Dendam Part II - Penamat
Oleh: Nur Afrah Radzi
DENDAM (PART 2) -PENAMAT
"Aku nak dia mati!!"
Teha menyemat pesan. Pak Kaha mengangguk faham. Pan akan menjadi miliknya tak lama lagi!!
******
Suri membuka matanya dalam kesuraman lampu tidur yang terpasang sebelum dia duduk melunjur di atas katil. Sayup-sayup telinganya menangkap butir bicara seorang perempuan dalam bahasa siam. Suri bangun, arahan perempuan siam itu diturutinya tanpa bantahan. Langkah kakinya di atur ke almari di sudut bilik lalu pintu almari itu dibuka. Matanya menangkap sepersalinan pakaian tradisi thai rona merah darah terlipat kemas di atas rak. Tangannya mengapai baju itu spontan, lalu dengan senyuman melirik lebar, persalinan itu disarung ke tubuhnya. Bunyi gemerincing loceng kaki membawanya ke katil semula. Suri duduk di situ sebelum dia ikut bersenandung irama lagu siam yang dinyanyikan perempuan siam berpersalinan tradisional thailand itu.
Prakkkk...prakkkk....atap rumah bergemuruh seolah-olah dipijak sesuatu.
"Dakbaw... Dakbaw....nama aku Dakbaw... Dakbaw... Dakbaw...nama aku Dakbaw..."
Suri berhenti bersenandung. Perempuan siam itu terus menerus membisikkan namanya pada gadis yang terpunduk di atas katil itu. Suri memegang kepalanya sebelum menjerit. Jeritan nyaringnya mengejutkan Teha di bilik sebelah. Kelam kabut kakaknya menerpa.
*******
Dua bulan sebelum...
Suri menguit sedikit mee goreng yang dibekalkan Teha padanya sebelum lambat-lambat dia menyuap mee goreng itu ke mulut. Sejak akhir-akhir ini, rajin benar Teha menyediakan bekal untuknya sedangkan memasak bukanlah sesuatu yang digemari kakaknya itu. Mee goreng itu dikunyah penuh nikmat sebelum ditelan perlahan-lahan. Matanya masih kekal fokus pada paparan skrin telefon bimbitnya, meneliti mesej-mesej rindu kekasihnya Pan, pada dirinya. Suri tersenyum bahagia. Terasa dirinya wanita paling bertuah di dunia. Sedang asyik menelek mesej Pan, satu mesej baru masuk. Suri membuka mesej baru itu.
"Suri, tolong belikan telur ayam kampung sebelum kau balik kerja ya..tq." -Teha
Suri membalas mesej pesanan kakaknya itu sebelum bangun. Waktu rehatnya sudah habis, dia perlu menyambung kerjanya semula.
Dia merenung telur ayam kampung yang dibuang di dalam plastik sampah di tepi sinki dapur. Kenapa Teha membuang kesemua telur itu? Dia menghulur tangan, ingin menelek telur-telur itu, namun baru sahaja tangannya menyentuh, telur-telur itu pecah berderai dengan kelongsong yang kosong tanpa isi. Suri terpempam.
"Suri, kau buat apa tu?"
Dia tersentak. Kepalanya segera di paling ke belakang.
"Eh..Teha. Tak..aku tengok telur ayam ni..kenapa kau buang? Dah rosak ke?"
Suri bertanya sekilas
"Ohh..haah. Telur palsu agaknya. Kau tengoklah, isi tak ada pun..kulit je ni haa.."
Teha menjelaskan sambil mengunjuk cengkerang telur yang berderai di dalam plastik itu. Suri sekadar mengangguk.
"Eh..kau dah makan? Aku masak tu..makanlah."
Teha menyambung. Suri tersengih.
"Tak apalah. Aku dah janji nak keluar dengan Pan.."
"Tak habis-habis dating..." Teha mencebik sebelum berlalu ke ruang tamu.
Suri sekadar menghantar pemergian Teha dengan ekor matanya. Pandangan kembali tertancap pada kelongsong telur yang kosong di dalam plastik sampah tadi sebelum dia mengangkat bahu tidak kisah lalu mula mengorak langkah ke biliknya.
******
"Kenapa tak makan sayang?"
Suri mengangkat muka. Nasi goreng yang dipesannya ditolak menjauh. Dia tidak berselera. Tubuhnya disandar pada kerusi kedai makan itu.
"I tak lalu."
Dia menjawab sepatah. Pan merenungnya lama sebelum bertanya lagi.
"You makin kurus sekarang..diet ke?"
Suri menggeleng. Seleranya mati jika dia makan di luar. Terasa seperti mengunyah pasir. Hanya makanan yang dimasak Teha mampu ditelannya sekarang. Pelik, tapi itulah hakikatnya. Mungkin kerana skill memasak Teha semakin baik hari ke hari, telahnya polos.
"Pan..I asyik nampak lembaga hitam lately...bila I nak tidur, lembaga tu duduk di hujung kaki I..tangan dia panjang sangat, sampai ke tumit! Dan hidung I ni, asyik terbau-bau kemenyan."
Suri membuka mulut menceritakan kegusarannya.
"Hish..ilusi you je kot. Dahla..jangan fikir sangat!"
Pan meningkah. Bihun goreng dihadapannya disuap ke mulut. Suri mengeluh halus. Menidakkan apa yang dirasanya sebagainya ilusi semata-mata.
*********
Teha merenung lelaki tua berpakaian serba hitam di hadapannya itu dengan mata mencerlung teruja. Mulutnya mengukir senyuman lebar dengan janji manis lelaki tua itu.
"Berikan arahan pada Bajang belaan kau..dia akan ikut setiap arahan kau. Tapi ingat, jangan lupa beri dia makan."
Lelaki tua itu menderam mengingatkan. Teha mengangguk laju. Pesan Pak Kaha disemat rapi.
"Baik Pak Kaha. Jadi...jadi aku dah boleh binasakan dia?"
Teha bertanya tergopoh-gapah.
"Boleh..lemahkan dia dulu, kemudian seksa dia hidup-hidup."
Lelaki itu mengulit misainya yang melenting hitam sambil tersenyum sinis.
********
Bahang panas bilik membuatkannya terjaga dari lena yang panjang. Suri mencelikkan matanya. Tapak tangannya menyentuh dahi yang berpeluh renik. Kipas yang ligat berpusing di syiling direnungnya lama. Keletihan terasa melumpuhkannya namun perut yang berbunyi minta diisi memaksanya bangun dengan susah payah. Dia menyandar badan pada kepala katil sebelum telefon bimbitnya yang tergeletak di tepi katil dicapainya. Satu persatu mesej Pan dibacanya.
"I dah masak bubur nasi dekat dapur, nanti minta Teha panaskan ya. Berehat ya sayang..I tahu you penat lepas apa yang jadi.." - Pan
"Lepas apa yang jadi..."
Suri mengulang bait ayat itu berkali-kali. Apa yang terjadi...? Matanya jatuh pada persalinan merah yang dipakainya. Suri mengerut dahi hairan. Seingatnya, dia tidak pernah membeli baju itu. Buntu, dia bangun perlahan-lahan. Teha pasti ada jawapan pada keceleruan fikirannya sekarang. Langkah kakinya diatur keluar bilik, menuju ke bilik kakaknya Teha.
Daun pintu yang agak renggang ditolak perlahan, tidak mahu mengejutkan Teha namun sebaik sahaja daun pintu itu terkuak, Suri membeliakkan mata melihat tingkah Teha yang sedang membelakangkannya. Kakaknya itu sedang duduk dalam bulatan lilin yang mengelilinginya sambil membaca bait-bait ayat yang tidak difahami butir bicaranya. Dihadapan Teha tergeletak beberapa biji telur ayam kampung. Suri membeliakkan mata apabila terlihat lembaga yang sering menghantuinya muncul di hadapan Teha. Lembaga itu merangkak-rangkak di atas lantai. Lidahnya yang panjang menjulur keluar dari mulutnya. Telur-telur ayam kampung itu dihampiri lalu dengan rakus, makhluk itu mula menghisap satu persatu telur-telur itu penuh nikmat! Detak jantung Suri meresah.
"Bagus..cemari makanannya..binasakan dia lagi..seksa jiwanya! Buat apa sahaja asalkan Pan jadi milik aku!!"
Bait ayat itu meluncur laju dari mulut Teha lalu singgah menjengah ke telinga Suri. Sekujur tubuh itu terpempan kaget. Satu persatu imbasan seksaan yang dilaluinya terlayar di minda. Jadi selama ini, Teha dalangnya?!
Kelam kabut dia berundur lalu langkah kakinya di atur semula ke dalam biliknya. Kunci kereta Perodua Kancil nya diambil lalu dia kelam kabut meloloskan diri keluar. Telefon bimbitnya digapai kalut, lalu nombor Pan didail cemas, namun gerak jarinya di atas skrin telefon itu terhenti secara spontan. Suri mendongak ke depan. Stereng kereta kancilnya digenggam kuat lalu dia menghidupkan kereta menuju ke suatu destinasi!
**********
Tiga bulan kemudian.
Suri menatang dulang berisi sup ayam dan bubur nasi ke bilik Teha. Pintu bilik dikuak lalu dia melangkah masuk. Bilik itu berbau hapak dan berselerak. Suri menggeleng kepala. Dia meletakkan dulang berisi makanan tadi ke atas sebuah meja di sisi katil sebelum mula mengutip baju yang bertaburan di atas lantai. Sesekali matanya menjeling susuk Teha yang sedang mencangkung di atas katil sambil merenung dinding. Suri mengeluh dalam. Baju-baju yang dikutip dimasukkan ke dalam bakul rotan di hujung bilik sebelum dia mengatur langkah ke katil. Duduknya dilabuhkan di sisi Teha. Rambut kusut Teha dibelai penuh kasih.
"Teha...mari makan. Aku masakkan sup ni.."
Teha berpaling melihatnya sebelum mula mengongoi tangis.
"Suruh dia pergi!!! Suruh dia pergi!"
Teha menjerit. Mukanya dibenamkan pada bantal.
"Suruh siapa pergi Teha...?"
Suri bertanya lembut. Belakang badan Teha diusap lembut.
"Perempuan siam tu....dia suka nyanyi-nyanyi kat telinga aku...aku..aku takut! Malam-malam dia renung aku tidur...Dia tukar makanan aku jadi lintah. Kau hidang lintah kat aku kan!??? hah??!!"
Teha menjerit nyaring. Suri menelek badan Teha yang kurus kering. Setiap kali Teha menelan makanannya, serta merta pula dimuntahkannya semula. Katanya dia menelan lintah! Lalu gadis itu semakin kurus hari ke hari..
"Shuuu...Dakbaw kan temankan kau."
Suri bersuara lembut, memujuk. Senyuman sinis tersungging lebar di bibirnya. Matanya melirik pada jelmaan perempuan berpakaian tradisional thailand yang melirik tajam padanya.
"Kau yang mulakan dulu Teha...."
Suri tergelak kecil. Suara ketawanya meredam di balik tangisan mengongoi Teha di balik bantal. Imbasan dua bulan lalu terlayar di mindanya...
********
Imbas kembali dua bulan lalu..
Kereta Kancilnya dipandu menelusuri jalan kampung itu lalu berhenti di sebuah rumah kayu yang usang. Suri menapak keluar. Seorang lelaki berpakaian serba hitam membuka pintu sebelum mengangguk padanya, memberi keizinan untuknya masuk.
Tangga kayu itu dipijak satu persatu dengan dendam yang membuar di dada. Suri nekad. Teha perlu menerima padah. Lelaki tua bermisai melenting di hadapannya itu direnung sekilas sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah kayu itu. Sebulan yang lepas, dia ke sini berseorangan meminta lelaki tua itu memasang susuk di mukanya. Taktik kotornya berhasil apabila lelaki pujaannya datang menyerah padanya. Dia tidak pernah tahu kakaknya turut menyimpan hati pada lelaki yang sama!
Bau kemenyan mencemar udara malam, menyambut kedatangannya ke situ. Suri duduk di atas lantai menghadap bekas perapian kemenyan dihadapannya. Tangannya terketar-ketar kegeraman. Mata tajam lelaki tua berpakaian serba hitam di hadapannya itu ditentang tegar.
"Aku....aku nak balas dendam!"
Suri mengatur ayat. Lelaki tua itu tersengih sebelum mengangguk.
"Aku akan tunaikan apa sahaja permintaan kau..tapi ada syaratnya."
Lelaki itu tersenyum sumbing. Suri mengangguk laju. Dia sanggup melakukan apa sahaja!
"Syarat pertama, kau perlu sediakan pengerasnya dan syarat kedua, setuju tanpa bantahan."
Lelaki tua itu menderam kasar. Suri telan liur yang terasa kesat menelusuri tekaknya sebelum perlahan-lahan kepalanya diangguk patuh.
Kain batik lepas itu disarung ke tubuh lalu hujung kain disemat kemas ke dada. Suri mengatur langkah keluar dari bilik yang disediakan lelaki tua itu sebelum menginjak tangga kayu di belakang rumah, turun ke halaman belakang. Sebuah tempayan batu berdiri teguh di tepi laman, dihampirinya. Gayung di ambil lalu Suri mula menatang air di dalam tempayan itu sehingga penuh sebelum gayung itu diangkat tinggi ke udara, membiarkan air dingin itu mencabul tubuhnya. Suri kesejukan. Namun pesan lelaki tua itu perlu dituruti. Tujuh gayung air bunga teratai putih dimayang halus menyapa tubuhnya yang berkemban batik. Selesai tujuh curahan, dia mendengar deraman kasar lelaki tua itu di belakangnya...
"Masuk. Dia dah setuju nak berdamping dengan kau."
Arahan lelaki tua itu menjengah gegendang telinganya walaupun kelibat lelaki itu tiada berhampirannya. Hanya suara yang menutur memberi arahan. Suri mengangguk. Dia melangkah masuk semula ke dalam rumah kayu itu lalu berbaring di atas sehelai kain kuning yang dihampar di tengah rumah. Suri mengigil kesejukan. Kain batik yang dipakainya melekap basah di badan. Lelaki tua itu membaca beberapa patah mantera yang tidak diketahui hujung pangkal butirnya sebelum satu kepulan asap muncul secara tiba-tiba di ruangan tengah rumah. Bunyi gemerincing loceng kaki menyapa pendengarannya sebelum susuk seorang wanita berpakaian tradisional thailand muncul di ruangan tengah rumah. Susuk itu sedang asyik menari. Tubuhnya meliuk lentuk mengikut irama. Tangannya di depang kiri dan kanan dengan kepala terteleng ke tepi. Suri menahan rasa debar di hati yang mula berkocak gentar. Bunyi gemerincing loceng kaki tiba-tiba berhenti. Wanita berpakaian siam itu merenungnya dengan renungan tajam sebelum perlahan-lahan dia menyatukan kedua telapak tangannya lalu tunduk patuh menghadap Suri. Suri kemudiannya diminta untuk bangun dari pembaringan.
"Semasa kakak kau datang pada aku, merayu untuk membinasakan kau, aku hantar Bajang dan Dakbaw pada kau..supaya kau gila dan lama kelamaan mati kerana tekanan. Tapi hari ini, bila kau sendiri datang menyerah, bersetuju mengikat janji dengannya, segala seksaan ke atas kau akan hancur lebur dan berbalik semula pada kakak kau, Teha. Kau bersedia menerima Dakbaw sebagai pendamping kau selamanya?"
Pak Kaha menutur syarat panjang lebar. Suri terdiam sebelum perlahan-lahan mengangguk pasti.
"Aku setuju."
*******
Suri tersenyum lebar mengenang kembali malam dia memutuskan untuk membalas dendam pada satu-satunya kakak yang dia ada. Tangisan mendayu Teha mengembalikan semula dia ke bilik berbau hapak itu. Dakbaw masih kekal disitu, merenung setiap gerak-gerinya, bersedia untuk bertindak atas arahannya.
"Shhhuuuu..jangan nangis.."
Suri pura-pura memujuk sebelum ketawa mengekek. Puas! Segala yang dihajati jatuh ke dalam genggamannya sekarang!
"Aku dapat Pan....kau? Hmmm...sedih. Itula..lain kali jangan buat aku..tau?!"
Suri bersuara menderam halus. Susuk tersengguk-sengguk Teha yang masih menangis di atas katil itu dipandangnya jijik.
"Aku akan terus seksa kau sampai kau mati!"
Ayat itu dibisikkan ke telinga Teha sebelum dia bangun, lalu melangkah keluar dari bilik itu dengan senyuman kepuasan tersungging di bibirnya.
p/s : Dan janganlah kamu menyekutukan Allah S.W.T. Sesungguhnya azab api neraka itu amatlah pedih.
-TAMAT
No comments:
Post a Comment