Flakka
Oleh: Gongpal Topek
Malek pulang ke rumah. Letih lesu. Perjalanan memandu lori dari Melaka ke Pulau Pinang pergi dan balik, sangat memenatkan. Dia mengambil keputusan untuk balik hari sahaja, selepas memikirkan jadual tugasnya yang sangat ketat. Bekerja empat hari, kemudian cuti dua hari. Jika dia mengambil keputusan untuk pulang keesokan hari, sudah pasti ada penghantaran yang perlu dibuat pada sebelah petang. Jadi, Malek tiba di Melaka malam buta, kira-kira dua pagi, di rumahnya.
Itulah tugas Malek, sebagai pemandu lori untuk syarikat AirLund Solution, membekalkan cecair solusi atau gas kompak, untuk kegunaan industri. Entah apa nasib, pagi itu, dia dan rakan sekerjanya, Mustafa, ditugaskan untuk membekalkan produk itu kepada klien di Pulau Pinang. Semenjak tiga bulan bekerja di situ, dia hanya diamanahkan untuk penghantaran di kawasan-kawasan berdekatan selatan, atau paling jauh yang pernah dibawanya adalah ke Nilai. Ini adalah pertama kali dia bertugas untuk jarak jauh. Tambahan pula, mengendalikan proses pemindahan cecair solusi ke tanki klien masih belum dikuasai sepenuhnya. Mustafa mengepalai tugas tersebut, manakala dia lebih banyak memandu ketika perjalanan mereka pergi dan pulang tadi.
Malek, anak tunggal dalam keluarga. Ayahnya sudah pergi menghadap Ilahi, semenjak dia di bangku sekolah. Memandangkan mata pencarian keluarga bergantung sepenuhnya pada ayahnya, kematian ayahnya telah mengubah seratus peratus cara hidup dia dan ibunya. Malek mengambil keputusan untuk berhenti belajar ketika berada di tingkatan empat, dengan niat untuk mencari rezeki membantu ibunya. Keputusan yang sentiasa dibangkang oleh ibunya, tetapi dia bertegas. Apalah sangat pendapatan mengambil upah menjahit baju di kampung, untuk menyara hidup mereka berdua. Itulah yang sentiasa dia fikirkan. Melihat ibunya merintih tangis pada malam hari ketika dia sedang pura-pura tidur, menguatkan azamnya untuk berhenti bersekolah dan membantu ibunya mendapatkan wang supaya mereka dapat meneruskan hidup dengan lebih selesa.
Syukur, setelah bekerja lebih lima tahun, Malek dapat menyimpan wang untuk mengambil lesen memandu lori. Dia lulus dalam sekali percubaan. Berkat doa ibunya juga, dia memulakan kerja sebagai pemandu lori di sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit. Sedikit jauh dari rumahnya di Bandar Hilir, tetapi dia sanggup. Namun, dia mengambil keputusan untuk berhenti selepas enam bulan kerana tidak serasi bekerja dengan pengurusnya.
“Itulah, ibu dah cakap. Kalau kamu masih bekerja di ladang kelapa sawit tu, tak jadi masalah dari segi masa. Ulang alik kilang dan ladang saja. Ini, sampai ke Pulau Pinang. Memang susah, nak,” ujar ibunya, yang tiba-tiba keluar dari bilik. Mungkin bunyi motosikalnya telah membuatkan ibunya terbangun dari tidur pada pukul 3 pagi itu.
“Alah, mak. Bukan situ saja tempat cari rezeki. Malek lagi selesa kerja macam ni. Kawan-kawan pun rapat dan sekepala. Ini kerja kat sana, duduk sendiri saja. Tak habis-habis cari salah kita. Baik kerja tempat lain.”
“Kamu jangan ikut sangat darah muda tu. Kena banyak bersabar. Mana ada rezeki, kita ambil. Ibu bukan apa. Memandu jauh-jauh ni. Kalau kemalangan, macam mana? Ibu risau, Lek.” Malek, dalam kepenatan, berpusing ke arah ibunya, lalu memegang erat tangan si tua itu. Penuh dengan kedutan dek dimakan usia. Melihat tepat pada mata wanita yang sudah semakin dianjak usia.
“Ibu, ibu kena percaya dengan Malek. Ibu sayang Malek, Malek faham. Tetapi, Malek kena kerja keras macam ni, baru hidup kita makin senang, ibu. Kerja di tempat sekarang, lumayan ibu. Inikan pula perjalanan jauh. Memang untung. Ibu jangan risau. Malek akan sentiasa berhati-hati, ya ibu?” Ibu Malek mengangguk lemah, akur dengan pujukan anak tunggalnya itu. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Lebih-lebih lagi, semenjak mendapat kerja tetap sebegini, Malek telah menjadi tunggak untuk mencari rezeki. Dia sudah tua. Mendapatkan wang untuk menjahit, semakin hari semakin sukar di tempatnya.
********
“Lek, kau okay tak ni?” Soal Mustafa, rakan tugasnya. Malek, kelihatan tidak bermaya ketika memandu lori berisi cecair solusi nitrogen itu. Baru tempoh hari mereka berdua memandu ke Pulau Pinang, hari ini mereka diminta ke Ipoh pula untuk penghantaran. Permintaan kerja yang sedikit menjejaskan fokus Malek.
“Eh, aku okay. Kenapa?” Mustafa menggeleng-gelengkan kepala. Mulut cakap lain, tetapi kondisi sebenar adalah berbeza.
“Kau turun RnR lepas ni. Biar aku take-over drive.”
“Eh, Mus. Jangan macam ni. Lagi sejam lagi sampailah. Nanti kau juga yang nak kena handle delivery tu. Aku masih dalam observation.” Malek tidak selesa dengan cadangan Mustafa. Mustafa, sudah lima tahun bekerja di AirLund Solution. Berusia 37 tahun. Walaupun umur mereka berbeza lebih 10 tahun, mereka serasi bekerja bersama. Mungkin, bagi lelaki seperti Mustafa, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Malek sehari-hari patut dipuji. Jarang melihat anak muda 20-an yang serajinnya.
“Kau berhenti saja dulu. Kita bukan lewat pun. Kalau kau nak sambung drive pun boleh. Cuma kita stop sekejap di RnR tu.” Malek akhirnya setuju, walaupun ragu-ragu dengan cadangan yang diusulkan oleh Mustafa. Niat untuk tidak melakukan sesuatu yang merosakkan hubungan rakan sekerja, Malek akur. Tiada ruginya jika berhenti. Jujurnya, dia mengantuk dek kerana keletihan masih berbaki.
“Ha, kau ambil ni. Kau makan, lepas tu teguk air kosong ni.” Mustafa, menghulurkan satu pil yang tidak dikenal pasti apa sebenarnya.
“Eh, apa ni, Mus? Dadah?”
“Syuuhhh! Kau makan sajalah, jangan banyak tanya. Bukan selalu, kan? Kerja memandu lori jarak jauh macam kita, benda macam ni kena sediakan. Bukan untuk diri sendiri saja. Member nampak tak betul, macam kau sekarang ni, memang kena pakai. Baru camni ha!” Mustafa berucap panjang, diakhiri dengan simbol ibu jari di tangannya, menunjukkan maksud bagus.
Malek, masih ragu-ragu. Tidak pernah dia mengambil ‘ubat’ sebegini sepanjang hayatnya. Walaupun belajar tidak tinggi, dia tidak pernah bergaul dengan budak-budak nakal dan akhirnya terjebak dengan jenayah. Perlukah dia menurut sahaja arahan Mustafa, atas dasar kerja?
********
Tugasan di Ipoh berjalan lancar. Malek memandu untuk perjalanan pergi dan balik, tanpa masalah. Rasa yang tidak pernah dia alami selama ini. Kesan ‘ubat’ yang diberi Mustafa, memang menakjubkan. Walaupun sudah pulang ke rumah, dia masih berasa segar. Malam itu, dia tidak tidur walaupun seminit. Sehinggalah kesan dadah itu menghilang dari sistem tubuh badannya. Dia mula berasa penat melampau, usai tiba waktu Subuh. Mula berasa malas untuk menunaikan solat.
“Malek, kau tak tidur lagi? Solat belum ni?” Malek terkejut dengan teguran ibunya, yang tiba-tiba muncul di depan pintu biliknya yang sedikit terbuka. Dia mengangkat kepala, cuba memandang ibunya yang sedang bertelekung. Matanya terbuntang luas.
Manusia bertelekung di hadapannya, sememangnya dikenali. Ibunya sendiri. Namun, siapa pula yang ‘berbungkus’ di tepi ibunya. Malek, teragak-agak untuk menjawab soalan ibunya. Kelibat di tepi ibunya, seperti pocong. Terpacak setia, hanya memandang tajam ke arahnya. Kulit muka hampir mengelupas, dengan nanah ‘menguasai’ wajah. Hijau pekat, mengalahkan hingus yang sedari tadi disedut-sedut Malek dalam hidung.
“Oh, ibu. Nantilah Malek solat. Baru masuk waktu Subuh kan? Lima minit, lagi lima minit Malek bangun. Semalam tak boleh tidur,” jawab Malek, acuh tak acuh. Ibunya menggelengkan kepala.
“Itulah, ibu dah cakap. Kamu degil. Kerja situ, penat.” Ibunya berlalu pergi, meneruskan hajat untuk bersolat. Malek mencuri pandang pintu biliknya. Bantal yang ditekup sedari tadi, kembali disinggahi mukanya. Kelibat ‘gula-gula’ putih itu masih di situ! Entah berapa lama dia tetap dengan posisi menutup mukanya itu. Sedar-sedar sahaja, sudah tengah hari. Subuh entah ke mana, sarapan juga terlepas.
********
“Mus, ada ‘stok’ lagi tak? Aku dah habis dah ni.” Malek mula menunjukkan sikap ketagih terhadap dadah yang diberi secara percuma kepadanya. Mustafa tersenyum sinis. Nampaknya, ‘umpan’ mengena. Walaupun pada dasarnya, Mustafa hanya mahu membantu dalam kerja seharian Malek, tetapi kini Malek sudah mencapai tahap ketagihan. Dia memerlukan ‘benda’ itu, lebih-lebih lagi jika mereka berjalan jauh untuk ke tempat klien.
“Ada, tapi kau kena beli dari aku. Macam mana?” Balas Mustafa. Tiada benda yang percuma selama-lamanya. Itulah peraturan dunia.
“Berapa?”
“Nanti dalam lori aku cerita. Kita share ‘stok’, bayar 50/50. Okay?” Malek mengangguk setuju, tanpa banyak bicara. Sistem tubuh badannya mula ‘dahagakan’ benda terlarang itu, tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
********
80 kilometer sejam. Panduan normal untuk sebuah lori sebesar itu, jika tiada muatan tambahan produk. Malek memandu sepantas yang dibenarkan, memandangkan dia sudah tamat kerja di Perak. Dia mahu segera pulang ke Melaka. Hari ini adalah hari terakhir, sebelum dia bercuti dua hari, seperti kebiasaan. Segar bugar si Malek, selepas mendapat ‘dos’ yang diinginkan pagi tadi. Dia kini bukan sahaja sudah boleh memandu jauh tanpa penat, dia juga sudah mampu mengendalikan proses pemindahan cecair solusi tanpa pemerhatian Mustafa. Mustafa, seperti sudah boleh bersenang lenang sejak akhir-akhir ini. Memandu juga Malek, memindahkan produk juga Malek. Dia bagaikan penumpang kehormat untuk kerja yang sepatutnya dilakukan bergilir-gilir. Ini semua salah satu perjanjian mulut antara Mustafa dan Malek. ‘Stok’ akan diberi lebih, jika dia setuju untuk membayar sama rata, dan membuat kerja lebih.
Terowong Menora. Terowong dua lorong untuk setiap hala itu, sudah terkenal dengan kejadian-kejadian ngeri berkaitan kemalangan jalan raya. Tidak kurang cerita tentang ‘kekerasan’ jalan raya berterowong itu. Jam menunjukkan pukul 8 setengah malam. Malek, memandu di bahagian kiri, selayaknya untuk kenderaan seperti yang dipandunya.
Tiba-tiba, dia terlihat satu kelibat asing di lorong kiri. Dia terkejut, lalu membelok masuk ke lorong kanan secara mengejut. Kereta di lorong kanan, membunyikan hon, tanda protes dengan apa yang dilakukan oleh Malek. Mujur, tiada kemalangan. Mustafa, sedari tadi masih tidur, bangun mengejut. Ditamparnya lengan kiri Malek dek kerana kecuaian rakan sekerjanya itu.
“Kau dah gila, Malek? Masuk lane kanan macam tu?”
“Mus, kau nampak apa yang aku nampak?” Mustafa memandang Malek, yang dalam keadaan terkejut. Mata merah, mungkin kerana kesan dadah yang diambil pagi tadi. Malek, ternyata dalam keadaan kaget.
“Nampak apa? Aku tengah membuta sedap-sedap tadi. Potong betullah kau ni. Bawa elok-eloklah. Lori ni satu hal. Kalau accident, apa nak jawab?”
Malek membisu. Dia pasti, dia nampak jelas kelibat wanita berjubah putih. Muka terlindung kerana ditutup rambut. Kaku di lorong kiri. Menjadi tanda tanya adalah, bagaimana kereta di hadapannya boleh melalui lorong kiri itu? Sudah pasti lembaga itu akan dilanggar. Malek menepuk-nepuk pipinya berulang kali. Cuba untuk ‘mengembalikan’ semangat yang sedikit pudar.
********
“Lek, aku perkenalkan, Majin.” Saling berjabat tangan, Malek bertukar khabar dengan Majin, di rumah usang tinggal itu. Hari cuti mereka berdua. Mustafa membawa Malek berjumpa dengan ‘tokan’ dadah yang menjadi pembekal utama Mustafa. Majin, meminta untuk berbicara sendirian dengan Malek.
Mustafa hanya mengangguk setuju, walaupun ragu-ragu. Selama ini, stok mereka berdua dimonopoli oleh Mustafa. Penipuan dilakukan, tanpa pengetahuan Malek. Biarpun dikatakan 50/50, sebenarnya Malek telah membayar 70 peratus daripada harga sebenar. Penipuan harga oleh Mustafa.
“Bro, apa kata kau ambil stok terus dari aku. Kau percaya sangat dengan Mus, bro,” ujar Majin, nama samaran agaknya. Tidak pernah Malek mendengar nama sepelik itu untuk seseorang yang berbangsa Melayu.
“Aku percaya dia, Majin. Takkan dia nak tipu aku kot.”
“Berapa kau bayar dia? Kau tahu harga sebenar aku open untuk stok kamu berdua?” Malek menggelengkan kepalanya. Jujur, dia hanya membayar. Tidak pernah mempertikaikan setiap transaksi yang dibuat.
“Tak apa, bro. Aku malas nak jadi batu api. Nah, ambil ni. Hadiah. Kau guna ni dulu. Aku bagi free, sebab kesian kau asyik kena tipu. Yang ni effect dia, terbaik. Kau melayang sepanjang hari. Ingat, melayang. Jangan pakai untuk kerja. Pakai masa kau solo di rumah.” Sepaket ‘ubat’ berisi hablur bersaiz sederhana bertukar tangan. Malek tidak pernah melihat dadah seperti itu setakat ini. Berwarna jernih, bukan untuk ditelan semata-mata. Selama ini, hanya dadah berunsur tablet yang pernah Malek gunakan. Suntikan dan sedutan, masih belum dicubanya.
Mustafa memohon untuk pulang awal, setelah merasakan helahnya sudah ‘dihidu’. Majin mengajak Malek untuk terus bersama-sama ‘melepak’ di situ. Melayan ‘high’ bersama-sama kelompok yang hadir. Tempat itu, menurut Majin, tidak pernah diserbu oleh mana-mana operasi setakat ini. Mungkin orang awam terlepas pandang, atau sememangnya sukar untuk mengenalpasti kawasan itu.
********
Berat kepala Malek. Kesan ‘high’ tidak sepatutnya begini. Kelompok yang sebentar tadi sibuk melakukan suntikan dan sedutan, satu persatu mula ‘melayari bahtera’. Menuju ke alam sendiri. Masing-masing puas, ‘meneroka’ kenikmatan tanpa batasan. Malang buat Malek. Dia seperti tidak dapat merasakan kepuasan seperti yang lain-lain. Matanya melilau melihat sekeliling.
Tiba-tiba, ekor matanya menangkap satu pergerakan aneh di ruang dapur, melintas dari pintu ke pintu. Gelap, bagaikan bayang. Cuba digosok-gosok matanya. Kini, dia cuba untuk bangun. Mahu mencari kelibat yang dilihatnya sebentar tadi. Kepalanya berat. Sebaik sahaja berdiri, dia kembali rebah. Kelihatan sesuatu yang baru, di pintu utama. Ruang pintu yang sudah roboh pintunya.
“Pontianak!!!” Jerit kuat Malek. Cuba untuk melarikan diri. Namun, badannya sangat-sangat lemah. Dia mula berasa takut yang teramat. Kenapa hanya dia yang lalui semua ini? Kenapa tiada siapapun yang sedar akan apa yang dia alami?
Dengan kaki yang tidak bermaya, dia bangun perlahan-lahan. Malek cuba menuju ke arah pintu belakang. Cubaan untuk melarikan diri. Dia tersadung kaki salah seorang penagih yang bersandar di dinding, ketika dia cuba melarikan diri. Terjelepuk jatuh ke tanah. Kepala semakin memberat.
Malek cuba berbaring terlentang. Tidak semena-mena, raut wajah yang menakutkan singgah di atasnya. Betul-betul di hadapan mukanya, rupa kelibat itu menjengah, memandang tepat muka ke muka. Darah menitik-nitik dari wajah pontianak itu. Bukan sahaja darah, rupa pontianak itu turut dipenuhi nanah, seperti yang dia perhatikan pada rupa pocong di hadapan pintu biliknya tempoh hari. Malek menjerit sekuat-kuat hati. Meracau bagai orang gila.
********
Telefon bimbit berbunyi. Memecah keheningan suasana di rumah tinggal itu. Berat kepala Malek, cuba untuk mencari punca bunyi yang telah mengejutkan tidurnya. Malek tidak pasti, bila dia tidur. Atau, dia telah pengsan sebaik sahaja diganggu penampakan tempoh hari.
“Hello, Lek. Kau kat mana ni? Tak datang kerjakah hari ni? Kita ada delivery ni, setengah jam lagi ni.”
“Er, Mus. Hari ni hari apa? Aku… di rumah tempat jumpa Majin tu lagi. Aku tak sedar.”
“Eh, kau ni dah gila ke? Dah Isnin dah ni, bro. Okay, macam ni. Aku beritahu boss, kau MC harini. Pandai-pandai kau cari surat MC. Lain kali maklum awal. Kau ni, jangan ikut sangat si Majin tu. Cukuplah ada aku.”
“Ada kau, pastu kelepet aku? Entah betul entah tidak kau kira stok, dengan bayaran. Aku diamkan saja selama ni, bukan aku tak tahu. Sudahlah kau.” Berang si Malek, mengingatkan kembali apa yang telah Majin katakan tempoh hari. Memutuskan panggilan telefon Mustafa yang telah mengejutkannya pagi itu, meskipun sudah lewat pada telahannya. Ini bermakna, Malik sudah lama ‘tidur’ di situ, semenjak Sabtu malam. Penangan najis dadah. Penyalah gunaan dadah yang membawa kepada kerugian. Malek, dalam hatinya, berang. Entah kenapa, hatinya diselubungi kemarahan.
********
“Ini apa ini Malek? Jawab dengan ibu sekarang!” Ibu, melemparkan bungkusan kecil berisi dadah yang telah Malek dapati dari Majin. Sangkaan ibunya, pasti dadah.
“Ibu masuk bilik Malek tanpa izin dah kenapa?! Ah, jangan nak menyibuklah!” Dengan penuh amarah, ibunya ditolak ke tepi, lalu dihalau keluar dari bilik. Temberangnya sudah pecah. Ibunya kecewa. Tidak pernah berkelakuan sebegini dari kecil. Betullah perasaan ibu, bukan mainan. Tempat kerja baru Malek, telah membawa anasir-anasir yang tidak baik untuk anak kesayangannya itu. Dengan kehadiran bungkusan tadi, ibunya yakin Malek sudah menagih dadah.
********
Mesej Whatsapp masuk, dari Majin.
“Yes, bro. Malam ni ada. Jumpa tempat yang sama. Kau tak kerja kan malam esok? Kita ‘pekena’ dulu.” Majin memberi jawapan kepada Malek, berkenaan projek ‘berkhayalan’ mereka, seperti hujung minggu yang lalu. Anehnya, Malek tidak nampak kelibat Majin sepanjang dia ‘high’ di rumah tinggal itu. Adakah Majin hanya pengedar, tetapi tidak mengambil dadah?
“Bro, haritu aku black out sampai Isnin pagi, kau tahu tak? Kenapa tak kejut aku?” Soalan diberikan kepada Majin, menyambung perbualan mereka menerusi aplikasi terkenal itu. Disebabkan itu, dia telah dikira sebagai ponteng kerja. Cuba untuk mendapatkan surat MC di klinik berdekatan, tetapi permintaan ditolak kerana dia tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat seperti yang diperkatakan. Malah, susah untuk doktor berikan MC, jika lewat petang baru berkunjung ke klinik.
“Sorry, bro. Kami semua tak perasan pun kau masih ada kat rumah tu. Kami clear area petang Sabtu, serius kami ingat kau dah balik awal.” Jawapan daripada Majin, membuatkan Malek terkejut. Masakan tidak nampak aku. Aku ada dekat dengan kawasan dapur saja, getus hati Malek.
Perbualan ditamatkan. Malek segera menyambung tugasan pemindahan produk, seperti biasa. Dia ditugaskan berdekatan sahaja minggu ini, memandangkan prestasi kerja yang semakin merudum. Dadah, bukan lagi ‘booster’ untuknya. Semakin merosakkan.
********
Kira-kira sembilan orang, dua daripadanya wanita, telah berkumpul di ‘port’ biasa itu. Malek, tidak terkecuali. Mustafa tidak turut serta, memberi alasan ahli keluarga tidak sihat. Malek, menyumpah dalam hati. Stok ada pada rakannya itu. Terlupa untuk meminta sebelum pulang dari kerja. Majin pula, masih tidak kelihatan. Malek resah. Mana dia nak cari ‘bekalan’ untuk malam ini. Mesej Whatsapp kepada Majin juga tidak dibalas.
Malek lihat yang lain sudah mula mengambil tempat, menyiapkan jarum suntikan, dan pengikat. Ada juga yang menggunakan ‘bong’, bekas berbentuk sepert pasu kaca kecil sebagai ‘base’ untuk aktiviti mereka. Tidak kurang juga yang sudah menyedut hablur-hablur kecil najis itu, melalui hidung. Malek tiada pilihan. Apa yang ada padanya, adalah bungkusan berisi dadah yang telah Majin berikan secara percuma tempoh hari.
Malek mengambil tempat di sebelah salah seorang lelaki, pertengahan 30an, yang mula tersenyum sendirian. Nikmat mula menjengah dek kerana sistem badan mula dipengaruhi oleh dadah yang disuntik. Malek, dengan menggunakan peralatan yang ada dibawa oleh orang lain, menghancur-hancurkan dadah yang dibawanya menjadi serbuk-serbuk kecil. Tanpa berlengah, dia menyedut najis itu, seperti yang dilakukan oleh yang lain.
Malek, cuba menyandar. Menanti ‘kehadiran’ nikmat yang dinanti-nanti. Lima minit dia cuba menghayati perasaan seronok yang sepatutnya singgah bila-bila masa. Masih tiada apa-apa. Dia juga meneliti sekeliling, sama ada kelibat yang dilihatnya saban hari menjengah atau tidak. Aneh, tiada apa-apa. Perasaan bagai ditipu oleh Majin. Patutlah diberi percuma dadah itu. Entah ketulan apa yang diberikan.
Melihatkan tiada perubahan pada dirinya selepas 10 minit, Malek cuba bangkit. Kali ini, satu perasaan aneh menyinggah secara mengejut. Dia terduduk kembali. Tanpa sengaja, lelaki di sebelahnya ditendang kerana dia tergelincir jatuh. Posisi lelaki tadi, dari bersandar, terus tejelepuk baring di atas badan Malek. Malek merenung tubuh itu. Tiada mata. Muka penuh darah. Kini berbalut penuh badan dengan kain kafan! Malek panik. Dicapainya apa sahaja yang dapat diambil sebagai senjata. Kayu tumpul yang berpaku karat pada hujungnya, diambil. ‘Makhluk’ berkafan itu, diketuk-ketuk sepuas hatinya.
Malek cuba bangun sekali lagi. Kepalanya semakin ringan. Bagai terawang-awang. Namun, matanya telah menangkap banyak kelibat yang tidak disangka-sangka. Kelompok manusia yang sedari tadi sedang berkhayal di ruangan itu, kini sudah menjadi kelibat-kelibat pontianak dan pocong, memandang tepat ke arahnya. Hampir semua terduduk, menghadapnya. Malek berang lagi. Kayu yang dicapainya sebentar tadi, kembali digenggam erat. Masa untuk bertindak.
********
Masjid Tanah, 13 Jun - Pegawai polis dan pegawai operasi pencegahan dadah telah menangkap suspek yang dipercayai telah membunuh lapan mangsa di sebuah rumah tinggal di sini. Suspek ketika dijumpai, dalam keadaan mengerikan, juga dipercayai dipengaruhi dadah berbahaya. Suspek yang dikenali sebagai Abdul Malek Jailani, 24 tahun, dilihat sedang memakan daging mangsa pembunuhan beramai-ramai di situ. Seorang anggota polis turut cedera di bahu ketika penangkapan dilakukan. Suspek bertindak ganas terhadap sebarang pergerakan yang dilihat. Pihak polis mengklasifikasikan pembunuhan itu di bawah kesalahan membunuh dan penyalah gunaan dadah.
Mangsa-mangsa berumur dari 19 hingga 37 tahun, dipercayai berkumpul di situ untuk menagih dadah, bersama-sama dengan suspek. Kejadian ngeri itu dilaporkan oleh ibu suspek yang telah mengekorinya ke tempat kejadian. Sebelum ini, ibu suspek telah mengesyaki perbuatan menagih dadah anaknya, dan mengekori suspek untuk pengesahan. Suspek ditahan reman dan dirujuk ke hospital untuk siasatan lanjut.
-TAMAT-
HINDARI PENYALAHGUNAAN DADAH. Karya fiksyen ini adalah sebagai peringatan tentang bahana penyalahgunaan dadah, bukan bertujuan untuk menjatuhkan imej sesebuah profesion yang terlibat.
Katakan tidak kepada penyalahgunaan dadah. ANDA MAMPU MENGUBAHNYA.
********
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke
aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment