Tajuk: Kacau
Karya: Naj
============
Cukup berani kah kau bertentang mata dengan makhluk yang tidak biasa dilihat manusia? Jin? Syaitan? Bunian? Atau kau rasa lebih baik tidak nampak, cukup lah mendengar saja bunyi-bunyian yang diperdengarkan di halwa telinga? Mungkin kah kau jenis manusia yang lebih terbuka menerima penampakan entiti dan makhluk-makhluk ini dari mendengar saja? Mendengar bermakna, kau tak tahu dia sebenarnya berada di mana. Di atas? Belakang? Atau di bawah katil sedang menanti kau menjenguk?
Cerita yang akan aku sampaikan kali ini, juga berdasarkan kisah benar yang dilalui adik aku, Dayah. Sebarang penambahan dan perubahan cerita serta tokok tambah hanya untuk menjadikan cerita ini lebih menarik. Agar kau tak tertanya dan ternanti, gerangan siapa akan ziarahi kau malam ini.
*******
Ralit aku memerhati anak-anak berlari ke hulu ke hilir di koridor rumah pangsa yang dihuni emak. Sesekali aku turut tergelak bila anak-anak aku berlari ke arah Dayah dan memeluk Mak Su mereka dek rindu bermain bersama. Maklumlah, kini aku tinggal sendiri bersama suami dan anak-anak. Tidak lagi duduk dengan emak dan bapak.
"Kak. Kau tau kan sekarang aku tidur sendiri?"
Dayah memulakan bicara. Aku tersenyum sinis. Dayah anak manja. Tidur beralaskan lengan emak. Biasalah. Anak bongsu. Tetapi bila aku baru berkahwin dan tinggal dengan emak, Dayah tidur sebilik dengan emak dan bapak kerana aku dan suami menginap di bilik satu lagi. Sekarang, bebas lah Dayah. Tidak perlu bertudung litup dan berbaju sukan muslimah untuk menutup aurat setiap masa. Tidur juga beralaskan tilam empuk katil bersaiz permaisuri. Bukan lagi tangan emak. Bilik itu, dia yang punya.
"Habis kenapa?" Aku soal kembali.
"Dulu masa kau ada, aku kan tengok cerita hantu kat Astro Warna tiap malam Jumaat. Mesti kau teman aku tengok kan?"
Aku mencebik biarpun Dayah tersengih-sengih mengenangkan betapa penakutnya dia sebenarnya. Gadis yang belum berpunya ini seorang hafizah. Menghafal Quran 30 juzu'. Aku sikit pun tidak pandang rendah akan sikap penakut Dayah.
Benda yang kita tak nampak, memang akan rasa seriau dan seram. Entah bagaimana rupa dan suara makhluk ni semua.
"Memang. Kau penakut. Kenapa kau cakap benda ni tiba-tiba?"
Dayah kelihatan termenung seketika walaupun masih lagi berada di hadapan anak-anak aku yang terjerit-jerit kesukaan berlari sana sini.
"Malam Jumaat minggu lepas, aku tengok cerita hantu. Waktu tidur, aku kena kacau!" Membesar mata Dayah menyatakan kesungguhan cerita.
Terkejut juga aku dengar. Dayah bukan jenis yang biasa diganggu makhluk halus. Selalunya, kak Ain, kakak kami. Atau emak, atau aku!
"Apa jadi??" Soal aku, berminat ingin tahu. Bolehlah dijadikan cerita bacaan peminat laman AAN. Detik hatiku.
Dayah memeluk anakku yang kecil lalu bersuara...
"Macam ni ceritanya...."
******
Aku Dayah. Bukan nama aku yang sebenar pun si Naj ni guna. Tapi itu bukan apa yang aku nak sampaikan.
Aku dah besar. 25 tahun. Dah bekerja. Dan aku seorang manusia yang masih cuba menghafal Quran. Mengulang itu penting. Terlebih lagi aku perlu menghafal dengan ustaz setiap Ahad. Jika tidak mengulang, ustaz pasti tahu! Hebat asatizah kita ini.
Kenapa aku cerita tentang hafalan Quran dan mengapa kak Naj menyentuh soal ini ada kena mengena dengan gangguan yang aku baru alami.
Khamis malam minggu lalu, ya, malam Jumaat, aku menonton cerita hantu di kaca tv. Astro Warna lebih tepat lagi. Aku suka tengok cerita begini. Laman AAN pun aku selalu layari dan baca cerita penulis-penulis hebat laman tersebut. Tapi, aku memang penakut.
Malam tu, aku tengok cerita hantu sendiri. Entah apa yang merasuk sehingga jadi berani. Waktu tidur, aku selubung. Bukan sebab takut ha.. Sebab penghawa dingin yang emak pasang tu sejuk. Aku malas nak ubah, jadi aku selubung saja.
Disebabkan baru habis tengok cerita yang menakutkan, aku tidak meneras dan mengulang hafalan seperti yang aku lakukan tiap malam. Aku terus tidur. Janji tidur secepatnya. Tidak lah terfikir cerita hantu yang menghantui benak aku ni.
Sedang aku dalam lena yang tidak berapa nyenyak, aku tersedar tanpa membuka mata. Kedengaran suara wanita ketawa! Ah sudah! Cuma aku, emak dan bapak dalam rumah ni. Emak tentu dah nyenyak di dalam kamar peraduannya.
Aku menahan nafas. Terdengar lagi hilaian tawa yang tidak nyaring. Seperti mengejek tetapi memanggil aku untuk menjenguk di balik selimut tebal yang aku buat selubung. Tetapi aku masih pejamkan mata. Di minda, aku dah bayangkan lari seperti lipas kudung ke bilik emak. Namun badan aku kaku. Aku cuba berkalih ke kiri pun tidak dapat aku bergerak.
Wanita yang entah siapa masih lagi ketawa mengejek. Perlahan saja tetapi jelas. Peluh dingin sudah mula merecik di dahi. Ya Allah! Ni mesti sebab aku tak mengulang hafalan tadi! Hati aku terdetik. Ayat-ayat Quran begitu suci sebab itu lah boleh jadi pelindung diri.
Aku masih cuba menggerakkan badan. Aku paksa mata aku untuk terbuka tetapi semuanya hampa. Sikit pun aku tidak dapat gerakkan apa-apa.
Sedang aku melawan entah apa-apa dengan Allah di dalam hati dan cuba memaksa diri aku untuk bergerak, ada tangan yang mengusap lengan aku tiba-tiba. Ada orang nak peluk aku dari belakang! Ni tak boleh jadi!
Akhirnya, aku dapat membuka mata seluasnya. Aku besarkan kelopak mata agar aku sedar yang aku bukanlah bermimpi dan aku sepenuhnya tahu apa yang sedang terjadi.
Sambil itu, terkumat-kamit mulut aku membaca ayatul Kursi. Mujurlah aku dapat selami. Kalau tak, sia-sia bacaan yang tidak bermakna.
Tawa itu kedengaran lagi. Aku terus duduk dan mencampak selimut ke tepi. Aku ingin lari tetapi, aku mesti berdepan dengan makhluk ini. Aku tak boleh lari dari masalah!
Dengan bebola mata yang kubuka seluasnya, aku memandang seluruh bilik. Besar mata aku, aku tunjuk pada kak Naj. Katanya, sama seram dengan pontianak dalam kaca tv.
Berbalik pada cerita, aku memutuskan untuk tidak lari ke bilik emak. Sebaliknya, aku mahu lawan. Aku mesti berani. Makhluk ni ciptaan Allah seperti aku juga.
Aku baca segala ayat pelindung diri dan tidak lepas membaca ayatul Kursi.
Waktu itu pintu bilik aku diketuk laju.
"Dayah! Dayah!"
Suara emak! Pantas aku menuju ke pintu untuk membukanya. Tetapi langkah aku terhenti. Ada yang mencurigakan dengan suara yang aku dengar ini.
"Dayah buka pintu! Kenapa kau memekak malam-malam buta ni? Kau ngigau ke??"
Suara emak kedengaran risau. Sama risau dengan aku yang meragukan manusia yang mengetuk pintu bilik aku. Aku telan air liur. Aku mengalihkan pandangan ke bahagian bawah pintu yang mempunyai ruang sedikit.
Cahaya dari ruang tamu menunjukkan tiada bayang kaki di ruang tersebut, bermakna tiada siapa sebenarnya di hadapan bilik aku!
Aku kuatkan lagi bacaan. Bergetar suara aku cuba menahan ketakutan. Menggigil tangan dan kaki aku waktu itu. Peluh pun sudah membasahi dahi dan muka. Ya Allah! Dugaan apa lah malam ni??
"Dayah! Buka lah pintu ni! Kau okay tak tu?? Ke kau dah tahu?" Kali ini, tawa mengejek itu terus bertukar menjadi hilaian tawa yang nyaring. Aku memanjat katil dan bersandar. Kedua lutut aku peluk sambil aku menyebut "Allah! Allah!"
Katil pula bergegar seperti digoyang tiba-tiba. Pintu dan tingkap bilik diketuk kuat bertalu-talu pada masa yang sama. Aku tinggal di tingkat 12! Siapa yang rajin memanjat dan mengetuk tingkap??
"Allah!! Allah!!!" Aku menjerit sambil menangis kuat. Aku mula membaca ayatul Kursi atau lebih tepat lagi menjerit sewaktu membaca. Sungguh ya Allah, aku takut!
Dalam keadaan aku cuba selami bacaan dan meminta bantuan Allah, aku terlihat cahaya putih memancar dari arah tingkap bilik. Tidak berani dan sangkakan aku akan mati ketakutan, aku mula membaca syahadah.
This is it. Aku akan mati. Menyesal aku tak mengulang tadi. Rintih hati aku.
Sudahlah diganggu, tidak sempat aku mengulang hafalan buat kali terakhir sebelum aku mati.
Cahaya putih yang memancar tadi semakin terang dan menyelungi satu kamar tidur aku. Silau dan menyebabkan aku rebah dengan denyutan jantung yang laju.
Sebelum aku hilang kesedaran, aku terdengar suara jeritan nyaring seorang wanita. Jeritan kesakitan yang teramat. Kemudian, aku pengsan.
Aku sedar dalam keadaan mamai. Seperti berada di atas awan yang empuk, aku berada di suatu tempat yang semuanya putih. Alah. Macam cerita Hollywood. Atau King's Cross Station yang bersih dan putih dalam minda Harry Potter sewaktu Voldemort menggunakan jampi pasti-matinya ke atas Harry.
Aku termangu-mangu. Sudah mati kah aku?
Dalam keadaan pelik dan tertanya-tanya, kelihatan satu kelibat berjubah putih dan berkopiah putih serta wajah yang bersih bercahaya datang mendekati. Aku tersentak. Rindu datang bertamu. Arwah yayi. Yayi bermakna atuk ya di dalam bahasa Melayu.
Arwah yayi merupakan seorang yang warak dan disegani anak-anak muridnya. Meninggal dunia pada waktu aku masih kecil lagi.
Namun kini arwah ada di hadapanku. Dia mengusap lembut kepala aku yang bertelekung. Mungkin ini kain kapan. Hatiku berbisik.
"Dayah.. Yayi bangga dengan kau. Rajinkan mengulang hafalan. Jangan lalai dengan cerita jin dan syaitan saja. Tak salah tapi utamakan Allah sentiasa ya."
Bergenang air mataku mendengar pesanan arwah yayi. Aku mengangguk pilu. Aku tatap wajah bersih yayi sepuas hati. Dan tiba-tiba, aku tersedar. Azan subuh terus berkumandang di masjid berdekatan.
Terasa air hangat membasahi pipi gebu aku yang kak Naj suka cubit ini. Aku di atas katil yang berselerak. Bantal dan selimut tercampak di mana-mana.
Aku beristighfar perlahan. Bila terkenangkan mimpi tadi, aku rasa sayu kembali. Terima kasih, arwah yayi. Terima kasih Allah kerana Kau temukan aku sekejap dengannya.
Benar atau tidak mimpi itu, aku tidak tahu. Pengajaran yang aku dapat, aku akan lebih rajin berusahan mengulang ayat-ayat suci Al-Quran. Allah lebih Besar. Lebih Berkuasa dari jin dan iblis yang Dia cipta.
*****
"Ha! Tu lah kau tak ngulang!" Aku mencebik mendengar cerita Dayah.
Dayah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih-sengih.
"Yayy ayah datang! Ayah datang!" Jeritan kesukaan anak sulungku kedengaran.
Kelihatan suamiku baru keluar dari perut lif sambil mendepakan tangan untuk memeluk anak-anak. Aku hanya tersenyum lalu kembali melihat Dayah.
"Kau untung. Tak semua hafal Quran macam kau. Tak semua ada peluang. Jadi malam ni, kau ngulang sebelum tidur. Jangan nak tengok cerita hantu je."
Aku menepuk bahu Dayah kuat. Jujur aku bangga dengan Dayah. Dia sangat taat kepada emak dan bapak. Moga syurga firdaus buat Dayah. Dan Al-Fatihah untuk arwah yayi yang kami semua rindui.
*Berdasarkan kisah benar. Mohon admin jangan tag saya di FB jika cerita ini diterima. Mohon maaf atas kekurangan dalam penulisan dan penceritaan. Terima kasih admin kerana sudi membaca.
Yang benar,
Naj
=============
Gambar dan suntingan: Dikmang
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment