Friday, 29 December 2017

3 MAKHLUK - Jue


3 MAKHLUK
Karya: Jue
Ogos 11, 2017 Jumaat
*****
Assalamualaikum.
Hangpa mesti dah tidoqkan?
Tak payah balas, baca sahaja nota aku ni.
3.00 pagi
Aku telah didatangi oleh mimpi 3 makhluk yang berniat mengganggu aku. Waktu itu aku dalam keadaan sedar tetapi tidak mampu untuk membuka mata, atau mungkin dalam bahasa lainnya separa sedar. Aku cuba baca apa yang terlintas difikiranku tetapi semuanya seakan terkunci, termasuklah ayatul Qursi. Aku tidak mampu menghabiskannya. Kemudian, aku cuba pula untuk melaungkan azan. Malangnya, aku hanya mampu menyebut kalimah Allah sahaja. 3 makhluk itu yang persis karektor wayang kulit, 2 makhluk berbadan kurus manakala seekor lagi berperut buncit, dengan dagu yang runcing, telinga yang tajam, jari yang panjang dan mata yang menakutkan. Masing-masing bergelak tawa seakan puas melihat aku yang terkedu tidak berdaya untuk melakukan apa-apa.
Tiba-tiba, Allah mengerakkan aku untuk mengambil wuduk di dalam mimpi aku itu. Apabila melihat aku cuba mengambil wuduk, 3 makhluk tadi berusaha keras untuk menghalang aku. Baru sahaja aku membasuh pergelangan tangan, tiba-tiba 3 makhluk itu telah meloncat menerkam kearah aku, pantas aku renjiskan air wuduk yang tersedia ada ditanganku, menjerit-jerit 3 makhluk itu kepanasan. Habis berasap dan melecur muka serta bahagian badan mereka yang telah terkena air renjisan dari tanganaku. Mereka masih belum melepaskan aku dan aku masih dalam jasadku, fizikalku masih belum mampu untuk bergerak.
Kemuncak,
Bantuan Allah pun tiba. Dengan hujan sejak dari tengah malam tadi, kilat yang maha dasyat seakan dua petir telah memanah di hujung kakiku. Lebih tepat, di luar tingkap bilik aku. Telinga berdesing, rumah terasa bergegar. Alhamdulillah aku terlepas. Suamiku yang tidak tahu akan kejadian, terlompat bangun dari tidur dek bunyi petir yang amat kuat itu. Serentak dengan petir itu, rumah kami gelap. Hanya rumah kami yang terputus bekalan elektrik. Mujur, adik iparku tidur di sini malam ini. Buat peneman suami mencari punca ketiadaan elektrik. Sejurus kejadian petir itu, terusku panjatkan syukur. Terima kasih ya Allah, kerana membantuku. Kau jauhkanlah keluargaku dari gangguan jin dan syaitan. Peliharalah kami dari perbuatan sihir.
Anakku yang terganggu tidurnya mula merengek. Sedang aku tenangkan anakku, almari di dalam bilik bergegar-gegar seakan ada yang mahu keluar. Dalam kegelapan dan kesamaran, kelihatan 1 lembaga berdiri tegak di penjuru bilik tepi almari itu tadi. Aku kaget. Lantas kubacakan ayat Qursi, gegaran berhenti. Lembaga berkenaan hilang. Alhamdulillah.
4.05 pagi
Bekalan elektrik kembali. Itu pun setelah 30 minit kotak fius cuba dihidupkan. Masing-masing masih terperanjat dengan bunyipetir yang sangat kuat tadi. Sedangaku menuang air panas untuk buat susu anak. Aku tersenyum. Suami yang kehairanan bertanya kenapa aku senyum? Tanpa aku tahu sebabnya spontanku jawab 2 dah kena, tinggal lagi 1.
*****
Nota aku hantar ke group whatsapp. Tangan menggigil. Jantung berdebar-debar. Bagaimana tidak, kejadian baru sebentar berlaku. Group whatsapp terdiri dari teman-teman rapatku yang sering menjadi tempatku ceritakan kejadian-kejadian pelik yang terjadi kepadaku. Sambil kepala ligat memikirkan siapakah 3 makhluk tersebut. Adakah ini cuma mainan tidur? Atau petanda? Kenapa aku jawab macam tu dengan suami aku?
Aku buntu. Sambil merenung wajah anakku yang kembali nyenyak tidur, aku mengingat semula segala kejadian-kejadian misteri yang pernah berlaku sebelum kejadian malam ini. Arghhh. kejadian-kejadian tu ada yang nyata, ada yang dalam mimpi. Mainan syaitan saja semua tu. Kuusir jauh-jauh semua perasaan yang tidak enak.
Keesokannya, aku ceritakan perihal kejadian kepada mertuaku yang tinggal bersebelahan rumahku. Adik ipar aku yang biliknya paling hampir dengan rumah aku juga dengar bunyi petir tersebut. Tersangat kuat sehingga dia ketakutan. Ditambah pula bunyi suara ketawa yang menyeramkan sebelum kejadian petir itu, membuatkan dia terus angkat bantal dan tidur di bilik adiknya. Aku terkedu. Suara ketawa? Suara siapa? Suara 3 ekor makhluk itukah?
Aku hanya mampu bertanya kepada diri aku sendiri. 3 makhluk tersebut bukanlah pertama kali muncul dalam mimpiku. Ini kali kedua. Kali pertama mereka cuba mengambil anakku dari pelukanku. Kejadian pertama juga berlaku dalam mimpi. Membuatkan aku beranggapan bahawa itu semua mainan tidur. Aku tidak mahu memikir terlalu jauh atau yang bukan-bukan. Mungkin ini peringatan dari Allah untuk kami perbaiki kekurangan diri. Apa pun, mohon doakan kami ya sahabat. Semoga semuanya baik-baik sahaja.
Jue

_________________
Suntingan: Penulis FateStay Nite dan Gongpal Topek
Suntingan Gambar: Ahmad Tawfiq Abd Aziz

Anda ada kisah seram, thriller, pengalaman, atau sesuatu yang mind blowing? Hantarkan karya anda untuk dikongsi bersama di sini. Kepilkan karya anda dalam bentuk Words dan inbox kepada kami, atau hantarkan melalui email ke:
aanrc2017@gmail.com



Sila sertakan nama, link Facebook atau Twitter, untuk tujuan pengkreditan

No comments: