan kubur tipu pulak. Kalau kau tengok nanti kau tahulah."

"Jadi, jenazah tu macam mana? Jenazah siapa tu? Ada sesiapa orang kampung kenal? " Abah bertanya lagi mohon kepastian.

"Jenazah tu ada lagi dekat situ. Tak ada sesiapa pun yang kenal. Bapak pun tak tahu jenazah siapa tu. Pertama kali dapat tahu ada jenazah tertanam dekat tepi jalan tu. Lagipun jenazah tu langsung tidak boleh nak di angkat! Berat sangat! Bapak tengok bila dia orang nak angkat jenazah tu, tak terangkat langsung! Tidak ada seinci pun badan jenazah itu ternaik! Orang yang mengangkatlah yang termengah-mengah. Ada juga yang bagi cadangan, guna jengkaut atau jentolak ke. Tapi ramai yang bantah. Takut menyeksa jenazah. Cukup-cukuplah jenazah tu macam rupa yang kita lihat. Jangan pula kita nak tambah-tambah lagi. Tapi ada cadangan lain yang imam Jalal ada utarakan. Nanti kita tengoklah malam esok selepas isyak. Sebelum kami pulang ke rumah, jenazah tu sudah di kambus balik, takut ada haiwan yang masuk bawah kubur tu. Kemudian pagar dulu apa yang patut." Berikut penerangan dari arwah atuk.

"Lepas isyak? Kenapa tidak lepas zohor atau asar?" abah bertanya lagi untuk lebih kepastian.

"Itu bapak tak pasti. Mungkin juga sebab waktu siang terlalu ramai orang. Pasti akan mengganggu proses mengangkat dan memindahkan jenazah. Itu pendapat bapak saja." itulah jawapan dari arwah atuk.

"Mungkin jugalah tu. Jai pun nak tengoklah esok malam."

Abah mula terdetik untuk melihat sendiri jenazah misteri itu. Bagai mana rupa jenazah yang diceritakan itu serta apakah rancangan imam Jalal untuk memindahkan jenazah itu.

........................................................

"Semua imam sudah hadir?" Imam Jalal bertanya pada Haji Rosdi Ketua kampung, Kampung Baru.

Imam Jalal mengarahkan Haji Rosdi memanggil imam- imam surau atau masjid berdekatan untuk menyelesaikan isu jenazah itu. Sebolehnya imam Jalal mahu tujuh orang imam berada ditempat jenazah tersebut termasuklah dirinya.

"Ya imam. Saya sudah jemput semuanya. Ada enam imam saya jemput. Imam Sungai Air Tawar ada, imam Sekendi ada, imam surau Batu 40 ada dan imam surau- surau dekat kawasan lain. Mereka sudah ada dekat situ." Jawab Haji Rosdi.

"Alhamdulillah. Sanggup juga mereka hadir. Harap sangat apa yang kita rancang ni berjaya dan di permudahkan Allah." begitulah secebis harapan dari Imam Jalal.

Kemudian imam Jalal menuju kearah tempat jenazah itu dimana imam- imam yang lain sedang menanti. Kelihatan seperti ada sesuatu yang sedang di bincangkan oleh imam Jalal dan imam-imam yang lain.

Walaupun penemuan jenazah itu sudah tersebar dan heboh diperkatakan. Namun mereka ditegah untuk datang melihat jenazah itu pada malam itu terutama kanak-kanak. Ia dilarang sama sekali. Kemungkinan takut ada kemudaratan yang lain akan timbul serta sudah pastilah saat ingin memindahkan jenazah tersebut akan menjadi lebih sukar dan tempuhnya akan menjadi lebih lama. Pada malam itu hanya kira-kira dalam 25 orang sahaja yang berada di kawasan itu. Mamang tidak ramai, asalkan ianya dapat memudahkan kerja pemindahan.

Manakala abah hanya melihat dari jauh. Tidak tahu apa yang di bincangkan oleh tujuh orang imam itu. Kemudian abah mula menapak perlahan menuju ke arah jenazah lelaki misteri itu. Tanah yang dikambus semula buat sementara pada malam itu, telah di korek sekali lagi bagi memudahkan imam-imam melaksanakan perancangan mereka dan juga untuk memindah serta mengangkat semula jenazah itu. Jenazah yang mahu di lihat abah itu sudah berada di hadapan mata.

Terbeliak mata abah saat memandang jenazah yang masih terbaring di liang lahad. Namun apa yang buat abah dan beberapa orang lagi yang turut melihat jenazah itu adalah kukunya yang panjang dan berlingkar membelit keseluruhan tubuhnya sehingga terkoyak kain kapan yang membaluti tubuh jenazah itu.

"Astargfirullahalazzim..." hanya itu ayat yang termampu di ungkap oleh abah didalam hati.

"Betul tak bapak cakap..." arwah atuk bersuara perlahan sambil menepuk bahu abah.

"Allah!"

Terperanjat abah saat ditepuk mengejut oleh arwah atuk.

"Kenapa, kau ingat jenazah tu ke yang tepuk engkau..." Arwah atuk tersenyum.

"Iyalah. Ingat orang bawah ni yang tepuk bahu Jai..." abah mengurut-ngurut dadanya yang mulai berdegup kencang sambil matanya melirik ke bawah memandang jenazah itu.

....................................................

Untuk tidak melengahkan masa, tujuh orang imam itu pun duduk mengelilingi kubur jenazah itu sambil membaca surah yassin. Sengaja imam-imam itu membaca surah yassin dengan kuat dan jelas. Manakala abah, arwah atuk, haji Rosdi dan beberapa orang yang mengikuti pemindahan jenazah itu hanya duduk di belakang dan turut membaca surah yassin.

Semasa imam-imam dan lain yang lain sedang membaca surah yassin itu, tanpa di sangka angin kuat mula menderu datang secara tiba-tiba. Sedangkan dari tadi cuaca agak elok dan langsung tanda-tanda hari hendak hujan. Semuanya baik-baik sahaja.

Abah memandang sekeliling. Angin semakin kuat menampar tubuh. Ada yang terlihat sedang dalam kesejukan, namun tetap di tahan. Terlihat tujuh orang imam yang sedang membaca surah yassin di hadapan kubur jenazah itu tidak berganjak sedikit pun dari tempat duduk mereka walaupun angin semakin kuat. Pokok-pokok kelapa dan tumbuhan lalang yang berada di kawasan sekeliling meliuk lentuk apabila ditiup angin kuat yang tidak pasti bila akan berhenti. Seolah-olah seperti ada sesuatu "sengaja" mahu cuba memberhentikan usaha bacaan yassin mereka kepada jenazah itu.

Bacaan yassin tetap di teruskan sehingga ayat yang terakhir. Abah terasa sedikit gelisah. Sesekali matanya meliar memandang sekeliling. Ya, abah seperti ternampak sesuatu. Bacaan yassin abah langsung tidak khusyuk dek gangguan bayangan hitam yang seakan berlari laju mengelilingi kawasan itu, kemungkinan dalam kepanasan dengan bacaan surah yassin itu. Arwah atuk sempat memandang abah.

"Baca, jangan di pandang. Dia sedang kepanasan." arwah atuk mula menegur abah apabila melihat abah seakan gelisah.

"Saya nampak pak."

"Shhuu..., jangan. Tak usah sebut-sebut depan jenazah. Biarkan saja. Kita doa yang baik-baik. Ada sesuatu yang Allah hendak tunjukkan kepada kita yang hidup ni. Waallahualam....."

Abah hanya terdiam. Lalu perasaan ingin tahu dan tidak puas hati itu terbiar tenggelam di dalam hati. Namun, abah tetap bersetuju dengan keterangan dari arwah atuk itu. Biarkan saja...

Sebaik bacaan surah yassin di hadapan jenazah itu selesai, tiba-tiba....

PAMMMM!!!

Terdapat cahaya kilat atau petir seperti menyambar sebatang pokok kelapa yang berada berhampiran. Seakan senjata bazooka sedang menembak tepat ke arah sasaran, bak kata abah.

Mendengarkan bunyi petir itu, mereka yang berada berhampiran di kawasan itu terperanjat. Sehinggakan dua atau tiga orang yang berdiri di tepi terjelepuk jatuh ke tanah dek terperanjatkan bunyi petir itu tadi. Mujur tidak ada yang cedera mahupun kemalangan jiwa yang berlaku pada malam itu. Kalau tidak sudah pasti akan lebih banyak kesukaran yang timbul.

Arwah atuk hanya beristirgfar dalam hati. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Semasa dalam bacaan yassin, angin kuat datang menderu. Selesai bacaan yassin bunyi petir pula seakan membelah bumi. Entah apa lagi ujian yang akan mereka hadapi selepas ini. Harap tidaklah.

Imam Jalal memandang ke arah pokok kelapa yang di panah petir itu. Walaupun tidak ada sebarang kehancuran pada pokok kelapa itu ataupun sebarang kebakaran, namun haji Jalal dapat mengagak bahawa sasaran petir itu mengena pada "sasarannya".

"InsyaAllah, semuanya akan selesai selepas ini." Imam Jalal memberi sedikit harapan. Seolah-olah yakin dan pasti.

Tanpa berlengah lagi ke tujuh-tujuh imam itu pun ingin menghabiskan misi pemindahan jenazah itu pada malam itu juga. Jadi tugas mengangkat jenazah misteri itu hanya para imam sahaja yang dibenarkan untuk melaksanakannya.

Imam Jalal dan 2 orang imam lagi terus turun ke bawah untuk mengangkat jenazah itu naik ke atas. Manakala 4 imam yang lain akan menyambut jenazah itu dari atas. Bermula dengan imam Jalal yang memegang bahagian kepala jenazah itu, dikuti imam yang lain memegang badan dan hujung kaki. Ia perlu di lakukan dengan cermat, memandangkan keadaan jenazah yang sudah lama.

"Haji Yunus, jaga tangan tu kuku jenazah ni panjang. Kita angkat dia perlahan-lahan." Imam Jalal mengingatkan Haji Yunus, Imam batu 40 berwaspada agar tidak mencederakan dirinya memandangkan kuku jenazah yang panjang.

Mendengar pesanan sahabatnya Imam Jalal, Haji Yunus mula berhati-hati apabila memegang bahagian badan terutama kuku jenazah itu. Lalu mereka terus cuba mengangkat jenazah itu secara serentak. Tiba-tiba...

"Subhanallah!!!"

Akhirnya jenazah yang berat itu berjaya diangkat oleh tiga orang Imam itu sehinggalah disambut dari atas oleh empat orang imam yang lain. Subhanallah, sukar untuk percaya. Jenazah yang berat itu tiba-tiba sahaja menjadi ringan dan mudah di angkat! Sehinggalah dapat di masukkan ke dalam keranda dan di bawa terus ke tanah kuburan yang berdekatan tanpa ada sebarang masalah yang lain, mahupun gangguan yang tidak di ingini.

Sejak dari itu, tiada lagi gangguan atau teguran yang seperti selalu di terima ketika melalui jalan tersebut. Namun kata abah, masih lagi menjadi tanda tanya pada dirinya sehingga kini adalah...

"Jenazah siapakah itu?"

-TAMAT-
================================

Editor : Kucing Kelabu
Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaan pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!