Friday, 15 December 2017

DEJAVU? - Daliana Zainal Abidin


DEJAVU?

Aku, Mariana. Berumur tiga puluh tahun dan masih belum berumah tangga. Sudah bertunang dengan jejaka pilihan sendiri. Aku terlalu fokus dengan dunia kerjaya, sampaikan Sabtu dan Ahad pun aku masih ke pejabat. Sedangkan Isnin sehingga Jumaat, sebelum angka sepuluh malam mengundang, selagi itulah aku gigih menyiapkan kerja. Padahal sampai tahun depan pun, kerja yang ada itu takkan pernah habis.
Setakat kena perli ‘Bangla pun cuti weih. Sudah-sudahlah kerja tu. Kahwin la cepat’, aku sudah lali. Ada juga labelkan aku ‘gila OT cari duit lebih’. Orang sekeliling susah nak memahami antara tanggungjawab dan mata duitan.
Tahun 2012, akhirnya tunang aku membuat keputusan tahun itu untuk bernikah. Kelam kabut aku dibuatnya untuk menguruskan hal borang permohonan. Surat pengesahan, kursus dan sebagainya. Tiga bulan sebelum majlis, berkejar-kejaran aku ke sana ke mari. Kepala otak masih juga fikirkan hal kerja sampaikan tunang aku kata tak payah sibuk tentang kerja. Majlis kahwin lebih penting. Aku akur dan malas hendak bertekak tentang benda yang remeh.
Keluarga aku dan tunang sepakat untuk membuat majlis pada bulan Jun nanti. Kebetulan minggu itu merupakan minggu cuti sekolah, ramai pasangan yang akan mengadakan majlis. Oh ya, kenduri kami nanti hanya satu majlis sahaja. Berkongsi pihak lelaki dan perempuan. Mudah dan sekali harung penatnya nanti.
*****
JUN, 2012
Aku dan bakal suami selamat diijabkabulkan dalam majlis yang sederhana. Kami bernikah di sebuah masjid berdekatan. Walaupun sederhana, ramai juga ahli keluarga yang hadir menyahut jemputan. Dua kali lafaz, tunangan aku sah menjadi suamiku. Lafaz pertama terbatal kerana terlalu laju dan mengigil berpeluh. Aku tergelak. Kalau bertekak, bukan main lagi. Sekali kena lafaz ijabkabul, peluh jantan pun keluar.
Korang jangan tipu eh, kalau korang tak pernah bertekak dengan bakal suami. Kalau tak pernah, hebat!
Majlis kami berjalan dengan lancar. Lauk-pauk juga banyak yang habis. Lauk dimasak dengan aktiviti merewang. Aku sangka tetamu datang sampai petang sahaja, sekali pukul sebelas malam pun masih ada yang hadir. Alhamdullillah. Aku pula sudah kepenatan dan mata pun pedih. Kebetulan aku sedang datang bulan. Photoshoot juga dibuat pada sebelah petang juga. Kepenatannya tak tergambar! Mak, abah dan adik beradik aku, lebih-lebih lagi si bongsu, terduduk dibuatnya. Sekali sekala kan!
Selepas berkahwin, aku mengikut suamiku menetap di rumah ibunya buat sementara waktu sehingga menunggu rumah sendiri siap. Rumah teres satu tingkatan masih dalam pembinaan. Rumah sekarang, harganya mahal-mahal. Macam manalah generasi akan datang nanti nak beli rumah.
Sepanjang tahun 2012, aku masih belum dikurniakan cahaya mata. Walaupun kerap kali disoal ibu mertua, aku hanya beri jawapan belum ada rezeki. Ibu mertua aku pula begitu seronok bercerita anak jiran tiga bulan kahwin sudah ada isi. Anak kenalan, bunting pelamin dan sebagainya. Pedih juga telinga dan hati tapi aku layankan sahaja. Suami aku pula hanya memujuk dan memberi kata perangsang supaya aku tidak berkecil hati.
*****
APRIL, 2013
Aku dan suami mula menabung sejak setahun yang lalu. Kami teringin ke Langkawi sebab kali terakhir aku jejakkan kaki ke sana semasa umur aku dua belas tahun dahulu. Suami pula sepanjang hidupnya tidak pernah ke Langkawi. Maka kami sepakat, ulang tahun perkahwinan yang pertama, Langkawi menjadi destinasi pilihan.
Dua bulan sebelum ke sana, aku aktif masuk kelas kesihatan ala-ala zumba. Berat badan naik mendadak semenjak berkahwin. Aku ada terbaca artikel mengatakan untuk mendapatkan zuriat, pemakanan dan berat badan perlu dititik beratkan. Aku ikhtiar gunakan kaedah ini. Padahal rezeki untuk mendapatkan zuriat tidak semestinya kalau berbadan besar tak dapat anak. Kun fayakun, kuasa Allah. Jadi, maka jadilah ia.
Entah mengapa, aktiviti petang kelas kesihatan itu aku rasa tidak sedap badan. Apabila membuat senaman sedikit berat, ari-ari aku terasa sakit. Mungkin ketibaan datang bulan tidak lama lagi menjelma. Setiap bulan aku buat ujian air kencing sekiranya lewat. Jawapan yang aku terima semua negatif. Ibu mertua aku pun sudah jarang bertanya, ada isi ke belum. Mungkin menjaga hati.
Malam dalam pukul sepuluh begitu, aku teringin buat ujian air kencing. Mula-mula aku buat ujian kesuburan. Keputusan yang aku terima menjadi pelik. Bacaan menjadi terbalik. Aku ambil pula ujian air kencing jika mengandung, dalam lima minit begitu keluar penanda aras ada dua. Aku dah gembira. Terjerit memanggil suami dari dalam bilik air. Terkocoh-kocoh suami aku ke bilik air. Dia ingat aku terjatuh ke apa.
“Yang... saya mengandung! Result keluar double line!”
Seronok betul aku malam ini. Patutlah semacam rasa ari-ari. Mujur tak ada apa-apa semasa aku buat senaman berat. Siap guling-guling atas simen! Aku mengusap-ngusap perut aku yang masih kempis.
Keluar dari bilik air, aku cepat-cepat masuk ke kamar tidur. Telefon aku ambil dan terus melayari internet tentang dunia kehamilan. Teruja. Apa yang perlu dibuat dan apa yang perlu dielakkan. Dari segi pemakanan sehinggalah penjagaan kehamilan.
*****
Kandungan aku sudah berusia enam bulan. Termengah-mengah sedikit dibuatnya. Sebelum aku disahkan mengandung, aku melanjutkan pelajaran separuh masa. Kelas kuliah setiap hujung minggu, Sabtu dan Ahad. Tiada lagi istilah ‘OT’ sebab fikiran aku cukuplah aku menghabiskan masa dalam dunia kerjaya. Aku sambung belajar pun disebabkan dahulu terhenti di separuh jalan.
Bermulalah aku bermimpi yang pelik-pelik.
MENYUSUKAN BAYI
Selama aku bujang dan baru berkahwin, aku tidak pernah bermimpikan mengendong bayi atau menyusui bayi. Kecuali mimpi tentang ular, itu pun masa aku masih dalam sekolah menengah. Tiga hari berturut pula aku mimpi ular dan malam terakhir aku terkena patukan. Buat tak tahu sahaja, maklumlah zaman dahulu internet mana meluas lagi, kalau nak mendaftar pun mahal kosnya. Kesian mak dan abah aku nak menanggung.
Berbalik perihal aku bermimpi tentang bayi. Aku nampak jelas wajah bayi tersebut. Dia tidak menangis langsung. Siap tersenyum dan matanya begitu cantik sehingga aku terpesona. Tidak lama kemudian, tiba-tiba aku menyusui bayi tersebut.
Aku terjaga dari lena. Berpeluh. Aku bangkit menuju ke bilik air. Usai dari bilik air, aku naik ke katil dan tertidur semula. Jam ketika itu hampir ke pukul empat pagi.
MENGAMBIL BAYI
Mimpi kedua pula, aku mengambil seorang bayi. Ketika itu aku berada di sebuah hospital. Hospital mana, tidaklah dapat aku pastikan. Aku tiba-tiba bertemu dengan seorang wanita yang duduk di ‘wheel chair’, dia terus memberikan bayinya kepada aku. Wajah bayi tersebut samar-samar. Wanita itu rupanya juga aku tidak dapat lihat dengan jelas. Setelah dikendong bayi tersebut, wanita itu hilang dari pandangan. Aku sekadar merenung bayi yang masih terlena. Aku jadi jatuh sayang dan memeluk erat bayi berkenaan.
Aku tersedar lagi. Terus aku mengusap-ngusap zuriatku dan tiba-tiba ari-ari aku menjadi sakit. Aku menarik nafas perlahan-lahan dan mengejutkan suamiku.Aku ceritakan situasi mimpi tersebut dan suamiku mengata itu hanya mainan tidur. Aku baring semula tetapi mata masih terkelip-kelip teringatkan mimpi tadi. Langsung aku tidak tidur semula sehinggalah subuh menjelma.
BERTEMU POCONG!
Kandungan aku sudah berusia tujuh bulan ketika ini. Aku semakin kerap didatangi mimpi yang menakutkan. Belum lagi jam dua belas malam asyik terdengar bunyi guli dibaling di lantai. Orang bertukang dan sebagainya.
Entah kenapa malam ini, aku tidak betah untuk tidur. Serba serbi tidak kena. Makan nasi pun tidak berselera. Aku minum susu coklat yang hangat. Sekitar jam sepuluh malam aku masih menonton namun tiada cerita yang menarik. Walaupun kepenatan dengan kerja-kerja pejabat tetapi mata aku masih segar bugar. Akhirnya, aku menutup televisyen dan masuk ke dalam bilik, menyambung buat kerja-kerja ‘assignment’ yang perlu dihantar pada hari Sabtu ini.
Suamiku pula kerjanya syif petang. Masuk pukul tiga dan balik pukul 12 tengah malam. Aku menunggu kepulangannya. Sekitar jam sebelas setengah malam, mata aku mula terasa berat akhirnya. Beberapa kali menguap dan aku mengalah. Tidak jadi menunggu. Anak di dalam perut kurang aktif, barangkali sudah tertidur. Aku tersenyum mengusap perut.
Aku naik ke katil dan terus lelapkan mata. Sekejap aku sudah terlelap dalam kegelapan. Sedang lena, tiba-tiba aku berada di satu kawasan jalan raya. Tepinya pokok-pokok merimbun. Macam kenal suasana tempat ini. Aku lihat dua orang rakan pejabatku berada dalam mimpi tersebut. Kami berjogging bersama. Dua rakanku itu lelaki, seorang bernama Azman dan seorang lagi bernama Malik. Sedang ralit kami berjogging bersama, mata aku ternampak sesuatu berdiri serba putih. Semakin kami dekati semakin jelas penampakkan tersebut. Dua rakanku sudah lintang pukang berpatah balik. Tinggal aku seorang diri. Sampai hati diaorang tinggalkan aku sendirian! Benda itu mula bergerak dan melompat ke arah aku! Mengigil kaki dan aku terpaku. Aku seakan dipaku untuk berdiri sahaja di situ sehinggalah benda itu benar-benar menghampiriku. Dia datang semakin dekat, dan aku terjerit!
Mukanya hitam. Matanya terbeliak besar. Dia berbungkus ketat. Melompat-lompat di hadapanku sahaja. Menyeramkan pabila terlihat wajahnya berada seinci. Aku tersedar, berpeluh-peluh. Nafasku turun naik, jantungku berdetak laju sampaikan dada aku terasa sakit. Allahuakhbar, mimpi sebegini benar-benar menakutkan. Aku lihat suamiku sudah pun berada di sebelah, membelakangkan aku. Perut aku terasa sakit. Aku memanggil suamiku. Dia bangkit dan terkejut melihat keadaan aku. Lampu dibuka dan aku kelihatan pucat. Aku meminta segelas air kosong, melompat suamiku dari katil. Perut tiba-tiba menjadi keras kejang.
Segelas air kosong suamiku berikan. Dua tiga teguk, habis diminum.
“Sayang okay? Kenapa berpeluh-peluh macam ni? Pasang aircond pun boleh berpeluh macam orang berlari sahaja saya tengok.”
Suamiku mengelap peluhku dengan tuala kecil. Aku menggeleng dan ketakutan. Suamiku mengurut-ngurut bahuku.
“Saya... saya... mimpi pocong! Benda tu betul-betul dekat dengan muka. Tak tahu kenapa lately ni mimpi benda yang bukan-bukan. Perut pun asyik sakit. Ni sekarang dia mengeras lepas terjaga.”
Aku menceritakan apa yang aku mimpi. Sekali lagi aku kecewa apabila suamiku kata aku terlalu banyak berfikir maka akan termimpi benda yang bukan-bukan.
Aku terasa hati terus aku baring semula dan cuba untuk tidur. Suamiku memadamkan lampu dan bergelap semula bilik kami. Aku masih terkebil-kebil. Sesekali aku ketakutan apabila teringat kembali wajah pocong tersebut!
Jam di dinding menunjukkan angka tiga pagi.
SELURUH PELOSOK HANTU KELUAR!
Berlalu sudah kisah pocong tempoh hari. Kini aku menunggu hari sahaja kerana kandunganku sudah masuk sembilan bulan. Ketika ini aku sudah pun berulang alik ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam, komuter dari rumah orang tuaku, di Sungai Buloh.
Pulang ke rumah orang tuaku, tiada lagi mimpi yang pelik-pelik terjadi. Aku nekad balik ke sini kerana mimpi terakhir aku berlaku seminggu yang lalu. Lagi pula aku akan bersalin di hospital kerajaan yang dekat dengan rumah. Hospital Sungai Buloh. Suamiku tidak ikut serta, balik hanya hujung minggu berikutan pekerjaannya bergilir syif. Berdekatan dengan rumah ibu mertuaku. Maka kami hanya berjumpa seminggu sekali.
Teringat kembali mimpi yang lepas benar-benar buat aku tidak boleh berdiam diri lagi. Mimpi yang aku alami pada ketika itu aku berada di satu kawasan kecil dikelilingi dengan hutan. Setelah diamati, rupanya kawasan itu adalah tapak lama rumah setinggan keluarga aku. Dahulu semasa aku kecil sehingga aku tamat persekolahan di situ aku dan keluarga berlindung dari panas dan hujan. Tidur malam pun sejuk sahaja. Rumah papan, tentu sahaja kesejukkan dinginnya malam begitu terasa.
Dalam aku berjalan di kawasan tapak rumah lama itu, mataku tertumpu kawasan hutan belakang rumah. Semakin tebal semak dan samunnya. Pokok rambutan sebanyak empat pokok masih lagi merimbun. Pokok nangka masih juga utuh berdiri. Ralit aku meneliti, tidak semena-mena bermacam jenis hantu keluar dari semak belukar hutan. Aku sudah ketakutan dan sekali lagi kaki terpasak ke bumi bagaikan dipaku, kunci dan tidak dapat bergerak. Kesemua makhluk itu datang menghampiriku.
Rambut mengerbang. Wajah hancur. Bertanduk. Tinggi melangit. Mengesot. Berterbangan. Berjalan dan berbagai lagi yang aku saksikan. Mimpi apa yang begitu menakutkan ini? Sudahlah aku mengandung sulung, maka kepala aku berfikir yang bukan-bukan.
Aku menjerit.
“Apa yang korang nak! Setan! Jangan ganggu aku!”
Kesemua makhluk itu terhenti dan merenung tajam ke arah aku. Tiada sepatah perkataan pun yang terkeluar. Aku sahaja yang termengah-mengah bernafas laju. Air mata mengalir laju. Ke semua makhluk itu menghilang. Apa kaitan diriku, kandunganku dan makhluk ini semua? Tiada jawapan yang dapat aku berikan.
Aku bangun terasa pipi basah dengan air mata. Aku mimpi betul-betul ke? Dejavu? Tapi aku tak pernah nampak sebarang makhluk kelihatan, setakat terasa ada kehadiran mereka memang merinding bulu tengkok dan dada akan terasa sakit sebab jantung mengepam darah begitu laju. Kadang-kadang baca kisah seram pun aku sudah terasa lain macam sejuknya.
Itulah sedikit sebanyak pengalaman ngeri aku ketika mengandungkan anak sulung. Seminggu selepas mimpi itu aku nekad ingin balik ke rumah orang tua aku. Perihal ini aku ceritakan pada abah dan mak. Abah diam sahaja. Mak pula suruh aku perbanyakkan zikir ketika hendak masuk tidur. Kata mak lagi itu semua permainan syaitan yang tak akan pernah habis untuk menyesatkan umat manusia. Selepas dua minggu duduk rumah orang tuaku, jam sembilan malam air ketubanku pecah tiba-tiba. Kebetulan baru sahaja lepas makan malam. Terminum pula air zam-zam bekalan dari Mekah yang mak terima dari kawannya.
Tanggal 14.01.2014, maka lahirlah puteri ku melalui kaedah caesarean. Jalan tidak terbuka sewaktu aku ingin bersalin normal. Tempoh 8 jam, hanya buka 2cm sahaja. Aku yang sudah kepenatan menahan sakit untuk bersalin akhirnya di atas katil bilik pemedahan aku boleh tertidur! Sampaikan doktor bius kejutkan aku bila mengatakan prosedur sudah hampir selesai. Aku tak ingat jururawat ke doktor tunjukkan bayi perempuanku. Apa yang aku tahu aku hendak tidur sahaja.
Begitulah sedikit sebanyak tentang mimpi yang aku alami. Bila baca artikel dan bertanya orang yang boleh menafsir mimpi, katanya peralihan saka ke tuan baru. Entah ye entahkan tidak. Aku malas nak fikir. Aku berserah pada Allah supaya bayiku dilindungi dan dipelihara dari anasir yang tidak baik. Dalam berpantang, aku sempat lagi hadir ke peperiksaan akhir tahun! Berstokin dan berbaju panas wajib dipakai walaupun panas terik!
Dalam tempoh berpantang sampailah anak perempuanku berumur tiga tahun, tiada lagi mimpi pelik menjengah. Bulan syawal tahun 2016, aku disahkan mengandung anak kedua.
Agak-agak mimpi menakutkan itu jengah lagi ke?
Jawapannya, YA!
*****
-TAMAT-
Nota kaki: Ini kisah sebenar saya. Maaf kalau kurang seram.
*****
Suntingan dan Gambar: Gongpal Topek
Karya hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke
e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: