Sunday, 31 December 2017

BIDAN KAMPUNG - Kukil Kufiq


TAJUK : BIDAN KAMPUNG
OLEH : Kukil Kufiq

===============

Cerita ini berlatarbelakang tahun 60-an. Cerita ini saya dengar dari Nenek saya, saya,membesar di bawah jagaan nenek saya. Almaklumlah mak busy, bapak dah tak ade, dia kata cerita ni kisah betul yang jadi kat kampung atuk saya dulu. Kampung atuk saya ni kat Kota Gelanggi, entah betul entah tidak Allah je la yg tahu. Nama-nama dan watak-watak diubah untuk kesesuaian cerita.

===============

Salam baru berpindah semula ke kampungnya, kali ini dia membawa pulang bersamanya seorang isteri yang dinikahinya di Singapura.

Lantas, apabila Siti mula berbadan dua, dan kepayahan hidup di kota membuatkan Salam mengajak Siti untuk tinggal bersamanya di kampung. Sekurangnya di kampung boleh taraf hidup tidaklah tinggi mana. Disamping kerja-kerja kampung, makanan mudah dapat, nak ikan boleh pergi memukat, nak sayur boleh tanam keliling rumah.

Lagipun Salam terfikir, memandangkan adik-adiknya semua ada kehidupan sendiri merantau, siapalah lagi nak diharapkan untuk menjaga rumah pusaka arwah orang tuanya.

Maka selepas berbincang dan dipersetujui oleh Siti, Salam dan Siti pun berangkat pulang ke kampungnya.

Suasana rumah pusakanya tak adalah teruk sangat, cuma adalah semak-samun yang menebal di sekeliling rumah. Salam bersama beberapa orang sahabatnya bergotong-royong membersihkan kawasan sekeliling rumah, sudah berapa lama dia tidak pulang selepas kematian arwah ibunya enam tahun dahulu - baru kali ni Salam pulang. Kali ini dia bertekad, hidup mati biarlah di kampung.

Perabot rumah semuanya lengkap, Siti ibarat cuci kaki je masuk rumahnya kali ni. Hampir sebulan di sana, Siti mula bergaul rapat dengan tetangganya terutama sekali dengan jirannya Esah.

Salam pula mula membuat kerja-kerja kampung,di samping memukat ikan dan mengambil upah menebas.

Pada suatu malam, Salam pulang ketika senja selepas memukat dan dia tanpa sengaja mengikut laluan di depan Rumah Bidan Limah, bidan kampung itu, dapat dilihatnya Bidan Limah sedang duduk di tangga rumah sambil melihat orang lalu lalang di depan rumahnya.

Salam memerhatikan saja bidan tua itu lalu menegurnya, sekadar mahu berbasa-basi.

“Assalamualaikum makcik Limah. Jauh termenung!” ujar Salam, memaniskan muka.

Bidan Limah cuma tersengih-sengih memandang Salam. Salam membalas dengan senyuman.

Cukuplah sembilan bulan kandungan Siti, dan pada malam itu Siti siap untuk melahirkan anak. Salam mengetuk pintu rumah Esah tergesa-esa.

“Esah, tolong tengokkan Siti. Dia dah nak bersalin!” ujar Salam gementar.

“Hah? Yelah. Kau ni nak ke mana?”

“Nak cari bidanlah Esah oi. Tolong ya sekejap!” Balas Salam. Esah mengangguk, dia terkocoh-kocoh membetulkan kain sarungnya sebelum menuju ke rumah si Salam.

Salam mengerling jam. Sudah pukul dua pagi. Klinik desa pun dah tutup masa ini. Terpaksalah dia ke Bidan Limah.

“Ah, aku dahulu hidup je disambut dia. Nak buat macam mana dah tak ada pilihan!” getus hati si Salam.

Salam menunggang basikal dengan tergesa-gesa. Setibanya dia di rumah Bidan Limah, rumah bidan tersebut gelap-gelita dan nampak usang, seperti sudah lama ditinggalkan. Jauh berbeza dari waktu dia melalui rumah bidan tua itu.

Salam tercengang-cengang.

“Engkau cari siapa?” suara serak Bidan Limah mengejutkannya. Dia berpaling ke belakang. Bidan tua itu berdiri di belakangnya, sedang mengunyah-ngunyah sesuatu. Sirih gamaknya.

“Allah terkejut saya. Macam ni, isteri saya si Siti tu dah sakit-sakit nak bersalin.”
“Hah apa kau tunggu lagi. Mari, mari. Bawa aku ke sana.” ngomel wanita tua itu.

Salam membawa Bidan Limah membonceng basikal bersamanya. Sampai di sana, Esah sudah menunggu bersama Siti.

“Rumah kau ni ada tawas, Salam?” ucap Bidan Limah sewaktu dia turun dari basikal.
“Alamak, tak ada.”
“Hm. Daun pisang? Garam?”
“Garam tu adalah sebekas kecik. Cukup-cukup buat masak.”
“Hish kau ni, mana cukup! Pergi cari dahulu. Dah tahu isteri nak bersalin, kenapa tak sedia awal-awal!” ngomel bidan tua itu, membetulkan selendang di bahu. Salam terkulat-kulat.
“Ya, ya. Saya pergi cari sebentar.”

Salam meronda hampir satu kampung. Mana ada kedai buka! Yalah zaman 60-an mana ada kedai buka pagi-pagi. Salam mulai panik.

Sesampainya dia di kedai Pak Ali, dia terus mengetuk rumah Pak Ali. Hampir roboh pintu kedai dikerjakan Salam.

“Kau dah kenapa Salam? Pagi-pagi buta datang kedai aku?” ucap Pak Ali dalam mamai.

"Pak Ali, tolong Pak Ali, Siti nak beranak dah kat rumah tu! Saya nak beli barang Bidan Limah suruh beli." kata Salam dalam kelam-kabutnya.

“Astaghfirullahalazim. Bidan Limah?” terbuntang mata Pak Ali.

“Er, ya lah, Bidan Limah. Kenapa Pak Ali?”

“Dah, tinggal basikal kau! Mari naik motor aku!”

Beristighfar panjang Pak Ali mendengar nama Bidan Limah. Segera dia menarik tangan Salam dan mencapai kunci motornya.Salam yang sedikit terpinga-pinga hanya mengikut seperti orang dungu.

“Barang-barang tu macam mana Pak Ali?”

“Biar dulu!” tegas Pak Ali menjawab.

Yela mana tak datang dungunya, dia nak beli barang tapi lain pulak yang orang tua ni buat. Salam membonceng bersama Pak Ali tanpa banyak soal. Lelaki setengah abad itu menekan minyak, memecahkan kesunyian malam.

Sesampainya di rumah Pak Ali terus melompat dari motor dan secara tergesa-gesa masuk ke rumah Salam.

“Allahuakbar!” Pak Ali bertakbir.

Salam jatuh terduduk. Pucat mukanya.

Siti terbaring, dengan kangkang yang terbuka luas. Perutnya terburai, bayinya yang masih merah hanya tinggal cebisan daging dan tulang. Siti sudah tidak bernyawa. Sudah lama kaku.

-------------------

Apa yang nenek aku cerita, Bidan Limah tu dah mati lima tahun lepas, tapi Salam tak tahu sebab dah lama tak jejak kampung. Orang kampung pulak dah tahu, tapi sebab Salam ni tak bertanya, dorang pun tak cakap apa-apa.Lagipun sebab zaman tu, Bidan Kerajaan/ Community Midwife dah wujud. Klinik desa dah wujud. Arwah Bidan Limah ni ada membela, yang selalu duduk kat tangga rumah dia tu belaan dialah. Orang kampung banyak dah tahu sebab tu ramai tak nak lalu depan rumah dia lepas senja. Kebetulan pulak belaan dia dah lama tak makan, si Salam ni pulak boleh bagi Siti kat belaan tu, memang teruklah jadinya.


Tentang Esah pulak, Pak Ali bagitahu yang si Salam ni mana ada jiran, lagipun Esah satu keluarga ni dah lama tak balik kampung. Zaman tu pula ramai duk membela sakalah, apalah, katanya Esah yang Salam nampak ni saka si arwah ayah si Esah. Kasihan si Siti jadi mangsa dua ekor puaka lapar.

Aku tak tahu kesahihan cerita ni. Tapi kau orang, kalau dah lama tak balik kampung tu, bertanya khabar la sekeliling ya. Tak memasal kau keluar mengeteh dengan makhluk lain!

-TAMAT-
Suntingan dan Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: