SAHABAT SAMPAI MATI
Mereka memang digelar belangkas. Pantang kemana-mana mesti nak berkepit.
Dari sekolah rendah, hingga bawa ke alam universiti.
Mereka sering bersaing antara satu sama lain. Dan kebiasaannya mereka memonopoli kedudukan tertinggi keseluruhan hampir setiap tahun.
Amira, kecil molek orangnya. Sering mendapat perhatian umum kemana sahaja dia pergi.
Tanti, paling cerdik antara mereka bertiga. Kurang bergaya dari yang lain-lain tetapi datang dari keluarga yang kaya raya.
Fayruz, berperwatakan sedikit kelelakian. Boleh dikatakan bodyguard dua lagi rakannya.
Persahabatan mereka terikat rapi tanpa ada sesiapa yang mampu memisahkan mereka. Malahan setiap ahli keluarga mereka saling mengenali antara satu sama lain.
.
Suatu masa dahulu.
"Korang rasa, kita akan terus berkawan tak sampai bila-bila?" soal Amira suatu hari tatkala mereka sedang memasuki usia 14 tahun.
"Aku rasa iyelah kot." ujar Fayrus.
"Kenapa tidak pula kan? Kita mesti akan kekal best friend forever sampai kita lelapkan mata" bangun Tanti dari duduk dan merangkul kedua bahu sahabat yang disayanginya itu.
"Entahlah" Jawab Amira
"Mana tahu bila kita dah dewasa nanti mungkin kita akan terpisah"
Galau rasa hati Amira apabila melontarkan kata. Dia cukup sayang dengan dua rakannya itu hingga melebihkan mereka dari yang lain-lain.
"Aku ada idea" tiba-tiba Fayrus menjawab,
"Jom kita buat sumpah setia dengan menggunakan darah kita" sambungnya lagi.
"Sumpah apa tu? Ada je idea kau" Tanya Tanti. Amira yang sedang gundah gulana cuba memikirkan maksud kata-kata Fayrus.
"Ala, sumpah darah" Jawab Fayrus.
"Macam ni, kita mesti janji yang kita akan jadi sahabat selamanya. Dan kalau antara kita berpisah, kita akan buat apa sahaja agar kita dapat bersama selamanya" Terang Fayrus panjang lebar.
"Benda ni tak masuk akallah. Kita ni kan sahabat. Ibu bapa kita pun tahu benda tu. Takkan benda kecil pun mereka nak pisahkan kita. Dan kalau ada apa-apa hal pun, tak mungkin kita berpisah. Siapa berani buat macam tu? Umum tahu kita bertiga ni macam kembar dah." sangkal Tanti
"Logik juga Fayrus cakap macam tu. Sebab akan datang kita tak tahu. Kot ada yang berubah hati ke. Aku sayang korang ok" sokong Amira.
Kerana gesaan dua lagi rakannya, Tanti akhirnya mengalah. Mereka menetapkan untuk berjumpa di kawasan dimana terdapat satu busut jantan yang sering menjadi tempat ramai orang memuja dan melafazkan ikrar demi memenuhi kehendak diri.
.
Malam itu.
Fayrus dan Amira masing-masing membawa sehelai kain berwarna kuning, sebatang lilin dan jarum bertemu dengan Tanti disana. Wajah Tanti jelas ketakutan.
"Sekarang, setiap dari kita perlu lafaz janji setia. Aku dah tulis caption 'Sahabat Sampai Mati' disini. Titis darah kita tanda persetujuan bersama. Janji jangan mungkir!" ujar Fayrus.
Dalam enggan, Tanti menyuakan jarinya untuk ditusuk dengan jarum yang telah dipanaskan, mencalitkan cop jari sebagai tanda tangan tanda janji telah dimateri. Amira dan Fayrus juga melakukan yang sama.
Mereka berjanji, menyimpul rapi bahawa persahabatan mereka tidak boleh dipisahkan walau dengan apa cara.
Kain kuning itu, ditanam betul-betul di kaki busut jantan tersebut. Diletakkan pemberat agar ia tidak timbul apabila hujan.
Mereka pulang dengan rasa puas dihati. Tanti yang mulanya ketakutan mula merasa satu semangat ditiupkan. Semangat setia kawan dan janji tidak akan berpaling tadah walau apa jadi dikemudian hari.
.
Tahun demi tahun mereka lalui bersama. Tidak ada apa-apa masalah hinggalah selesai graduasi universiti.
Fayrus, mendapat tawaran menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya di Indonesia.
Amira, memilih untuk berumahtangga dan tinggal di utara tanah air bersama suami pilihan hatinya.
Tanti, memulakan kerjayanya di syarikat milik datuknya.
Perhubungan mereka tetap berterusan terutama melalui whatsapp. Cuma semakin hari semakin kurang komunikasi kerana kekangan tanggungjawab yang digalas.
Lama-kelamaan Amira, semakin jauh dari keakraban mereka. Amira telah dikurniakan sepasang cahayamata kembar dan menjadi lebih sibuk ekoran perlu menguruskan rumahtangga dan mengikut suaminya berhijrah ke satu negeri ke satu negeri mandangkan suaminya merupakan seorang Pegawai Tadbir Diplomatik.
Fayrus dan Tanti pula, tetap terus berhubung meskipun tidak sekerap dahulu.
Tanti mula merasa kesunyian. Kehidupannya yang dibentuk ahli keluarga, kerjaya yang ditentukan oleh ibu bapanya membuatkan Tanti terasa dikongkong. Tanti mula rindu zaman remajanya yang bebas kemana-mana bersama sahabatnya berdua.
Tanti nekad untuk bercuti ke Indonesia bagi menemui sahabatnya, Fayrus. Hasrat dihati diutarakan kepada Fayrus melalui whatsapp tetapi tidak ada jawapan balas dari Fayrus. Tanti tetap nekad dengan keputusannya. Tiket kapal terbang ditempah dan Tanti sudah tidak sabar mahu menemui Fayrus.
Amira yang tahu tentang pertemuan tersebut memberi sokongan kepada Tanti walaupun dia tidak punya masa untuk menghubungi dua lagi rakannya, di sudut hatinya, rasa sayang masih menggunung seperti dahulu.
.
Tanti tiba di lapangan terbang dan senyum Fayrus menyambut ketibaannya. Pelukan dari tubuh dingin Fayrus terasa mendamaikan hati Tanti. Terimbau kembali kenangan manis mereka bertiga.
Tanti dibawa dirumah sewa Fayrus. Sunyi sahaja kediaman itu. Tanti semakin kehairanan apabila Fayrus yang terkenal dengan ramahnya kelihatan kurang bercakap hari itu, tetapi cuba disedapkan hati. Tanti fikir mungkin Fayrus sedikit kekok kerana mereka lama sudah tidak bersua muka sejak masing-masing memilih hala tuju masa depan mereka.
Malam itu, tidak banyak soal. Tanti tidur dengan nyenyaknya hinggalah Tanti terjaga apabila merasa hembus nafas dekat ditelinganya. Pelukan erat dari Fayrus dan terdengar esak tangis Fayrus semakin lama semakin mendayu.
"Kita dah janji sahabat sampai mati. Tapi kenapa makin lama kita makin jauh. Amira sejak kahwin, sibuk sangat. Kau pula sejak kerja tak hirau pada aku." ucap Fayrus.
"Aku sorang-sorang kat sini. Belajar. Sampailah satu hari tu, kekasih aku bawa pergi berparti. Aku dirogol beramai-ramai. Aku malu. Aku sakit. Tapi kau berdua sikit pun tak ambil tahu. Dahulu kau berdua pernah cakap, tak perlu beritahu pun, kau berdua mesti dapat rasa musibah menimpa salah seorang dari kita. Tapi kau orang tipu!" sambung Fayrus sewanya.
"Aku malu, aku tak tahu nak cerita pada siapa. Jadi aku ambil keputusan untuk membunuh diri malam itu. Kau orang mesti tak tahu kan. Mana kau orang nak tahu, kau orang tengah bahagia, tengah berseronok dengan keluarga disana" ujar Fayrus sambil memberikan senyuman sinis.
Tanti terdiam. Air liurnya terasa kesat. Pendengarannya masih elok, tidak mungkin dia tersalah dengar apa yang dikatakan Fayrus.
Fayrus tiba-tiba berada di hadapan Tanti, seinci sahaja muka mereka mahu bertembung.
"Mana janji kau dulu, sahabat hingga mati. Kau bilang apa jadi, persahabatan kita tidak akan terputus. Sekarang aku dah mati, marilah ikut aku mati sekali. Janji kau mesti tepati!" jerit Fayrus seraya menarik tangan Tanti mengikutinya menghampiri balkoni rumah sewa tersebut.
Ibarat dipukau, langkah Fayrus diikut satu demi satu oleh Tanti. Keindahan zaman persahabatan mereka seperti terlihat di ruang layar. Mempertontonkan kebahagiaan mereka satu demi satu, tidak ada duka langsung!
Langkah Tanti semakin menghampiri hujung balkoni.
"Tanti, hidup telah memisahkan kita cukup lama, tapi kita akan kembali bersama dalam kematian. Kita akan terus bersahabat hingga hujung nyawa kita" ujar Fayrus, perlahan kakinya melangkah melepasi balkoni dan melayang jatuh ke bawah.
Tanti tanpa ragu, mengikut langkah itu. Terasa kebebasan semakin menghampirinya dan keindahan persahabatan mereka menjadi perkara yang dikejar-kejar olehnya hinggalah Tanti menutup matanya pada saat hujung nyawa. Nama Amira diseru. "Aku akan menunggumu!".....
.
"Tanti! Fayrus!" Amira terbangun dari tidurnya. Mimpi ngeri sebentar tadi seperti betul-betul terjadi. Amira bermandikan keringat. Disisi, suaminya kelihatan nyenyak tidur. Semasa baru mahu menenangkan diri, tangis bayinya kedengaran. Dia melirik jam di dinding, baru pukul 3.25pagi. Jarang bayinya bangun saat ini.
Tanpa berlengah, Amira pergi melihat keadaan bayinya. Aneh. Nyenyak sungguh kembar itu tidur. Tidak ada tanda baru menangis seperti yang didengarinya.
Merasakan diri sedang berkhayal, Amira mengambil keputusan untuk membasahkan tekaknya sebentar. Amira melangkah terus ke dapur.
Dia membuka whatsapp dan bertanya keadaan dua lagi rakannya itu.
"Kau orang ok tak? Aku mimpi pasal korang. Risau pula" tulis Amira disana.
10 minit berlalu. Tidak ada apa-apa balasan.
Kantuk Amira telah hilang. Amira terus duduk di sofa ruang tamu dan membuka televisyen. Baru sahaja mahu menikmati cerita yang dipaparkan, loceng rumahnya berbunyi.
'Siapa datang pagi-pagi ni' soal hati Amirah.
Ketukan dipintu pula menganggu. Pantas, Amira membuka pintu bagi melihat kehadiran siapa di awal pagi itu.
Wajah pucat Tanti menjenguk. Tanti pantas memegang tangan Amira.
"Kenapa Tanti, apa jadi?" soal Amira. Pintu segera ditutup.
"Lama kita tak jumpa." Desis Tanti.
"Aku dan Fayrus datang nak tuntut janji kita. Janji Sahabat Sampai Mati. Aku dan Fayrus dah mati. Sekarang giliran kau untuk tunaikan janji" ujar Tanti.
Tanti mengangkat tangannya dan menunjukkan jari telunjuknya ke arah Amira. Disatu sudut, kelibat Fayrus kelihatan, semakin lama semakin menghampiri.
Amira cuba menjerit tetapi tidak kedengaran. Lidahnya kelu! Hatinya bermonolog, cuba menenangkan Tanti dan Fayrus yang sedang menuntut janji.
Semakin mendekat, bau hanyir darah semakin kuat. Bisik mereka tentang tuntutan janji Sahabat Sampai Mati itu bergema. Tangan Amira nyaris dicapai Tanti dan Fayrus.
"Sayang!" Jerit suami Amira.
Amira rebah! Pantas disambut suaminya.
Mujur suaminya keluar, Amira seolah mengigau dan hampir sahaja jatuh dari tangga rumahnya.
.
Usapan dari jemari suaminya menyedarkan Amira dari tidurnya. Amira mengusap matanya dan mula tertanya-tanya tentang kejadian malam itu. Wajah Fayrus dan Tanti terbayang-bayang dimatanya.
Pada hematnya, ia mungkin mimpi buruknya sahaja. Mana mungkin ada apa-apa berlaku kepada mereka. Kalau ada, mesti sudah sampai cerita ketelinganya.
.
Saat bersarapan bersama suaminya, suara pemberita menarik perhatiannya.
"Seorang wanita dari Malaysia dikenali sebagai Tanti dijumpai mati membunuh diri di sebuah apartment di bandaraya XY"
Serta merta sudu yang dipegangnya jatuh. Meriding segala roma apabila mendengar khabar itu.
.
Hampir setiap hari, dia mengalami mimpi yang sama. Terbangun oleh bunyi loceng pintu, kemudian dia membukanya dan bertemu dengan Tanti dan Fayrus yang berdiri di depannya.
Dan segala cerita dari saat Fayrus diperkosa dan Tanti yang mengikut langkah dimainkan saban malam. Sedikit sebanyak, Amira sudah menangkap butir tragedi yang menimpa kedua-dua rakannya.
Malam itu kerana tidak tahan menahan gangguan saban malam, Amira nekad untuk bersua muka dengan kedua-dua roh sahabatnya yang menuntut janj itu.
“Tanti, Fayrus, kau kata kau sayang aku. Benar, kita janji kita mesti akan kekal best friend forever sampai kita lelapkan mata. Tapi, aku belum bersedia untuk mengotakan janji itu. Bukan sebab aku tak sayang kalian, tapi aku hidup untuk membuktikan yang persahabatan kita masih kekal utuh dalam ingatan walaupun roh dan jasad kalian telah terpisah dari alam nyata. Mana mungkin aku lupa janji sayang kita dahulu.” Amira mula memberikan penjelasan walaupun hatinya sedang kencang berdegup!
Tidak ada kelibat kedua sahabatnya dimana-mana. Amira terduduk. Kecewa.
“Kalian kata kalian sayang, tapi kalian memaksa aku. Pernah tak tanya, apa aku sedang rasa sekarang? Sesal menggunung kerana perkara ini terjadi” sambung Amira.
Sepasang anak mata coklatnya dikerlingkan ke bingkai gambar keluarganya semasa sambutan hari lahir anaknya yang pertama.
Minda Amira mengulang tayang segala janji persahabatan mereka dahulu. Terimbas juga dia cukup sayang dengan dua rakannya itu hingga melebihkan mereka daripada yang lain-lain.
“Betul, kita terpisah pada usia dewasa. Betul, aku salah kerana terlalu mentaati suami sehingga terlupa tentang kalian, terlupa meraikan persahabatan kita pada tarikh tertentu. Aku akui, aku salah kerana tiada di sisi ketika kau diperkosa beramai-ramai, Fayrus. Sungguh aku tidak tahu! Dan Tanti, aku kesal tidak sempat titipkan salam kepada Fayrus saat kau khabarkan mahu berjumpa dengannya" tutur Amira. Kesal.
"Kalian lupakah, bahawa Allah yang menentukan segalanya seperti jodoh, rezeki dan kerjaya kita?" soal Amira.
Perlahan, Tanti dan Fayrus keluar entah dari mana, semakin mendekati Amira.
“Fayrus, tak cukupkah susah senang kita sehingga umum tahu kita ibarat kembar tiga? Kau diperkosa? Kau ingat kami akan buang kau? Kenapa terus membunuh diri? Tak bincang dengan kami? Kau yang lupa janji!” Amira mengingatkan. Sedikit tinggi suaranya mengingatkan hakikat mereka mampu bersahabat tanpa sebarang sandaran kepada makhluk selain Allah Taala.
"Demi Allah aku sayang kalian. Izinkan aku hidup, mendoakan kalian, menguburkan kalian seperti yang dituntut syariat. Izinkan aku menyantuni ibu ayah kalian, menyambung tugas yang kalian tinggalkan agar kita sama-sama tenang menghadap Tuhan. Aku menyayangi mereka seperti mana aku mencintai ibu ayahku.” Esak tangis Amira menghiba.
Fayrus dan Tanti tidak yang mulanya kelihatan sarat dengan amarah, mula menundukkan kepala masing-masing. Terkesan dengan teguran Amira.
“Pergilah, aku mohon. Tinggalkan dunia ini, bersemadi kalian dengan tenang. Percayakan aku. Janji kalian tersemat di hati. Aku di sini untuk mengotakan janji kita,” Amira memeluk tubuh, seolah-olah roh di hadapannya mampu dipeluk.
Perlahan, bayang Tanti dan Fayrus menghilang. Sehelai kain kuning yang cukup dikenali Amira, jatuh betul-betul disebelahnya. Pantas Amira mencapainya. SAHABAT SAMPAI MATI, tulisan yang cukup dikenalinya. Terasa kesal dengan khilaf lalunya. Amira berjanji, esok dia akan kebusut itu untuk menguburkan semua kenangan itu. Kainan tersebut akan dibakar.
Semoga roh Tanti dan Fayrus tenang disana.
'Mengertilah sahabat, walau roh terpisah dari jasad. Tertanamnya kamu 7 kaki dalam, tetapi sayang persahabatan ini mana mungkin aku lupakan.' bisik hati Amira. Lantas melangkah kedalam biliknya. Suaminya dipeluk erat.
-Tamat-
Jika anda ada kisah angker, seram, misteri mahupun thriller yang ingin dikongsikan kepada kami. Bolehlah menghantarnya ke inbox kami :
Arkib Angker Negara
Atau emelkan ke:
aanrc2017@gmail.com
Kisah anda itu akan dikreditkan kepada anda. Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment