Thursday, 14 December 2017

CINCIN BATU GELIGA - Iskandar Zulfaqar


CINCIN BATU GELIGA
Karya : Iskandar Zulfaqar
Suntingan Gambar : DeeFen DF

Aku baru sahaja menyewa sebuah rumah di hujung kampung. Boleh dikatakan juga rezeki aku kerana kedudukan rumah sewa ini tidak jauh daripada hospital tempat aku bekerja, Aku bertugas sebagai MA di hospital tersebut. Bukan sahaja kedudukannya yang strategik, harga sewa yang murah juga menambahkan lagi minatku terhadap rumah sewa ini.
Pemilik rumah itu merupakan seorang mak cik tua yang usianya sudah mencecah lingkungan 50 an. Dia tinggal seorang diri di sebuah rumah lama yang juga terletak di dalam kampung itu. Menurut mak cik tua itu, rumah yang disewakannya kepada aku itu merupakan rumah asalanya. Setelah kematian suaminya, mak cik tua itu berpindah ke rumah satu lagi (iaitu rumah yang dia tinggal sekarang ini).
Menurut mak cik tua itu, dia tidak sanggup lagi nak tinggal di rumah lamanya kerana banyak kenangan bersama arwah suaminya yang membuatkan mak cik itu sedih. Aku tertarik dengan kisah cinta mereka berdua ni. Sampai si suami dah meninggal pun, mak cik ini tetap setia dan sayangkan arwah suaminya itu. Korang yang palyboy or playgirl tu patut malu dengan diri sendiri.
Keadaan dalam rumah itu juga selesa kerana saiz rumah itu agak luas. Walaupun sudah lama tetapi rumah itu masih dalam keadaan bersih dan baik. Mak cik tu memang sangat mementingkan kebersihan rumah lamanya ini walaupun dia tidak mahu lagi tinggal di sini. Pendek kata, aku memang suka rumah ini. Berbaloi dengan duit sewa yang aku bayar setiap bulan.
Untuk pengetahuan korang semua juga, aku ni jenis yang tak berapa percaya benda-benda mistik ni. Walaupun dah banyak cerita aku dengar tentang penghuni rumah sewa diganggu jin kerana rumah sewa itu angker, aku tetap buat tak kisah kerana aku malas nak ambil berat bab hantu ni. Bagi aku, kalau aku tak kacau mereka, buat apa mereka nak kacau aku.
Tapi itu semua dulu, semasa mula-mula aku masuk rumah sewa tu. Seepas kejadian demi kejadian menimpaku dalam rumah itu, aku lebih berwaspada. Aku juga menyesal kerana bersikap riak. Aku sedar di dunia yang kita duduk sekarang ini ada banyak penghuninya dan salah satunya adalah mereka. Ya mereka adab di mana-mana dengan kita. Bawah katil korang pun ada tu.
Malam itu, aku pulang lewat dari kerja kerana terpaksa menggantikan rakanku yang tiba-tiba saja MC last minit. Dalam pukul 11 lebih juga barulah aku sampai rumah. Sebaik sahaja tiba di rumah, aku terus merebahkan badanku ke atas sofa lama rumah sewaku itu. Walaupun lama tetapi ia masih empuk dan selesa untuk aku tidur di atasnya. Aku capai remote dan menghidupkan televisyen. Sambil berbaring merehatkan tubuh yang sudah dibaham keletihan, aku melayan cerita di kaca televisyen. Aku dah lupa cerita apa.
Sedang asyik aku menonton TV, tiba-tiba saja aku terdengar seperti barang kaca terjatuh dari arah dalam bilik. Bilik tersebut merupakan bilik kosong. Untuk pengetahuan korang, rumah ni ada dua bilik. Aku hanya gunakan satu bilik dan satu lagi bilik tu kosong. Aku segera bergegas ke arah bilik kosong tersebut untuk melihat apa yang terjadi.
Sebuah bekas kaca sudah pecah berderai di atas lantai. Banyak juga barang di dalam bekas kaca tersebut bertaburan sebaik bekas kaca tersebut pecah.
“Ini mesti kerja tikus!” bisikku dalam hati.

Mataku mengerling ke semua seluruh ruang dalam bilik itu. Aneh! Tiada pula sebarang kelibat tikus ataupun apa-apa haiwan lain yang menjatuhkan bekas kaca tersebut. Aku taknak berfikir apa-apa sebaliknya aku mengambil penyodok dan dan mengutip kaca-kaca yang berderaian itu. Aku meneliti setiap barangan yang bertaburan dari dalam bekas kaca yang pecah itu. Ada celak, ada jarum, ada benang, ada serpihan kain dan yang paling menarik perhatianku adalah sebentuk cincin.
Cincin lelaki berwarna perak, di tengahnya bertatahkan sebutir batu geliga yang amat cantik warnanya. Warna keemasan batu tersebut benar-benar kena dengan minatku. Batu tersebut juga bersinar setiap kali menerima silauan lampu kalimantang di atas siling rumah.
“Ini mesti milik arwah suami mak cik tu.” Aku membuat andaian.
Aku cuba menyarungkan cincin itu ke jariku. Muat. Setelah berfikir beberapa kali, aku membiarkan sahaja cincin itu terus di jariku. Biarlah. Mak cik tu bukannya tahu pun aku ambil cincin arwah suami dia. Lagipun Mak cik tu mungkin dah taknak cincin arwah suaminya ini. Sebab itulah dia tinggal saja di rumah ni.
Tanpa aku sedari, itulah keputusan paling salah yang pernah aku buat dalam hidupku. Bermula daripada malam itulah episod-episod gangguan makhluk halus bermula dalam hidupku.
Setelah mebelek-belek cincin itu, barulah aku sedar rupa-rupanya jam di dinding sudah menunjukkan pukul 1 pagi. lama juga rupanya aku meluangkan masa membelek-belek cincin baruku itu. Aku seolah-olah terpukau setiap kali membelek cincin itu.
Aku mengambil keputusan untuk tidur kerana esok aku harus masuk kerja awal. Setelah selesai solat Isyak, aku terus merebahkan badan di atas katil dan cuba untuk melelapkan mata. Aku terlelap. Namun, lelapku itu tidak lama. Aku dikejutkan dengan bunyi dentuman yang amat kuat di atas bumbung seperti orang terjun atas bumbung rumah.
Setelah terjaga, aku terus mencapai lampu suluh yang aku sediakan di hujung katil dan keluar rumah. Korang tak perlu tanya sebab apa aku berani sangat kerana masa tu memang aku tak berapa percaya kewujudan hantu. Habis satu rumah aku pusing, takde apa-apa pun. Aku menagmbil keputusan untuk masuk semula ke dalam rumah.
Namun, niatku itu terhenti sebaik ekor mataku menangkap kelibat seorang lelaki tua berdiri di hadapan pintu rumah. Dia berjanggut panjang memegang tongkat di tangan kanan dan di tangan kirinya pula memegang suatu bungkusan kain yang terikat rapi.
“Assalamualaikum pak cik! Kenapa datang sini malam-malam?” tanyaku.
Lelaki tua itu tidak menjawab sebaliknya terus melemparkan tongkatnya tepat mengenai dahiku. Impaknya sangat kuat sehingga menyebabkan aku terjatuh menyembah bumi. Saat itu jugalah aku tersedar daripada tidurku.
“Allahu! Mimpi rupanya.”
Aku memegang dahiku yang terasa pedih. Aku terus mengangkat tapak tanganku daripada dahi sejurus terasa basah seperti ada air yang mengalir. Terus aku lihat tapak tanganku dipenuhi darah. Aku bergegas masuk ke bilik air dan berdiri menghadap cermin. Besar juga luka di dahiku. Panjang luka tersebut lebih kurang 4 cm.
Aku kembali berbaring di atas katil sebaik selesai mencuci luka tersebut. Jam menunjukkan pukul 6 pagi. Masih awal untuk ke tempat kerja. Fikiranku buntu. Mana datangnya luka ini. Aku cuma bermimpi. Takkanlah benda tu betul-betul terjadi.
Sepanjang hari itu di tempat kerja aku memang tiada mood. Yang ada dalam hatiku cumalah perasaan marah, bimbang dan geram. Aku tak tahu pun apa sebenarnya yang menyebabkan aku marah tetapi memang aku nak marah. Sesiapa sahaja yang datang menghampiriku pastinya akan aku tengking.
“Kau ni kenapa? Selalu kau orang yang paling kuat gelak bila kami buat lawak. Hari ni kau asyik nak marah. Kenapa?” tanya Adam kerana aneh melihat perubahan sikapku.
“Takde apa lah Adam. Aku nak buat kerja ni. Jangan kacau aku.” Aku terus menjauhkan diri daripada Adam sebaik melafazkan kata-kata itu.

Sebaik aku berlalu pergi, aku sempat berpaling ke arah Adam dan aku sempat lihat raut wajah Adam yang berubah seratus peratus. Wajahnya seperti dalam keadaan terkejut melihat sesuatu yang aneh. Aku pun pelik. Apa yang anehnya? Biarlah. Aku pun terus berlalu pergi.
Ketika waktu rehat, aku mengambil makanan dan makan seorang diri di meja yang terletak di hujung kantin. Meja tengah yang selalunya menjadi tempat perbualan aku dan rakan-rakanku aku tinggalkan. Entah apa lah yang terjadi pada diriku sekarang ini.
Ketika sedang enak menjamu selera, aku terlihat kelibat lelaki tua semalam yang melemparkan tongkatnya mengenai dahiku berdiri di hadapan bilik fisioterapi. Kebetulan bilik fisioterapi terletak bertentangan dengan kantin. Lelaki tua itu tersenyum melihatku. Aku seolah-olah kaku. terus aku tinggalkan makananku dan berlari menuju ke arahnya. Namun, belum sempat aku tiba, dlam kadar masa kerdipan mata, lelaki tua itu sudah hilang. Semua orang yang sedang makan di kantin terhenti seketika melihat kelakuanku yang aneh itu.
Aku pulang awal hari itu kerana aku berasa kurang sihat. Cuti untuk hari esok juga telah diluluskan. Sengaja aku minta cuti kerana semangatku untuk bekerja tiba-tiba sahaja hilang. Ketika Maghrib berkumandang, aku merasakan badanku terlalu berat dan sejuk. Aku hanya mengurung diri di dalam bilik di bawah selimut. Aku sangat sejuk dan mampu bergerak kerana terasa seperti sesuatu yang besar sedang memeluk erat tubuhku.
Rasa sejuk dan berat itu beransur hilang sebaik malam menjelma. Namun, malam itu, aku diganggu dengan cara lain pula. Tiba-tiba sahaja tubuhku berasa sangat gatal. Daripada dahi sampailah ke kaki. Rasa gatal yang teramat. Aku menghabiskan masa malamku itu dengan hanya menggaru badanku. Setiap kali garu juga, aku perasan ada benang-benang halus berwarna keemasan terbit daripada menerusi liang bulu romaku.
“Ya Allah! dugaan apa ni?”
Aku membaca beberapa surah daripada Al-Quran dan barulah rasa gatal itu beransur hilang. Malam itu aku tidur awal. Aku mendapat mimpi yang sama seperti semalam. Aku terjaga dan kesan luka baru bersama darah mengalir di dahiku sama seperti semalam. Memang betul-betul dugaan.
Sebaik tersedar daripada tidurku itu, aku terdengar bunyi pinggan jatuh dan bunyi lesung batu digunakan seperti orang sedang menumbuk sambal. Dengan berbekalkan sedikit kekuatan dan keberanian, aku melangkah ke dapur untuk melihat siapalah yang rajin sangat memasak malam-malam macam ni.
Langkahku terhenti sebaik tiba di dapur. Badanku kaku seolah-olah tiada terdaya untuk bergerak. Kakiku ibarat terpasak pada lantai tiada mampu untuk aku berlari. Di hadapanku kini berdiri lembaga besar berbulu hitam lebat bersama sepasang mata yang merah menyalang dan juga sepasang tering panjang dan tajam. Lembaga itu memerhati tepat ke arahku.
Aku menggigil ketakutan. Mujurlah mulut aku masih mampu bergerak untuk membaca beberapa patah ayat-ayat suci Al-Quran. Makhluk di hadapanku itu juga semakin hampir. Dengan sedikit kekuatan yang aku peroleh hasil daripada bacaan ayat-ayat suci Al-Quran itu, aku berjaya mengangkat kaki dan lari keluar daripada rumah.
Ya Allah! Dugaan apa ini ya Allah! Aku tak sanggup menerima dugaan sebesar ini.” Aku menangis sambil memohon pertolongan daripada Tuhan. Buat pertama kali dalam hidupku, malam itu aku tidur di luar rumah iaitu di bahagian hadapan pintu. Entah mengapa aku jadi begitu. Aku juga merasakan diriku ini seperti sudah tidak waras.
Semakin hari aku semakin tidak terurus. Solat pun cuma kadang-kadang aku tunaikan. Mengaji Al-Quran sememangnya aku tidak lakukan lagi. Aku semakin hanyut dibuai gangguan. Setiap kali aku ingin solat, ada sahaja yang mengganggu. Pernah sekali aku berasa seperti ada orang memijak kepalaku semasa aku sujud. Pernah juga perutku terasa sakit yang teramat sebelum aku memulakan solat.
Semasa di tempat kerja juga tidak lagi produktif seperti dulu. Banyak masa yang aku ambil untuk berehat kerana badanku sering terasa sakit.
“Zin, boleh aku cakap sikit dengan kau?” Adam menghampiriku yang sedang duduk berehat di ruangan duduk pesakit.
“Ada apa Adam?”
“Kau kenapa semenjak dua menjak ni aku tengok aku banyak berubah?” soal Adam.
“Aku okey. Jangan risaukan aku.”
“Kau tak okey. Baiklah kalau kau taknak mengaku, biar aku bagitau kau. Kau ada rasa sakit di bahagian bahu kan? Dua-dua belah sakit kan?”
Aku mengangguk sambil aneh memikirkan bagaimana Adam tahu walaupun aku tidak pernah memberitahu sesiapa aku sakit di bahagian itu.
“Ada benda kat bahu kau tu. Tengah cucuk bahu kau dengan gigi taring panjang dia tu,” jelas Adam dengan reaksi muka sedikit takut.
Aku tergamam dengan penjelasan Adam itu. Aku hanya mampu terdiam. Ya. Adam betul. Memang banyak gangguan menerpa diriku buat masa ini.
“Aku akan tolong kau, Zin. Aku akan panggil ustaz aku datang ke rumah kau malam ni.”
Aku terus memeluk erat Adam. Berlinangan juga air mataku kerana terharu dengan keikhlasan Adam yang ingin menolongku padahal aku asyik meminggirkan dia belakangan ini. Sejak hari itu barulah aku tahu bahawa Adam bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah penuntut Darussyifa’ dan sangat mahir tentang perubatan Islam.
Malam itu Adam datang bersama Ustaz Salahuddin. Dia hanya gelarkan dirinya Ustaz Din. Adam dan Ustaz Din memagar rumah sewaku itu terlebih dahulu sebelum merawatku. Seusai memagar, aku diarahkan untuk duduk berlunjur. Ruqyah dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah sebanyak tujuh kali. Kemudian disambung pula dengan ayat Kursi dan Bismillah lima.
Sepanjang bacaan itu berlangsung, tekakku berasa sangat loya. Aku terasa ingin mengeluarkan seluruh isi perutku namun aku masih mampu bertahan. Sebaik semua bacaan itu selesai, Ustaz Din memulakan ruqyah. Ruqyah yang digunakan adalah Ruqyah Jibril. Sebaik ruqyah itu dibaca, aku tak mampu bertahan lagi untuk memuntahkan segala isi perutku.
Aku terus memuntahkan semua yang ada dalam perutku namun apa yang memeranjatkanku ialah yang keluar bukanlah sisa-sisa dalam perutku tetapi seekor ular tedung yang panjangnya lebih kurang satu meter. Sementara seluruh badannya yang panjang itu habis keluar daripada mulutku, kerongkongku sangatlah sakit. Allah saja yang tahu bagaimana sakitnya.
Sebaik sahaja seluruh badan ular itu keluar daripada mulutku, tubuhnya terus terbakar. Ruqyah terus dibaca, Kali ni aku berasa terlalu panas sehingga menyebabkan aku pengsan. Pada waktu itu juga aku dlam keadaan pening-pening. Aku cuba membuka mata. Tiada lagi Ustaz Din dan Adam. Aku berada sekarang di dalam rumah sewa aku itu juga tetapi di alam lain. Macam mana aku tahu tu alam lain? Rasanya lain. Sejuk semacam, suasana pun lain, nampak makhluk lain dan sebagainyalah.
Di hadapanku berdiri lembaga hitam besar berbulu yang jumpa di dapur tempoh hari. Dia berdiri dan menatapku sama seperti hari itu. Tetapi kali ini dia seolah-olah ingin menerkamku.
“Tanya dia, Zin. Dia nak apa dari kamu?” Aku terdengar sayup-sayup suara Ustaz Din yang entah dari mana.
“Kau nak apa dari aku?” dengan sedikit keberanian aku cuba bertanya.
“Bagi balik cincin aku! Tu bukan milik kau!” Sebaik sahaja kata-kata itu selesai diungkap oleh makhluk tersebut, aku terus tersedar. Ustaz Dan dan Adam berada di hadapanku memapahku untuk bangun.
“Alhamdulilah! Kau dah sedar Zin. Benda tu nak apa?” tanya Adam.
“Cincin ni Adam!” Aku menceritakan kepada Adam dan uztaz berkenaan dengan cincin tersebut.
Malam itu, kami menanam cincin tersebut di bawah pokok pisang belakang rumah itu. Menurut Ustaz Zin, makhluk hitam besar berbulu itu tinggal di bawah pokok pisang tersebut. Alhamdulilah selepas hari itu tiada lagi gangguan yang menerpa diriku. Tubuhku yang sebelum ini sakit juga sudah beransur pulih.
Korang mesti tertanya kan bagaimana cincin tersebut boleh berada di dalam rumah sewa aku tu? Okey mcam ni. Keesokan harinya, aku pergi ke rumah mak cik tua pemilik rumah sewa aku tu dan bertanya tentang cincin tersebut. Barulah dia menceritakan segala-galanya.
Sebenarnya jin hitam bersar berbulu tu adalah hantu raya belaan arwah suaminya. Ini untuk pengetahuan korang juga. Hantu raya memang berbentuk begitu. Arwah suaminya menggunakan cincin tersebut sebagai pengikat hantu rayanya. Korang pernah dengar kan jin kena paku kat pokok sebagai pengikat, lebih kurang macam tu lah. Sebelum meninggal, arwah suaminya telah memutuskan segala hubungan dan talian dengan hantu raya tersebut. Oleh sebab itulah, hantu raya itu merayau mencari tuan yang baru.
Mak cik itu juga meminta maaf kepadaku kerana tidak beritahu awal-awal supaya tidak mengusik barang-barang dalam rumah itu. Sebulan selepas itu, permintaan aku untuk ditukarkan ke hospital lain telah diterima. Aku tidak lagi menyewa di situ. Korang mesti nak tahu rumah tu kat mana. Malas lah aku nak bagitau, biar korang tersewa rumah tu dan terkena jugak.
-TAMAT-
Suntingan Gambar: DeeFen DF

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: