Monday, 25 December 2017

SYAM PART 3 - Cik Edot


SYAM PART 3

oleh Dee Edot
===================================

Lokasi:A&W,Pj
"Laaa...rupanya kes pecah masuk rumah kau 3 bulan lepas tu ada kaitan dengan Syam! Kenapa kau tak pernah cerita?"
"Sorry Dee. Razlan suruh aku diamkan hal ni. Dia tak nak kecoh-kecoh."
"Takpe,aku faham. Habis tu lepas kau buat police report, ada benda lain jadi ke?"
"Ada Dee. Syam memang tak pernah putus asa. Nak dekat sebulan jugalah kami hadap benda-benda pelik sebelum pindah masuk kondo. Razlan pun sampai jadi baran lah juga masa tu."

...................................................................

SYAM..SYAM..MACAM2 KAU NI
Sehari selepas berlakunya kejadian pecah masuk rumah, aku dan Razlan peroleh kata sepakat untuk membuat laporan polis. Rasa takut aku terhadap Syam kembali menghantui.
Peristiwa semasa melawat ke rumah dia dan cerita-cerita dari Aunty dahulu bagaikan berlegar-legar berlayar di minda. Adakah aku salah kerana tinggalkan dia begitu sahaja??
Mana mungkin aku mampu berhadapan dengan Syam setelah tahu keadaan dirinya. Aku tak sanggup!! Hari demi hari yang aku lalui buat hidup aku rasa tidak tenteram.
Perasaan takut mula menjalar waimah ketika Razlan berada disisi. Aku seolah-olah merasakan bahawa diriku diekori dan diperhatikan...
Hari ini genap umurku 30 tahun. Razlan menghadiahkan aku seutas rantai tangan.Simple tapi cantik. Dia meraikan aku di sebuah restoran mewah di ibu kota.
Malam itu berlalu dengan indah namun tidak pada hari keesokannya. Pagi-pagi lagi kami dikejutkan dengan kedatangan seorang lelaki yang tidak dikenali. Loceng dipagar dibunyikan.
Razlan menyuruh aku menunggu didalam rumah sahaja sementara dia keluar bertemu lelaki tersebut.
"Assalammualaikum encik. Maaf mengganggu."
"Waalaikumussalam. Awak ni siapa? Ada apa hal?"
"Ohh,saya Zali. Saya ni runner, encik. Saya ada kiriman buat Puan Sofea. Betul ke ini rumahnya?"
"Ya betul. Serahkan sahaja pada saya."
Sebuah bungkusan bersama sebiji belon berwarna ungu berbentuk love bertukar tangan. Zali si runner berlalu pergi. Razlan mencapai sekeping kad kecil yang terselit diatas permukaan kotak.
Ada sebaris ucapan 'Happy birthday' yang tertulis didalamnya.Kad tanpa nama pengirim?? Terdetik di dalam hati, mungkin pemberian ini dari teman Sofea barangkali. Razlan berjalan memasuki rumah.
"Siapa bang?Lelaki tu nak apa? Itu kat tangan tu bungkusan apa?Dari siapa?"
Bertalu-talu pertanyaan dariku buat Razlan. Hati mulai galau. Atau lebih tepat lagi, aku cuak!
"Entahlah. Tak ada tertulis nama pengirimnya. Mungkin kawan2 awak nak buat surprise kot. Jom buka kotak ni.Kita tengok apa isinya. " Razlan mengajak aku sambil membawa kotak tersebut ke meja makan.
Reben berona merah yang melingkari kotak itu dipotong Razlan.Aku hanya memerhati dengan perasaan yang semakin debar.
Permukaan kotak dibuka perlahan-lahan hingga menampakkan isi dalamannya. Nahh..Kek?? Sebiji kek yang rupanya seperti kek red velvet. Perisa kegemaranku!Tapi siapa yang hantar?
Boleh makan ke? Ehh...nanti. Kalau-kalau orang nak racun aku, macam mana?? Hatiku tidak berhenti berteka-teki. Mataku yang sedari tadi ralit tidak beralih dari memandang kek tersebut mulai perasan akan sesuatu.
"Abang! Cuba abang tengok kek ni. Permukaannya macam bergerak-gerak lah. Abang tengok dekat-dekat. Cepattt!!!"
Razlan mendekatkan pandangan ke atas permukaan kek. Dia diam. Memerhati. Papp!! Tangannya laju mencapai tanganku. Dia seraya mengangguk. Mengiyakan kata-kataku sebentar tadi.
Dia pantas mengarahkan aku ke dapur untuk mengambil pisau. Selang beberapa saat,pisau sudah berada di tangannya. Dengan perlahan mata pisau tadi disuakan lalu menguis krim di permukaan kek.
Kami memerhati dengan tekun.Ada sesuatu yang berkutik, berenang kekenyangan.Ulat sampah?? Yuckkkss.. Kembang tekak. Kami berpandangan.
Kemudian Razlan menyatakan niatnya untuk membelah kek tersebut. Aku mengangguk memberi izin. Pisau tadi sekali lagi digunakan tapi kali ini untuk memotong kek tersebut.
Bila saja mata pisau itu membelah, maka segala isi dalaman setiap lapisan kek membuak keluar. Aku tidak dapat menahan loya. Mulut kutekup rapat.
Tanpa dapat ditahan-tahan,airmata ku mengalir deras. Badanku menggigil secara drastik. Tubuhku melorot dan jatuh ke lantai.
===================================
Lokasi:A&W,PJ
"Ulat sampah?? Gelinya aku Fea. Tapi kan,apa yang ada sebenarnya dalam kek tu? Kau dengan Razlan nampak apa?"
"Kau rasa apa benda Dee?"
"Aduhhh,tak payah rasa-rasalah Fea. Tak pandai aku nak teka-teka ni."
"Yelah2.... Bila Razlan belah je kek tu, maka tergolek-golek lah menatang peliharaan si Syam. Ada cacing tanah, ada cicak, ulat berengga, dan lintah.Siap disusun layer bersalut krim lagi.Dah tu,semuanya hidup pulak tu Dee!!Mau tak kembang tekak aku dibuatnya?"
"Aduhhh. Gila betul bekas pakwe kau ni Fea. Ehhh,chopp! Macam mana kau yakin kek tu Syam yang hantar. Entah-entah ada orang lain saje nak prank kau kot?"
"Kau ingat aku ni jahat sangat ke Dee sampai ramai musuh? Prank apa bendanya. Memang kerja si Syam tu lah.Aku tahu pun sebab si runner yang nama Zali tu datang esoknya."
===================================
Keesokan pagi....
Aku dalam ni adalah Sofea.
Insiden semalam masih berbekas.Aku pula sejak malam tadi hampir tidak tidur semalaman. Otak aku celaru jadinya. Aku asyik-asyik terbayangkan wajah si Syam.
Kesudahannya, pagi ini aku tidak larat untuk masuk kerja. Razlan pula tidak dapat temankan aku atas sebab meeting yang perlu dia hadiri. Katanya,dia akan pulang secepat mungkin setelah meeting itu berakhir.
Dia ada menawarkan aku untuk ikut dia ke tempat kerja tetapi aku menolak dengan alasan ingin berehat. Dia akur walaupun bimbang. Dia berpesan agar aku jangan keluar rumah. Yes bos!!
Jam 11.30 pagi
Sedang aku leka melayari laman IG di hp, tiba-tiba kedengaran loceng pagar dibunyikan. Aku bangun dari sofa dan mendekati birai tingkap. Langsir ku selak. Kelibat seorang lelaki di luar pagar. Zali? Ni runner semalam.
Entah apa pula kali ni yang dihantar. Bunyi loceng dibunyikan sekali lagi. Tiba-tiba datang satu idea. Ya,aku perlu jumpa Zali. Aku perlu tanya dia tentang keberadaan Syam.
Aku mencapai shawl diatas sofa. Lilitan kemas siap di kepala. Lantas aku membuka pintu utama dan keluar memboloskan diri. Aku berdiri dari dalam pagar. Pintu pagar kubiar berkunci.
"Assalammualaikum Puan. Maaf, Puan ni Puan sofea ke? Saya Zali yang datang semalam hantar kiriman.Hehe.."
"Ya,saya Sofea.Kali ni apa pulak si gila tu kirim untuk saya? Ehh,awak tahu tak si Syam tu gila? Lepas ni awak tak payah hantar apa2 dari dia untuk saya. Awak buang sahaja semuanya!"
"Eh..Puan Sofea ni. Mana boleh Puan. Ini dah jadi tugas saya.Saya kena amanah. Lagi satu,apa maksud Puan Encik Syam tu gila? Dia kan abang Puan.Tengok macam semalam tu, siap bagi hadiah dan belon lagi untuk Puan. Meraikan harijadi Puan. Untung Puan Sofea ada abang macam tu tau."
"Abang?? Bila masa pula saya jadi adik dia. Dia tu psycho tahu tak!! Macam nilah. Saya tak mahu panjang cerita. Saya nak tahu alamat dia di mana? Tolong lah,saya betul-betul nak tahu. Ini soal hidup dan mati."
"Aduhh. Tak faham saya. Encik Syam tu sikit punya handsome, segak. Gila tang mana? Dah tu psycho pula? Saya ni punyalah happy dapat job dari dia. Upah untuk hantar barang puan sahaja RM200 dia bagi saya. Belum masuk upah untuk hari ni. Saya lah yang gila Puan kalau tolak job ni. Lagi satu,saya tak ada alamat dia untuk diberi pada Puan. Kami jumpa pun, tuuu... dekat simpang jalan ni je.Kalau di fikir-fikirkan, memang tak logik bila dia suruh saya yang hantar sedangkan sikit punya dekat kalau dia hantar barang tu sendiri." Terperanjat aku bilamana mendengar kata-kata Zali.
"Awak biar betul ni Zali?" Aku mati kata-kata.
"Betul Puan. Saya tak bohong. Untuk hari ni tak ada kiriman barang buat Puan. Cuma pesanan dari Encik Syam. Dia suruh saya tanya, sedap tak kek yang Puan dapat semalam?Kalau tak sedap dia akan hantar yang lain.Lagi satu, dia cakap dia rindukan Puan. Kalau boleh, dia nak ulangi detik indah bersama Puan dulu. Aduhhh..korang ni memang macam ni ke? Takpelah Puan, kerja saya dah habis. Amanah dah disampaikan."
"Nanti!! Kalau tak ada alamat, nombor hp dia mesti awak ada kan? Tolong bagi pada saya. Saya rindu dengan "abang" saya. Tolong lahh.." Aku bermain kata.
"Haaa, mengaku pun dia tu abang Puan. Hehe... Tapi maaf sekali lagi ya Puan.Itu pun saya tak boleh nak bantu. Sebabnya, Encik Syam dah pesan. Kalau Puan minta nombor phone dia,dia suruh puan pergi public phone simpang jalan tu. Sebab dia call saya pun guna public phone tu. Okaylah Puan, saya pergi dulu."
Zali naik ke atas motornya dan berlalu pergi meninggalkan aku yang dalam kebingungan. Aku memegang kepalaku kejap. Tepu otak! Tanpa berlenggah,aku lari masuk ke dalam rumah. Takut-takut kalau ada mata yang memerhati.
Petang itu, setibanya Razlan di rumah aku menceritakan seluruh perihal dari perbualan aku dan Zali.Aku nampak raut kebimbangan di wajah Razlan. Dengan kuasa veto Razlan sebagai seorang suami,dia berjanji akan melindungi aku.
Dia tidak akan sekali-kali meninggalkan aku sendirian di rumah lagi.Malah dia turut berjanji untuk mempercepatkan proses ubah suai kondo kami agar kami dapat berpindah secepat mungkin. Aku akur.
Keesokan paginya...
7.00 pagi
Kami sudah siap untuk ke tempat kerja. Razlan terlebih dahulu ke luar rumah untuk memanaskan enjin kereta. Tiba-tiba aku mendengar Razlan menjerit keras. Aku berlari mendapatkannya. Ya Allah!!Apa lagi ni?
"Sialll lah!! Pagi- pagi dah buat aku panas!"
Aku tercengang. Manakan tidak. Habis seluruh permukaan kereta nya di penuhi dengan longgokan isi perut dan najis ayam. Busuk! Malah, cermin hadapan pula disimbahi darah.
Darah ayam mungkin? Ataupun darah anjing? Hamis! Baunya memeritkan rongga hidung. Jarang sekali aku melihat Razlan begitu marah melainkan soal kerja. Dia lantas mengeluarkan hp nya dan dia kelihatan mendail nombor seseorang.
Aku hanya berdiri kaku mendengarkan butir bicaranya. Beberapa minit kemudian,panggilan ditamatkan.Dia kembali menatap hp ditangan. Diam tanpa suara. Tangannya pantas bergerak. Butang Lensar kamera ditekan.
Klikkk.! Klikk!
Dia menangkap beberapa keping gambar. Ohh,baru aku faham. Sebentar tadi dia menghubungi pegawai polis yang mengendalikan laporan kes kami sebelum ini.
Mungkin gambar tadi dan gambar kek semalam dikumpul sebagai bahan bukti gangguan dari Syam. Akhirnya kami berdua tidak jadi ke tempat kerja. Mood dan hormon berkecamuk. Dingin..
'Kusangkakan panas hingga ke petang,rupanya hujan di tengahari. Kusangkakan gangguan sudah hilang, rupanya makin menjadi-jadi.'
Hari berganti hari,Syam terus-terusan membuat onar. Setiap hari ada sahaja kiriman bungkusan yang dihantar Runner. Bukan lagi kelibat Zali tetapi runner nya sering bertukar ganti.
Kalau kami tiada dirumah, pasti bungkusan itu akan ditinggalkan terbiar di hadapan pintu pagar. Kami naik jelak!! Namun tiada satupun darinya yang kami terima. Samada dibuang atau dibakar terus.
Apa yang menimpa kami menjadi buah mulut jiran-jiran. Mereka beranggapan kami ada masalah hutang dengan Ah long. Semuanya berlaku selepas insiden dimana Razlan yang hampir membelasah seorang runner yang menghantar 2 tong cat merah. Gila!!
Maka berpusu-pusulah penonton wayang tanpa tiket yang hadir menyaksikan drama secara live. Tapi kami tidak ambil pusing sementelah, lagi beberapa hari sahaja lagi kami akan berpindah ke kondo. Biasalah,jiran- jiran tidak tahu apa situasi yang kami hadapi.
Lantaklah apa mereka mahu fikir. Cuma apa yang menjadi tanda tanya, mengapa setiap kali rondaan yang dibuat oleh pegawai polis di kawasan rumah kami, tidak ada seorang pun runner yang akan muncul waimah ditangkap?
Aku benar-benar keliru. Seolah-olah pergerakan sekeliling kami dalam pemerhatian seseorang. Kuasa Halimunan kah? Pelik!
Jam 8.00 malam.
Razlan kulihat tidak senang duduknya. Sekejap-kejap dia menyelak langsir, menyorot pandangan ke luar rumah. Gayanya seolah-olah menantikan kehadiran seseorang. Soalnya,siapa?
Setelah aku bertanya, katanya ada tetamu yang mahu datang.Berselang 20 minit kemudian,yang dinanti Razlan sudah tiba. Seorang lelaki,bertubuh sederhana dan berkopiah. Usia dalam lingkungan pertengahan 50-an.
Dia diperkenalkan kepadaku oleh Razlan. Namanya,Ustaz Hasri. Pada mulanya aku sedikit keliru. Apa tujuannya dia kemari? Kenapa Razlan tidak memberitahuku apa-apa?
"Ustaz, Inilah isteri saya Sofea yang saya ceritakan perihalnya tempoh hari. Semoga Ustaz dapat membantu."
"Isyaallah,Razlan. Saya akan cuba untuk membantu. Selebihnya, DIA yang Maha Berkuasa. Lagipun, dari pengamatan saya apa yang mengganggu isterimu bukan lah gangguan yang berat. Alhamdulillah, awak dapat sedar cepat. Sihirnya baru berputik belum ada tunasnya. Syukur ke hadrat Allah yang Maha Pelindung kerana memelihara kalian suami isteri. Berkat dari kalian yang menjaga amalan dan tidak mudah lalai,maka ia menjadi perisai dari sihir itu terus tular ke tubuh isterimu.Mari kita mulakan."
Razlan mengangguk setuju.Aku meliriknya buntu. Apakah?? Sihir?? Ustaz Hasri memandang Razlan dan kemudian beralih memandangku. Dia memohon izin untuk menyentuh ubun-ubun kepalaku yang sudah siap berlapik shawl.
Aku tidak menolak walau masih keliru. Terdengar indah bacaan ayat suci Al-quran dari bibirnya. Mata ku pejam.Rapat. Cuba menghayati... Tetapi, kenapa aku rasa panas tiba-tiba??
Bahang mula memagut setiap inci tubuh. Leluhur sendi terasa perih.Urat belurat bagaikan tersimpul. Tengkuk menegang. Kepalaku berdenyut kuat.
"Lawan Sofea,lawan. Jangan berhenti berzikir."
Bacaan ayat-ayat kalam Allah berterusan beberapa ketika sebelum Ustaz memberhentikannya. Selesai. Segelas air yang sudah diruqyahkan disuakan kepadaku. Aku memahami dan akur...
Beberapa saat kemudian,gelas itu kosong, isinya sudah mengalir masuk ke perut. Kesakitan yang aku alami tadi beransur-ansur hilang.Aku masih bingung, tapi aku bersyukur. Usai semuanya, Ustaz Hasri mohon berangkat pulang.
Aku memandang Razlan,kedua belah kening ku angkat kejap.Memohon penjelasan.Seperti memahami, Razlan berterus terang.
DARI SUDUT CERITA RAZLAN.
Selepas aku memegang bungkusan yang terletak di hadapan pintu rumah, tiba-tiba aku pengsan.Razlan kaget.Dia mencempung tubuhku masuk ke dalam rumah seraya membaringkan aku diatas sofa.
Bungkusan tadi diambil dan dia membukanya. Ternyata isinya adalah sebungkus maggie dan sekeping gambar aku. Menurutnya, pada mula dia hanya beranggapan ada budak2 nakal yang ingin mengusikku.
Tetapi apabila dia membelek gambar tersebut, ternyata ada satu nota tertulis di belakangnya. Ia hasil tulisan tangan berdakwat hitam ternyata memberi seribu persoalan. Dia nekad untuk bertanyakan aku tentang ini usai aku sedar dari pengsan.
Kata Razlan,sejak aku menerima bungkusan itu perwatakanku mulai berubah. Aku kerap bermenung panjang dan seolah-olah berkhayalkan sesuatu.
Perubahan yang paling ketara adalah aku akan bercakap semasa tidur. Keadaanku seperti sedang rancak berbual dengan seseorang.Bila diamati, aku sering menyebut nama 'Syam'.
Sekejap aku ketawa, sekejap aku menangis. Aku dikatakan seperti hidup dalam dua dunia yang berbeza.
Sehinggalah pada satu hari,ketika itu aku dan Razlan sedang menikmati makan malam di sebuah restoran. Sedang rancak berbual, tiba-tiba aku dikatakan berubah watak.
Aku tidak lagi memanggilnya dengan panggilan abang malah bertukar kepada 'Syam'. Dan topik yang kami bincangkan turut berubah.Dari bercakap soal rumah baru aku tiba-tiba bercakap soal kerja di tempat lama dahulu.
Bagaikan mengulangi detik indah bersama Syam. Bercakap tentang nikmatnya air tangan Syam memasak maggie berperisa ayam.Kemudian bercakap soal kahwin dan anak bersama Syam.
Apa yang Razlan perasan, ketika aku bercakap, mataku kaku dan statik memandang satu arah tanpa berkedip sehingga mengalir air jernih dari tubir mata. Romanku seolah-olah dipukau.
Hal ini tidak berhenti disitu sahaja, malah aku juga buat hal di atas ranjang. Baru hendak berdayung,aku mula memanggilnya 'Syam'. Terbantut kemahuan.
Dari situlah dia dapat mengesan akan kelainanku. Dalam diam dia bertemu Ustaz Hasri untuk merujuk keadaan yang aku alami.
Jujur, aku terperanjat mendengar semua itu dari Razlan. Sumpah,aku langsung tidak menyedarinya. Kasihan Razlan...
==================================
Lokasi:A&W,PJ.
"Ya Allah, sampai macam tu sekali Fea. Tak sangka pula aku.Habis tu sejak kau pindah rumah baru ni,kau masih diganggu?"
"Aku pun tak sangka Dee sampai jadi macam ni.2 bulan aku pindah kondo, alhamdulillah aku rasa lebih tenang. Tiada lagi bungkusan. Tiada lagi runner. Tiada lagi gangguan yang aku terima. Tapi......jangkaan aku meleset bila aku terkena 2 hari lepas. Itulah yang sebenarnya aku nak beritahu kau Dee"
"Haaa.Dua hari lepas?Apa yang jadi?"
===================================
SAYA NAK BELI CINCIN BOLEH??
Lokasi:Kondo,SA.
Huh!! Penat sungguh badanku.Kerja mengemas, pindah masuk dan susun atur barang bukanlah enteng. Nasiblah ada Kak Mar,cleaner yang dipinjam dari tempat Razlan bekerja sudi membantu. Kalau tidak,mahu haru jadinya.
Sejak berpindah,secara rasminya aku bergelar suri rumah sepenuh masa. Arahan dari Razlan yang terpaksa aku akur.
Dia memberi cadangan untuk aku menetap sahaja dirumah sambil melakukan bisnes online. Aku memilih untuk menjual pakaian dan aksesori wanita yang diambil dari China dan Vietnam.
Alhamdulillah, setelah sebulan pelbagai urusan persediaan berjalan dengan lancar. Kesan dari aktif di media sosial sebelum ini, aku sudah punya ramai kenalan.
Bukan sahaja di FB malah di halaman IG juga aku turut memasarkan product yang dijual. Bila terbabit dengan perniagaan online, siapa-siapa sahaja yang request friend akan diterima bulat-bulat.
Asalkan produk yang dijual diketahui umum. Selain PM di messenger dan reply di IG, nombor telefon juga menjadi tular bilamana ia menjadi medan akses untuk berbicara dengan pelanggan.
Aku juga tidak lari dari konsep ini kerana itu sahajalah cara jika berbisnes online. Aku sangka diamku dirumah sudah buat aku terselamat dari gangguan Syam tetapi aku silap......
Pada suatu hari,aku menerima mesej dari seseorang dari aplikasi messenger di FB.Dia dengan nama profile 'Anggun Syafea' menggunakan gambar profile seorang gadis. Cantik orangnya.
Dia kelihatan begitu teruja dapat berborak denganku. Aku andaikan orangnya gemar berfesyen kerana dia sangat arif tentangnya. Sebut sahaja apa jua brand dan gaya terkini,semua dia tahu.
Aku senang berbual dengannya. Sehinggalah 2 hari lepas,sedang aku tekun berbalas message dengan pelanggan lain tiba-tiba message darinya masuk bertubi-tubi yang bertulis....
"Saya nak beli cincin,boleh??
"Saya suka melihat mata awak "
"bibir awak tampak begitu mungil dan mengasyikkan."
"Awak begitu anggun bertudung."
"Seandainya tubuh awak saya miliki,pasti saya adalah insan yang paling asyik menghayatinya."
"Sayangnya,kau memilih dia.Aku yang layak berada disisimu Sofea!!!"
"Awak tak rindukan saya sofea.??"
"Awak tak rindukan maggie yang saya buat?"
"Kek red velvet mungkin?"
"Kekasih mati mu!!"
"Hahhahahah....."
Hp yang berada di tangan terlepas dari genggaman.Syam??
==================================
Lokasi:A&W,PJ.
"Macam tulah Dee. Aku dah tak tahu macam mana nak buat dah. Razlan pun buntu dibuatnya. Sampai aku rasa nak ajak dia lari keluar dari Malaysia ni tau tak!"
"Fea, mamat psycho macam tu.Kau larilah sampai hujung dunia pun dia tetap ada. Kecuali...dia mati!!"
"Dee. Aku rasakan.........." Bicaranya terhenti. Diam. Kaku.
"Kau rasa apa Fea? Fea..Fea..."
Aku melambai-lambaikan tanganku di depan mukanya. Sofea bagaikan terpaku dan memandang ke satu arah. Arghhh..sudah!!
Aku memanggilnya lagi. Tetap tiada jawapan. Tiada pergerakan. Lantas,laju tanganku menampar bahunya. Dia bagaikan tersedar dari khayalan.Air matanya gemuk-gemuk, mengalir deras. Badannya menggigil. Kenapa pula ni??
"Fea..pandang aku!! Kenapa ni?"
"Dee..dia Dee!! Dia!!"
Tangannya diangkat dan didepangkan ke depan. Jari telunjuknya terarah kepada sesuatu di belakangku. Aku pegun seketika. Nak toleh ke tak? Nak toleh ke tak? Tolonglah... jangan hantu!
Dengan lafaz bismillah.. Aku menoleh. Seorang lelaki berdiri diluar cermin restoran. Berbadan tegap dan segak. Wajahnya tampan, alis matanya cantik. Tetapi matanya... mata itu sungguh tajam!!
Dia tersenyum menampakkan giginya yang tersusun. Syam? Dia kah Syam??
"Seru aku Tuan. Seru aku....." suara berbisik halus di telinga.
Hulubalang!
===================================
Tahun 2017
Berbulan lamanya sejak pertemuan aku dan Sofea. Itu merupakan kali terakhir aku bertemunya. Dia menukar nombor baru lagi.Kami hanya bertanya khabar tanpa bersua.
Buat sementara waktu, Sofea mengasingkan diri dari dunia luar. Hidup tanpa akses internet, dia memilih untuk deactived ke semua akaun di media sosial. Katanya,dia trauma!
Aku memahami. Kini dia bukan tinggal berdua sahaja dengan Razlan. Dua orang adik lelakinya berhimpun satu rumah. Dengan niat menjaga kakak mereka.Ibu dan bapanya juga kerap datang menziarah.
Apa yang mereka lakukan hanya untuk merangsang semula perwatakan Sofea yang sangat periang suatu ketika dahulu. Razlan tiada masalah malah berterima kasih. Lebih-lebih lagi Sofea kini berbadan dua. Alhamdulillah....
Jam 4.00 petang
Aku tiba di rumah dari kedai buku popular.Senaskah buku dari air tangan novelis kesayangan berjaya dimiliki. Aku puas. Rasanya seperti menang loteri.Ehh,haram tu!
Senyuman meleret. Tak sabar untuk mula membaca. Dalam aku melayani perasaan yang berbunga-bunga, nada notifikasi dari hp aku berbunyi. Menandakan ada message baru masuk. Mungkin dari Thaqief barangkali. Aku mencapai hp. Aplikasi wassup dibuka. Sofea???
"Assalammualaikum Dee .Kau sihat? Macam mana appoinment dengan doctor? Dah dapat result ke?"
"Waalaikumussalam. Alhamdulillah aku okay je Fea. Doa yang baik-baik saja buat aku ya. Kau macam mana pula?Dah scan jantina baby?"
"Insyaallah Dee. Kau sentiasa dalam doa aku. Btw,aku dah scan semalam. Insyaallah,kemungkinan baby girl.. Yeayy, aku dapat kawan tak lama lagi."
"Alhamdulillah.Syukur."
"Dee...thanks tau. Aku speechless gila bila dapat parcel dari kau tadi. DUck scarves!!! Aduhh, sayang nak pakai Dee oii. Rasa macam nak bawa tidur je. Sayang kau ketat-ketat Dee!!"
"Duck scarves??? Apa maksud kau Fea? Sumpah, aku tak ada hantar apa-apa untuk kau pun."
"Ecehhh, bergurau pulak dia ni!! Kau tak payah acah-acah nak kenakan aku lah Dee. Jap,aku hantar slip poslaju. Terang-terang nama & alamat kau.Pigi dahhh!!!!"
Tingg!!!
Aku menerima slip poslaju yang tertera nama & alamat aku. Apakahh????
Tamat.
P/s: Buat Sofea,sumpah bukan aku yang hantar!!
Kqwan-kawan, ini kisah benar. Sampai sekarang, aku tak tahu mana syam!

===================================

Gambar: Kamenrider
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Anonymous said...

Mcm org dlm citer kawanku psiko je..