Sunday, 29 April 2018

RINDU - Nasa Yusuf


RINDU
Nukilan : Nasa Yusuf
==================================
Lambaian dedaun di luar jendela sedikit menenangkan. Dari tingkap kecil berbentuk empat segi itu terlihat kayu semakin usang sebagai penghias ukiran. Berwarna coklat lembut. Cermin tingkap sedikit kelam, berkabus. Apabila dikesat dengan tangan, masih lagi kembali pada yang asal. Kelam semula...

Telefon berbunyi.
“Mommy”.

Itulah nama yang terpapar di skrin. Malas betul dia nak menjawab. Namun deringan itu berkali-kali. Akhirnya Maya mengalah.

“Ye mommy...”
“Betul Maya tak mahu balik rumah mommy? Dah seminggu Maya langsung tak jenguk mommy. Mommy rindu....”
“Beri Maya masa...” Pintanya perlahan. Lantas talian dimatikan.

Maya menghela nafas. Duduk di meja bulat tepi jendela, menghirup air kopi pekat yang dijadikan peneman setia. Masuk hari ini sudah tiga hari dia tidak dapat lelap dengan erti kata sebenar-benarnya tidur. Perlahan-lahan, cecair itu mengalir di tekak. Wajahnya berkerut-kerut, tapi ianya nikmat dunia sarapan paginya.

Di sebelahnya kain langsir berwarna hijau muda siap untuk dipasang. Diletakkan di atas sofa sementara. Di sampingnya ada juga langsir berwarna coklat. Sebenarnya dia masih berkira-kira untuk memilih. Sekejap lagi dia akan menukar kain langsir yang nampak sudah pudar di rumahnya.

Cawan itu diletak perlahan. Dibetulkan pemegang agar seiring dengan tubuh. Entah apa tujuan. Sekadar bosan dan melayan perasaan mungkin! Sekali lagi Maya mengeluh.

Rindu....

Ya... itulah yang menyebabkan dia begitu dalam berperilaku. Masuk hari ini sudah lima hari pemergian suami tercinta. Maya betah duduk di rumah seorang diri. Keluarganya sudah mengajak agar tinggal bersama, tapi bagi Maya biarlah dia dengan kenangan yang masih baru bersama suami.

Sesekali Maya tersenyum, ketawa kecil apabila imbauan memori itu singgah. Ya! Rudi cukup kelakar. Orangnya simple, tidak banyak bercakap. Apabila berbicara lembut tingkahnya. Tidak pandai marah, tidak pandai bergurau, tapi dalam seriusnya itu, Maya cukup terhibur.

“Cantik betul Maya ni...”

Ujar Rudi di suatu pagi. Ketika mereka masih berbaring di katil empuk. Kenangan bagi suami isteri yang sangat bernilai. Sentuhan Rudi melurut di segenap tubuh. Maya memegang tapak tangan suaminya. melihat dan mencium sepenuh perasaan.

Ada tahi lalat di ibu jari kanannya. Rambut suaminya lurus hampir mencecah bahu. Malah anak matanya berwarna coklat perang hazelnut. Rudi menolak rambutnya kebelakang.

“Biasa je bang...”

“Maya sangat cantik....” Puji Rudi lagi. Tidak dinafikan memang isterinya itu sungguh cantik, menarik dan sedap mata memandang.

Maya suka dipuji. Minyak wangi jenama ‘legend’ itu masih lagi melekat baunya di badan Rudi. Maya mencium beberapa kali. Suka betul pada haruman itu.

“Kalau abang tak ada satu masa nanti, ketahuilah yang abang sentiasa ingat pada sayang. Abang akan sentiasa rindu sayang. Walaupun abang tak ada tapi abang sentiasa nampak sayang...”

Maya mengangguk.

“Abang nak air teh?.” Dia bangun dari katil, meluru untuk menyediakan sarapan.

“Abang tak minum teh. Abang suka kopi.”

“Tapi Maya tak suka kopi....” Maya tersenyum memujuk. Mahu juga dia memaksa Rudi agar mengikut kemahuannya.

“Abang tetap suka kopi sayang...” Rudi mencuit dagu isteri tercinta.

Bunyi air yang siap dimasak mematikan lamunan Maya. Tidak ada lagi Rudi, tidak ada lagi perbualan tadi. Kepalanya tertoleh-toleh. Terasa seperti dia di dalam mimpi. Kemudian Maya menghela nafas. Air kopi di atas meja di tenung.

Pahit!

Itu adalah persepsi awalnya apabila meneguk minuman kelat itu. Namun kerana rindu.... kerana rindulah dia suka apa yang Rudi suka, dia cuba apa yang Rudi cuba. Semua kerana dia sangat rindukan lelaki itu.

Matanya sedikit segar walaupun air itu tidak diminum sepenuh hati. Maya bangkit berjalan lemah ke arah dapur. Mematikan api dan dia menoleh ke arah langsir di rumahnya. Maya duduk bersandar di tepi dinding. Masih lagi setiap memori di rumah itu singgah.

“Langsir ni tak cantik lah sayang...” Tegur Rudi mencemik.

“Sayang suka! Sayang tetap nak warna coklat.”

“Ambil lah warna hijau muda tu... yang tu abang suka...” Rudi memeluk pinggang isterinya.

“Tak nak!! Saya tak suka warna hijau muda!!.”

“Hurmm... tak kisah mana-mana, coklat ok, hijau pun ok.” Ujar Rudi.

Maya ketawa melihat gelagat suaminya. Rudi memuncungkan bibir - manja!

Tiba-tiba Maya ketawa sebagai mengimbas kenangan tadi, kemudian dia tersenyum, dan kenangan itu hilang kembali.

Maya menarik nafas dan menghembus beberapa kali. Dia perlu redha dengan pemergian suaminya. Ya! setiap manusia akan diuji dan setiap ujian itu tidak sama.

Bagi Maya walaupun pemergian Rudi itu terlalu cepat, tapi dia tetap redha. Rindu bukan lah untuk meminta Rudi kembali, tapi rindu hanyalah sebahagian dari proses untuk meneruskan hidupnya.

Bunyi guruh di luar memeranjatkan Maya. Teringat kain di ampaian. Maya berlari laju ke pintu belakang. Hujan yang renyai, sekejap sahaja lebat. Sedang Maya mengangkat pakaian, dia terlihat seorang lelaki yang berpeluk tubuh tidak jauh dari rumahnya.

Lelaki itu tidak tahu mahu ke mana, dan tidak dinafikan memang rumah Maya adalah satu-satunya yang ada di situ. Lelaki itu berteduh di bawah pokok namun jelas masih lagi terkena tempias, habis baju kemeja dan sweater hoodie yang dipakai.

“Encik!!! Marilah!!!.”

Spontan Maya memanggil. Dia melambai tangan. Kasihan melihat lelaki itu kebasahan. Dan sebagai tindakan spontan, lelaki itu turut berlari ke arah rumah Maya.

“Encik duduk lah berteduh di sini.”

Maya menghulur tuala yang kebetulan ada di ampaian. Lelaki itu hanya mengangguk di bawah bumbung zink luar rumah. Kawasan halaman rumah itu agak besar dan luas. Hampir semuanya siap ditutup dengan atap.

Tidak disuruh, lelaki itu terus duduk di kerusi yang agak berjauhan dari wanita tadi. Membungkus diri dengan tuala kuning yang tebal.

Kasihan juga Maya melihatnya. Tapi entah kenapa berani pula dia memanggil. Tidak terlintas pula kalau lelaki itu adalah pencuri, perompak, perogol atau...

Ah! Maya malas berfikir yang negatif walaupun kemungkinan itu ada.

Lelaki itu pula sesekali menjeling. Dia terpana, sedikit tergamam pada mulanya. Tapi dibiasakan diri. Mungkin sahaja dia malu.

“Encik duduk lah dulu.”

Lelaki itu mengangguk, dia membuka baju sejuk di bahagian luar dan menarik hoodie yang menutup kepala. Terserlah rambutnya yang lurus separas bahu itu. Tuala kuning itu di lap di rambut sambil tersenyum sedikit ke arah Maya. Apabila sudah kering dan agak selesa, tuala itu diserahkan kembali kepada tuannya.

Maya tersenyum dan mengambil pakaian tadi untuk dibawa masuk. Semerbak bau minyak wangi jenama ‘legend’ itu dari luar. Maya menoleh.

“Rudi...”

Namun Maya sedar. Bau itu hanya pada tuala yang digunakan lelaki dari luar tadi. Dia mengeluh kasar.

Setelah meletakkan semua pakaian, Maya berjalan ke arah pintu semula.

“Encik nak air panas?.”

“Boleh juga.” Sambut lelaki itu masih lagi tidak mahu bertentang mata.

“Saya buatkan teh ya?.”

“Err... kopi! Saya tak minum teh.”

Lelaki itu menoleh ke arah jalan raya, melepaskan pandangan. Pada fikirannya bagaimana untuk pulang ke rumah dengan cepat.

Sekali lagi Maya terpana. Anak mata lelaki itu yang berwarna coklat perang hazelnut hampir sama dengan seseorang!

Sungguh penampilan lelaki itu sama seperti Rudi... badannya, rambutnya, bau minyak wanginya...

Ah! Dia hanya rindu....

Sebaik menyiapkan air, Maya membawa cawan ke hadapan, namun lelaki itu tiada. Dia meletakkan cawan. Berjalan sedikit keluar. Hanya kerusi tempat lelaki itu duduk tadi basah, tapi penghuninya tiada.

“Cantik rumah ni...”

Suara itu dari belakang. Maya benar-benar terperanjat, hampir sahaja terpelanting dulang yang dibawa.

Lelaki itu berdiri tegak dengan kedua tangan dimasukkan ke dalam poket. Penampilannya segak. Benar-benar seperti arwah suaminya.

“Errr... saya bawa air te... eh! Kopi!.”

“Terima kasih.” Lelaki itu duduk kembali, terus meneguk kopi panas itu.

Tingkah lakunya diperhatikan, cara lelaki itu minum, cara lelaki itu melihat, cara bercakap dan cara lelaki itu menyelak rambutnya juga sama seperti....

Ah! Dia cuma rindu...

Dari luar, lelaki itu menoleh ke arah ruang dalam, pintu itu terkuak, menampakkan sudut ruang tamu. Terlihat perabot dan secawan kopi di atas meja bulat berhampiran tingkap yang sedikit kelam.

“Dah minum tadi?.” Tanya lelaki itu.

“Ha???.”

“Takkk saya tanya dah minum tadi?.” Ulang lelaki itu semula sambil mengangkat sedikit cawannya ke arah Maya.

Maya menoleh ke dalam, kemudian tersenyum mengangguk.

“Cantik rumah...”

Ulang lelaki itu ayat yang sama, dia tidak tahu mahu berbual apa. tapi dia tidak banyak bercakap.

Maya berlari ke dalam rumah, dia mengambil langsir yang belum dipasang. Yang diletakkan di atas sofa tadi. Lalu dibawa kedua langsir itu keluar menunjuk ke arah lelaki itu.

Lelaki itu mengangkat kedua keningnya.
“Rasa nya yang mana sesuai?.”

Lama lelaki itu berfikir, sebenarnya tidak tahu apa tujuan dia perlu menjawab.
“Yang mana satu sesuai?.” Sekali lagi Maya bertanya.

“Saya tak suka coklat. Saya pilih hijau muda.” Jawab lelaki itu tersenyum, sekadar menghormati ruan rumah. Air kopinya dihirup kembali, tetap mengalihkan pandangan.

Dan kali ini. Air mata Maya bertakung, bergenang. Langsir itu masih erat dipegang. Sebenarnya dia tidak tahu kenapa dia bertindak begitu, apa yang dia tahu dia cuma rindu.

Lelaki itu sedikit terkejut melihat wanita itu berdiri tercegat dengan air mata yang sudah pun mengalir di pipi.

“Errr... saya... ada tersilap cakap ke?.” Cawan tadi diletak kembali.

Maya menggeleng.

“Errr sebenarnya yang mana-mana pun ok. Coklat ok, hijau pun ok.”

Dan kali ini air mata Maya mengalir deras. Serba salah lelaki itu dibuatnya. Maya pula tidak mahu berhenti, terasa dia benar-benar berjumpa dengan arwah suaminya. Dia rindu... terlalu rindu...

Apabila lelaki itu bangun untuk mendekat, Maya beralih. Bau haruman minyak wangi itu sangat dikenali, malah itulah bau yang selalu dicium dari Rudi.

Sebuah kenderaan berhenti tidak jauh dari depan rumah Maya. Dari dalam kereta seorang lelaki lain melambai-lambai.

Maya mendongak.
“Kamal.... kawan saya dah sampai...”

Lelaki itu mengambil baju sejuknya untuk meminta diri. Dia sedikit menunduk mengucapkan terima kasih.

Maya juga meminta maaf. Dan dia menyuruh lelaki itu mendoakan kesejahteraan suaminya serta dirinya sendiri.

“Ketahuilah yang suami awak sentiasa ingat pada awak. Dia akan sentiasa rindu awak. Walaupun dia tak ada, tapi dia sentiasa nampak awak.”

Lelaki itu mengakhiri kata-katanya, tanpa bertentang mata, sebelum meminta diri. Mereka berpisah tanpa sempat mengenali nama dan butir diri.

Maya tercengang! Kata-kata itu.... Benar! Dia yakin lelaki itu adalah suaminya. namun kemudian dia beristigfar. Mengurut .dada dan menganggap semua itu hanya kebetulan.

Ya... sebab dia rindu.....

Sebaik kereta itu berlalu. Maya segera masuk ke rumah mencapai telefon bimbitnya. Nombor didail dan dia menunggu panggilan dari sana berjawab.

“Mommy....” Panggil Maya.

Suara dari sebelah sana terdengar sedikit serak. Wanita itu menangis.

“Mommy... Maya... rindu mommy...”

Dan Maya juga tidak dapat menahan tangisannya sendiri. Ya dia terlalu mengikut perasaan sampai semua orang sekeliling diabaikan.

***********************************

Kereta tersebut bergerak laju membelah jalan raya dan pemandu tadi berceloteh sana sini. Tapi tidak dilayan.

“Hoi!! Kenapa kau termenung?.” Sapa Kamal.
Lelaki itu hanya tersenyum.

“Sejak balik dari rumah wanita tadi... kau termenung ni? Dah jatuh cinta keeee....” Kamal mengusik.
Lelaki itu masih lagi diam, tidak menjawab.

“Apahal ni???.” Tanya Kamal

“Perempuan tu...” Lelaki itu tidak menghabiskan ayat.

“Kenapa?.”

“Perempuan tu sama seperti arwah isteri aku.... Maya...” Jawab lelaki itu akhirnya. Dia menoleh ke arah Kamal di sebelah. Tawa Kamal kendur. Tidak ada kata-kata lagi antara mereka. Keduanya terdiam.

“Aku nak jumpa dia lagi...” Lelaki itu membuat keputusan.

“Kau biar betul Rudi?.” Soal Kamal yang nampak terkejut.

Rudi mengangguk dan kereta mereka menyusur jalan raya menuju ke destinasi yang dituju.

Yang sebenarnya, Rudi sudah mula rindu....

TAMAT

===================================
Suntingan: Dee Edot

Gambar: Dikmang
Karya ini adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

1 comment:

Unknown said...

please bt sambungan xpuas bc ending mcm ni 😞