Saturday, 7 April 2018

KAMPUNG ALOR X HOMO-CANIS: Kelahiran Kedua Karya - Ahmad Rusydi



KAMPUNG ALOR X HOMO-CANIS: Kelahiran Kedua

Karya: Ahmad Rusydi

=============================

Bau tanah lembap menusuk ke dalam rongga hidung Razak sebaik sahaja dia melangkah masuk ke kawasan berpohon renek kaki hutan Kuala Langat. Tali panjang terikat kemas pada pinggangnya. Langkahnya terhenti buat seketika. Dia berpaling teragak-agak, membilang rakan-rakan di belakang. Sebelas orang semuanya termasuk dirinya. Macam Pak Ngah si ketua kampung pesan tadi, biar yang muda-muda sahaja cari di dalam hutan. Yang tua-tua cari sekitar kawasan kampung sahaja.

"Betul kita nak masuk ni, Zak?" Soal Jenod tidak yakin. Terlihat riak gusar pada wajahnya. Razak diam seketika. Suis lampu picit di dalam tangannya diketik-ketik tanpa sedar. Sejenak kemudian, dia mengangguk pendek.

"Selama 25 tahun aku duduk dalam kampung ni, tak pernah aku langkah masuk dalam hutan Kuala Langat ni, Zak. Pak Ngah beria suruh kita masuk. Aku rasa dia pun tak pernah jejak kaki dalam hutan ni," keluh Sharip yang sedari tadi asyik menggaru-garu lengannya yang berbintat-bintat.

"Kita terpaksa, kan?" Balas Razak tanpa memandang wajah Sharip. Matanya liar memerhati ke setiap sudut kegelapan di hadapan mereka. Beberapa belas meter dari kawasan berpohon renek itu terdapat jajaran pohon-pohon besar, menandakan sempadan di antara Kampung Alor dengan hutan Kuala Langat.

"Kitorang ni bukan apa... takut terserempak dengan orang asli jer," kata seorang pemuda dari bahagian belakang kumpulan.

"Kalau jumpa orang asli pun kenapa? Kau ingat ini zaman Orang Kaya Deraman? Buat tahi sama orang asli," balas Fuad, rakan baik Razak yang turut menggalas jawatan AJK Kampung Alor. Senapang patah yang disangkut pada bahu diperbetulkan kedudukannya. "Tak ada apa-apalah diorang tu. Semua hidup jaga diri masing-masing saja. Bukannya kacau orang pun."

Pemuda tadi terdiam. Mahu mengangguk, masih belum yakin.

Razak menghela nafas panjang. "Berapa banyak peluru kau bawak, Fuad?"

Fuad meraba-raba beg pinggangnya, mengeluarkan sebuah kotak kecil berwarna merah. Kotak itu dibukanya. Kedengaran bunyi dentingan besi setiap kali jarinya menolak-nolak kelongsong yang masih berisi. "Ada lapan. Termasuk yang dalam senapang ni, sepuluh. Sekali tembak, dua biji. Boleh dalam lima kali tembak."

"Cukup ke?"

"Ini jer yang bapak aku bagi. Aku nak pegang pun menggigil ni."

"Yalah, jom..." ujar Razak pendek sebelum mula melangkah meredah pohon-pohon renek yang hanya menyentuh lutut dan paha seluarnya. Yang lain menyusul di belakang. Jalur-jalur cahaya dari lampu suluh masing-masing menari-nari setiap kali mereka melangkah.

"Ingat..." Razak menjeling ke arah Fuad di belakangnya, "kalau ada apa-apa, jangan tembak dulu. Takut budak tu..."

"Takkanlah aku tak dapat beza budak dengan binatang, Zak..." keluh Fuad sinis.

Razak diam tidak menjawab. Langkahnya diteruskan penuh berhati-hati.

---

Pada waktu yang sama di balairaya Kampung Alor, Banting.

"Makan sikit, Samad. Tu, bini kau tu... aku tak nampak pun dia minum air sejak siang tadi," Pak Ngah menghulurkan sepinggan bihun goreng pucat kepada Samad. Samad menoleh memandang isterinya yang sedang merenung kosong ke lantai.

"Tak apalah Pak Ngah, saya tak lapar."

"Tak lapar? Dari siang kita dok ke hulu, ke hilir satu kampung ni, takkan kau tak lapar?"

Samad menggeleng tanpa memandang wajah Pak Ngah. Serba salah Pak Ngah dibuatnya. Lelaki tua itu menoleh pula ke arah Fatimah, isteri Samad. Kalau Samad yang masih kelihatan waras pun tak mahu makan, melihatkan keadaan Fatimah, Pak Ngah malas mahu cuba. Penyudahnya, bihun goreng tadi Pak Ngah makan sendiri. Sambil menyuap bihun ke dalam mulutnya, Pak Ngah asyik memerhati pasangan suami isteri itu. Di sebelah Pak Ngah, Bilal Omar sedang menguis-nguis batang sawi dari dalam pinggannya.

"Aku rasa kita report polislah, Ngah. Ini dah luar dari kemampuan kita ni," cadang Bilal Omar teragak-agak.

Pak Ngah menjeling tajam ke arah Bilal Omar. "Ini Kampung Alor, Omar. Kita ada masalah, kita selesai sendiri. Dari dulu pun macam tu, kan?"

Bilal Omar diam mengangguk-angguk. Memang semacam satu tradisi buat orang-orang Kampung Alor sejak dari zaman penjajah lagi, mereka tidak suka libatkan orang luar dalam urusan mereka. Sejak dari zaman orang putih lagi kampung mereka itu tidak pernah dicatatkan di atas mana-mana peta. Yang wujud di atas peta cuma hutan Kuala Langat dan Pekan Banting. Di antara keduanya, kosong.

Keadaan di dalam balairaya itu boleh dikatakan sunyi sepi. Hanya sekali-sekala kelihatan beberapa orang lelaki kampung keluar masuk. Terlihat riak keletihan pada wajah masing-masing.

"Saya sambung cari, Ngah," Bilal Omar mematahkan pinggan polisterinnya lalu dicampak selamba ke dalam tong sampah. Pak Ngah yang masih sedang mengunyah bihun menoleh memandangnya, menggeleng-geleng.

"Tak payah. Kau temankan si Samad sama Timah balik rumah. Nanti kau datang sini semula. Ada benda nak bincang."

"Tak payah temanlah, Pak Ngah. Biar saja saya dengan Timah tunggu dekat sini. Kami tak ada hati nak balik rumah," Samad bersuara lemah.

"Habis, sampai bila kau nak duduk dalam ni Samad? Kalau kau tak kisah, tu bini kau tu. Takkan tak mahu tidur?" Pak Ngah menjeling ke arah jam dinding di atas papan kenyataan, "dah pukul tiga pagi, Samad."

Fatimah menggeleng perlahan tanpa memandang Pak Ngah. Pak Ngah mengeluh pendek merenung wajah Samad yang kelihatan serba-salah.

"Yalah..." ujar Samad. "Jom, Mah. Kita balik dululah. InshaAllah Razak dengan yang lain tak apa-apa."

Berkerut juga kening Pak Ngah mendengarkan kata-kata Samad itu. Anaknya sendiri hilang, kenapa Razak dan rakan-rakan pula yang dirisaukannya?

Fatimah diam. Dagunya ditampung atas lutut, masih merenung lantai. Matanya kelihatan bengkak merah, menangis sejak siang. Lambat-lambat dia mengangguk.

"Hah, bagus... jom," ujar Bilal Omar. Bahu Samad ditepuknya beberapa kali, seakan memberi semangat.

---
"Karang kalau... kalau jumpa anak saya, Pak Omar call, ya?" Samad duduk berteleku di muka pintu rumahnya sambil Bilal Omar bersandar pada tiang tangga. Lelaki tua itu mengangguk mengiyakan. Fatimah tidak kelihatan lagi di ruang hadapan rumah itu. Sudah masuk ke dalam bilik, mungkin.

"Kau jangan susah hati sangat, Samad. Ramai tu tengah cari anak kau. Sampai dalam-dalam hutan."

Samad terkebil-kebil merenung kakinya sendiri. "Itulah yang saya risau..." ujarnya hampir tidak kedengaran.

"Apa Samad?"

"Ah, tak... tak ada apa-apa. Harap-harap Razak dengan yang lain-lain tak apa-apa dalam hutan tu."

Buat seketika Bilal Omar merenung tajam ke arah Samad sebelum mengangguk pendek. "Yalah," katanya perlahan, "aku minta diri dulu."

Samad mengangguk mengiyakan. Terukir senyuman pahit pada wajahnya ketika Bilal Omar melangkah meninggalkan perkarangan rumah kayu itu.

---

Langkah Bilal Omar kedengaran kuat meredah jalan berturap tidak kemas Kampung Alor. Kesunyian jam tiga setengah pagi itu mungkin mampu membuatkan sesiapa sahaja paranoid, namun bukan Bilal Omar. Lama dia belajar di sekolah pondok nun jauh dia Padang, Indonesia dulu. Bilal Omar rasa imannya sudah cukup tebal untuk dia tidak diganggu. Jajaran tidak tersusun rumah-rumah kayu membarisi kiri jalan, manakala di sebelah kanan jalan, kaki hutan Kuala Langat.

Bilal Omar menelan air liur. Dari siang tadi mereka cari sekitar kampung, tak jumpa. Ini bermakna tempat paling berkemungkinan untuk anak si Samad berada adalah di dalam hutan Kuala Langat.

Cukup tegar lelaki tua itu berjalan tanpa menoleh ke kiri dan kanan. Nun jauh di hadapan kelihatan kerdip-kerdip lemah cahaya lampu kalimantang menandakan Pak Ngah masih sedang menantinya di balairaya.

Baru sahaja Bilal Omar hendak melajukan langkahnya, kedengaran bunyi kersikan daun dari sebelah kanan jalan. Tegak Bilal Omar berdiri, tidak berani untuk berpaling. Dalam keadaan teragak-agak, perlahan-lahan lelaki tua itu kembali membuka langkah. Tiba-tiba sekali lagi kedengaran bunyi kersikan tadi. Kali ini lebih hampir dengannya. Dada Bilal Omar rasa macam nak pecah.

"Siapa tu?!" Soalnya tanpa berpaling. Senyap. Ini tak boleh jadi. Terketar-ketar Bila Omar menghalakan lampu suluhnya ke arah kanan jalan. Tiada apa-apa. Yang kelihatan cuma bayangan hitam pohon-pohon besar.

Buat seketika Bilal Omar mengecilkan matanya, menyuluh ke segenap arah sebelum dia menyambung langkahnya menuju ke balairaya.

---
"Hah, macam mana dengan Samad?" Soal Pak Ngah sebaik sahaja Bilal Omar melangkah masuk ke dalam balairaya. Wajah lelaki tua itu masih kelihatan sedikit pucat.

"Okay aja, Ngah..." balas Bilal Omar. "Tapi saya nampak, yang dirisaukannya tu si Razak dengan yang lain-lain. Apa pasal?"

Pak Ngah mengangguk faham. Lelaki tua itu memandang ke sekeliling. Di dalam balairaya itu hanya terdapat lima orang lelaki termasuk mereka berdua. Tiga lagi sedang mengisi perut tanpa mengendahkan perbualan mereka. Dia mengisyaratkan agar Bilal Omar duduk di kerusi hadapannya. Bilal Omar menurut.

"Dulu tahun 1995 kau ingat ada kes anak makan mak bapak sampai polis masuk dalam kampung kita ni?"

Bilal Omar diam sejenak. "Penyudahnya, detektif polis ambil budak tu jadi anak angkat, kan?"

Pak Ngah mengangguk lambat. Secara jujurnya, dia tak berapa ingat tentang butiran kes tu. "Ada kemungkinan anak si Samad tu dah berubah jadi benda tu."

"Benda apa, Ngah?"
"Benda tu lah!"

"Ish, mengarutlah Ngah. Kes dulu tu pun entah ya entah tidak budak tu yang makan mak bapaknya. Masa tu Ngah pun bukannya duduk dalam kampung ni. Belum pencen lagi... kerja Felda, kan?"

"Kau ni Omar, cuba dengar apa aku nak cerita..." keluh Pak Ngah. Bilal Omar diam. Pak Ngah menanti kalau-kalau ada lagi yang mahu ditambah oleh lelaki itu. Sejenak kemudian, dia kembali bercerita, "sejak dari anak dia baru lahir lagi, tahun 2011 kalau tak silap, si Samad dah datang jumpa aku. Katanya, masa bini dia bersalin tu, tumpah darahnya melampau. Bila doktor periksa, dalam rahim si Fatimah tu, dah terluka-luka. Tercarik-carik kecil. Yang paling doktor musykil, anak si Samad tu lahir-lahir dah ada gigi! Aku tengok dengan mata kepala aku sendiri."

"Budak lahir ada gigi tu tak adalah pelik sangat, Ngah. Saya pernah dengar. Banyak sangat si Timah tu minum susu masa..."

Pak Ngah menjeling tajam ke arah Bilal Omar, membuatkan lelaki itu terdiam serta-merta.

"Itu sekali saja aku pernah nampak anak si Samad tu. Lepas tu selama bertahun-tahun dia tak sebut lagi tentang budak tu. Bila aku tanya, dia mesti tukar cerita. Lama-lama aku pun lupa yang diorang tu ada anak. Yalah, si Samad pun sibuk dengan warungnya. Si Timah pulak dengan karipap pusingnya," Pak Ngah mencapai rokok daun dari dalam kocek bajunya. "Persoalannya adalah, anak dia tu kecil lagi. Tapi kenapa dia tak pernah bawa ke warung? Si Timah tu pun lepas siap buat karipap pusing, dia mesti akan tolong Samad dekat warung. Tapi kita tak pernah nampak anak diorang. Kenapa? Siapa yang jaga?" Tanpa menanti jawapan dari Bilal Omar, Pak Ngah mencucuh rokok daunnya dengan api mancis.

"Tak bermakna anak diorang tu ada... ada masalah, kan?"

"Heh... kau sendiri cakap yang si Samad tu lebih risaukan Razak dengan kawan-kawan berbanding anak dia sendiri, kan?"

"Yalah, tapi..."

Pak Ngah mengangkat keningnya, menantikan apa yang ingin diperkatakan oleh lelaki itu.

"Itu sebab aku tak mahu kau panggil polis. Kalau sekali lagi kes macam dulu tu terjadi dalam kampung ni, kalau sampai ke telinga orang luar, mahu jadi tourist attraction kampung kita ni. Masalah nanti."

Bilal Omar diam mengangguk-angguk. "Jadi, sebab itulah Ngah sampai suruh si Fuad bawak senapang patah bapaknya?"

Pak Ngah mengangguk mengiyakan. Asap halus rokok daunnya dihembus perlahan ke arah tingkap. Abunya dipetik ke dalam cawan polisterin kosong.

"Tapi tak apa ke Razak dengan yang lain-lain masuk dalam hutan tu?"

Kelihatan rahang tua Pak Ngah bergerak-gerak. Matanya sedari tadi asyik merenung ke luar tingkap. "Aku terpaksa, Omar. Itu saja caranya supaya pihak polis tak terlibat."

---
"Yang kita cari ni, budak umur tujuh tahun, kan?" Soal Fuad semangat.

Razak mengangguk pendek. Langkah mereka diteruskan meredah pohon-pohon sebesar pemeluk. Daun-daun kering yang lembap menyelimuti lantai hutan membuatkan mereka teragak-agak untuk melangkah. Takut-takut terpijak yang bukan-bukan.

"Habis, senapang ni untuk apa? Aku tak rasa kita akan jumpa harimau. Kalau masuk dalam lagi, lepas air terjun kuning yang orang-orang tua selalu cerita tu, mungkin ada... kejap... takkan kita nak pergi sampai sana? Berpuluh kilometer tu, Zak."

"Fuad... kau boleh diam sekejap tak?"

"Dah kalau semua diam, baik cari seorang-seorang."

"Tak, apa yang kau nak tahu sekarang Fuad? Kau tanya aku. Dengan syarat lepas tu kau diam. Boleh?"

Fuad merenung belakang kepala Razak buat seketika. Lelaki itu langsung tidak memberhentikan langkahnya. "Okay, budak yang kita tengah cari ni, kenapa aku tak pernah nampak pun sebelum ni? Anak Samad warung, kan?"

Razak mengeluh pendek, "itu aku tak tahu. Yang aku tahu, pukul sebelas pagi tadi kecoh Pak Ngah panggil aku ke balairaya, beritahu anak si Samad tu dah lebih 24 jam hilang."

"Kau tak rasa musykil ke, anak kau dah hilang lebih 24 jam, baru kau nak bagitahu orang. Kalau umur 17 ke, 18 ke, fahamlah aku. Ini tujuh tahun kot!"

"Itu aku tak tahu... yang aku tahu, tugas kita sekarang, cari budak tu."

"Kalau akulah masa umur tujuh tahun, jangan kata masuk, pandang hutan ni pun aku tak berani," sampuk Jenod dari arah belakang. "Terkejut jugak aku bila si Samad kata anak dia mungkin lari masuk hutan."

Razak diam. Sedari awal lagi dia sudah sedar, memang ada sesuatu yang tidak kena. Pak Ngah beria-ria benar suruh si Fuad bawa senapang. Yang si Samad pula asyik pesan kalau nampak apa-apa jangan tembak dulu, walaupun yakin itu bukan manusia. Walau gelap macam mana pun, takkanlah si Fuad tak dapat beza budak umur tujuh tahun dengan harimau atau anjing hutan?

PRAKKK!
Tiba-tiba kedengaran bunyi ranting dipijak dari arah hadapan. Langkah Razak terhenti. Tangan kanannya diangkat, mengisyaratakan agar yang lain turut berhenti. Perlahan-lahan jarinya telunjuknya diletakkan di atas bibir. Matanya menjeling ke arah Fuad, mengisyaratkan agar lelaki itu bersedia dengan senapang patahnya. Fuad mengangguk faham. Muncung senapang diacukan ke arah mana datangnya bunyi tadi. Teragak-agak Razak memanjangkan lehernya, menyuluh.

Yang kelihatan cuma selirat-selirat akar dan pohon-pohon renek yang tumbuh di celah-celah denai.

"Tak ada apa-apa," bisik Razak. Fuad menurunkan semula muncung senapangnya. Belum sempat mereka kembali melangkah, kedengaran lolongan anjing dari arah belakang pula. Sekaligus kesebelas mereka menoleh ke belakang. Tidak putus-putus lolongan itu. Tidak bersahutan, menandakan hanya ada seekor anjing hutan yang harus mereka hadapi. Fuad mengangkat semula muncung senapangnya. Yang lain berganjak memberi laluan untuk Fuad melangkah ke bahagian belakang. Kepala masing-masing terjenguk-jenguk mencari kelibat anjing tadi kerana bunyi lolongan itu kedengaran terlalu hampir dengan mereka. Namun tiada kelibat anjing yang kelihatan.

ARH-WOOOOOOOOOOO!

Bunyi lolongan tadi masih jelas kedengaran. Razak menggeleng menepuk bahu Fuad. Fuad memandang hairan ke arah rakannya itu sebelum menurunkan senapangnya. "Kenapa?" Soal Fuad separuh berbisik. "Anjing hutan tu. Takkan tak boleh tembak?"

"Lain sikit bunyinya dari anjing biasa. Kau tak perasan?" Soal Razak perlahan. Fuad dan yang lain diam, cuba mengamati lolongan yang masih kedengaran. "Nadanya lebih dalam, kan?"

Buntang mata Fuad mendengarkan kata-kata Razak itu. "Yalah, Zak. Kau cakap baru aku perasan. Kenapa macam tu?"

Mata Razak liar memerhati sekeliling buat seketika, kemudian pandangannya terpaku pada satu arah. "Sebab yang melolong tu bukannya anjing," katanya serius sambil menuding ke arah belakang Fuad. Lelaki itu berpaling. Di hadapan mereka kini berdiri seorang kanak-kanak lelaki yang tidak berpakaian. Terhencut-hencut budak lelaki itu melangkah keluar dari celah-celah pohon renek kehitaman. Anak matanya berwarna kekelabuan. Seluruh tubuhnya diselaputi bulu-bulu halus manakala bentuk kepalanya kelihatan sedikit lonjong dengan gigi yang tidak bertaring, namun lebih besar dari sepatutnya. Tidak kelihatan riak kemanusiaan pada wajah kanak-kanak itu. Jika tidak kerana kakinya yang tercedera, Razak agak pasti bahawa kanak-kanak itu akan menyerang mereka.

"Ini ke anak si Samad tu?" Bisik Sharip. Matanya terpaku pada susuk janggal kanak-kanak itu.

"Tak ada rupa Samad pun?" Betah Jenod jujur.

"Bodoh!" bentak Razak. "Aku dah agak ada sesuatu yang tak kena! Pak Ngah, Pak Ngah..." Razak menggeleng kecewa.

"Apa... apa nama dia?" Tanya Fuad.

"Reza..." jawab Razak pendek. Tali yang diikat pada pinggangnya dileraikan. Tanpa memandang tali di dalam tangannya itu, Razak mengikat satu gelungan selebar sehasta. Matanya masih tetap pada luka di bahagian kaki kanak-kanak itu. Masih basah.

"Kau nak buat apa, Zak?"

"Tengok saja..." Razak melibas gelungan talinya tadi ke arah Reza, membuatkan kanak-kanak itu mendengking marah. Pergerakan kanak-kanak itu ternyata tangkas walaupun cedera. Dengan satu tujahan kaki, Reza kembali ke dalam belukar dari mana dia datang tadi. "Kejar! Kejar!" Kerah Razak geram. Kesepuluh yang terpaku sejak dari tadi seakan baru tersedar akan apa yang sedang berlaku. Berderap mereka membuka langkah mengejar kanak-kanak lelaki tadi, membuatkan jalur-jalur cahaya dari lampu suluh mereka menari janggal dipantul dedaunan hutan.

---
04:36 a.m- Balairaya Kampung Alor, Banting.

Kedengaran deras ketukan pada pintu hadapan balairaya yang sedia terbuka. Tegak kepala Pak Ngah yang sedari tadi asyik tersengguk-sengguk menahan mata. Bilal Omar menoleh ke arah pintu. Tanpa dipelawa, seorang lelaki separuh usia bertubuh tegap melangkah masuk. Di belakangnya menyusul seorang lelaki muda berjambang halus dengan ketinggian hampir serupa, membuatkan Bilal Omar terpaksa mendongak untuk bertentang mata dengan mereka. Cahaya lampu kalimantang yang semakin malap membuatkan kulit lelaki separuh usia tadi kelihatan jauh lebih gelap, manakala kulit lelaki muda tadi kelihatan janggal pucatnya. Jaket kulit yang disarung oleh keduanya membuatkan mereka kelihatan lebih menggerunkan.

"Siapa ketua kampung?" Soal lelaki separuh usia itu tegar.

Bilal Omar membatalkan niatnya untuk memberi salam. Dia menoleh ke arah Pak Ngah yang masih duduk, namun jelas terpaku dengan kehadiran dua orang lelaki itu.

"Sa... saya..." Pak Ngah mengangkat tangannya. Sesaat kemudian, selepas diberi jelingan oleh Bilal Omar, perlahan-lahan Pak Ngah menurunkan tangannya.

Lelaki separuh usia tadi mengangguk pendek lalu menghulurkan tangannya kepada Pak Ngah. "Nama saya Jalal," katanya serius.

Teragak-agak Pak Ngah menjabat tangan besar lelaki itu. "Saya... panggil aja saya Ngah. Saya ketua kampung sini."

"Ini anak saya, Ashraff. Mungkin pakcik tak ingat dia, tapi dia lahir dalam kampung ni."

Lelaki muda tadi tersenyum hormat. Rambut panjang paras bahu yang diikatnya sedikit terurai apabila dia menunduk.

Pak Ngah terpana mendengarkan perkara itu. Jarang ada orang Kampung Alor yang tidak dikenalinya, apatah lagi seorang pemuda yang paras kelihatan seperti seorang atlet tinju.

"Kes 1995?" Sampuk Bilal Omar tiba-tiba.

Lelaki separuh usia tadi mengangkat keningnya, "ya... kes 1995. Haji pernah dengar?"

"Heh, sayalah yang call polis dulu," kata Bilal Omar bangga. Sejenak kemudian, dia menjeling ke arah Ashraff. "Kalau macam tu... budak ni..."

"Ya, ya. Inilah dia."

"Ah, yalah. Saya ingat lagi. Tuan bawa budak ni balik lepas ibu bapanya mati diratah..." kata-kata Bilal Omar terhenti sebaik dia terpandang wajah Pak Ngah yang sedang menggeleng-geleng kecil. "Maaf..." ucap Bilal Omar jujur.

"Tak apa, pakcik. Saya pun dah tak berapa ingat benda tu. Kalau saya masih takut dengan masa silam sendiri, lama-lama saya boleh jadi gila," terlihat seketika taring tumpul Ashraff apabila dia tersenyum lebar. Namun ternyata Pak Ngah dan Bilal Omar tidak sedar akan perkara itu.

"Ah, yalah... apa sebenarnya tujuan..." belum sempat Bilal Omar menamatkan soalannya, tiba-tiba kedengaran suara raungan seseorang dari arah kaki hutan. Kedua-dua lelaki baharu tadi pantas menjeling ke arah punca suara itu. Jalal menghela nafas panjang, seakan cuba menangkap bau. Sejenak kemudian, dia menoleh ke arah Ashraff. Ashraff mengangguk pendek. Tanpa berkata apa-apa mereka berdua bergegas melangkah ke arah pintu. Sebelum melangkah keluar, sempat Jalal menoleh ke arah Pak Ngah dan Bilal Omar.

"Kes 1995 tu... seorang lagi lahir dalam keadaan yang lebih kurang sama pada tahun 2011. Saya dapat kesan budak tu masih berada dalam kampung ni," kata Jalal laju sebelum berlari ke arah kaki hutan.

Buat sejenak Pak Ngah dan Bilal Omar berpandangan sesama sendiri sebelum turut berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Tiada sebarang kelibat yang kelihatan di sekitar kawasan kaki hutan itu. Hanya bayangan hitam pohon-pohon besar yang sekali-sekala bergerak-gerak menurut angin. Pak Ngah dan Bilal Omar tertunduk-tunduk menghela nafas, manakala Jalal dan Ashraff mula membakar rokok masing-masing.

"Memang ada dalam hutan ni," ujar Jalal yakin. Rokoknya disedut dalam. Matanya dipejamkan. Asap kelabu dihembus perlahan. "Kau sedia?" Jalal mencelikkan semula matanya lalu menjeling ke arah Ashraff. Ashraff mengangguk tersenyum. Kedua-dua orang lelaki itu merenung tajam ke arah kaki hutan. Serentak dengan hembusan nafas yang menderu kuat, mata mereka berubah kekelabuan. Rahang kedua-duanya kelihatan semakin melebar manakala otot-otot mereka menegang, menjadikan urat-urat yang berselirat pada lengan dan leher mereka kelihatan semakin ketara.

Dengan satu dengkingan kasar Jalal menujah kakinya, memecut laju ke arah kaki hutan. Ashraff menyusul sesaat kemudian. Kelajuan kaki mereka membuatkan Pak Ngah dan Bilal Omar tergamam. Tidak sampai beberapa saat kelibata mereka hilang di sebalik kekelaman hutan Kuala Langat.

---
Sedas tembakan dilepaskan oleh Fuad. Matanya menggerenyet menahan tujahan buntut senapang patahnya. Nafasnya tertahan-tahan. Seluruh tubuhnya menggeletar. Di atas lantai hutan itu kelihatan jalur-jalur cahaya kekuningan dari dua batang lampu suluh yang tergeletak di atas tanah. Salah satu dari jalur cahaya dari lampu suluh itu terhala ke arah sesusuk tubuh kecil berbulu kelabu halus yang sedang berdiri dengan bernafas tercungap-cungap.

Di sebelahnya, kelihatan tubuh seseorang lelaki dengan pakaian yang tercarik. Biarpun dalam kegelapan hutan itu, merah darah yang membasahi seluruh tubuh lelaki itu kelihatan ketara warnanya.

Fuad menggagau kotak peluru dari dalam beg pinggangnya. Terkial-kial dia mengisi semula peluru ke dalam senapang patah tadi. Kedengaran kuat bunyi berkeletak sebaik senapang itu diluruskan. Terketar-ketar tangan Fuad mengangkat senapang itu, menghalakan muncungnya ke arah Reza.

"Jangan... jangan dekat... kalau kau langkah lagi, aku tembak!"

"Fuaaaaaad!" Kedengaran laungan suara Jenod dari kejauhan. Telinga Reza bergerak-gerak sebelum menoleh pantas ke arah dari mana datangnya suara tadi.

"Je... Jenoood! Tolong akuuuu!" Laung Fuad kembali, menarik semula perhatian Reza kepadanya.

Lidahnya kembali kelu.

Buat beberapa saat mereka berdiri berhadapan, saling berpandangan. Mata Fuad sekali-sekala menjeling ke arah mayat Sharip. Dari kejauhan kedengaran sayup-sayup suara menggumam beberapa orang lelaki. Fuad tahu itu suara Jenod, Razak dan rakan-rakannya yang lain. Cuma dia dan Sharip yang terpisah dari kumpulan itu sewaktu mereka mengejar kanak-kanak lelaki itu tadi.

Reza menderam kuat setiap kali Fuad menggerakkan tubuhnya. Kanak-kanak itu tidak mahu berganjak dari mayat Sharip, seakan seekor haiwan yang sedang melindungi buruan daripada saingan. Sedar akan perkara itu, Fuad mula melangkah perlahan-lahan ke belakang. Deraman Reza kedengaran semakin perlahan. Sejenak kemudian, dia kembali meratah mayat Sharip, membuatkan Fuad tidak dapat menahan muntahnya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kersikan belukar dan derapan kaki tidak jauh dari mereka. Razak melangkah keluar dalam keadaan tergesa-gesa. Ternyata dia terdengar suara Fuad tadi. Lega hati Fuad sebaik terlihat kelibat rakannya itu, namun tidak lama. Tanpa sebarang amaran, kaki Reza menujah tanah. Tubuh kecil itu menderu laju ke arah Razak yang langsung tidak sedar akan kehadirannya.

Sebelum sempat Reza menerkam Razak, deras kelihatan susuk tubuh besar seorang lelaki yang muncul entah dari mana, menujah tubuh kecil Reza menjauhi Razak. Lelaki tadi mendarat kemas di atas lantai hutan. Dia berdiri gagah membelakangi Razak dengan riak cuba melindungi. Melihatkan riak Jalal itu, perlahan-lahan Reza melangkah berundur.

"Kau OK?" Tanya Ashraff sambil membantu Razak bangun. Razak mengangguk pendek. Fuad terpaku melihatkan kehadiran dua orang lelaki itu.

Perlahan-lahan Jalal menghampiri Reza. Bulu-bulu kelabu halus Reza berdiri mencacak. "Jangan takut," ujar Jalal lembut. Kedua belah tangannya dirapatkan pada sisi tubuh. Jalal menunduk sikit, membuat tubuhnya kelihatan lebih kecil. Reza menderam garang. Ashraff sekadar memerhati dari jauh. Dengan pergerakan penuh berhati-hati, Jalal mengeluarkan sebiji pil berwarna kekuningan dari dalam koceknya. Dia menjeling ke arah Ashraff, "kita terpaksa guna cara kasar nampaknya."

Ashraff mengangguk faham. Dia menujah laju ke arah Reza. Ternyata kanak-kanak itu tidak bersedia menerima serangan tiba-tiba itu. Reza mendengking kuat cuba melepaskan diri dari cengkaman tubuh Ashraff. Melihat keadaan itu cepat-cepat Jalal mengambil kesempatan mencengam wajah Reza. Mulut bermuncung kanak-kanak itu dibuka secara paksa. Kedengaran deras bunyi terkatup-katup gigi Reza mengunyah pil kuning tadi. Sebaik sahaja dia cukup pasti bahawa kanak-kanak itu telah menelan keseluruhan pil itu, Ashraff melepaskan cengkamannya.

Reza rebah tercungap-cungap seakan tidak cukup nafas. Sesekali jari-jemari tangan dan kakinya terketik-ketik menahan kesakitan. Lolongan derita yang terbit dari mulut kanak-kanak itu seakan meruntun jiwa Fuad dan Razak. Jalal dan Ashraff pula sekadar diam memerhati.

Sejenak kemudian derita Reza kelihatan beransur reda. Nafasnya semakin stabil, namun jelas kanak-kanak itu kini tidak sedarkan diri. Tanpa berkata apa-apa Ashraff mengangkat tubuh kecil Reza lalu digalas di atas bahunya. Jalal pula menghampiri Fuad dan Razak.

"Kami uruskan dari sini. Terima kasih," ucapnya ringkas lalu berlalu pergi sebelum menujah kuat kakinya ke atas tanah. Beberapa saat kemudian, kelibat kedua-duanya hilang ditelan kegelapan hutan bersama tubuh Reza yang terkulai lemah.

Fuad dan Razak terduduk tidak jauh dari mayat Sharip. Razak masih merenung lantai hutan itu, tidak sanggup mengangkat kepalanya untuk melihat tubuh Sharip yang kelihatan dahsyat tidak sempurnanya. Mulut keduanya terasa terlalu berat untuk berkata-kata. Fuad yang sedari tadi menggenggam erat senapang patahnya melepaskan senjata itu ke atas tanah. Dengan dada yang masih sakit menahan degupan dahsyat jantungnya, Fuad merebahkan kepala di atas lantai hutan Kuala Langat itu. Razak turut melakukan perkara yang sama.

---
Sinaran lemau cahaya matahari pagi itu menyinari perkarangan balairaya Kampung Alor. Sejam yang lepas, Razak, Jenod dan yang lain-lain akhirnya melangkah keluar dari hutan Kuala Langat. Fuad memikul mayat Sharif dari awal perjalanan keluar sehingga ke balairaya. Dengan bantuan Bilal Omar, mereka merapikan mayat itu di tengah-tengah balairaya. Seluruh tubuh cacat Sharif ditutup dengan kain langsir apabila semakin ramai orang-orang kampung yang keluar mencari, kembali ke balairaya.

Dengan suara yang tersekat-sekat Pak Ngah mengumumkan kepada mereka yang hadir tentang khabar kematian Sharif. Namun tentang apa sebenarnya yang berlaku malam itu, Pak Ngah terpaksa mengubah sedikit kenyataannya.

Samad dan Fatimah antara yang terawal sampai di balairaya pada pagi itu meminta agar Pak Ngah, Razak dan mereka yang terlibat agar tidak menyebarkan maklumat tentang keadaan anak mereka.

Berdasarkan kenyataan Pak Ngah, anak Samad dan Fatimah tidak ditemui dan Sharif diserang oleh sekumpulan anjing hutan. Samad hanya mampu berterima kasih atas kenyataan Pak Ngah itu. Kenyataan sebenar tentang apa yang berlaku diceritakan oleh Razak dan rakan-rakannya, membuatkan Fatimah meraung seperti orang hilang akal. Namun riak wajah Samad lebih kelihatan sedih atas kematian Sharif. Ternyata lelaki itu tahu sedari awal lagi tentang keadaan anaknya.

---

"Tak ada dua orang lelaki tu?" Tanya Samad tengahari itu di kawasan perkuburan ketika jenazah Sharif dikebumikan.

"Tak ada, bang Samad," Razak menggeleng. "Saya minta maaf sebab tak dapat selamatkan anak abang," dia menunduk merenung kakinya sendiri. Baris-baris gigi besar Reza masih terbayang-bayang di dalam benaknya.

"Tak apalah, Zak. Kata Bilal Omar, lelaki tu yang uruskan kes tahun 1995 dulu tu. Kalau takdir Reza dijaga oleh lelaki tu, aku redha," kedengaran nada pahit dalam suara Samad. Kata-katanya terhenti seketika, ternyata cuba untuk menahan kesedihan. "Aku tak mampu lagi sebenarnya nak kekang Reza dari keluar. Selama tujuh tahun aku jaga dia, dah berkali-kali dia berjaya lepaskan diri dari kurungan. Tapi kali ni ternyata... dia semakin gagah. Aku... aku tak mampu," akhirnya mengalir deraian air mata Samad.

Banyak lagi soalan yang ditanyakannya kepada lelaki itu, namun melihatkan keadaan, Razak membatalkan niatnya. "Kak Timah macam mana, bang?"

Samad tersenyum pahit. "Macam itulah dia... aku tahu dia sayang benar dengan Reza. Tapi..."

Razak menepuk perlahan bahu Samad. Sepoi-sepoi hembusan angin menggerak-gerakkan dahan-dahan pokok tempat mereka berteduh. Orang-orang kampung yang tadinya berada di sekitar kawasan perkuburan untuk memberi penghormatan kepada Sharif akhirnya beransur kurang. Razak merenung tajam ke arah kaki hutan Kampung Alor. Entah kenapa dia cukup yakin bahawa dua orang lelaki yang ditemuinya tadi masih berada di dalam hutan itu. Memerhati... menanti... buat sesaat anak mata Razak berubah kelabu.

-Tamat-
====================================
Suntingan Karya: Ahmad Rusydi

Gambar: Wan SC

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: