Showing posts with label CeritaNasa. Show all posts
Showing posts with label CeritaNasa. Show all posts

Sunday, 3 December 2017

MARIA - CeritaNasa


MARIA

PENULIS: CeritaNasa
==================

MARIA BERLARI memapah Fakrul. Langkah mereka cepat. Sesekali Fakrul mengeluh dan mengerang apabila bisa tembakan itu menjalar menyakiti tubuh.
“Berhenti!! Maria berhenti!” Fakrul menolak wanita itu dan terduduk di sebalik pokok. “Aku tak boleh lagi.”
“Kita kena cepat Fakrul...” Maria berbisik menahan suara. Dia menarik kembali tangan Fakhrul dan memaksa lelaki itu bangun. “Cepat...nanti dia jumpa!!.”
“Maria!!!!!!!.” Jerit satu suara kasar.
FAKRUL TERKEJUT. Kedua mereka terdiam. Menoleh ke arah jalan di belakang. Dia menelan liur, berpeluh satu badan. Oleh kerana takut, Maria menyorok tidak jauh dari situ. Fakrul menunggu dan bangun perlahan-lahan, sebelah tangannya menutup bahu di mana luka tembakan tadi. Dedaun pokok bergerak menyerlahkan sesusuk tubuh tidak jauh darinya
“Kat sini kau rupanya.” Laras senjata diangkat menghala ke arah Fakrul. “Ko nak lari mana??” Tawa lelaki itu.
“Faizal... dengar cakap aku dulu.” Perlahan-lahan Fakrul bersuara.
“Pergi mampos!! Kau abang yang paling tidak berguna Fakrul!!!.” Faizal menarik penukul belakang, bersedia untuk menembak, wajahnya tersenyum sinis. Jarinya dipicu. Kedua mereka berdiri bertentangan.
Tembakan dilepaskan!
TIGA BULAN SEBELUM KEJADIAN.....
“Wahhh!!! Tahniah Faizal... kau dah nak jadi bapa. Jadi suami yang soleh kepada keluarga ok?.” Ucap Fakrul bersungguh. “Baru-baru ni, kene tahan sikit lah kerenah isteri yang mengandung.”
“Mesti!!.” Faizal memeluk abangnya. Sejak kematian ibu bapa, Fakrul yang banyak menasihati dan menjaga adiknya. Dan untuk itu banyak yang Faizal terhutang budi. Kalau bab duit tak payah cakaplah, memang abangnya menyumbang penuh.
“Terima kasih lah bang.... sebab banyak bantu saya,”
“Tak ada hal.. tapi ingat janji ko.... kau janji tak akan buat perkara tu lagi....” Fakrul memperlahankan suaranya.
“Saya faham bang...” tidak lama itu Maria datang. Dia memeluk lengan suaminya manja.
“Bang kami balik dulu. Ni singgah kejap je jumpa abang sebab kebetulan Maria yang nak datang sini ambil barangnya.” Faizal meminta kebenaran sebelum pulang, dia bersalam dan memeluk erat Fakrul. Saat ini Maria bertentang mata dengan lelaki itu. Fakrul cepat menunduk dan melepaskan pelukan.
“Take care ya Faizal.”Kedua mereka berlalu. Sesekali Maria menoleh ke belakang. Fakrul mengangguk dan tersenyum. Dia kemudian berlalu masuk. Memang setiap minggu Faizal akan melawat abangnya. Fakrul belum berumah tangga dan hidup sendiri. Dia risau akan abangnya. Namun Fakrul tetap mahu memilih untuk bersendirian. Dan setiap kali datang ke rumah itu Maria dan Fakrul rancak berbual. Maria nampak lebih gembira apabila berbual dengan Fakrul berbanding dirinya.
Makanan di dalam pinggan tidak berusik. Faizal tidak menjamah langsung makanan tersebut. Perkahwinan mereka sudah dua bulan namun terasa tidak ada kebahagiaan. Rumah itu tidak ada seri. Tidak banyak bercakap dan Maria suka mengasingkan diri. Maria juga tidak menghabiskan makanan, segera bangun dan membawa pinggan untuk dibasuh, baki makanan dimasukkan ke dalam tong sampah.
“Aku nampak cara kau memandangnya.” Tegur Faizal
“Abang hanya membuat andaian.” Maria tidak mahu menyambung bicara. Bosan sudah dia bercakap soal ini. Dia tahu kenapa Faizal berfikir buruk.
“Kau suka pada Fakrul?.” Tanya Faizal sekali lagi.
“Jangan merepek.” Sehabis basuh tangan Maria meminta kebenaran untuk naik ke atas bilik. Hanya sebulan berkahwin sahaja cukup untuk dia mengenali siapa Faizal sepenuhnya. Malam itu sekali lagi Faizal keluar rumah. Dari tingkap atas Maria hanya menjeling. Mengeluh nafas. Dia bosan !!
Fakrul melihat pemanggil di skrin telefon. Nama Maria terpampang. Kalau boleh dia tidak mahu lagi berhubung dengan wanita itu. Puas dia cuba mengelak, namun Maria tetap mencari. Dia tidak mahu Faizal tahu lagipun usia perkahwinan mereka masih baru. Sekali lagi telefon berbunyi nyaring. Fakrul akhirnya mematikan talian. Walaupun hatinya resah. Rasanya itu yang terbaik. Sejak beberapa minggu ini dia banyak kali berhubung dengan Maria. Fakrul berbaring di katil, memikirkan soal Faizal dan Maria, tidak tahu samaada mereka bahagia atau tidak, namun wajah Maria sering mengganggu fikiran. Fakrul duduk kembali dan meraup wajah dengan kedua tangannya.
“Kenapa suami awak tak datang Maria?.” Tegur pegawai atasan. “Ini bukan kali pertama tau? Ingatkan dah kahwin berubah lah, ini masih sama.”
“Dia tak berapa sihat tuan.”
“Pasal kamu berdua bergaduh?” Sudah lali dia sebagai ketua di situ mendengar. Kadang-kala bergaduh secara terbuka di khalayak rakan sekerja. Dan pegawai itu tidak bersetuju dengan cara Faizal mengendalikan masalah rumah tangga. Sudahlah kadang-kala datang dengan keadaan tidak terurus.
“Hal kerja tidak boleh dicampur dengan rumah tangga!.” Hafis menghentak meja. Dan bagi Maria sudah tentulah dia tidak menyukai perkara ini. Hal suaminya membabitkan dia hanya kerana mereka bekerja sama. Maria duduk di kerusi beroda, memusing kiri dan kanan. Rakannya yang duduk berdepan hanya ketawa. “Macam tulah Maria... kalau dah kahwin.”
Maria menunduk, mereka tidak tahu apa berlaku, mereka boleh berkata apa sahaja. Kepalanya teringat pada Fakrul, sejak semalam dia cuba menelefon, namun tidak berjawab. Dia perlu berjumpa lelaki itu. Dan sebelum-sebelum ini juga biasa baginya bercakap dengan Fakrul, tidak menjadi masalah pun, hanya baru-baru ini yang Fakrul nampak sedikit mengelak. Walau apapun dia tetap perlu berjumpa dengan lelaki itu. Banyak perkara perlu dibincngkan. Terutama soal hidupnya dan anak dalam kandungan ini.
Petang itu selepas habis kerja, dia memandu ke arah rumah mertuanya yang kini diduduki oleh Fakrul, abang kepada suaminya. Maria berhenti, keluar, menutup pintu kereta dan menunggu di pagar. Dari dalam Fakrul tersenyum menghampiri.
“Mana Faizal?”
“Macam biasa....” Maria meminta agar pintu pagar itu dibuka, sesekali Fakrul menoleh sekeliling melihat agar tidak ada sesiapa yang sibuk memerhati. Maria berjalan masuk dan duduk di kerusi laman luar rumah. Dia bersilang kaki, wajahnya marah, berpeluk tubuh.
“Kenapa masam mencuka ni?” Tanya Fakrul duduk menjauh. Kawasan laman rumah itu sangat lapang. Dan sebuah bangku kayu siap tersedia untuk diduduki.
“Kenapa tanya lagi kalau dah tahu?” Maria mendengus. Dari jauh sebuah kereta hitam berhenti memerhatikan rumah tersebut. Faizal tersenyum sinis, sudah dia tahu tentang hubungan Maria dan Fakrul. Sejenak, gear dimasukkan dan keretanya berlalu dari situ. Hatinya membentak marah. Banyak perhitungan yang perlu dilakukan terhadap abangnya.
Hari ini Maria bertekak lagi dengan Faizal dan yang paling dia marah adalah masih lagi lelaki itu keluar bersama temannya malam-malam. Dan sikapnya tidak berubah. Dan dia tidak suka dengan keadaan suaminya sekarang. Semua hal rumahtangga diabaikan.
“Saya tak suka sikap abang!.”
“Dan aku juga tak suka dengan cara kau Maria! Anak dalam kandungan tu anak siapa??.” Marah Faizal tidak berselindung.
“Astaghfirullah, apa abang cakap ni?”
“Aku tahu tu bukan anak aku, entah anak jantan mana entah!!.”
“Bawa mengucap!! Jangan biadap!!” Tidak tahan dengan tuduhan yang sentiasa sama, Maria menampar wajah suaminya. Faizal menolak isterinya lantas keluar dari rumah. Semakin lama semakin teruk sikap Faizal. Sebaik keadaan reda, Maria mengambil kunci kereta dan memandu ke arah rumah Fakrul. Tidak ada tempat lain untk dia mengadu lagi melainkan lelaki itu. Sepanjang perjalanan Maria menangis tidak berhenti sehingga tidak perasan dia melepasi garisan pembahagi jalan. Selama ini dia berpura-pura baik dan bahagia dengan Faizal semata-mata untuk menutup kekurangan yang sedia ada.
Bunyi dentuman itu mengejutkan Fakrul yang berada di dalam rumah, dia mengintai dari langsir tingkap. Melihat kereta Maria terbalik, dia berlari keluar. Tidak jauh dari rumahnya kejadian itu berlaku. Orang ramai sudah berkerumun.
“Maria... Maria... Allah...” Fakrul melihat kandungan wanita itu, itu yang paling dirisaukan. Dia mendukung dan membawa Maria ke hospital berdekatan. Nasib baik kemalangann itu tidak teruk. Maria hanya pengsan dan memerlukan rawatan buat masa ini.
Seorang doktor keluar menemui Fakrul yang menunggu di ruangan depan. Dia hanya tersenyum sebagai bahasa yang Maria dalam keadaan baik.
“Macam mana dengan anak?.”
“Alhamdulillah.” Doktor tersebut menepuk bahu Fakrul. “Jangan risau, anak encik selamat.”
“Errr... bukan... saya....”
“Fakrul!!” Jerit Faizal dari ruang pintu depan, berlari mendapatkan lelaki itu, menolak tiba-tiba. “Kau buat apa dengan isteri aku?!”
“Apa ni Faizal?.”
“Kau buat apa dengan isteri aku!!.” Jerit Faizal menarik perhatian seluruh pesakit yang berada berdekatan, doktor tadi cuba menenangkan namun Fakrul menarik lengan adiknya untuk berbincang di luar. Hal adik beradik biar dia yang selesaikan.
“Kenapa kau ni Faizal!!.” Tegur Fakrul sebaik mereka berada di luar dan jauh dari orang ramai.
“Kau jangan ingat aku tak tahulah tentang kau! Tentang isteri aku, aku tahu kau ada hubungan dengan isteri aku!!!” Faizal berlegar-legar di sekeliling, mengesat hidungnya. Fakrul menggeleng kepala. Dulu adiknya sudah berjanji tidak akan mengambil dadah lagi, tapi sejak berkahwin tingkahnya cukup teruk. Maria menderita mental dan emosi melayan kerenah adiknya dan dialah tempat Maria meluahkan perasaan. Berkali-kali Maria meminta pendapatnya untuk menamatkan hubungan, namun Fakrul tidak sampai hati pula memikirkan anak dalam kandungan. Anak itu memerlukan Faizal dan Maria sebagai ibu bapa, namun sekarang dia berkira-kira
“Kau dah janji tak akan ambik dadah lagi Faizal..”
“Tepilah!!! Aku tahu kau ada hubungan dengan isteri aku.” Balik-balik itulah yang dituduh. Fakrul memicit kepala, dia tahu kenapa Faizal bercakap begitu, dalam pengaruh dadah, apa sahaja boleh dibayangkan. Dan sejak minggu pertama perkahwinannya pun Faizal menuduh Maria curang dengan mana-mana jantan. Menuduh yang bukan-bukan, berkhayal yang entah apa-apa. Memaki, mencarut jadi kebiasaan. Memukul dan mabuk jadi makanan. Semuanya serba tidak kena, malah cukup sakit apabila dia mengatakan yang anak dalam kandungan itu bukan anaknya. Faizal terhuyung hayang.
“Kau mabuk lagi?” Tegur Fakrul, dia menarik lengan Faizal dan menyuruh lelaki itu duduk dahulu. Dia terlalu sayangkan Faizal. Silapnya juga terlalu beri muka pada lelaki itu. namun Fakrul buntu, hanya Faizal yang ada dalam hidupnya sekarang. Kalau boleh dia mahu Faizal bahagia, mahukan yang terbaik untuk adiknya. Sedaya upaya dia nasihat agar Maria mempertahankan rumah tangganya.
Maria pula terseksa dengan cara Faizal melayannya. Sering dipukul dan dihina, Maria tidak mampu bertahan. Melihat keadaan Faizal sekarang yang masih tidak berubah, rasanya Fakrul perlu juga membantu Maria. Satu penganiayaan pula bagi Maria jika perkahwinan itu diteruskan. Selama ini Maria banyak mengharapkannya untuk membantu. Maria tidak mahu melibatkan orang lain, lagipun hal keluarga ini jika tersebar sangat memalukan dirinya sendiri. Kalau boleh Maria mahu menutup aib suaminya, lantas Fakrul adalah orang yang tepat untuk dia mengadu.
Melihat Faizal terbaring di kerusi dan terlelap. Fakrul masuk ke dalam melihat adik iparnya, sekadar memastikan wanita itu elok dan sihat. Dia yang mempekenalkan Maria pada Faizal, tapi adiknya pula yang mencalarkan kepercayaan itu. Serabut betul otaknya saat Maria mengatakan yang Faizal tidak berubah. Bersungguh dia cuba melindungi sikap Faizal, namun kalau sudah isteri, duduk serumah, tidur sebantal, siapa lagi yang lebih mengenali Faizal berbanding Maria? Pintu bilik wad ditolak, Fakrul melangkah masuk.
“Maria ok?.”
“Sihat.. alhamdulillah...” Senyumnya. Terasa bersalah pula melihat Maria pucat dan tidak bermaya. Dia mengabaikan aduan Maria sejak akhir-akhir ini, malah dengan sengaja buat tak tahu. Terasa dirinya sangat kejam. Maria juga manusia, berhak bahagia.
“Saya bantu Maria proceed urusan penceraian itu ya.” Akhirnya Fakrul akur. Habis sudah ideanya untuk membantu jika Faizal tidak berusaha. Maria juga tidak punyai sesiapa, tinggal dengan neneknya, sekadar wanita yang bekerja di bengkelnya dahulu. Perasaan cintanya disekat semata-mata untuk memberi kebahagian pada Faizal, namun tidak sangka begini sekali perlakuan adiknya.
“Kalaulah saya berkahwin dengan awak dulu.”
Fakrul berdehem beberapa kali. “Jangan fikir pun... Berdosa...” Tegur Fakrul. Maria hanya tunduk malu. Berfikir tentang lelaki lain selain suami, sedangkan kau masih isteri? Besar dosanya. Nasihat itu Maria terima. Dan dia memang cintakan Faizal sesungguhnya. Sekadar kata-kata terluah kerana mengenangkan nasib yang menimpa.
“Jangan menyesal dengan perkahwinan. Gugur pahala selama jadi isteri.” Senyum Fakrul menasihat. Maria tersenyum mengangguk dan dia tidak bermaksud pun untuk menyatakan tadi. Dan untuk beberapa minggu sebelum urusan itu Maria disuruh duduk di rumah neneknya dan Fakrul menyuruh Faizal pulang ke rumah. Berasingan duduk untuk sementara, agar adiknya boleh berfikir waras tentang apa yang baik dan tidak.
“Makanlah....” Fakrul mempelawa. Faizal telah diberhentikan kerja. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk adiknya yang menjadi hamba kepada dadah, semua tidak kena, hanya kerja sekejap lepastu berhenti. Malamnya hilang, baliknya mabuk. Pulangnya lewat, tidur sehingga petang. Bangun makan, kaki gaduh, kaki pukul. Tidak ada perkara yang berfaedah yang dilakukan. Malah Faizal sering mengamuk apabila kemahuannya untuk membeli ‘barang’ tersebut tidak dituruti. Sebagai abang dia tetap sayang Faizal walau siapa pun dia. Tidak jemu dia menasihati. Cuma ada masanya dia juga letih.
“Ada duit tak?.” Faizal menyuap makanan.
“Abang tak akan beri kau duit lagi Faizal buat masa ni, bisness abang pun masalah sikit. Jadi kau gunalah apa yang ada... abang kena keluar ni.” Fakrul menggosok kepala Faizal sambil tersenyum.
“Mana Maria?.”
“Abang suruh dia pulang ke rumahnya semula. Dan kalau begini sikap Faizal, abang tak akan membantah kalau penceraian yang Maria mahukan.” Sekadar satu semangat agar adiknya berubah.
“Sebab kau boleh ambil dia sebagai isteri?.” Sinis Faizal memerli. Fakrul hanya senyum dan berlalu, malas rasanya untuk berbetah, sebab dia tidak akan mendapat apa pun faedah. Dari semalam Faizal mengamuk dan menengkingnya. Dia mungkin boleh berbincang dengan orang yang bodoh, tapi untuk orang yang jahil.... bukan pilihan untuk Fakrul bertekak.
“Abang nak keluar ni, ada nak kirim apa-apa tak?.”
“Ko nak ke mana malam-malam? Jumpa Maria? bersedap dengan dia?.”
Fakrul memakai kasut. “Kau ada kereta sendiri kan Faizal? Ko boleh pergi jumpa dia kalau rindu, abang nak keluar sebab nak ambil angin.” Tiba-tiba Faizal bangun dan berlari ke arah beg yang dibawa. Mengeluarkan sepucuk pistol dan dihalakan ke arah Fakrul.
“Kalau aku tak dapat Maria, tak ada siapa dapat!!.” Tembakan dilepaskan dua das. Tidak sempat mengelak sebiji peluru mengenai bahu kiri Fakrul. Dia yang terkejut segera berselindung, merangkak untuk pergi dari situ. Terkejut dengan tindakan Faizal yang tiba-tiba.Faizal berlari mendapatkan abangnya. Dia menendang lelaki itu. Berhamburan rak kasut dan meja depan sebaik tubuh Fakrul melayang ke atasnya. Sebatang besi dicapai dan Faizal menghentak kepala abangnya sebelum Fakrul terbaring tidak sedarkan diri.
Faizal menghalakan senjata ke arah Fakrul, namun beberapa budak berbasikal sedang melewati kawasan rumah. Habis basah lencun tubuh mereka semua berkejar-kejaran dengan pistol air. Mereka ketawa gembira bermain bersama. Faizal membatalkan niat, dia masuk ke dalam kereta dan memandu kenderaan menuju ke rumah Maria, dia tidak akan melepaskan Maria langsung!! Maria adalah miliknya.
Kereta dibelok ke arah perumahan di hujung kawasan. Rumah masih terang, penghuni belum tidur. Faizal menghentikan keretanya di hadapan rumah. Dia turun, memasukkan pistol di belakang baju, mengeluarkan pisau dan berjalan perlahan mengetuk pintu. Seorang wanita tua membuka, namun wajahnya tegang saat memandang Faizal.
“Nekkk... Ermmm, Maria ada?.” Tanya Faizal tersenyum terjengah-jengah ke belakang.
Fakrul memandu kenderaan perlahan. Dia memegang bahu dan kepala. Sekejap-sekejap dia berhenti di tepi jalan jika terasa pening.
“Aduhhh... mana Maria ni! Jawablah phone!.” Bentaknya. Dari tadi cuba menelefon tapi tidak berjawab. Dia mencangkung memegang kepala, melihat tapak tangannya yang tercalit darah. Meraba dahinya yang terluka. Beberapa tapak melangkah, Fakrul jatuh melutut. Dia memegang tepi kereta, duduk menenangkan diri.
Fakrul menekan punat nombor di telefonnya sekali lagi. “Hello... polis?.”
Faizal menarik pisau itu dari dada wanita tua tadi. Mengesat hidungnya beberapa kali,matanya merah dan wajahnya berpeluh. Maria menjerit tidak keruan, dia mendapatkan neneknya dan memeluk erat.
“Bangun... bangun... nenek!!!.”
Faizal menarik rambut Maria. Ditolak wanita itu ke atas sofa kasar. Menggeleng kepala sambil ketawa. “Kau tak patut cintakan abang aku Maria.”
“Aku tak pernah cintakan Fakrul. Ko yang salah faham Faizal!! Ko ambik dadah!! Otak ko rosak!!!!.”
“Kenapa kau nak bercerai dengan aku!!! Semua sebab Fakrul kan!!!.”
“Sebab diri kau!! Kau ambik dadah! Kaki judi! Main perempuan! Minum arak!! Kau pukul aku! Sekarang.... Nak bunuh aku pula!?? Macam mana lagi aku nak cintakan kau!!?.”
Faizal mengangkat pisau, berlari ke arah Maria.
HON!! HON!!
Beberapa kali Fakrul menekan bunyi itu agar mat rempit yang sibuk berbaring di tengah jalan itu beralih. Dia tidak jauh lagi untuk sampai di rumah Maria. Beberapa budak lelaki membaling batu dan pasir ke arah keretanya.
“Kurang ajar betul lah!!!.” Pekik Fakrul. Budak-budak remaja tadi mengejek serta mempermainkan kereta yang berhenti di depan mereka. Kerana hilang sabar, Fakrul keluar kereta memegang senjata, dia menghalakan pistol itu ke arah mereka semua.
“Ahhhhhhhhh!!!!!.” Lintang pukang kesemua mereka lari meninggalkan motor hingga ada yang tersungkur. Fakrul bersandar di tepi kereta memegang bahunya yang semakin sakit, separuh membongkok. Dia menembak pistol air yang dijumpai di depan rumahnya tadi lalu dibuang di tepi jalan, tersenyum sinis. “Padan muka!.” kemudian kembali memandu ke arah rumah Maria.
Maria menjerit apabila Faizal menampar wajahnya. Tubuhnya dipijak dan lehernya dicekik. Tercungap dia bernafas. Kakinya menendang kuat. Faizal menumbuk perut wanita itu dengan sengaja. Sekali lagi Maria menangis.
“Mampos ko!!!.” Faizal mencengkam kuat. Hilang sudah warasnya akal. Tidak lama itu tubuhnya tersungkur. Pistol di tangan terlepas. Belakang kepalanya berdarah. Faizal terkejut. Fakrul menarik tangan Maria untuk lari. Namun Faizal berpusing dan menikam kaki abangnya menyebabkan lelaki itu terbejat pergerakan. Jatuh melutut dan menjerit kuat. Faizal menendang Fakrul menghentak rak kaca tidak jauh dari situ.Dia mencapai pistol tadi, mengangkat separas bahu, namun cepat Fakrul menyepak tangan adiknya sebelum menghentak lutut pada wajah lelaki itu. Faizal terlentang kebelakang.
Maria sekali lagi mengambil buku tebal dari rak di sebelah menghentak kuat di kepala suaminya. Dia menarik Fakrul agar beredar dari situ. Larian mereka laju, semua benda diredah, beberapa kali Fakrul terjatuh, Maria tetap menarik agar mereka dapat larikan diri. Bisa tikaman di kaki itu semakin terasa dan Fakrul tidak larat untuk meneruskan.
“Berhenti!! Maria berhenti!!.” Fakrul menolak wanita itu dan terduduk di sebalik pokok. “Aku tak boleh lagi.”
“Kita kene cepat Fakrul...” Maria sekadar berbisik menahan suara. Dia menarik kembali tangan Fakhrul dan memaksa lelaki itu bangun. “Cepat...nanti dia jumpa!!.”
“BIADAP!!!” Faizal bangun dari situ, menggosok kepalanya beberapa kali, terasa bergegar otaknya dihentak tadi. Menendang semua barang di dalam rumah. Dia mengikut arah pintu belakang yang sudah terbuka, memegang pistol dan berlari keluar. Menoleh kiri kanan, memastikan laluan mana mereka berdua ikut.
“Kau tak akan lepas Maria... kau milik aku..” Dia ketawa kecil. Melangkah laju mengejar kedua mereka yang jauh di hadapan. Dedaun dan ranting ditolak tidak peduli tentang kesakitan yang dirasa.
“Maria!!!!!!!.” Jeritnya kasar. Langkahnya membelah pekat malam. Beberapa kayu dilangkah dan dia melompat tinggi melepasi halangan.
Fakrul terkejut. Kedua mereka terdiam. Menoleh ke arah jalan di belakang. Dia menelan liur, berpeluh satu badan. Oleh kerana takut, Maria menyorok tidak jauh dari situ. Fakrul menunggu dan bangun perlahan-lahan, sebelah tangannya menutup bahu di mana luka tembakan tadi. Dedaun pokok bergerak menyerlahkan sesusuk tubuh tidak jauh darinya. Lelaki itu ketawa kuat.
“Kat sini kau rupanya.” Laras senjata diangkat menghala ke arah Fakrul. “Nak lari mana???”
“Faizal... dengar cakap aku dulu.” Perlahan-lahan Fakrul bersuara.
“Pergi mampos!! Kau abang yang paling tidak berguna Fakrul!!!.” Faizal menarik penukul belakang, bersedia untuk menembak, wajahnya tersenyum sinis. Jarinya dipicu. Kedua mereka berdiri bertentangan.
Tembakan dilepaskan! Suasana sepi, diam, sunyi. Maria terbuntang mata. Fakrul menurunkan tangan, dia bersandar di sebalik pokok. Meraba dirinya yang tidak apa-apa, menoleh kembali kearah Faizal yang sudah jatuh melutut. Darah mengalir dari kepalanya. kemudian jatuh tersungkur. Dari belakang seorang lelaki memegang pistol, berjalan perlahan mendekati mereka.
“Encik Fakrul?” Tanya lelaki itu. Fakrul hanya mengangguk, terduduk. Benar-benar dia ingat dia mati tadi.
“Encik ok?” Sekali lagi Fakrul mendongak mengangguk. “Saya polis.” Lelaki itu menghampiri dan membantu Fakrul bangun. Maria mendekati dan menangis. Tidak lama itu barulah ramai anggota yang hadir dan membawa mayat Faizal keluar dari situ. Mayat nenek Maria juga dibawa bersama. Fakrul tidak tahu apa yang dirasa, melihat mayat adiknya diusung dia menenangkan Maria. Sungguhnya mereka berdua terkejut dengan apa yang berlaku, malah tindakan Faizal sangat tidak masuk akal, namun pemikiran di bawah pengaruh dadah sukar untuk diduga.
NOTA SAMPINGAN ::
Tak payah lagi nak diterangkan pasal ungkapan “Dadah musuh negara.” Semua tahu, tapi macam biasa, ramai je dekat negara kita ni yang ambik dadah. Even aku juga ada kawan rapat yang terlibat dengan jenayah dadah. Macam virus merebaknya. Yang terbaru ni di internet namanya Flakka, macam zombi dah gaya. Nak terang pasal kesan dan akibat, rasanya semua tahu. Hidup ini mudah dan hidup ini sekejap. Hargailah mereka yang menyayangi dan mereka yang sentiasa di sisi.
TAMAT
==========

Suntingan dan Gambar: Nil Kuhaku
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

Sunday, 12 November 2017

DENDAM - CeritaNasa


DENDAM
KARYA : CeritaNasa

===================
Helmi menunduk. Air yang mengalir dari rambut melurut ke wajah, dagu dan menitik semula ke sinki. Air paip masih terbuka, dibiarkan dengan sengaja. Dia mengeluh berat, menutup wajah dan meraup rambut beberapa kali. Kedua tangan menggenggam sinki. Dia mendongak melihat wajah di cermin hadapan, tersenyum sinis, menutup mata mengenangkan semula perbuatannya.
“Helmi… tolong jangan bunuh aku…” Rayu Salleh.
“Aku minta maaf. Kita dah lama berkawan baik.”
Helmi sekadar mengangguk tersenyum.

“Lamaaaa…. kita kenal cukup lama, sebab tu kau boleh gunakan kesempatan yang ada untuk meniduri isteri aku!” Satu alasan dan fitnah secara sengaja dalam mencari alasan pembunuhan.
“Astagfirullah… tak pernah sampai ke situ pun Helmi.” Sekali lagi Salleh merayu.
Kedua matanya ditutup dengan kain dan tangannya terikat, tidak dapat bergerak. Duduk diatas kerusi, sudah dua hari di situ tidak boleh melepaskan diri. Helmi mengambil hadiah yang siap dibungkus oleh Salleh lalu dibuka, dia ketawa melihat hadiah itu. Barang tersebut dibaling. Kedua bahu Salleh terangkat serentak apabila barang itu terhempas ke lantai.
“Helmi…. lepaskan aku…” Suara Salleh kedengaran bergetar. 
Ketakutan menyebabkan dia hampir menangis. Helmi berjalan berlegar di sekeliling. Ketawa tidak semena-mena. Tertoleh-toleh kepala Salleh cuba mengesan bunyi.

“Orang akan cari aku Helmi…” Rayu Salleh.
Di kala ini Helmi menarik kolar baju lelaki itu, berdiri tegak berhadapan, membuka pembalut matanya. Menyerlahkan wajahnya sekarang yang sedang berserabut. Tiba-tiba Helmi menangis.
“Aku cuba sayangkan Zura…. tapi aku tak boleh… Kenapa? Apa kelebihan korang semua? Apa kurangnya aku dulu? Sebab aku bodoh ke? Sebab aku miskin?”
Salleh hanya menggeleng. Cerita lama yang tidak boleh untuk diubah, satu kisah yang dia sesali menyeret kemana dia sekarang.
“Aku minta maaf…. Kita duduk berbincang dulu soal ni ya… kau bertenang dulu.”
Helmi hanya menggeleng, lantas pisau panjang yang dipegang ditikam di perut Salleh, memusing dan mengunci tikaman. Jeritan Salleh satu kejayaan baginya. Salleh jatuh melutut, namun Helmi hanya ketawa sakan. Pisau ditarik dan dia mengelar leher lelaki itu kejam. Salleh jatuh tersungkur. Tidak ada lagi suara, tidak ada lagi rayuan. Helmi berpuas hati, dia ketawa terbahak-bahak.
Pintu bonet belakang ditutup dan Helmi menolak kereta Salleh ke dalam gaung. Tayar bergolek dan kenderaan itu jatuh menjunam melepasi dedaun dan pokok sehingga terhempas di tanah, meletup menghasilkan bunyi yang kuat. Helmi menyilang tangan dihadapan wajah apabila bahang api itu terasa, sesudah puas, dia segera berlari dan meninggalkan kawasan tersebut.
DENDAM!!! – TIDAK ADA YANG UNTUNG MELAINKAN RUGI SEMATA-MATA!!
**********
“Abang...” Zura mengetuk pintu bilik air. Lama benar suaminya di dalam.
“Abang lama lagi ke? Dah dekat setengah jam dah.” Zura mengetuk lagi, tidak ada jawapan.
Panggilan telefon yang diterima sebentar tadi menyebabkan dia tidak keruan. Jika betul, sudah tentu ini pembunuhan kedua yang berlaku di tempat kerjanya. Dan setiap kali pembunuhan itu berlaku, dia adalah orang terakhir yang berjumpa dengan mangsa. Pintu bilik air dibuka kuat, mematikan lamunan Azura tadi, cepat-cepat dia memandang suaminya.
“Abang… Salleh bang… Salleh eksiden!.” Namun Helmi tidak pula menunjukkan yang dia berminat. Hanya mengangguk dan berdiri tegak, berkerut wajah seperti tidak mengenali Salleh.
“Salleh!! Kawan kita masa sekolah dulu… abang ingat tak?” Marah Zura sedikit meninggi suara.
Kali ini barulah Helmi mengangguk dan mencebik. Zura mendapatkan suaminya, duduk besebelahan.
“Mak dia telifon tadi, cakap yang Salleh eksiden, kereta dia jatuh gaung dan terbakar.”
Helmi berdehem beberapa kali. Lantas membelai rambut isterinya lembut. Melihat isterinya menangis, Helmi memeluk wanita itu erat di dada sambil mencium dahi. Menenangkan isterinya sedaya upayanya.
“Kita ziarah dia nanti.” Helmi membuat keputusan, namun hatinya lega. Dia memujuk supaya isterinya bersabar dan menganggap itu semua dugaan.
Hari ini Zura disoal siasat berikutan dia adalah orang terakhir yang bercakap dan berjumpa dengan Salleh sebelum lelaki itu mati. Zura memberi penerangan penuh tanpa menyembunyikan apa-apapun maklumat. Malah kematian Zubir sebelum ini juga seolah berkaitan apabila dikatakan Zura adalah orang terakhir yang berjumpa dengan kedua lelaki itu. jarak waktu pembunuhan yang sangat dekat, iaitu selang sebulan. Walaupun dikatakan kedua lelaki itu terlibat dalam kemalangan, tetapi kedua cara kematian adalah sama. Bedah siasat mayat menunjukkan ada bekas tikaman pada perut dan kelaran pada leher mangsa. Jadi polis mengesahkan ianya kes bunuh.
“Mangsa ada masalah dengan sesiapa ke sebelum ini?.” Tanya inspektor Shah.
Zura menggeleng kepala dan hanya mengatakan yang Zubir dan Salleh itu merupakan kawan nya sejak dari sekolah. Tidak ada masalah di tempat kerja dan memang rapat sejak dari dulu. Selepas habis keterangan barulah Zura diberi pulang.
“Pelik!!” Zura menghempas pintu kereta. Menoleh ke arah suaminya di sebelah.
“Apa yang peliknya?”
“Kenapa mereka nak dibunuh? Padahalnya mereka tu tak ada masalah pun dengan sesiapa.”
“Sayang… kita tak tahu pun siapa Zubir dan Salleh tu di luar. Entah-entah ada masalah dengan ah long ke, mana-mana orang ke…” Terang Helmi besemangat.
“Tak payah fikir sangatlah ya. Lagipun sekarang ni, tak ada siapa lagi yang nak ganggu kita.”
“Ganggu kita?”
“Errrr…. maksud abang. Dah bebas dari pertuduhan membunuh diaorang. Pihak polis tak boleh ganggu kita lagi.” Jawab Helmi teragak-agak. Zura hanya tersenyum memegang jari jemari suaminya.
“Zura sayang abang…” Balas Zura sambil memicit manja hidung lelaki itu.
Namun Helmi tidak pula tersenyum, dia melepaskan pegangan tersebut dan terus memandu. Zura sudah lali dengan suaminya, kadang-kadang dingin dan kadang-kadang romantik.
Sudah sebulan kematian Salleh namun Zura masih lagi tidak berhenti dari berfikir tentang lelaki itu. Iman memujuk Zura di ruang tamu. yang membuatkan Helmi marah adalah setiap kali Iman datang, Zura adalah orang pertama yang akan dia jumpa berbanding dirinya. Iman itu meskipun sepupu kepada Zura, hatinya tetap membentak marah. Helmi mendengus kencang. Dia masuk ke dapur, menyediakan air untuk kedua mereka. Helmi mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya.
‘Julap’
Dia tersenyum. Lalu dibancuh sekali dalam air teh tersebut. Banyak diletak, sambil mengacau air, sambil matanya melirik ke arah ruang tamu depan melihat Iman menyerahkan beberapa barang kepada Zura. Dia menyudahkan bancuhan meletakkan sudu ke dalam sinki. Meninggalkan tanpa dibasuh.
“Ni designnya.” Iman menyerahkan pendrive.
Sepatutnya itu tugas Salleh namun memandangkan Iman juga tahu selok belok bidang grafik, tugas itu disudahkan olehnya sejak kematian Salleh. Bekerja dalam syarikat grafik, kesemua mereka memainkan peranan yang berbeza. Syarikat itu ditubuhkan oleh ayah Zubir dan Zubir mengambil rakan baiknya untuk bekerja bersama, iaitu Zura, Iman dan Salleh bagi memudahkan urusan.
“Dah lama kita berkawan, sedih bila seorang demi seorang pula meninggalkan kita.” Sahut Azura sambil menyimpan pendrive tersebut.
“Dah ajal Zura….” Balas Iman.
“Macam berturutan pula kan?”
Helmi berdehem beberapa kali sambil membawa dua cawan kehadapan.
“Iman, sayang… jemput minum.” Pelawanya.
“Berbual dari tadi sampai dah pukul 10malam dah ni…” Sedikit perli dalam ketegasan.
Zura membeliakkan biji matanya agar Helmi bersikap sopan. Bukan dia tidak biasa dengan kehadiran Iman. Helmi kemudian ketawa mengambil gambar yang dibawa oleh Iman diatas meja. Satu persatu gambar diperhati. Ya, gambar Zubir, Iman, Salleh dan Zura. Gambar yang sama dimiliki isterinya.
“Gambar waktu sekolah ni kan?” Tanya Helmi serius tidak pula tersenyum. Iman hanya ketawa bertepuk tangan.
“Ya! Kami dulu kawan baik. Tapi dua dah tak ada… tinggallah aku dan Zura.” Jawab Iman selamba.
“Dan syarikat tempat kami kerja ni kepunyaan ayah Zubir.”
Helmi hanya mengangguk dan mencebik, seraya mendongak memandang mereka berdua.

“Minumlah…” Pelawanya sambil merenung gambar tersebut kembali.
**********
ZURA mengerekot menahan sakit perutnya, masuk kali ini sudah berapa kali dia ke tandas. Helmi berdiri di depan pintu tandas, mengetuk perlahan memanggil isterinya.
“Sakit lagi ke sayang….” tersenyum sinis, hatinya puas!!
Dia berdiri berpeluk tubuh sambil memandang kukunya yang semakin panjang. Zura membuka pintu bilik air dan membongkok.
“Tak tahulah makan apa tadi bang….” Dia menarik tangan suaminya agar turut berbaring di atas katil.
“Minta maaf ya bang… malam ni saya tak sihat pula.” Rayu Zura sambil mencium pipi Helmi.
Dia sangat sayangkan lelaki itu. Helmi tersenyum memujuk dan mengajak isterinya berehat.
“Abang sapukan minyak eh?” Manja Helmi melayan isterinya, dan untuk seketika mereka bergurau senda sebelum Zura meminta kebenaran ke tandas semula.
Encik Ghazali menyerahkan beberapa dokumen untuk disiapkan, turut bersama adalah orang baru yang menggantikan tempat anaknya dan Salleh. Selepas perbincangan dilakukan barulah kesemua mereka meminta diri untuk beredar. Encik Ghazali tersenyum ke arah Azura yang baru sahaja hendak pergi.
“Zura happy belated birthday!” Ucap Encik Ghazali.
“Maaf sebab terlalu memikirkan pasal Zubir sampai saya terlupa soal hari jadi awak. Kami pun tak buat apa-apa untuk menyambut awak.” Dia bersuara sayu.
“Birthday? Bila hari jadi saya?”
“Owh… haritu saya teman Salleh beli hadiah untuk awak katanya, untuk hari jadi awak. Saya ingat hari jadi awak bulan lepas.”
“Hari jadi saya lambat lagi encik.” Zura tersenyum. “Salleh sengaja lah tuuuu….”
“Jadi awak dah ambik hadiah tu? Cantik betul kuali yang dia belikan, katanya supaya awak rajin memasak untuk Helmi.”
Zura ketawa sakan. Tidak sangka pula jika Helmi mengadu kepada Salleh, nasib baik sahaja tidak diadu kepada Iman, jika tidak tentu sahaja Iman mengejek. Sudahlah dari kecil Iman suka benar menyakat. Zura meminta diri kerana waktu rehat mereka tidak lama. Encik Ghazali sekadar mengangguk dan meminta diri.

**********
“Sedap tak sayang?” Tanya Helmi.
Suka dia melihat isterinya makan dengan penuh beselera. Tengah hari itu mereka makan di restoran berdekatan, lagipun termpat kerja mereka tidak jauh.
“Mana-mana pun sedap asalkan makan dengan abang.” Tawa zura.
“Owh ya! Saya ajak Iman sekali tadi bang. Sebabnya dia ada sesuatu untuk kita.” Tawa zura, namun tidak bagi Helmi, senyumanya termati serta merta, wajahnya mencuka.
“Abang ok? Abang tak suka ke? Kalau abang tak suka, saya suruh Iman datang lain kali je.”
“Eh! Tak adalah sayang, abang cuma ingat kerja abang yang berlambak.” Balas Helmi acuh tidak acuh.
Dia menyambung makan. Tidak lama kemudian Iman datang membawa dua tiket untuk kedua mereka.
“Percutian ke Thailand Koh Lipe untuk korang berdua. Happy anniversary pertama!!! Semoga dapat anak cepat!” Iman gembira.
“Tiket ni hadiah aku untuk korang.”
“Errr…. tapi lambat lagi kan?” Zura jadi hairan. Rasanya tidak sampai setahun dia berkahwin, baru tujuh bulan.
“Thank you!” Jerit Helmi gembira, cepat memotong. Dia menoleh kearah isterinya.
“Kenapa nak tolak kalau orang dah bagi.” Melihat suaminya gembira, Zura tidak peduli tentang tarikh, baginya setiap hari adalah hari untuk mereka.
Zura ketawa melihat Helmi yang tidak sudah-sudah senyum. Soalan dari mana Iman mendapat tahu hari ulang tahun perkahwinannya pun sudah lupa untuk ditanya.
**********
Hari ini cuti bagi Helmi namun tidak bagi Zura. Helmi menyediakan sarapan dengan sangat romantik. Memasak dan menyanyi kecil menyediakan masakan untuk isterinya sebelum ke tempat kerja. Zura turun kedapur dengan berpakaian tidur.
“Masak apa bang!!!”Jerkahnya dari belakang.
“Special!” Jawab Helmi selamba sambil membasuh segala pinggan yang kotor.
Zura menghampiri dapur,melihat kuali yang sedikit unik, tidak pernah dibeli sebelum ini. Dia meraba dan memegang setiap inci, memang dia tidak pernah ada pun kuali tersebut di rumah.
“Hari jadi saya lambat lagi encik.” Zura tersenyum. “Salleh sengaja lah tuuuu….”
“Jadi awak dah ambik hadiah tu? Cantik betul kuali yang dia belikan, katanya supaya awak rajin memasak untuk Helmi.” Kata-kata Encik Ghazali terngiang-ngiang.
“Sayang!! Nak makan tak? Pergi mandi…” Helmi memeluk belakang isterinya sekaligus memeranjatkan Zura yang sedang mengelamun.
Dia hanya mengangguk dan berlalu dari situ. Dia tidak makan banyak pun, tidak berselera, sesekali menoleh ke arah Helmi yang sibuk bercerita tentang kerjanya. Dia menoleh ke arah kuali di dapur itu semula. Bermacam-macam perkara terzahir dari benak minda. Sedaya upaya cuba disingkirkan. Hatinya tetap bertegas tidak mungkin perkara lama berulang.
“Sayang…” Tegur Helmi. “Kenapa ni? Tak sedap ke?” Tanya Helmi melihat isterinya bermuram.
“Kenapa abang tak makan?”
“Abang suka tengok sayang makan… selalu Zura sediakan abang sarapan, hari ni biar abang buat untuk sayang…” Pujuk Helmi menyuruh isterinya menghabiskan sarapan, tidak mahu isterinya belapar nanti.
“Err… saya dah lambat nak ke tempat kerja ni. Nanti Iman tunggu pula sebab kami ada meeting hari ni, kertas kerja pada saya.” Zura menghabiskan air dan segera bangun mengemas meja. Melihat kuali tersebut hatinya berdebar. Tidak tahu kenapa, namun nalurinya tidak senang.
“Tak nak bawa sarapan ke? Abang masak lebih ni. Boleh makan dengan Iman.”
“Tak apa… Iman cakap dia dah belikan tadi, semua dah disediakan di sana.” Zura berpaling dan tersenyum. Dia mencapai beg.
“Owh ya! Saya tak sabar nak pergi honeymoon tu, nanti jangan lupa abang ucap terima kasih pada Iman sebab dia sanggup aturkan untuk kita semua tu.” Jujur Zura akui.
Dia memeluk dan bersalam dengan suaminya sebelum pergi. Helmi melambai sebaik pemergian isterinya. senyumannya termati. Dia menghempas pintu rumah.
“Iman… Iman… Iman….” Dia menendang semua barangan di dalam rumah tidak semena-mena, habis beselerakan makanan yang dihidangkan di atas meja.
“Aku masak kau tak makan, kau tunggu juga si Iman!!!”
Zura duduk termenung, jenuh otaknya berfikir. Selepas habis meeting tadi dia makan beramai-ramai. Makanan yang telah disediakan oleh Iman seperti yang disuruh oleh Encik Ghazali untuk semua staff. Melihat bosnya berlalu Zura mengejar dari belakang. Encik Ghazali berhenti dan menoleh.
“Maaf encik, saya cuma nak tanya, macam mana Salleh tahu hari jadi saya bulan lepas pula?”
“Helmi yang cakap! Dia ada datang berborak dengan Salleh dulu. Masa nak beli hadiah tu kebetulan saya ada di tempat yang sama, jadi Salleh ajak saya teman dia. Lepas tu saya terus tak jumpa dia, dan tahu-tahu dia meninggal sebab kemalangan.” Encik Ghazali mengeluh, namun dia dongak tersenyum.
“Awak tak jemput saya pun ke rumah ada majlis makan-makan?”
Sekali lagi Zura terkejut.
“Errr… suami saya cakap macam tu ke?”
Encik Ghazali mengangguk, dia tidak berkecil hati pun walaupun jemputan itu hanya untuk Salleh. Dia sekadar memerli sahaja. Tidak lama itu dia meminta diri dan berjalan melepasi koridor tersebut. Runsing Zura memikirkan. Namun hatinya semakin banyak tertanya-tanya.
“Tak kan lah sebab dulu tu, Helmi masih berdendam…” Dia malas berfikir lagi.
Zura berjalan ke ruang kamar pejabat. Mencari Iman. Dia perlu mengetahui sesuatu. Namun Iman tiada. Apabila ditanya orang sekeliling, mereka menyatakan Iman keluar ke suatu tempat namun tidak dinyatakan. Puas Zura menelefon, namun tetap juga Iman tidak menjawab.
“Mana dia ni!!” Zura jadi tidak sedap hati. Dia segera keluar dari pejabat mencari sepupunya.
**********
Iman menghentikan keretanya di luar sebuah pondok usang. Dia berjalan perlahan meniti kayu dan terlihat Helmi berdiri tidak jauh dari luar pintu rumah. Iman berlari anak.
“Kenapa nak jumpa di sini?”
“Zura tahu ke aku yang suruh kau belikan tiket ke Thailand tu?” Tanya Helmi sambil menyalakan sebatang rokok.
Iman sekadar menggeleng, menoleh sekeliling rumah dan kawasan. Agak sunyi dan dia tidak selesa.
“Sejak bila kau merokok ni?” Tanya Iman. Namun Helmi sekadar tersenyum. Menghembus asap rokok tersebut, menoleh ke arah Iman. Sekejap-sekejap matanya dikecilkan apabila asap rokok memenuhi wajah.
“So! Mana duitnya? Aku dah belikan tiket ni pakai duit aku dulu. Kau janji nak bayar.” Iman meminta duit ganti harga tiket yang didahulukannya.
Namun Helmi masih lagi tersenyum merenungnya. Menyedut asap rokok sambil menghembus ke arah lelaki itu. Iman benar-benar tercabar. Dia memang tidak pernah bersetuju pun Zura berkahwin dengan Helmi, namun kerana untuk menjaga hati terpaksa dia turutkan. Berbuat gembira adalah cara terbaik agar Zura tidak berkecil hati.
“Mana duit aku!” Tengking Iman. Dia sudah puas berpura-pura selama ini.
Helmi mengeluarkan duit lantas dibaling ke arah Iman. Dia menyambung kembali rokoknya. Sikapnya yang biadap itu tidak menyenangkan langsung.
“Sepatutnya Zura tu berkahwin dengan Salleh bukan kau!!! Kau tak layak!!” Iman berlalu pergi.
“Hurmmm dia pun dah mati kan…” Garau suara Helmi berbicara. Iman sedikit hairan namun dia tidak peduli, mahu cepat balik.
“Kau ingat dulu… waktu kau ajak aku ke sini?” Tanya Helmi, lantas berdiri dan bersandar. Iman terhenti dan menoleh.
“Masa tu…. kau tipu aku. Kau cakap nak sambut hari jadi Zura di sini, tapi kau, Zubir dan Salleh pukul aku, kau buli aku, kau kurung aku, kau hina aku, kau layan aku macam sampah! Macam-macam kau buat…. Aku anak yatim, korang kaya… apa aku boleh buat pun….” Helmi tertawa lagi.
“Apa kau merepek ni!!” Marah Iman.
Dia tercengang, perkara tersebut telah berlalu hampir 15 tahun. Helmi mengeluarkan gambar yang ditangkap oleh mereka suatu masa dulu, di pondok yang sama. Gambar Iman, Zubir, Salleh dan Zura. Gambar yang sama Iman bawa pada malam dia berkunjung ke rumahnya. Gambar itu di koyakkan dan dibaling.
“Kau ikat aku dekat pondok ni dan kau bergembira di luar bergambar bersama. Dengan Zura! Dengan Salleh dan Zubir!!!” Pekik Helmi.
“Kau kurung aku dua hari di sini!!!!” Terangkat kedua bahu Iman kerana terperanjat akibat ditengking. Helmi duduk kembali menghabiskan rokoknya.
“Kenapa korang benci aku??? Apa salah aku???”
Iman benar-benar terkejut. Dia terdiam tidak bercakap. Memang Helmi adalah mangsa buli mereka dulu, dia sering diketepikan dalam setiap keadaan. Malah kerana dia agak lambat dalam pembelajaran dia tidak pernah mendapat perhatian dari mana-mana kawan. Namun itu semua telah berlalu. Walaupun bertahun Helmi bertahan, apabila meningkat dewasa mereka telah pun meminta maaf. Malah perkara tersebut telah dilupakan. Ya! Hanya dia yang melupakan semua itu, tapi tidak pada Helmi.
“Kau yang bunuh Zubir dan Salleh???” Tanya Iman teragak-agak, tidak percaya dengan perubahan lelaki itu yang tiba-tiba.
Helmi sekadar ketawa dan mengangguk bertepuk tangan.
Sebuah kereta berhenti mengejut, menyebarkan debu-debu tanah di sekitar. Kedua kakinya dihempas ke tanah, Pintu ditutup kuat dan Zura berlari dari situ.

“Abang!!! Abang!!!” Zura cepat menuju ke arah pondok berkenaan.
Dengan tidak semena-mena dia terbatuk batuk teruk dan langkahnya longlai. Nafasnya lelah. Zura bangun dan berdiri tegak semula. Tidak tahu kenapa tiba-tiba pandangannya kabur.
“Abang….” Panggil zura perlahan, hidung dan batuknya mengeluarkan darah. Namun dia kuatkan dirinya untuk pergi ke arah pondok tersebut. Dia tahu mereka berdua ada di situ.
“Kau gila ke Helmi!!!” Marah Iman, mendepa tangan.
“Ye!! Memang aku gila!!! kau ingat aku nak lepaskan macam tu je ke??”
“Zura isteri kau!!! Isteri kau Helmi!!!!”
“Well…..Aku masih tak boleh lupakan perbuatan dia.” Senyum Helmi sambil bersiul kecil.
Kedua mereka terdiam tidak bercakap. Hanya dengusan nafas yang membuak menahan amarah jiwa.
“Kau akan mati dan Zura aku akan bunuh di Thailand supaya ianya kelihatan seperti kemalangan seperti mana Zubir dan Salleh… itupun jika dia tak mati hari ni.”
“Kau buat apa pada Zura!!!” Tengking Iman.
Tidak menjawab, Helmi mengambil sebatang kayu, berlari mengejar. Lintang pukang Iman berlari tidak cukup kaki. Meminta tolong. Akhirnya dia tersungkur dan Helmi menghentak kayu tersebut di belakang kepalanya sehingga pengsan. Tubuh Iman diseret dan dibawa kembali ke pondok tadi, diikat dan dilakukan seperti mana Zubir dan Salleh sebelum ini. Sebilah pisau panjang dipegang dan Helmi ketawa menyeringai.
Zura berjalan terhuyung hayang, memegang kepala.

“Kenapa pula ni???”
Sesekali dia berhenti memegang dada. Mengurut serta bernafas semahunya. Dia muntah, dan muntahnya berdarah lagi. Zura menggigil resah.
“Kenapa ni??” Tangisannya kedengaran kerana terlampau takut.
Perlahan-lahan Zura melangkah, dari jauh kelihatan pondok tersebut mengecil dan kabur. Dia berjalan memapah dahan pokok, sehingga hampir dengan kawasan yang dituju. Nafasnya semakin lelah.
Sebaik tiba, pintu ditolak kasar dan kelihatan mayat Iman sudah terbaring di lantai. Zura segera mendapatkan sepupunya, mengendong kepala lelaki itu. sekali lagi dia terbatuk dan darah bersembur dari mulut. Zura memegang bibir dan hidung, dia mendongak memandang Helmi sambil menangis memeluk Iman.
“Cepat racun tu bertindak…hehh” Helmi tersenyum sinis.
Dia meletakkan cecair itu dalam sarapan dan minuman isterinya pagi tadi, namun Zura tidak makan banyak, rasanya cukup untuk menyakiti dalam tempoh sekarang. Tidak lama itu Zura terbaring di lantai, bernafas lemah. Matanya terbeliak memandang ke atas. Helmi mendekati dan membelai Zura perlahan.
“Aku benci kau Zura… aku benci kau dan kesemua mereka.” Ucap Helmi berbisik sambil melirik ke arah gambar tersebut.
Susah payah dia mengambil hati Zura untuk mengahwininya hanya semata-mata untuk melihat mereka semua mati di depan mata.
Di luar, anggota polis sudah memenuhi ruang pondok. Sebaik mendapat laporan dari Zura, anggota polis cepat bertindak, namun Zura terlebih dahulu ke tempat kejadian. Pintu di tendang dan Helmi masih lagi memeluk Zura dalam dakapan. Membelai rambut wanita itu lembut sambil menyanyi kecil.
-TAMAT-
Nota Ringkas: Buli bukan satu perkara main-main! Tegas dan cukup jelas!! Berapa ramai mereka di luar sana yang masih tidak boleh berganjak dari pengalaman silam? Kalau dah namanya manusia, keputusan itu kadang kala menyebelahi kejahatan!! Buli diletakkan di bawah kesalahan jenayah. Dan sehingga sekarang laporan keatas kes buli boleh dilihat dari sekecil institusi iaitu sekolah sehingga di tempat kerja.
“Orang yang kuat bukan yang banyak mengalahkan orang dengan kekuatannya. Orang yang kuat hanyalah mereka yang mampu menahan diri di saat marahnya.” (HR. Al-Bukhari no. 6114).
Assalamualaikum.
=====================
Suntingan Kucing Kelabu
Gambar : Nil Kuhaku

Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.