KALUNG
PENULIS: Ratika
Bahagian Akhir
====================
Debuan pasir berterbangan. Sesekali menerpa ke arah muka mereka. Terjahan tapak sang kuda membelah kesunyian padang tandus itu.
Sudah jauh perjalanan mereka. Sesekali kelihatan Puteri Ratna membetulkan kerudungnya. Abaidh, si kuda putih langsung tidak menunjukkan kepenatan. Diteruskan perjalanan mengikut halatuju tuannya.
"Cukup sudah. Di sini rasanya kalung itu." Puteri Ratna turun dari belakang Abaidh. Dia menapak beberapa langkah dari situ. Tiada hidupan di situ melainkan pepohon kaktus sahaja.
Kakinya menguis-nguis pasir. Irman dan yang lain-lain hanya memerhati sahaja kelakuan Puteri Ratna.
Kaki Puteri Ratna merasakan sesuatu. Sesuatu timbul dari pasir itu. Dia membongkokkan badan. Diperhatikan tulang-tulang yang tertanam di situ.
Ditarik tulang itu secara berhati-hati. Seperti yang dijangka, sesuatu yang mereka cari ada tertanam di situ.
Puteri Ratna mengalirkan air mata. Wardah dan yang lain-lain menghampirinya.
Mata masing-masing menyaksikan kalung di tangan Puteri Ratna.
"Ini...." Jasmin mulai memgecam kelopak itu.
"Ya, kelopak keempat. Teratai. Tidak mungkin mampu hidup di sini." Wardah menjelaskan.
" Siapa pemiliknya?"
" Seorang rakyat beta yang biasa. Dia menimbuskan diri dalam tanah ini semata-mata tidak ingin menyerahkan kalung ini kepada tangan orang salah." Kedengaran esakan dalam suara Puteri Ratna.
Merah mukanya dek tangisan. Sedikit wajahnya yang tertutup menyembunyikan merah matanya, tapi semua maklum dia sedang berduka. Terdapat getaran dalam suaranya.
"Jadi selebihnya di mana?"
Puteri Ratna menggeleng lemah.
"Kemungkinan, mereka sudah mati. Kalung kelopak genap, yakni dua, empat, dan enam bergantung hayat antara satu sama lain. Andai mati satu, yang lain akan lemah dan lama-lama akan mati." Puteri Ratna menundukkan wajahnya.
"Yang kelima?"
" Ada dengan beta." Puteri Ratna berterus-terang.
"Sebab kalung inilah beta berpakaian lusuh. Andai beta berpakaian diraja, mustahil kuasanya akan muncul."
"Kenapa?"
"Sebab beta cipta kalung ini untuk orang biasa mengubah kerajaan pimpinan ayahanda beta."
"Tapi... Tidak disangka lain jadinya."
Guruh di langit berdentum. Awan gelap mula berarak. Terdapat lohong hitam yang muncul. Gempak gempita bunyi suara jeritan seorang wanita.
'Dum!'
Dentuman kuat menggegarkan kawasan itu. Dari lohong hitam itu, muncul seorang wanita yang mereka kenali.
"Fatin?" Serentak mereka bersuara. Puteri Ratna yang tidak mengenali Fatin cuma mendiamkan diri.
"Kau ingat kau boleh lari dari aku?" Tempik Fatin. Air mukanya bengis. Jasmin hampir tidak mengenali mamanya sendiri.
"Kau nak apa lagi? Bertaubatlah!" Irman cuba meredakan amarah Fatin.
"Bertaubat? Hahahaha. Serahkan kalung itu kepada aku!"
"Tak mungkin kami serahkan kat kau!" Wardah menegaskan.
"Oh, hidup lagi kau. Ingatkan dah mampus." Sinis Fatin bersuara.
"Kau jangan kacau mereka. Kalau nak beradu tenaga, ayuh!" Puteri Ratna mara ke arah Fatin. Fatin yang berpakaian serba hitam cuma senyum menyeringai. Baginya, gadis berbaju usang di hadapannya kurang siuman.
"Kau pasti? Ayuhlah!" Fatin menghentakkan tongkatnya ke tanah. Di tongkat terdapat kalung kedua dan keempat. Saat tongkat Fatin terpasak di tanah, kaki mereka terkunci.
Puteri Ratna terkedu. Bayangnya dikunci. Begitu juga Irman dan yang lain-lain.
"Selamat tinggal semua."
Fatin menghalakan pistol ke arah mereka.
'Bang! Bang! Bang! Bang!'
Empat tembakan tepat singgah di dada Irman, Wardah, Jasmin dan Magnolia.
Darah membuak-buak keluar. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Sakit yang merobek setiap sensori kesakitan merentap setiap inci daging. Pedih. Ngilu. Tidak dapat digambarkan malah mereka tetap terkaku di situ menahan sakit yang maha hebat.
"Kau tak gunaaa..." Puteri Ratna menjerit melempiaskan rasa yang terbuku di hati. Fatin cuma menjungkitkan bahu.
"Kau yang ajak beradu tenaga."
"Tapi jangan libatkan mereka!"
"Opps. Aku tak sengaja!"
Kedengaran keluh kesah suara Irman dan yang lain menghela nafas. Tersekat-sekat.
Puteri Ratna memejamkan mata. Diseru satu persatu kalung-kalungnya. Mungkin pergerakannya terbatas tapi mulutnya tidak terkunci.
Kalung-kalung Wardah, Magnolia, Jasmin serta yang baru ditemui tadi kini di awang-awangan. Fatin mendongak dan cuba mendapatkannya. Rakus dan tamaknya membuak-buak. Kesemua kalung itu mesti didapatkan!
Dihayunkan tongkatnya ke langit.
'Pprangg!!'
Panahan kilat menyambarnya saat tongkat dijulang ke langit.
"Argh...arghh..."
Fatin tersembam ke tanah berpasir. Panahan kilat tadi tepat mengenai matanya. Dia mengaduh kesakitan. Pelik! Terdapat kilat pada waktu panas terik.
Puteri Ratna cuba menggerakkan kakinya. Berjaya. Dia berpaling ke belakang dan melihat yang lain sudah tersungkur ke tanah. Pasir-pasir melekat pada badan yang berlumuran darah.
Puteri Ratna tidak membuang masa. Dicantumkan ketujuh-tujuh loket pada kalung itu. Lengkap tujuh termasuk dua yang berada di tongkat Fatin.
'Plap!'
Suatu sinaran cahaya muncul dari loket itu. Sinaran terbit dari setiap kelopak. Kelopak-kelopak bunga itu berpusing dan menghasilkan debuan bunga-bungaan yang bergemerlapan.
Cahaya yang berkunang-kunang itu menuju ke arah Irman, Wardah, Jasmin serta Magnolia. Bercucuran cahaya menyimbahi mereka. Tidak lama kemudian, peluru keluar dari isi daging mereka. Darah juga terhenti malah langsung tiada kesan darah pada badan mereka.
Mereka kini mampu bangkit. Seolah-olah sudah sihat. Manakala lain pula halnya Fatin. Keadaannya semakin teruk. Kulitnya menggelupas dan tersopak. Hitam legam kulitnya hangus dek panahan tadi.
Dia terjerit-jerit menyumpah seranah sehinggalah hayatnya berakhir.
Puteri Ratna menarik nafas lega. Dia merenung kelopak- kelopak yang sudah tercantum dan memandang yang lain.
"Keadaan sudah pulih. Kamu semua akan kembali ke tempat asalmu." Titah Puteri Ratna.
"Tapi, betulkah kami tidak akan saling mengenali lagi selepas ini?" Irman inginkan kepastian.
"Ya, tapi bergantung kepada takdir. Beta akan buka pintu buat kamu semua."
Tangan Puteri Ratna melaraskan loket itu. Kelopak ketujuh ditekan. Saat itulah muncul sebuah lohong bercahaya.
"Aku pasti merindukan kamu semua." Ujar Magnolia.
"Terima kasih untuk segalanya." Wardah mewakili mereka mengucapkannya kepada Puteri Ratna. Puteri sekadar senyum.
"Terima kasih menjaga amanah ini."
"Dah, jom." Jasmin mengajak mereka. Dia rindukan kuliahnya. Rindukan rutinnya sebagai pelajar.
Irman berdebar-debar. Hatinya berbelah bagi.
"Jangan menyesal kerana memendam." Separuh berbisik Wardah menuturkan kepada Irman. Hampir terkejut Irman mendengarnya. Ahh..Lupa! Wardah mampu membaca hati.
Magnolia berlari masuk ke dalam lohong itu. Diikuti Wardah, Jasmin dan Irman.
Irman merasakan inilah saatnya. Sebelum terlambat, dia perlu bertindak.
"Jasmin... Aku suka kat kau..." Jerit Irman.
"Hah? Apa?" Jasmin kurang jelas dengan jeritan Irman tadi.
"Akuuu... suka....."
"Arghhhhhhhhh...."
Belum sempat Irman menghabiskan ayatnya, mereka telah ditarik ke dalam satu lagi lohong. Pandangan mereka berpinar-pinar. Tenaga itu cukup kuat sehinggakan mereka sendiri tidak mampu melawannya. Mereka, hanya mampu berserah sahaja.
*****
Jasmin terkocoh-kocoh ke kelas. Dia hampir terlupa tentang kelas penting itu. Sudahlah semalam dia mimpi pelik sehinggakan habis sakit-sakit badan. Hari ini dia terlewat pulak. Ahh..menyesal pula tidur lepas Zohor tadi.
Saat menolak pintu dewan kuliah, dia hairan. Dewan itu kosong. Diperiksa mesej Whatsapp.
"Kelas cancel!"
Jasmin mengeluh. Pada mulanya dia ingin kembali ke bilik, tapi memikirkan dia belum makan, terus dia ke kafe.
"Ramai pula orang di sini." Detik hatinya saat melihat pelajar sedang mengerumuni sesuatu di ruang legar. Dihampiri kumpulan itu.
"Oh, derma darah rupanya." Jelas kelihatan banner derma darah serta kerusi khas di situ. Jasmin berkira-kira hendak menderma darah. Kuih muih yang disediakan memancingnya.
"Adik nama apa?" Soal seorang jururawat sebaik sahaja melabuhkan punggung di kerusi.
"Jasmin binti Kamal." Ujarnya sambil tersenyum. Sempat dikerling tag nama jururawat itu.
"Wardah. Sedap nama." Monolog itu hanya didengari hatinya sahaja.
"Wah, darah 'mahal' ni. O negative." Ujar jururawat itu. Dia menjalankan prosedur ke atas Jasmin penuh tertib.
Selesai menderma darah, Jasmin bangkit. Dia berjalan dan ingin pulang. Badannya sedikit lemah. Kepala sedikit berat dan mengantuk. Tanpa sedar, barang-barangnya jatuh ke lantai di koridor. Habis berterabur buku-bukunya.
"Err, cik. Barang jatuh tu." Kedengaran suara lelaki menegur Jasmin.
"Hah?"
"Barang-barang cik jatuh ke lantai." Ulang lelaki itu. Jasmin membongkokkan badannya. Di kutip satu-persatu bukunya.
'Dush!'
Badan Jasmin hampir terjatuh. Badannya dilanggar seseorang.
"Maaf kak. Maaf! Saya tak sengaja." Gadis kecil beruniform sekolah menengah berkali-kali meminta maaf.
"Adik buat apa di sini? Dengan baju sekolah bagai?" Lelaki yang menegur Jasmin menyoal hairan. Pelik.
"Saya nak tunggu ayah saya habis kerja. Sebab mak saya kat hospital. Saya datang sini." Ujar gadis itu polos. Terbit pula rasa kasihan dalam diri Jasmin.
"Adik nama apa? Jom la kita makan dulu."
"Magnolia kak. Tak apa, saya tunggu ayah saya. Maaf kak. Jumpa lagi kak..err nama apa?"
"Jasmin."
"Ok, kak Jasmin dan abang...." Magnolia berpaling ke arah lelaki yang segak berkemeja tadi.
"Irman." Ujar Irman sambil tersenyum. Magnolia mengangguk faham. Dia berlari-lari anak berlalu dari situ.
"Saya pergi dulu Encik." Jasmin berbasa basi dan berlalu pergi. Irman hanya mengangguk. Hatinya berdebar-debar. Sungguh, dia terasa sesuatu. Kehilangan.
Dikeluarkan dompetnya. Diambil sesuatu yang terselit di situ.
Lama dia menatap serpihan kelopak melati. Hairan juga dia, serpihan itu turut sama bersama kembali ke tempatnya. Disebabkan itulah, hanya dia satu-satunya yang ingat tentang perkara yang terjadi.
"Jasmin langsung dah tak ingat aku." Lirih hatinya merintih.
Lenggok Jasmin yang semakin lama semakin hilang dari pandangan, ditatap penuh kasih. Cinta yang tersemai, tidak mungkin dia lupakan. Kerana kalung itu mereka bertemu, dan kerana kalung itu jualah mereka terpisah.
TAMAT
=================
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment