Tuesday, 3 April 2018

LEPASKAN - Mohd Shahiri Abd Ghapar


LEPASKAN...
===========================

Nampak benar Mimi dalam kegusaran. Sekejap dia bangun berjalan mundar-mandir, kemudian dia kembali duduk di atas sofa. Setiap lima minit matanya mengerling ke jam pada dinding.


Sejak tadi dia menunggu kepulangan suaminya daripada keluar bermain futsal dengan rakan-rakan sepejabat. Kini hari sudah menginjak ke tengah malam tetapi Kamal, suaminya masih juga belum pulang.

Tuk... Tuk... Tuk...

Mimi terkejut. Terdengar bunyi ketukan di pintu. Lekas-lekas Mimi bangun mendekati pintu. Dia yakin itu pasti Kamal yang balik. Cuma, Mimi sedikit hairan, tiada pula dia mendengar suara enjin motosikal Kamal masuk ke dalam kawasan garaj rumah sewa mereka. Tambah membuatkan Mimi pelik, selepas beberapa minit, Kamal tidak juga masuk ke dalam. Senyap sahaja keadaan di luar rumah..

Tuk... Tuk... Tuk...

Pintu diketuk lagi dari luar. Berderau darah Mimi dikejutkan secara tiba-tiba dengan ketukan itu. Dia mula ketakutan namun dia memberanikan diri mendekati tingkap berdekatan pintu. Dia mahu mengintai ke luar.

Sebaik sahaja anak matanya melihat ke luar, jantungnya serta-merta menjadi laju. Tubuhnya menggigil semacam kedinginan. Rasa takutnya menjadi-jadi.

Di luar itu ada satu sosok lembaga seolah-olah pocong, masih lengkap dalam kain kapan yang comot terkena kotoran tanah. Pocong itu berdiri betul-betul di depan pintu. Jaraknya dengan Mimi di dalam rumah, hanyalah beberapa meter. Hanya dinding, jeriji dan langsir yang memisahkan Mimi daripada tetamu tidak diduga itu.

Lekas-lekas Mimi mengundur ke belakang menjauhi tingkap. Dia berlari ke tingkat atas, masuk ke bilik tidur. Pintu bilik dikunci. Dia duduk di atas katil sambil berfikir. Mimi cuba mentafsirkan apa yang dilihatnya tadi dengan sebaik-baiknya. Benarkah apa yang dilihatnya itu tadi hantu dalam bungkusan kain kapan? Ataupun dia sebenarnya tersilap pandang?

Tuk... Tuk... Tuk....

Dia terkejut lagi. Pintu bilik pula diketuk berkali-kali. Mimi bangun dan lari bersembunyi di sudut bilik, di sebalik almari baju. Jantungnya seperti mahu pecah dek ketakutan. Dia terbayang-bayang seperti lembaga pocong itu sedang berusaha untuk masuk.

“Mimi! Mimi! Buka pintu ni, abang balik ni!” pekik Kamal dari luar meminta Mimi membuka pintu bilik yang dikunci dari dalam.

Apabila terdengar suara Kamal, barulah Mimi mampu menenangkan diri. Perasaan takut mula hilang, namun dia masih berhati-hati. Mungkin juga hantu pocong itu yang berpura-pura menjadi Kamal?

Dia melangkah berhati-hati menuju pintu yang masih berulang kali diketuk oleh Kamal. Sesekali Kamal memanggil nama Mimi agar membuka pintu. Dalam takut-takut, tombol pintu dipulas dan dia menarik daun pintu ke dalam.

“Mimi dah tidur ke? Sorry—lah abang balik lewat sikit,” riak wajah Kamal sedikit gusar. Dia bimbang dia telah menyebabkan tidur isterinya terganggu.

Mimi menarik nafas lega. Dia menghadiahkan senyum tawar kepada Kamal. Apabila Kamal melangkah masuk ke bilik, Mimi sempat mencuri pandang ke luar bilik, ke laluan menuju ruang tamu di bawah. Lengang. Sedikit kelam kerana semua lampu di tingkat bawah telah dipadamkan.

“Mimi, tengok apa tu?” Mimi hampir terloncat apabila bahunya ditepuk dari belakang oleh Kamal.

Daun pintu dihempas kuat. Tertutup rapat. Dia berpusing menghadap Kamal. Wajahnya pucat. Mukanya berkeringat.

“Takkan itu pun terkejut?” seloroh Kamal. Namun, wajah Mimi ketara menunjukkan dia dilanda cemas.

“Mimi pergilah tidur dulu. Abang nak mandi sekejap,” sambung Kamal menarik tangan Mimi dan membawa Mimi kembali ke katil. Dalam hati Kamal, mula terdetik bahawa ada sesuatu yang aneh telah berlaku kepada Mimi.

“Abang jangan lambat sangat,” pesan Mimi kepada Kamal sebelum suaminya hilang ke dalam bilik mandi.

Mimi baring. Dia cuba untuk lelap dan sekali gus melenyapkan ingatan kepada gambaran pocong yang dilihatnya. Mimi lega kerana kini dia tidak keseorangan dan andai kata pocong itu muncul lagi mengganggu, Kamal ada untuk melindunginya.

***

Tuk... Tuk... Tuk...
Mimi terkejut. Terdengar bunyi ketukan di pintu. Lekas-lekas Mimi bangun mendekati pintu. Dia yakin itu pasti Kamal yang balik. Cuma, Mimi sedikit hairan, tiada pula dia mendengar suara enjin motosikal Kamal masuk ke dalam kawasan garaj rumah sewa mereka. Tambah membuatkan Mimi pelik, selepas beberapa minit, Kamal tidak juga masuk ke dalam. Senyap sahaja keadaan di luar rumah.

Tuk... Tuk... Tuk...
Pintu diketuk lagi dari luar. Berderau darah Mimi dikejutkan secara tiba-tiba dengan ketukan itu. Dia mula ketakutan namun dia memberanikan diri untuk membuka pintu. Dan, apabila pintu dikuak luas, Mimi hampir sahaja terduduk pitam.

Satu lembaga pocong sedang berdiri di luar rumah. Ikatan kain kapan di kepalanya sudah dibuka menampakkan muka sebenar lembaga itu. Seorang lelaki yang telah dikapankan, pucat seperti telah lama mati, dengan kapas tersumbat di hidung dan telinganya sedang berdiri memandang tepat ke Mimi. Dalam sekali imbas itu, Mimi dapat melihat jelas muka mayat itu tetapi Mimi tidak kenal siapa gerangannya.

Mimi cepat-cepat menutup semula pintu. Dia mengundur jauh dari pintu. Dadanya berombak-ombak ketakutan. Dia menyesal kerana terlalu berani membuka pintu tadi. Mimi ingin berlari ke tingkat atas untuk bersembunyi di dalam bilik, namun belum sempat dia pergi, dia terdengar suara merintih dari luar rumah.

“Tolong saya... Tolong... Saya tak tenang di sini. Tolong saya,” mendayu-dayu suara itu meminta tolong.

Mimi penasaran. Rasa takut dan ingin menyelamatkan diri tadi hilang tiba-tiba apabila dia mendengar suara dari luar. “Tolong saya... Tolong... Saya tak tenang di sini. Biarlah saya bersemadi di sini.”

Mimi merapati pintu. Dia terlalu berani. Semacam ada kuasa yang keluar daripada suara itu sehingga Mimi kembali ke pintu. Mimi seolah-olah dipukau supaya membuka pintu. Dan apabila pintu dibuka, pocong itu masih ada berdiri. Mayat lelaki dalam kain kapan merintih meminta tolong kepada Mimi.

“Tolong saya... Tolong... Saya tak tenang di sini. Tolonglah. Tolong saya,” pintu lelaki itu lagi.

Mimi terjaga dari tidur. Dia memandang ke sebelah kanan. Kamal sedang nyenyak tidur. Mimi menarik nafas dalam-dalam. Dia beristighfar beberapa kali. Rupa-rupanya dia hanya bermimpi. Kemudian, dia teringat kejadian yang berlaku sewaktu dia sendirian sebelum terlelap tadi. Pocong yang muncul di depan rumah juga muncul dalam mimpinya. Dan dalam mimpinya tadi, pocong itu meminta bantuannya.

Mimi tidak pasti dari sudut mana perlu dia melihat kejadian yang dilaluinya itu. Mungkin sahaja itu mainan perasaan. Sebahagian dirinya pula mengatakan bahawa ada sesuatu yang dia perlu lakukan. Tidak mungkin pocong itu muncul dua kali dan meninggalkan pesan tanpa maksud yang tersirat. Mimi terus berfikir. Rasa mengantuk hilang sama sekali.

***

“Eh, termenung pula dia. Makanlah nasi lemak tu,” tegur Kamal mengejutkan Mimi daripada menungan jauhnya. Dari awal waktu bersarapan tadi, Kamal perasan fikiran Mimi sedang terganggu. Cuma, dia tidak pasti perkara yang menyebabkan Mimi acuh tidak acuh dengan diri dan keadaan sekeliling.

Mimi tersengih. Dia menyudu nasi lemak ke dalam mulut. Dikunyahnya beberapa kali dan ditelan. Seleranya tumpul pagi itu, malahan dia tidak lapar pun.

"Mimi ni kenapa? Abang tengok lain macam je? Mimi tak sihat?” soal Kamal.

Mimi serba salah untuk memberitahu perkara sebenar. Dia bimbang Kamal tidak akan percaya.

“Tengok tu, macam ada sembunyikan sesuatu daripada abang. Semalam, sebelum abang balik, ada apa-apa yang berlaku, ke?” tanya Kamal lagi. Mimi teragak-agak untuk terus menjawab.

“Mimi, abang tanya ni. Ceritalah, abang suami Mimi, kan?” pujuk Kamal tidak berputus asa.
Mimi akhirnya akur.


Dia bercerita tentang kejadian yang dialaminya termasuk mimpi tentang pocong dan rintihan lembaga itu. Kamal tidak memberikan reaksi, dia hanya mendengar sehingga Mimi selesai bercerita.

“Sebenarnya, abang pun ada benda nak cerita pada Mimi,” ucapan Kamal itu mengejutkan Mimi.

Kamal pula berkongsi ceritanya. Katanya, sejak mereka berdua berpindah masuk ke rumah sewa itu tiga bulan lalu, kejadian yang hampir sama seperti dialami oleh Mimi telah beberapa kali berlaku kepada Kamal. Hanya Kamal sahaja yang menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan Mimi kerana bimbang Mimi akan ketakutan lalu memaksa mereka berpindah dari situ.

Bagi Kamal, selagi lembaga itu tidak mengganggu Mimi, dia betah untuk bertahan. Rumah sebesar itu di kawasan strategik dengan harga sewa yang berpatutan sukar untuk dilepaskan. Apatah lagi dalam keadaan ekonomi mereka yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Namun, lembaga itu kini muncul pula mengganggu Mimi. Kamal tidak boleh lagi membiarkan perkara yang sama berlaku.

“Maafkan abang sebab rahsiakan perkara ini daripada Mimi. Abang cuma tak nak Mimi takut kalau tinggal seorang diri,” ujarnya meminta maaf.

“Abang rasa, lembaga tu betul-betul maksudkan apa yang dia minta tolong tu?”

Kamal terdiam. Dia sendiri kurang pasti. Namun, ada sesuatu yang boleh mereka lakukan. “Makan cepat, kita ke rumah Kak Normah. Kita tanya dia, kalau-kalau dia tahu tentang perkara sebenar.”

***

“Maafkan Kak Normah, Kamal, Mimi. Kak Normah ingat, semuanya dah berakhir,” wanita bernama Kak Normah, pemilik rumah yang disewa oleh Kamal dan Mimi itu mula jebik menangis.

Kamal dan Mimi saling berpandangan apabila melihat reaksi Kak Normah yang tidak semena-mena.

“Apa maksud Kak Normah? Kak Normah tahu lembaga itu dulunya siapa?” soal Mimi mendahului suaminya yang masih terpinga.

Kak Normah memandang ke arah Mimi. Sendunya ditahan sedaya upaya. “Itu arwah adik Kak Normah, Naim. Satu-satunya anak lelaki dalam adik-beradik kami.”

“Mari, Kak Normah nak kenalkan seseorang pada kamu berdua.”

Kak Normah bingkas bangun, membuatkan Kamal dan Mimi turut bangun dari sofa. Kak Normah kemudian mendahului kedua-duanya, berjalan ke bilik di sudut belakang rumah.

“Ini emak Kak Normah. Dulu emak tak macam ni, emak sihat. Cuma lepas Naim meninggal, emak selalu jatuh sakit. Dan sekarang, emak jadi macam ni. Terbaring saja di katil ni,” Kak Normah mula bercerita.

“Dulu, dalam masa sebulan Naim meninggal, benda yang terjadi pada kamu berdua, berlaku juga pada penyewa lama. Kata mereka, Naim datang dalam bentuk pocong, berkain kapan dan merayu-rayu meminta tolong. Selepas Kak Normah dan adik-adik lain siasat, rupa-rupanya, emak yang menyeru Naim balik. Ada seorang kawan emak yang mengajar dia mantera yang bukan-bukan. Alasan emak, dia terlalu rindukan Naim. Emak tak boleh terima yang Naim dah tiada.”

Kamal dan Mimi tergamam mendengar penerangan Kak Normah.

“Tapi, selepas dapat tahu tentang apa yang emak buat, kami adik-beradik dah nasihat emak supaya reda dengan pemergian Naim. Kami panggil ustaz untuk tolong nasihatkan emak, ajarkan emak doa-doa untuk kuatkan semangat. Alhamdulillah, lepas itu, tak ada lagi kejadian yang sama berlaku. Sampailah hari ini, kamu berdua datang beritahu apa yang terjadi”.

“Naim.... Bila Naim nak balik? Emak rindu pada Naim,” tiba-tiba emak Kak Normah bersuara dengan nada lemah tidak berdaya.

Kak Normah cepat-cepat mendapatkan wanita tua itu. Dia memujuk emaknya supaya bersabar.

“Maafkan Kak Normah, ya? Kamal, Mimi, kamu baliklah dulu, ya. Tentang masalah kamu tu, nanti Kak Normah akan ikhtiarkan. Kalau kamu berdua nak keluar dari rumah itu pun, Kak Normah faham.”

Kamal tersenyum. “Kak, boleh saya cakap sedikit dengan emak akak?”

Kak Normah hanya mengangguk. Kamal terus duduk melutut di lantai dan wajahnya didekatkan ke kepala emak Kak Normah.

“Mak cik, saya Kamal,” ujar Kamal memperkenalkan diri. Emak Kak Normah lantas merenung wajah Kamal.

“Mak cik, Naim dah lama tak ada, mak cik. Yakinlah mak cik, Naim berada di tempat yang lebih baik sekarang. Lepaskanlah dia pergi dengan tenang mak cik,” tutur Kamal perlahan-lahan sambil menjaga perkataannya agar tidak melukai perasaan tua emak Kak Normah.

Emak Kak Normah mula menangis teresak-esak.


“Kesian pada Naim, mak cik. Dia tak tenang kalau mak cik tak reda. Mak cik mesti nak Naim bahagia, tenang dekat sana, kan? Lepaskanlah dia pergi,” tambah Naim lagi.

Kak Normah pula semakin tersedu-sedu. Mimi datang memeluk dan mengusap belakangnya memberi semangat.

“Mak cik jangan risau. Mak cik doa banyak-banyak, satu hari nanti, mak cik dapat jumpa Naim lagi. Walaupun Naim tak ada di pandangan, Insya-Allah, Naim sentiasa ada dalam hati mak cik dan keluarga. Lepaskanlah dia,” nasihat Kamal lagi.

Selepas menitipkan pesanan itu, Kamal bangun.

“Maafkan saya kak, kalau terkasar bahasa. Semoga urusan keluarga Kak Normah sentiasa dipermudahkan. Insya-Allah, buat masa ni, kami boleh bertahan duduk di rumah tu. Kak Normah jangan risau,” ujar Kamal lalu tersenyum.

“Betul tu kak. Kalau Kak Normah perlukan bantuan apa-apa, Kak Normah jangan segan-segan nak minta tolong. Insya-Allah kami boleh cuba membantu,” Mimi pula menambah.

Kak Normah mengangguk faham dengan kata-kata Kamal suami isteri. Dia membenarkan mereka berdua pulang. Kak Normah sendiri akan berusaha memujuk emaknya supaya terus reda untuk melepaskan Naim pergi buat selama-lamanya.

*** 

Benarlah kata orang. Kehilangan orang yang tersayang sememangnya terlalu menyakitkan. Salah satu cara untuk mengurangkan kesakitan itu adalah dengan meneruskan kehidupan. Kenangilah mereka yang telah pergi mendahului kita dengan doa yang berpanjangan.


Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller, mind-blowing atau paranormal? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.


Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau Webpage anda untuk dikreditkan

No comments: