Sunday, 10 December 2017

KERANA TULAR - Mat Lester


KERANA TULAR
Oleh Mat Lester

Fatin yang sedang mengadap laptop di atas katil dalam bilik tidurnya tersenyum keseorangan. Dia masih leka melayani Facebook.
Tak terungkap rasa gembira Fatin selepas cerita rekaannya kian hangat diperkatakan netizen Facebook. Hasrat Fatin menuju kemahsyuran sebagai "attention seekers" dah tercapai. Dua hari yang lepas, Fatin mencipta satu akaun Facebook palsu. Dia kemudian mereka-reka satu cerita palsu, lalu dihantarnya ke salah satu page Facebook terkenal di Malaysia iaitu Sardin Viral. Dalam sekelip mata saja, cerita rekaan Fatin itu telah menjadi tular.
Cerita rekaan Fatin mengisahkan mayat seorang gadis berpakaian gaun merah telah ditemui mati dalam keadaan mengerikan di sebuah apartment yang tidak diketahui lokasinya. Apa yang lebih sadis, biji mata kiri gadis itu kononnya telah dicungkil keluar oleh si pembunuh. Menerusi cerita Fatin itu juga, pihak polis didakwa telah sengaja merahsiakan penemuan mayat gadis itu dari kalangan umum kerana enggan menimbulkan sebarang spekulasi.
Melihat jumlah komen dan perkongsian cerita rekaannya begitu banyak, satu kepuasan yang tidak terhingga dirasai Fatin. Manakan tidak, dia begitu terhibur bila membaca komen-komen pengguna Facebook. Ada yang percaya, ada yang tak. Paling kelakar, ada yang memberi komen yang berbaurkan politik. Maklumlah zaman sekarang, semua benda nak dipolitikkan.
Teng..teng...
Tiba-tiba, pintu loceng apartment berbunyi.
"Siapa pulak yang datang malam-malam buta gini. Haish." Bisik Fatin
yang tinggal keseorangan di apartmentnya itu. Dia keluar dari bilik dan lekas menuju ke ruang tamu.

Dari lubang pintu masuk, Fatin mengintai keluar. Mata Fatin terus terbeliak sebaik saja dia melihat seorang gadis memakai gaun serba merah sedang berdiri di luar apartmentnya, sama seperti penampilan gadis yang diimaginasikan dalam cerita rekaannya.
Perasaan cemas mula menyelubungi diri Fatin. Dia mengundur perlahan.
Teng..teng.., tok.. tok...
Sekali lagi, loceng berbunyi sambil diiringi dengan bunyi ketukan pintu.
Fatin cuba berfikiran waras sejenak, cuba bersangka mungkin apa yang dilihatnya itu sekadar khayalan semata-mata. Maka, Fatin pun berhenti mengundur. Dia mara semula ke depan dan memberanikan dirinya untuk membuka pintu.
Pintu apartment dibuka luas.
Nampak gaya, kelibat gadis yang diintainya tadi sudah tidak kelihatan. Fatin kemudian menjengukkan kepalanya ke luar pintu. Toleh kanan, toleh kiri. Tak ada sesiapa pun di tingkat itu.
Pintu apartment ditutup semula.
Enggan melayani perasaan gelisahnya, Fatin menuju semula ke bilik tidur. Baru saja nak melangkah masuk ke dalam bilik, bunyi loceng dan ketukan pintu kembali kedengaran.
Teng..teng..
Tok...Tok...Tok...
Fatin semakin takut. Dia melihat sendiri bagaimana tombol pintu masuk apartment berpulas sendiri, lalu terbuka dengan perlahan.
Fatin apa lagi, kelam kabut masuk ke dalam bilik dan terus mengunci pintu. Dia mendekatkan telinganya pada pintu bilik untuk mendengar bunyi derapan kaki di ruang tamu.
Tiada apa yang kedengaran. Namun lebih kurang 10 saat kemudian,
Tok.........
Pintu bilik diketuk. Fatin terkejut.
Dek kerana terlalu bingung, Fatin menyorok di dalam almari.
Tok...
Tok....
Tok...
Keletap.
Tombol pintu bilik berpulas sendiri.
Fatin menutup mulutnya dengan kedua-dua tapak tangan untuk menahan diri daripada menjerit.
Nyrettt...
Pintu bilik Fatin terbuka perlahan. Penampakan tapak kaki si gadis.
Jelas, gadis itu berkaki ayam. Nampak urat-urat kebiruan yang timbul pada kakinya.

Gadis di luar apartmentnya tadi mula melangkah masuk ke dalam bilik. Dia berjalan ke hulu ke hilir, seperti sedang cuba mencari Fatin.
Gadis itu kemudian merenung almari. Mata sebelah kirinya tercungkil keluar. Nyata, memang sama seperti mayat gadis dalam cerita rekaan Fatin.
Mata Fatin berbinar.
Gadis itu berjalan ke arah almari. Dia semakin dekat.
Mulut Fatin ternganga luas. Belum sempat dia menjerit, entah kenapa gadis bergaun merah itu berpusing semula dan berjalan keluar dari bilik.
Selepas agak lama menyorok dan yakin gadis itu telah beredar pergi dari apartmentnya, Fatin keluar dari almari.
Fatin pergi memeriksa di bahagian ruang tamu, dapur dan bilik mandi. Dia menarik nafas lega setelah kelibat si gadis bergaun merah sudah tidak lagi kelihatan.
* * *
Pintu masuk apartment kembali dikunci Fatin. Tanpa disedari, si gadis bergaun merah tadi sedang berdiri di belakang Fatin. Renungannya begitu tajam sekali. Mata kanan gadis itu pula berbinar, menandakan dia seperti dalam kemarahan.
Perasan dirinya seperti sedang diperhatikan, Fatin cuba memulas tombol pintu apartment.
Ketek, ketek, ketek....
Tombol pintu masuk seolah-olah tersekat, langsung tak boleh nak buka.
Tiba-tiba Fatin terasa bahu kanannya dicengkam kuat. Matanya sempat memandang liar kuku hitam tangan gadis bergaun merah yang menyentuh bahunya itu.
Fatin cuba menjerit, tapi entah mengapa dia langsung tak boleh nak bersuara. Air mata Fatin mula menitis, baru dia tahu erti penyesalan.
Fatin akhirnya jatuh rebah. Pengsan!
****
Sebaik saja Fatin tersedar dari pengsan pada keesokan paginya, dia terus memuat status memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah mereka-reka cerita palsunya. Bezanya kali ini, status itu dimuat turun menerusi akaun Facebook Fatin yang sebenar.
Kesannya, Fatin dikecam teruk oleh para netizen Facebook.
-Tamat-
*****
Suntingan dan Gambar: #kamenrider

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: