Bercakap dengan Sesuatu Part II (Akhir)
Karya: Gongpal Topek
“Grr….” Dengusan yang menyambut panggilan Skype aku. Bukan salam, bukan hello. Aku hanya mengerling A melalui ekor mata, memandangkan aku sedang sibuk dengan tugasan kerja aku.
“Sarah? Kau kan tu?” Aku hanya meneruskan tugasan tanpa memulakan bacaan ayat suci Al-Quran. Ini adalah ‘pertemuan’ kami yang ketiga, jadi perasaan gerun sudah tidak kurasakan. Malah, aku sudah hampir berjaya mengawal keadaan apabila Sarah, si sesuatu itu mengambil alih badan A.
“Hmmm….kan aku dah kata tak mahu bercakap dengan kamu. Tak nampak mesej aku?!” Aku tidak tahu hendak jawab apa. Banyak persoalan yang perlu aku korek daripada dia, jadi aku tetap paksa A untuk Skype. Dalam mesej, dia menulis yang badan dia lesu kepenatan, dan enggan Skype. Aku memaksa dia buka skype sahaja tanpa perlu video call. Dia menurut berdasarkan notifikasi online A. Aku kemudian menulis bagus dalam mesej sebagai respon kepada A, tetapi maki hamun yang sampai semula kepada aku. Di situ, aku sudah pasti A sudah diambil alih.
” Aku sebenarnya tak pasti mesej tadi tu daripada A, atau daripada kamu Sarah. Sekarang sudah alang-alang kita jumpa, apa kata kita berbincang?” Aku menutup sebentar tugasan, urusan bercakap dengan ‘sesuatu’ ini tidak kurang pentingnya.
” Tiada apa lagi yang perlu kita bincangkan. Aku mahu kau tinggalkan dia!” Mahu sahaja aku buka playlist Youtube ayat ruqyah untuk ‘menyakitkan’ dia. Aku tidak sampai hati. Bukan kerana aku kasihankan Sarah, aku kasihankan A. Sakit mereka sudah pasti bersama-sama.
” Kau sakit Sarah? Aku pasti kau sakit. Rawatan ustaz semalam tu berkesan kan?” Aku cuba menukar topik, supaya aku tahu situasi ‘sesuatu’ itu apabila rawatan terapi Islam dilaksanakan. Beberapa orang ustaz daripada Darul Syifa’ datang ke rumah A untuk melakukan rawatan dan ‘scanning’ rumah hari sebelumnya. Dari bacaan Yaasin dimulakan, A sudah panas-panas dan tidak senang duduk. Dia lari masuk ke dalam bilik berdekatan dapur, lalu tidur. Asalnya disuruh turut serta membaca, tidak mampu lagi melawan gangguan dalam diri.
Ustaz-ustaz tersebut melakukan method yang biasa aku dengar daripada ustaz di sekolah aku dahulu. Aku hanya tahu langkah, aku tidak pernah lakukan. Bacaan dan langkah ini bertujuan untuk membuatkan penghantar sihir untuk turut sama merasakan sakit yang teraniaya itu lalui. Ustaz sudah meminta ibu A menyediakan batu licin sebanyak 7 biji (batu sungai), air dan periuk untuk menakung air bersama batu-batu tersebut.
Caranya mudah. Yaasin dibacakan seperti biasa, sehinggalah sampai ke perkataan mubin pertama di hujung ayat. Kemudian dimasukkan sebiji batu ke dalam periuk bertakungkan air panas(dijerang supaya sentiasa panas). Yaasin dibaca daripada awal semula. Sehinggalah sampai ke perkataan mubin kedua dalam surah tersebut. Dimasukkan lagi sebiji batu ke dalam periuk. Yaasin daripada awal semula. Proses diulang sehingga semua batu dimasukkan (7 mubin kesemuanya, kemudian Yaasin dibaca sehingga habis). Periuk kemudian dipindahkan ke dapur gas di dapur untuk meneruskan pembakaran berterusan selama beberapa hari (tidak pasti nilai ketetapan masa), dan ditambah air jerangan jika semakin berkurangan di dalam periuk.
Ibu A memaklumkan bahawa batu itu akan dipindahkan ke mana-mana kolam air panas selepas tiga hari proses ‘membakar’ batu itu dijalankan. Saya menasihati ibu A supaya tidak memberitahu A di mana akan dibuang batu-batu itu, dan memastikan A tidak memadamkan dapur api tersebut. A boleh menjadi Sarah bila-bila masa, maka semua itu hendaklah dipantau.
Ustaz juga memeriksa rumah untuk mencari sesuatu, tiga benda jika tidak silap, tetapi aku lupa apa yang diperlukan tersebut. Yang aku ingat adalah, baju merah yang menjadi kesan ‘calitan’ sihir tersebut, dan juga sesuatu besi logam yang disorok. 1 lagi aku tidak ingat. Hanya baju-baju merah milik A sahaja yang dibuang/dibakar (sebanyak mungkin, sebagai langkah berjaga-jaga), malangnya dua lagi barang yang dicari tidak dijumpai. Mungkin juga itu salah satu sebab A masih menderita akibat Sarah ini.
“Kau sakit ke Sarah? Siapa tuanmu? Dia sakit tak? Boleh aku tahu nama dia?”
“Hmmmm….” Hanya dengusan kedengaran sebagai jawapan. Aku pasti aku tidak akan dapat cungkil nama tuannya, kerana padahlah Sarah jika membongkarnya. Aku cuba bertanya kepada A sebelum ini, A hanya menjawab biarlah kami sahaja yang tahu (dia dan keluarganya). Dia juga memberi alasan bahawa bukannya aku kenal pun, dan dia risau aku akan mencari tuan Sarah apabila aku balik nanti. Mati akal aku. Kenapa tidak gunakan sahaja aku alang-alang sudah terjebak? Baru sahaja plan nak menjejak tuan Sarah apabila balik cuti semester ini. Tahu nama pun tidak, memang sukarlah buat aku.
Memandangkan sesi kali ketiga bercakap dengan ‘sesuatu’ ini kurang memberi input, aku mengambil keputusan untuk menghalau sahaja dia dengan cara biasa. Aku pun berkata,” Susah sangat nak tahu nama jer pun. Dah lah kau keluar dari dia. Kalau kau tak mahu tambah sakit bacaan aku baca, baik kau keluar dengan aman.”
Aku silap. Sarah sudah ambil alih badan A, bermakna dia boleh buat apa sahaja. Apabila tiada respon daripada Sarah, aku pun mulakan playlist ayat ruqyah tersebut. Baru 2 saat, video call Skype sudah dibatalkan oleh Sarah. Ah sudah! Pandai pula dia main tutup buka. Tergamam aku di situ. Mulalah kalut mesej A di telefon. Bimbang berlaku apa-apa. Tidak dijawab juga. Aku mesej juga ibu A minta ditengok-tengokkan keadaannya. Alhamdulillah, ibu A kata dia hanya tidur sahaja selepas itu. Ibu A jawab lagi, mungkin penat agaknya. Tadi sudah dipaksa dengan dimandikan air bidara lagi.
Salah satu sebab ibu A dibenci Sarah adalah kerana ibu A menjadi tunjang kepada apa-apa rawatan dilaksanakan. Mandikan air bidara, ibu A mandikan. Buang batu di kolam air panas juga ibu A buatkan. Disebabkan itu jugalah setiap kali rawatan dibuat, akan ada kesan gigitan/lebam pada badan ibu A kelihatan keesokan harinya. Sebagai tindak balas kepada rawatan yang dilakukan.
Tahun terakhir di perantauan agak berlainan dengan tahun-tahun sebelumnya. Sebelum-sebelum ini aku tidak dapat berpuasa dan beraya di tanah air, cuma tahun ini Ramadhan dan Syawal jatuh pada cuti musim panas. Selepas sampai di KLIA aku tidak terus pulang ke utara, kampung halamanku. Aku bertemu dengan A dahulu, dan tidur di rumah kakakku di Negeri Sembilan. Sengaja aku mesej sebelum berjumpa dengan A, dengan ayat untuk trigger Sarah. Aku tulis, “Aku sudah pulang Sarah. Kita berjumpa secara berdepan kali ini.”
Hampa. Tiada jawapan. Jumpa A juga tiada apa-apa yang pelik berlaku. Tidak juga clumsy seperti selalu apabila A drive. Untuk pengetahuan, salah satu sikap A selepas diganggu ‘sesuatu’ adalah dia mudah hilang fokus, dan kadang-kadang berlaku kemalangan tanpa sebab yang konkrit. Ada sekali dia langgar pagar rumah orang, ada juga tiba-tiba tayar kereta meletup/pecah tanpa sebab. Seolah-olah ada sahaja hal untuk A terdedah kepada bahaya dan kerugian. Tiada pula berlaku apa-apa sepanjang aku bersama dia. Cuma A memberitahu dia mahu berhenti kerja untuk menyambung pengajian Master di UK.
Pada mulanya, aku kurang bersetuju kerana dia masih dalam rawatan. Namun, apabila difikirkan semula, kehidupan dia adalah hak dia. Siapalah aku untuk menghalang keputusan dia, dan persetujuan keluarganya. Aku bertanya kepada dia bagaimana dengan rawatan. Dia menjawab, biarlah hanya Allah sahaja yang menentukan. Aku bertanya lagi, ” Sepanjang you sakit ni, pernah tak you accept in words from your own mouth, to be with Sarah and redha sahaja apa yang berlaku?”
” Entahlah you. I tak ingatlah. Tapi rasa give up dulu adalah.”
” I hope you did not. Takut-takut dia stay lama sebab you pernah accept jer dia untuk stay.”
” Kalau pernah pun, what can I do now? It’s not like I can turn back time”. Aku menarik nafas dalam, kemudian menjawab, ” Benda ni, you kena kuat semangat. Yes no turning back, yang penting semangat kena kuat lawan. Untuk mak ayah you, untuk family you, dan yang penting untuk diri you sendiri. Jangan pernah redha untuk benda ni. I can help, as always, but all of this, will depend on you.”
A hanya berdiam. Aku juga tiada apa lagi hendak dikatakan. Dia menghantar aku pulang ke rumah kakak aku, sebelum aku pulang ke utara keesokan harinya. Ini adalah pertemuan terakhir sebelum dia ke luar negara. Maknanya, kami akan terus berskype selepas ini, tapi berbeza zon masa dan berbeza situasi. Aku menganggap selepas ini tidak akan ada lagi selingan ‘sesuatu’ untuk bercakap dengan aku. Hanya A.
Benar. Selepas A sampai ke UK, tiada lagi gangguan berlaku di sana. Dan tidak lama selepas itu pun, aku pulang for good ke tanah air. Memandangkan rumah tiada Wifi, aku mengambil keputusan untuk tidak Skype lagi dengan A. Hanya bermesej sahaja selepas itu. Situasi berubah. Dia perlu belajar, aku pula tidak lagi. Maka, ruang hendaklah diberikan kepadanya.
Sehinggalah kami memutuskan perhubungan, aku hanya bertanyakan keadaan A daripada kawan rapat dia dari sekolah menengah yang turut sama melancong dengan A seperti yang pernah aku sebut pada nukilan pertamaku. Dia bertunang tanpa pengetahuan aku, kerana tidak mahu aku rasa kecewa menolak cadangan untuk bertunang dengan dia, sebulan selepas kami berpisah. Dia juga dikhabarkan mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangan dengan lelaki lain tersebut, kerana dalam hati dia sentiasa ada rasa benci kepada tunang dia, dan ibu tunangannya.
Aku tahu itu angkara kamu Sarah. Meniup kebencian itu adalah tugasan kamu. Mungkin berhadapan kamu rasakan aku bukan tandingan kamu, sebab itu kamu tidak muncul secara berhadapan. Tapi ingatlah Sarah, perang sudah bermula sekian lama. Aku masih menunggu penamatnya. Terpulang kepada kamu untuk jadikan aku ‘penunggang kuda’ berperang melawanmu, atau hanya duduk di tepi arena ‘menyokong’ lawan mu. Perang belum tamat, Sarah. Aku tunggu kamu.
P/S: Langkah bacaan Yaasin dan batu sungai di atas hanyalah ikhtiar, dan apa yang aku pernah belajar. Don’t try this at home. Jika tidak percaya juga, tidak mengapa. Aku kongsi bukan untuk diamalkan.
Sekian.
-끝-
-TAMAT -
No comments:
Post a Comment