MADU
Penulis: Mohd Shahiri Abd Ghapar
===========================
Mata Anis yang tertancap pada skrin televisyen pantas beralih memandang ke arah muka pintu apabila telinganya mendengar deruan enjin motokar dari luar.
Dahinya lantas membentuk kerut. Dia hairan. Lalu dia bingkas bangun mendekati pintu.
"Eh, abang? Abang balik ke sini pula hari ni?" Soalan pertama yang terpancul dari mulutnya.
Zaini, suaminya yang baru sahaja muncul dari dalam kereta dan berjalan masuk ke dalam rumah hanya tersengih.
"Assalamu'alaikum..." sapa Zaini.
"Wa'alaikumussalam, bang," kedua-dua tangan dihulur lalu disambut mesra. Belakang tapak tangan kanan Zaini dikucupnya.
"Tak boleh ke kalau abang balik ke sini hari ni?" Duga Zaini pula.
Anis terangguk-angguk. "Boleh tu memanglah boleh, tapi malam ni kan sepatutnya abang balik ke rumah Ina. Nanti apa pula kata dia bang?" Jelas Anis perihal pertanyaan awalnya tadi.
Zaini tergelak kecil. "Ina nak cakap apa? Ini kan rumah abang juga, awak tu kan, isteri abang juga. Ermmm... ada buat minum petang?" Selamba sahaja Zaini membalas tanpa cuba memahami isu yang dimaksudkan oleh Anis.
" Ada. Ada bang, saya buat bubur kacang sikit tadi," jawab Anis terputus-putus. Pemikirannya masih mencerna jawapan balas Zaini tadi.
"Haaa... eloklah tu. Abang nak naik, mandi, solat sekejap. Awak tolong hidangkan bubur tu, kita makan sama-sama," ujar Zaini sambil tersenyum dan kemudian berlalu mendaki tangga ke tingkat atas.
Anis hanya mengangguk beberapa kali. Dia sempat melirik ke arah Zaini. Dalam hati Anis, terdetik rasa gembira kerana suaminya memilih untuk pulang ke rumahnya hari ini.
***
"Astaghfirullahalazim. Masalah negara mana yang kau fikirkan tu Zaini? Jauh betul mengelamun, sampai tak sedar aku masuk ni?" Jefri, rakan sepejabat Zaini menegur sambil menyelit usikan.
Zaini tersedar dari lamunannya tadi. Dia meraup mukanya dengan tapak tangan. Kemudian, dia tergelak sambil tergeleng-geleng.
"Sorry Jef. Aku tak perasan kau masuk tadi. Duduklah, duduk."
"Kau ada masalah, ke ni?" Soal Jefri lagi sebaik melabuhkan punggung di depan Zaini.
Zaini mengeluh. Jelas dapat dilihat daripada reaksinya itu bahawa dia sedang memikirkan sesuatu. Masalah yang cukup besar hingga membuatkan tumpuannya teralih seketika.
"Aku... aku... aku ada problem sikit, Jef," luah Zaini perlahan.
"Come on Zaini. Aku kan kawan kau. Ceritalah pada aku, mana tahu aku boleh tolong kau apa yang patut," Jefri tidak putus-putus menawarkan bantuan.
Zaini terdiam. Dia hanya merenung Jefri untuk seketika. Selepas itu, barulah dia membuka mulut meluahkan masalah yang menghimpitnya kebelakangan ini.
"Kau bayangkan Jef, tiga bulan lebih aku kahwin dengan Ina, tak pernah sekali pun aku dapat bersama dengan dia. Bila aku nak tidur sebelah dia, bau busuk lebih teruk daripada bangkai menusuk-nusuk dalam hidung aku ni. Sampai Ina pernah merajuk dengan aku, sebab tak sentuh dia langsung."
"Makan, minum semua yang Ina buat untuk aku, semua aku tak boleh telan. Sama ada aku akan terus muntah lepas makan, kalau tak pun, aku akan cirit-birit. Bukan sekali dua nak cakap benda tu semua kebetulan. Tapi macam tiap-tiap kali aku balik rumah Ina, akan jadi macam tu," sambung Zaini lagi.
Ternyata masalah yang difikirkannya tadi sungguh berat. Jefri yang mendengar pun sampai terlongo; antara terkejut dengan takut. Sukar untuk dia percaya tapi susah juga untuk dia menolaknya.
"Habis tu, kau tak mengadu atau selidik daripada Ina sendiri?" Tanya Jefri berminat untuk mengetahui lebih lanjut.
"Aku nak tanya macam mana? Aku tak tahu nak tanya macam mana. Hati dia pun aku kena jaga. Aku pernah cakap aku terhidu bau busuk dalam bilik tidur tu, dia kata dia faham. Lusanya, waktu nak tidur aku tengok dia mandi, berwangi-wangi tapi bau busuknya ada juga bila dia baring dekat sebelah aku."
"Berat masalah kau ni Zaini. Susah juga aku nak bagi pandangan. Ermm... tapi kau tetap balik rumah Ina, kan?"
"Balik memang balik, tapi itulah. Aku memang tak boleh nak dekat langsung dengan dia. Dalam sebulan lebih ni aku tidur dekat sofa. Peliknya, waktu-waktu lain bau tu tak ada. Cuma waktu nak tidur barulah bau tu muncul. Aku pun tak faham, Jef."
"Kelmarin aku dengan Ina bergaduh, Ina dah tak tahan. Katanya, aku balik ke rumah tapi tak macam ada di rumah. Sampaikan dia cakap, baik aku tak payah balik ke rumah dia lagi. Sebab itu semalam aku balik ke rumah Anis," jelas Zaini lagi.
Jefri kelihatan terfikir-fikir sesuatu. Jari mengurut-urut dagu. Dia ada satu teori tapi dia risau untuk memberitahu Zaini. Bimbang Zaini tidak dapat menerima.
"Sebab itulah aku serabut sikit sekarang," keluh Zaini.
"Anis baik-baik saja dengan Ina, kan? Anis tak dengkikan Ina, kan?" Tiba-tiba soalan itu diajukan oleh Jefri.
Zaini terpanar. Dia tidak terfikir pula semua yang terjadi terkait pula dengan Anis atau orang lain. Zaini cepat-cepat membantah. "Ish, aku percaya pada Anis. Dia restu aku kahwin dengan Ina dulu. Semalam pun, bila aku tak balik rumah Ina, dia dah cemas, risau Ina fikir bukan-bukan pasal dia."
"Kalau macam tu, entahlah. Susah juga nak cakap. Ermm.. tapi nasihat aku, kau baliklah rumah Ina, pujuk dia. Dia tertekan, sebab tu boleh naik marah macam hari tu. Kau kenal Ina tu macam mana, kan?" Nasihat Jefri setakat yang termampu.
Zaini pula diam. Dia mempertimbang saranan Jefri. Dan akhirnya dia mengangguk. "Esok aku baliklah ke rumah Ina macam biasa."
***
Zaini balik dulu ke rumah Anis hari ini, seperti aturan biasa. Sehari dua ini, dia rasa senang sekali kalau dapat balik ke rumah Anis.
Ketika dia berdiri di depan muka pintu, dia nampak Anis sedang bercakap-cakap di telefon dalam nada berbisik. Sebaik sahaja Anis melihat Zaini, cepat-cepat dia mematikan panggilan dan terus meluru menyambut suaminya di muka pintu.
"Amboi, khusyuk bercakap dalam telefon sampai tak sedar abang balik. Siapa tadi tu? Cakap pun macam bisik-bisik je."
Wajah Anis berubah. Ada riak takut-takut menyembunyikan sesuatu. "Err... haaa... kawan Anis tu bang. Tak ada apa-apa pun."
Zaini angguk. Kedua-dua mereka berjalan seiring menuju sofa di ruang tamu. "Hari ni Anis masak apa untuk minum petang?"
"Kuih lepat pisang je bang. Abang mandi dulu, nanti Anis hidangkan."
"Sebab itulah abang seronok balik ke sini. Anis tahu benda yang abang suka. Ina tu kena banyak lagi belajar daripada Anis," tutur Zaini selamba lalu tersengih.
"Ish... abang ni. Tak baik cakap macam tu, kalaulah Ina dengar, boleh kecil hati dia," balas Anis, walaupun sebenarnya hatinya sendiri sedang kembang berbunga mendengar pengakuan Zaini tadi.
"Abang cakap benda betul".
Anis hanya tersenyum. Zaini dilihatnya terus ke atas. Dia langsung sahaja ke dapur. Kepulangan Zaini dan layanan suaminya menambah kegembiraan kepada Anis hari itu.
***
"Assalamualaikum. Ina... Ina..." Zaini memberi salam dari luar rumah. Sengaja dia menunggu tidak terus masuk walaupun pintu sudah terbuka luas. Dia ingin Ina yang menyambutnya.
Ina datang tergesa-gesa dari dapur. Selepas menjawab salam, dia menghadiahkan senyuman kepada suaminya. Zaini membalas. Keadaan mereka seperti biasa sahaja meskipun beberapa hari sebelum itu berlaku sedikit perselisiham faham antara mereka.
Zaini mengajak Ina duduk di sofa. Ada sesuatu yang ingin disembangkan.
"Abang nak minta maaf pada Ina sebab tak balik ke sini kelmarin," ucap Zaini.
Ina tunduk. " Ina yang patut minta maaf pada abang sebab cakap yang tak sepatutnya pada abang. Sampai abang jauh hati."
Zaini tergelak. Dia tahu Ina sememangnya wanita yang baik. Sebab itulah dia mengahwini Ina dulu.
"Ina tak payah risau. Abang dah maafkan. Lupakanlah ya perkara yang berlaku tu. Ermm... jom kita keluar makan?" Ajak Zaini, menambah intipati urusan memujuk isteri keduanya itu.
"Sekarang? Tapi Ina dah buatkan minum petang untuk abang. Ina buat lepat pisang, abang suka, kan?" Ina teruja.
"Lepat pisang? Abang baru makan lepat pisang semalam dekat rumah Kak Anis. Jemulah. Tak apa, kita keluar makanlah hari ni, okey?"
Ina terdiam dan selepas dia hanya mampu mengangguk. Dia membenarkan Zaini berlalu naik ke atas bilik.
"Semalam waktu aku telefon Kak Anis tanya pasal abang, Kak Anis tak cakap pula dia dah buatkan lepat pisang," Ina bercakap sendiri meluahkan kekecewaannya.
***
"Abang okey ke tak ni? Kalau tak okey, biar Ina yang drive," soal Ina berkali-kali kepada Zaini dalam perjalanan balik ke rumah selepas rencana makan malam yang bertukar tragedi tadi.
Di restoran, sebaik sahaja makanan dan minuman yang dipesan tiba di meja mereka, Zaini jadi loya secara tiba-tiba. Bersungguh-sungguh dia menahan diri daripada ingin termuntah di depan meja. Berkali-kali dia keluar dan masuk tandas apabila rasa loya menekan di kerongkongnya. Namun, tiada apa-apa pun yang keluar.
Akhirnya selepas hampir setengah jam menahan diri, Zaini menyerah. Makanan dan minuman diminta untuk dibawa balik sahaja. Dia sudah biasa mengalami masalah itu apabila bersama-sama Ina tetapi dia tidak menduga pula kesannya sehingga ke kedai makan di luar.
Ina pula menyangka Zaini tidak sihat badan. Dirinya cuba menafikan kenyataan bahawa ada sesuatu yang membuatkan Zaini mengalami masalah yang sama apabila berada berdekatannya, sejak mereka mula berkahwin dulu lagi.
"Abang okey, abang bukannya tak sihat. Tapi entahlah..." ayat Zaini tidak mampu dihabiskan.
Ina terdiam. Kekecewaan semakin terasa. Keadaan di dalam kereta menjadi sunyi sepi sepanjang perjalanan pulang ke rumah.
Malam itu Zaini mencuba lagi untuk kesekian kalinya. Saat dia menapak masuk ke dalam bilik tidur, aroma harum minyak wangi begitu kuat menyenangkan hidungnya. Ina sedang duduk di hujung katil, membelakangkan pintu.
"Wanginya," puji Zaini sebaik sahaja duduk di atas katil, di sisi Ina.
Dia hairan kerana Ina hanya diam sejak dia masuk ke dalam balik tadi. "Ina, kenapa diam je ni?" Soalnya lalu menepuk lembut bahu Ina dari belakang.
Ina berpaling perlahan-lahan dan terus memandang ke arah Zaini.
Zaini terlompat bangun dari katil. Jantungnya seperti ingin gugur. Dia terus berlari keluar dari bilik. Ina yang dilihatnya itu bukan isterinya. Itu lembaga tidak bermuka.
"Abang? Kenapa ni?" Ina yang kebetulan baru selesai kerja-kerja di dapur menjadi panik apabila melihat Zaini dalam ketakutan.
"Abang... Abang... errmm.. tak ada. Tak ada apa-apa," dalih Zaini.
Ina pelik dengan kelakuan Zaini. Wajah pucat Zaini yang berkeringat membuatkan dia masih tertanya-tanya. Namun, dia hanya memendamnya.
"Jomlah kita naik bilik," ajaknya.
"Bilik?" Soal Zaini semacam tidak percaya.
"Abang tak nak tidur lagi, ke?"
"Oh, okey. Yalah, yalah. Marilah."
Dia teragak-agak untuk masuk semula ke bilik itu. Andai kata ada lagi makhluk tidak bermuka itu menggangu mereka berdua? Tetapi dia hanya menurut Ina dari belakang. Ketika mereka masuk ke dalam bilik, Zaini memandang ke sekeliling ruang bilik tidur. Lega. Mungkin makhluk yang dilihatnya itu tadi sekadar khayalannya.
Namun, niat mereka untuk tidur sekatil belum juga dapat kesampaian. Bau busuk umpama bangkai yang mengganggu deria bau Zaini muncul secara tiba-tiba. Bau itu memenuhi seisi ruang bilik tidur itu.
"Maafkan abang Ina. Sumpah, abang tak tahan. Abang bukan sengaja nak buat Ina macam ni" Zaini tulus mengucapkan maaf itu.
Ina terlalu sedih. Dia terus menangis. Dia sudah menjangkakan perkara yang sama akan berlaku. Biarlah banyak manapun pewangi atau bunga-bungaan di dalam bilik itu, apabila tiba waktu mereka berdua-duaan, bau busuk itu muncul entah dari mana.
"Abang tidurlah di bawah. Maafkan Ina sebab tak dapat tunaikan tanggungjawab sebagai isteri pada abang."
Zaini terdiam. Dia kecewa. Dia bingung. Kata-kata Jefri semalam terngiang-ngiang di telinganya.
"Ada sesuatu yang tak kena dengan aku dan Ina," tuturnya dari dalam hati.
Dia cuba untuk lelap di atas sofa, tempat tidur yang sama hampir setiap kali dia pulang ke rumah Ina. Namun, dia gagal untuk lena diganggu fikiran yang kusut memikirkan tentang dia dan Ina.
Tiba-tiba dia rasa seperti ada sesuatu yang berdiri di belakang kepalanya. Zaini dongak perlahan-lahan dan terus sahaja dia bangun menggelupur. Lembaga tidak bermuka seakan-akan Ina di dalam bilik tadi muncul semula.
"Kau nak apa hah, setan? Jangan kacau aku. Pergi!" Pekik Zaini dengan suara yang terketar-ketar menahan takut dan marah dalam masa yang sama.
Lembaga itu terus lenyap. Zaini terduduk semula di sofa. Badannya basah berpeluh. Zaini bangun dan terus ke dalam bilik. Dia segera menukar pakaian. Ina yang baru sahaja terlena terjaga apabila tersedar Zaini ada di dalam bilik.
"Abang nak pergi mana ni?" Tanyanya lembut.
Zaini diam tidak mempedulikan pertanyaan Ina. Entah kenapa, dadanya penuh dengan perasaan marah terhadap Ina.
"Dah lewat ni bang. Abang nak pergi mana?" Soal Ina seraya bangun mendekatkan diri kepada Zaini.
"Arhhh... Kau jangan sibuk boleh tak, suka hati akulah nak pergi mana," tiba-tiba Zaini naik berang dan menolak Ina jauh daripadanya.
Ina jatuh di atas katil. Dia terkejut dengan tindakan Zaini. Namun, dia hanya mampu menangis.
"Aku nak balik rumah Anis. Duduk sini aku rasa tak tenang! Panas, bau busuk, ada hantu kacau aku!" Tambah Zaini dan terus berlalu meninggalkan Ina dan rumah itu.
***
"Bangun pun. Lama juga abang tidur. Itulah, pagi-pagi buta keluar rumah, nak balik ke sini. Sampai demam jadinya," rungut Anis ketika dia menukarkan tuala basah yang dipedap ke dahi Zaini.
Pukul 3 lebih tadi Zaini mengetuk pintu. Entah apa sebabnya Zaini pulang begitu awal dari rumah Ina, Anis sendiri pun tidak pasti.
Zaini terbatuk-batuk. Hidungnya rasa kurang selesa dek hingus yang menyumbat. Telinganya rasa berbahang. Demamnya masih belum reda.
"Abang rasa selesa duduk di sini. Ada Anis yang jaga abang," ujar Zaini dan kemudian terbatuk-batuk.
"Ina pun boleh jaga abang. Ermmm... Kalau ya pun, nak balik ke sini, tunggulah hari siang dulu. Mujur tak jadi apa-apa, kalau tak, siapa yang susah? Kami berdua juga, abang oi," leter Anis lagi namun disambut dengan senyuman sahaja oleh Zaini.
"Abang rehat dulu. Nak apa-apa abang panggil Anis ya? Anis nak masak sekejap. Abang tahu kan? Mak abang ada di bawah tu, baru sampai. Tadi Anis yang pergi ambil mak dekat stesen bas."
Mata Zaini bulat. Dia tidak tahu pula ibunya berniat untuk menziarah. Dia hanya menggangguk. "Nantilah abang pergi jumpa mak. Pening pula rasanya ni."
Anis angguk dan kemudian berlalu meninggalkan Zaini untuk berehat. Dia turun ke bawah menuju ruang tamu. Kelihatan ibu mentuanya, Salmah sedang duduk berehat.
"Macam mana dengan Zaini, Anis? Kebah dah demamnya?" Soal Salmah apabila dia menyedari Anis tiba.
"Dah kurang sikit, tapi abang mengadu pening. Anis biarkan abang rehat dulu sebab Anis nak masak sekejap."
"Yalah. Tak apa, pergilah buat kerja Anis. Kamu memang menantu mak yang bagus. Pandai jaga suami," puji Salmah.
Hati Anis berbunga-bunga. Dia gembira dipuji mentuanya.
Sepeninggalan Anis, Salmah menyeluk sakunya mengambil telefon bimbit. Nama seseorang dicari dalam senarai yang ada. Lalu ditelefonnya.
"Lama sangat dah aku tunggu. Dulu kau cakap sebulan, ini dah nak masuk empat, lima bulan. Anak aku tak bercerai pun lagi dengan perempuan tu," marahnya kepada orang di dalam telefon.
Dia diam seketika mendengar jawapan balas orang itu.
"Betul, memang sekarang ni aku tengok anak aku dah tak tenteram duduk di sana tu. Tapi, aku memang tak suka langsung dia balik ke rumah bini muda dia. Aku nak mereka berdua ni bercerai. Putus, takda hubungan terus," tambahnya lagi bersungguh-sungguh.
Lawan berbualnya memberi jawapan balas. Dia mendengar sambil beberapa kali mendecit. Tidak berpuas hati.
"Aku tak kira. Berapa harganya, apa cara sekalipun. Kau buat sampai Zaini dengan budak Ina tu bercerai. Bercerai, kau faham tak? Aku tak suka perempuan tu jadi menantu aku!" Nyaring suara Salmah memberi arahan.
"Mak!" Zaini memekik memanggil ibunya apabila dia mendengar kata-kata Salmah.
Salmah tergamam. Telefonnya terlepas dan terus jatuh ke lantai. Dia tidak sedar langsung Zaini ada di belakangnya sewaktu dia bercakap dengan bomoh tadi.
"Zaini. Err... Kamu betul ke dah sihat ni?" Tanya Salmah dengan teragak-agak. Dia cuba berdalih.
"Sampai hati mak sanggup buat Zaini dengan Ina macam ni, mak. Apa salah kami, mak?" Zaini inginkan penjelasan.
Salmah tahu dia tidak boleh berselindung lagi. Wajahnya yang takut-takut tadi terus berubah serius. "Aku dah cakap dari dulu, aku tak suka kau nikah lagi satu. Kau tak dengar cakap aku."
"Tapi Ina tu orangnya baik, mak. Lagipun, saya mampu. Anis pun dah bagi izin, mak," Zaini tidak mampu menahan sedih dan kecewanya. Hatinya luluh.
"Kalau Anis setuju pun, kau rasa dia bahagia bila kau terpaksa bahagi perasaan kau jadi dua? Aku ni perempuan, aku faham perasaan perempuan, Zaini. Kau tak ingat apa arwah ayah kau dah buat pada mak ni?" Pekik Salmah membela diri.
Anis terkocoh-kocoh datang dari dapur apabila mendengar anak-beranak itu bertengkar. Pada mulanya dia tidak begitu faham situasi yang berlaku namun selepas itu dia mula mengerti.
"Zaini bukannya macam arwah ayah, mak. Mak dah didik Zaini dari kecil supaya hargai, hormat perempuan. Sebab itulah Zaini ambil Ina tu jadi isteri. Zaini nak bantu dia, Ina tu sebatang kara, mak."
"Aku tak pedulilah dia tu siapa, tapi aku memang tak suka. Kalau boleh aku nak kau bercerai dengan dia hari ni juga," tinggi suara Salmah menyatakan pendirian.
"Astaghfirullahalazim mak. Mengucap mak. Apa mak cakap ni?"
Salmah diam. Dadanya berombak-ombak. Bibirnya bergerak-gerak. Dia geram.
"Zaini tak akan ceraikan Ina. Dia tak salah, mak?"
"Jangan degil Zaini. Sebab kau tak dengar cakap akulah, kau dengan dia tak bahagia sampai hari ni. Kau ingat aku tak tahu, sampai sekarang ni, kau dengan Ina tak pernah bersama macam laki bini yang lain?" Bentak Salmah.
Zaini diam. Dia mula tahu penyebab hubungan dia dan Ina menjadi tidak tenteram. Benar telahan Jefri tentang orang yang dengki akan perkahwinan dia dengan Ina.
"Kau fikirlah. Aku nak balik! Sia-sia aku datang dari jauh nak jumpa anak aku. Tapi dia langsung tak hormat pun aku ni, mak dia!"
Salmah menarik beg pakaiannya dan laju melangkah keluar.
"Anis, hantarkan mak ke stesen bas," pinta Zaini kepada Anis.
Walaupun Salmah berkeras terhadapnya, sayang Zaini pada Salmah masih kuat.
Anis angguk dan terus meluru mendapatkan Salmah yang sudah baru sahaja ingin keluar dari kawasan rumah.
Zaini hanya mampu memandang ibu dan isterinya bergerak keluar dari kawasan rumah dari jauh.
Dalam hatinya, dia menangis. Kenyataan yang baru diketahuinya tadi membuatkan dia terlalu kecewa. Dia serba salah. Dia tidak tahu apa yang patut dia lakukan.
Yang pasti, dia tidak akan sama sekali menjadikan Ina mangsa keadaan. Perbuatan sihir yang dikenakan kepada dia dan Ina perlu dihentikan. Zaini harus mendapatkan bantuan. Dia sayangkan Ina, sama seperti perasaannya kepada Salmah dan Anis. Dia tidak mahu berpisah daripada ketiga-tiganya.
Zaini menarik nafas dalam-dalam. Dia terus lagi berfikir mencari jalan penyelesaian.
*TAMAT*
Nota penulis:
Maaf penutup bahagia tidak dinyatakan secara literal dalam cerita ini. Tapi, insya-Allah Zaini & Ina bahagia selepas itu. 😁
No comments:
Post a Comment