Monday, 2 April 2018

DIRIKU JANGAN DISERU - Suhana Azman


DIRIKU JANGAN DISERU
Karya : Suhana Azman @ Suhana Mat Lazim

==============

Hazrin sedang leka menaip di papan kekunci laptopnya. Khusyuk matanya tatkala membaca bait-bait ayat pada setiap perenggan di permukaan screen laptop. Sesekali membetulkan beberapa ayat atau perkataan yang dirasa perlu dibetulkan.

"Tekun kau mengarang cerita. Kali ni kisah apa?!" Terpacul Ammar dari belakangnya secara mengejut.

"Gila kau! Terus menyerbu aku dari belakang! Terperanjat aku. Mujur aku tak ada penyakit pembunuh nombor satu di Malaysia! Bagilah salam dulu!" Hazrin melurut dadanya perlahan. Terkejut di sapa Ammar dari belakang dengan begitu sahaja.

"Kalau kau ada penyakit jantung, mana mungkin aku hendak buat kau macam tu. Sabar kawan, aku tahu kau manusia yang sihat." Ammar menepuk bahu Hazrin sambil tersenyum sinis kepada sahabat baiknya.

"Alhamdulillah, buat masa sekarang aku masih sihat. Sekarang aku tengah tulis kisah seram thriller!" Terang Hazrin.

"Mengenai apa? Sudah ada tajuk?" Seakan berminat mengetahui lebih lanjut novel yang ditulis Hazrin.

"Mengenai seorang lelaki yang selalu menjadi mangsa buli siber. Tajuknya DIRIKU JANGAN DISERU...." jelas Hazrin.

"Wow! Dengar tajuk pun dah rasa seram! Tapikan, cerita macam tu dah berlambaklah kawan. Dalam cerpen, dalam novel. Dalam movie pun ada. Ada aku tengok movie Korea baru-baru ni dekat tv. Lebih kurang je jalan cerita. Entah-entah kau plagiat cerita dari kisah tu?" Ayat berbaur sindiran dari Ammar.

Hazrin merenung tajam pada Ammar. Marah sungguh dia apabila dituduh sebegitu oleh sahabat baiknya sendiri.

"Gilalah kau! Mana ada aku ceduk cerita orang atau movie mana-mana. Kecik hati aku kau cakap macam tu. Aku belum habis cerita lagi! Dengarlah dulu!"

Hazrin benar-benar tersinggung. Tetapi dia faham benar dengan perangai sahabatnya itu, suka berkata-kata tanpa mengira perasaan sahabat sendiri.

"Aku gurau sajalah. Ceritalah, aku teringin nak tahu. Akukan selalu jadi pengkritik setia kau." Ammar menepuk-nepuk bahu Hazrin tanda simbolik memujuk sahabatnya itu.

"Kisahnya seorang lelaki membunuh diri secara live di facebook! Lalu dia membunuh diri kerana tidak tahan kerana selalu dibuli dan diaibkan melalui media sosial. Sebelum itu, dia akan tag nama-nama orang yang telah membuli dia terlebih dahulu, lalu dia bunuh diri di depan mereka!" Jelas Hazrin.

"Wow! Menarik! Aku suka dengan jalan ceritanya." Ammar sungguh teruja dengan jalan cerita yang disampaikan oleh Hazrin itu.

"Kau suka? Kalau macam tu kau kena tunggulah sampai cerita ni siap!" Hazrin tidak menyangka Ammar suka dengan jalan cerita yang di tulisnya itu.

"Tapi, aku macam pernah dengar pulak pasal kisah ni. Ini mesti pasal budak kat block F yang bunuh diri tu kan? Selepas kematian budak tu, seorang demi seorang kematian berlaku dekat block F tu. Tak silap aku, sudah lima orang mati! Kematian berangkai orang kata. Budak-budak yang duduk kat block tu cakap kematian lima pelajar tu mungkin ada kena mengena dengan kes bunuh diri budak tu!" Ammar mula meneka. Kemungkinan tekaannya itu adalah benar.

Hazrin hanya terdiam. Langsung tidak menyanggah kata-kata Ammar itu. Itu bermakna, tekaan yang dikata Ammar itu adalah benar.

"Betullah tu. Aku ambil dari kisah kat budak block F yang mati bunuh diri tu. Tapi nama watak dan nama tempat aku dah tukar. Macam mana kau tahu keseluruhan cerita tu? Aku sendiri pun tak berapa tahu sangat!" Hazrin mula bertanya dalam nada sedikit hairan. Setahunya, Ammar seorang yang pendiam. Orang pendiam bukanlah jenis orang yang suka ambil tahu akan hal orang lain. Ya, memang begitulah sifatnya. Entahlah....

"Aku pun bukannya tahu sangat. Itu pun terdengar gosip masa dekat kelas. Tapi kalau boleh janganlah tulis. Dari orang lain tak tahu, jadi tahu pulak pasal kes tu. Itu mengganggu privasi dan emosi keluarga budak tu." jelas Ammar lagi sambil memujuk Hazrin agar tidak menulis kisah pelajar bunuh diri itu lagi.

"Mana ada aku ganggu privasi keluarga dan hantu budak tu! Kau jangan risaulah! Biasalah kalau kita menulis berdasarkan kisah benar. Benda dah berlaku dekat tempat kita, jadi aku tulislah! Lagipun aku dah beritahu tadi, nama watak dan tempat aku sudah ubah. Pasti tak akan ada yang tahulah!" Jelas Hazrin lagi dengan penuh yakin.

"Tapi kes tu masih lagi dalam siasatan polis kan? Budak-budak membuli tu pun dah mati. Kau rasa, memang confirm ke budak-budak tu yang membuli? Aku masih tak faham. Lagi satu, kes tu masih dalam siasatan lagi atau polis dah tutup kes tu?" Soal Ammar lagi sambil memandang tepat ke arah anak mata Hazrin, seakan mengharapkan sebuah jawapan yang jelas.

Hazrin kembali terdiam. Sesekali matanya tertacap pada screen laptopnya. Matanya tertumpu pada email yang baru sahaja masuk di inboxnya.

"Entahlah. Aku pun macam kau jugak. Tak tahu dan tak faham. Dan aku tak nak ambil tahu. Peduli apa aku!" Hazrin menjawab acuh tak acuh. Malas dirinya hendak menjawab ataupun fikir mengenai kes itu. Padanya biarlah ia kekal misteri.

Lagi sekali screen laptopnya dipandang. Kini ada satu lagi email masuk di inboxnya. Menjadikan dua email berada di dalam inbox.

"Oklah. Aku faham! Kau malas nak fikir dan malas nak ambil tahu. Tapi cuma satu aku nak pesan, aku harap kau berhati-hatilah. Sebab ada juga aku terdengar, budak-budak kat block F cakap diorang ada ternampak kelibat budak bunuh diri tu masih ada lagi berlegar-legar di block tu. Lagi satu, hantu budak bunuh diri tu dah sampai ke block E pulak!"

"Block E? Itukan block budak-budak perempuan?" Soal Hazrin sedikit pelik.

"Ya. Diorang cakap, ada budak-budak perempuan kat block E tu main spirit. Alaaa, permainan orang panggil roh dengan duit syiling tu. Itu yang diorang ternampak kelibat budak bunuh diri tu dekat kawasan tu? Dia ketuk setiap bilik dekat block E tu. Kemudian, adalah sorang budak perempuan ni buka pintu, dia ingat kawan dia. Tapi bukan. Rupa-rupanya hantu budak bunuh diri tu!" Jelas Ammar lagi sambil membulatkan matanya memandang Hazrin. Lalu terus sahaja dia bangun lalu menyelak kain langsir sambil matanya meliar memandang keluar tingkap.

Sunyi. Gelap suasana di luar bangunan block mereka. Hanya mengharapkan cahaya bulan di langit yang semakin berbalam-balam dilitupi awan.

"Kau tengok apa kat luar tu? Ceritalah sampai habis! Apa jadi dekat budak perempuan tu? Pengsan ke?!" Hazrin pelik melihat gelagat sahabatnya itu. Dalam pada yang sama sempat dia menerjah Ammar dengan soalan demi soalan.

Dari tadi Hazrin berasa pelik melihat kelakuan Ammar. Raut wajahnya seakan takut hendak bercerita mengenai kes budak bunuh diri itu tetapi dalam masa yang sama kelihatan teruja.

"Aku risau. Kita cerita fasal dia malam-malam buta ni. Nanti tak pasal-pasal dia muncul pulak kat block kita. Bukan jauh pun dari block F dan E tu. Kita block D! Kau tak takut ke?" Ammar mula berasa cuak sambil mengusap-ngusap lengannya yang mula meriding.

"Apa yang kau nak takutkan. Kitakan dalam bilik. Entah apa-apalah kau ni. Takut yang bukan-bukan!" Hazrin tersenyum sinis sambil menggeleng melihat gelagat Ammar.

"Oklah, aku nak balik bilik! Dah pukul 1.35 pagi! Esok aku ada kelas!" Tegas Ammar. Lalu bangun dan keluar dari bilik Hazrin.

Hazrin mengekori dengan ekor matanya sahaja.

*****.

Hazrin masih lagi menaip cerpen seramnya itu di papan kekunci. Sesekali telinganya menangkap bunyi salakkan anjing yang entah datang dari arah mana.

Aaauuuu........

Hazrin memicing telinga. Kedengaran salakkan anjing itu makin lama semakin dekat dengan block D bangunannya. Ya! Semakin dekat!

Gulp!

Hazrin menelan liur. Peluh didahi mula merembes. Konsentrasinya untuk menghabiskan cerpennya pada malam itu mula terbantut.

Pap!

Baru dia teringat! Rupa-rupanya dia belum lagi membaca dua email yang baru diterimanya sebentar tadi. Lalu email pertama dibuka dan dibaca....

EMAIL FROM - budakblockf@gmail.com
- AKU MOHON, JANGAN TULIS LAGI KISAH AKU!

Hazrin terkejut mendapat mesej dari email tersebut. Bagaimana pula budak dari block F itu tahu alamat emailnya. Sedangkan dia tidak punya kawan dari block itu. fikirnya, siapa yang mendajal dirinya tengah-tengah malam begini.

Kemudian email kedua pula dibuka dan dibaca.

EMAIL FROM- budakblockf@gmail.com
- KALAU NAK TAHU APA YANG TERJADI PADA BUDAK PEREMPUAN DEKAT BLOCK E TU, TANYALAH AKU! HAHAHAHAHA!!!!

Hazrin terperanjat! Dia mula mengundur ke belakang! Seakan tidak percaya dengan email yang baru dibacanya. Sekali lagi dia berasa pelik! Bagaimana budak block F itu tahu dia bercerita mengenai kisah budak perempuan block E itu sebentar tadi?

"Ada cctv ke? Mustahil! Inikan bilik aku!" monolognya sendiri.

Hazrin menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tidak sampai beberapa saat bulu romanya mulai meriding. Anjing dari luar bangunan semakin menjadi-jadi salakkannya.

Screen laptop dipandang semula. Kini dia mendapat satu lagi email. Lalu tanpa berfikir panjang email itu terus dibuka dan dibaca....

EMAIL FROM- budakblockf@gmail.com
- KENAPA? TAKUT KE? NANTI AKU SINGGAH BILIK KAU! SEKARANG AKU DALAM BILIK AMMAR! HAHAHAHA!!!

Hazrin semakin takut tatkala membaca email misteri itu lagi! Siapa yang menghantarnya? Adakah budak yang bunuh diri itu yang menghantar email tersebut? Hazrin semakin buntu! Fikirannya mula fikirkan yang bukan-bukan. Apa yang dibuatnya dalam bilik Ammar? Adakah Ammar sudah mati seperti budak-budak lelaki lima orang tu? Adakah dia akan menjadi mangsa seterusnya?!

Tiba-tiba....
TOK TOK TOK
TOK TOK TOK

Kedengaran bunyi ketukan di pintu bilik. Hazrin masih berkira-kira mahu membukanya.
Adakah hantu budak bunuh diri itu yang mengetuknya?


"Siapa?" Hazrin bertanya dalam nada yang sedikit tinggi. Senyap. Tiada sahutan dari luar bilik.

TOK TOK TOK

"Siapa?!!" Hazrin bertanya lagi dalam nada yang tidak puas hati.

Senyap lagi. Namun begitu, tiada lagi kedengaran bunyi ketukan dari luar pintu biliknya. Hazrin menarik nafas lega. Kemudian baru saat ini dia terfikir untuk menghubungi Ammar. Mengharap agar Ammar tidak diapa-apakan. Lalu handphonenya dicapai dari atas meja dan dia terus menghubungi Ammar.

Tutt tutt, tutt tutt, tutt tutt

Kemudian terdengar bunyi telefon bimbit disambut. Namun tiada apa yang kedengaran dihujung talian. Senyap. Tiada langsung bunyi hembusan nafas seseorang dihujung talian.

Hazrin mula risaukan Ammar. Dia cuba menghubungi Ammar lagi. Tiba-tiba....

"Hello..."
Kedengaran suara seseorang yang cukup dikenalinya dihujung talian. Hazrin dapat menangkap suara itu. Ya, itu suara Ammar!

"Ammar ya...?" Hazrin menjawab dalam nada bergetar. Cuak untuk bertanya.

"Yalah! Siapa lagi! Kau kenapa telefon aku pagi-pagi buta ni? Ada benda penting ke?" soal Ammar kehairanan.

"Kau ok ke dekat dalam bilik tu? Tak ada benda yang mengacau kau ke?!" Hazrin bersuara risau.

"Dalam bilik?" soal Ammar dalam nada pelik.

"Ya lah! Dalam bilik kaulah! Tak kan dalam bilik aku pulak! Bukan ke kau masuk bilik aku tadi, lepas tu dalam pukul 1.30 pagi tadi kau balik dekat bilik kau! Lupa ke?!" Jelas Hazrin lagi sehingga terpaksa dia meninggikan sedikit suaranya pada Ammar mengharapkan agar Ammar faham dengan pertanyaannya itu.

"Gila ke kau! Bila masa aku masuk bilik kau! Aku dari petang semalam dah balik rumah family aku dekat Kuala Selangor. Sekarang ni pun aku ada dalam bilik dengan adik aku yang dah tidur ni! Tak percaya nanti aku hantar gambar. Kau tunggu kejap!" Ammar terkejut mendengar kata-kata dari mulut Hazrin tadi. Dia berasa pelik, kenapa Hazrin mengatakan dia ada masuk ke dalam bilik Hazrin tadi? Siapa yang sedang menyamar dirinya itu?

Tidak lama selepas itu, gambar yang dihantar Ammar telah muncul di dalam WhatsApp. Ya, memang benar. Ammar benar-benar berada di dalam biliknya. Baring bersebelahan dengan adiknya yang sedang tidur.

"Percaya tak?!" Ammar menghantar mesej di bawah gambar yang di hantarnya sebentar tadi.

Hazrin terdiam. Tergamam! Dia mula memikirkan hal yang berlaku sebentar tadi.

"Habis siapa yang masuk bilik aku dan berbual dengan aku tadi? Siapa?" Bisiknya.

Tiba-tiba muncul satu lagi email di laptopnya. Dengan perasaan takut, Hazrin terus menutup laptopnya dengan segera. Takut untuk baca mesej seterusnya. Dadanya mula terasa berdebar-debar! Tubuhnya mengeletar kerana terlalu takut! Namun, tidak sampai beberapa saat dia telah mendapat email lagi. Kali ini dari handphonenya. Mujur tidak tercampak handphone yang dipegangnya kerana terkejut.

Dalam teragak-agak dia cuba membuka email di handphonenya. Lalu mesej yang tertulis di email itu dibaca.

EMAIL FROM- budakblockf@gmail
- KAU DAH TAHU YA. TENGOK ATAS SILING!!!

Handphone ditangannya terus di campak ke lantai! Hazrin memejam mata. Dalam pada itu hatinya meronta-ronta ingin melihat, apa yang ada di atas siling? Namun dalam matanya yang sengaja di pejamkan, terus kepalanya didongakkan menghala ke arah siling!

Lalu matanya dibuka secara perlahan. Tiba-tiba matanya terlihat satu sosok dengan rupa yang wajah yang pucat melekap di atas siling biliknya sambil menyeringai memandangnya.

"Arrgg!!!!"
"AKU DAH KATA JANGAN TULIS CERITA AKU......!!!!!!!!"
*****

Seminggu kemudian.....
Ammar termenung di atas katil. Fikirannya mula mengelamun. Perasaannya mula sebak. Sebak kerana teringatkan sahabatnya Hazrin. Sungguh dia tidak sangka, panggilan telefon Hazrin pada minggu lepas di awal pagi itu adalah panggilan terakhir dari sahabatnya itu.

Pada hari kejadian, Hazrin ditemui oleh rakan sebiliknya terbaring dengan kepalanya dibasahi darah di atas tanah kesan daripada terjatuh dari tingkap biliknya yang berada di tingkat lima. Betul-betul berhadapan dengan bangunan blocknya. Dia disahkan mati ditempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba lebih awal.

Ammar tersedu-sedu menangis teringatkan Hazrin. Kini laptop Hazrin ada ditangannya. Sebagai sahabat dia rasa bertanggungjawab untuk menyambung kembali penulisan sahabatnya yang tergendala itu.

Lantas laptop Hazrin dibuka dan folder fail yang bertajuk MANUSKRIP NOVEL- DIRIKU JANGAN DISERU dibuka dan dibaca....

"Hazrin, aku berjanji akan sambung kembali manuskrip novel ni untuk kau. Aku berjanji...."

-TAMAT-
===============
Gambar dan suntingan: Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.

No comments: