KAWAN
Karya : Mohd Rashid Salim
===============
Maaf.
Inilah pertama kali aku nak menulis kisah seram. Seram dan thriller. Tapi serius aku memang tidak mempunyai pengalaman. Rakan-rakan penulis dalam group whatsapp ada bagi cadangan, jika inginkan sesebuah karya itu ada jiwa, sebaiknya tulis pada waktu tengah malam. Maknanya lebih feel.
Tuan penyelanggara cerpen itu cakap, kena banyak membaca dan bertanya. Kalau tak tahu, jangan segan berkongsi masalah dalam group. Mereka nak terbitkan karya, kalau boleh sebelum pesta buku KL pada Mei nanti.
Tapi, setakat ini cuma 3 penulis sahaja yang sedia menghantarnya dan aku pula masih terkial-kial mencari permulaan kisah seram yang mereka mahu. Tema pula bertemakan Pawagan. Macam mana aku nak rasa feel seram tu kerana selama aku pergi menonton wayang, belum pernah lagi aku alaminya.
Aih,! Nak reka-reka cerita macam tak best pulak. Kisah tu kalau boleh biarlah nampak real. Jadi aku kena ambil mood. Katanya tarikh akhir hantar 30 Mac 2018 ini. Seramai 15 peserta dikehendaki menghantar karya dan barulah buku antologi cerpen itu akan diterbitkan. Buku tersebut diselenggara oleh Asraf Shaari bersama AC Jeffrie.
Pada malam pertama aku menaip, baru sahaja satu perkataan dapat ditaip iaitu ‘seram’, tidak ku menduga, tiba-tiba pintu rumahku diketuk orang. Aku sedikit terperanjat kerana ketukan tu boleh tahan kuatnya.
Lantas aku bangun lalu meninggalkan meja komputer aku. Sempat lagi aku menjeling ke arah jam di dinding, baru pukul 8 malam. Relakslah awal lagi. Mana ada feel seram kalau waktu macam ni. Sekurang-kurangnya biarlah malam kian larut.
Aku pun buka pintu. Nah! tercegat Mael depan rumah aku. Aku tengok dia angkat kening barangkali memandang pelik semacam, ada yang tak kena ke dengan aku ni? Soal aku sendiri. Sejurus itu, aku pun menilik diri sendiri yang tidak berbaju dan hanya berkain pelikat sahaja.
“Belum siap lagi ke?” Boleh dia tanya aku soalan yang aku sendiri tak tahu jawapannya. Tiba-tiba tanya siap tak siap ni.
“Apa yang siap?” Aku tanya Mael semula.
“Kau nampak tak apa yang aku pegang ni?”
“Tiket,”
“Ya, memang ini tiket wayang. Kau kata nak tengok cerita seram, kan? Aku dah belikan tiket untuk kita tengok, dah kau tu tak siap lagi kenapa? Tayangan start pukul sembilan. Ada masa lagi nak gerak pergi Kemasik ni.” Ujarnya. Aku pula terpisat-pisat. Bila masa pulak aku beritahu dia yang aku nak pergi tengok wayang? Musykil aku.
“Eh?”
“Apa eh eh? Dah pergi siap!” Mael mendesak. Aku pulak kebingungan. Nak tak nak aku segera ganti pakaian. Eloklah tu dia ajak aku pergi tonton cerita seram. Lagipun bolehlah aku godek idea untuk menulis nanti. Pengalaman pertama katakan. Bertuah sungguh rasanya.
Masa dalam kereta, Mael beria-ia berkongsi pengalaman seramnya. “Aku kalau bab cerita seram ni, aku tak takut sangat. Sebab aku dah biasa.”
“Kejap Mael.” Aku potong ayat dia. Mael diam sambil meneruskan pemanduan kereta Satria Neo. Agak laju juga dia memandu. Mengejar waktu.
“Apa dia?”
“Bila aku beritahu kau nak pergi pawagam?”
“Laa…” Mael sekilas pandang. Dia pun swipe telefon dan tunjukkan mesej. Aku ambil dan pegang telefon itu.
‘Mael, jom tengok wayang, layan cerita seram. Pukul 8 malam ni kau datang ambil aku.’
Itulah pesanan yang aku tengok pada skrin telefon yang ditunjukkan. Itu memang dari nombor telefon aku. Tapi aku tak hantar pun pesanan tu. Aku terpinga-pinga. Bila masa aku hantar?
Tidak semena-mena, Mael brek mengejut!
Alamak!!! Kepala aku hampir terhantuk pada dashboard. Mujur pakai tali pinggang keledar, kalau tidak aku tak tahu apa nak cakap. Telefon milik Mael yang aku pegang tadi tercampak entah ke mana. Mael pula termengah-mengah. Matanya terbuntang macam nampak sesuatu.
Aku menilik diri sendiri takut-takut ada kecederaan ke. Nasib baiklah tak ada apa-apa. Mael pandang aku, dia pesan, “Mat, kau jangan tengok belakang.” Katanya. Aku terus menoleh walaupun Mael kata jangan.
Ceh! Mana ada apa-apa!
“Kau jangan nak takut-takutkan aku la. Kalau ada lori dekat belakang memang dah kena lenyek kita ni. Kau main brek mengejut.” Balas aku separuh marah.
Aku macam nampak dahi Mael berpeluh-peluh. Padahal jam baru 8:30 malam. Kami dalam perjalanan lagi nak ke pawagam. Sejurus itu Mael lambat-lambat memandang ke belakang. Ekspresi wajahnya seperti sangat takut. Aku tak ada apa-apa pun. Aku yang nak tulis cerita seram, dia pulak yang melebih seram.
“Ma…masa aku tengok cermin ni..” Dia tunjuk cermin pandang belakang tu. “Aku ada nampak sesuatu.”
“Sesuatu?” Tanya aku. Mael pun mulakan perjalanan sejurus dia berhenti di bahu jalan sebentar tadi selepas brek mengejut.
“Errr…”
“Ke kau saje nak takut-takutkan aku?” Soal aku semula sambil mengerutkan dahi sendiri. Petanyaan aku tak dijawab. Kami membisu sehinggalah sampai ke pawagam.
Dek kerana Mael berperangai pelik, aku rasa tak sedap hati. Kami dah lambat lima belas minit menonton cerita seram di pawagam. Walaupun lambat, kami tetap menonton. Tapi aku pulak tak rasa apa yang aku tengok ni adalah seram. Aduhai! Ini boleh gagalkan penyertaan aku. Sekiranya aku menulis cerita yang tak seram, boleh jadi karya aku nanti kena tendang atau pun aku memang tak dapat tulis dan siapkan pada waktu yang ditetapkan.
Sampai separuh cerita aku terdengar ada penonton menjerit. Aku pun ikut terkejut. Ceh! Takutlah tu kononnya. Nak buat suspen la tu. Sedangkan aku sedikitpun tak terkesan. Aku pun menoleh belah kanan aku di mana Mael sepatutnya ada. Tapi kelibat Mael tak ada.
"Eh? Tadi ada, mana pulak dia pergi".
Kemudian aku terdengar lagi jeritan dan suara itu semakin kuat. Lantas penonton yang penasaran dan curiga turut bangkit dari duduk dan meninjau keadaan. Salah seorang menjerit,
“Lari!”
Maka penonton yang lain ada yang lari keluar. Ada yang masih terpisat-pisat sendiri memikirkan apa yang berlaku sebenarnya, begitu juga aku.
Tiba-tiba aku terhidu bau busuk teramat busuk menusuk rongga. Hampir termuntah aku di situ. Aku nak lari tetapi kaki aku kaku di situ seolah-olah digam. Andrenalin dalam badan aku menjadi sangat pantas.
Keadaan jadi kelam kabut, masing-masing lari. Aku masih di situ berdiri dan tertolak oleh penonton lain. Sebaik aku tiba di sudut pawagam, aku nampak Mael, dia sedang bercangkung meratah sesuatu. Dia sedang melahap hati manusia malang itu.
Mael terus membaham mangsanya tanpa simpati. Dia seperti binatang buas yang sedang kelaparan. Tidak semena timbul satu rasa dalam diri aku. Aku rasa begitu seronok secara tiba-tiba. Seronok dan terasa puas melihat perilaku Mael itu.
Kaki ini terus melangkah dan mendekati Mael. Pawagam itu kosong, manusia lain telah lari menyelamatkan diri masing-masing dan aku masih di situ bersama Mael.
“Kau dah lama tak beri aku makan!” Jerkah Mael memandang tajam ke arah aku bersama bebola matanya yang kemerahan nampak bercahaya. Mulutnya bergelumang dengan darah. Pada tangannya masih terdapat cebisan daging. Dia terus menyuap ke mulut dan memakannya dengan begitu berselera sekali.
Aku terus memerhatinya. Maafkan aku kawan, izinkanlah dia menumpang jasadmu. Paling tidak aku telah menyelamatkan Mael dan gantikan dia dengan mangsa lain. Sekurang-kurangnya, saka ini tidak membunuh kawanku sendiri. Biarlah dia menumpang sementara. Aku tak nak kawan baik aku ini menjadi korban, dan biarlah saka yang kehausan darah ini mendapatkan korbannya di pawagam.
Oh, aku kena menulis cerita seram kan? Aku lupa.
Seraya, aku duduk di hadapan Mael. Telefon aku keluarkan, dan aku taip bibit-bibit idea yang terbit.
“Kau dah kenyang, cakap ya.” ujarku sambil menaip pantas.
‘Mael’ mendengus. Tulang rawang di sendi-sendi jari manusia malang itu dimamah ‘Mael’, bunyinya berkeriuk dahsyat.
Aku tersenyum dalam balam cahaya pawagam. Aku renung ‘Mael’ yang sedang mengorek perut jasad yang kaku itu dengan kukunya yang tiba-tiba memanjang, tajam. Usus digigitnya hingga putus sebelum dimamahnya dengan rakus.
Senang! Tengok ‘live’ macam ni lagi banyak idea.
Lepas ni, tema apa pula? Hospital? Kedai makan?
Jaga.
-TAMAT-
===============
Gambar : Kucing Kelabu
Karya adalah hak milik penulis dan Arkib Angker Negara.
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.
No comments:
Post a Comment