Tuesday, 12 December 2017

JERAT - FateStay Nite


JERAT

======================
"Assalamualaikum, ni Aizah kan? Anak saudara Cik Mimi?" Persoalan yang aku terima setelah membuka mesej dari seorang rakan Facebook lelaki yang mengunakan nama Sharil.
"Iya, kenapa ya?" Aku membalas mesej si lelaki yang tidak aku kenali itu.
"Saya kenal awak, tetapi awak tidak kenal saya. Saya tahu rumah awak, hari itu keluarga awak baru buat majlis kenduri doa selamat kan? Rumah awak tepi sekali kan..?" Lelaki itu bertalu-talu memberi kenyataan. Psiko!
"Eh! Awak ni siapa? Jangan sampai saya block awak nanti!" Sebenarnya aku meremang. Siapa dia ni?
Dengan sekali ugutan untuk aku block, terus-terus Sharil pun memberitahu namanya. Secara berhemah aku cuba bertanya kepada Sharil apakah tujuannya menghubungi aku dan bagaimana dia tahu tentang aku? Sedangkan aku langsung tidak mengenali lelaki bernama Sharil.
Mudah! Tanpa perlu memujuk Sharil menceritakan pada aku bahawa dia hanyalah orang suruhan atau hanya sekadar wakil kepada adik ibu saudara aku iaitu bernama Kabir. Setelah mengetahui perihal pertalian kami aku berani memberikan nombor telefon aku kepada Sharil untuk diberikan kepada Kabir.
Kabir merupakan seorang lelaki kurang upaya, tubuhnya kecil dan pendek dari aku manakala kedua-dua tanganya kecil dari paras siku hingga ke tapak tangan dan kedua tangannya membengkok. Pada belah kaki pula Kabir tidak mempunyai jari kaki.
Selang beberapa hari selepas itu Kabir menghubungi aku. Tengah malam pula....
"Hello, assalamualaikum." Aku memberi salam dalam keadaan mamai, mengantok. Jarang orang telefon waktu ini. Aku hanya fikirkan hal kecemasan. Mungkin...
"Waalaikumusalam, Aizah kan? Saya ni Kabir," jawab Kabir.
"Kenapa Kabir, lewat malam dah ni?" Serba salah pula tidak melayannya. Dengan simpati, aku melayan. Tiba-tiba Kabir meluahkan isi hatinya selama ini yang telah jatuh cinta dengan aku sejak 10 tahun lalu.
Aku pelik atau lebih tepat, aku tidak tahu nak beri reaksi bagaimana. Kenapa pula si Kabir ini? Tak sangka dia begini. Aku tak pernah menganggap dia lebih dari seperti ahli keluarga. Kenapa malam ini tiada ribu tiada hujan dia meluahkan perasaan pula?
Aku tidak memberi kata putus, aku hanya melayannya sahaja semata-mata rasa ehsan simpati. Mungkin dengan keadaanya, dia tidak mempunyai rakan-rakan.
Sejak aku mengenali Kabir waktu itu, aku sering bermimpi seekor ular hitam membelit tubuh aku. Selalu sangat, namun satu malam aku bermimpi perkara yang sama kali ini lebih jelas. Ular hitam itu berkepala besar membelit tubuh aku dan kepalanya bertentangan denganku sambil lidahnya dijelirkan sesekali. Di sekeliling aku terdapat beberapa ekor ular hitam yang sama cuma agak kecil saiznya dari yang membelit tubuh aku.
Dalam mimpi tersebut ular itu memberitahu bahawa dia adalah Kabir malah ia semakin agresif apabila dia menangkap saka keturunan aku untuk dijadikan tebusan. Masih segar dalam ingatan aku, mimpi malam itu sungguh ngeri sehingga terjaga pun badan aku terasa sakit dan lebam-lebam.
Bila aku ceritakan pada Kabir, dia spontan mengatakan yang ular hitam itu dirinya sendiri. Mulanya aku anggap dia bergurau.
"Best tak kena belit malam tadi? Saya boleh lakukan apa sahaja untuk awak" Ayat ini selalu diulang oleh Kabir tiap kali aku mendapat mimpi buruk itu. Walaupun tak logik, kini aku yakin mimpi aku itu bukan mimpi-mimpi biasa. Terlalu 'kebetulan' dan konsistan pengakuannya membuatkan aku yakin ini semua perbuatan Kabir.
Cuma aku tak faham, apa motifnya? Kenapa Kabir yang aku kenal orang yang bijak ilmu agama boleh terjebak dengan ilmu hitam sebegini. Lagipun dia orang kurang upaya, yang langsung tidak terlintas logik akal aku untuk mengesyakinya dari awal.
"Saka itu bukan masalah aku." Aku mula berkasar dengan Kabir apabila dia mengugut untuk membunuh saka keturunan aku jika tidak bercinta dengannya, sedangkan saka itu pun aku tidak ingin ambil tahu.
"Mengapa awak tidak mahu menerima saya? Adakah kerana fizikal saya?" Kabir cuba memujuk rayu, berkali-kali.
"Aku kan masih belajar, Kabir. Perlu ke kau buat begini sekali untuk aku balas cinta kau?" Aku mula naik rimas.
"Wahai Kabir Bin Akmal di rasukilah aku!.." tiba-tiba kabir menyebut namanya sendiri di dalam telefon dan dalam masa yang sama hati aku juga turut ikut dengar dan baca apa yang dicakapkan, tetapi aku tidak mengerti akan apa yang dikatakan.
Selepas namanya disebut aku terasa pening, mata aku berpinar lalu aku tidak sedarkan diri. Pengsan atau pun tertidur aku sendiri tidak pasti. Aku terjaga apabila mendengar sesuatu yang kuat, terjatuh. Namun aku tidak larat untuk bangun akhirnya aku biarkan saja dan tertidur semula.
Keesokan paginya aku ke kelas tanpa merasakan apa-apa yang ganjil sehinggalah malam menjelma. Sebaik sahaja Azan maghrib berkumandang, dengan tiba-tiba badan aku terasa bahang kepanasan, rimas dan gelisah. Aku pulas punat kipas paling kuat.
"Hei Aizah, janganlah kuatkan kipas lagi! Sejuk la" Miza rakan satu asrama menegur apabila melihat aku menaikkan kelajuan kipas.
"Ko tak rasa bahang ke wei?" Aku bertanya pelik.
"Bahang apanya, aku dah kesejukan ni...."
"Yela-yela...." aku terpaksa mengalah apabila melihat rakan-rakan asrama lain memandang ke arah aku seakan pelik.
Aku kembali ke katil tetapi aku rasa tidak selesa dengan keadaan belengas dan hati aku rasa gelisah yang amat. Mulanya baring, rimas berpeluh-peluh aku duduk kemudian berdiri jalan kemeja, kiri-kanan kulu-kilir. Begitulah keadaan aku sehinggalah aku semakin tidak terkawal, tak terkawal.
"Arghhhhhhhh!!" Jeritan aku membuatkan semua terkejut ketakutan. Aku menggelupur berguling-guling atas lantai rasa bagaikan ingin menyiat kulit serta daging-daging tubuh ini.
"Aizah kau kenapa??" Miza bertanya tetapi dalam ketakutan.
Keadaan aku yang tidak terkawal itu membuatkan beberapa rakan asrama memanggil warden wanita. Aku sudah seperti tidak waras menjerit tak tentu pasal. Melibas-libas tangan secara rambang!
Kecoh tentang aku dirasuk tetapi aku masih sedar dan waras cuma aku tidak dapat mengawal diri aku kerana bahang yang seakan-akan membakar kulit tubuh. Kejadian pelik itu beransur kurang setelah beberapa pensyarah aku membacakan surah yassin di sebelah dan barulah aku sedar yang aku menjadi tontonan umum.
Beberapa hari kemudian,
Treetttt...tretttt...treetttt tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Pantas tangan aku capai dan menekan button jawab tanpa melihat siapa yang membuat pangilan.
"Hello,Assalamualaikum" Aku memberi salam dengan suara agak lemah dan penat setelah pulang beriadah petang.
"Hello.. Ni Kabir. Macam mana keadaan awak? Panas tak hehe?" Kabir mempersoalkan sesuatu yang membuatkan aku terduduk secara mengejut.
"Jadi itu memang kerja awak la ye?! Apa yang awak mahu dengan saya sebenarnya!" Aku mula berang bila mengetahui apa yang terjadi adalah dari khianat Kabir.
"Ha...HA...Ha...HA.. itu baru sikit... Saya boleh je sentuh awak dari jauh kalau saya nak. Saya cuma nak awak jadi kekasih saya je. susah sangat ke? Kalau tak rasakan sampai awak mengalah!" Kabir cuba mengugut aku, membuatkan aku rasa sedikit gentar.
"Okay!, tetapi bersyarat!" Syarat aku adalah jika tidak serasi, aku akan memutuskan perhubungan itu.
"Okay..." jawab kabir dengan nada gembira dan puas apabila dapat membuatkan aku setuju dengan ugutan dia.
Bermulanya pada malam itu iaitu hari pertama aku terpaksa rela untuk melayan Kabir sebagai teman lelaki. Tiada pilihan. Acuh tak acuh aku melayan dan sudah dijangka aku dimaki diherdik dan diugut sekali lagi dengan gangguan sihir seperti hari kelmarin.
Dengan keberanian, akhirnya aku menyatakan hasrat untuk memutuskan hubungan yang berat sebelah ini. Rasa tidak tertanggung oleh jiwa ini untuk teruskan hari-hari aku dengan paksaan sebegini, Sungguh aku tidak mampu untuk teruskan lagi.
"Okay.! tetapi...." Kabir pula meletakkan syarat "Jika saya tak dapat miliki awak, maknanya orang lain pun saya tidak akan benarkan miliki awak!"
Ugutan Kabir tidak aku hiraukan, malah sejak putus aku terus menukar nombor telefon. Aku rasa diri aku sangat tenang dan lapang. Aku hanya mampu berdoakan agar Kabir lembut hati agar tidak melakukan sihir kepada aku lagi.
Sehinggalah beberapa bulan selepas itu, sewaktu aku sedang duduk makan dengan rakan-rakan tiba-tiba aku rasa dada dan perut aku sangat sakit serta terasa mual. Tak sempat aku berlari ke tandas, isi perut semua habis diluah di tengah-tengah jalan. "Bluuueerrrrkkkk" Aku termuntah dan muntah itu berwarna hitam serta berlendir.
Waktu itu juga rakan aku Zana telah membawa ke hospital untuk membuat pemeriksaan, jawapan doktor adalah NORMAL tiada sebarang penyakit pada tubuh aku.
Tiada selera untuk mengisi perut yang sangat-sangat lapar ini namun aku merasa amat lemah dan letih. Aku baring berserah. Baru sahaja mata aku nak terlelap....,
Tap...kcinggg...tapp....kecinggggg..tap..kecinggg..
Bunyi tapak kaki seseorang yang memakai gelang loceng kaki masuk ke bilik asrama. Bunyi loceng itu sangat aku kenali iaitu milik Miza. Aku abaikan bunyi itu dan cuba melelapkan mata kembali namun bunyi tapak kaki dan loceng itu menghampiri ke arah aku dan semakin lama, semakin dekat lalu berhenti tepat di tepi katil ku.
'Eh.. Miza ni nak apa?' Aku berbisik di dalam hati sambil memusingkan tubuh badan aku yang sedang menyiring menghadap dinding untuk melihat Miza. Tetapi Miza hanya berdiri tegak merenung tepat ke arah aku tanpa berkata sepatah pun.
"Miza... are you okay?" Aku bertanya agar perasaan takut itu hilang.
Miza hanya berdiam merenung tepat ke arah aku dan secara tiba-tiba dia tersenyum menunjukkan giginya yang memakai pendakap gigi.
"Mizaa! Apa ni? Jangan memain la..!" Aku rasa Miza hanya cuba menakutkan aku.
Aku cuba membalas renungan Miza dengan perasaan marah dengan harapan Miza akan tahu bahawa aku tidak suka dipermainkan sebegitu. Rupanya aku silap apabila tiba-tiba mata Miza menjadi merah dan perlahan-lahan matanya terjojol hampir mahu terkeluar, kulit wajahnya mencair bagaikan plastik dibakar dan bau busuk mula menyelinap keliang rongga hidung aku. Miza yang di hadapan aku kini bukanlah Miza yang aku kenali. Wajah Miza ini sangat menakutkan dan akhirnya aku pengsan di situ juga.
Aku terjaga pada keesokan harinya pada jam 8 pagi. Kelas aku pada hari itu terpaksa aku ponteng kerana sudah terlewat. Kejadian yang aku alami malam tadi aku ceritakan kepada Miza dan dia terus menghubungi seorang kenalannya berasal dari utara. Herman mempunyai ilmu untuk rawatan tradisional. Selepas diceritakan dari awal mengenaik Kabir, Herman bersetuju melakukkan rawatannya dari jarak jauh.
Keesokan harinya Herman telah memberitahu Miza bahawa aku telah terkena buatan orang! Kabir, nampaknya lelaki itu tidak putus asa. Aku memberitahu pada keluargaku, namun sedikit pun mereka tidak percaya.
Malam yang sama dari berita aku terkena sihir itu aku diganggu.
Gedebukk..!! Dada aku dihentak kuat, menyebabkan aku terjaga dan terduduk sambil menarik nafas dalam-dalam.
Makin lama, makin sukar untuk aku bernafas. Hujung kaki aku mengigil kerana nafasku tersekat bagai dicekik. Tangan aku cuba mencapai sesuatu untuk dibaling ke arah rakan lain yang sedang nyenyak tidur. Sedang tegapai-gapai itulah tiba-tiba aku ternampak sesuatu di bucu kepala katil aku. Benda itu adalah Pocong. Dalam keadaan sedar dan aku yakin itu bukan ilusi. Kainnya yang sudah luntur dan kotor. wajahnya tidak dapat aku lihat kerana keadaan yang gelap.
"Allaaaaahhh" Aku cuba menjerit mengunakan saki baki nafas yang ada sebelum akhirnya aku jatuh tersungkur ke lantai menyebabkan Miza dan beberapa rakan lain tersedar.
"Aizahh! ohh Aizah..! Kau okay tak?" Miza cuba mengejutkan aku.
Aku masih tidak sedarkan diri sehinggalah terpaksa memanggil seorang ustaz bernama Kamaruddin. Atas arahan Ustaz Kamaruddin tubuh aku dibaringkan di tengah-tengah bilik, ditemani beberapa lagi warden wanita. Ustaz Kamaruddin membaca ayat Ruqyah dan tiba-tiba Ustaz Kamaruddin bersuara.
"Apa yg kamu mahukan dari budak ni..??"
"DIA MILIK AKU.. KAU TAK PAYAH MASUK CAMPUR" Tanpa kawalan aku bersuara garau menjawab dengan lantang dan ego. Pastinya ustaz dan semua yang ada tahu itu bukan aku.
"Masa bila dia milik kau? Dia ada mengaku dia milik kau..??" Ustaz Kamaruddin cuba mengorek sesuatu.
"DIA MILIK AKU.. AKU NAK BERSAMA DIA.. KAMU SEMUA TAK PAYAH MASUK CAMPUR!"
"Kenapa buat begini? Apa salah wanita ini pada kau?"
"PERNAH KAU RASA MACAM MANA DIPULAUKAN..?? PERNAH KAU RASA BILA KAU MENCINTAI TETAPI CINTA KAU DITOLAK DIHINA!..?? TIADA SIAPA YANG PEDULI.. JADI, AKAN AKU JADIKAN DIA MILIK AKU SEORANG, SELAMA-LAMANYA"
"Kau nak sangat dia kan? Baikk, kau tunggu..." kata Ustaz Kamarudin sebelum membaca beberapa ayat dan tangannya mencapai satu kain yang tersedia di tepinya. Kain itu memang dibawa dari awal.
Sambil ayat dibaca, tangan Ustaz seakan menarik sesuatu dari tubuh aku, beberapa kali dia cuba melakukan tetapi gagal sehinggalah selepas hampir 7 kali baru berjaya dan benda yang digengam itu di ikatkan pada kain putih yang turut berada di tangannya.
"Bissmillah........" ustaz membaca beberapa ayat pada air mineral kemudian merenjis ke muka aku, serta merta aku terasa ada sesuatu berat keluar dari badan aku. Terus aku terjaga waras. Ustaz pun menceritakan segala apa yang terjadi dan yang terkena pada aku.
"Dia memang tak putus asa, sihir yang dihantar juga tak putus-putus... Apa-apa pun kita berusaha mana yang patut. Jaga pantang-larang, solat semua jangan tinggal..." pesan Ustaz kepada aku.
"Tak ada cara lain ke untuk habiskan semua benda ni ustaz?" Aku cuba meminta bantuan. Terasa sungguh penat dan bosan menghadap gangguan ini. Tak mampu lagi rasanya.
"Tiada.. melainkan satu-satunya memohon perlindungan dari Allah" Balas ustaz ringkas, membuatkan hati aku disentap tepat. Benarlah kata ustaz, Allah sebaik pelindung.
Sejak itu aku cuba istiqomah mengikut pesanan ustaz, selepas mahgrib aku akan membaca Yassin. Pada malam pula sebelum tidur aku akan mendegar serta ikut membaca surah Al-mulk. Apa yang aku rasakan perubahan yang aku tidak lagi diganggu. Tiada lagi mimpi ngeri.
Tetapi fitrah manusia itu mudah leka. Selepas beberapa bulan aku sekali lagi diganggu dengan mimpi misteri. Jerat demi jerat. Beratus juga tempat aku berulang berubat.
Setahun sudah berlalu. Pada hari raya yang pertama tahun 2015. Kabir muncul di rumah aku, sememangnya aku tiada kuasa untuk menghalang dan menghalau kerana dia adalah saudara- mara aku juga. Kabir merenung tajam ke arah aku dan saat itu aku dapat lihat bagai satu lembaga keluar dari tubuh Kabir.
Dengan mulut luas ternganga, wajahnya hitam bergigi panjang taring kesemuanya, kepalanya botak seakan tengkorak, matanya putih terjojol keluar manakala biji matanya kecil berwarna hitam. Lembaga itu seakan cuba menerjah ke arahku.
Dengan pantas aku membaca ayatul kursi. Itu saja yang terlintas difikiranku. Dengan sekelip mata lembaga itu hilang. Kabir melihat aku dengan senyuman sinis bagaikan masih menyimpan dendam. Entah sampai bila api dendamnya terhadap aku. Aku harus berjaga-jaga dengan JERAT yang selalu dipasang oleh Kabir kepada aku. Dia seorang manusia yang tak kenal erti putus asa.
Sehinggalah datang seorang lelaki misteri membunuh ular-ular di dalam beberapa mimpi aku. Lelaki itu berpakaian serba putih dan menutup wajahnya. Setiap kali mimpi aku dikejar pasti lelaki itu akan muncul membunuh ular dan haiwan buas yang rakus mengejar untuk membunuh aku.
Suatu hari di dalam mimpi aku bertanya kepada si lelaki.
"Siapakah gerangan kamu wahai si pemuda? Mengapa kamu membantu saya?" Aku cuba bercakap dengan sopan dan teratur.
"Hamba bukan selamatkan kamu, tetapi mereka telah masuk ke kawasan hamba." Balas si pemuda itu.
"Maksud saudara?"
"Kamu berlari menyelamatkan diri ke dalam kawasan hamba dan tugas hamba menjadi mudah untuk membunuh mereka" Balas lelaki itu.
"Siapa nama saudara?"
"Saiful" Balas lelaki itu dan dengan serta merta aku terjaga dari tidur. Semenjak dari mimpi itu aku tidak pernah lagi bermimpi ngeri dan tidak lagi aku berjumpa Saiful..
TAMAT
=========================
Suntingan & Gambar: KamenRider
Editor, Arkib Angker Negara

=========================
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: