Sunday, 15 April 2018

KALUNG Part 3 - Atikah Che Yasin


KALUNG 

Bahagian 3
===================

Haus. Lelah. Bercampur menjadi satu. Sudah hampir beberapa jam mereka berjalan tanpa arah tuju di padang tandus itu. Bukan setakat manusia, hatta binatang sekalipun tidak kelihatan. Hanya mereka berempat.

Kaki masing-masing sepertinya sudah melecet. Bahang padang berpasir itu cukup terasa walaupun suasana kelihatan mendung.

"Korang, aku dah tak larat." Magnolia meluahkan rasanya. Irman yang sedang mengetuai mereka di depan menghentikan langkahnya.


"Habis, kita nak rehat di mana?" Soal Irman. Dia sudah mati akal sebenarnya. 

"Kejap. Aku cuba."


Jasmin mengeluarkan kalungnya. Digenggam kalung itu untuk menyelesaikan kebuntuan. Dicuba menggunakan kalung itu untuk mencari sumber air yang berdekatan. Namun gagal.

"Pelik. Aku tak nampak apa-apa."

"Maksud kau? Kuasanya dah habis?" Irman meneka. Jasmin sekadar menjungkitkan bahu.

"Mungkin, sebab waktu di sini terhenti." Wardah menyuarakan pendapatnya.

"Kau pasti waktu di sini betul-betul terhenti? Entah-entah jam memang rosak sebab kita tercampak jauh dari tempat kita." Irman sepertinya sedikit sukar mempercayai kenyataan Wardah.

"Tiada yang mustahil kalau kita di negara yang hilang itu. Memang masa terkunci selagi bunga-bunga itu tidak kembali ke tempatnya." Magnolia menjelaskan.

"Arghh...Aku makin tak faham!" Irman merengus kasar. Diramas-ramas rambutnya sendiri, sehinggakan berserabai . Wajahnya juga kusut.

"Okay, sebenarnya macam ni. Apa kata kita duduk dulu." Ujar Wardah sambil duduk di atas pasir.

"Duduk? Atas pasir yang berbahang ni?"

"Habis? Apa pilihan kita? Tak ada pokok pun kat sini."

Irman hanya akur. Dia duduk mengadap gadis-gadis yang sudah duduk di pasir itu. Agak menghairankan, pasir itu tidaklah berbahang seperti yang disangka. Suhunya seperti biasa sahaja.

"Kita sekarang lari daripada Fatin. Ada sebab kita tercampaknya di sini. Sebab utamanya kalung." Wardah membuka bicaranya mengenai kalung.

"Untuk pengetahuan awak, 7 kalung ini sepatutnya dijaga oleh dayang-dayang Puteri Ratna yang berhubung senyap-senyap dengan puteri saat dia dikurung di bawah tanah."

"Kenapa dia dikurung?" Soal Irman.

" Sebab tidak sependapat dengan ayahandanya. Puteri Ratna menegur ayahandanya yang serong dalam pentadbiran. Sultan murka dan mengurungnya."

"Adapun terhasilnya kalung itu saat sang puteri dalam kurungan. Dihempaskan tiaranya ke lantai tanda protes terhadap kerajaan pimpinan ayahandanya. Serpihan itulah dilenturnya menjadi kelopak-kelopak bunga."

"Lentur guna apa kalau dalam kurungan?"

"Itulah kelebihan puteri itu. Melenturkan perhiasan dan logam. Namun, puteri tidak menggunakan kelebihan itu untuk melepaskan diri daripada kurungan." Magnolia mencelah.

"Tapi macam mana kalung tu jatuh ke tangan korang?"

"Macam yang saya cakap, sepatutnya dayang yang menjaga. Tetapi salah seorang dayang itu telah terbocorkan rahsia kepada pembesar. Pembesar yang tamak itu menggunakan kuasanya. Dipaksa dayang menyerahkan kalung kepadanya."

"Kalung itu diambil secara paksa dari dayang-dayang. Namun, sesuatu terjadi saat pembesar itu merampas kalung ketujuh."

Wardah menarik nafas dalam-dalam. Terasa mengah bercerita tanpa henti.

"Saat kalung terakhir direntap secara paksa, secara tiba-tiba ketujuh-tujuh kalung itu bercantum sendiri. Dalam pada masa yang sama, terdapat lohong cahaya timbul dari atas. Loket kalung-kalung itu berpusing-pusing tanpa henti. Sudah tentu situasi itu menghairankan pembesar. Namun, langsung tidak dipeduli. Kalung-kalung yang sedang terapung-apung diawangan cuba diraih. Tapi dia gagal!"

"Kalung itu sepantas kilat bergerak ke arah lohong itu. Sebaik sahaja kalung hilang dari pandangan, masa di kerajaan itu terkunci. Kerajaannya juga hilang. Mungkin tertimbus dalam pasir ataupun terhijab. Wallahu'alam."

"Jadi, lepas kalung itu masuk lohong bercahaya itu, ia sampai ke tangan korang?"

"Ya, melalui pelbagai cara. Contohnya, mimpi. Macam saya, arwah mak mimpi ada orang tinggalkan sesuatu kat bawah bantal saya."

Semua mengangguk tanda faham dengan penerangan Wardah. Aneh. Tapi tiada yang mustahil.

"Kita sudah separuh hari berjalan bersama. Tapi masih belum mengenali antara satu sama lain lagi." Magnolia menambah lagi.

"Apa tak kenal pulak? Dia Jasmin, tu Wardah, kau Magnolia dan aku Irman."


"Maksud aku latar belakang masing-masing."


" Tak perlu tahu pun. Yang penting kita perlu cari kerajaan yang hilang tu supaya kita dapat keluar. Mungkin..." Ayat Irman terhenti di situ. Mindanya sedang memikirkan sesuatu.

"Bagi aku kalung kamu semua."

"Untuk apa?" Soal Jasmin.

"Bagi je lah." Desak Irman.

Masing- masing menyerahkan kalung itu kepada Irman walaupun tertanya-tanya tujuannya. Kalung itu tidak berfungsi. Lalu, untuk apa?


Irman menatap loket kalung itu. Setiap satunya boleh dilaraskan.


"Mengikut cerita Wardah tadi, loket-loket ini pernah tercantum." Ujarnya sambil melaraskan kalung milik Wardah.

Mata gadis-gadis di hadapan Irman tertumpu sepenuhnya kepada perlakuannya.

"Jadi, sekarang cuma ada kelopak pertama, ketiga dan ketujuh. Angka ganjil." Tangan Irman ligat menyusun loket-loket itu secara bertindih antara satu sama lain.

Dilaraskan secara tertib.

'Plap!'

Loket-loket itu tercantum. Tanah yang tandus tadi tiba-tiba ditumbuhi rumput-rumput yang kehijauan. Dari situ, tumbuh pula mawar, bunga melati serta cempaka. Kesemua mereka merasa kagum. 


Kuasa kalung itu berfungsi kembalikah?


Belum sempat mereka bersuara, tiba-tiba gegaran kuat telah berlaku. Kuat gegaran itu sehinggakan telinga masing-masing terasa berdesing. Mereka menekapkan telinga dan menundukkan wajah rapat ke tanah.

"Lindungi kami ya Allah." Wardah memanjatkan doa. Gegaran itu cukup hebat sekali. Dia merasakan ajalnya bakal menjemput nanti.

"Weh, bertahan Jasmin." Irman menjerit tatkala melihat Jasmin telah tidak sedarkan diri.

Jasmin tidak menyahut. Dia telah terkulai di situ. Magnolia pula menangis persis anak kecil. Dia sungguh takutkan keadaan itu.

Setelah beberapa ketika, gegaran berhenti. Irman memandang sekeliling. Jasmin, Wardah dan Magnolia tidak sedarkan diri. Dia mendapatkan gadis-gadis itu. Cuba dipanggil nama mereka namun panggilannya tidak bersahut.

Irman terpinga-pinga bilamana dia menyaksikan sesuatu. Di depan matanya terdapat sebuah istana yang tersergam indah.

Rekabentuknya agak unik dengan motif bunga-bungaan menghiasi tiang-tiang istana. Nun di puncak istana, terdapat sesuatu yang bersinar. Irman tidak dapat memastikan tentang itu, cuma yang dia tahu, mereka semua sedang berada dalam taman istana.

Taman yang luas itu dipenuhi bunga-bungaan yang cantik. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah kolam. Cukup mengagumkan.

"Luas kan tempat ni." Suara Jasmin mengejutkan Irman.

"Eh, masa bila kau bangun?"

"Baru je. Magnolia la ni. Dia kan boleh menyembuhkan."

"Ni lah kot istana Puteri Ratna. Tapi, tiada orang pun."

"Cuba tengok tu!" Magnolia menunjukkan jarinya ke arah Barat. Sebahagian istana itu tidak terzahir. Seolah-olah tersembunyi.

"Memang istana ni separuh ke?"

"Jom tengok- tengok kat dalam ni." Irman memutuskan. Baginya, sesuatu hal tidak akan menemui jawapan jika cuma dilihat dari jauh.

Mereka berempat melangkah masuk ke istana itu. Pelita-pelita antik menghiasi sudut-sudut istana. Tidak terpasang, mungkin sebab hari masih siang.

Terdapat beberapa lukisan besar tergantung di dinding- dinding istana. Di kiri kanan pula terdapat tentera berbaju besi yang berkawal tetapi tidak menghalang mereka masuk.

"Patung je kot." Wardah bersuara sebaik sahaja mendengar isi hati kawan-kawannya.

Irman menghampiri tentera itu. Dibuka penutup muka besi.

"Orang betullah. Masih terkunci kot masa." Irman meneka.

"Pelik. Sebab kita dah jumpa istana ni. Takkan masih terkunci?" Jasmin menuturkan pendapatnya dengan perasaan ragu-ragu.

"Mungkin sebab belum jumpa ketujuh-tujuh 'bunga' itu. Jadi cuma sebahagian sahaja yang terzahir." Kenyataan Wardah agak masuk akal. Maka, perjalanan diteruskan.

Setiap ruang istana itu diterokai. Namun, setiap kali mereka menemui orang, pasti orang itu terkaku.

Irman memutuskan untuk ke tempat kurungan Puteri Ratna. Mungkin terdapat petunjuk di situ.

*****

Setelah meninjau-ninjau satu istana, mereka menemui sebuah pintu kecil. Pintu kayu yang disendal serta dirantai dipercayai boleh membawa mereka ke tempat kurungan.

Agak besar rantai yang terpasang. Irman hanya menggelengkan kepala. Kudratnya tidak mampu membuka pintu itu.

Magnolia tampil dan menggunakan keistimewaannya. Dengan mudah pintu itu dibuka.

Sebaik sahaja pintu itu dikuak, bau busuk menerobos ke dalam hidung mereka. Seolah-olah terdapat bangkai di dalamnya. Jamung yang berada di dinding lorong gelap itu diambil bagi membantu menerangi jalan nanti.

Irman menuruni anak tangga satu persatu. Tangga batu yang curam itu sedikit menggayatkan. Rakan-rakan di belakang mengikut langkahnya. Penuh hati-hati mereka berjalan. Sesekali hampir tersadung juga.

"Rasa memang ni tempat kurungan bawah tanah." Ujar Irman. Matanya meliar memerhati sekeliling. Terdapat beberapa jeriji besi di situ. Setiap satu di dalamnya terdapat tengkorak. Seolah-olah sudah lama terkurung dan terbiar.

"Wardah, kalau waktu terkunci, kenapa tahanan boleh mati sampai tinggal tulang di sini?"

Wardah menggelengkan kepala. Dia juga tidak tahu kebenaran itu.

"Kita cari tempat Puteri Ratna dulu lah. Cari tiara pasti jumpa." Magnolia mencadangkan.

Irman bersetuju. Mereka meninjau-ninjau sekeliling tempat itu. Tibalah di tempat tahanan paling hujung, mata mereka menangkap sisa serpihan tiara diraja.

Wardah mengalirkan air mata. Dia terus memeluk Jasmin. Jasmin hanya terkedu. Dia juga terkejut. Sangkanya puteri itu masih hidup tapi meleset sama sekali.

Wardah menangis teresak-esak. Tengkorak di dalamnya betul-betul meruntunkan hati.

"I..inii puteri tu?" Tergagap-gagap Magnolia bersuara.

"Jjadi.. Kita tak boleh balik ke tempat asal?" Irman bersuara separuh berbisik. Dia terduduk. Mungkinkah dia perlu terperangkap di situ buat selama-lamanya?

Irman kusut. Lagi kusut tatkala mendengar esakan tangis Wardah.

"Apa yang kalian sedihkan sangat?" Suara gemersik dari belakang menimbulkan persoalan.

"Siapa?" Jerit Irman sambil berpaling ke belakang.

Muncul seorang wanita yang berpakaian lusuh berjalan perlahan ke arah mereka. Walaupun pakaiannya usang, tapi wajahnya tampak bersih. Senyuman terukir di wajahnya.

"Beta, puteri Ratna."

"Puteri?" Serentak mereka bersuara. Masing-masing terlopong mendengarkan itu.

"Ya, benar."

"Tttapi..dalam tu.." Jasmin menunjukkan ke arah bilik tahanan.


"Itu, salah seorang dayang beta. Dia tidak dapat bertahan lama. Akhirnya mati setelah beberapa tahun dengan beta."


"Maksudnya dia tak terkunci macam yang lain?"

"Ya, sebab dia berdekatan beta. Semua dalam tahanan ini mati sebab masa mereka tidak terkunci."

"Habis, kenapa tuan puteri masih tampak muda?" Irman hairan.

"Beta sendiri tidak tahu. Tapi tuan hamba pun mungkin senasib dengan beta. Terperangkap begini." Lirih sang puteri bersuara.

"Mesti ada cara. Aku tak nak terperangkap buat selama-lamanya di sini." Bidas Irman.

"Irman..." Wardah menegur Irman yang agak kasar. Irman meminta maaf atas keterlanjurannya dalam berkata-kata.

"Ada, bila kesemua ketujuh-tujuh kelopak bergabung. Kalian boleh balik ke tempat asal dan kerajaan ini akan pulih seperti sediakala. Cuma..."

"Cuma apa?"

"Cuma, setelah kembali ke tempat asal, segala memori kalian tentang semua ini akan terpadam."

"Terpadam?"

"Ya, kalian akan melupakan antara satu sama lain."

Irman termenung jauh. Dikerlingnya Jasmin. Hatinya berdebar-debar.

"Walaupun saya dah kenal lama Jasmin?"

"Ya, apa-apa memori berkaitan kalung pasti hilang." Tegas Puteri Ratna.

"Tapi, macam mana dengan orang yang memburu kalung ini? Mereka akan turut berhenti memburu ke?"

Puteri Ratna mengangguk.

"Segalanya akan pulih seperti biasa. Kalung ini cuma tersesat di tempatmu. Tempat asalnya di kerajaan ini. Bila kembalinya ke tempat asal, anggaplah semua ini tidak berlaku."

Semua mengangguk faham.

"Tapi, di mana empat lagi kalung?"

" Di kerajaan ini juga. Hanya tiga sahaja tersesat ke tempat kalian." Puteri Ratna menjelaskan.

"Jom kita cari kalung-kalung tu." Ujar Magnolia penuh semangat. Tapi tidak bagi Irman. Hatinya berbelah bahagi.

"Beta akan sertai kalian. Sebelum tu, kalian tukarlah pakaian kalian."Titahnya sambil mengajak mereka naik ke atas.

Dibawa mereka semua ke sebuah bilik. Di situ, terdapat pelbagai pakaian. Wardah, Jasmin dan Magnolia sukar memilihnya. Busana diraja itu amat janggal jika tersarung ke badan mereka.

"Tuan puteri, ada tak pakaian rakyat biasa?" Wardah menyuarakan pendapatnya. Puteri Ratna memahami. Di bawa mereka ke sebuah almari kecil.

"Pilihlah pakaian ini. Harap kalian selesa."

Mereka membelek-belek pakaian itu. Puas hati dengan pakaian beserta seluar yang mampu memudahkan pergerakan mereka. Irman pula sudah selesai menukar pakaian. Dia kelihatan segak bersut tentera diraja.

Selesai menukar pakaian, Puteri Ratna mengajak mereka ke tempat kuda. Terdapat beberapa kuda tapi Puteri Ratna menuju ke arah satu-satunya kuda putih. Diusapnya kuda itu sehinggakan pergerakan kuda itu tidak terkunci lagi.

"Ambillah tiap satu orang satu kuda."

"Tapi kami mana pandai berkuda." Ujar Irman jujur.

"Boleh, jangan risau. Beta akan berada di depan. Kuda-kuda lain akan ikut kuda beta, Abaidh." Ujar Puteri Ratna sambil menepuk-nepuk kuda putih itu.

Mereka akur. Diambil kuda lalu ditunggangi.

"Jom, kita berangkat!" Puteri Ratna bertitah sambil menutup sedikit wajahnya dengan kerudung usang. Abaidh, si kuda putih itu pantas berlari. Merentasi padang menuju destinasi yang belum pasti. Langkahnya diikuti kuda-kuda lain.

Baik Jasmin, Wardah serta Magnolia, masing-masing bersemangat mengikuti misi itu. Tekad mereka cuma satu! Kalung-kalung lain harus ditemui supaya mereka dapat pulang ke tempat asal.

-TAMAT bahagian 3-
Gambar: Dikmang
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: