Friday, 20 April 2018

MATA - Gongpal Topek


MATA
Kisah ini adalah kisah rekaan semata-mata. Tiada kena mengena antara yang hidup, atau yang telah meninggal dunia. Sebarang persamaan antara kisah hidup seseorang, atau kelihatan seperti pernah dibaca atau ditonton di layar perak, anggaplah hanya sebagai kebetulan.

Karya ini karya milik Arkib Angker Negara. Sebarang perbuatan plagiat amat ditegah. Mulakan bacaan dengan bismillah. Semoga terhibur.

********

Hening. Tiada sebarang bunyi bising kedengaran di dalam bilik kelam itu. Lampu tertutup, kipas siling juga tidak berputar. Sengaja dikatup rapat langsir di satu sudut. Gelapnya ruangan itu, segelap harapan si pemiliknya.

Ilyasa terduduk kaku sekian lama di atas kerusi roda, betul-betul di hadapan meja tulis. Duduk termenung, mengenang nasibnya. Termenungkah dia? Bukannya dia boleh melihat, jadi menungan itu hanyalah pandangan yang gelap. Gelap mata, lebih gelap daripada ruangan biliknya.

Apa guna cahaya jika aku tidak dapat melihat lagi, ujar hati kecilnya.

Tangan cuba menggapai sesuatu di atas meja. Usaha payah mencari kotak rokok yang sedari tadi terletak betul-betul di hadapannya. Ditarik keluar lemah sepuntung, lalu diselit pada bibir. Satu lagi tugas sukar untuk dilakukan.

Sekali lagi tangan cuba mencapai di atas meja. Pemetik api pula menjadi sasaran. Lebih sepuluh saat meraba-raba meja tulisnya itu, tetap gagal. Respon si gundah, menumbuk berkali-kali mejanya.

Hopeless life.
Baik aku mati.
Tiada guna lagi hidup macam ni, menyusahkan orang lain.

Pelbagai kata-kata buruk menghantui pemikiran Ilyasa. Merosakkan semangat untuk meneruskan hidup. Selaku seorang penulis, mata amatlah penting, sepentingnya jari dalam menulis bait-bait kata. Jika pemain piano meletakkan jari jemari sebagai aset, mata juga adalah suatu aset kepada si penulis.

Keheningan usai ‘paluan’ Ilyasa pada meja tidak lama. Pintu bilik kelam itu dibuka dari luar. Seorang lelaki menghampiri, lalu mencapai pemetik api yang dihajati. Membantu cucuhan puntung rokok yang didambakan si Ilyasa.

“Aku dapat panggilan daripada hospital tadi. Sudah ada penderma kornea untuk kita.” Tiada respon daripada Ilyasa. Lelaki itu masih setia di sisi.

“Kita boleh cuba kali ni, Il. Jangan putus asa. Ramai yang menantikan kau.”

“Menantikan aku, atau hanya karya aku? Jika nama Isaac Zenith diguna pakai oleh kau, Zul, aku rasa aku tak perlu pun menulis kembali,” ujar Ilyasa. Nama pena Isaac Lilith, mewakili nama pena untuk mereka berdua dalam penulisan, Ilyasa dan Zul. Penulis yang berbeza, tetapi mempunyai gaya bahasa yang lebih kurang sama. Bernaung pada satu nama pena.

“Aku tak sehebat kau, Il. Aku tahu kemampuan aku. IZ perlukan kau untuk berdiri. Peminat bukan tahu pun siapa kita, berapa orang. Tapi mereka akan tahu, bila kau tiada nanti. Mereka akan perasan, IZ akan hilang taringnya.”

“Sebab tu aku kata, mereka hanya mahukan karya. Bukan nakkan kita hidup. Kau pun tahu, aku takut dengan jarum. Inikan pula pembedahan mata.”

“Kau bukan nampak pun apa doktor tu buat nanti. Kita usaha ya, Il?”

Pujukan tidak dijawab. Mungkin ada bait kata yang mengguris hatinya. Ya, dia buta. Apa lagi yang perlu untuk si buta ini gadaikan untuk sesuatu yang belum pasti? Sedutan rokok diteruskan, asap berkepul-kepul menari di udara. Menambah aroma tidak enak dalam ruangan gelap itu.

“Apa yang kau tunggu lagi, Zul? Aku mahu sendirian,” halau Ilyasa, tidak senang dengan kehadiran rakannya. Dia tahu, Zul masih di situ. Menanti sebuah jawapan.

“At least aku boleh stop kau hisap rokok bila habis nanti, sementara tunggu kata putus kau.”

“Biar aku rasa sendiri bahang bara bila sampai hujung puntung nanti. Tahulah aku nak hidup.”

Zul menghela nafas panjang, lalu dihembus keluhan itu. Keras kepala si Ilyasa, dia sememangnya sudah maklum. Namun, masih berharapan agar rakan semenjak sekolah menengahnya itu untuk menerima pembedahan kornea mata, agar legasi mereka tidak terkubur begitu sahaja.

Zul berlalu pergi, membuka lampu sebelum menutup pintu bilik. Jauh di sudut hati, Zul berasa ralat dan bersalah. Dialah pemandu ketika mereka dalam perjalanan ke pesta buku di ibu negara. Walaupun mereka selamat, mata Ilyasa menjadi gadaian. Jeritan batinnya mengharap agar dapat diputarkan masa, atau dugaan itu diterbalikkan kepadanya. Apakan daya, perjalanan hidup ini ditentukan olehNya.

********
Media sosial rasmi penerbit buku untuk Isaac Zenith dan beberapa akaun media sosial rasmi penulis itu kecoh sebaik sahaja dikhabarkan bahawa penulis terkenal itu mengalami kemalangan jalan raya. Tiada sebarang makluman tambahan diberikan, sekadar memaklumkan tentang kemalangan. Turut sama diumumkan bahawa penjualan empat novel milik Isaac Zenith akan tetap berjalan, cuma sebarang projek yang sedang diusahakan disahkan tergendala sehingga diberitahu kelak. Nama IZ menjadi trending di media sosial, mendoakan supaya cepat sembuh dan dapat terus menulis. Status hiatus Isaac Zenith menghancurkan harapan peminat yang dijanjikan bahawa novel trilogi Misteri Sang Pujangga akan dipasarkan pada hujung tahun ini, tidak tercapai.

Ilyasa tidak tahu apa yang sedang berlaku di media sosial. Dia hanya mendengar kata-kata dari berita televisyen. Kemalangan yang dialaminya, dilaporkan di dalam berita. Apa yang berbeza, tidak disebut bahawa dialah Isaac Zenith. Nama itu seperti suatu rahsia. Cukup popular, tetapi tidak pernah diketahui oleh sesiapa, siapakah Isaac Zenith. Tidak juga mereka tahu, Isaac Zenith itu adalah dua, bukan satu.

Zul pernah mencadangkan agar Ilyasa meneruskan karya mereka dengan mengutarakan idea melalui kata-kata, lalu dizahirkan melalui penulisan oleh Zul. Ditambah rencahnya dengan kreativiti yang ada pada Zul. Cadangan itu ditolak bulat-bulat.

“Medium bicara tidak wujud dalam idea aku. Seni penulisan aku tidak melalui butir bicara untuk diluahkan. Ilham dari hati, terus dicatatkan. Untuk menusuk hati mereka. Hanya itu cara personaku.”

Zul, tanpa pengetahuan Ilyasa, meminta pihak hospital untuk menangguhkan pembedahan, tetapi tidak diberikan kornea mata itu kepada sesiapa yang memerlukan terlebih dahulu. Dia masih berharap, dan terus mengharap, agar Ilyasa berlembut hati dalam hal ini.

********
“Zul, aku setuju.” Kata-kata ringkas Ilyasa memecah kebuntuan di dalam kereta. Zul yang sedang memandu, serta merta berhenti di bahu jalan.

“Setuju? Maksud kau, untuk operate?” Ilyasa mengangguk lemah.

“Alhamdulillah, akhirnya. Baik, sampai kedai makan nanti, aku call terus hospital. Thank you, Ilyasa. Thank you.”

“Thank you for what?”

“For giving yourself chance to be alive again.”

Ilyasa tersenyum sendiri. Masih ada yang sayang, rupanya.

********
Pembedahan berjalan dengan lancar. Ilyasa masih terbaring dengan balutan di keliling kepala, menutupi matanya. Zul masih setia di sisi. Membantu sekadar yang mampu, apa sahaja yang Ilyasa perlukan. Masa hadapan karier mereka bergantung kepada keadaan mata Ilyasa. Zul terlalu mengharap, walaupun pada dasarnya, Ilyasa yakin tentang keupayaan rakannya itu.

Tangan Ilyasa disentuh halus. Memberi isyarat kepada si buta itu bahawa dia ada di sisi. Ilyasa masih terbaring kaku. Dia tidak tidur, malah masih sedar. Namun, tiada respon diberikan kepada rakan karibnya itu. Dibuka, gelap. Ditutup, sudah tentu masih gelap. Penantian penuh debaran, dua hati di situ.

“Il, lepas kau keluar wad nanti, kau cakap saja nak ke mana. Kita pergi. Lupakan dahulu fasal menulis ni.”

“Hmm… “

Ilyasa akhirnya terlena dalam kegelapan pandangan mata itu.

*********

Ilyasa bangun mengejut pada malam itu. Kelibat Zul tidak dirasainya. Mungkin tidak dibenarkan untuk meneman pesakit sepanjang masa, jadi dia sudah berlalu pergi. Mimpi yang dialaminya sebentar tadi, bagaikan pengalaman sebenar seseorang. Sangat terkesan di hati. Adakah benar peristiwa yang pernah berlaku, atau hanya mainan mimpinya?

“Achara…, “gumam Ilyasa. Siapakah anak gadis itu? Mengapa hadir dalam mimpinya tadi?

Gerak hatinya mahu sahaja mencari telefon bimbit, lalu melakukan pencarian tentang nama itu. Apakan daya. Dia masih dikira cacat, selagi balutan di keliling kepalanya masih berbalut, dan penglihatannya tidak pulih seperti asal. Ilyasa kembali berbaring, mengiring ke kiri. Peluh dingin menghiasi dahi.

“Ask for my sight, you have to be one with me, for my mission!”

Satu jerkahan membingitkan kedengaran di telinga kanan Ilyasa. Disusuli dengan jeritan nyaring perempuan yang menyakitkan telinga. Ilyasa kembali terbangun. Menggapai dalam kegelapan. Siapa yang telah menjerit sebentar tadi? Siapa yang telah menjerkah terhadapnya itu?

“Siapa?”

Tiada jawapan. Ilyasa tidak senang duduk. Malam masih muda.

*********

Udara di Pulau Perhentian dihirup dalam-dalam. Segar dan nyaman. Inilah yang dijanjikan oleh Zul, dan kini, mereka berdua berada di lokasi percutian itu. Cukuplah percutian domestik. Tidak kurang menariknya berbanding dengan percutian di luar negara.

“Jadi, Il. Memandangkan kau dah menolak untuk aktiviti lasak, tak banyak yang boleh kita buat untuk esok. Kita rehat-rehat dulu di bilik petang ni, nanti aku datang bilik kau sebelum kita keluar dinner. Okay?” Cadang Zul. Il hanya memandang jauh ke arah pemandangan pantai dari kejauhan itu. Bermain-main dengan perasaan sendiri. Pandangan mata yang mahal masih dalam sesi penyesuaian. Belum betul-betul biasa dengan mata barunya itu.

Namun, satu perkara yang Ilyasa tidak ceritakan kepada Zul berkenaan mata ini. Ya, Ilyasa yakin mata inilah puncanya. Tanpa sesiapa sedar, mata ini sudah ‘bercerita’ kepadanya. Melalui mata inilah, macam-macam idea baru, entahkan fiksi, entahkan benar, sudah berjaya Ilyasa karang secara sulit tanpa pengetahuan Zul.

Kisah anak gadis. Anak gadis yang mencerita melalui babak-babak hitamnya. Kisah melalui mimpi, kisah melalui lamunan diri. Anak gadis yang menghamburkan derita dirinya kepada Ilyasa, melalui penceritaan dalam bahasa yang asing bagi Ilyasa. Anehnya, Ilyasa dapat memahami tiap-tiap bait kata, tiap-tiap penceritaan dalam visual mimpi dan lamunan itu. Sedangkan, anak gadis itu menceritakannya dalam Bahasa Thailand.

Achara Panthaka.
Achara Panthaka, si gadis manis.
Achara Panthaka, anak yang hilang matanya.
ACHARA PANTHAKA! MENCARI DENDAM MELALUI MATANYA!

********

Ilyasa membuka matanya. Jelas, dalam kegelapan malam itu. Malam yang asing bagi dirinya. Dia pasti, dia bukan pada jasad sebenarnya miliknya. Latar belakang bilik, rumah, dan manusia-manusia yang mengiringi dalam visual itu, bukanlah yang dia kenali. Ilyasa cuba mengesat-ngesat matanya itu.

Sah! Ini adalah rakaman kisah lalu dia! Dia, ACHARA PANTHAKA!

********

Aku bangun dari tidur petangku. Mama, lain daripada biasa, telah mengejutkanku lewat petang ini, segera menggesa untuk aku bersiap-siap.

“Ada majlis yang kita perlu hadiri, sayang. Majlis dengan persatuan yang papa ahlinya,” terang mama ringkas.

Aku bangun malas-malas. Entah persatuan apa yang dimaksudkan. Tidak pernah aku diminta untuk bersiap-siap untuk majlis, yang padaku, agak janggal daripada pengetahuanku.

Pembantu rumah kami, Sasha, telah menyediakan pakaian yang akan aku kenakan pada malam itu. Gaun putih, cantik. Nampak anggun, ditambah dengan fabrik yang menarik. Sedikit menampakkan kulit tubuhku nanti, kerana kainnya yang agak jarang pada lengan dan bawah leher.

Majlis apa ini? Persatuan apa yang telah papa sertai? Aku semakin ingin tahu.

********
Majlis seperti biasa yang dihadiri oleh ahli-ahli korporat yang tidak aku kenali. Anehnya, tempat majlis ini diadakan amat terpencil, walaupun mewah. Tiada seorang pun yang aku kenali. Papa dan mama sibuk melayan kenalan-kenalan yang bertegur sapa di situ. Aku? Membawa diri menikmati makanan yang dihidangkan. Arak? Sudah pasti tidak boleh aku minum. Aku masih di bawah umur, tidak boleh untuk merasa walau sedikit pun, walaupun pada dasarnya aku benar-benar ingin mencuba.

Aku tidak endahkan sebarang pengumuman dan ucapan yang silih berganti, oleh manusia-manusia korporat di situ. Tidak kusangka, mereka semua sebenarnya berselindung di sebalik topeng kemewahan itu. Mereka, jantan-jantan dan betina-betina keparat.

********

Sesampai sahaja di perkarangan rumah, kami dikejutkan dengan ‘tetamu’ yang tidak diundang. Rumah kami telah dimasuki beberapa manusia yang tidak aku kenali. Namun, papa mengambil langkah untuk tidak membuta tuli. Sebaik sahaja papa masuk berseorangan, lampu di ruang tamu terbuka. Aku dan mama masih setia menanti di dalam kereta, dibiarkan diparkir di luar garaj. Atas dasar keselamatan.

*********

Aku tidak sedar apa yang telah berlaku. Sebaik sahaja aku membuka mata, aku sudah terikat di atas meja. Kedua-dua pergelangan tangan dan kakiku diikat rapi. Pergerakan aku terbantut di atas meja itu.

“Papa! Mama!”

Tiada jawapan daripada launganku itu. Berulang-ulang kali, hampa.

Tidak lama selepas itu, kedengaran tapak kaki menghampiri bilik kelam di mana aku berada. Aku pasti, hanya aku seorang yang berada di situ. Entah apa nasib papa dan mama. Bibit terakhir bagaimana aku boleh dibawa ke tempat misteri itu, sangat kabur. Aku hanya ingat bahawa kali terakhir sebelum aku sedar di sini, aku berada di dalam kereta bersama mama, menanti penuh kesabaran tatkala papa meninjau di dalam rumah.

“Bagaimana dengan anak dia, bos?” Soal satu suara, dalam Bahasa Thai, bahasa ibunda kami.

“Dia ada mata yang cantik. Kalau selama ini, ayahnya berjasa kepada kita dengan menguruskan organ secara haram ke pasaran gelap, sekarang giliran anaknya pula untuk diperlakukan perkara yang sama!” Ujar kata-kata lelaki yang dipanggil bos itu. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak. Dari kesuraman bilik itu, aku dapat lihat dengan jelas wajah dua manusia keparat itu.

Ternyata, tidak syak lagi! Mereka adalah antara hadirin di dalam majlis yang kami hadiri sebentar tadi! Kenapa mereka berbuat sebegini kepada kami? Apa salah kami?

“Hai, gadis cantik. Maaf, kami terpaksa berbuat macam ni kepada kamu, dan keluarga kamu. Papa kesayangan kamu sudah melampaui batas yang sepatutnya. Dia telah mengambil wang haram daripada kerja yang dia lakukan, yang sepatutnya menjadi milik bersama. Tamak membawa padah!” Tahulah aku, dari ujar kata ‘bos’ itu, persatuan yang papa sertai bukanlah sesuatu yang baik. Persatuan itu telah berpaling daripada papa! Dan kini, kami turut menjadi mangsa keadaan!

“Ada apa-apa ucapan terakhir, sebelum kamu menutup mata, si cantik?” Soal lelaki yang satu lagi.

“Akan aku cari, sampai ke lubang cacing, kamu dan kamu!” Sumpahku, walau kutahu, aku akan dijemput malaikat maut. Ludahan pada muka mereka berdua, sengaja aku hamburkan. Menaikkan amarah si lelaki yang gampang itu.

Mataku dibuntangkan besar-besar. Tiada bius, tiada pelali. Perlahan-lahan, dikorek dengan peralatan yang telah tersedia di situ. Jeritan halus aku, Achara Phantaka, semakin meninggi. Sakitnya bukan kepalang. Sakitnya ditarik pandangan mataku, tidak terkata melalui bait tutur bahasa.

Perginya pandangan gelap ini, bersama-sama dendam, bersama-sama nyawaku. Aku berpegang pada sumpah akhirku! Aku akan kembali! Kembali menuntut bela atas kematianku, dan apa sahaja yang terjadi kepada mama papaku!

********

Aku, Zul. Salah seorang penulis Isaac Zenith. Nama yang makin gah dalam persada arena penulisan di Malaysia. Kisah yang kami utarakan kepada pembaca di dalam novel-novel, dikatakan lain daripada yang lain. Segar daripada apa yang selalu dihidangkan. Thinking outside of the box, bak kata orang barat.

Namun, malapetaka yang menimpa Ilyasa sangat tidak diduga. Ujian ini, sangat berat bagi kami. Jika aku yang selama ini bersama dengan dia sudah terasa bebanannya, inikan pula tuan punya badan. Aku yakin, harapan Ilyasa musnah tatkala dikhabarkan dia akan menjadi seorang OKU sekiranya tidak menjalani pembedahan.

Aku bersyukur, dia setuju untuk menerima pembedahan kornea mata itu. Aku bersyukur, dia sudah sedikit demi sedikit menjadi dia yang asal. Namun, ada sedikit keanehan pada dirinya, semenjak pembedahan dan proses menyesuaikan dengan mata barunya.

Ada satu malam, aku terdengar jeritan suara nyaring dari biliknya. Aku bergegas untuk meninjau keadaan Ilyasa, takut-takut ada kesan sampingan yang berlaku dan sedang dia alami pada malam itu.

Aku lihat Ilyasa sedang menulis, seperti selalu, di meja tulisnya. Mengadap laptop, peneman diri ke mana sahaja dia pergi. Aku berasa aneh. Bukankah sebentar tadi dia baru menjerit seperti kesakitan? Dia sedang tenang menulis, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Il? Are you okay?”

Tiada respon daripada panggilan aku, selepas tinjauan beberapa saat di muka pintu. Aku ulang dengan memanggil lagi nama Ilyasa berkali kali.

“Syuuuuuhhhh….”

Satu suara halus kedengaran, seperti mahu aku mendiamkan diri. Membiarkan Ilyasa di situ tanpa diganggu. Aku tahu. Itu bunyi datangnya dari mulut Ilyasa sendiri. Aku masih setia berdiri di hadapan pintu, mengharapkan respon lain daripadanya.

Perlahan-lahan, leher Ilyasa berpusing. Bagaikan diarahkan pusingan itu melalui tali boneka yang tidak kelihatan. Perlahan-lahan, melihat ke arah aku. Mulut itu. Mulut itu sedikit demi sedikit bergerak. Tersenyum menyeringai ke arahku. Itu bukan senyuman Ilyasa. Aku tahu, kerana aku tidak pernah melihat dia tersenyum sebegitu.

Namun, bukan itu yang menggusarkan aku. Aku pasti, itu bukan dia. Jasadnya bukan di bawah kawalan dirinya. Kenapa? Kerana mata itu. Mata itu sudah berlainan jadinya.

Dia memandang aku, dengan mata hitam penuh pada ruangan kedua-dua matanya. Tiada lagi kawasan mata putih kelihatan. Dengan mata dan bibir yang sedang menyeringai itu, aku sudah tahu. Ini bukan Ilyasa. Siapa dia?

********
Pulau Perhentian digemparkan dengan kejadian bunuh di sebuah resort terkenal di kawasan pelancongan itu. Seorang lelaki yang dikenali sebagai Zulfadli Mat Kassim, ditemui dalam keadaan ngeri di bilik bersebelahan dengan bilik yang didudukinya. Menurut pemeriksaan pihak berkuasa, bilik terjadinya pembunuhan itu adalah bilik milik rakannya sendiri, iaitu Ilyasa Hadi, yang sehingga kini tidak dapat ditemui.

Pihak polis meminta sesiapa yang ada terlihat Ilyasa di mana-mana untuk terus menghubungi polis dengan segera.

********
Inspektor Hamidi mengambil cetakan kertas tebal yang ditinggalkan bersama-sama di tempat kejadian. Pembunuhan kejam Zulfadli, dipercayai dilakukan oleh rakannya Ilyasa itu, menemui jalan buntu. Zul telah dibunuh tanpa sebarang kesan pergelutan yang jelas. Bilik juga ditinggal tanpa sebarang keanehan atau kerosakan dek kerana pergaduhan atau apa-apa pergelutan, jika benar-benar berlaku. Anehnya, hanya mata yang hilang dari jasad Zul. Punca kematian juga adalah disebabkan pendarahan daripada luka mata berlubang itu.

Hanya cetakan seperti manuskrip ini yang ditinggalkan di atas meja. Inspektor Hamidi menyelak satu persatu helaian kertas bercetak itu. Sehinggalah pada satu helaian, jatuh satu cebisan nota kecil, tersemat rapi di antara helaian-helaian yang ada. Kisah yang ditulis di dalam cetakan tebal itu tidak menarik minatnya, mungkin kerana dia bukanlah peminat novel atau kisah-kisah fiksyen yang ada di pasaran.

Cebisan nota yang jatuh itu diangkatnya. Dibaca satu persatu. Tulisan tangan yang kemas, seperti tulisan seorang perempuan.

“Pinjamkan aku mata ini, lalu aku serahkan jiwa dan ragaku untukmu!”

Inspektor Hamidi tidak memahami apa mesej yang cuba disampaikan di dalam cebisan nota itu. Adakah pembunuh seorang yang pada dasarnya psikopat? Meninggalkan nota yang tiada gunanya seperti ini, sekadar memberi klu-klu secara tersembunyi?

********
Nakhon Ratchasima
Malam yang hening, diselang selikan dengan jeritan nyaring ketakutan lelaki itu. Ya, lelaki itu. Lelaki yang pernah singgah di dalam bayangan dan visual mimpi-mimpiku. Aku disogokkan dengan wajah lelaki ini berulang-ulang kali. Agar aku tidak akan pernah lupa dengan setiap kerut di wajah, setiap jerawat yang pernah hadir pada rupa itu. Aku sudah diamanahkan untuk menjejaki wajah itu. Dan kini, aku sudah berjaya.

Lelaki itu menjerit-jerit semenjak dia sedar daripada pengsannya itu. Sangat mudah untuk menjejaki lelaki bodoh ini. Di mana dia berlegar suatu masa dahulu, di situlah dia berada. Kisah dalam mimpiku itu, aku anggarkan kira-kira sudah lebih dua tahun yang lalu. Namun, si bodoh ini masih di sini. Seolah-olah menanti untuk dendam itu datang memburunya.

Dendam? Ya, dendam! Dendam yang aku tanam di dalam biji mata ini! Dendam aku, Achara Panthaka, yang telah bersumpah untuk memburu semua dalang yang terlibat dalam meragut nyawa aku dan ahli-ahli keluargaku.

Ilyasa ya, nama ‘aku’? Terima kasih kerana meminjamkan tubuh badan ini. Maaf atas apa yang terjadi kepada rakan kamu. Dia adalah ujikaji yang berjaya. Tubuh badanmu ini sangat efisyen dan konsisten. Sangat cantik dan berkesan latihan prosedur kita untuk mengorek mata dalam misi kita selepas ini.

“Arggggh!”

Jeritan lelaki bangsat itu, disusuli dengan bait kata dalam bahasa ibundaku. Memohon untuk dilepaskan. Memohon agar tidak diapa-apakan. Heh, samseng yang tiada keberanian, tatkala diri dalam bahaya. Mana perginya kelakianmu, ketika membuli sang lemah tak bermaya? Mana perginya angkuhmu, tatkala meragut nyawaku dahulu?!

“Abang, cantik mata abang. Nak pinjam, buat cenderamata boleh?” Soalku, juga dalam Bahasa Thai. Lelaki itu terkejut mendengar kata-kataku. Jelas, suara perempuan yang pernah dia dengari, tetapi jasad lelaki yang sedang bersiap sedia dengan peralatan untuk mengorek matanya!

“A… a…. Acha?”

“Janji pada mata ini, akan aku tunaikan SEKARANG!”

DUA BIJI MATA LAGI BERJAYA DIAMBIL. DUA LAGI, YANG DICARI.

********
-TOLONG AKU
ILYASA @ ISAAC ZENITH
Catatan di akhir manuskrip bercetak tebal itu, terlepas pandang oleh sesiapa sahaja yang melihatnya. Luahan hati kecil jasad yang kini sudah menjadi boneka sang mata yang berdendam!
-TAMAT-
Karya: Gongpal Topek

No comments: