JANJI
Karya : Kak'ah Chan
============================
"Fatiya, boleh aku tanya kau?"
"Tanyalah"
"Kenapa orang selalu pandang kita pelik eh?"
Fatiya diam.
"Shima boleh tak kau janji untuk sehidup semati dengan aku dan jangan tinggalkan aku"
"Okay, aku janji"
**********************************
Kereta berjenama Perodua Myvi baru 2018 yang meluncur memasuki perkarangan asrama SMK Rosemah Al Mansuri. Kereta gah ala volkswagen yang berwarna merah menyala lagi menyilaukan mata tatkala sinar mentari memancar menjadi tumpuan dan telah menitiskan air mata darah para pemilik kereta lain yang ada disitu.
Mana tidaknya, bukan calang-calang orang yang dapat memiliki kereta yang menjadi idaman terbaru umat manusia kini disaat harga minyak tanpa segan silu mencanak naik.
“Ternyata pemilik kereta ini luar biasa mampunya.” Getus hati para pemilik kereta Honda, BMW, Hyundai, Toyota, Lamborghini dan lain-lain.
Terasa sedikit riak lagi takbur melangit pemilik kereta terbabit apabila sedar dia dan keretanya menjadi tumpuan. Apa pun, perasaan tersebut lekas dibuang, kerana ingin memberi fokus pada anak manjanya yang buat julung kali memasuki asrama pada hari ini.
"Ada nampak mummy happy?" urat muka Pn.Mendayu seakan menimbul dek menahan geram kerana kerenah anak manjanya itu.
"Mummy hantar baby masuk asrama ni bukan saja-saja, mummy nak baby belajar berdikari. Dah dah, mummy nak baby senyum," kata Pn.Mendayu lalu memeluk anak kesayangannya Shima yang digelarnya 'baby'.
Shima senyum terpaksa.
*******************************
Shima duduk termenung dibangku kayu yang menghadap jauh pokok besar merimbun bersebelahan asrama yang akan menjadi rumahnya bermula hari ini. Dan hari ini juga merupakan hari pertama dia berjauhan dari mummynya. Sungguh berat perasaan yang dialami.
Sudah hampir setengah jam dia berada disitu melayan perasaan selepas kepergian mummynya. Entah mengapa, Shima seakan tertarik untuk menilik segala inci pokok tersebut. Seakan ada suatu aura yang membuatkannya leka memerhati.
Tiba-tiba, dia ternampak satu kelibat disebalik pokok tersebut. Hatinya tersentak, lalu jantungnya laju melantunkan irama rap dangdut.
Deras rentak rap dangdut jantungnya tertambah rentak hiphop tatkala disergah seseorang dari arah belakang. Nasib Shima baik kerana tidak mempunyai masalah jantung. Kalau tak, mahu mati kejung dibuatnya.
"Aaaa, sorry. Aku buat kau terkejut ke? Maaf eh". Ujar Fatiya, saat melihat Shima seakan mengelabah teruk. Serba salah dibuatnya.
Shima membisu.
"Nama aku Fatiya, nama kau?" Fatiya memperkenalkan diri.
"Shima". Jawab Shima ringkas.
"Jom makan, aku ada nasi goreng ayam adabi. Dari tadi aku perhati kau termenung je mesti kau lapar kan. Nak tunggu masa makan asrama lambat lagi ni" ajak Fatiya.
Shima memandang sekilas ke arah pokok besar itu, tercari kelibat tadi. Tiada!
Kemudian dia berlari anak mengekori Fatiya yang sudah jauh kehadapan menuju ke salah satu pondok kecil yang dibuat khas untuk para pelawat. Mereka menjamu selera disitu. Licin nasi goreng ayam adabi dimakan Shima. Sedap. Semenjak hari itu, Shima dan Fatiya rapat bak belangkas. Janji sehidup semati.
**********************************
"Weh, hampa nak dengar cerita tak. Pasal pokok sebelah asrama kita ni lah. Nak dengar tak?" Tanya si Syimbei mulut becok sambil mengunyah ayam popcorn tak henti-henti.
"Mestilah nak weh" sahut Yunai Senrose dan Leha serentak.
"Ok aku start. Dengar baik baik, bagi terpacak habis bulu roma hampa. Macam yang kita tahulah kan, tapak asrama yang kita duduk sekarang ni merupakan kem tentera jepun dulu dan wujudnya pokok besar tu semenjak zaman jepun lagi. Yang ni fakta, semua tahu kan. Tapi adakah anda berdua tahu kisah berhantu pokok besar tersebut? Jeng, jeng, jeng tak payah jawab biar aku yang jawab. Hampa terang lagi bersuluh mesti tak tahu menahu. HAHAHA" Gelak syimbei berdekah, tersembur habis sisa ayam popcorn yang dimakannya tadi, padahal haram tiada yang kelakar.
Tetiba, Yunai menyampuk.
"Elehhh… mesti hang nak cerita pasal ada orang nak tebang pokok tu pastu tak boleh sebab kebal sangat dan dipercayai segala roh tok nenek jepun tu dah bertapa gara gara takdak rumah dah sebab kita ambil rumah depa bla bla bla kan, lapok dah la cerita tu. Meh aku nak bagitau cerita lagi best, berkaitan jugak lah dengan pokok tu."
Syimbei mencebik, mana tidaknya, baru semangat dia ingin bercerita, dipotongnya si Yunai pula. Syimbei merelakan walau terpaksa. Leha lebih selesa menjadi pendengar senyap kedua sahabat baiknya itu
Yunai membuka cerita.
"Untuk pengetahuan hampa, kisah ni dah lebih sepuluh tahun kot. Hampa tau tak kenapa aku kata kisah ni berkaitan dengan pokok besar tu. Kalau hampa nak tahu, dekat pokok besar tu ada kes gantung diri weiii kat dahan pokok sebelah kanan, ngeri! Mata terbeliak kot. Mangsa tu penghuni asrama ni jugak, dan dipercayai asbab bunuh diri adalah masalah mental. Wallahualam lah.”
Yunai menyambung lagi.
“Si Fatiya ni, masa hidup dia suka bersendirian, tiada kawan dan memang orang takmau dekatlah dengan dia, orang kata dia pelik. Kewujudan dia tak diendahkan sesiapa pun termasuk rakan sebayanya. Totally alone lah hidup dia ni, tambahan dia juga merupakan anak yatim piatu dan aku pasti ni juga salah satu sebab mendorong dia bunuh diri. Depression terlampau mungkin sebab forever alone. Selepas kejadiaan tu, ramai jugak penghuni asrama ni dengar sedu sedan menangis, macam yang kita selalu dengar tu lah. HAHAHA. Tapi kan lama jugak kita tak dengar suara tu kan. Lebih kurang sebulan lebih"
Terlopong Syimbei dan Leha mendengar cerita yang dikeluarkan dari mulut si Yunai yang terserta percikan air liur tak putus-putus. Segala urat sendi terasa nak tercabut keluar. Gerun!
"Kenapa aku rasa karakter ni sama macam seseorang eh" Syimbei meluahkan kata.
"Eh jap, hang ada sebut nama kan tadi Yunai, nama apa eh?". Leha yang tadinya diam secara tiba-tiba bertanya.
"Fatiya, kenapa?" jawab Yunai.
Mata Leha dan Syimbei membulat dan. Kemudian baru disusuli Yunai seakan baru dapat tangkap. Mereka Berpandangan.
**********************************
“Ah, tak mungkin”. Cerita yang didengari Shima petang tadi secara senyap menghantui akal fikirannya. Nama Fatiya terngiang-ngiang di cuping telinga. Kenangan selama sebulan lebih berada di asrama tersebut mula berputar kembali.
"Hei budak baru, asal haritu aku nampak kau makan pasir eh kat pondok tu" tunjuk Syimbei ke arah pondok kecil yang dimaksudkan.
Belum sempat Shima menjawab, Leha memotong.
"Hang biar betul bei "
"Gamak lah dia makan pasir, mak dia pakai Myvi baru 2018 kebabom kot". Suara Yunai pula kedengaran dengan nada tak puas hati.
“Butalah tu gamaknya, takkan aku nak makan pasir” Getus hati Shima, lalu meninggalkan tiga serangkai yang masih bertengkar hebat perihal dirinya.
Hari lain.
"Shima, mai lah main dengan kami" ajak Leha, Syimbei dan Yunai
"Err tak apa lah, aku nak pergi perpustakaan dengan Fatiya"
"Fatiya mana...."
Belum sempat Syimbei menghabiskan ayat, Shima sudah berlalu pergi.
Dari awal kemasukannya, Shima sering terlihat sembang sendiri oleh penghuni asrama yang lain. Nama Fatiya sering didengari keluar dari mulut Shima apabila tiga serangkai tersebut lalu bersebelahannya.
Hari lain lagi.
"Fatiya kau buat apa, atas ampaian ni, penat aku cari kau" Tanya Shima.
Kelihatan Fatiya duduk mencangkung.
"Saja, lama aku tak lepak sini sejak kawan dengan kau"
Sedang mengelamun, tiba-tiba Shima terasa bahunya disentuh dari belakang. Dia berpaling. Terasa menggigil badannya, saat terpandang wajah senyum ngeri Fatiya. Jelas sekali riak takut di wajah Shima.
"Aku rasa sudah sampai masanya kau tunaikan janji kita dulu" Bisik Fatiya dengan suara garau. Mata terbeliaknya terus kelihatan.
************************************
SEJARAH BERULANG: PELAJAR DITEMUI MATI TERGANTUNG
Puterijaya: Seorang pelajar dan juga penghuni asrama SMK Rosemah Al Mansuri ditemui mati tergantung di salah satu dahan pokok besar yang dipercayai berpuaka berhampiran asrama tersebut.
Kejadian yang sama juga pernah berlaku pada 10 tahun lepas.
-Metros
************************
Asrama SMK Rosemah Al Mansuri tahun 2020
Bilik asrama yang diduduki beberapa pelajar itu masih mempunyai dua kekosongan.
"Korang dengar tak apa yang aku dengar"
"Dengar apa?"
"Orang gelak riuh, macam bahagia je bunyi"
“Dengar… tapi darimana datangnya suara tu?”
“Macam dari pokok besar sana je.”
Knock!!! Knock!!!
Bunyi pintu bilik asrama diketuk.
“Masuklah… Pintu tak berkunci.”
Krekkkkk… Pintu bilik asrama dibuka. Jelas kelihatan dua sosok tubuh perempuan berdiri dihadapan pintu bilik.
“Hai semua, Kami pelajar baru kat sini. Nama saya Shima dan ini pulak Fatiya. Kami ada bawa nasi goreng ayam adabi. Jomlah makan sama-sama…”
-TAMAT-
Suntingan: Kucing Kelabu
Gambar: KamenRider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment