REMAJA ANGKER!
==================================
Kisah ini tidaklah menyeramkan tetapi ia mempunyai nostalgia yang indah untuk dikenang dari zaman remajaku. Zaman yang tiada gadget seperti sekarang namun alam remaja kami begitu menyeronokkan. Ikutilah kisahnya……
Masih ingat ketika usia remajaku. Aku suka mencuba sesuatu yang orang lain mungkin tidak pernah terfikir untuk melakukannya. Aku suka mengejar hantu!
Aku ingin bertemu Panglima Hitam. Aku ingin sekali melihat apa yang orang lain tidak nampak. Bila aku suarakan kepada rakan-rakanku, mereka tertawa dan berkata yang aku hanya berangan-angan kosong.
Rakan-rakan seusia aku ramai yang suka merempit. Setiap malam, jalanraya pasti bising dengan bunyi bingit ekzos motosikal. Ada yang mengubah suai motosikal agar menjadi lebih laju dan mengeluarkan bunyi yang mengancam.
Selekoh tajam menjadi tempat mereka membuat 'corner baring'. Ada yang pernah tertiarap dan mengalami luka parah, namun ianya tidak langsung menginsafkan mereka. Kata mereka itulah jiwa rempit sejati.
Orang-orang kampung sudah tidak betah lagi untuk menegur. Jika ditegur, maka terjadilah perbalahan sehingga ada yang menjadi mangsa pukul. Sudahlah merempit, nak jadi samseng juga. Akhirnya, aku dan beberapa orang rakan bertemu dengan seorang tua.
Kami meminta nasihat dan pandangan darinya, untuk menghentikan gejala merempit di kampung ini. Terlalu banyak perkara negatif yang berlaku termasuk kemalangan yang melibatkan nyawa. Namun mereka ini tidak tahu serik. Mat rempit berhati kering.
"Pakcik, boleh bagi kami jalan untuk selesaikan masalah ni?" Tanya aku.
"Senang saja. Jampi tempat tu ". Ringkas jawapannya.
Aku dan yang lain mengangkat kening. Bertanda tanya.
"Bagaimana caranya pakcik? " Tanya aku.
"Jika berlaku kemalangan jiwa, cepat-cepat perah limau dan baca jampi pada darah tu. Nanti adalah kesannya."
Terus dia mengajar kami bacaan jampi serapah tersebut dan aku mencatitnya agar tidak lupa.
"Sebelum nak jampi, hangpa kena mandi limau dulu. Mai rumah aku ". Kata orang tua itu.
Katanya, kami perlu mandi limau dahulu agar jampi serapah itu nanti akan berkesan. Kami hanya menurut saja tanpa berfikir panjang. Kami menanti saat itu.
Seminggu berlalu dan tiba-tiba kami mendapat tahu telah berlaku kemalangan jiwa di selekoh jalan. Ditakdirkan, kemalangan itu berlaku pada waktu malam.
Cepat-cepat aku menghubungi rakan-rakan yang lain dan meminta mereka membawa limau. Bila kami sampai, terus rakan aku memerah limau sambil aku membaca jampi serapahnya.
"Wahai jiwa yang tidur. Bangunlah kamu. Dari bumi ke bumi. Dari tanah ke tanah. Aku seru kamu......"
Terasa angin sejuk memukul badan kami. Seram menggigit perasaan kami saat jampi serapah itu aku bacakan. Kami menanti apa yang akan terjadi selepas itu. Namun hampa. Terasa sia-sia.
"Jangan-jangan pakcik tu kelentong kita tak. " Kata rakanku.
"Kita tunggu sampai esoklah. " Balas aku.
****
Esok hari.
Ketika kami sedang berkumpul, tiba-tiba kami mendengar cakap-cakap belakang orang sedang bercerita mengenai tempat kemalangan.
Kata mereka, tempat berlakunya kemalangan jiwa itu menjadi kawasan angker. Orang kata ada hantu! Ada seorang pekerja kilang yang terserempak dengan satu lembaga yang sedang menangis.
Kami berpandangan sesama sendiri. Kami yakin, kami telah berjaya.
Malam itu sekumpulan mat rempit di dapati berlanggar sesama sendiri. Mereka terkejut apabila terlihat sekujur tubuh yang berlumuran darah berada di atas jalanraya. Kemudian mereka terdengar pula bunyi tangisan dan lolongan.
"Huuuuuu.. aku sakitttt....."
"Tolong aku....."
Cerita tentang penemuan lembaga di selekoh itu menjadi bualan ramai. Kami sudah mula gelisah. Kami yakin, semua ini berpunca dari kerja gila kami.
Niat kami ingin menakutkan mat rempit, tetapi seluruh penduduk kampung pula yang ketakutan. Ini kerana mereka juga turut melalui selekoh maut itu dan diganggu lembaga.
Akhirnya, penduduk kampung sepakat untuk memanggil Tok Bomoh.
"Ada jampi serapah yang dibaca pada tempat ni. Hangpa kena panggil bomba. Aku tawar jampi dan bomba kena siram air atas jalan ni ." Kata Tok Bomoh.
Tarikh untuk melakukannya telah ditetapkan pada malam minggu. Ramai penduduk kampung telah berkumpul sedari awal untuk melihat pemulihan selekoh oleh Tok Bomoh.
Pihak bomba juga telah bersedia untuk memberi kerjasama. Tok Bomoh lalu mengeluarkan sintuk lalu direndam ke dalam air. Dia membaca sesuatu. Apa ayatnya, kami tidak pasti.
Tatkala air yang dibacanya itu disiram di atas jalanraya, maka terdengarlah suara jeritan yang amat kuat. Penduduk kampung menjadi takut.
"Bomba boleh tembak air sekarang! " Tok Bomoh memberi arahan.
Dan bermula dari saat itu, tiada lagi kedengaran akan suara tangisan dan kelibat lembaga itu juga hilang. Namun, orang kampung masih takut untuk melalui selekoh tajam itu.
Yang pastinya, kes mat rempit berlumba di selekoh itu juga berkurangan.
Aku tidak lagi mengamalkan amalan jampi itu walaupun bait-bait katanya masih lagi dalam ingatan. Kata Tok Bomoh, kalau hendak buang amalan jampi serapah, kami kena mandi sintuk limau.
Dan ya. Kami semua melakukannya. Ini kerana, kami tidak mahu lagi membuat perkara-perkara yang gila....…
******
Setelah sebulan perkara ini berlaku, umat islam menyambut kedatangan bulan Ramadhan. Bulan yang membuat kami anak remaja merasa gembira kerana kami percaya bulan ini tiada hantu berkeliaran.
Maka kami semua bersepakat….
“Malam ni kita main acilut di atas pokok ciku. Siapa yang jatuh dia yang kena ligan kita. Siapa yang kena cuit dia pula akan cuit orang lain. “
Kata sepakat telah dicapai. Masing-masing sudah tidak takut dengan keseraman pokok ciku. Selepas maghrib kami semua berkumpul di halaman rumah lalu membuat undian.
Akhirnya aku yang harus mengejar rakan-rakan yang lain. Aku di minta berada di bawah manakala rakan-rakan yang lain sudah berada di atas pokok ciku.
“Okay Diman. Kami dah ready .“
Bila mendengar kata-kata itu, terus aku memanjat keatas pokok ciku untuk mendapatkan rakan-rakan yang lain. Maka riuh rendahlah keadaan hingga bergoncang pokok ciku itu.
Gelak ketawa kami tak ubah seperti sekawan monyet dapat bunga. Masing-masing melompat dari satu dahan ke dahan yang lain untuk melarikan diri dari dicuit aku.
“Hoii…Hangpa main apa atas pokok ciku. Turun semua. Ya Allah habis buah ciku jatuh. Hangpa semua setannn.“
Sergah tuan punya pokok. Dia kelihatan marah dan mencari kayu untuk menghalau kami. Apalagi, terus kami melompat turun dan melarikan diri.
Keesokkan harinya, kami terdengar tuan punya pokok bising-bising apabila melihat buah ciku muda bertaburan jatuh di atas tanah.
“Depa tak ada tempat lain nak main. Atas pokok macam monyet jugak depa nak main." Rungut tuan punya pokok.
****
Petang itu, kami berkumpul lalu berbincang untuk aktiviti malam nanti. Ada yang beri cadangan agar kami main lagi acilut atas pokok ciku semalam. Namun ditolak mentah-mentah oleh aku dan beberapa orang yang lain.
“Kita main acilut sekampung. Kita bahagi kepada 2 kumpulan. Kumpulan yang lari dan kumpulan yang mengejar."
Aku memberi cadangan dan dipersetujui oleh mereka. Lalu kami membuat undian memilih kumpulan. Kumpulan kami melarikan diri dan akan dikejar oleh kumpulan yang lain.
Masing-masing membawa diri untuk tidak ditangkap kumpulan lain dan dikurung. Tiba-tiba, terdengar seorang rakan aku meminta tolong. Tercungap-cungap dia melarikan diri. Kami semua pakat berkumpul di halaman rumah.
“Aku laghi menyorok dalam rimbun pokok hutan sebelah telaga yang ada pokok rambutan gading tu. Tengah aku duduk, tiba-tiba aku terdengar bunyi air berkocak dari dalam telaga. Aku nampak sorang wanita timbul dari dalam air. Tu yang aku cabut laghi dan jerit minta tolong. “
Namun, masing-masing ada andaian sendiri. Kami berdebat. Apa yang kami tahu, bulan Ramadhan mana ada hantu!
******
Pokok rambutan gading amat rendang menutupi perigi. Air perigi pula nampak kebiruan dan jernih. Airnya begitu dingin bila menyentuh tubuh. Tapi ia begitu suram sebab tidak ada yang menggunakannya.
Masing-masing di rumah telah dibekalkan air paip. Bila datang musim buah, pokok itu akan dipenuhi dengan buah rambutan yang berwarna kuning.
Berbalik kepada perbincangan kami.
“Apa kata esok kita menyorok dalam belukar dan kita saksikan sendiri “. Aku berkata kepada rakan-rakanku.
“Aku setuju! Aku tak bercakap bohong. Aku nampak sendiri. “ Kata rakanku itu.
“Ingat… Siapa pun jangan bawa lampu suluh. “ Pesanku.
****
Keesokan harinya.
Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, kami berkumpul di halaman rumah. Cukup korum, kami bergerak memasuki belukar dan menghadap perigi. Diam kami tanpa berbicara.
Keadaan malam itu begitu terang dengan bantuan cahaya bulan. Kami nampak dengan jelas persekitaran perigi. Tiba-tiba rakanku mencuit dan menuding jari ke arah perigi. Kami semua ternganga.
Kami mendengar air berkocak dari dalam perigi. Tidak semena-mena, timbul satu lembaga berbaju merah dari perigi tersebut. Tangannya meliang lintuk seolah-olah menari.
Kepalanya mendongak ke atas melihat bulan yang begitu terang. Dia terapung-apung di atas air. Dalam takut-takut, kami semua terpegun tatkala melihat kecantikan yang dimiliki wanita tersebut. Dia berada begitu dekat dengan kami. Sesiapapun tidak berani bersuara.
Setelah terapung di atas air selama beberapa minit, akhirnya wanita tersebut perlahan-lahan masuk kembali di dalam perigi. Bila kelibat wanita tersebut hilang, kami keluar dari kawasan belukar. Barulah kami bersuara..
“ Woi…tu puteri bunian la..”
“Aku kata bukan. Kalau Puteri Bunian, dia duk dalam hutan. Ni dalam kampung. “
“ Iblis kut.“ Kata rakan yang lain.
“Iblis dan syaitankan kena rantai bulan puasa. “ Tegas yang lain pula.
“Apa kata kita letak nama dia Puteri Rambutan Gading.“
Masing-masing ketawa dan setuju dengan nama yang baru diberi. Walaupun lucu, tapi ada kebenarannya sebab perigi itu berada di bawah pokok rambutan gading.
******
Keesokan harinya.
Kami berkumpul lagi di dalam belukar menanti Puteri Rambutan Gading itu muncul. Namun kami hampa. Dia tidak muncul.
Selepas 2 bulan peristiwa itu, berlakulah suatu peristiwa yang sangat menyayat hatiku.
Adik lelakiku didapati lemas setelah terjatuh ke dalam perigi itu. Dan aku sendiri yang menemui tubuhnya tersangkut di akar pokok rambutan di dalam perigi.
Akhirnya, perigi itu dikambus oleh penduduk kampung. Walaupun perigi itu telah tiada, namun memori melihat wajah Puteri Rambutan Gading dan sekujur tubuh adikku di dalam perigi tidak mungkin akan aku lupankan hingga akhir hayatku.
Al-fatihah buat arwah adikku.
Kepada yang belum membaca kisah adikku, klik link yang diberi ;
-Tamat-
=================================
Karya adalah hakmilik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment