MEDINA
Karya : Daliana Zainal Abidin
Medina merenung lama susuk tubuh yang diikat. Pandangannya kosong. Pisau belati dimain-mainkan di jarinya. Tubuh itu cuba meronta dengan kekuatan yang ada namun hanya sia-sia.
Medina menghampiri, hulu belati dicucuk sedikit ke arah kulit muka si empunya diri. Menjerit apabila diperlakukan sebegitu. Medina tidak peduli, semakin asyik hulu belati itu menari-nari di wajah mangsa pilihannya.
Erangan kesakitan yang menerjah tidak membuatkan Medina berhenti dari perbuatannya malah semakin teruja. Darah likat yang hanyir semakin memenuhi ruang wajah si mangsa. Kulit muka dihiris secara membabi buta dan disiat-siat satu persatu. Jeritan yang bingit membuatkan Medina bertambah geram.
Bibir mangsa digunting dengan rakus dan darah semakin laju membasahi ruang katil. Menggelitik seketika si empunya diri menahan seksaan yang berterusan.
"Saaaaaakiiiit! Toooolooonnggg hen... hen... hentikan. Aaa... aaaaku min... minnn... taa... maa... maa... afffff."
Rayuan demi rayuan tidak Medina endahkan. Dendam menguasai diri dan sudah lama dia teringin agar mangsa yang dibencinya merasai seksa yang berpanjangan. Itu masih sedikit, Medina masih belum puas. Dia senyum meleret.
***
Tajul tersedar. Kesakitan dan keperitan yang dirasai tidak tertanggung. Matanya sudah kabur dan tidak dapat melihat dengan baik ekoran darah membanjiri seluruh wajah. Tajul cuba mencari kekuatan. Namun Tajul menjerit. Kali ini benar-benar terasa bagaikan nyawanya hampir melayang.
Medina masih belum berganjak. Dia masih setia berada di hadapan Tajul. Seksaan dihentikan apabila Tajul jatuh pengsan. Medina tidak merasa puas sekiranya mangsa yang diseksa terdiam kaku. Medina galak mendengar terpekik terlolong rayuan dari mangsanya.
Medina mengambil tukul besi lalu dihentakkan ke jari kaki Tajul apabila menyedari mangsanya sudah tersedar. Semalaman sudah Medina menunggu sambil tukul besi bermain-main di tangannya.
Hentakkan pertama, Medina memukul sekuat hati. Tinggi tukul besi itu dinaikkan. Kemudian dihempaskan ke arah kaki kanan milik Tajul. Bingit terdengar jeritan Tajul, Medina naikkan sekali lagi tukul di tangannya.
Hentakkan kedua terarah ke kini kiri milik Tajul. Terbenam kepala tukul besi tersebut dan Medina teruja. Tajul menggelitik sekali lagi dan hampir hilang suaranya. Seksa menahan kesakitan tidak terbendung. Tajul mahu sahaja nyawanya ditamatkan terus.
Bibir yang hancur akibat digunting dengan rakus, isinya terjatuh ke atas badan Tajul. Medina mengutip dan dilemparkan ke tepi. Suara Tajul serak akibat menjerit dan melolong terlalu lama. Pekikan itu tidak akan didengari oleh sesiapa, pondok kecil terperosok jauh ke dalam hutan.
"Allah! Baik... kaaau... kauuuuu... bunuhhhhh... aaaakuuu..."
Tersekat-sekat Tajul bersuara. Pandangannya mulai kelam kembali dan sekiranya dihentak sekali lagi kakinya itu, dia pasti akan jatuh pengsan.
"Diam!"
Bentak Medina. Medina mengangkat tukul besi itu semula dan dihentak kaki kanan dan kiri Tajul berulang kali sehingga hancur tulang belulangnya. Tajul sudah tidak bermaya hendak menjerit. Nyawanya bagaikan di hujung tanduk ketika ini. Akhirnya Tajul pengsan sekali lagi.
Medina masih juga belum puas. Kesakitan dan dendam di dalam hatinya masih belum berakhir. Tajul layak diperlakukan sebegitu. Medina menyimpan dendam dan cara seksaan cukup lama.
Sepuluh tahun lamanya dendam dan kebencian terhadap Tajul tersemat di dalam jiwa raganya. Setiap kali Tajul melintas di hadapannya, pasti pelbagai cara seksaan bermain-main di fikirannya meskipun ketika itu dia terlalu fokus melakukan tugasan. Senyum sinis apabila terlihat wajah Tajul yang cukup meluat untuk dipandang oleh Medina.
***
Di tangan Medina, pengorek tanah pula bertukar ganti. Kali ini, bahagian mata Tajul menjadi sasaran. Mata Tajul yang suka memandang jelek ke arahnya seolah-olah menjijikkan. Medina masih menanti Tajul sedar semula. Sudah dua hari Tajul tidak sedarkan diri.
Medina bangkit, menuju ke luar pondok. Menyusur ke anak sungai yang berdekatan. Air ditadah menggunakan gayung kecil berwarna merah. Apabila sudah dipenuhi air, Medina bangun semula dan menuju ke dalam pondok kecil itu.
Di dalam pondok memuatkan satu katil bujang yang mudah alih dan dilipat. Medina menghampiri ke arah Tajul. Bekas gayung yang dipenuhi air, Medina simbahkan ke muka Tajul. Darah kering yang menyelaputi wajah Tajul basah semula.
Tajul tersedar kembali dan pada kali ini dia benar-benar terasa amat lemah. Sudah tidak mampu untuk berbicara akibat penderaan yang dialami. Tajuk dapat merasakan nyawanya pasti akan melayang tidak lama lagi. Air mata darah mengalir dan mengenai luka-luka teruk di wajahnya.
Tajul sudah tidak berdaya untuk merasai sakit dan perit. Tiba-tiba kelopak matanya disapu lembut. Seakan dibersihkan dengan cermat. Tajul cuba membuka matanya, terasa sakit tidak terperi. Tajul cuba melihat wajah siapakah yang melakukan seksaan terhadapnya.
Tajul tidak dapat melihat dengan baik. Wajah itu mendekati dan dia mengamati seboleh yang mungkin. Tajul terkesima.
"Meee... diiii... naaaaaa?"
Susah payah Tajul untuk bersuara. Terkeluar nama itu dari mulutnya.
"Syhhhh..."
Pengorek tanah diambil dan Medina terus mengorek mata Tajul yang sudah dibersihkan sebentar tadi. Kali ini Tajul sekadar mengumam menahan seksanya yang dialami. Medina mengorek mata kiri Tajul sedalam-dalamnya.
Kebencian yang menular membuat Medina hilang pertimbangan. Sekali lagi Medina mengorek pula mata kanan milik Tajul dan mencacak pengorek itu sepenuh hati. Terperosok pengorek itu sehingga ke belakang kepala Tajul.
Medina melihat Tajul nyawa-nyawa ikan. Badan Tajul diterbalikkan dan kini belati tajam bertukar ganti. Belakang badan Tajul dicacak bertalu-talu tanpa henti. Akhirnya Tajul menghembuskan nafas terakhir. Medina menjerit-jerit bagaikan tidak siuman.
"Mampus kau! Mampus! Disebabkan kau mulut lancang dan menabur pasir dalam periuk nasi aku, ini balasannya! Kau suka menabur fitnah mengatakan aku ini dan itu. Kau kata aku begitu dan begini sehinggakan semua orang memandang serong terhadap aku!"
Medina melampiaskan segala amarahnya. Dada Tajul pula dipacak belati tajam itu tanpa henti. Tajul sudah menjadi mayat namun kesakitan hati Medina masih belum berhenti. Meskipun mayat, Medina tidak puas untuk menyeksa.
"Kerana kau, aku diberhentikan kerja 24 jam! Majikan jenis apa kau ini! Sepuluh tahun aku memendam rasa dan menyimpan benci terhadap kau, sial!"
Medina menangis meluahkan rasa. Selama sepuluh tahun dia berkhidmat ditemani suka-duka yang tanggung seorang diri. Mayat lelaki di hadapannya diheret ke luar pondok. Dihancur-hancurkan di atas tanah dan Medina masukkan ke dalam guni plastik berwarna putih.
Guni itu ditarik sekuat hati Medina dan ditanam ke dalam lubang yang dalam di tepi anak sungai tersebut. Perancangan yang sudah lama Medina rancangkan.
***
"Medina!"
Namanya dipanggil nyaring. Hampir semua rakan sepejabat memandang ke arahnya. Medina terasa tidak selesa dipanggil sebegitu.
Ketuanya, Tajul Ariffin bergegas meluru ke arahnya. Medina rasa tida sedap hati, kali ini apalagi kesalahan yang cuba dilemparkan ke arahnya.
"Awak faham ke tidak? Email tu awak baca ke tidak?!"
Bagaikan halilintar suara majikannya melengking nyaring. Seluruh aras lima itu terdengar pekikannya. Medina terasa wajahnya panas bagaikan disimbah dengan bara api. Malu tidak terkata, apalah salahnya jika majikannya itu memanggil dan memarahinya di dalam bilik.
"Hoi! Dah pekak ke? Kenapa aku tanya kau tak menjawab hah?! Kenapalah syarikat boleh ambil orang bodoh dan bebal macam kau ni berkhidmat?"
Medina masih mendiamkan diri. Kolam matanya hampir sahaja pecah. Setiap minggu ada sahaja kesalahan yang sengaja Tajul libatkan dirinya. Sedangkan Medina tidak pernah bersuara atau membantah arahannya.
"Muka sahaja cantik, buat kerja macam orang bangang! Benda kecil macam itu pun kau tak boleh nak selesaikan ke? Tak pepasal aku kena panggil dengan orang atasan! Celaka betul!"
Sakit dan perit terasa di dalam dada Medina.
Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menikam dada Tajul itu dengan rakus. Medina sudah jelek asyik dipersalahkan serta dimalukan di hadapan rakan sepejabatnya. Namun keinginannya sekadar bicara dalaman.
"Aku nak kau berhenti 24 jam! Kau boleh kemas semua barang-barang kau. Mulai esok, aku tak nak tengok muka di pejabat. Kau faham?!"
Tajul berlalu pergi. Mata-mata yang memandang kelam-kelibut balik ke tempat masing-masing. Ribut yang berlaku tadi benar-benar memalukan! Medina berdendam!
Medina berjanji, Tajul Ariffin pasti akan menerima pembalasan yang setimpal!
***
Medina merias diri dengan bersolek sederhana. Temujanji makan malam sudah diatur bersama Tajul pada malam ini. Tajul bersungguh manakala Medina ada rancangan tersembunyi. Ubat tidur diletakkan siap-siap di dalam tas tangannya.
Medina kembali setelah dua tahun dia berhenti daripada syarikat itu. Sengaja dia mengumpan Tajul yang sejak dari dahulu mengejar dirinya. Apabila ditolak lamarannya, Tajul marah dan sebab itu Medina senantiasa dicari kesalahannya.
Siapa yang mahukan si Tajul yang sudah layak digelar bapa menjadi suaminya. Medina tidak mahu merosakkan rumah tangga wanita yang lain. Medina memahami betapa sakitnya bermadu oleh sebab itu lamaran bekas ketuanya itu ditolak secara baik.
Kini Medina kembali mahu membalas dendamnya. Tajul diperhatikan dan dibiarkan sahaja dahulu tangan itu merayap di bahu Medina dengan sabar.
"Kan bagus kalau dari dulu awak terima lamaran dari saya. Pasti kita tidak akan bermusuh. Kerjaya awak pun terjamin.”
“Jawatan awak pun saya boleh naikkan."
Tajul mengusap perutnya yang buncit. Sesekali kepala yang botak itu diusap perlahan. Senyuman gatal dilemparkan kepada Medina.
Tanpa Tajul sedari, Medina akan memerangkapnya pada malam temujanji yang pertama dan terakhir ini. Tajul tersenyum dan Medina pura-pura membalasnya. Sakit hati Medina terpaksa ditahan-tahan.
"Sekejap ye sayang. I nak ke bilik air."
Tajul memohon diri. Dikesempatan yang ada ubat khayal dimasukkan ke dalam minuman Tajul. Medina tersenyum puas. Dendamnya akan terlunas.
"Kau akan mampus Tajul durjana!"
-TAMAT-
Karya : @daliana zainal abidin
Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment