Tuesday 1 May 2018

TAJUK: HILANG - Nil Kuhaku


TAJUK: HILANG 
PENULIS: NIL

=============

Noraida terkocoh-kocoh mengambil bekas susu di atas meja. Suaminya, Halim sedang membasuh cawan di sinki. Haziq yang masih mamai didukung Noraida, sudah bertukar baju. Menanti di hantar ke pengasuh sahaja. Sempat Noraida mengambil ‘inhaler’ Haziq. Anaknya ada asma.


Tiba-tiba, telefon rumah berdering. Halim memandang Noraida sedikit hairan. Jarang-jarang telefon rumah berdering. Mereka masih pakai telefon rumah itu pun disebabkan sambungan internet.

“Tak apa, saya angkatkan.” ujar Noraida. Dengan Haziq di lengan sebelah kiri, tangan kanan Noraida mencapai gagang telefon.

“Hello?”
Diam.

“Hello?” Noraida mengulang, sedikit keras. Pagi-pagi tengah sibuk ini, dia tak berapa sabar.

“Hello. Ini… Noraida ke?” satu suara perempuan bertanya di hujung talian.

“Ya, ini Noraida.” balasnya. Halim mengelap tangan yang basah, lalu mengambil Haziq yang masih dibuai kantuk di dukungan Noraida.

Diam sebentar di hujung talian. Noraida dengar desah nafas perlahan. Seperti perempuan itu teragak-agak mahu mengatakan sesuatu.

“Ini siapa ya?” Noraida berkata tidak sabar. Dia mengerling jam di dinding, hampir 10 minit lagi pukul 7 pagi. Dia sudah lewat. Mana mahu hantar Haziq di rumah pengasuh lagi.

“Ini… Ini Mira.”

“Mira mana ya?” suara Noraida sudah tertekan. Sungguh dia tak ada masa.

“Mira. Nor Amira. Anak mama.” suara itu berkata teragak-agak.

Jantung Noraida seperti direnggut, diselubung ais beku. Matanya terbeliak. Dia memandang Halim terkejut. Halim, yang tidak mendengar apa yang dikatakan perempuan di talian itu cuma memandang Noraida aneh.

“Amira?” bisik Noraida. Waktu itu, Halim juga terkejut. Perlahan, darah seperti menghilang dari wajah Halim. Dia merenung Noraida terkejut.

“Ya, ini Amira. Ini… Mama kan?”

“Jangan tipu saya. Amira dah hilang sepuluh tahun yang lalu!” tegas Noraida. Halim masih berdiri di sisinya, senyap tidak berkata apa.

Talian itu diam sebentar, sebelum telefon diambil seseorang.

“Hello, Puan Noraida?” suara lelaki. Tegas. Dalam.

“Ya. Ya saya.”

“Saya Asif, menelefon dari Balai Polis Daerah M. Boleh puan datang ke sini sekarang? Kami jumpa seorang remaja perempuan, yang mengaku dia adalah anak puan.” ujar lelaki itu.

Noraida menggeletar. 
“Ya, ya. Saya ke sana sekarang.” katanya, sambil merenung Halim. Telefon diletakkan kembali.


“Mereka jumpa Amira.” bisik Noraida dengan mata bergenang. Halim tergamam.

-10 tahun dahulu-
Aida cuma mampu menangis. Halim sudah tiada daya. Cuma mendiamkan diri di kerusi. Dia menekup muka, bersedih.

Amira hilang sewaktu keluar membeli gula-gula di kedai yang hanya beberapa meter dari kedai makan tempat Noraida bekerja. Hilang. Lenyap tanpa kesan. Zaman itu, apalah sangat kalau kanak-kanak keluar. Tak ada orang pandang. Zaman itu, semua ingatkan selamat.

Tapi bukan untuk si kecil Amira. Dia hilang tanpa kesan.

Aida dan Halim berkahwin pada usia muda, waktu masing-masing berusia 19 tahun. Mereka berkahwin kerana terlanjur. Ya, Amira dikandungkan sebelum mereka berkahwin. Atas dasar tanggungjawab, Halim menikahi Aida. Mereka dikahwinkan terburu-buru, dengan Aida hanya menyarungkan baju kurung lama miliknya. Selepas mereka dikahwinkan, mereka dibuang keluarga.

Mereka berdua waktu itu baru sahaja mendapat keputusan SPM. Tiada kelulusan apa-apa. Walaupun keputusan SPM Aida boleh tahan, dia tak mampu menyambung pelajaran ke mana-mana dengan perut memboyot. Mereka berpindah jauh ke bandar, dengan Halim bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dengan duit gaji sebanyak RM700 sebulan, mereka hanya mampu menyewa bilik. Bilik air, dapur semua, mereka berkongsi dengan penghuni lain. Mereka bergerak ke mana-mana pun dengan pengangkutan awam.

Apabila Amira lahir, dia kerap sakit. Lahirnya pun kecil dari bayi lain, mungkin disebabkan Aida dan Halim asyik ikat perut. Disebalik itu tetap ada rezeki anak kecil itu bawa, Halim diterima bekerja di 7-Eleven. Dengan gaji sebagai juruwang di sana, mampulah Halim membeli sebuah motor kapcai. Namun apabila ditolak susu tepung Amira, lampin dan sebagainya, mereka tetap kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Waktu inilah Aida nekad mahu bekerja. Dia diterima kerja di sebuah kedai makan. Okaylah, kerana kedai itu bermurah hati membenarkan Aida bawa Amira ke kedai. Amira pula tak banyak kerenah. Dia selesa duduk diam di meja, mewarna, melukis apa-apa yang minda kanak-kanak bayangkan.

Entah bagaimana, hari itu si kecil Amira yang baru berumur lima tahun meminta dua puluh sen dari ibunya. Katanya mahu beli gula-gula.

“Hati-hati lintas jalan. Lepas beli, datang sini balik.” tegas Aida. Amira mengangguk, teruja. Badan kecilnya terkedek-kedek melalui celahan meja dan kerusi kedai, sebelum hilang dari pandangan.

Itulah kali terakhir Aida melihat Amira.

Kisah kehilangan Amira menggemparkan seluruh negara. Amira hilang begitu sahaja. Tiada kesan. Tiada siapa nampak kemana Amira pergi. Orang terakhir yang melihat Amira adalah apek kedai runcit tersebut. Amira membeli sekeping coklat duit. Sekeping lagi, apek itu belanja. Selepas itu Amira keluar. Beberapa kali kedai apek itu digeledah.

Tiada kesan Amira. 

Waktu ini, keluarga yang sekian lama membuang Aida dan Halim menghubungi mereka kembali. Meminta maaf. Mahu menyambung ikatan yang terputus. Aida dan Halim yang ibarat layang-layang terputus tali, menyambut dengan hati terbuka. Keluarga mereka menyesal. Menyesal tidak dapat mengenal cucu, menyesal tidak sempat bermanja dengan anak saudara.


Selepas beberapa bulan, kisah Amira mulai senyap. Bulan berganti tahun, tiada bayang Amira. Amira mulai dilupakan semua orang, hanya terpahat kukuh dalam hati Aida dan Halim.

Selepas beberapa tahun berduka, kehidupan perlu diteruskan. Aida ambil keputusan untuk sambung belajar. Selepas mendapat diploma, dia diterima bekerja sebagai seorang kerani kerajaan. Halim pula mengambil sijil kemahiran. Tiga tahun lepas, mereka dikurniakan Haziq. Hidup mereka kembali bahagia selepas sekian lama. Kisah sedih itu masih terpahat di hati Aida, namun ia makin pudar dimamah masa.

Namun, selepas 10 tahun, nama Amira muncul kembali. Yang lagi sadis, hari ini harijadi kelima belas Amira.

Noraida menggigil. Halim menggenggam erat stereng kereta. Air mata mengalir laju dari tubir matanya.

“Ini bukan jalan ke rumah Mak Ani.” Haziq berkata pelat. Dia terkebil-kebil dari tempat duduk belakang, patung dinosaur ungu miliknya dikepit dicelah ketiak.

“Kita nak pergi mana mama? Mama tak work ke hari ni?”Haziq berkata lagi, selepas ibu dan ayahnya tidak hiraukannya. 

“Kita… kita nak pergi balai polis, Haziq.” ujar Halim.

“Balai polis? Kenapa?”

“Abah dan mama nak jumpa seseorang kejap.” Halim berkata dalam getar suara. Aida teresak-esak. Haziq memandang kehairanan. Dia mengambil keputusan untuk diam sahaja, dia pun masih mengantuk. Dia menguap, sebelum menyandar diam di belakang kereta.

Sampai sahaja mereka ke balai polis, mereka berdua meluru keluar.

“Isteri saya ada terima panggilan dari Tuan Asif tadi. Dia ada?” tanya Halim kepada polis bertugas di dalam.

Polis itu terpinga-pinga.

“Asif? Kami tiada staf bernama Asif disini, encik.” ujarnya hairan.

“Tapi, tadi kami ada terima panggilan dari sini.” Aida dan Halim berpandangan.

Polis itu menggeleng.

“Maaf encik. Dah lima tahun saya kerja disini. Staf bernama Asif memang tak ada. Mungkin ‘prank call’, tak?” ujar polis itu dengan wajah berkerut.

Halim melepaskan keluhan panjang. Aida menangis hiba.

Entah siapa yang tidak berhati perut sebegini.

Mereka melangkah keluar dari balai polis itu selepas membuat laporan. Mana tahu, selepas ini, mereka boleh meminta pihak telekomunikasi mengesan nombor tersebut. Halim mengusap-usap belakang Aida yang sedang menangis sayu.

“Kalau Mira ada lagi, dia dah tingkatan tiga, kan Aida?” Halim berkata sebal.

“Ya. Kalau dia ada, Haziq tak lah sunyi sangat. Boleh temankan dia.” ujar Aida sedih.

Mereka terdiam, sebelum wajah Halim pucat.

Haziq tertinggal dalam kereta!

Pantas, mereka meluru ke kereta. Matahari memancar terik. Haziq terbaring kelemasan di dalam kereta. Matanya kuyu, separuh terbuka. Dia tercungap-cungap. Haziq sedang lelah! Lagi memburukkan keadaan, Aida ternampak kunci kereta terbuai-buai di dalam.

“Haziq!” Aida menjerit seperti hilang akal.

“HAZIQ!!!” jeritnya lagi, menampar-nampar cermin kereta. Haziq terbaring lesu. Wajahnya pucat. Bibirnya membiru.

“Abang pergi minta tolong!” ujar Halim, berlari ke balai polis.

“Haziq! Bangun sayang! Buka pintu!” raung Noraida. Dalam samar tingkap kereta, Noraida ternampak bayang kanak-kanak perempuan disisi Haziq.

Wanita itu tergamam.

Kanak-kanak perempuan itu tersengih memandang Noraida. Tangannya diangkat, menutup hidung Haziq yang sedang bertarung nyawa.

“Amira…?” bisik Aida terkesima.

Waktu itu, wajah anak itu memburuk. Wajahnya kembung di mamah ulat. Daging pipi kanak-kanak itu berjejeran jatuh di ‘seat’ kereta. Matanya cengkung seperti mayat.

“Mama minta maaf… Salah mama…” bisik Aida dalam linangan air mata. Puaka itu cuma merenungnya marah.

Bukan apek kedai runcit orang terakhir yang nampak Amira.

Aida. Aida yang terakhir. Amira selalu akan masuk ke restoran tempat Aida bekerja melalui pintu belakang. Lorong-lorong sunyi belakang kedai. Waktu itu, Aida sedang membuang sampah.

Dia sendiri lihat, ada seorang lelaki yang berbual dengan Amira.

Dia sendiri lihat, lelaki itu mendukung Amira.

Lelaki itu nampak Aida merenung mereka. Awalnya lelaki itu takut-takut. Diletaknya Amira kembali. Amira lihat mamanya, jadi dia meluru kearah mamanya teruja.

“Mama, pakcik tu nak bawa Amira jalan-jalan.”

Aida menelan air liur. Dia memandang Amira yang berwajah mulus.

Sungguh, dia penat. Penat. Dia tak minta Amira dilahirkan. Dia penat bekerja hampir setiap masa, semata-mata mahu membeli makan pakai Amira.

“Pergilah.” ujar Aida menggeletar.

“Wah. Terima kasih mama!” ucap Amira riang. Ditarik tangan mamanya, dikucup lembut sebelum meluru ke arah lelaki durjana itu.

“Aku nak buat apa sekarang?” tanya lelaki itu dua hari kemudian. Mereka berjumpa di restoran tempat Aida bekerja.

“Buatlah apa kau suka.” ujar Aida tidak acuh. Seingatnya, nama lelaki itu…

Asif.

Waktu polis sampai, tubuh Haziq telah pun kaku di dalam kereta.

Aida meracau-racau disisi kereta. Tergelak-gelak ngeri. Kepalanya dihantukkan bertubi-tubi di kereta.

“Maafkan mama! Maafkan mama!”

TAMAT
================
Gambar: Nil

Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: