Thursday, 5 April 2018

KEBUN DURIAN WAK DOL - Zuraidah Aqil Aqila Danish


KEBUN DURIAN WAK DOL
==============================


Sudah lama aku tidak pulang ke kampung. Sering kali Ibu dan Ayah berpesan agar mengambil cuti menjenguk Wak Dol. Bukannya aku tidak mahu pulang, kekangan beban kerja di pejabat sering sahaja membatalkan permohonan cuti ku.

"Pulanglah Bakri, kamu tu cucu kesayangan. Bukannya jauh pun, balik hari pun sempat kan?" Suara Ibu di telefon mula memujuk.

"Maaf Ibu, Bak masih sibuk." Jari ku masih lagi di papan kekunci, pagi esok ada pembentangan dengan wakil pelanggan.

"Wak Dol asyik sebut sahaja nama kau tu Bakri. Kasihanilah dia, dah seminggu lebih terbaring atas katil." Tak jemu Ibu cuba memancing simpati ku.

"Ibu, bukan Bak yang tidak mahu pulang. Cuti Bak memang sering sahaja tidak lulus." Jari ku semakin pantas menekan-nekan butang di papan kekunci.

"Itulah alasan kau! Cuti tidak lulus! Cuti tidak lulus! Cuti tidak lulus! Jangan esok orang tua tu dah mati baru kau terhegeh-hegeh nak balik! Dasar kacang lupakan kulit!"

Terkejut beruk ku mendengar herdikan Ayah di talian. Entah bila ganggang telefon di sana berubah tangan. Pantas ku tekan simbol 'Simpan' dan melipat tutup komputer riba. Kotak rokok dicapai dan segera ku buka. Suara Ayah masih lagi kedengaran kuat di telefon, padat dengan nada kemarahan.

Ayah memang garang orangnya, pantang benar kalau dia dengar kita menjawab. Kalau hitam, hitamlah. Janganlah kau cuba nak putihkan. Tegas dan bengis. Teringat sewaktu kecil cara aku dikejutkan dari tidur di awal pagi, cukup hanya berdehem sekali sahaja tanpa perlu kali ke dua.

Jauh berbeza dengan Wak Dol. Umpama langit dengan bumi. Walhal darah dagingnya juga. Seronok berdamping dengan Wak Dol. Senyumannya sentiasa terukir di bibir. Tak pernah marah-marah macam Ayah. Punyalah baik Wak Dol sampaikan aku yang berpangkat cucu pun disuruhnya panggil dengan gelaran Wak. Seharusnya Tok, tapi tuan punya badan tetap berkeras dengan gelaran Wak.

Terlintas wajah Wak Dol di dalam ingatan. Tersenyum aku sendirian mengenangkan sengih ketawanya, menampakkan karat giginya yang kekuningan. Di celah jarinya pasti terselit sebatang Surya. Wak Dol memang perokok tegar, dua kotak enam belas sehari itu lumrah. Sewaktu kecil dahulu, aku lah yang sering disuruh membelinya.

***

"Tahniah Bakri, bagus sesi pembentangan kau tadi." Boss menghulurkan salam tanda penghargaan.

"Sama-sama Boss, saya hanya jalankan tugas." Aku membalas merendahkan diri.

"Harap wakil pelanggan tadi setuju dengan idea kamu Bakri. Mereka minta tempoh seminggu untuk kajian dan maklumbalas."

"Seminggu? Kalau begitu, saya mohon cuti rehat boleh tak Boss?" Spontan pula aku bertanya, tiba-tiba sahaja.

"Tiada masalah, kamu sudah buat yang terbaik. Tapi pastikan kamu jawab setiap panggilan dari pejabat, faham?"

"Tiada masalah Boss, terima kasih banyak-banyak." Senyumku kian melebar.

"Oh ya Bakri, kamu nak bercuti ke mana?"

"Kampung Gajah Boss, balik nak jenguk datuk." Pantas ku jawab dengan penuh keterujaan.

"Baguslah kalau begitu, kebetulan musim durian sekarang ni."

"Hahaha... jangan risau Boss, ada rezeki saya bawa balik buah tangan nanti."

***

Aku memilih untuk menggunakan jalan dalam berbanding lebuhraya. Aman dan tenang melihat pemandangan. Benar kata Boss ku, musim durian sekarang ni. Kiri kanan kelihatan ramai orang kampung membuka gerai jualan, tak pasti harga ikut longgok atau perlu timbang kilo.

Tiba-tiba tergerak di hati ku untuk melawat kebun Wak Dol. Alang-alang melintas simpang ke kebun dahulu, lebih baik aku singgah sebentar. Manalah tahu untung badan dapatlah sebiji dua yang gugur. Lagipun dari kebun ke kampung sudah tidak jauh, kurang minit dua puluh sahaja.

Wak Dol memang minat berkebun. Majoriti pokok yang ditanam kesemuanya durian. Bermacam jenis baka ditanam di kebunnya yang seluas hampir tiga padang bola. Beruntung dia kebetulan pula ada air bukit mengalir melalui tanahnya. Teringat dahulu Wak Dol ada memberitahu, "Bakri, kamu dan pokok-pokok durian ini sebaya. Wak tanam pada tahun yang sama dengan kelahiran kamu."

Matahari semakin meninggi, dari jauh kelihatan batu sempadan kebun Wak Dol. Tak sabar nak berendam di aliran air bukit. Suasana memang sunyi, hanya bunyi unggas dan cengkerik sahaja yang kedengaran. Perlahan kereta ku pandu memasuki tanah kebun. Kebun Wak Dol memang tak berpagar, sejak dari dulu lagi hanya bersempadankan hutan.

Mata ku memerhatikan pondok di hadapan. Masih utuh lagi binaannya tersergam. Dikelilingi oleh pokok-pokok durian yang lebat bunganya serta buahnya. Walaupun hidup dua puluh lima tahun, pokoknya tetap rendang tak menjulang. Hebat Wak Dol menjaga pokoknya.

Tiba-tiba aku terperasankan sesuatu.

Serta-merta ku hentikan kereta, tingkap sisi pantas ku turunkan. Sebak di dada ku seketika melihat sebatang susuk tubuh yang amat ku kenali. Nun di hujung sebalik pondok aku mudah mengecam orangnya, sedang terbongkok-bongkok merumput merumpai di sepanjang batas.

Segera ku keluar dari kereta dan berkejar ke arahnya secepat mungkin. Kebun yang bersih tidak bersemak memudahkan lagi larian ku. Pantas dan semakin pantas aku berlari.

"Wak Dol...!"

Badan Wak Dol yang lencun berpeluh ku peluk erat lagi kuat. Berulangkali ku kucup dahi dan pipinya tanpa henti. Tak ku sedari air mata kegembiraan mula menitis. Terasa pelukan ku juga turut terbalas. Sama erat dan kuat.

Wak Dol hanya tersengih seperti ketika dahulu, menampakkan karat giginya yang kekuningan. Cuma kali ini tiada rokok terselit di jari tangan, mungkin stok sudah kehabisan.

"Bakri balik seorang sahaja? Mana Ibu dan Ayah kamu?"

"Seorang sahaja Wak, Ibu dan Ayah tak tahu. Kebetulan Bak dapat cuti mengejut."

Segala penat dan lenguh sewaktu memandu tadi hilang sejurus melihat wajah Wak Dol. Wajah tua yang pernah menjaga ku. Tangan kasar yang pernah membelai manja ku sewaktu kecil dahulu. Terdetik juga risau kalau-kalau Wak Dol marah berkecil hati, memang sudah lama aku tak balik menjenguknya.

Kami berdua berjalan mendekati pondok. Tegap gaya Wak Dol berjalan, bagai tak padan dengan warna rambutnya yang sudah beruban. Terasa pejal dan liat tubuh Wak Dol sewaktu ku rangkul peluk tadi. Mungkin inilah kesannya sering berkebun dengan tulang empat kerat. Hebat orang dulu-dulu, ilmu penuh di dada. Urat dawai tulang besi.

"Ibu dan Ayah cakap Wak sakit... sihat sahaja Bak tengok?" Aku memulakan perbualan selepas masing-masing berlabuh punggung di atas pangkin.

"Sakit orang tua Bak... lebih-lebih lagi kalau tak turun berkebun. Sehari kalau tak menyangkul tak menebas, memang terasa angin satu badan. Mencucuk-cucuk." Panjang lebar Wak Dol membalas. Senyum sengihnya masih lagi terukir di bibir, terpancar kemesraan bagai waktu dahulu.

"Banyak durian Wak musim ni, menjadi-jadi ya?" Giliran ku pula membalas senyuman. Mujur Wak Dol tak merajuk.

"Syukur, tapi bukan musim ini sahaja. Musim lepas dan yang sebelum-belumnya juga menjadi. Semua orang sudah sedia maklum. Cuma kamu sahaja yang tak tahu sebab sudah lama tidak pulang."

Bagai dihempuk batu yang besar, rasa pedas kian menjalar. Kemerahan muka ku semakin merayap ke telinga, terasa ingin memasukkan sahaja kepala ke dalam timba. Naik pijar cuping telinga ku mendengarnya.

"Batas apa yang Wak bersihkan tadi? Besar daunnya, Wak tanam sayur ke?" Aku cuba mengubah topik perbualan, tak berani nak bagi lagi bola tanggung.

"Tembakau... sementara nak tunggu senggang musim durian." Bersahaja Wak Dol menjawab. Butang bajunya dibuka satu persatu.

"Eh... tak risau ke tanam tembakau di pinggir hutan? Kebun Wak sudahlah tak berpagar." Aku pernah terbaca di dada akhbar, kes kebun pisang dan ubi yang rosak dikerjakan kawanan gajah liar.

Terkekek-kekek Wak Dol ketawa, entah apa yang lucu dengan soalan ku tadi pun tidak aku ketahui. Tangannya mencapai kain sarung yang tersidai, siap sedia untuk menukar seluarnya.

"Tak perlu risau, tiada haiwan yang akan kacau. Monyet dan babi memang tak makan daun tembakau."

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Wak Dol sudah siap memakai sarung. Tuala di palang dicapai dan dilitupkan ke bahunya. Sekali lagi Wak Dol senyum dan tersengih memandang ku, "Jom kita pergi mandi."

Aku juga turut meminjam kain sarungnya yang lain untuk menemani Wak Dol mandi air bukit. Sejuk dan segar ku rasa tatkala tubuh ku mula berendam. Berbual panjang kami berdua lewat petang itu. Tegap dan sasa tubuh Wak Dol ku lihat tidak berbaju. Berketul-ketul sadonya.

Wak Dol mengajak ku menemaninya di pondok malam itu. Aku bersetuju kerana tak sanggup nak biarkan Wak Dol keseorangan. Tambahan pula, mungkin dengan cara ini aku dapat menebus kealpaan ku terhadap Wak Dol sewaktu dahulu.

Sedap Wak Dol masak malam itu, kesemuanya menu eksotik. Rendang landak, tupai salai, kesum rebus dan yang paling istimewa; daging kijang masak hitam. Resepi dari Pak Raden katanya. Bertambah-tambah nasi ku makan tanpa segan. Cukup berselera ku menelan.

Ku keluarkan telefon pintar untuk berswafoto bersama Wak Dol, sayangnya bateri sudah kehabisan kuasa. Ku periksa dalam beg dan laci kereta, alat pengecas juga didapati tiada. Pasti tertinggal sewaktu bergegas ke sini tadi. Tapi aku tak risau.

Walaupun tanpa gajet, seronok melayan Wak Dol bersembang malam tu. Sekali sekala perbualan kami diselangi gelak ketawa. Pandai Wak Dol bersembang, unsur jenaka tak pernah lekang.

"Rokok Wak..." Seraya menghulur sebatang Dunhell ke Wak Dol. Hampir separuh kotak ku hisap, baru perasan Wak Dol langsung tiada merokok sejak kami ketemu tadi. Jikalau dahulu, pantang untuk melihat Wak Dol tanpa asap.

Wak Dol menolak dengan sopan, mungkin kerna bukan kretek. Menyesal pula aku tak belikan siap-siap sebelum datang tadi sebagai buah tangan. Aku ingatkan Wak Dol sedang terlantar sakit, sebab itulah aku tak beli.

"Bakri, Wak ada sesuatu untuk kamu. Wak harap kamu sudi menerimanya dengan rela." Muka Wak Dol tiba-tiba bertukar serius, suaranya pula semakin garau.

Aku dah jadi tak keruan. Tak pernah ku lihat wajah Wak Dol sedemikian rupa. Entah apa yang hendak diserahkan. Aku mula terbayangkan harta kekayaan dan rumah warisan.

"Wak nak bagi apa? Geran tanah ke?"

Aku cuba untuk berhusnuzon. Penat sudah aku bekerja makan gaji, nak minta cuti pun macam dah separuh mati. Tak sabar aku nak menerima durian runtuh. Fikiranku mula membayangkan rumah besar, kereta besar dan isteri besar.

Wak Dol mengeluarkan sesuatu dari gulungan sarungnya. Beg kecil berwarna coklat yang agak kelusuhan. Diciumnya berulangkali sebelum diletakkan ke atas lantai hadapan ku. Cepat-cepat aku menyedut dalam asap rokok sebelum mematikan bara puntungnya.

"Opo iki Wak?"

"Tak baik mencarut. Ambil dan bukalah sendiri. Wak harap kamu sudi."

Perlahan ku capai beg kecil di hadapan ku. Daripada kulit rupanya. Lusuh tapi teguh. Butang penutup ku selak ke atas, menampakkan kilat sinar badannya. Terasa sejuk apabila jari mula menyentuh. Perlahan ku keluarkan isinya. Sekonyong-konyong angin sejuk tiba-tiba menyerbu pipi ku.

"Ini Zippo Wak."

"Ya, original tu. Kau simpanlah, barang klasik ni. Edisi khas Amerika menang perang."

Sabar sahaja lah. Masuk angin keluar asap, bakar lemang buluh pekasap. Dapat hujung pangkal lesap, dapat pangkal hujung berasap. Ingatkan harta pusaka, rupanya sekadar pemetik api. Hmm... makan gaji lagi lah aku nampak gayanya.

Aku berbaring di dalam pondok, mata ku yang tadinya sepet seperti cina kini semakin melayu. Berkali-kali ku menguap melawan kantuk. Meliang-liuk api lampu ayam dilanggar bayu malam. Wak Dol masih lagi di pangkin, nak menunggu durian gugur katanya.

Dalam kemamaian di pembaringan, telinga ku mengesan bunyi bising di belakang pondok. Durian gugur agaknya, sebab Wak Dol sudah bergegas ke sana. Aku pun tak sedar bila terlelap. Nyaman disapa angin malam.

***

Lewat aku bangun pagi tu. Bisa-bisa terasa seluruh badan. Mungkin kerna baring beralaskan tikar mengkuang sahaja. Terasa lenguh di setiap sendi, bagai baru selesai bekerja keras malam tadi. Regangan ringan cuba ku lakukan, senaman tua lantas ku praktikkan.

Awal Wak Dol bangun. Ku lihat dia sedang mencangkung di hadapan pondok, menghadap susunan poly beg hitam. Tersusun rapi beg semaian siap berisi. Sepuluh beg kesemuanya. Sekali sekala jarinya menguis-nguis isi dalamnya.

"Semai apa tu Wak?"

"Benih durian."

"Eh... dari biji kah?"

"Ya... variati baru katanya."

Aku dah tak sedap hati, Wak Dol dah kene tipu ni. Mana ada kita tanam durian pakai biji, zaman moden ni kita tut sahaja atau guna tumpangan. Kalau susah sangat pun, beli sahaja anak pokok yang sudah tersiap. Mustahil Wak Dol mudah ditipu, sepuluh beg pula tu. Perlahan aku menghampiri Wak Dol.

"Wak dah kena kencing ni, cuba Wak cakap komunis mana yang jual biji durian ni?" Darah aku tiba-tiba menggelegak. Pantang aku jikalau berniaga tak jujur. Dasar mata sepet!

"Bakri, tak baik menuduh. Cakap siang pandang-pandang. Kerana belut, ikan merana. Kerana kabut, kelam tersiksa."

"Bukan niat Bak mahu menuduh, Wak kan lagi makan garam. Mustahil tanam durian dari biji." Aku cuba menerangkan. Terkejut aku dengan tindakan Wak Dol yang cuba mempertahankan si penipu.

"Sepuluh biji benih ini bukan dibeli, tetapi diberi sebagai amanah." Wak Dol tenang menjawab, bagai sudah menduga persoalan yang akan ditanya.

Jarinya masih menguis-nguis tanah semaian, mungkin memeriksa tunas yang bakal naik. Perlahan kepalanya berpaling pada ku, "Imam Rusli yang menyuruh Wak jaga, tunggu sehingga keluar tunas muda."

Aku diam tak membalas, sekilas di ingatan terlintas wajah Imam Rusli. Orangnya alim berilmu luas. Mahir dalam persilatan dan juga ilmu perubatan. Dihormati kawan disegani lawan. Walaupun imam orangnya hebat, isterinya tetap juga seorang.

Sebatang rokok ku sua ke bibir. Pemetik api jenama Zippo semalam ku buka dan ku petik batunya. Menyala api membakar sumbu. Terasa mewah seketika. Gaya, mutu dan keunggulan; benar-benar klasik.

"Wak, Bak fikir mahu pulang ke bandar pagi ini." Perlahan ku menutur kata, risau-risau Wak Dol terasa.

Wak Dol bangkit dari cangkung dan menghampiri ku. Senyum dan sengihnya tetap seperti selalu. Matanya melirik ke tangan kanan ku yang menggengam hadiahnya semalam. Senyumannya kian melebar.

"Wak dah masukkan durian ke dalam bonet kereta kamu awal pagi tadi. Adalah dalam tujuh biji, nanti kirim sedikit buat Ibu Ayah."

Eh... macam tahu-tahu sahaja pula orang tua ini. Tak pasal-pasal aku risau tadi, Wak Dol memang tenang orangnya. Perut ku mula lapar minta diisi. Mujur salaian tupai malam tadi masih lagi berbaki. Berselera ku kunyah laju, mungkin inilah nikmatnya duduk di kebun bersempadankan hutan.

***

Bunyi siren amaran tiba-tiba kedengaran kuat. Dari cermin pandang belakang kelihatan kereta peronda datang dari arah belakang. Seperti pemandu yang lain, aku memperlahankan kereta merapati tepi memberi laluan.

"Hentikan kenderaan anda!"

Jari telunjuk diacu tepat ke arah ku sejurus kereta peronda melewati. Perlahan ku menekan brek biar berhenti di tepi jalan. Anggota yang mengacu jari tadi keluar merapati ku. Tertanya-tanya juga di hati kenapa kereta ku ditahan.

"Selamat petang encik, minta kad pengenalan dan lesen memandu."

Aku akur menurut perintah. Anggota mengambil kad dan mula mengimbas. Dahinya mula berkerut sejurus membaca data yang tertera. Dijeling rakannya yang baru sahaja keluar dari tempat pemandu.

"Encik Bakri ok? Dari mana hendak ke mana?" Aku mula disoal anggota pertama tadi. Anggota kedua ku lihat memanjangkan leher menjenguk ke tempat duduk belakang.

"Syukur Tuan, saya sihat. Dari kampung hendak ke bandar, kenapa Tuan?".

"Telefon bimbit ada?"

"Ada, tapi sudah kehabisan bateri."

"Sejak bila Encik Bakri pulang ke kampung?“

"Semalam Tuan, sebelum solat Jumaat."

"Semalam hari Selasa Encik, hari ini Rabu. Sudah lima hari Encik dilaporkan hilang."

Aku bingung tatkala mendengar. Jarang anggota beruniform membuat kelakar ketika menjalankan tugas. Serius benar mukanya, lansung tiada unsur gurauan di wajahnya.

"Kami juga baru terima laporan, ada darah menitis daripada kereta Encik sepanjang perjalanan." Anggota kedua mula bersuara. Tangan kirinya menggenggam kemas hulu revolver di pinggangnya.

"Apa yang tersimpan di bonet belakang, Encik?" Anggota pertama kembali bertanya dengan penuh curiga.

"Durian Tuan, baru pulang dari kampung." Jawab ku sambil tersenyum. Terima kasih Wak Dol buah tangannya.

"Minta buka pintunya, Encik."

Ku tarik tuil di bawah kerusi. Kedua anggota tadi segera ke belakang untuk memeriksa. Pintu bonet dibuka dan diangkat ke atas. Salah seorangnya tiba-tiba muntah manakala seorang lagi hanya menekup hidung sambil mengeluarkan radio.

"Hello Bilik Gerakan, sini Ronda Kosong Tujuh lapor berita. Orang Hilang Report No 7515 sudah ditemui. Ganti."

"Hello Ronda Kosong Tujuh, berita terima. Hantar mangsa ke balai terdekat. Waris akan dihubungi. Ganti."

"Bilik Gerakan, mohon hantar trak penunda. Kami tidak boleh benarkan mangsa memandu. Berita Habis."

***

Sunyi malam itu di lobi, jam sudah menunjukkan angka sebelas. Kelihatan beberapa anggota keluar masuk balai. Aku diarahkan menunggu Ibu dan Ayah sebagai waris datang menjemput. Laporan kehilangan ku telah dibuat oleh mereka selepas 48 jam aku gagal dihubungi.

Aku memerhatikan sebuah kereta merah yang baru sahaja memasuki parkir. WAR 1004 ~ No plat yang amat ku kenali. Ibu dan Ayah masing-masing keluar ikut depan. Pintu penumpang turut terbuka, ku lihat Imam Rusli turut keluar.

Ibu menuju ke arah ku, Ayah dan Imam Rusli berjabat tangan dengan ketua balai. Dari air muka dan juga reaksi, ku yakin mereka bertiga sedang bercerita hal aku. Ku lihat mata Ibu bengkak keduanya, cakapnya juga tersedu-sedu.

"Syukur Bak kau dah kembali. Ke mana kau pergi Bak?" Ibu memeluk ku dengan kuat. Aku dapat merasakan air matanya mula mengalir deras.

"Bak balik kampung. Bukankah Ibu dan Ayah juga yang menyuruh?" Aku menjawab penuh yakin. Walhal aku keliru sebenarnya.

"Tengkorak kau balik kampung! Kami dah lima hari duduk di kampung. Kenapa telefon tak berangkat!" Ayah menyampuk meninggikan suara. Anggota di balai berdehem membuat isyarat agar tidak membuat bising.

"Imam, boleh tolong tengok-tengokkan si Bakri ni?" Perlahan Ibu melepaskan pelukannya. Imam Rusli tetap diam seperti mula tadi. Bagaikan sedang berfikir menyusun ayat pembuka bicara.

"Ok, Bak mengaku. Bak tak pulang ke rumah kampung. Bak tidur di kebun durian, temankan Wak Dol untuk semalaman. Bateri telefon habis, pengecas tak bawa. Lagipun di pondok bukannya ada bekalan elektrik. Bak minta maaf." Bersungguh-sungguh aku menerangkan keadaan.

Kesemuanya diam. Aku perasan Imam Rusli terkumat-kamit mulutnya bagaikan membaca sesuatu.

" Oh ya, Wak Dol kirim salam pada semua. Tu dalam bonet kereta ada durian kampung Wak Dol hadiahkan." Bibir ku juih menunjuk ke arah kereta.

"Bakri...Wak Dol dah tiada. Masuk Isyak tadi sudah hari ke lima aku mengetuai majlis tahlil untuk si arwah." Imam Rusli mula menutur kata, merenung tepat ke mata ku.

"Eh... kasar gurau tu Imam. Cakap malam dengar-dengar. Kerana pulut, santan binasa!" Aku dah mula panas hati.

"Benar tu Bak, Wak Dol pergi sama dengan hari kehilangan kau." Ibu menyampuk menyokong Imam Rusli. Ayah juga bagaikan mahu bercakap, tetapi pantas Imam Rusli memotong.

"Dah lama datuk kau terlantar sakit Bak, belaannya tak mahu keluar. Puas aku mengubatinya. Memang sukar, belaannya melawan minta diperturunkan. Tidak mahu keluar melainkan ada waris yang sanggup mempertuankannya. Yang kau jumpa di kebun itulah belaannya, Sang Saka Raya. Antara mahluk yang paling degil pernah aku hadapi, agak liat juga nak keluarkan dari badan si arwah." Panjang lebar Imam Rusli menerangkan.

"Kenapa tak wariskan sahaja pada Ayah sebagai tuan yang baru? Tidaklah terseksa Wak Dol di ambang kematian." Aku mempersoalkan tindakan Imam Rusli. Ayah menjeling tajam kepada ku, terdengar nafasnya yang merengus menahan marah.

"Ayah kau tu kan bengis Bak hoi. Sang Saka Raya pun tak berani nak bertentang mata dengan dia. Aku terpaksa membuat helah perjanjian, menipunya agar terus menunggu tunas muda bercambah dari biji durian yang telah direbus empuk. Biar kekal dia di situ menjadi penunggu. Tak sangka pula kau yang datang berjumpanya di kebun. Mujur kau dapat keluar dari situ, tak terfikir aku yang kau disorok 5 hari di situ." Panjang Imam Rusli bercerita, nak melukis memang dia tak pandai.

Imam Rusli mula mengeluarkan beg tembakaunya. Dicubit sedikit gumpalan dan diracik halus atas tapak tangan. Inilah perangai Imam Rusli, pantang waktunya senggang pasti akan menggentel dan menggulung.

"Baik pula saka Wak Dol mengirimkan Ibu dan Ayah durian kampung. Hahaha." Aku cuba membuat kelakar penenang jiwa. Fikiran ku serabut sebenarnya, susah aku nak menghubung kait sebenarnya.

"Ye ke baik? Kau pergi ambil sebiji aku nak makan sekarang!" Ayah mencabar ku dalam ejekan. Anggota di balai berdehem buat kali kedua.

Mengucap panjang aku tatkala pintu bonet kereta dibuka. Bau hamis dan hanyir berpusu-pusu menusuk lubang hidung. Dari cahaya sinaran bulan, kelihatan beberapa kepala babi hutan berlonggok di dalam ruangan bonet kereta ku.

Matanya terbeliak lidahnya terjelir, bagaikan melalui pengalaman yang amat dasyat sebelum kepala masing-masing bercerai badan.

Imam Rusli datang menghampiri. Ibu dan Ayah rapat mengekori. Segera ku hempas menutup pintu bonet kereta. Kepala ku semakin serabut dengan apa yang berlaku. Tersandar lemah aku di tepi kereta.

"Bersabarlah Bakri, memang itu pekerjaan mereka. Mengacau dan cuba menyesatkan pegangan manusia. Sebagai khalifah di atas muka bumi ini, janganlah mudah kita terpedaya dengan tipu helah syaitan. Berpegang teguhlah pada ajaran. Kita adalah mahluk yang paling mulia di sisi Tuhan." Imam Rusli cuba menenangkan hati ku. Tangannya ku lihat rancak menggentel tembakau yang diracik tadi.

"Bakri, ada arwah Wak Dol serahkan apa-apa barang lama pada kau tak? Barang-barang pusaka untuk kau jaga. Contohnya macam keris lama ke, tepak sirih ke, tekukur kelapa ke, seterika arang ke, atau apa-apa sahaja yang boleh dianggap antik dan klasik." Bertalu-talu pertanyaan Ibu. Dari reaksi mukanya bagai ingin tahu segera jawapan dari ku.

Muka Imam Rusli juga bagaikan menunjukkan minat. Ku cuba berfikir sejenak, kepala ku yang sudah serabut makin berkabut. Belum sempat ku menjawab, suara Ayah garang mencelah, "Nak serah apa ke bendanya?! Balik menjenguk pun tidak! Takkanlah boleh diperturunkan melalui kiriman pos?!"

Ayah memang tak pernah bagi muka pada ku. Imam Rusli menunjuk isyarat kepada ku supaya bersabar. Daun nipahnya diurut dan dilapik dua. Gentelan tembakau yang padat tadi mula diletakkan ke atas daun. Perlahan daun digulung ketat, agar balutan sendat melekat.

"Bakri,ada pemetik api? Imam punya tertinggal di rumah tadi." Tangannya dihulurkan kepada ku selaku meminta. Rupanya rokok aku dan Ayah juga siap digulungnya. Laju Imam Rusli membalut. Orang lama.

Tangan ku meraba kocek seluar, mengeluarkan alat pemetik api. Ku nyalakan apinya langsung mencucuh ke rokok Imam Rusli dan Ayah. Rokok gulung yang ku terima tadi ku biarkan sahaja terselit di jari tanpa nyalaan.

"Eh.... tak hisap rokok daun ke?" Imam Rusli menunjukkan muka kehairanan.

"Orang ada-ada ni Imam, mana sudi tembakau jawa ni. Tengoklah pemetik apinya tu... Zippo. Kita tahap mancis je."

Aku hanya diam, nak membalas takut dituduh kurang ajar pula. Ibu mencubit kecil lengan Ayah, sebagai isyarat agar tidak berlebih-lebih. Ayah buat tidak tahu sahaja, menghembuskan asap rokoknya yang berkepul-kepul ke udara.

"Cucuhlah rokok tu, penat Imam balut tadi. Jangan ambil hati sangat dengan Ayah kau tu, kau tu pun dah faham sangat." Imam Rusli bagaikan memujuk.

"Saya malu sebenarnya nak hisap tembakau ni Imam."

"Eh...malu dah kenapa pula? Tembakau Cap Tiga Semut ni, keluaran orang kita juga." Ujar Imam Rusli seraya menyedut dalam rokoknya.

"Entah...sejak kene sampuk ni makin pelik pula perangai kau ni Bak. Makin mengada-ngada!" Ayah seperti biasa menghentam aku tanpa belas.

"Bukan macam tu Imam, Ayah. Sedangkan babi di hutan pun tak makan daunnya, inikan pula kita mahluk yang paling mulia di sisi Tuhan."

Pantas tangan Ayah membuka pintu bonet kereta. Guni plastik dicapainya dan segera kesemua kepala babi dimasukkan ke dalamnya. Imam Rusli pula memecut berlari ke tepi balai, mengorek dan mengumpulkan tanah ke dalam timba. Menggeleng kepala ketua balai dan anggotanya melihat telatah mereka berdua.

Ayah begitu bersemangat menyertu ruangan bonet kereta ku. Tangan kanannya laju menyental, tangan kirinya mengawal pancutan air. Imam Rusli tak henti-henti memberi panduan kepada Ayah kaedah menyuci najis yang betul. Tiada rokok ku lihat di bibir masing-masing, yang ada cuma sekuntum senyuman yang terukir di bibir.

Menitis air mata ku membasahi pipi. Pertama kali dalam hidup ku melihat Ayah tersenyum. Tak pasti tersipu atau malu. Saling tak tumpah seperti wajah Wak Dol.

-TAMAT-
=========================
Karya : Zuraidah Aqil Aqila Danish
Gambar (sumber dari internet) : DeeFen DF

Karya merupakan hakcipta penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

No comments: