Friday 22 December 2017

MISTERI PEDAS LINGGI - Lutfil Hadi


Misteri Pedas Linggi
Kiriman: Lutfil Hadi

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Tarikh peristiwa ini disembunyikan tapi ini kisah benar yang berlaku depan mata aku.

===========================
Jam 4.00 pagi, aku mengambil keputusan untuk ke KL. Aku merancang untuk singgah ke N9 terlebih dahulu bagi menziarahi rakan di sana. Jam 4.15 pagi , aku mula bergerak dari rumah di Ayer Keroh Melaka. Aku menaiki sebuah motosikal Yamaha LC yang top speed 120 tu. Itu pun agak semput.
Pukul 4.30 pagi, aku mula memasuki lebuh raya PLUS. Pada ketika itu,entah kenapa, Waze dan peta memaksa aku untuk menyusur ke Pedas-Linggi.
Dan di jalan inilah bermulanya episod misteri....
Jam 5 pagi , aku memasuki jalan Pedas-Linggi. Perjalanan aku mulai diulit rasa sunyi. Keadaan jalan yang gelap menambahkan lagi rasa sunyi. Hanya sekali-sekala sahaja aku berselisih dengan sebuah dua kenderaan yang melalui jalansama.
Hatiku mula dihimpit kerisauan. Persoalan mula terbit di kepala aku.

“Betul ke jalan ni?”
Perasaan ragu-ragu mulai bertandang. Agak mengganggu aku sebenarnya. Hendak berpatah balik, dah jauh. Minyak pula semakin berkurangan. Justeru, aku mengetepikan perasaan itu dan nekad untuk meneruskan perjalanan.

Sampai di sebuah simpang tiga, aku perasan line telefonku seperti terganggu.
‘No Service’.
Ah sudah ! Mati kutu aku di situ.
Waze pula sudah tertutup.
Aku berhenti di tengah simpang. Mataku memicing dan cuba meninjau ke arah jalan. Menanti sekiranya ada kenderaan yang lalu. Hampa. Tiada sebuah kenderaan pun yang lalu. 
Tidak membuang masa, aku cuba mencari line telefon. Setelah berhempas- pulas dan mundar mandir di sekitar kawasan itu sendirian, akhirnya line yang terputus tadi kuperoleh.

‘Turn right’.
Demikianlah arahan Waze untuk aku meneruskan perjalanan ke arah kanan. Jalan ke kanan sunyi sepi dan sangat gelap. Route 5 Jalan Pedas-Linggi melalui Pasir Panjang. Jika dilihat kepada peta, laluan No 5 ini panjangnya 16 km.
Mataku dilirikkan ke arah meter minyak .Separuh meter. Pada perhitungan aku, agaknya cukup minyak sebanyak itu untuk perjalanan 16 km.
Dalam 8 km pertama, tiada apa-apa yang pelik terjadi. Cuma sesekali perasaan seram itu datang. Ya lah, cuma motorsikal aku sahaja yang melalui jalan itu. Sesekali ada juga aku berselisih dengan kenderaan lain. Tetapi amat jarang.Selebihnya perjalanan aku cuma bertemankan kesunyian.
‘Vroooommmmm….’
Aku meningkatkan kelajuan motorsikal. Tengah top speed 120km/j, tetiba di satu selekoh, berdekatan hutan lipur / hutan simpan Pasir Panjang aku terkejut.
Allahuakbar !!
Kali ini aku betul2 meremang. Badanku menggigil. Injap jantung pula seolah-olah meningkatkan momentum untuk mengepam darah. Kencang degupan jantung aku ketika itu. Peluh mulai terbit di segenap pori di mukaku walaupun cuaca pagi adalah sejuk.
Di selekoh tu, aku terlihat kelibat ‘makhluk’ yang bertopi keledar dan mengibarkan sehelai kain. Dia meluru ke tengah jalan dan cuba menahan aku. Nasib baik aku sempat elak daripada melanggar dia. Sedikit sahaja lagi aku hampir terlanggarnya. Cuma beberapa meter sahaja jarak aku dengan dia.
Walaupun dia meluru ke arah aku sedemikian rupa, aku langsung tidak berhenti. Sebabnya, ketika aku hendak elak daripada melanggar dia, mataku tertancap ke arah ‘sesuatu’ yang berada di sebelah tempat dia berdiri.
Mindaku tidak dapat mentafsirkan dengan jelas benda yang aku sedang lihat. Sekali tengok, seakan-akan sekujur mayat yang tertutup dengan kain.
Ya, MAYAT!!!
Sepertinya terbaring di situ !!
Tapi dalam samar-samar aku ternampak seolah-olah motosikal yang terbalik! Arghh.. Aku pun tak pasti dengan apa yang aku lihat.
Cuma ketika itu aku teringat tentang salah satu taktik samun yang pernah tular di laman sosial. Mereka berpura-pura kemalangan dan menyamun individu yang berhenti ingin membantu. Perutku kecut.
Waktu itu pukul 5.30 pagi. Jalan memang sunyi dan tiada kenderaan lain yang kelihatan. Cara dia meluru untuk tahan aku memang sangat menakutkan. Laju dan pantas menerpa ke arah motorsikal aku.
Sampai sekarang aku masih terbayang-bayang peristiwa pagi itu. Persoalan demi persoalan sering bertandang ke mindaku. Apakah 'makhluk' dan 'sesuatu’ di jalan waktu itu?
Manusia atau bukan? Aku tak pasti.Tapi yang pasti ketika itu badan aku menggigil.
Kalau kau betul-betul kemalangan dan perlukan bantuan, aku minta maaf sebab tak berhenti. Andainya itu cuma taktik untuk menyamun, aku minta kau insaf dan jangan buat lagi.
Tapi kalau kau juga makhluk Allah dari alam lain, aku minta janganlah diganggu anak cucu Adam A.S.
Jadi, nasihat aku, kepada sesiapa yang jenis berani sangat nak gerak malam-malam, pastikan gerak beramai-ramai. Kenali dahulu route dan jalan yang hendak dilalui. Terutamanya jalan Pedas-Linggi. Doa banyak-banyak jika terpaksa melalui jalan itu. Aku bertekad takkan lalu lagi jalan itu bila matahari dah terbenam. Serik.
-TAMAT-
Suntingan Karya: Atikah Che Yasin
Suntingan Gambar: Azman Zainordin
Karya merupakan hak cipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel
aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

2 comments:

Anonymous said...

not bad..just nice

Anonymous said...

Sama la saya pon ada lalu jalan itu 2 hingga 3 kali pusing ikut jalan yang sama sehinggakan jumpa tempat yg sama berulang-ulang kali, daripada situ saya berselawat dan alhamdulillah akhirnya jumpa jln utk kluar