Tuesday, 12 December 2017

DEJA VU - Shizu


Ditulis oleh : Shizu
Nurin VI : DEJA VU

Kau tahu tak perasaan bilamana kau tulis sebuah kisah berpaksikan khayalan kau tetapi setelah sekian lama, kau sedar ia bakal jadi realiti? Ini bukan cerpen, ini sebuah confession dari aku. Jika kau baca tulisan ini tanpa membaca siri Nurin dari buku Segitiga, mungkin kau akan keliru. Tapi, jika kau baca mungkin minda kau akan mengalami sedikit kompilasi sepertimana aku alami. Jadi, mari mulakan beberapa imbasan kembali.
Hai. Nama aku Nabil. Aku seorang pemuda biasa dan tak punya apa-apa untuk dipersia melainkan masa. Pada mulanya, aku menggunakan nama Shizu sebagai pengenalan diri di laman sesawang facebook. Disogok pula oleh seorang insan bernama Nisa. Khabarnya ada satu blog yang memaparkan kisah-kisah seram untuk pengikutnya membuakkan keghairahan membaca cerita sebegitu.
Berbekalkan secebis pengalaman dan beberapa cerpen yang boleh dijadikan contoh, aku mula menaip. Cerpen pertama aku diberi tajuk Lata Kekabu. Insan pertama aku minta pendapat, Wan SC. Wau, Si Celupar ketika tu memang meletup di blog seram tersebut. Katanya, cerpen aku tu kurang menyengat. Dulu, aku anggap dia sebagai idola aku. Sekarang, perut dia pun aku tampar. Ya lah. Sudah melepak sekali.
Jadi, aku teruskan menulis untuk kisah kedua aku. Kali ini, aku tulis kisah Nurin. Kisah ni berturutan hingga lima bahagian. Untuk pengetahuan kau, aku ubah cerita tu serba sedikit. Dari gaya watak utama (Nurin) dan penambahan watak yang tak pernah wujud. Pastinya aku minta kebenaran Nurin untuk adaptasinya ke dunia penulisan aku. Reaksinya...
“Aku malas membaca. Ikut suka kau lah nak tulis apa.”
Dan apa yang membuatkan aku agak terkejut pada garis masa sekarang adalah semua perkara yang aku tambah, tiba-tiba terjadi dalam masa singkat.
Pertama sekali, nama Pakcik Man, Ila dan Makcik Nun yang aku nyatakan dalam siri Nurin adalah nama yang aku ubah. Asalnya bukan nama tersebut.
*******
Beberapa bulan lepas, aku pergi ke Negeri Sembilan untuk mengambil adik aku di UiTM. Dia perempuan. Sebaik sahaja aku tiba di rumah sewanya, aku perhatikan ada seorang lelaki yang agak berumur dengan kain pelikat berselimpang di bahunya. Berdiri di hadapan rumah sambil mulutnya terkumat kamit. Aku tak berani untuk buka pintu kereta. Aku perhatikan dari jauh sambil tergamam di dalam kereta. Lalu aku pun terus menelefon adik aku untuk kepastian.
“Woi ! Siapa depan rumah tu? Abang dah sampai tapi tak berani keluar.”
“La dah sampai? Cepatnya. Oh tu ayah kawan Adik, Ila. Datang je ambik luggage adik dulu. Ayah dia tengah halau benda. Semalam Ila meracau dalam rumah.”
Aku keluar lalu menghempas pintu kereta. Tak sengaja. Seraya aku melangkah ke pintu rumah, lelaki tu menoleh ke arah aku. Aku senyum dan mulakan perbualan klise.
“Assalamualaikum pakcik. Saya Nabil, ni datang nak ambil adik balik kampung.”
“Oh abang Yana ya? Pakcik datang pun tengok anak pakcik tu haa. Semalam meracau.”
Aku hanya mengangguk dan senyum. Tak usah tanya banyak. Dalam hati aku, ayah Ila ni ada kelebihan mengubati. Itu sahaja.
Adik aku keluar dan hulurkan beg di muka pintu. Aku usungkan ke ruang simpan kereta.
“Abang, kawan Adik Ila tu nak minta tolong hantarkan ayah dia ke Seremban boleh? Satu hala je jalan kita balik. Ayah dia nak tinggalkan kereta dekat Ila.”
“Okay boleh je. Pi panggil dia.”
Aku masuk ke kereta lalu diikuti adik aku di tempat duduk belakang dan lelaki itu di hadapan. Kereta yang dipandu aku meluncur keluar dari halaman rumah sewa mereka. Ila ditinggal bertemankan beberapa orang lagi kawan serumah. Pertama kali aku lihat Ila sejak adik aku menyewa luar dari kolej.
Kilometer pertama, aku sedikit kekok untuk memulakan perbualan.
“Nanti Pakcik bagitau ya nak saya turunkan di mana.”
“Okay, nanti Nabil keluar exit Seremban je.”
"Tu rokok ada kalau nak hisap." Sambil aku tunjuk ke rongga dashboard.
"Eh takpa, pakcik tak hisap rokok."
Lebih kurang 40 minit kemudian, kami tiba di rumahnya yang terletak di Kampung Sendayan. Di halaman rumah kelihatan seorang perempuan sedang menyiram pokok-pokok bunga.
“Makcik Nun ekau tu memang rajin tanam pokok bunga. Dah banyak pokok kena rajin lah siram ye dak. Jom la masuk dulu Nabil.”
Pelawaan pakcik itu aku terpaksa tolak oleh sebab aku juga mengejar masa untuk ke Perak. Buat seketika aku sedikit bingung dan terkejut. Dalam satu hari aku sudah jumpa dua orang seakan-akan watak yang aku tulis sendiri. Ila dan Makcik Nun dengan nama yang sama dan juga hubungan. Perjalanan yang masih panjang aku teruskan sesudah keluar dari kampung itu.
“Cuba adik whatsapp Ila. Ayah dia nama apa? Tadi segan lah nak banyak tanya.” Pertanyaan aku agak serius.
“Ila cakap Lokman. Yalah Adik panggil dia Pakcik Man je.”
Ah sudah. Aku bertambah bingung. Deja vu jenis apakah ni. Aku tak pernah alami, tapi aku pernah berkhayal akan watak yang sama.
Lagu-lagu dari corong radio ketika itu sedikit sebanyak membantu aku untuk melupakan perkara itu. Setelah mengharungi perjalanan berjam-jam aku berhenti di sebuah stesen minyak untuk mengisi petrol kereta. Sedikit jajan aku tapaukan.
Adik aku masih giat bermain telefon.
“Tengok ni bang, Nurin dengan boyfriend baru dia.”
Aku menjelingkan mata ke arah skrin telefonnya. Gambar yang lalu di instagram adik aku, iaitu gambar Nurin. Buat pertama kali aku perhatikan Nurin tidak bertudung.

Dengan kepsyen pada gambar, “Happy birthday Nazrin.”
Kalau kau ingat, dalam siri Nurin ada aku nyatakan yang Nurin tidak bertudung atau freehair. Itu hanya pengubahan watak yang aku buat dahulu. Tapi ternyata sekarang dia seperti itu di dunia nyata.
Seterusnya, dalam siri Nurin juga ada aku nyatakan bahawa Nurin pernah rapat dengan seorang lelaki yang bernama Nazrin. Perbezaan yang aku dapat hanyalah dalam tulisan aku, Nazrin sudah mati diseksa pendamping Nurin. Untuk pengetahuan kau juga, watak Nazrin yang aku tulis hanyalah watak yang tak wujud pada ketika itu. Tetapi tidak lagi sekarang...dia sudah wujud dan punya hubungan dan nama yang sama seperti aku pernah tulis dahulu.
******
Aku pendekkan tulisan ini. Selepas aku pulang semula ke Kuala Lumpur, beberapa hari kemudian aku ada dapat pesanan dari kawan aku di whatsapp. Dia kawan sekampung aku dan baru sahaja grad dari UiTM Arau.
Katanya,
“Aku dapat kerja dekat Damansara ni. Mungkin bulan depan masuk, cari rumah weh area sana. Boleh duduk sekali.”

Perkara ini yang terakhir setakat ni membuatkan aku meremang tak sudah. Sebab kawan aku ni namanya Wan. Bukan Wan SC ya.
Dalam siri Nurin juga ada aku nyatakan bahawa rakan serumah aku dari kampung yang sama dan bernama Wan. Wan juga watak yang aku tambah. Sedangkan pada masa aku menulis siri Nurin ketika itu, aku tinggal dengan sepupu aku.
Sekarang ni aku masih di garis masa yang sama. Tunggu apa lagi yang akan terjadi.
Kau tahu tak ni apa aku rasa? Kau boleh tanya aku kalau tak faham dan aku akan balas di ruangan komen. Sekian dari aku.
**************
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: