TAJUK: ADIWIRA
===================
Aku cuma mampu terduduk di bucu katil, apabila aku mendengar pembaca berita menyebut nama gadis itu.
Lantas, aku bangun. Dalam hujan renyai-renyai pagi Sabtu itu, aku menatap wajahku di cermin. Mataku bengkak, sembab. Aku menangis lagikah semalam?Aku melepaskan keluhan panjang, berat. Tuala aku capai, sebelum masuk ke bilik air. Aku mandi dengan pintu bilik air yang terbuka. Siapa kisah? Aku tinggal seorang diri. Suara pemberita dari corong radio menerawang, berbalam-balam dihalang bunyi pili air.
“... mayat seorang wanita dijumpai di hadapan Hospital J….”
“... dipercayai terjun….”
“.... merupakan seorang penjawat awam di Kementerian Kesihatan Malaysia, dari uniform yang dipakai beliau…”
Aku meraup muka. Perlu tengok uniform?
Berkecai teruk benarkah wajah kau, Nur Amira Shahla’?
===================
Sebulan sebelum ini, Pejabat Kaunseling.
“Encik Ariff. Rumah anak yatim bagi kad penghargaan ini.” senyum seorang staf kearahku, memandang aku penuh kagum. Sekeping kad dihulur.
Aku mengucapkan terima kasih. Tersenyum aku melihat kad ucapan itu. Ya, anak-anak yatim adalah ‘kelemahan’ aku. Aku mudah kasihankan mereka. Aku memang sukakan budak-budak, apatah lagi aku dari keluarga yang besar. Adik beradik aku ada lapan orang. Aku anak bongsu, dan kesemua abang-abang dan kakak-kakak aku telah berkahwin.
Kau agak-agak berapa anak-anak saudara aku ada? Haha. Senang kata, kalau duit raya tu, kena sedialah dalam dua tiga ratus. Kad penghargaan itu aku sematkan dalam poket baju di dada.
Aku? Belum berkahwin. Belum sampai jodoh. Sebab itulah, aku habiskan masa melawat rumah anak-anak yatim. Menderma apa yang patut. Ah, bukan banyak, barang-barang makan seperti mee, lada, kicap, sos, begitulah. Kadang-kadang kalau ada duit lebih, aku belikan baju untuk anak-anak yatim itu. Tak sangka mereka tahu aku bekerja di mana.
Aku duduk, sebelum membelek rekod yang tergeletak di meja. Ada beberapa helai surat tunjuk sebab, kebanyakannya kecuaian yang tak sepatutnya berlaku. Staf ini kerap EL, kerap MC, kerap datang lewat kerja.
Selaku kaunselor staf, dia dirujuk kepada aku untuk mengenal pasti masalahnya. Sebelum ini, walau diasak oleh matron dan sister tempat beliau bekerja, beliau diam. Cuma menggeleng kepala apabila ditanya apa masalah.
Nur Amira Shahla’ binti Ahmad.
Aku ambil masa beberapa minit lagi membaca fail beliau. Sebelum ini dia tak ada masalah. Jarang-jarang MC kecuali benar-benar sakit. Tiba-tiba sahaja, dia berubah menjadi begini. Pendiam, pasif, menjauhkan diri dari staf-staf lain. Tebakan majikannya, mungkin disebabkan masalah cinta, barangkali? Hari itu rakan-rakan Nur Amira Shahla’ bercerita, mereka ada dengar ura-ura gadis genit ini mahu bertunang. Sekarang, Amira diam. Bila ditanya apa cerita bakal tunangnya, dia diam. Ah, Amira masih muda. Baru menginjak umur 23 tahun. Mungkin sebab itu?
Aku bangun. Kepala aku jengah di balik pintu.
Seorang gadis beruniform putih sedang duduk di kerusi menunggu. Menunduk. Dari jauh, aku nampak gaya duduknya - ibarat orang berputus asa. Orang yang sudah mengalah.
“Cik Nur Amira Shahla’?” ujarku. Gadis itu mengangkat muka.
“Mari. Jemput masuk.” aku memaniskan roman muka. Sayang, orangnya cantik. Manis. Tubuhnya genit, kulitnya sawo matang. Tapi mukanya kelihatan penat benar.
Dia tergelak, pendek. Aku tergamam.
“Kenapa cik Amira gelak ya?”
Dia cuma menggeleng kepala. Aku diam, merangka cara mahu membina ‘rapport’ dengannya. Selepas kami mengambil tempat duduk, aku memulakan bicara.
“Nama saya Ariff. Panggil sahaja saya Ariff.” ujarku, mula berbasa-basi.
“Amira. Boleh panggil saya Amira.” dia memberitahu tanpa ditanya. Aku mengangguk-angguk, berpura membelek fail peribadi beliau.
“Amira tahu kenapa Amira dihantar ke sini?”
Angguk. Lemah.
“Amira kerja jururawat ya? Saya kagum dengan orang yang bekerja sebagai jururawat. Saya yang lelaki pun tak mampu tengok darah, muntah semua ni.” aku berkata jujur. Fikiran aku menerawang waktu kecilku - waktu aku tersembam di kaki tangga sekolah. Gigi aku yang sudah sedia bergoyang, tercabut waktu itu. Darah membanjiri mulutku - rasa masin, besi, payau darah, bercampur-baur waktu itu. Meloyakan. Sudahnya, aku muntah. Dah la baju kotor akibat jatuh. Tambah lagi kesan muntah dan darah. Balik rumah, kena tarik telinga lagi dengan Mama.
Amira tersenyum.
“Kenapa?” ujarku lagi. Amira mudah tersenyum tiba-tiba. Aneh juga.
Dia menggeleng. Tunduk ke bawah.
“Hmm. Matron Amira ini, orangnya macam mana?” aku memancing. Amira masih tunduk, mengutis jari.
“Dia baik.”
“Macam mana dengan sister?”
“Dia pun, baik.”
“Tempat kerja? Semua okay?”
“Okay.”
Berpatah-patah aku tanya, sepatah dua dia jawab. Aku mencerna minda lagi, mahu mengorek lebih dalam.
“Dalam kalangan kawan-kawan di sana, siapa yang Amira paling rapat? Maksud saya, yang boleh Amira kongsikan semua masalah dengannya.” aku memancing lagi.
Amira mengangkat muka.
“Dulu ada. Sekarang tak dah.”
Bingo.
“Kenapa?”
“Because she's a backstabbing bitch.” Amira menjawab dengan muka tiada perasaan. Aku tergamam sebentar, tak sangka wajah mulus ini mampu mengutarakan perkataan itu.
“Maksud Amira?” ujarku spontan.
Amira menghela nafas. Dia menyandar ke kerusi, memeluk tubuh. Matanya merenung tingkap berlangsir.
“Nama dia Fadhlia.” dia berkata malas. Aku mengangguk, menautkan jari-jemari rapat, berminat. Amira mengerling aku sekali, sebelum sambung memandang langsir tingkap. Dia mengeluh, sebelum membetulkan posisinya. Kembali duduk tegak menghadap aku.
“Saya panggil dia Lia je. Kami berkawan dari zaman student.” cerita Amira. “Tapi suatu hari, saya dapat tahu dia tikam belakang saya. Itu je kisahnya.”
“Itu je?”
Angguk.
“Macam mana Amira dapat tahu tu?”
Diam.
Aku menanti sebentar. Menunggu gadis mulus ini membuka mulut. Selepas beberapa detik, dia merenung aku.
“Saya sendiri yang dengar dari dia.”
“Macam mana dia cakap pada Amira? Waktu itu korang bergaduh ke?”
Diam. Dia seperti merangka sesuatu. Dia sedang mempertimbangkan sesuatu. Matanya menunduk ke bawah, tapi keningnya berkerut.
Aku cuma diam. Tak boleh memaksa. Aku cumalah kaunselor; aku tiada hak memaksa klien sekiranya beliau enggan berkongsi.
Matanya memandang aku, tajam. Menikam.
“Kalau saya cakap, Encik tak akan percaya.” ujarnya perlahan. Perlahan, tapi bukan lemah. Tiap tutur katanya didengari jelas.
“Kenapa pula?”
Diam. Amira merenung aku dalam.
“Ada perempuan di luar pintu pejabat Encik Ariff. Dia mahu masuk, tapi teragak-agak kerana Encik ada sesi dengan klien.” ujarnya.
Aku mengerutkan muka.
“Dia membawa surat arahan berkursus, kursus itu sepatutnya minggu depan. Namun ia ditunda pada esok, pukul dua petang.” Amira berkata, tenang.
“Dia mahu pulang awal kerana anaknya tiba-tiba demam. Dari semalam lagi anaknya demam. Dia menyesal kerana datang kerja hari ni.” Sambungnya lagi, sambil menunduk mengutis jari. Aku tergamam.
“You should get that door.” Amira menyambung. Aku bangun, teragak, menuju ke arah pintu. Sempat aku berpaling ke arah Amira, yang memandang ke arah ku tenang.
Pintu aku buka.
“Allah! Encik Ariff, terkejut saya. Baru nak ketuk pintu.” ucap Kak Da terkejut.
“Kenapa Kak Da?” Aku bertanya. Keliru. Bagaimana Amira dapat tahu?
“Tak Ariff. Ni, surat baru sampai melalui faks tadi. Kursus Ariff minggu depan tu, dia tukar esok. Mujur Ariff ada. Kak Da nak ambil half day ni, si Aiman demam.” perempuan berwajah bulat, berbaju kurung ungu muda dan tudung ungu itu berkata tergesa.
Aku terpana.
“Encik Ariff? Okay tak ni?” Kak Da berkata hairan.
“Okay. Okay je. Kak Da ada jumpa Amira ke tadi?” tanyaku semberono.
“Ha?”
“Amira. Nurse ini.” Aku membuka pintu dengan lebih luas. Kak Da menjenguk ke dalam. Amira tersenyum ke arahnya, kelat.
“Eh… tak pernah lagi. Dia kata dia kenal Kak Da ke?” Kak Da berkata bingung, dalam membalas senyuman Amira.
“Err. Tak Kak Da. Maaf. Terima kasih ya.” aku berkata, mencapai surat di tangan Kak Da. Kak Da memandang aku kehairanan, sebelum berlalu meninggalkan aku.
Pintu aku tutup perlahan. Bagaimana Amira tahu?
“Macam mana…?” ujarku, masih tidak percaya. Amira merenungku, dalam. Dia tersenyum. Aku terdiam. Cepat-cepat aku menuju ke kerusi, cuba bertenang. Mungkin sahaja Amira mendengar Kak Da berbual di mana-mana, bertembung dengannya sewaktu bercerita dengan rakan sekerja mengenai Aiman. Ya, mungkin, mungkin.
Amira tergelak.
“Tak, saya tak ada dengar Kak Da berbual dengan sapa-sapa. Saya dengar sendiri.”
Aku tergamam sekali lagi. Tak mungkinlah?
“Awak… boleh baca fikiran orang?”
Amira tersenyum.
“Exactly.”
Aku menggeleng. “Tak mungkinlah.”
“Apa Encik Ariff makan pagi tadi?” Amira menebak soalan.
“Nasi goreng.” Aku menipu.
“Salah. Roti canai kosong dua keping, kuah dhal. Air suam kosong.”
Aku ternganga.
“Encik Ariff suka warna apa?”
“Hijau.”
“Hijau kalau perhiasan. Kalau baju, Encik Ariff suka warna biru muda. Hitam. Ungu gelap.” Petah Amira menjawab.
Aku menelan air liur. “Itu tak dapat buktikan awak boleh membaca fikiran, Amira. Kalau tanya kenalan rapat saya pun, mereka tahu itu.”
“Mereka tahu tak Encik Ariff pernah terjatuh di tangga sekolah, dan gigi Encik Ariff patah? Waktu itu darah penuh dalam mulut Encik Ariff. Sebab tu lah Encik Ariff fobia darah.” gadis itu tersenyum sinis.
Aku tersandar. Tak mampu menghadam semua ini.
“You see, Encik Ariff, sebab inilah saya depress.Saya dengar sekecil-kecil luahan hati manusia. Dari lubuk paling gelap hati mereka. Depan, mereka senyum. Mereka bermanis muka. Belakang, mereka merungut. Benci. Tak suka.” Gadis itu berkata dengan senyuman kecil, yang membuatkan dia kelihatan berpuluh tahun lebih tua dari usia sebenar.
“Kuasa membaca fikiran… macam adiwira itu? Tapi…” aku terdiam. Tak tahu mahu menyambung apa. Amira menyangkut dagu.
“Saya tak dilahirkan dengan ‘kuasa’ ini. Suatu hari, tiba-tiba, saya dapat ‘mendengar.’” ceritanya. “Sebab inilah saya tak ceritakan pada sesiapa. Pada majikan, pada kawan-kawan. Bukannya mereka percaya.”
“Tapi, kenapa Amira ceritakan kepada saya…?” aku tergagap.
Amira tersenyum, manis.
“Encik Ariff, ramai fikir, bila kita boleh mendengar fikiran orang lain, itu satu kuasa yang hebat. But it isn’t. Setiap hari, setiap jam, setiap minit - saya mendengar sejahat-jahat naluri manusia, bagaimana manusia lain melihat sesama sendiri, apa mereka fikir pada sang pengemis di tepi jalan, apa mereka fikir sesama sendiri di dalam sebuah keretapi yang sesak.” Amira merenung aku.
“It is, like hell.” dia menyambung perlahan.
“Ke… kenapa saya? Kenapa awak ceritakan kepada saya?”
Amira memicingkan matanya.
“Kuasa ini boleh dipindahkan. Dengan syarat, pemilik kuasa bercerita kuasanya pada orang yang percaya.” Gadis itu menyeringai.
Aku mengerutkan dahi. Amira bangun. Mendekatkan dirinya pada meja.
“Aku tahu apa kau buat pada anak-anak yatim itu, dan aku harap - kau perlahan-lahan gila seperti aku juga.” bisiknya.
Aku terpempan.
Gadis itu bangun.
“Kau carilah yang percaya. Dosa aku terhadap anak-anak tak berdosa yang aku tolong gugurkan secara haram, tak akan terampun. Aku dapat ‘kuasa’ ini pun dari cara yang sama. Seperti kau dan aku sekarang, Encik Ariff.” dia menghampiri pintu. Tombol dipulas.
“Mungkin, ini maksudnya bayar ‘cash’ di dunia.” Dia menyambung, sebelum menolak pintu.
Senyum.
Aku tak mampu bangun. Tak mampu berkata apa-apa; dan waktu itu - bagaikan suis yang dipetik, aku dengar suara-suara dari pelbagai arah menerpa telinga. Ada yang berbisik. Ada yang kuat. Ada yang betul-betul di hadapan bilik aku.
“Hmm, si janda tu pakai kebaya lagi hari ni. Boleh aku usha badan dia.”
“Semalam aku ambil MC, aku tipu je. Nak pergi majlis kahwin je padahal.”
“Menyampah aku dengan si Ariff ni. Mentang-mentang dia hensem, langsung tak layan aku.”
“Mana file aku letak semalam? Ah, sudah.”
Aku menutup telinga. Tak hilang. Suara itu berubah-ubah nada, tempo, dengan suara tuan badan masing-masing yang berkata. Aku kenal tiap suara. Suara staf yang pernah bekerja dengan aku.
Suara-suara ini tak hilang!
==============================
Itulah kali terakhir aku berjumpa Amira.
Aku termangu di balkoni rumah. Aku merenung ke bawah. Dari tingkat ke empat belas, semua di bawah kelihatan kecil.
Balkoni aku panjat.
“Eh ada orang nak terjun!”
“Lantaklah, bukan masalah aku.”
“Mana handphone aku? Harap-harap kalau dia jatuh, biar pecah kepala. Nampak otak. Baru gempak video.”
“Tak ada orang nak call polis ke?”
Aku menarik nafas, sebelum terjun ke bawah.
TAMAT
======================
Gambar: NIL
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment