Thursday 30 November 2017

PENUNGGU SUNGAI KARANGAN - Iskandar Zulfaqar


PENUNGGU SUNGAI KARANGAN
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

“Kau jangan lupa bawa umpan tu sekali, Din!”
Itu merupakan peringatan aku yang ketiga kepada Din, seorang rakan baik aku yang memang pelupa. Perlu dipesan berulang kali untuk memastikan dia ingat akan sesuatu perkara. Pernah sekali Din terlupa membawa assignment untuk dihantar kepada pensyarah sedangkan malam tersebut dia bertungkus-lumus menyiapkan assignment tersebut. Setelah puas dimaki-hamun oleh pensyarah barulah dia dibenarkan pulang ke rumah sewa untuk mengambilnya.
Din telah tugaskan untuk membawa umpan keramat bagi melayan nafsu ikan baung iaitu perut ayam. Hafiz dan Shamsuri, dua orang lagi rakan serumahku ditugaskan untuk menyediakan peralatan memancing dan kelengkapan lain yang diperlukan.
Cerita tentang sambutan hangat yang diberikan oleh ikan baung kepada setiap pemancing di Sungai Karangan bukanlah benda baru didengari. Aku telah mendengar perkara ini semenjak umurku 17 tahun iaitu ketika aku di bangku sekolah menengah. Tetapi aku tidak berkesempatan untuk mencuba nasib di Sungai Karangan ini kerana aku tinggal di Selangor manakala Sungai Karangan ini terletak di Kedah.
Namun, sudah tertulis rezekiku untuk mencuba nasib di sini apabila aku mendapat tawaran belajar di sebuah IPTA yang kebetulan jaraknya dengan Sungai Karangan hanyalah beberapa kilometer. Malam ini merupakan kali pertama kami akan memancing di sungai lagenda yang penuh dengan ikan baung itu.
Di sebalik berita tentang sambutan hangat ikan baung itu, ada juga cerita yang kurang enak didengar. Urban Legend di sungai itu ialah setiap pemancing yang mencuba nasib di situ dan membawa organ dalaman haiwan akan dikacau oleh ‘penunggu’ di situ. Ramai yang pernah diganggu oleh penunggu tersebut dan mereka selalu menasihati pemancing lain agar tidak menggunakan umpan daripada organ dalaman haiwan.
Pensyarah aku sendiri menceritakan pengalaman beliau ketika diganggu ‘benda’ itu. Sama seperti kami, dia turut membawa umpan perut ayam. Untuk pengetahuan anda yang bukan kaki pancing, ikan baung sangat tertarik dengan perut ayam kerana aroma bau hanyirnya yang menyelerakan mereka. Namun, pada malam itu, pensyarah aku ini tunggu punya tunggu, tiada seekor pun baung yang mengena.
“Kenapa tiada ikan ni, ada hantu makan ikan eh? Ha ha.”
Pensyarah aku sengaja mengatakan begitu kerana dia menyangka lawaknya itu tiada membawa kesan apa-apa tetapi nasib malang terus menimpanya. Sebaik kata-katanya itu terpacul keluar daripada mulutnya, dia terus terbau sesuatu yang sangat busuk dan memualkan. Dia menyangka bau itu datang daripada umpan perut ayam yang dibawa. Oleh sebab itulah dia hanya membiarkan saja. Namun, semakin lama bau itu semakin menusuk ke dalam rongganya sehingga dia tidak mampu bertahan lagi.
Pensyarah aku terus meluahkan segala isi perutnya. Kemudian dia menoleh ke belakang. Ketika itulah dia terlihat seorang perempuan berambut panjang menutupi muka dengan keadaan yang amat mengerikan. Cuba anda bayangkan seorang perempuan di tengah-tengah perutnya ada lubang besar dan dari lubang itu terjuntai keluar ususnya yang dipenuhi ulat mengerumuni usus tersebut.
Kaku terus kedua-dua belah kaki pensyarah aku dan dia tidak terdaya membuat apa-apa. Dia hanya mampu membaca beberapa surah daripada Al-Quran dan dengan itulah dia dapat bergerak dan seterusnya lari meninggalkan tempat itu. Sejak itu, dia tidak berani menjejakkan kaki ke Sungai Karangan lagi.
Begitulah mengikut cerita pensyarahku. Sejak itu jugalah ramai yang tidak lagi berani untuk memancing di situ termasuklah ketiga-tiga orang rakan serumahku ini. Akan tetapi setelah dipaksa oleh aku, mereka terpaksa juga ikut.
Untuk pengetahuan, rumah sewa yang kami diami itu merupakan rumah milik arwah nenek saudara aku yang kini dijaga oleh anaknya. Oleh sebab itulah aku dapat harga murah dan semua rakan serumahku menghormati aku dan menurut saja keputusanku kerana disebabkan akulah mereka dapat rumah sewa yang harga murah. Jahat juga aku!
Setelah semua selesai menyediakan kelengkapan memancing, kami pun segera bertolak ke Sungai Karangan. Sepanjang dalam perjalanan, kami semua hanya mendiamkan diri. Aku tahu rakan-rakan aku semua tak sedap hati termasuklah aku. Entah kenapa aku rasa macam tak seronok untuk memancing pada malam ini. Sebelum ini jika diajak memancing, semua benda akan aku ketepikan.
“Aku takutlah! Kau serius ke ni? Aku tak sedap hatilah.” Shamsuri bersuara.
“Betul tu. Kau dah dengar kan pensyarah kita cerita pengalaman dia. Takkan kau nak teruskan jugak.” Hafiz pula menyokong.
“Aku pun takut ni. Kenapa kau berani sangat eh?” Din turut bersuara menzahirkan perasaannya.
Aku hanya terdiam dan tersenyum. Kelakar aku melihat gelagat mereka yang penakut belaka. Aku tak salahkan mereka. Perasaan takut itu ada pada setiap diri manusia yang waras.
“Jangan risau. Aku ada. Ha ha! Hey come on lah! Korang semua dah tua lah. Kita dah berumur 20 lebih. Takkan nak takut hantu lagi. Kalau budak-budak aku percayalah takut hantu. Kau takut perempuan perut berlubang tu kan? Aku nak jumpa dia jap lagi. Aku nak jahit perut dia,” kataku dengan angkuh.
“Kurang ajarlah mulut kau.” Din terus memarahiku.
Tiba-tiba sahaja aku merasakan kereta yang aku pandu semakin perlahan dan terus perlahan sehingga akhirnya terberhenti.
“Kenapa pulak ni? Tadi elok je aku check. Sham! Pergi check jap depan jap.” Aku mengarahkan Sham untuk turun.
“Aku taknak. aku takut. Kau pergilah!” Sham mendesak untuk membantah arahan aku.
“Korang semua ni penakut lah. Biar aku sendiri turun tengok”
Aku terus keluar daripada kereta dan memeriksa keadaan kereta tersebut. Air enjin, bateri, temperature semua dalam keadaan baik. Hairan betul aku mengapa tiba-tiba sahaja kereta jadi terlalu berat dan perlahan. Aku pun terus masuk semula ke dalam kereta.
“Aku tahu kau ada kat sini kan. Jangan kacau kami. Kami cuma nak pergi memancing,” kataku
Aku seterusnya melaungkan azan sekuat hati dan setelah dilaungkan azan, barulah kereta dapat bergerak seperti biasa. Belum sampai ke destinasi pun, kami sudah diganggu. Mungkin ‘benda’ itu tak nak aku pergi sana kot. Takut kat akulah tu!
Kami akhirnya tiba di Sungai Karangan itu. Rupa-rupanya untuk sampai ke gigi sungai, kami perlu menyelusuri pohon lalang yang sangat tinggi. Setelah berjaya meredah akhirnya kami berjaya tiba. Patutlah ada benda pelik-pelik. Memang semak betul tempat ni.
Kami memancing seperti biasa. Kami turut menerima nasib yang sama seperti yang diceritakan oleh pensyarah. Tiada seekor pun ikan yang sudi mendekati umpan kami walaupun kedengaran banyak ikan naik ke permukaan air untuk mengambil oksigen.
“Ha sudah! Mesti benda ni tak bagi kita pancing kat sini,” kataku dalam keadaan ingin melawak.
“Aku cili mulut kau baru tahu. Boleh tak jangan nak merapu sangat?” Kata Hafiz resah.
Tiba-tiba kami terbau sesuatu yang sangat busuk. Bau hanyir yang teramat. Korang cuba bayangkan bau uri orang bersalin yang dah lama terbiar. Lebih kurang macam itulah baunya.
Aku pun terus menoleh ke belakang kerana menurut cerita pensyarahku, ‘benda’ itu akan berada di belakang tetapi malangnya tiada. Kurang ajar betul! Nak main sorok-sorok dengan aku ke apa.
Secara tiba-tiba Din menjerit. Jeritannya sangat kuat sehingga menyebabkan aku menutup telinga. Dia juga menunjukkan ke arah sungai. Kami pun terus mengalihkan pandangan ke arah sungai itu.
Di situlah kami nampak lembaga mirip seperti yang dijelaskan oleh pensyarah kami dalam ceritanya. Tidak kelihatan muka kerana ditutupi rambut yang panjang, perut berlubang dan usus terburai dipenuhi ulat. Memang memualkan. Geli sungguh aku tengok.
Din sudah terduduk kerana terlalu takut. Sham dan Hafiz pula berpelukan kerana ketakutan yang teramat. Aku tergelak seketika melihat telatah mereka. Tidak ubah seperti geng kunyit yang tular di media sosial belakangan ini.
Lembaga itu pula semakin lama semakin mendekati kami. Lembaga itu mampu berjalan di atas permukaan air dengan kadar kelajuan yang amat tinggi. Hanya dalam beberapa saat dia sudah hampir dengan kami.
Semakin dekat, hilai tawanya semakin kuat. Masa itu, berdiri seluruh bulu roma aku. Terasa kakiku menggeletar. Bunyi hilai tawa itu sangat menyeramkan. Sham dan Hafiz pula makin rapat pelukan mereka, manakala Din sudah pun pengsan. Din punya tahap penakut tu sama level dengan perempuan. Sekurang-kurangnya perempuan jerit je bila nampak hantu tapi Din sampai pengsan.
“Jangan risau semua. Biar aku uruskan dia.” Aku cuba menenangkan keadaan walaupun jauh di dalam hatiku, aku cuak sebenarnya.
Aku terus bertenang seperti yang selalu diajarkan oleh Tok Cha, guruku yang berbangsa Siam dalam bidang paranormal. Aku mengangkat tangan kanan sambil membaca beberapa patah mentera seperti yang diajarkan oleh Tok Cha.
Ketika itulah aku menyeru Vadaram, jin yang menyerupai buaya putih yang menjadi temanku sejak sekian lama. Pergerakan lembaga hodoh dan busuk yang semakin mendekati kami itu tiba-tiba terhenti. Dia seterusnya menjerit kesakitan menahan azab digigit oleh Vadaram. Kakinya sudah digigit erat Vadaram.
Bibirku terus terkumat-kamit membacakan mantera yang diajar. Vadaram pula melibaskan ekornya ke arah makhluk itu sehinggalah dia terjatuh. Tanpa belas kasihan, Vadaram terus membaham leher makhluk itu dengan kuat.
Darah merah menghiasi sungai tersebut. Suasana malam terus meriah dengan jeritan kesakitan makhluk itu. Akhirnya makhluk itu mati dan kepalanya telah terpenggal daripada badan hasil gigitan kuat Vadaram.
Aku mengucapkan terima kasih kepada Vadaram sebelum ia berlalu pergi. Keadaan selepas itu berubah seratus peratus. Ikan tidak henti-henti memakan umpan kami. Malam itu kami membawa pulang berkilo-kilo ikan baung.
Malam itu juga penunggu Sungai Karangan tumpas di tangan Vadaram. Jadi, selepas ini pemancing tidak perlu takut lagi untuk memancing di sini kerana urban legend tentang perempuan perut berlubang di sungai ini sudah berakhir.
Tapi tunggu dulu. Bukankah jika sesuatu pihak membunuh pihak lain bermaksud tempat itu menjadi milik pihak yang membunuh tersebut. Ya! Hantu perempuan perut berlubang sudah tiada tetapi jin merupa buaya putih menjadi penghuni baru sungai itu!
-TAMAT-
Karya: Iskandar Zulfaqar
Suntingan Karya & Gambar: DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

INDAH 2 - Daliana Zainal Abidin


INDAH 2: FATIMAH
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Link bagi INDAH 1
Indah puas ibunya menjadi galang ganti di atas perjanjian bersama makhluk itu. Meskipun Indah dipanggil untuk sesi soal siasat kes kematian ibunya, Indah tidak gentar. Tenang bagaikan tiada apa-apa yang terjadi.
Indah terasa bebas daripada kongkongan dan penderaan ibunya itu. Selama ini dia tidak pernah dilayan dengan baik. Acapkali tubuh badannya menjadi pelantar libasan. Penyangkut baju, batang penyapu dan dilempar pelbagai barangan menjadi santapan amarah ibunya yang bernama Fatimah itu.
Indah menjadi pendendam dan terpaksa akur dengan rentak ibunya. Fatimah tidak sedar segala perbuatannya dihitung satu persatu oleh Indah. Dia tidak pernah menyayangi Indah.
Indah bukanlah anak sah taraf. Hadirnya Indah bukan dari kerelaan Fatimah tetapi dia diperkosa oleh bapa saudara sendiri. Atas insiden itu, bapa saudara Fatimah meringkuk di dalam penjara. Fatimah pula membawa diri dari kampung asalnya.
***
Keperitan dan kesusahan yang Fatimah alami, dia tanggung sendiri. Tiada siapa yang sudi membantu dirinya. Sudahlah anak yatim, piatu pula. Tiada ada adik beradik yang lain. Ibunya meninggal dunia sebaik sahaja Fatimah dilahirkan. Mati beranak sulung. Ayahnya kemurungan yang berpanjangan dan telah menggantung diri.
Akhirnya Fatimah dibela oleh neneknya sebelah ibunya. Adik ibunya yakni bapa saudaranya sendiri membuat onar. Bertahun dirinya dicabul dan apabila dia meningkat dewasa, dirogol pula oleh manusia durjana itu.
Neneknya sendiri membuat laporan polis. Akibat tidak tahan dicaci dan dihina, Fatimah keluar dari kampung dengan perut yang sudah terisi. Permulaan agak payah buat Fatimah mendapat pekerjaan kerana kondisinya ketika itu. Mujur dia diterima bekerja di dobi tempat dia berkhidmat sekarang.
Berbulan lamanya Fatimah hidup bersendirian. Dia mengalami kemurungan dan depresi yang teruk. Fatimah hampir-hampir membunuh kandungannya. Kandungan yang tidak direlai. Baginya kandungan ini membawa bala dalam hidup. Selama sembilan bulan Fatimah berperang dengan perasaan benci dan dendam yang senantiasa berlegar.
Cukup sembilan bulan lima hari, Fatimah melahirkan seorang bayi perempuan bersendirian di rumah. Majikannya yang bernama Muzammir, kelam kabut membantu sekadar yang mampu.
Puas Muzammir memujuk supaya menerima lamarannya tetapi Fatimah enggan. Majikannya duda anak satu itu sudi mengambil Fatimah sebagai pengganti arwah isterinya. Tetapi Fatimah tidak mahu termakan budi.
“Fatimah, awak bertahan. Saya sudah hubungi ambulan. Kondisi awak agak teruk ni.”
Muzammir yang kebetulan datang ke rumah Fatimah, jatuh kasihan dengan Fatimah yang tidak larat untuk membeli barang keperluan. Makan minum sekadar apa yang ada. Muzammir membeli sedikit barang dapur dan ingin diserahkan kepada Fatimah.
Sesampai sahaja depan pintu, Muzammir terdengar Fatimah menjerit mengerang kesakitan. Disusuli pula dengan tangisan bayi yang kuat. Muzammir merempuh sahaja pintu yang tidak berkunci.
Dia berlari mencari Fatimah. Menuju ke bilik belakang, Fatimah berada di situ. Darah melimpah di atas katil. Keadaan Fatimah yang darurat, aurat seorang wanita terbias. Cepat-cepat Muzammir mengambil selimut menutup kaki Fatimah.
Bayi perempuan itu Muzammir kendong dan bersihkan. Ralit Muzammir membelek bayi itu. Cantik warna anak matanya.
Usai dibersihkan, Muzammir membalut bayi itu dengan kain tuala yang bersih. Tidak lama kemudian ambulans sampai. Fatimah hampir tidak sedarkan diri dan perlu dihantar secepat mungkin ke hospital.
“Tuan... saya... saya tak nak anak ni. Boleh tuan serahkan di mana-mana rumah anak yatim atau kebajikan masyarakat?”
Fatimah bersuara lemah.
“Fatimah, nanti kita bincang kemudian ya.”
Ujar Muzammir seakan memujuk.
***
“Anak sial! Kenapa kau tak mampus sahaja!”
Fatimah memaki hamun bayi yang tidak berdosa itu. Menjerit-jerit si kecil meminta susu. Fatimah biarkan sahaja dan ada ketikanya, Fatimah cuba mencekik anaknya sendiri.
‘Fatimah!’
Satu suara menjerit ke arahnya. Fatimah berpaling mencari suara itu. Sudah agak lama suara itu tidak kedengaran. Tanpa Fatimah sedari, semenjak bayi itu berada dalam kandungannya, makhluk itu sudah mula mendampinginya. Berdamping kerana zuriat yang hidup di dalam rahimnya.
Tuan baharunya!
Fatimah mengigil ketakutan apabila makhluk itu muncul di sisi bayinya. Fatimah perlahan-lahan menjauhi bayinya itu. Dia tidak menyangka bahawa makhluk itu tidak pernah jauh dan senantiasa mengekorinya.
Apabila Fatimah cuba menggugurkan kandungannya, makhluk itu pasti akan muncul menghalang dengan menakut-nakutkan Fatimah.
Disebabkan itu Fatimah menyuruh majikannya supaya anak itu dihantar ke rumah anak-anak yatim atau kebajikan masyarakat. Makhluk pendamping itu selalu menganggu tidur malamnya. Dia selalu terasa usapan lembut di perutnya hampir setiap malam. Lebih-lebih lagi apabila kandungannya semakin sarat.
Pernah sekali dua mata Fatimah terbeliak apabila ada tapak tangan bayi muncul di perutnya bagikan bertepuk tampar dengan seseorang. Fatimah semakin tertekan dan kemurungan. Ada sahaja kelibat yang muncul di dalam rumahnya.
***
“Fatimah, kamu kena kuat dan tabah dalam mengharungi hidup ini. Jikalau awak sudi, biarlah anak awak itu jadi anak angkat saya juga. Kebetulan anak saya tiada kawan, isteri saya juga sudah lama meninggal dunia. Saya ajak awak bernikah, awak enggan. Saya tak mahu memaksa awak tentang perkara ini.”
Fatimah sekadar mendengar kata-kata majikannya. Indah Zulaikha sudah pun berumur hampir 12 bulan. Nama Indah diilhamkan oleh Muzammir apabila dia yang menolong Fatimah menguruskan pendaftaran kelahiran bayi kecil itu.
Fatimah keseorangan dan Muzammir tidak mengetahui asal usulnya. Fatimah terlalu berahsia perihal dirinya. Tiada seorang kenalan Fatimah yang Muzammir ketahui.
“Saya serahkan sahaja apa yang Encik Muzammir nak buat. Saya tak nak ambil tahu. Janji budak ni jangan dekat dengan saya.”
Muzammir menggeleng, begitu keras hati Fatimah untuk tidak menerima kehadiran Indah Zulaikha. Akhirnya Muzammir mengheret juga Fatimah dalam urusan pengambilan anak angkat. Mujur segalanya baik-baik sahaja meskipun pada permulaannya terpaksa berhadapan dengan beberapa masalah.
***
Indah sudah meningkat dewasa, tidur malamnya senantiasa diperhatikan oleh makhluk itu. Belum cukup matang, maka dia tidak dapat muncul secara terang di hadapan Indah. Itu perjanjiannya dengan arwah datuk Indah.
Peralihan saka akan berlaku apabila keturunannya mengandungkan anak perempuan yang pertama. Indah merupakan cucu perempuan yang pertama dan tunggal.
Setiap kali Fatimah menguncikan Indah di dalam bilik stor kecil itu, ‘dia’ sering mendengar rintihan daripada Indah. ‘Dia’ tidak dapat menolong selagi Indah belum akil baligh. Ya, itulah makhluk yang setia menunggu tuannya.
Pernah sekali Indah dipukul bertalu-talu oleh Fatimah, ‘dia’ melemparkan barang-barang yang ada di dalam rumah tanda protes dengan perbuatan Fatimah. Tersedar akan perihal itu, Fatimah tidak lagi memukul Indah tetapi sebaliknya Indah dikurung di dalam stor sekiranya ada perkara yang menyakitkan hatinya.
“Ibu... kenapa ibu benci sangat dengan Indah?”
Itulah rintihan yang sering diluahkan oleh Indah. Dia tidak mengerti dan ibunya tidak pernah berkongsi rahsia. Pak Cik Muzammir selalu memujuk dirinya. Pak Cik kata ibunya tidak berapa sihat dan maafkanlah segala perilaku ibu. Indah menangis dan memberontak.
Dendamnya semakin lama semakin menebal dan kekal bersarang di dalam hati. Agak sukar untuk dia maafkan meskipun Fatimah itu merupakan ibu kandungnya.
Muzammir memeluk anak gadis yang tidak berdosa itu. Perilaku Muzammir menimbulkan cemburu di hati Kaisara, anak tunggal Muzammir. Ayahnya itu kalau pasal Indah, laju sahaja dia menolong. Mentang-mentang Indah itu anak angkat ayahnya.
Kaisara terasa dirinya tidak lagi disayangi seperti selalu. Maka Kaisara membenci Indah dan kehadirannya membuatkan keluarga Kaisara porak peranda. Sudahlah neneknya pergi dahulu, meninggal akibat sakit jantung. Hilanglah tempat Kaisara untuk bermanja.
Kaisara mendengus di dalam kereta. Dia tidak pernah menjejakkan kaki di rumah Indah.
“Indah! Indah! Indah! Itu sahaja yang ayah ungkapkan. Aku ini, ayah tak mengambil berat langsung! Padahal aku ini anak kandung ayah! Bukan si Indah bodoh tu!”
Skrettttt...
Cermin tingkap belakang tiba-tiba bagaikan di cakar sesuatu. Kaisara terkedu apabila melihat kesan cakaran terbias dan tiada sesiapa di situ. Kaisara menelefon ayahnya minta beredar dari rumah yang berpuaka ini.
Semenjak ayahnya mengambil Indah sebagai anak angkat, hidup Kaisra tidak keruan. Bagaikan ada yang memerhatinya dengan renungan yang tajam. Kaisara tidak betah menunggu lama-lama sendirian di dalam kereta.
Tidak lama kemudian, kelibat ayahnya muncul. Kaisara cepat-cepat melambai ayahnya supaya lekas pulang. Ada sesuatu yang menghantui rumah sewa milik ibu Indah ini.
***
Fatimah membuka juga bilik stor kecil itu meskipun sudah dilarang oleh Indah. Fatimah tertanya-tanya mengapa pagi ini Indah kelihatan sangat berlainan daripada sebelumnya. Wajahnya tampak lebih berseri dan tidak seperti selalu, pasti akan menangis sehingga bengkak matanya. Kini, Indah bukanlah lagi diri Indah yang lama.
Fatimah masuk ke dalam stor itu dan apabila lampu dipasangkan, alangkah terkejutnya Fatimah terlihat ada makhluk yang hitam tubuh badannya, seolah-olah sedang menunggu dirinya masuk ke bilik ini. Makhluk yang sudah lama Fatimah tidak nampak.
Fatimah ingin berlari keluar namun tiba-tiba pintu stor kecil itu tertutup dan terkunci. Pintu itu dikunci dari luar. Indah yang mengunci pintu stor itu. Rupanya Indah masih belum bergerak menuju ke sekolah.
“Jangan bunuh aku! Jangan bunuh aku!”
Makhluk itu semakin menghampiri. Kukunya yang tajam mencakar muka Fatimah tanpa belas kasihan. Fatimah menjerit kesakitan apabila diperlakukan sebegitu.
“Indah! Indah! Buka pintu ni! Anak tak guna!”
Fatimah masih berterusan menyakiti hati Indah meskipun dia terperangkap dalam bilik kecil itu. Tiada langsung ingin berubah. Pintu kecil itu dipukul bertalu-talu. Begitulah keadaan apabila Indah dikurungkan di situ pada sebelum ini.

Kemudian belakang Fatimah pula dicakar-cakar. Terkoyak kulit dan terkeluar isi dagingnya. Darah likat mula memancut di sekitar bilik stor itu. Dengan sisa tenaga yang masih ada, Fatimah cuba melawan namun itu hanya perkara sia-sia. Kekuatan Fatimah sebagai seorang wanita agak lemah dan terbatas.
“Pergi kau setan! Makhluk durjana! Kau khianat dengan aku! Aku ini dulu tuanmu!”
Fatimah meronta-ronta. Mahkluk itu ketawa sahaja. Fatimah bukan lagi tuannya apabila Indah sudah wujud dalam rahim Fatimah. Indah merupakan tuannya yang baharu. Perjanjian terbaharu termeterai sewaktu Indah sudah akil baligh.
Semakin lama pandangan Fatimah semakin kelam. Nyawanya sudah berada di hujung tanduk. Sekali libasan, nyawa Fatimah melayang. Kepala dan badan terputus dua.
‘Kau bukan tuan aku lagi!’
***
SEBELUM KEJADIAN
“Indah... seru aku Indah. Aku akan laksanakan apa sahaja permintaanmu. Kau sebut sahaja siapa mangsa yang harus aku kerjakan.”
Suara halus itu berbisik. Indah berhenti dari menangis. Dia ketakutan. Bisikan halus suara itu sering menemani lena malamnya. Dia tidak pernah tidur, senantiasa menjaga Indah meskipun Indah tidak sedar.
“Indah... serulah aku. Serulah aku. Aku akan temankan mu sampai akhir nafasmu.”
Begitulah pujukan yang sama sewaktu Fatimah masih muda remaja. Namun Fatimah tidak pernah mengambil endah. Buat tidak tahu akan kehadiran suara bisikan halus itu.
“Siapa kau! Pergi! Pergi! Jangan ganggu aku!” Indah menjerit. Makhluk itu sudah berada di hadapannya. Seorang wanita cantik. Bermata bundar dan berambut ikal mayang.
Itu hanyalah manifestasi di hadapan mata Indah sahaja. Sedangkan hakikatnya, makhluk itu hitam, matanya merah dengan kuku yang panjang dan mengerikan.
“Aku pendampingmu. Aku senantiasa berada di sisimu. Cuma sekarang baru aku dapat munculkan diri apabila kau sudah matang. Serulah aku jika kau perlukan pertolongan. Akan aku turuti tanpa bantah. Siapa yang ingin kau mahukan untuk aku tamatkan riwayatnya?”
Indah masih mengigil ketakutan. Dia tidak dapat berfikir dengan waras ketika ini. Lama dia diam sebegitu. Makhluk itu mula membelai wajah Indah. Pada saat wajahnya dibelai, Indah bagaikan terpukau dan terpesona. Indah mula tersenyum dan tidak ketakutan lagi. Indah membetulkan duduknya.
“Betul kau boleh tunaikan permintaan aku? Boleh ke aku percayakan kau? Kau tak takut Tuhan?”
Tiba-tiba entah dari mana keberanian Indah datang dan menyoal kebolehan makhluk itu.
“Ha ha ha... Engkau tidak percaya akan kemampuan aku? Katakan sahaja siapa yang ingin aku hapuskan, dalam sekelip mata akan aku laksana. Urusan aku dan Tuhan itu soal lain Indah.
Sekarang ini yang penting adalah permintaanmu. Aku tahu dendam amarahmu itu sudah bersarang sekian lama. Aku ni seorang yang setia, aku ini yang layak menjadi kawanmu berbanding mereka yang selalu menyakitimu. Ibumu, tidak pernah merelakan kehadiranmu. Untuk itu kau boleh terus bergantung denganku.”
Tidak putus-putus makhluk itu memujuk dan memperdayakan Indah. Jin dan syaitan tidak akan pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia. Lebih-lebih lagi syaitan, itu adalah permintaannya sewaktu dia dilaknat. Sebelum tibanya akhir zaman, syaitan akan kekal terus menyesatkan anak-anak Adam.
Hanya bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa serta menyerah kepada Allah SWT semata-mata, akan gagallah rancangan syaitan untuk memperdaya dan menyesatkan mereka. Beruntunglah bagi mereka yang benar-benar beriman kepada yang Maha Esa.
Indah, jiwanya rapuh dan senantiasa dirundung kecewa. Istilah kesedihan dan kemurungan menjadi satu watak sinonim dalam diri Indah.
“Kalau begitu, kau bunuh ibu ku! Dia antara manusia yang tidak pernah menyayangi aku. Dia manusia yang paling aku benci. Dendam aku masih bersisa!”
“Ha ha ha... bagus. Akan aku laksanakan hari ini. Kau dan aku akan bersatu, perjanjian kita harus dimeterai dengan darah dari jari manismu. Aku, kawanmu yang sejati, Indah.”
Indah tersenyum meleret. Jarinya disuakan pada makhluk tersebut untuk mengikat perjanjian mereka. Dia terdengar pintu stor kecil itu dibuka dari luar. Sudah pasti ibunya yang membuka.
Riwayat ibunya akan tamat sebentar nanti. Masih ada senarai nama yang menjadi siulan Indah.
Berjaga-jagalah kepada mereka yang pernah menyakiti hati Indah.
-TAMAT-
Karya : Daliana Zainal Abidin
Suntingan Karya & Gambar : DeeFen DF

Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke e-mel aanrc2017@gmail.com

Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.

JAM 3 PAGI DI PONTIAN - TheFlash


Jam 3 Pagi Di Pontian.
Karya Khas AANRC TheFlash 555

=========================
Ini adalah cerita dari kawan saya yang merupakan anak jati Pontian. Sedikit intro tentang kes ini, kawan saya, Mamat terpaksa menghantar motorsikal milik adiknya dari Bandar Pontian ke rumah adik dia. Kisahnya motorsikal adik dia ini rosak dekat bandar dan bila siap dibaik pulih, adik dia letak motosikal dekat salah sebuah kedai mamak di Pontian ini.
Kebetulan, malam tu Mamat memang nak melepak tengok Bola Sepak Inggeris di kedai mamak tempat adik dia letakkan motorsikal itu. Berikut adalah kisah beliau, dan saya nak maklumkan, semua nama tempat di bawah adalah benar.
Oh ye. Pt. di dalam cerita ni membawa maksud Parit.
Johor banyak parit.
100% kisah benar.
-------------------------------------------

“Rahim, mana kunci Nouvo adik aku eh?” Tanya Mat pada Rahim, juruwang merangkap pelayan Restoran Aliff Pontian.
Hubungan Mamat dengan Rahim ini kira agak rapat juga. Lepas SPM, Mamat selalu melepak tepi tambak laut, memancing sampai 3 ke 4 pagi dan selalunya berakhir minum teh waktu subuh di Restoran Aliff ni. Rahim menganggukkan kepalanya dan hulur anak kunci pada Mamat.
“Aney, itu skuter parking belakang tempat cuci pinggan tau...” ujar Rahim dan Mamat membalas dengan senyuman.
Jam 12 tengah malam, game bola Liga Inggeris dah mula. Mamat merupakan penyokong tegar Manchester United. Jam 2.30 pagi 
baru game selesai.Ternyata puas hati Mamat malam itu,mana tidaknya, pasukan bola kegemarannya menang besar malam ni. Sambil melepak makan dan menghisap rokok, Mamat teringat perihal motorsikal Nouvo adiknya.

Dia mengajak rakannya, Azli menemaninya mengambil motor adiknya. Mengikut perancangan Mamat, dia akan bawa balik motorsikal adik dia ke Kampung Melayu Raya, rumah adik dan merangkap rumah Mak mereka. Mamat duduk di Pekan Nenas kalau korang nak tahu.
"Mengapa skuter adik kau Mat?” Tanya Azli semasa Mamat nak ke belakang kedai untuk mengambil motorsikal.
“Skuter apa lagi masalahnya, belting putus, adik aku tu tahu isi minyak je.” Ujar Mamat.
Jam menghampiri jam 3 pagi, mereka berdua masih lagi berbual. Selepas habis sebatang rokok, Mat dan Azli berjanji akan balik. Azli rumahnya di kawasan Hospital Pontian sahaja.
Ikut hati, malas Mamat nak ikut kehendak adik dia nak bawak balik motorsikal ke rumah Mak, padahal boleh je tunggu esok pagi. Tapi bila teringat baiknya adik dia melayan kerenah semasa Mamat mintak tolong buat resume untuk kerja kerajaan ( sampai dapat pun ) terus Mamat rasa terhutang budi. Lagipun apa lah sangat, bawa balik motorsikal, dapat jumpa Mak juga lagipun esok Sabtu,cuti.
Mamat menghidupkan motor skuter Nouvo. Azli dah lama berlalu pergi. Cantik.Tangki minyak penuh! Getus Mamat dalam hati apabila melihat meter minyak mencecah F. Bukan apa, senang, pulas sahaja hingga sampai destinasi!
Bismillahirahmanirohim, ujar Mamat dalam hati. Dia memulakan perjalanan. Jam di tangan menunjukkan sudah 3.13 pagi.
Dari simpang 4 lampu isyarat di restoran makanan segera McDonalds Pontian, Mamat teruskan perjalanan, melalui Pasaraya Econsave dan juga KFC 24jam Pontian.
Teringat dalam hati beliau nak singgah di Restoran Bulan, terletak sebelum simpang masuk ke kiri (menghala Balai Polis Baru). Tapi hampa, dah tutup! Dalam hati kempunan nak menjamah Chicken Chop RM5.
Menyusuri Jalan Sekolah Arab, Mamat tiba di lampu isyarat Pejabat Kadi dan Mahkamah Syariah Pontian dan di kanannya SMK Penggawa Barat.
Beliau membelok ke kanan melalui Pt Mesjid.
Vrooommm! Throttle di pulas semaksimum.100km/j.Jalan sememangnya lengang dan sunyi.

Dalam hati Mamat,dia bermonolog.
“Pt Selangor ke atau Pt Patah eh nak lalu ni?"
(ini adalah pilihan jalan nak ke Kampung Mamat. Kedua-duanya jalan kampung).

Mamat jalan terus, tak jadi ikut Pt Patah. Mamat ikut jalan Pt Selangor/Pt Kasim. Jalan ke Pt Selangor via Pt Kassim, ada satu tapak perkuburan dan ianya urban legend di kalangan orang Pontian.
Mamat ni hati kering, tapi malam tu hatinya jadi tak sedap. Sedang asyik Mamat memecut,tiba-tiba cahaya lampu motornya menyuluh suatu objek atas jalan!
"Allahuakbar!"Mamat menjerit. Sempat Mamat mengelak! Ular sawa sebesar peha elok saja berlingkar di atas jalan!
Mamat berhentikan motosikalnya di tepi jalan.Terkejut! Dalam hatinya,kalau dia langgar, mahu terbabas ke kebun pisang sebelah jalan ni.
Hati Mamat tiba tiba jadi tak sedap. Dia menekan butang lampu di jam tangannya. 3:12am.
Tiba tiba dia berasa merinding, baru perasan dia betul-betul di depan pintu masuk kubur.
“Ah, u-turn la!” Getusnya di dalam hati.
Masa Mamat u-turn, Mamat perasan yang ular sawa tadi dah takda! Dalam hati, dah ke dalam semak la tu.
Cepat cepat dia pulas minyak! Vrooommmm!!
Sempat Mamat periksa cermin pandang sisi dan kelihatan ada objek putih sedang melayang-layang di tengah jalan tempat ular sawa tadi kelihatan!

Cepat-cepat Mamat menoleh! Mengucap panjang Mamat tatkala melihat ada lembaga sedang melayang-layang sambil kelihatan ular sawa di lehernya (kawasan tu gelap, tapi imbasan lampu jalan samar-samar menyuluh ruang).
Tanpa membuang masa, Mamat memulas sekuat hati pendikit minyak. 120km/jin. Bergegar skuter adiknya tika itu.
Sampai di simpang Pt Patah, terus Mamat belok ke kanan! Vrommmm! Jalan yang kecik tu Mamat bawak 100km/j (jalan Pt Patah ini secara harfiahnya jalan kecil, kalau kereta bertembung dua hala, memang sebuah kena ke tepi).
Kebetulan separuh jalan Pt Patah tu sesang diturap, jadinya jalan nak keluar dari Pt Patah itu agak berbatu. Mamat memperlahankan motornya.
Di Pt Patah ada selekoh kecil. Masa Mamat tiba di selekoh tu, agak gelap, walau ada lampu sebelum selekoh (biasa la, transisi mata kita dari cerah ke gelap, dia akan ambil masa nak laras, tambahan lagi Mamat ni memakai cermin mata).
Sreettt!!
Mamat memberhentikan motor nya.Di hadapan mamat ada lembaga tadi. Duduk bersila di atas jalan dan cahaya lampu motorsikal Mamat tepat ke wajah lembaga itu.
‘Seperti tengkorak di pakaikan rambut yang panjang’ (ini ulasan Mat pada saya tentang rupa makhluk tersebut).
Badan Mamat berasa panas dan seakan di serang strok! Rasa macam nak pengsan, rasa macam nak kejang pun ada.
Wooooosssshhhhhh!
Tiba-tiba ada lintasan angin dari atas kepala Mamat! Mulut Mamat dah terkumat-kamit membaca ayat Kursi.
Dari satu, menjadi tiga! Ya. Makhluk tu ada tiga ekor. Lagi dua ekor terbang dan betul-betul duduk di sebelah yang pertama. Elok bersila di depan Mamat (berjarak 20 meter).
“Allahuakbar, Ya Allah, Ya Rahim!” Mamat tak putus-putus bertempik. Nak menghilangkan takut!
Sepantas kilat, bila Mamat tengok makhluk tu seakan terapung dari silanya. Melihat situasi itu, terus Mamat pulas pendikit minyak!
Mata Mamat dipejamkan! Sedar-sedar je dah tiba di simpang keluar. Mamat terus membelok keras ke kanan.
Sekarang dia menghala ke Pt Kudus.Di simpang tadi ada masjid. Dalam hati Mamat nak tidur je dalam masjid tu, tapi macam takda penyudahnya nanti.
Dengan keadaan yang hampir nak pengsan,Mamat gagahkan diri memulas pendikit menuju ke persimpangan Pt Kudus/Pt Selangor. Hatinya tak tenteram. Mulutnya kejap-kejap baca ayat Qursi, sesekali dia azan.
Mamat berhati-hati menyelusuri jalan Pt Basilam. Keadaan sekeliling gelap.Kereta langsung tiada!
Jam sudah 3.30 pagi.Dia meneruskan perjalanan dengan hati yang risau.
Bammmm!
Dia terlanggar sesuatu! Natijahnya, dia terbabas di kiri jalan. Motosikalnya terperosok di tepi. Mujur dia sempat melompat dari skuternya.
Mamat bingkas bangun dan mendapatkan motosikalnya. Dia kini perasan, di hadapannya ada ladang jagung yang sedang tinggi menaik.Timbul rasa seram.
Dia belari mendapatkan skuternya. Lega hatinya bila skuter adiknya itu dapat di hidupkan.
Tiba-tiba dia merasakan belakang badannya panas membahang.Dia memperlahankan motorsikalnya dan menoleh belakang.Makhluk tadi betul betul di belakangnya!
'Huuurghhhh' Makhluk syaitan itu mendengus!
Automatik, tindakan luar kawalan, tangan Mamat memulas pendikit! Melompat skuter adiknya keluar dari bahu jalan! Kedengaran bunyi ketawa dari arah belakang.
Mamat azan sekuat hati!
Untuk pengetahuan, kawasan Pt Basilam ada 2 selekoh tajam. Selekoh pertama ok. Selekoh kedua jembalang tu dah ada di bahu jalan!Melambai lambai ke arah Mamat!!
(kata Mamat, ketika ni dia betul-betul dah kaget dan takut, sampai terkencing dalam seluar!)

Motosikal dipulas sekuat hati!
Woooosshhh!
Makhluk itu mengekori Mamat dari arah tepi. (Bayangkan, korang bawak motor. Ada hantu duk terbang kat sebelah!)
“Allah, Allah!” Tak putus-putus mulut Mamat menyebut nama Tuhan Yang Esa.
'HAHAHAHAHAHAHAAH' Di selang-seli dengan ketawa makhluk tu! Seakan memperlekehkan tindakan Mamat.
Tiba di hujung simpang Pt Basilam, kalau belok ke kiri menuju Pt Sikom. Kanan ke Seri Menanti/Melayu Raya!
“Ah..lagi 5 minit je ni!” Getus Mamat dalam hati!
Dia membelok ke kanan dan terus memecut laju.
Kedengaran bunyi telefon dari dalam beg silangnya. Itu adalah bunyi deringan khas untuk keluarganya. Mamat syak itu mesti adik dia!
Mamat kerling jam, rupanya sudah 4.28am! Patutlah adiknya telefon.
Tiba di pintu masuk Kampung Melayu Raya, ada jalan mendaki bukit selepas Pasaraya Family Store.
Sebaik sampai di atas bukit, ada objek terbang dari arah depan meluru ke arah Mamat !!
Sempat Mamat menunduk. Mamat tengok belakang. Takda apa! Yang ada hanya ketawa!
Mamat memacu laju skuternya. Lepas pintu gerbang, Mamat membelok kanan.
Masa nak masuk ke simpang rumah, memang dia nampak benda tu bertenggek di tepi bahu jalan.
3 ekor. Elok saja bercangkung tepi parit tu!

Sampai di hadapan rumah, tanpa membuang masa terus Mamat tarik kunci dan belum sempat dia bagi salam adiknya dah membuka pintu!
“Arghhh!” Terkejut Mamat disapa adiknya macam tu!
“Uishh,lambatnya! Lencong ke mana tu?” Soal adiknya.
Mamat tak cakap banyak, terus meluru masuk menuju bilik air. Usai mandi, Mamat tak boleh tidur sampai ke subuh.
Esoknya Mamat bercerita hal ni kepada adiknya. Itupun sebab adik dia bertanya kenapa skuternya berlumpur.
Bagi Mamat, ini adalah pengalaman seram pertama yang dia hadapi. Entah kenapa sudah bertahun dia guna jalan yang sama, malam tadi dia terkena gangguan sebegitu. Selepas kejadian itu, dia tak melepak kedai mamak nak tengok bola dah!
TAMAT
Editor Karya: Kamenrider & DeeFen DF

Wednesday 29 November 2017

JIRANKU, SEBELAH RUMAH! - Cik Edot


Nukilan : Dee Edot
JIRANKU,SEBELAH RUMAH!
==================================

Tahun 1978
Lokasi:Kampung Ulah.

"Jariz..ini aku titipkan mantera buat kau. Sesudah kau temukan busut jantan,maka beraksilah kau memuja dan memanggilnya. Lakukan ritual ini selama 3 hari berturut-turut. Malam terakhir harus jatuh pada malam jumaat keliwon. Malam itu juga merupakan malam penentunya. Jika langkah kanan, kau pasti berhasil."
"Wak,bagaimana aku hendak tahu yang aku berjaya mendapatkan 'dia'?"
"Begini aturannya Jariz. Jika kau terlihat akan sosok yang berupa kepulan asap berlegar-legar diatas dulang persembahanmu, maka 'dia' sudah benar-benar hadir. Ketika itu, kau harus cepatan menzahirkan niatmu untuk memilikinya berserta perjanjian mahar berupakan santapan.
"Andai sudah lunas akad antara kalian, kau akan merasakan angin sedingin salju yang menyerap masuk ke jari kakimu. Usai rasa itu hilang dan meresap penuh ke batang tubuhmu, maka termaterilah satu janji pemilikan antara khadam dan tuan."
"Baik,Wak...Aku faham." Sambil kepalanya mengangguk perlahan
********
3 hari berlalu..

Dulang tembaga yang berisi telur ayam hitam, 7 batang jarum,sepinggan pulut kuning,tepak berisi kemenyan dan sebatang rokok lenteng sudah terhampar kemas diatas tanah. Bugar pandangan memerhati busut jantan yang berdiri utuh di hadapan mata. Perlahan-lahan setanggi yang sudah siap dibakar, dicucuk terpacak di hulu busut.
Rasa berkobar dan debar berperang di pundak hati. Segala tunjuk ajar Wak Joko berlegar - legar di minda. Ramuan pemujaan sudah lengkap tersedia. Maka, hanya tinggal mantera sahaja untuk diseru. Niat yang sudah terpasak perlu diteruskan. Jembalang Si Hantu Raya, pasti menjadi khadam!
"Wahai jembalang Angin,
Jembalang si hantu royo,
Aku te'ko memujomu,
Asal usulmu aku ngerti,
Te'kolah menyelinap nang jero tubuhku,
Agar awakmu,awakku menjaddi satu...."
....................................................................

SALAM PERKENALAN
Tahun 1983
Lokasi:Kampung Silumai
Aku dalam ini adalah Kak Mun.

Sedang ralit aku menyidai jemuran di ampaian,tiba-tiba aku disapa dari arah belakang.
"Assalammualaikum Kak.Saya Ratna. Jiran baru rumah sebelah." Tangan yang dihulur ku sambut mesra.Cantik orangnya, namun ulahnya sedikit pucat dan pipinya cengkung ke dalam.
"Waalaikumussalam.Panggil sahaja kakak,kak Mun. Maaf Ratna,akak baru pulang. Seminggu di kampung.Bila kamu pindah? Kamu menyewa sendirian?"
"Ohh...Patutlah gelap sahaja rumah akak. Sudah 5 hari saya pindah masuk. Saya menyewa berdua bersama suami. Saya belum punya zuriat kak."
"Tidak mengapa Ratna.Semua itu urusan Allah.Kalau Ratna perlukan apa-apa, beritahu Kak Mun ya." Aku senyum.
Malam harinya...
Usai makan malam,aku menyiapkan tempat tidur buat anak-anakku sebelum aku dan suamiku juga siap-siap untuk beradu.
"Abang,Kita dah punya jiran baru. Suami isteri penyewanya.Saya sudah kenal-kenal dengan si isteri. Namanya Ratna, bang. Suaminya sahaja belum saya jumpa. Esok,abang kenal-kenal lah pula dengan mereka ya.Kasihan bang, mereka belum punya anak.Nanti Mun mahu ajak along,angah dan alang ke rumah mereka. Biar bersuai kenal, mana tahu lekat."
"Insyaallah.Tapi jangan awak berlama-lama Mun, takut-takut mengganggu pula mereka beristirehat. Anak-anak kita tengah melasak."
"Baiklah bang."
*********
Keesokan harinya...

"Tukk!!Tukk!!"
"Assalammualaikum.Ratna...ohh Ratna.."
Kedengaran selakan kunci pintu ditarik dari dalam.

"Waalaikumussalam. Ehh,kak Mun. Masuklah."
"Maaf Ratna kalau kakak mengganggu. Kakak datang ni bawa anak-anak. Sahaja nak kenal-kenal dengan kamu suami isteri."
"Tak mengganggu saya pun kak Mun. Saya lagi suka,tak ada lah rasa sunyi. Tapi Abang Jariz belum balik kerja kak.Selalu sampainya selepas maghrib."
"Ohh,begitu. Tak apalah Ratna.Lain kali sahaja kami kenal dengan Jariz."
Angah yang mula-mula tadi diam,tiba -tiba memaut rapat tubuhnya ke lenganku. Dia berbisik seraya mengangkat tangan. Jari telunjuknya terarah ke ruangan dapur. Wajahnya kelihatan pucat.
"Mak...pakcik yang berdiri dekat dapur tu siapa?Mukanya hitam mak. Angah takut"
Aku mengangkat wajah,memandang arah yang ditunjuk angah. Sah! Memang tiada siapa-siapa berada disitu. Barangkali angah tersilap pandang.
"Ishh...angah ni ada-ada sahaja."
"Kenapa Kak Mun?Angah,kenapa nak?"
"Tidak ada apa-apa Ratna. Angah ni, tersalah pandang agaknya. Katanya,dia nampak ada orang di dapur. Huhuhu."
"Oohhh....Kak tunggu sekejap ya. Saya mahu ke dapur sebentar."
Ratna bangkit dari silaannya. Dia berjalan menuju ke ruang dapur sambil menundukkan pandangan.
RUMPUN SEMAK....
Aku dalam ini adalah Kak Mun
Sudah 3 minggu kami hidup berjiran, tidak pernah sekali pun aku bertegur sapa dengan Jariz. Begitu juga dengan suamiku. Bukannya kami tidak cuba untuk menegurnya.
Setiapkali berselisih, dia akan menunduk, membuang pandangan. Jalannya melulu seperti tidak betah bertemu kami. Bungkam hatiku melihat tingkahnya. Sombong tidak bertempat. Lain benar perlakuannya dengan si Ratna. Pelik!
Petang harinya....
Suamiku pulang dari kerja. Sedang ralit dia memarkir motor kapcai C70 miliknya, tiba-tiba matanya tersorot pada kelibat Jariz yang kelihatan tergesa-gesa menuju ke belakang rumah.
Kerana rasa ragu-ragu, perlahan- lahan dia mengekori Jariz. Beberapa minit kemudian, dia melihat Jariz terkocoh-kocoh duduk bersila diatas tanah yang merumpun semak.
Jariz tampak begitu tekun menunduk menghadap sesuatu. Kerana tidak betah memikirkan apa yang dibuat Jariz senja itu, maka bertemankan lampu suluh dia mencari tahu pada malam harinya.
Apa yang ditemui adalah timbunan kulit telur yang sudah hancur, sisa pulut kuning dan bubur kacang merah bersertakan tepak berisi kemenyan.Dia musykil!
Dalam tidak suami kusedari,ada sesosok tubuh bermata merah saga sedang merenungnya tajam dari jendela dapur....
Jam 2.00 pagi..
Di bilik yang sunyi lagi gelap tanpa cahaya....
Asap berkepul-kepul memenuhi ruang. Sesosok tubuh berpakaian hitam lengkap, sedang bersila menghadap tepak kemenyan di hadapannya.
"Wahai anakku si hantu royo..
Te'ko lah kuey kepadaku,
Hancuri wong sing memusuhiku,
Ben lemes orak bernyowo!"
.......................................................................

"Erghhh...Erghh..."
"Erghhhhhh...."
"Allah...hu...ak...bar!!!"
Jeritan suamiku menyentap lena. Lengannya aku paut.Baju pagoda yang tersarung di tubuhnya basah lencun dek peluh. Dia kelihatan tercungap- cungap, seraya bangkit dari perbaringan.
"Abang,kenapa ni?"
"Allahuakbar...Astaghfirullahhalazim...abang kena tindih Mun."
"Ya Allah...Abang tak basuh kaki ke tidur tadi? Tak baca doa? Tak pernah- pernah jadi macam ni"
"Mun..abang nak ambil wudhuk. Mun tidur dengan anak-anak ya."
"Tapi kenapa bang?"
"Jangan banyak tanya Mun. Pergi teman anak-anak."
"Baiklah bang."
Tikar sejadah dihampar. Solat sunat didirikan.Usai bacaan tasbih,tahmid dan takbir,bacaan ayatul kursi dialunkan dengan sepenuh pengharapan kepada Maha Pencipta. Tiada daya melainkan dengan pertolonganMu Ya Allah.
Bismillahhirrahmanirrahim....
"Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia yang Maha Kekal lagi terus menerus mengurus makhlukNya, tidak mengantuk dan tidak tidur. KepunyaanNya apa yang di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izinNya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang meraka, dan pmereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi, Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. (QS : Al-Baqarah : 255)"
"Damm!!Damm!!!Damm!!"
Maka....
Dengan tidak semena-mena, bunyi kuat kedengaran dari atap zink rumah. Seolah-olah ada sesuatu yang besar dan berat sedang rancak berlari-lari. Seperti hilang arah!
"Siall!!!!"
Satu jeritan nyaring datang dari rumah sebelah.Jariz....
BUBUR KACANG MERAH
Aku dalam ini adalah Kak Mun.
"Mak...ini apa mak?Angah nak boleh?"
"Ohh...ni bubur kacang merah. Makcik Ratna kamu yang bagi. Nanti mak sendukkan dalam mangkuk ya. Makan dengan Alang sekali."
"Baik,Mak.."
Jam menunjukkan pukul 6.45 petang. Seperti lazimnya, waktu inilah suamiku akan pulang dari kerja. Di muka pintu, bersama dengan senyuman aku menyambutnya.
Di meja makan..
Usai makan malam,aku bangkit dari dudukku menuju ke dapur.Bubur yang kusimpan untuk suamiku dibawa ke meja makan.
"Bang,ni Mun ada simpan bubur kacang merah untuk abang.Ratna yang bagi.Anak-anak dah makan tadi."
Dengan wajah yang seolah-olah terkejut, suamiku lantas berdiri.
"Buang Mun!! Kenapa bagi anak-anak makan?Kenapa tak tanya abang dulu?"
"Ehh...abang ni dah kenapa?Tak faham Mun dengan abang ni lah."
Sejurus aku bertanya,suamiku tidak membuang masa. Dia lantas mengambil mangkuk yang berisi bubur tadi.Dia menuju ke arah dapur. Isi bubur terus dilempar dari jendela ke belakang rumah. Aku terkesima.
Malas mahu bersoal jawab,aku hanya membiarkan sahaja. Walaupun jauh di sudut hati,aku pasti ada sesuatu yang mengganggu pemikiran suamiku sehingga dia bertindak demikian.
Alhamdulillah,anak-anakku tidak pula ditimpa apa-apa setelah menikmati bubur kacang merah pemberian Ratna. Argghhh,biarlah! Mungkin suamiku tidak betah dengan Jariz.
Keesokan harinya,
"Mak, ini ada bubur kacang merah,pulut kuning dan telur rebus. Pakcik Jariz yang bagi."
"Ehh,kenapa dia bagi Angah?Angah minta ke?"
"Tidak Mak. Angah tak minta pun. Pakcik Jariz dan kembar dia yang bagi."
"Kembar? Kamu ni Angah yang bukan-bukan lah. Mana pula pakcik Jariz ada kembar."
"Sumpah Mak.Ada.Angah tak tipu."
Tiba-tiba, aku mendengar suara memberi salam dari luar rumah. Lantas aku bangun seraya menuju ke pintu.
"Ehhh,Ratna.Masuklah.."
"Tak apa kak.Saya tak boleh berlama-lama. Kak,sebenarnya saya ada hal nak beritahu akak.Pasal abang Jariz..."
"Kenapa Ratna? Kamu ada masalah? Ceritalah. Insyaallah,akak sudi mendengar dan bantu semampu akak."
"Kak,saya takut kak.Abang Jariz...."
"Ratna!!!Balik!!!"
Ratna terpempan.Entah dari mana datangnya,aku tak pasti. Jariz sudah pun berdiri di muka pintu rumahnya dengan wajah yang bengis. Tanpa berlengah, Ratna berlari-lari anak meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga.
KEGUGURAN
"Arghhhh...Arghhhh...Arghhhh"
Jeritan 'kepuasan' dari pemilik bersuara garau dari rumah sebelah,sudah menjadi rutin santapan halwa telinga kami setiap malam.
"Bang,dia orang ni tak tahu hormat orang ke?vSetiap hari macam ni, sampaikan anak-anak pun terjaga bang."
"Entahlah Mun.Abang pun tak tahu nak cakap apa. Mun,jangan lupa baca ayat-ayat lazim dan doa sebelum tidur ya."
Walaupun tidak betah, apa boleh buat. Sudah menjadi resmi bila rumah berdindingkan papan.
Telus,tidak berkalis. Namun yang menjadi soalnya, wajarkah setiap malam 'adegan' itu berkali-kali berlanjutan hingga menjelang subuh hari? Menggangu!!
Keesokan hari...
Sedang aku melipat pakaian tiba-tiba aku terdengar suara Ratna menjerit meminta pertolongan.Aku bergegas ke rumahnya dan memboloskan diri sementelah pintu rumahnya tidak berkunci.
Ratna kulihat terjelepok di lantai bersama likat darah yang meleleh di pangkal betis. Lelehan darah itu turut membasahi batik sarong yang dipakainya.
Puas kupujuk dia untuk dibawa ke klinik kesihatan, namun dia menolak sekeras-kerasnya.Kata Ratna,dia tidak diberi izin untuk meninggalkan rumah oleh Jariz.
Aku hanya membantu semampuku. Usai ditukarkan persalinannya, ulah Ratna bertukar sendu. Dia menggugu tangis dan memelukku erat.
Aku yang agak kaget,perlahan -lahan cuba menenangkannya. Tanpa soal, Ratna membuka mulut dalam keadaan dirinya yang tidak bermaya.
"Kak Mun...ini sudah masuk 7 kali saya keguguran sejak 4 tahun kami bernikah. Saya sedih kak..Jariz langsung tidak endahkan keadaan saya.Walhal dia tahu saya sedang mengandung Kak."
"Kamu tidak cuba untuk menolak ke Ratna?Ada kamu bincang dengan dia?"
"Saya sudah tidak tahu bagaimana untuk bercakap lagi dengannya Kak. Jariz mahu keinginan nafsu buasnya dilayan secara total tanpa penolakan dari saya. Waimah saya yang sedang dalam keadaan uzur wanita sekalipun, saya masih tetap disetubuhi."
"Ya Allah..sampai macam tu sekali Jariz buat kamu Ratna? Sampai hati dia."
"Jariz zalim kak. Dia tak berperikemanusiaan. Dia memperlakukan saya dengan sangat ganas!Kalaulah saya tahu begini ulahnya dia,saya tidak akan berkahwin dengan dia kak. Mungkin ini adalah balasan untuk saya kerana mengingkari kata-kata orang tua saya dulu kak.Kerana memiih Jariz,saya dibuang keluarga. Mereka bencikan Jariz. Kata mereka, saya sudah diguna-gunakan. Saya tak percaya, sampailah saya rasa hidup saya cukup terseksa bersama dia Kak."
Aku hanya mampu menunduk dan menggeleng- geleng kepala tanda simpati. Baru sahaja aku ingin membalas kata, pintu rumah ditolak keras.
"Sudah..Kau,balik! Keluar dari rumah aku!!" Entah mana datangnya, tidak semena-mena aku dihalau oleh Jariz. Sialan!
GHAIB
Segala yang berlaku kepada Ratna telah aku perincikan kepada suamiku. Setelah bertitik tolak dari cerita yang aku sampaikan bersama-sama kemusykilan suamiku yang bertandang di benaknya terhadap Jariz, akhirnya perihal ini dipanjangkan kepada pengetahuan Ustaz Sahar,Tok Imam di surau kampung.
Mengikut telahan Tok Imam melalui cerita kami,dia berpendapat bahawa Jariz memiliki belaan hantu raya dan mengamalkan ilmu hitam.
Setelah berbincang dan memperoleh kata sepakat, Tok Imam berhajat memanggil sahabatnya Ustaz Sulaiman untuk membantu.Jariz perlu dibawa semuka. Perhitungan harus dimeterai esok!
Namun, atas kelewatan kami menyedari akan hal ini akhirnya ia tidak membuahkan hasil.Perbincangan dan tindak balas kami hanya sia-sia.Belum sempat bertentang mata, kelibat Jariz dan Ratna sudah ghaib. Hilang. Lolos.
Begitu hebat ulah dan liciknya si pemuja syaitan. Niat kami sudah awal-awal dapat dibaca. Mungkin khadam si Jariz punya angkara.
Mereka berpergian dalam kepekatan malam, meninggalkan rumah sehelai sepinggang tanpa pengetahuan sesiapapun waimah aku,jiran sebelah rumahnya.
Hatiku berdetik...
Kasihan si Ratna. Bagaimanakah agaknya nasib dia? Mampu kah dia meneruskan hidupnya bersama seorang suami yang ulahnya seperti Jariz? Soalnya, adakah Jariz masih setia dengan "sahabatnya", si Jembalang Hantu Raya?
"Dan (juga) orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka karena riya kepada manusia, dan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian. Barangsiapa yang mengambil syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah teman yang seburuk-buruknya."
( Surah An-Nisa ayat-38 )
-Tamat-
NotaJari: Kisah ini diceritakan oleh Kak Mun (bukan nama sebenar), iaitu ibuku. Ada sedikit olahan dipangkal cerita. Semoga kisah ini diambil sebagai pengajaran.
Al-Fatihah buat arwah abangku, angah. Semoga rohnya dicucuri Rahmat Yang Esa. Amin
===================================
Gambar: @Azman Zainordin
Anda ada kisah seram, komedi-seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing? Apa kata anda kongsikan kisah anda kepada kami.
Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau emelkan ke aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, blog, Instagram, Twitter atau webpage anda untuk pengkreditan.