Monday, 11 December 2017

PENUMPANG MALAM - Iskandar Zulfaqar


PENUMPANG MALAM
Oleh Iskandar Zulfaqar

===========================
“Cepatlah sikit membeli tu. Dah malam ni. Nanti mak awak risau.”
Aku membebel kepada tunangku yang tidak habis-habis memilih barang-barang perkahwinan padahal sudah hampir tiga jam kami berada dalam kedai tersebut. Pekerja-pekerja kedai perkahwinan itu pun sudah mula bosan melayan karenah tunang aku ni. Jika pada awal kami masuk tadi, mereka sibuk mempromosikan barangan itu ini, siap tawarkan harga diskaun lagi tapi apabila dah nak masuk tiga jam ni, mereka pun dah mula kebosanan. Dibiarkan saja tunangku memilih seorang diri.
Aku pula dari tadi asyik mengarahkan tunang aku tu supaya cepat. Itulah antara tabiat tunang aku. Kalau dapat shopping tu memang dah tak ingat dunia. Aku risau jika mak dia bimbang kerana hari sudah larut malam dan kami masih belum pulang. Lagipun tidak molek untuk kami pulang lewat malam kerana kami belum diikat secara rasmi dengan tali perkahwinan walaupun mak tunang aku ni dah bagi keizinan kepada kami untuk membeli kelengkapan perkahwinan selepas habis kursus perkahwinan. Jadi, habis je kursus tu, terus aku bawa dia datang shopping kat sini. Maklumlah perkahwinan kami akan berlangsung seminggu dari sekarang. Memang banyak nak kena beli.
“Yelah. Sekejap je lagi ni,” jawab tunang aku sambil terus memilih design pelamin yang akan ditempahnya nanti.
Dia punya sekejap tu sebenarnya lama. Setengah jam kemudian barulah dia selesai memilih design pelamin tersebut dan barulah kami boleh pulang. Sebelum terus pulang ke rumah, kami singgah solah Maghrib terlebih dahulu memandangkan waktu Maghrib telah lama masuk.
Seusai solat, kami meneruskan perjalanan pulang. Aku tak tahu kenapa hatiku agak kurang sedap. Rasa seperti ada sesuatu yang tak kena. Aku teringat kata-kata mak suatu ketika dulu. Mak pernah pesan jangan mulakan perjalanan pada peralihan waktu, tak baik. Mungkin sebab itulah hati aku berasa kurang enak sekarang. ‘Ah! tak kisahlah. Lagipun tu kepercayaan orang tua-tua. InshaAllah takde apa-apa.’
Walaupun aku sudah cuba sedaya-upaya untuk bertenang namun rasa tak sedap hati itu masih kuat menerpa. Ini membuatkan aku terdiam sepanjang perjalanan pulang ke rumah.
“You ok ke ni? Kenapa you diam je? You ada masalah ke? Ke you marah I?” Tunang aku mula perasan perubahan yang dialami pada diriku.
“Takdelah. I tak marah you pun. I ok je. Jangan risau. Takde apa-apa pun.” Aku cuba menyembunyikan rasa tak sedap hati tersebut.
“Kalau you ok takpelah. janganlah diam. Tadi you ok je tapi sekarang you macam moody je? Mood swing ke apa you ni?”
“Takdelah. I cuma letih je. I ok lah!” Aku masih kuat menyembunyikan perasaan sebenar aku. Aku sengaja berbuat begitu kerana aku tidak mahu tunang aku rasa bimbang. Maklumlah dah nak dekat tarikh perkahwinan, nanti hilang seri pengantin pula. Jenuh aku nak cari Mak Andam Saleha yang kisahnya pernah ditulis di page Arkeb Angker Negara tu. Mahal pengerasnya. Aku tak kisah sangat kalau pengeras mahal sebab aku rasa aku boleh je bayar.
Macam mana kalau si Mak Andam Saleha ni tak nak pengeras duit? Macam mana kalau dia nak badan aku sebagai pengeras seperti Razif yang menjadi mangsa nafsu serakahnya? Korang faham lah kan Mak Andam tu tak padan dengan tua nafsu menggunung. Nauzubillah! Minta simpang tujuh keturunan aku daripada berhubungan kelamin dengan pengabdi syaitan seperti Mak Andam ni.
Perjalanan kami menuju ke rumah tunang aku berjalan dengan lancar. Alhamdulilah! Aku mengurut dada tanda syukur. Sekurang-kurangnya amanah yang diberikan oleh ibu bapanya untuk aku menjaganya hari ini sudah aku penuhi. Dia juga selamat aku serahkan kepada mereka kembali hari ini. Aku singgah sebentar untuk bersalaman dengan ayahnya dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah.
Aku ingat semua dah selesai tapi kiraanku salah. Baru lebih kurang separuh kilometer perjalanan aku melepasi rumah tunangku itu, dengupan jantungku kembali kuat. Rasa tak sedap hatiku kini memuncak. Aku betul-betul rasa takut secara tiba-tiba. Aku tak tahu pun apa yang aku nak takutkan. Tapi aku memang rasa takut sangat. Korang yang tengah baca ni pernah tak rasa macam tu?
Takde apa kot. Aku terus positif dan meneruskan perjalanan. Untuk menghilangkan rasa gusar tersebut, aku masukkan vcd lagu dangdut Indonesia ke dalam pemain vcd yang terletak bersebelahan dashboard. Sengaja aku tinggikan volume sambil melayan lagu ‘Aduh Abang Roni’. Tujuan aku cuma satu iaitu untuk menghilangkan rasa tidak sedap hatiku ini.
Aku melihat kiri kanan jalan. Kali ni aku betul-betul cuak. Aku telah memasuki kawasan kebun kelapa sawit yang terletak tidak jauh daripada kampungku. Ya. Lebih kurang 4 kilometer lagi akan sampai kampungku. Namun, aku harus melalui kawasan kelapa sawit tersebut terlebih dahulu. Keadaan di situ sangat gelap. Hanya terdapat dua tiang lampu sepanjang kebun kelapa sawit tersebut. Nasib aku juga kurang baik kerana hanya terdapat kereta aku yang melalui kawasan itu.
Aku sedar aku harus merendahkan volume lagu dangdut yang tengah dimainkan sekarang. Aku pun berbuat demikian dan meneruskan pemanduan seperti biasa. Tiba-tiba saja keretaku terasa berat sangat. ‘Ah sudah! enjin buat masalah lagi lah ni. Jangan macam-macam dengan aku wahai kereta, dah lah kawasan macam ni kau nak main-main pun.’
Aku tetap terus menekan pedal minyak walaupun berat. Mungkin korang tak faham kan berat tu macam mana. Berat yang aku maksudkan ialah korang cuba bayangkan korang memandu dengan tiga belas orang badan besar-besar dalam kereta macam tu lah rasanya. Aku sedang memandu dalam gear 4 ketika itu namun pergerakan sangat perlahan dan bunyi enjin sangat kuat seperti dalam gear satu.
“Ya Allah! Janganlah buat masalah time ni.” Aku cuma mampu berdoa supaya keretaku ini tidak membuat masalah dan kembali normal seperti sediakala.
Aku tidak menjangkakan apa-apa perkara pelik kerana keretaku ini juga sudah lama jadi sudah biasa jika kereta ini membuat masalah. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti di bahu jalan. Aku memeriksa bahagian tayar, semuanya elok. Aku periksa pula bahagian enjin, elok juga. Air bateri, air enjin semuanya masih dalam keadaan elok. Pelik! Pening aku memikirkan apa sebenarnya yang terjadi.
Ketika aku memeriksa bahagian enjin buat kali kedua, sebuah kereta datang dan berhenti di hadapan keretaku. Pemandunya turun dan menegur aku. Aku risau juga kalau-kalau dia datang nak rompak aku. Kalau nak rogol aku tak lah kot sebab aku ni lelaki. Tapi apabila dia turun dari kereta barulah hatiku selesa sedikit. Orangnya kelihatan baik. Berkemeja kemas seperti orang baru pulang dari kerja.
“Assalamualaikum bang. Ok ke kereta?” Sapa orang itu kepadaku.
“Waalaikumsalam. Entah lah. Tiba-tiba buat masalah pula. Tadi elok je. Tiba-tiba rasa berat.”
“Oh ya ke. Saya akan tolong abang. Anak ok ke bang? Panggillah turun. Kesian dok dalam kereta sorang-sorang. Enjin tak pasang, pintu tingkap semua tutup nanti panas dia dalam tu.” Kebetulan aku memang mematikan enjin dan menutup semua pintu serta tingkap kerana aku berada di bahagian bonet hadapan kereta untuk memeriksa enjin.
Aku memerhati tepat muka lelaki itu. Sejak bila pula aku ada anak. Dan bagaimana pula lelaki tu boleh cakap ‘anak’ aku ada dalam kereta. Pelik sungguh ni.
“Maaf abang. Saya sorang je ni. Saya mana ada anak. Abang salah tengok kot,” aku menerangkan kepada lelaki itu.
Lelaki itu terus mengerutkan muka kehairanan. Dia tidak membalas kata-kataku dengan sebarang perkataan. Dia terus menjengok ke dalam keretaku di bahagian belakang dan cuma dua perkataan keluar daripada mulutnya. “Ya Allah!”
Lelaki itu membuka luas keempat-empat pintu keretaku dan membaca ayat kursi kemudian ditiupnya ke seluruh bahagian keretaku. Dia seterusnya mengarahkan aku untuk menghidupkan enjin dan mangarahkan aku untuk mencuba memandu. Macam tak percaya rasa berat sebentar tadi hilang sepenuhnya. Kereta aku pulih seperti biasa.
“Saya berhenti sebab saya nampak ada budak kat seat belakang kereta abang. Budak tu duduk betul-betul belakang seat pemandu. Budak lelaki! Saya kasihan tengok dia sebab tu lah saya berhenti jika saya boleh bantu. Saya ingatkan anak abang tak sangka rupa-rupanya ‘penumpang kecil’ tu benda lain,” jelas lelaki itu.
Lelaki itu juga menasihatiku supaya selalu beringat dan jangan sesekali leka kerana jin dan syaitan mudah menyesatkan manusia yang leka. Aku mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu dan meneruskan pemanduan pulang. Sepanjang perjalanan mulutku terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan pemain vcd aku juga aku sumbatkan dengan vcd ruqyah yang ada dalam keretaku. Sampai hari ini aku tak habis fikir anak kecil siapalah nak memandai tumpang kereta aku. Hairan!
TAMAT
=========================
Suntingan dan Gambar
Editor, Arkib Angker Negara

=========================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.

Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: