Siri H.E.R.O - EHSAN
====================
“Woi! Buang lah sampah tu sampai tahun depan!” Ramdan menegur Ehsan keras dari belakang. Terperanjat lelaki polos itu dibuatnya. Laju sahaja tangannya menengkuh bontot bakul sampah hijau yang dipegang. Semua sampah-sampah kecil dan debu-debu menghujan jatuh ke dalam tong sampah hitam besar di luar.
Dia kembali duduk ke tempatnya – di tepi tingkap - setelah bakul sampah diletakkan semula di sudut bucu belakang kelas. Dalam masa yang sama, Ramdan membaling sebongkah kertas yang diperenyuk bulat-bulat ke belakang lalu tepat masuk ke dalam bakul sampah kecil itu. 10 points!
Min Ho, bukan nama sebenar, tetapi dia nak semua orang panggil dia macam tu, sedang mengenakan headphone merah. Itu tak lain tak bukan, mesti sedang mendengar lagu-lagu K-pop. Barangan hiburan adalah dilarang sama sekali di bawa ke sekolah – “do I care?” itulah jawapan yang selalu keluar dari mulutnya tatkala ada pengawas yang menegur. Terutamanya Puteri Dewi.
Puteri Dewi duduk di meja tengah paling depan. Berbaju biru dan blazer merah darah. Menandakan dia ada jawatan penting dalam Persatuan Pengawas Sekolah yang mana Ehsan langsung tak ambil pusing. Gadis itu sedang menelaah buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 3. Dia tak hiraukan langsung keadaan hingar di sekeliling.
Sejujurnya, dia hirau. Dah sound pun tadi tetapi budak-budak kelas ini bukannya makan saman.
“Imran, rasa lah sushi aku buat ni. Aku belajar kat Youtube semalam.” Ardel menghulurkan sebuah bekas Tupperware, original bukan copy ori, kepada Imran yang duduk di sebelah Ehsan. Dia dalamnya ada beberapa jenis sushi yang berbeza-beza topping-nya.
“Eeerrkk..baru belajar kat Youtube semalam?” soal Imran, mukanya jengkel.
“Sedap lah! Apa kau ingat aku ni tak pandai masak ke?” bidas Ardel.
Imran turutkan sahaja. Dia capai sushi yang ada topping sosej, sebab itu sahaja yang dia rasa paling selamat untuk dimasukkan ke dalam mulut. Bukan apa, baru bulan lepas Azhar dikejarkan ke hospital disebabkan keracunan makanan. Sebelum dia menggelupur sakit perut, dia ada makan cupcake yang Ardel bawa dari rumah.
“Kau taknak cuba, San?” soal Imran, raut wajahnya penuh simpati seolah-olah mengatakan, ‘Don’t let me die alone. Come join me!’
Ehsan sekadar menggeleng dan tersengih.
“Ehsan puasa.” Ardel mencelah.
Puasa. Itulah alasan yang selalu digunapakai. Bukan kerana dia betul-betul berpuasa. Ah, puasa Ramadhan pun belum tentu dia lunaskan sempurna. Tetapi, ini kerana dia memang tak perlu makan. Dia hanya perlukan air.
Cuaca agak baik pagi itu. Matahari naik cantik. Ehsan tersengih memandang ke luar tingkap. Dia suka cuaca hari ini. Baik untuk dirinya. Baik untuk tubuhnya. Baik untuk urat-urat darahnya. Cahaya matahari dari ufuk timur memancar gemilang menyusur masuk ke dalam kelas melalui tingkap yang terdedah tidak berlangsir.
Munirah bawa pulang langsir kelas itu semalam. Katanya, nak basuh sebab sudah lama langsir-langsir itu tidak dicuci padahal baru bulan lepas dia bawa pulang dan mencucinya di rumah. Ketua AJK Keceriaan kelas, memang begitulah sikapnya. Tak boleh nampak semua benda kotor sedikit.
“Munirah. Langsir tak habis cuci lagi ke? Silau tau tak bila cahaya matahari ni masuk kelas.” Rungut Izzlorna, gadis yang gemar memakai lip balm merah jambu. Kau buka sahaja beg sekolahnya, lebih banyak barang make-up daripada pensel dan pen. Ke sekolah mahu belajar atau melawa?
“Melawa!” tiba-tiba Izzlorna bersuara sambil memandang ke arah Ehsan yang sejak tadi memerhatikan gadis itu mengenakan lip balm merah jambu ke bibir.
Ehsan mengerutkan dahinya seolah-olah menyoal – ‘apa?’
“Eleh..aku nampak la kau usha aku. Mesti dalam otak kau tu fikir, aku ni pergi sekolah nak melawa ke nak belajar. Kan? Sibuk je lah kau ni Ehsan!” Izzlorna memutarkan bebola matanya lalu kembali fokus dengan cermin make-up di atas meja.
Ehsan sekadar tergelak kecil dan menggeleng. Ada rasa gembira dalam hatinya. Ya, dia sukakan kelas ini. Riuh, gila-gila dan bermacam-macam ragam.
Sehinggalah hari itu tiba. Hari yang membuat persepsinya terhadap rakan-rakan sekelasnya itu, berubah 180 darjah.
“Ustazah, apa hukum kalau kita orang Islam ni bela anjing?” soal Megat ketika kelas sedang sunyi, sibuk menjawab soalan latihan yang diberikan oleh Ustazah Haliza. Megat, nama macam gengster kampung habis!
“Bergantung kepada apa tujuan anjing itu dipelihara. Kalau untuk menjaga harta benda, hukumnya makhruh sahaja. Cuma, tuannya kena rajin menyertu lah andai kata mereka bersentuhan dalam keadaan yang basah. Tetapi, kalau untuk tujuan memelihara sebagai ternakan hobi ibarat seperti memelihara kucing, itu hukumnya haram.”
“Oh, macam tu. Okay..” Megat mengangguk-angguk.
Ustazah Haliza hairan. Tidak pernah anak muridnya yang seorang ini rajin menyoal soalan-soalan ilmiah sebegini. Kalau tidak, harinya pasti dipenuhi dengan mengusik dan bercakap perkara-perkara lagho sahaja. Entah kenapa hari ini ringan pula mulutnya bertanya.
“Boleh ustazah tahu, kenapa kamu tanya?” soal Ustazah Haliza.
Megat memandang sipi-sipi ke arah Ehsan. Ehsan membalas. Riaknya menunjukkan dia tak suka pada mata sinis Megat.
“Saya ada kenal sorang budak ni, dia bela anjing. Berkawan dengan anjing macam bestfriend.” Jawab Megat, sinis. “Melayu, Islam.” Sambungnya.
“Siapa?” soal Ustazah Haliza.
“Ada lah..” Megat mematikan kata-kata lalu dia menyambung latihannya.
“Pesan dekat kawan awak tu, nak bela boleh tetapi biarlah berbatas dengan tujuan.” Jelas Ustazah Haliza.
Kata-kata Ustazah Haliza terngiang-ngiang di telinga sepanjang perjalanannya pulang ke rumah. Berjalan kaki. Memang itu rutin harian Ehsan. Rumahnya tidak lah dekat. Kalau budak-budak zaman itu, boleh dikatakan mustahil ada yang mahu berjalan kaki seperti dia. Tetapi, nak buat macam mana. Dia tak ada pilihan lain. Rumahnya jauh di pedalaman. Perlu meredah denai dan menyeberang sungai. Membawa motorsikal atau basikal ke sekolah, bukan pilihan bijak malah membebankan. Sejujurnya, Ehsan langsung tak memiliki dua kenderaan itu.
Keluarganya hanya memiliki sebuah lori yang sering kali digunakan oleh ibunya untuk membawa hasil ladang sayur ke pasar tani di kota. Ibunya seorang pekebun. Bapanya sudah lama meninggal dunia. Mujurlah bapanya ada meninggalkan sebidang tanah itu untuk diusahakan.
“Petang nanti Ehsan ada nak ke mana-mana ke?” soal si ibu ketika dia sedang menjamu menu tengaharinya. Ehsan sekadar mengangguk dan meneguk air kosong yang ada di depan. Dia langsung tidak menjamah sebarang makanan. Bukan tak mahu tetapi tak perlu.
“Jaga kambing.” Jawab Ehsan ringkas.
“Ibu tengok sebulan dua ni tiap-tiap petang Ehsan jaga kambing.”
“Elok lah daripada Ehsan merempit dengan budak-budak kampung.”
Si ibu hanya ketawa kecil. “Ibu nak keluar petang nanti. Temankan Makcik Tipah ke bandar.”
“Buat apa?” soal Ehsan ringkas.
“Jumpa Ustaz.”
Laju sahaja anak mata lelaki itu menoleh ke arah ibunya. Termasuk kali ini, entah berapa kerap ibunya itu berjumpa dengan ustaz yang tinggal di bandar, di luar waktu meniaga. Apa yang di tahu, ustaz itu meniaga ayam di pasar. Kedainya betul-betul di sebelah kedai ibu yang meniaga sayur-sayur segar dari ladang mereka.
“Anak dia dah seminggu demam.” Sambung si ibu.
“Tak bawa pergi klinik?”
“Tipah tu bukan percaya ubat doktor.”
“Jadi lebih percaya air jampi ustaz?” Ehsan ketawa kecil. “Makcik Tipah ke, atau ibu yang hasut makcik Tipah tu supaya tak percayakan ubat doktor?”
“Ustaz tu belajar dekat Al-Azhar.”
“Belajar dekat Al-Azhar, balik Malaysia meniaga ayam je?” Ehsan tergelak sinis. “Doktor dekat klinik kesihatan tu Ehsan dengar belajar kat London.”
“Kenapa Ehsan susah sangat nak ikut semua ni?” Ibu mula meninggi suara.
“Entah-entah anak dia tu demam denggi. Seminggu dibiarkan tak hantar ke hospital, jangan menyesal sudah lah kalau nyawa budak tu melayang nanti.”
“Astaghfirullah al-azim! Apa cakap macam tu?”
“Ibu dengan Makcik Tipah tu sama je.” Bentak Ehsan. “Kalau tak disebabkan pemikiran ibu macam ni, Ehsan rasa ayah mesti hidup lagi sekarang.”
“Ehsan!” ibunya menjerkah, marah. Ehsan hanya berlalu pergi menuju ke ladang kambing.
Mukhriz, anak Makcik Tipah, meninggal seminggu kemudian. Disyaki menghidap demam denggi berdarah. Dua minggu dia terlantar di rumah hanya berbekalkan air jampi ustaz.
Ehsan duduk di atas rumput, di bawah pokok, sambil memerhati sekawanan kambingnya meragut di situ. Petang yang sedikit berangin. Pemandangan padang rumput di kaki gunung itu cukup mendamaikan. Terlalu damai sehinggakan dia dapat melupakan seketika dialog tegang antara dia dan ibunya minggu lepas, juga dia dapat lupakan kata-kata Ustazah Haliza tempoh hari.
Tompok berjalan mendekati Ehsan lalu dia duduk di sebelah lelaki itu. Laju sahaja Ehsan menggosok-gosok belakang Tompok, si peneman tiap kali dia menjaga kambing-kambing ini di kala petang.
“Kau rindu ayah tak Tompok?” soal Ehsan. Tompok hanya diam.
“Aku rindu ayah. Ayah tak pernah merungut dengan apa yang aku buat. Berbeza dengan ibu. Semua benda dia nak halang. Kau pun dia suruh aku buang. Aku tak faham kenapa ibu tu jahat sangat?” Sambung Ehsan lagi. Tangannya masih setia menggosok-gosok Tompok.
“Kadang-kadang aku rasa nak lari dari sini. Pergi jauh-jauh. Hidup dengan cara aku.” Ehsan terus-menerus meluahkan isi hatinya. Memang begitulah saban petang. Tompok adalah pendengar setia walaupun ia tak mampu nak menutur balas.
“Kau rasa aku boleh hidup sendiri tak Tompok?” soal Ehsan sambil memeluk leher Tompok. “Kau nak ikut aku?” soalnya lagi.
“Kau tengok. Kan aku dah cakap.” Suara seorang lelaki kedengaran tidak jauh di belakang. Ehsan menoleh lalu bangun dari dudukannya. Megat sedang berdiri bersama beberapa orang lagi yang dikenalinya.
“Selekeh sial main dengan anjing.” Sela Johari.
“Ehsan..aku tak sangka kau macam ni.” Ilham pula mencelah.
“Aku samak la.” Ehsan berbohong.
“Sertu..bukan samak.” Ramdan pula bersuara.
“Jom lah blah. Aku dah tunjuk apa yang aku nak tunjuk. Bukti pun dah ada. Esok budak ni konfem jadi selebriti.” sinis Megat sambil mencium telefon bimbitnya lalu mereka semua melangkah pergi.
Esok di sekolah, gambar Ehsan memeluk Tompok, si anjing berbaka Husky yang ada tompok hitam pada badannya, ada merata-rata di sekitar sekolah. Sepanjang perjalanan Ehsan dari pintu pagar sekolah sehingga ke kelasnya, banyak mata yang memandang dan berbisik-bisik.
“Auk! Auk! Auk!” beberapa rakan sekelasnya menyalak, memerli.
Ilham serta-merta bangun dari kerusi dan menarik mejanya menjauhi Ehsan.
“Kau sertu tak semalam? Kalau tak, jangan nak dekat dengan aku. Tak pasal-pasal aku pun kena sertu nanti.”
“Seriously?” soal Ehsan, sebal.
Seperti apa yang dikatakan oleh Megat semalam, memang betul hari ini Ehsan menjadi selebriti. Bukanlah selebriti yang dijulang-julang tetapi selebriti yang dikecam-kecam. Sampaikan, petang itu selepas waktu sekolah, Ehsan dipanggil oleh pengetua. Megat juga tidak terkecuali.
“Kamu tahu apa kamu dah buat?” soal Cikgu Murad.
“Saya..saya..” Ehsan buntu.
“Saya tak tanya kamu, Ehsan. Saya tanya kamu, Megat.”
“Eh, kenapa saya pula, Cikgu? Bukan saya yang pegang anjing.”
“Kamu yang muat naik gambar tu ke Facebook. Sekarang, satu Malaysia bercakap pasal ni. Nama sekolah terpalit sekali, kamu tahu?!” soal Cikgu Murad, garang.
“Bagus lah. Popular sikit sekolah kampung ni.”
Cikgu Murad menggeleng kesal. Nak ditangankan karang, risau diseret masuk mahkamah. Tetapi, sebagai guru, denda harus dilakukan.
“Saya terpaksa denda kamu berdua.”
“What? No!” Megat melenting.
“Kalau tidak, saya akan buat surat dan gantung kamu dari sekolah. Kamu rasa mak ayah kamu nak sorok muka dekat mana kalau orang kampung tahu, anak orang kaya Megat Iskandar kena gantung sekolah?”
Cikgu Murad mengugut. Megat Hisyam bin Megat Iskandar mati kata-kata. Mahu atau tidak, dia terpaksa juga menurut perintah.
“Esok Sabtu. Tapi saya nak kamu berdua datang ke sekolah. Jumpa saya dekat stor belakang sekolah tepat pukul 8 pagi. Pakai baju sukan. Kalau kamu berdua tak datang, tahulah nanti apa yang saya nak buat. Sudah! Kamu berdua boleh balik!” tegas Cikgu Murad lagi.
***
Ketika Ehsan melangkah masuk ke dalam rumah, ibunya sedang duduk di atas kerusi rotan di ruang tamu. Mukanya kelat. Ehsan terus melangkah menuju ke biliknya namun,
“Ehsan!” ibunya memanggil. “Duduk sekejap, ibu nak cakap sikit.”
Ehsan melepaskan keluh. Nampaknya dia tak berjaya mengelak. Dengan berat hati dia duduk di kerusi berhadapan dengan tempat ibunya sedang duduk, bersedia untuk dileter.
“Lepas ayah meninggal dua bulan lepas, ibu pesan apa dekat kamu?” soal si ibu tegas.
Ehsan hanya diam. Dia langsung tak memandang ke arah ibunya. Takut barangkali.
“Ibu bercakap dengan kamu ni. Bukan dengan meja.”
“Ibu pesan..jangan..”
“Ibu suruh kamu buang Tompok jauh-jauh kan? Kenapa kamu tak buat?”
“Ehsan tak sampai hati lah ibu.” Jawab Ehsan, masih lagi menunduk. “Lagipun, Tompok tu kan kesayangan ayah. Dari kecik ayah bela Tompok.”
“Kita ni orang Islam, Ehsan!”
“Tergamak ibu nak buang Tompok macam tu je?”
“Tak memudaratkan hidup kita pun kalau tak bela dia.”
“Dia tolong jaga kambing-kambing kita, bu.”
“Ibu boleh upah orang jagakan kambing. Lagipun, apa guna kamu jaga tiap-tiap pet...” si ibu terdiam. Dia memandang Ehsan dengan lebih terkejut.
“Baru ibu faham kenapa kamu rela hati nak jaga kambing petang-petang. Sebab kamu sorok Tompok dekat sana, kan?!”
Ehsan membisu. Tembelangnya pecah. Ya, memang dia menyimpan Tompok di dalam hutan berhampiran padang rumput tempat kambing-kambingnya meragut.
“Disebabkan dia ibu malu besar dekat pasar tadi!” tegas ibunya. Matanya garang. “Gambar kamu peluk Tompok dah tersebar dekat internet. Ibu malu dengan ustaz.”
“Ibu ni tak habis-habis ustaz, ustaz, ustaz. Ibu ada skandal dengan dia ke?”
Si ibu terdiam seketika. Dia menelan liur tetapi matanya masih membulat garang.
“Ibu kesal dengan sikap kamu sekarang Ehsan.” Suara ibunya mula tenggelam.
Menangis? Mustahil. Ibulah manusia paling jarang sekali menangis di atas muka bumi ini.
Si ibu bangun dari kerusi rotan. Dia berjalan ke arah dinding di tepi televisyen. Senapang patah yang tersemat kemas di dinding itu, dicapainya. Kemudian dia meluru keluar dari rumah.
“Ibu nak buat apa?” soal Ehsan, ketakutan.
“Kau duduk diam dekat rumah. Biar ibu selesaikan hal ini hari ini juga.”
“Ibu nak buat apa, ibu!!” pekit Ehsan, suaranya sudah serak-serak. Antara menangis dan ketakutan. Bercampur-baur.
“Kau duduk rumah je aku kata!!” jerkah si ibu, langsung tidak mempedulikan rengekkan Ehsan. Kakinya terus melangkah menuju ke padang rumput nun tidak jauh di sebelah barat rumah mereka.
“Jangan ibu! Jangan bunuh Tompok!” Ehsan semakin kuat merengek. Dia membuka langkah seribunya. Berlari menuju ke hutan di belakang padang rumput. Mendahului ibunya yang hanya sekadar berjalan laju.
“Balik Ehsan! Kau jangan nak jadi anak derhaka disebabkan seekor anjing!!” laung ibunya, tak ubah seperti seorang penembak sniper yang sedang memburu mangsa.
“Kalau ibu nak tembak Tompok, ibu tembak Ehsan sekali!” pekik Ehsan sambil memeluk Tompok apabila kedua-dua mereka sudah tiba di sana.
“Ibu tak menyesal kehilangan anak tak ikut perintah agama macam kamu, Ehsan!” senapang di tangan, diangkat menghala ke arah Tompok dan Ehsan. Ehsan memeluk Tompok erat-erat. Dia menangis ketakutan.
Auukkk – Tompok menyalak perlahan dan sayu. Seolah-olah tahu dia bakal mati hari ini.
“Tolonglah ibu. Ehsan merayu jangan lah bunuh Tompok. Ibu cakap lah apa sahaja ibu nak Ehsan buat, Ehsan buat! Janji jangan apa-apakan Tompok.”
POM!! – satu tembakan dilepaskan. Tersasar. Namun, akibat terlalu terkejut Tompok meronta-ronta dari pelukan Ehsan lalu terlepas. Tompok berlari menjauhi mereka.
POM!! – satu lagi tembakan dilepaskan. Tompok bergolek di atas tanah.
“No!!!!!!!!!!!” Ehsan meraung kuat. Dia berlari mendapatkan Tompok yang sudah longlai di atas tanah sana.
“Balik, Ehsan!” laung ibunya.
“Pergi! Ibu, pergi! Jangan kacau kami!” Ehsan meraung. Akar-akar pokok mula tumbuh dari dalam tanah. Menjalar di sekeliling Ehsan dan Tompok. Dalam masa beberapa saat sahaja, Ehsan dan Tompok sudah ditutupi oleh akar-akar yang membentuk seperti sebuah pondok kubah bulat.
Si ibu terkedu. Mata bulat memandang ke arah Ehsan yang terkurung di dalam pondok akar kayu yang bulat di tengah padang sana.
“Masya-Allah Ehsan! Berani kau guna kuasa setan tu, Ehsan!”
“Pergi Ehsan cakap! Pergi!”
“Kau anak setan!” si ibu melangkah mendekati pondok akar kayu yang menutupi Ehsan dan Tompok. Namun,
“PERGI!!!” akar-akar tajam menceracak naik dari dalam tanah. Bertubi-tubi. Tumbuh menjalar tinggi dan tersusun panjang membentuk dinding akar. Si ibu tak dapat mara.
***
Hari sudah menjangkau malam. Ehsan masih memeluk Tompok yang sudah tidak bernyawa. Air matanya sudah kering.
“Sayang betul kau pada anjing tu?” satu suara menyapa. Dari celah-celah akar kayu itu, Ehsan meninjau-ninjau suasana luar. Tiada sesiapa. Mungkin ada tetapi dia yang tidak nampak. Padang rumput itu agak gelap. Bulan juga tidak muncul malam ini. Baru dia sedar hari sudah jauh malam. Hatinya mula berdebar. Malam adalah kelemahannya. Di mana tiada matahari, di situ dia akan lemah.
Akar-akar kayu perlahan-lahan masuk semula ke dalam tanah. Angin malam sepoi-sepoi bertiup lembut ke mukanya.
“Kau lah manusia selemah-lemah iman yang aku pernah jumpa. Jaga-jaga! Kalau kau tak bersedia, aku akan datang meresap masuk.” Bisikan itu datang lagi beserta dengan angin malam yang sekejap-sekejap kuat, sekejap-sekejap perlahan.
“Siapa tu?!” pekiknya. Namun, hanya angin malam yang bertiup lalu setelah beberapa minit dia menanti jawapan.
Ehsan bangun berdiri. Tapak tangannya dihalakan ke tanah. Akar-akar kayu menjalar keluar dari tanah lalu mengorek-ngorek tanah menjadi sebuah lubang. Tubuh Tompok dililit lalu diangkat masuk ke dalam lubang sebelum dikambus dan disemadikan.
“Selamat tinggal Tompok.” Gumam Ehsan sebelum dia melangkah pulang.
Ehsan melangkah masuk ke rumah, lemah. Raut mukanya, kosong. Penat, sedih dan marah bercampur baur. Bajunya basah kemerahan. Berbau hamis darah.
Ibunya duduk di kerusi yang sama. Masih dengan muka tegang yang sama.
“Berapa kali ibu dah bilang. Jangan kamu berani guna kebolehan kamu tu lagi.”
Ehsan langsung tidak mengendahkan ibunya. Kakinya terus melangkah menuju ke tangga.
“Itu semua kuasa syaitan! Semua salah ayah kamu! Wariskan kamu ilmu syaitan!” bentak si ibu lagi.
Ehsan masih pekakkan telinga. Dia terus-menerus mendaki tangga menuju ke bilik tidurnya. Setelah tiba di bilik, dia melabuhkan badannya ke katil. Baju langsung tidak diganti.
Dia penat. Dia sedih. Biarlah dia berehat. Esok masih ada satu lagi ujian yang perlu dia lalui.
***
Satu persatu barang-barang yang berhabuk di dalam stor lama sekolah itu, diangkut ke tapak pelupusan sampah di belakang sekolah. Mana yang memang sudah buruk dan tidak boleh dibaiki lagi, semuanya dihumban ke sana. Esok pagi, Pak Kordi akan membakarnya.
Itu rutin mereka berdua pagi Sabtu itu.
“Semua ni salah kau.” Megat membentak sambil mengangkat bangkai kerusi lama.
“Kalau kau tak sibuk hal orang semua ni tak jadi, Megat.” Ehsan memerli sinis.
“Kau ni..main dengan anjing..Islam ke tak?”
“Jadi, membuka aib orang itu Islamic lah?”
“Aku nak kau sedar.”
“Dengan mengaibkan aku? Tangkap gambar aku curi-curi? Viralkan dekat Facebook? Macam tu?” tebak Ehsan bertubi-tubi. “Disebabkan kau lah, ibu aku tembak Tompok kau tahu? Itu yang kau nak? Kematian satu makhluk yang tak berdosa? Kau cakap kau Islam tapi kenapa kau sukakan kematian?”
“Ah!! Pokok pangkal, semuanya berpunca dari kau!”
“Bagus. Sentiasa lah anggap diri tu betul. Bau tahi sendiri memang semuanya wangi.”
Ktap! – pintu stor ditutup oleh Megat lalu mangga nya dikunci dari luar.
“Woi, kau buat apa ni Megat?!” jerit Ehsan dari dalam. Pintu stor itu diketuk-ketuknya kuat. Megat hanya ketawa berdekah.
“Bersihkan elok-elok. Esok Cikgu Murad datang check, aku nak semua dah settle.” Ujarnya lalu melangkah pergi. Tawanya masa tersembur keluar.
“Megat! Kau sial, Megat!!!”
***
Malam.
Stor gelap gelita. Ehsan sudah cuba memetik suis lampu tetapi langsung tak membuahkan hasil. Petang tadi juga, sudah separuh nyawa dia terlolong menjerit namun Pak Kamal, si pengawal keselamatan, langsung tak nampak batang hidung.
Kedudukan stor yang terletak di belakang sekolah menghampiri hutan membuatkan suasana sedikit dingin dan meremangkan. Ehsan sudah berhenti menangis. Dah tak ada air mata untuk dia bazirkan. Dia takutkan kegelapan. Dia cintakan cahaya. Lebih-lebih lagi cahaya matahari. Di dalam gelap, dia lemah.
Klang! Klang! – bunyi besi terjatuh di sudut tepi.
Nafas Ehsan mula turun naik. Bulu roma di sekeliling tengkuknya naik mencanak. Otaknya serta-merta ligat mengimbau cerita-cerita seram yang pernah dia dengar tentang stor ini. Kononnya ada desas-desus mengatakan, dulu ada budak perempuan mati gantung diri di dalam stor ini. Cerita klise di setiap sekolah di Malaysia.
“Ehhhsaaaaaannnn..”suara seakan-akan berbisik datang dari dalam gelap.
“Aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku. Aku dekat sini dianiaya.” Ujar Ehsan takut-takut.
“Heh heh heh heh heh..” suara berbisik itu ketawa pula.
“Bismillah hirrahman nirrahim..”
“Baru sekarang kau ingat Tuhan, Ehsan?” suara bisikan itu mencelah membuatkan bacaan Ehsan terhenti. Sejujurnya, Ehsan sendiri buntu apa yang hendak dibacanya. Kepala otaknya hanya terfikirkan Al-Fatihah kerna itu sahaja yang dia hafal.
“Tolong..jangan kacau aku. Kalau kau nak cari mangsa, kau carilah Megat. Dia lagi jahat dari aku.” Rayu Ehsan, dia mula menangis.
“Ehhhssaaaaannnn...” suara bisik itu makin galak. “Aku nak kaaaaaaaauuuuuuu...”
Badan Ehsan menggigil. Sejuk dan seram bercampur-baur sehinggakan badannya terketar-ketar ketakutan.
“Aku nak kaaaaaaauuuuuuu...!!!!” satu lembaga berwajah terburai terbang laju ke muka Ehsan.
***
Megat sedang menunggang motorsikalnya. Dia baru pulang dari kedai runcit Meon, membeli ubat nyamuk.
Seperti biasa, Megat akan lalu di jalan pintas yang jarang dilalui oleh penduduk kampung. Shortcut feveret Megat. Dekat kawasan ini juga lah Megat selalu buat projek dengan budak-budak perempuan yang dikenalinya.
Klekang! - tiba-tiba sebatang kayu menjulur masuk ke dalam tayar motornya. Megat tersembam ke depan. Motornya terbabas ke tepi. Mujurlah dia tidak membawa laju. Sudahlah dia langsung tidak memakai topi keledar.
“Sial!” rungutnya sambil cuba gagahkan diri untuk bangun.
“Sakit?” satu suara menyapa dari atas jalan raya.
“Ehsan?” tegur Megat. Dia tidak berapa nampak adakah itu Ehsan tetapi dia kenal suara rakan sekelasnya itu.
“Kenapa? Terkejut aku berjaya keluar?” soal Ehsan.
“Sial! Kau yang baling kayu tu tadi?!” pekik Megat. “Motor aku tu, siapa nak bayar?! Kau?!” marahnya lagi.
“Tak payah risau pasal motor..” ujar Ehsan lalu dia tergelak sinis. Akar-akar pokok mula menjalar ke arah kaki Ehsan. Dengan perlahan Ehsan terangkat dari tanah. Dia seolah-olah dijulang seperti raja. Bergerak mendekati Megat.
Mata Megat bungkam. Dia betul-betul terpempan dengan apa yang dilihatnya.
“..sebab lepas ni kau dah tak perlu pakai motor ni lagi.” Sambung Ehsan yang kini sudah berada dekat di depan Megat. Bebola mata Ehsan hitam semuanya. Dia tersengih menyeringai.
Akar-akar pokok menjalar ke arah Megat. Satu mengikat kaki. Satu mengikat tangan. Satu melilit tubuh.
“Aarrrgghhh! Aarrgghhh!” pekik Megat apabila lilitan pada tubuhnya semakin lama dirasakan semakin mampat. Dadanya rasa ketat. Dia tak mampu bernafas.
“Aaaarrrrgggghhhh!!!!!!” semakin kuat pekikan Megat.
“Jerit lagi. Jerit lagi! Aku suka dengar jeritan manusia!” Ehsan semakin galak. Lilitan pada badan Megat semakin kuat. Megat mula terbatuk-batuk, semput.
“Eh..san..tolong lep..paskan..ak..ku..” rayu Megat, terbatuk-batuk. “Arrrrgggggghhhhh!!!”
“Ehsan!” satu suara menyapa dari belakang. Laju sahaja Ehsan menoleh. Ibunya tercegat di situ. Disebelahnya, ada seorang lelaki berkopiah putih sedang berdiri dan ditangannya tengah kemas menggenggam seutas tasbih. Mulutnya terkumat-kamit.
Lilitan akar kayu pada tubuh Megat mula mengendur. Megat terjelopok jatuh ke tanah, pengsan.
“Keluar kau dari badan anak Adam ini!” laung lelaki berkopiah itu.
“Tak mahu! Budak ini milik aku! Aku suka kekuatannya!”
“Keluar aku cakap!”
“Taknak!! Aku suka tubuh budak ini. Dia jahil! Dia ingkar! Dia kotor! Semua sifat-sifat yang aku suka! Yang buat aku jadi kuat!”
“Kalau kau taknak keluar, aku terpaksa keluarkan kau dengar paksaan.”
“Kahkahkahkahkah! Orang tua bodoh! Kau ingat aku takut?!”
“Allahu Akbar!!!!”
***
Matanya dibuka perlahan-lahan. Cahaya putih terang berderang di sekelilingnya. Dengan tenaga yang sedikit lemah, dia gagahkan diri untuk bangun dari pembaringan. Dia sedang berada di atas katil. Dan katil ini sedang berada di dalam sebuah gerabak kereta api yang bergerak pantas.
Pakaiannya bersih dan kemas. Dia sedang memakai jaket kulit yang bukan miliknya. Dia tidak pernah memakai jaket kulit sebegitu. Dia anak kampung. Bukan gayanya untuk berfesyen sebegitu.
“Aku kat mana ni?” gumamnya. Dia cuba untuk turun dari katil. Tangannya tersentuh sepucuk surat yang ada di atas tilam di tepi pinggungnya.
___
Kehadapan anakku Ehsan,
Ibu memohon maaf di atas apa yang berlaku dalam beberapa hari ini. Ibu telah didatangi oleh orang besar dari Kementerian Pendidikan untuk memindahkan kamu ke sekolah pemulihan di Pulau Bayang. Ibu percaya pertukaran kamu ke sana dapat memberikan kamu semangat baru untuk teruskan hidup. Lupakan Tompok, lupakan kampung ini buat seketika.
Salam sayang dari,
IBU
ps: Jangan lupa solat.
___
Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Azan berkumandang di speaker sekolah. Jam merah besar pada dinding bangunan utama sekolah itu sudahpun menunjukkan pukul 7.02 petang. Maghrib sudah menjemput.
Ehsan bangun dari baringannya di atas rumput di tepi tasik sekolah itu. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil tersenyum. Indahnya rasa udara di SMK Pulau Bayang ini. Sudah enam bulan dia di sini, dia akui, dia rasa lebih selesa dan bahagia.
“San, balik jom. Lepas tu kita ke masjid.” Seorang lelaki melaung tidak jauh dari situ – Helmi, rakan sebiliknya yang baru selesai berjogging. Ehsan sekadar mengangguk dan tersenyum.
Sebelum dia melangkah pergi, sempat dia memerhati sekilas ke arah gadis yang sedang duduk di atas bangku bersama rakan sekelasnya, Maria.
“Siapa tu?” soal Ehsan kepada Helmi.
“Orkid. Budak baru kelas 3 Utarid.” Jawab Helmi.
“Cantik..” gumam Ehsan perlahan.
-Tamat Bahagian 2-
=========================
Siri H.E.R.O - EHSAN
© Muiz Robyn
Kisah Sebelum Ini:
Siri H.E.R.O - ORKID
=========================
Suntingan dan Gambar: Wan SC
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
1 comment:
SMK Pulau Bayang ni dah macam sekolah dalam movie x-man, aku suke je cite yang ada kuasa-kuasa ni.. best.
Post a Comment