SATAY KIJANG
=========================
SATAY KIJANG.
"Kijang bukan sebarang kijang,
Diseru diburu di Gunung Nuang"
Aku ni peminat satay; memang sangat minat. Bersungguh-sungguh aku memenuhi minat ku pada satay. Pantang sahaja ku dengar ada lokasi baru pembakar satay, bergegas ku paksa diri ku ke situ untuk mencuba. Cubaan ku bukan secucuk dua, cubaan ku bukan sekadar bertanya rasa. Cubaan ku adalah sepenuh jiwa dan raga; harga bukan batasan, lokasi bukan halangan.
Bagaikan ada ketenangan tatkala melihat arang yang dibakar silih berganti merah bara dan nyalanya. Aman dan bebas ku rasai sewaktu memerhati asap berlumba-lumba ke udara. Melihatnya disusun rapi dan dibakar segar di hadapan ku, aroma perapannya cukup membuat ku teruja. Terukir senyum ku ketika ketulan daging yang ditusuk mula meliang liuk dijilat api, menitiskan lemak yang semakin mencair. Seolah cuba melepaskan diri; tetapi terlupa lidi memegang diri.
Klimaksnya pastilah ketika dijamah, terasa nikmat di setiap kunyahan. Aku tak suka menyinsing keluar daging dari lidi satu per satu, mencarik langsung terus dari lidinya adalah cara santapan ku. Sedikit demi sedikit ku carik, dari kiri perlahan ke kanan. Membiarkan kepuasan perlahan-lahan meresapi, beginilah caranya ku memanjakan diri. Minima dua hari sekali mesti dan harus ku cari. Lokasi? Berbeza-beza mengikut gerak hati.
Hanya Izwa sahaja yang faham akan obsesi ku ini, tiada orang lain. Orangnya kecil, jiwanya besar. Minat bolasepak; tetapi hanya melalui mata, bukan pada kaki. Kerja pejabat, sambilan jual insurans. Memang petah bercakap dan pandai ambil hati. Dahulu sambilan jual emas tetapi entah macam mana tak berapa nak menjadi.
Hampir 5 tahun kami menyewa rumah bersama, hati budi masing-masing sudah difahami. Gaduh selisih faham itu biasa, cuma tak pernah meleret dari malam ke pagi. Mungkin kerna minat kami hampir sama yang membuatkan kami semakin serasi.
Izwa ni hobinya suka mencuba makanan. Pantang ada masakan baru yang tular di media sosial, pasti akan diajak ku mencuba. Dapur kami memang jarang berasap, hampir setiap malam kami makan di luar. Aku hanya menuruti sahaja kehendaknya walaupun kadang-kadang terasa pelik menu yang disajikan atau tidak menepati selera ku.
Aku lebih suka mengalah dan beransur. Bagi ku situasi begitu adalah menang-menang; selain jimat duit poket ku, Izwa juga akan bertindak sebagai informer bagi ku jika terdapat lokasi pembakar satay yang baharu.
Suatu hari selepas solat Jumaat, Izwa mengirim pesanan teks pada ku agar pulang awal. Katanya ada tempat baru yang dijamin puas hati dan berbaloi. Pantas ku membalas tidak setuju, mana mungkin ku boleh pulang awal.
Dia kerja gomen waktu pejabat manakala aku pula kerja kilang OT tak menentu. Tambahan pula nak ke pekan Kajang pada waktu puncak begini bukanlah idea yang bagus, kenapa tidak ditangguhkan ke malam sahaja.
Telefon pintar ku berbunyi lagi, kali ini Izwa mengirim pesanan gambar pula. Menyumpah seranah ku seorang diri sambil membalas isyarat ibu jari ke atas. Kecur air liur dibuatnya melihat gambar di skrin, pantas ku ke bilik penyelia memohon kebenaran pulang awal beralasankan kecemasan. Izwa tahu kegemaran ku... dan tahu menggunakannya untuk mengalahkan ku.
Pukul 4.30 petang aku sudah tiba di hadapan pejabatnya; berlengang-lenggok Izwa melangkah keluar, seolah-olah mengejek keputusan awal ku tadi. Panjang lebar senyumannya tatkala masuk ke dalam kereta ku, bagaikan baru sahaja dia memenangi pertaruhan yang besar.
Izwa memang pandai bercakap, pujuk-memujuk adalah kelebihannya. Bertugas di majlis perbandaran; aku tak terkejut dia dia ditempatkan di bahagian Khidmat Pelanggan, tukang jawab telefon dan terima rungutan. Masuk akal jugalah dia jual insurans sebagai sambilan.
"Kajang di mana Wadi? Metro ke Stadium?" tanya ku seraya menoleh ke Izwa.
"Ramal." jawabnya ringkas, khusyuk menatap telefon pintarnya.
"Dalam ke Luar?" soal ku lagi.
"Tengah. Lepas jambatan nanti kau ambil lorong kiri," balas Izwa, masih lagi menatap telefon pintarnya. Seolah-olah sedang menunggu jawapan dari seseorang.
"Lepas ambil lorong kiri?" pantas ku menyoal. Geram pula rasanya tanya sepatah jawab sepatah. Kereta semakin banyak di jalan raya, sememangnya sekarang waktu pulang bekerja ni.
"Kau boleh bersabar tak Dham?" balas Izwa sedikit meninggi. Aku tahu dia tak suka didesak-desak begitu. Khidmat Pelanggan konon, macam mana nak jawab tuntutan pampasan insuran kalau mudah melenting.
"Kenapa tak guna GPS? Telefon kau tu kan pintar.." sindir ku kembali. Jalan raya semakin sesak, pertukaran gear yang kerap menyebabkan kaki ku bertambah lenguh.
"Ok, dia dah balas. Lepas balai tiang kayu nanti kau pusing kiri. Terus sampai nampak sekolah, lepas tu bla bla bla...." arah Izwa menunjuk destinasi. Aku hanya diam meneruskan pemanduan. Sedikit tertekan dengan kesesakan, ditambah pula dengan lokasi yang tidak pasti.
Laluan terakhir kami ialah di jalan tidak berturap, sedikit mendaki bukit yang rendah. Ternampak papan tanda pembinaan terpacak di awal laluan. Hari semakin gelap, tiada lampu jalan yang menerangi kiri dan kanan. Tiada kenderaan lain, tidak seperti awal tadi yang penuh sesak.
Suasana amat sunyi, hanya bunyi tayar kereta ku sahaja yang menjerit kesakitan mencengkam kerikil. Kami melewati beberapa rumah kongsi, ku perasan diperhatikan oleh beberapa pekerja asing. Sesampai di atas yang agak landai, ternampak cahaya di tanah lapang.
Lampu kalimantang diikat menegak, dipacak buluh membentuk petak. Deretan kereta tersusun rapi mengekori pacakan buluh. Aku memperlahankan kereta, mata meliar mencari sebarang petunjuk. Nun di pinggir belukar, kelihatan satu susuk tubuh melambai-lambai menarik perhatian.
"Dham, kita parkir di situ.” arah Izwa sambil melepaskan tali pinggang keselamatan. Aku hanya akur menurut, memandu perlahan ke arah lambaian tadi. Sempat juga ku berkira-kira, hampir sepuluh biji kereta pelbagai jenis turut parkir di atas bukit ini.
"Wadi, betul ke tempat ni?” tanyaku risau, enjin kereta ku biarkan hidup lagi.
"Hahaha... Dham, cuba kau tarik nafas dalam-dalam.” tiba-tiba Izwa mula tersengih.
Bagaikan kerbau dicucuk hidung, aku mengikut sahaja arahan. Tiba-tiba hati ku bagaikan berbunga-bunga, kembang kempis hidung ku menghirup udara. Berombak-ombak rasa dada ku, jantung ku mula mengepam laju. Aku terbau nyalaan arang, aku terbau daging dibakar. Menyeringai ku sengih pada Izwa, sebagai tanda setuju meyakini ini lah lokasinya.
Kami dibawa lelaki yang melambai tadi melalui denai, berjalan menuruni bahagian belakang bukit. Bau daging semakin menusuk, ketidaksabaran ku semakin mencengkam. Bunyi penjana kuasa elektrik kian kedengaran, diselangi alunan muzik yang memecah kesunyian.
Kami sudah tiba... medan selera sudah di hadapan mata. Binaan daripada buluh sahaja, memang kreatif dan praktikal. Ramai juga pelanggan malam tu, ku dapati semua dewasa tanpa kehadiran anak kecil. Mungkin kerna lokasinya yang jauh serta terpencil. Kami mengambil meja yang paling hampir ke dapur, agar mudah ku mengintai juadah yang dibakar.
Seorang remaja perempuan datang menghulur menu pesanan. Lelaki yang membawa kami tadi sudah tidak kelihatan. Terkejut ku melihat harga yang dipamerkan keras, akal kata tidak nafsu cakap waras. Mana mungkin ku menolak, dari pandangan pertama lagi aku sudah berkenan. Ku pinta Satay Kijang lima set sebagai pendahuluan. Izwa hanya sengih memandangku tanpa sebarang ucapan.
Ku perhatikan meja pelanggan berhampiran, rancak mereka berbual sambil menikmati hidangan. Izwa bagaikan cuba mengajakku berbual, maaf aku tak beberapa minat. Perhatianku pada pelanggan lain yang sedang menghadap juadah. Kecur air liur ku melihat mereka meratah, mahu sahaja ku jerkah ke dapur menyuruh hidangan disegera.
Pesanan kami tiba dibawa pelayan remaja tadi. Dipersembahkan rapi beralas daun pisang, ditampung dulang beranyam buluh. Persis Satay Lilit Bali, batang serai sebagai pengganti lidi. Bersaiz jumbo, sebatang serai umpama lima cucuk lidi. Kuah dan sambal dihidang berasingan. Rakus ku capai dan jamah hidangan malam itu. Izwa hanya senyum memerhati ku, menunggu ketibaan Sup Ekor Kijang yang dipesannya.
Enak dan lazat tidak terkata,
Dibakar panas membuka selera.
Doa makan entah ke mana,
Luput Maghrib jangan ditanya.
Set satay ku tambah lagi pesanan, dari lima di awalnya kini berjumlah lima belas. Pelayan tadi hanya terus tersenyum, dari loghat percakapannya ku yakin asalnya daripada tanah seberang. Telefon pintar ku keluarkan, hajat di hati ingin berswafoto dengan santapan yang terakhir. Baru ku perasan ketika melihat skrin, langsung tiada isyarat telekomunikasi. Mungkin itulah alasan kenapa kami tidak diberi rujukan GPS ketika datang tadi.
Kekecohan hampir berlaku, aku ditegah keras mengambil sebarang foto di situ. Telefon ku dirampas pelayan lelaki untuk diperiksa, habis dipadam semua salinan foto yang berkenaan. Izwa bangun menenangkan keadaan, menggunakan segala kemahiran meredakan kekalutan. Pertama kali aku berdepan situasi begini; dilayan bagaikan seorang pencuri, seolah cuba menyusup keluar rahsia masakan tradisi.
Izwa dilihat cuba berbual dengan pemilik warung, seorang lelaki tua separuh abad. Berambut putih, berkumis tebal. Berwajah dingin, berbulu di tangan. Izwa tidak memilih lawan, sekadar cuma mencari kawan. Keduanya dilihat berjabat tangan sambil mengukir senyuman. Izwa kembali duduk di meja menyambung hirupan sup ekornya, membiarkan aku yang masih terpinga-pinga.
"Kau tahu kan kijang ni haiwan perlindungan? Takkan kau tak terfikir kenapa warung ini terselindung di sebalik kegelapan? Kau faham tak maksud eksotik? Kau tahu tak bla bla bla.....” bertalu-talu aku ditembak Izwa, membuatkan ku terkedu diam membisu. Pemilik warung datang menghampiri, membawa sedulang satay di tangan kiri.
"Ambillah ini sebagai hadiah. Habiskan disini, jangan dibawa rumah.” pujuk Pak Raden bersyarat. Pelik sedikit dialeknya, sama seperti pelayan perempuan tadi. Aku tewas sekali lagi dengan obsesi ku, mudah dirasuah tanpa perlu runding dahulu. Satu persatu satay ku capai, menggigit pantas mengunyah laju. Membiarkan semua mata memandang ke arah ku, yang sibuk melayan santapan penuh bernafsu.
**********
Hampir setiap petang aku dan Izwa pergi menjamu kijang, Aku dengan sataynya, Izwa pula dengan sup ekornya. Tak terlintas di hati ku ingin mencuba menu Izwa, begitu juga sebaliknya. Langsung tiada keinginan mencari lokasi yang lain, harga dan lokasi bukan halangan . Kami bagaikan hanyut dalam ketagihan; yang perlu melepaskan gian agar tidak kempunan.
"Wadi, macam mana kau boleh tahu pasal warung Pak Raden ni?” tanya ku memulakan perbualan. Kami baru sahaja tiba di rumah, semestinya pulang daripada warung Pak Raden.
"Eh, dah tiga minggu kita melahap baru sekarang kau nak tanya? Haha... inilah kelebihan jual insuran, ramai kenalan.” jawab Izwa seolah menyindir. Aku hanya diam tidak membalas,ku sangkakan Izwa mengetahuinya daripada media sosial.
"Dham, esok kita gerak awal ek... malam ada bola la, separuh akhir pula tu.” tiba-tiba Izwa memberi saranan. Aku tetap terus diam, tak pasti sama ada itu cadangan atau arahan.
Esok petangnya Izwa sudah siap memakai jersi pasukan kesayangannya, memang peminat bola sepak walaupun kaki bangku seperti ku. "Pahlawan Merah" gelaran diberi, dahulu merah sekarang pink berseri. Aku memandu lekas, segala selok belok simpang siur ke kedai Pak Raden sudah ku hafal. Pelayan di situ pun bagaikan sudah memahami menu kesukaan kami, tak perlu lagi datang menghampiri bertanyakan itu ini.
Tidak ramai pelanggan petang itu, langit pun masih lagi cerah. Izwa kulihat menghirup sup ekornya dengan cepat, tulang ekornya dikulum dan disedut isinya tanpa kunyahan. Beruas-ruas sisa tulangnya tersusun di atas pinggan sisa, sayangnya Izwa bukan jenis pemakan tulang.
Sewaktu gigitan satay ku yang ke lima, pandangan ku terpaku pada jersi yang dipakai Izwa. Lama ku perhatikan gambar haiwan di dada kiri jersinya. Ku lihat semula ruas tulang ekor sisa peninggalan Izwa. Ku pasti jika disusun ruas tulang itu, cukup untuk membentuk ekor yang panjang.
"Wadi, tu gambar kijang kan?” tanyaku sambil menunjuk ke arah dada kirinya.
"Ha'ah, kenapa?” balasnya kehairanan, bagaikan terganggu hirupan nikmatnya dengan soalan ku.
"Banyak sisa tulang ekor yang kau luah,... macam panjang je ekor kijang kau ni.” cadang ku memancing perhatian.
Izwa buat tak tahu sahaja, bagaikan tidak berminat dengan persoalan ku. Sudah dua mangkuk sup ekor dihabiskan, semakin menimbun sisa tulang ekor di atas pinggan. Sel otak ku tiba-tiba mula berhubung, walhal sebelum ini tidak terlintas di fikiran ku.
Ada perbezaan yang sangat ketara; ekor pada gambar jersinya kelihatan pendek, timbunan tulang di atas pinggan pula seolah boleh membentuk ekor yang panjang jika disusun. Kijang ini berekor pendek atau panjang?
Kedai Pak Raden semakin ramai menerima kunjungan, perniagaannya kelihatan semakin maju. Bekalan daging mentah dan tulang kijang seolah berterusan tiada masalah dari pemburu. Ramai yang memuji kesedapannya walaupun ada beberapa peraturan pelik yang ditetapkan.
Tidak boleh bergambar, tidak boleh dibawa pulang, tidak boleh ke dapur serta tidak boleh datang pada sebelah pagi. Alasannya mudah sahaja; tidak memiliki lesen dari PERHILITAN.
*******
Hari minggu kami habiskan masa di rumah sahaja. Izwa menonton televisyen manakala aku lebih selesa menatap surat khabar. Apa yang ku baca langsung tak menarik perhatian ku. Fikiran ku menerawang ke kedai Pak Raden, apakah benar kami disajikan daging dan tulang kijang yang sebenar.
"Wadi, dahulu kau jual emas kan?, tanyaku perlahan sambil merapat duduk di sebelahnya.
"Ha'ah, kenapa? Kau nak beli ke?"
"Eh, tak lah. Kau pernah dengar tak syiling Kijang Emas?"
"Aku ada sekeping, tapi suku auns sahaja. Kau nak tengok?"
Aku pantas mengangguk, bingkas Izwa bangun menuju ke bilik. Seketika kemudian dia keluar sambil menghulur sampul berwarna ungu kepada ku. Berkilat sinar kilauan syiling emas di bahagian tengah sampul, ku amati teliti ukiran gambar kijang pada syiling.
"Kijang melompat di bawah pokok,
Berekor pendek tiada bertanduk".
Sampul ungu itu ku belek rapi, lambang Bank Negara Malaysia tercetak di atas sekali. Bertintakan emas, tertera besar perkataan "KIJANG EMAS". Perhatian ku pantas tertarik pada lambang bank, cuba membandingkan dengan ukiran kijang pada syiling. Lagi sekali otakku berfikir, mencari logik dan kebenaran.
"Wadi, lambang bank ni haiwan kijang juga kan?” tanya ku meminta kepastian.
"Ha'ah, kenapa? Semenjak dua menjak ni asik bertanya sahaja pasal kijang, kau ni dah kenapa Dham?” jawab Izwa merengus, bagaikan tidak selesa dengan soalan ku.
"Cuba kau lihat semula sampul ni, cuba bandingkan gambar kijang di syiling dengan gambar kijang pada lambang bank.” Aku cuba menarik perhatiannya.
Mustahil Izwa tidak perasan. Ada dua perbezaan yang sangat ketara; di syiling ekornya pendek dan telinganya bundar sedikit manakala pada lambang BNM ekornya agak panjang dan bertelinga runcing.
Jika diamati dengan teliti; lambang haiwan pada bank bukanlah seperti kijang tapi saling tak tumpah seperti seekor....
"Ha ha ha hadoi..."
Terkejut aku dibuatnya pabila tiba-tiba sahaja Izwa tergelak besar, mematikan hipotesis ku berkenaan mahluk sebenar pada lambang BNM. Aku yakin teori dan pemerhatian ku adalah benar dan yakin hubung kaitnya dengan kedai Pak Raden.
"Aku tahu kau nak cakap apa Dham... tapi sebelum itu baik kau buat carian pasal "Kupang Kelantan.” itulah asal usul ianya bermula.” saran Izwa bagaikan mengetahui apa yang aku musykilkan.
"Kupang Kelantan?” pantas ku ambil telefon pintar dan mulakan carian.
"Owh ya Dham, esok satu minggu aku akan berkursus di Kajang, kita jumpa di kedai Pak Raden sahaja lah sebab aku menginap hotel".
"Kursus apa tu Wadi? Seminggu pula tu?” tanya ku kehairanan. Sepanjang duduk berdua rumah ni tak pernah pula melihat dia dihantar berkursus.
"Pengurusan anjing liar, perbandaran sana beri laporan sudah tiga bulan tiada aduan anjing liar berkeliaran. Itu yang kami harus belajar, bagaimana perbandaran sana uruskan.” jawab Izwa panjang lebar, tersusun ayatnya bagaikan membaca skrip.
Tekak ku tiba-tiba kembang, pantas ku tutup imej hasil carian di skrin telefon. Bagaikan tak cukup tanah ku berlari ke singki, menjolok anak tekak sepenuh hati.
-TAMAT-
=========================
SATAY KIJANG
© Zuraidah Aqil Aqila Danish
Editor: Wan SC
Sertai LUMBA TULIS CERPEN anjuran Arkib Angker Negara. Hantarkan kisah seram anda ke aanrc2017@gmail.com sebelum 20 Januari 2018 dan sertakan #lumbatuliscerpenaan pada tajuk emel. Tiga cerpen terbaik akan dibukukan bersama-sama barisan penulis novel seram handalan. Hadiah misteri juga menanti anda!
No comments:
Post a Comment