USIK
Karya Khas AANRC: Atikah Che Yasin
Fatin melepaskan keluhan kecil. Pintu biliknya dikuak. Tangannya pantas menekan suis lampu dan kipas. Kelajuan kipas dilaraskan ke tahap maksima. Setelah kasut dibuka dan diletakkan di rak, dia terus merebahkan diri ke lantai. Di bawah kipas siling itu, dia cuba menyejukkan badannya. Panas. Rimas. Melekit. Semua bercampur.
“Seronoknya dapat baring…”
Nikmatnya tidak tergambar.Akhirnya dapat juga merehatkan badan setelah satu syif tadi dia tidak dapat duduk walaupun sekejap. Huru-hara rasanya akibat kemasukan pesakit yang bertali arus tadi. Walaupun Fatin hanya jururawat pelatih, namun dia sudah bergelar senior dalam kalangan pelatih. Pelatih tahun akhir. Jadi, semestinya banyak kerja yang perlu dia buat.
Entah apa yang membadai hari itu, sehinggakan 5 orang pesakit yang collapse. Dahlah ramai yang collapse, kemasukan pesakit pula macam datang kenduri. Daripada lima orang yang collapse, dua daripadanya meninggal dunia. Nasib baiklah dia masih pelatih. Kalau tidak, entah pukul berapa dia akan balik.
Fatin memandang jam dinding. Hampir 9.30 malam. Dia melirik ke arah katil rakan sebiliknya. Kosong. Tiada tanda-tanda Mila telah pulang. Tualanya masih tersidai di tempat penyidai. Baldi peralatan mandi masih ada di tempatnya.
“Kejap lagi baliklah tu,” Fatin meneka, lalu terus melangkah malas menuju ke bilik air. Selesai mandi, dia melihat Mila masih tiada di bilik. Fatin tidak hairan. Sebab Mila selalunya akan melepak di bilik orang lain. Lepas habis menyembang barulah tahu jalan ke bilik.
Fatin membuka laptop untuk menonton drama bersiri Korea. Lama tak menonton drama, akibat kekangan waktu. Habis satu episod, dia rasa matanya mula mengantuk. Terbantut hasratnya untuk menghabiskan semua episod pada malam itu.
Mila masih lagi tidak balik ke bilik. Hatinya menerbitkan kerisauan sehinggalah dia terdengar tombol pintu dipulas. Terpacul sesusuk tubuh Mila di muka pintu. Fuhh. Lega. Risau juga kalau rakannya tidak pulang. Hilang anak orang, mati dia hendak menjawab dengan warden nanti.
Mila masuk bersahaja tanpa menegur Fatin. Selalunya mesti kecoh bilik kerana masing-masing bercerita perihal kerja.
“Penat kot.” Fatin meneka lagi.
Dalam pada itu, sel-sel otak Fatin tiba-tiba bersambung. Idea nakal mulai bertandang ke dalam benaknya. Dia tersenyum sendiri tatkala membayangkan idea itu. Dia kemudiannya berjalan menuju ke bilik air bagi melaksanakan rancangannya.
Bagi setiap dua bilik di asrama itu, terdapat satu bilik air di tengah-tengah antara dua bilik. Tidak terletak di hujung blok seperti kebanyakan asrama lain. Fatin membuka telefon bimbitnya. Aplikasi WhatsApp di buka. Jari-jemarinya ligat menekan huruf-huruf yang tertera di skrin telefon.
“Korang, maaflah lupa nak beritahu. Kalau korang nak pinjam barang Atin, ambil je lah. Atin tak ada kat bilik tau. Ambil dengan Mila. Atin tak jadi balik esok pagi, Atin terus gerak malam ni”.
Mesej itu terus di hantar ke Group Jiran Diva. Group WhatsApp yang dianggotai penghuni biliknya dan penghuni bilik sebelah. Fatin tersengih membayangkan reaksi Mila nanti. Mesti pucat.
Fatin berlama-lama dalam bilik air sebelum keluar. Dia kemudiannya meneruskan lakonan. Air mukanya sengaja dibuat-buat serius. Dia berjalan tanpa melihat lantai. Sesekali dia merenung dinding lama-lama. Sengaja dia berbuat begitu untuk menakutkan Mila. Mengusik memang sudah menjadi hobinya. Tapi ini idea baru. Tidak pernah terlaksana lagi sebelum ini.
“Weh, lama kat bilik air,” tegur Mila. Mila sedang baring-baring di katil. Pakaiannya sudah ditukar. Tidak lagi beruniform.
Fatin terkedu. Aik. Dia ni tak baca ke mesej aku tadi? Fatin tidak menjawab pertanyaan Mila. Lakonan perlu diteruskan. Dia tidak pernah gagal dalam mengenakan orang. Rancangannya harus berjaya!
Ting!
Bunyi mesej masuk. Fatin terpempam. Nampaknya rahsianya akan terbongkar. Terlupa pula nak tukar mod telefon kepada mod senyap sebentar tadi. Fatin mengeluh. Nampaknya dia terpaksa beralah kali ini. Kemungkinan rancangannya hendak mengusik Mila gagal. Lambat-lambat dia membaca mesej yang baru masuk.
“Hah?” Fatin mula diselubungi rasa hairan.
Dia membaca satu-persatu ayat mesej yang baru diterimanya. Bulu tengkuknya meremang. Mulutnya terkunci. Kakinya seolah-olah terpasak pada lantai bilik itu. Dia memisatkan matanya berkali-kali. Ingin memastikan matanya tidak salah.
“Maaf, aku tak sempat nak beritahu kau. Petang tadi aku EL. Dah beritahu warden semua. Adik aku kemalangan. Meninggal di tempat kejadian. Nasib baik ada tiket untuk aku balik.” -Mila.
Berderau darah Fatin. Habis, di dalam bilik ini siapa? Fatin cuba menenangkan diri. Mungkin Mila sengaja ingin mengusiknya. Tetapi kalau ikut logik akal, mana mungkin Mila akan main-main soal kematian adiknya.
Hatinya semakin berdebar-debar tatkala melihatkan tulisan yang tertera di skrin telefonnya.
Mila sedang menaip…..
Gulp.
Fatin menelan air liurnya. Terasa pahit bila ditelan. Lagi pahit daripada peria goreng yang dia makan semalam. Mana tidaknya, ‘Mila’ dalam biliknya sedang merenung tepat ke arahnya. Tanpa berkelip. Tidak memegang telefon di tangannya.
Ting!
Kedengaran isyarat mesej masuk lagi.
“Aku dapat cuti 3 hari,” -Mila.
Fatin melangkah perlahan-lahan menuju ke katilnya. Dicapai selimut dan bantal untuk ke bilik sebelah. Dia perlu bertindak cepat sebelum berlaku sesuatu.
“Kau nak ke mana tu Fatin?” Soal ‘Mila’.
Fatin berpaling sambil cuba senyum. Dia merasakan otot-otot mukanya terpaksa bekerja keras demi mewujudkan senyuman itu.
“Err, aku nak tidur kat bilik sebelah. Kak Za ajak tengok cerita Korea,” bohong Fatin tergagap-gagap.
“Kau tak nak ajak aku sekali ke?”
‘Mila’ menyoal lagi sambil bermain-main dengan rambutnya. Matanya dilirikkan ke arah Fatin sambil tersenyum sinis. Fatin makin gugup. Kalau diikutkan hati, dia ingin lari sahaja tanpa menjawab soalan Mila palsu itu. Tetapi membayangkan kemungkinan nasibnya akan bertambah buruk, maka dia membuat keputusan untuk berpura-pura sahaja. Berpura-pura tidak tahu bahawa Mila itu palsu.
“Kau tak minat cerita Korea,” Fatin cuba mencari helah. Tangannya ligat memulas tombol pintu.
“Sebab aku tak minat Korea ke, sebab kau dah tahu aku ni siapa? Hihihi…”
“Kalau dah tahu yang aku tahu kau tu siapa, kenapa tanya lagi? Ish. Perangai perempuan sungguh lah kau ni,” bentak Fatin geram. Kakinya mula menapak keluar.
Malangnya, belum sempat dia keluar, satu wajah buruk menerpa ke arahnya. Fatin terjerit. Buruk rupanya tak dapat nak digambarkan. Fatin menumbuk keras wajah itu sehingga tergolek ke lantai.
Fatin kemudian cepat-cepat beredar keluar. Dia hampir termuntah menahan geli membayangkan rupa makhluk tadi. Dahlah muka menggerutu dan bernanah macam tersalah pakai produk tidak berdaftar. Lidah pula terjelir-jelir macam lepas makan ramen Korea tu. Bau? Rasanya tong sampah lagi wangi daripada bau makhluk itu.
Tercungap-cungap Fatin berlari ke bilik sebelah. Hampir terkucil juga walaupun dia agak keras hati orangnya.
“Kak Za! Wani! Tolong buka pintu cepat!!!” Fatin bersuara cemas. Pintu diketuk sekuat-kuat hati. Matanya liar memandang pintu biliknya. Berharap makhluk itu tidak mengekorinya. Hatinya sedikit lega tatkala pintu bilik Kak Za dibuka.
“Kenapa Atin ketuk pintu ni kuat sangat? Pecah nanti akak juga yang susah,” bebel Kak Za.
“Tolong kak, Atin takut. Ada..err…kepala terbang... Takut,” berterabur ayat Fatin. Otaknya masih teringatkan kejadian tadi. Dia terlalu takut sehinggakan tidak mampu menuturkan kata-kata dengan baik. Kak Za memeluk Fatin dan cuba menenangkannya. Wani pula sudah diulit mimpi di katilnya. Nampaknya, malam ini Fatin tidur di lantai sahaja. Beralaskan tilam nipis. Fatin rela, asalkan dia tidak bermalam di biliknya. Bayangan makhluk tadi masih menari-nari dalam ingatannya.
-Jam 3 pagi -
Ting!
Telinga Fatin menangkap bunyi mesej masuk. Dalam bilik yang bercahayakan suram itu, Fatin meraba-raba telefonnya.
‘Mesej dari Group Jiran Diva’
"Mungkin Mila,” Fatin membuka sahaja mesej itu. Sekali lagi hatinya berdebar-debar.
“Atin, kau dah sampai rumah ke tu? Maaflah, baru sempat balas” -Wani
“Kami kerja malam ni Atin. Nanti akak nak pinjam apa-apa akak pergi bilik korang. Mila ada tinggalkan kunci kat kami tadi.” - Kak Za.
Fatin merasakan dirinya bakal teruji lagi. Dia tidak berani memandang ke arah katil. Jantungnya berdegup kencang. Pantas degupannya, seolah-olah baru lepas menghabiskan larian marathon. Titisan peluh mulai terbit dari segenap pori-pori di mukanya walaupun dia tidur betul-betul di bawah kipas.
Fatin terganggu tatkala kakinya tiba-tiba terasa geli. Dia menahan sahaja. Lama-kelamaan, dia tidak dapat tahan lagi bila pedih mula menapak di kakinya. Seolah-olah tapak kakinya dikikis menggunakan kikir. Dia mengumpulkan keberanian untuk melihat kakinya.Terbuntang luas mata Fatin melihatkan kejadian di hadapannya kini.
Makhluk hodoh tadi! Sedang leka menjilat tapak kakinya.
“Lain kali, kalau ada orang mati kat hospital, kau balik tu jangan mandi. Dah rasa tak sedap kaki kau sebab kau mandi,” makhluk itu bersuara.
“Abah kau tak bagi aku mandi. Kau nak suruh aku busuk macam kau ke? Biar muka buruk jangan bau busuk,” Fatin menjawab kasar.
Fatin menendang makhluk itu sekuat hati. Terpelanting makhluk itu ke meja belajar. Terpercik nanah-nanah serta ulat ke muka Fatin. Sekali lagi, Fatin hampir termuntah. Bau busuk makin menjadi-jadi setelah kepala makhluk itu terpisah daripada badannya. Nanah serta darah membasahi lantai. Makhluk itu terkial-kial merangkak dan mencari kepalanya yang tersangkut di celah kerusi.
Sepantas kilat, Fatin bangkit. Ingin segera meloloskan diri. Namun makhluk itu pantas memegang kaki Fatin. Menghalang Fatin daripada keluar. Fatin meronta-ronta. Tetapi makhluk itu tetap mencengkam pergelangan kakinya. Membantutkan pergerakan Fatin.
“Tolong!!!!!!!!!!!!!!!!”
Nyaring suara Fatin menjerit. Mengejutkan hampir sebahagian penghuni blok yang sedang tidur. Setelah itu, Fatin jatuh pengsan. Penat akibat daya dan tenaganya telah habis.
“Fatin, Fatin…” Kedengaran sayup-sayup suara di telinga Fatin. Fatin membuka mata perlahan-lahan. Penat masih tersisa. Dia mendapati dirinya berada dalam bilik sakit asrama. Di sisinya terdapat warden yang bertugas minggu itu. Fatin merasakan badannya lemah. Seolah-olah demam. Dia memandang warden dan mula hendak membuka mulut.
“Puan.. Tttadii..”
“Syyhhhh….” Warden itu meletakkan jarinya ke mulut Fatin.
“Jangan cerita kat orang lain kalau tak mahu kena usik lagi. Hihihi..”
Fatin tergamam melihatkan warden bertukar rupa. Makhluk hodoh tadi lagi!!!
“Tolong!! Tolong!! Lepaskan aku, Aku tak nak usik orang dah!” Fatin meronta-ronta meminta tolong. Rahangnya dicengkam kuat oleh makhluk itu. Kudratnya lemah untuk melawan balik makhluk itu. Namun sedaya-upaya dia cuba juga melepaskan diri daripada cengkaman makluk itu. Makhluk itu hanya tersenyum memperlihatkan sebaris giginya yang dimakan ulat. Menggeletik ulat-ulat itu jatuh ke atas Fatin.
“Pergi, pergi! Jangan kacau aku lagi!”
Sungguh, Fatin takut. Tidak berani hendak melawan makhluk itu lagi. Dia sedar, semakin dia degil dan melawan, semakin galak makhluk itu mengusiknya.
“Eh, Fatin. Kenapa ni? Saya baru tinggalkan awak sekejap, awak dah meracau begini.”
Warden yang sebenar datang untuk menenangkan Fatin. Mengucap panjang dia melihat Fatin terguling-guling atas lantai. Walhal tadi Fatin terbaring atas katil.
Tadi dia keluar sekejap ke pejabat penyelia untuk meminjam telefon untuk menghubungi ustaz. Namun, tidak disangka Fatin menjadi semakin teruk bila ditinggalkan.
“Puan yang betul ke ni?” soal Fatin ragu-ragu. Hatinya berbolak balik. Warden mengangguk dan terus memeluk Fatin.
“Ya, saya lah ni. Awak jangan risau. Jangan fikir lagi.”
“Saya takut puan…” Fatin memeluk erat warden itu.
“Ssyyhhh….”
Gemersik suara tadi kedengaran di telinga Fatin. Ya, dia masih ada. Memerhatikan Fatin dari luar tingkap bilik sakit sambil meletakkan jari buruk di mulutnya sendiri. Fatin memejamkan mata. Hatinya memasang tekad. Dia tidak akan mengusik orang lagi. Menyesal.
Psssttt.. Awak pun suka mengusik? Hihihi.. Tunggu giliran awak ya…
-TAMAT-
Nota kaki:
Collapse- Keadaan keletihan ekstrem disebabkan oleh gangguan dalam tindakan jantung, kejutan atau pendarahan teruk.
EL- Emergency leave
Anda ada kisah seram, misteri, thriller ataupun mind-blowing?
Ayuh kongsikan kisah anda kepada kami. Hantar kisah anda ke inbox Arkib Angker Negara atau e-melkan ke
aanrc2017@gmail.com
Nyatakan sekali nama akaun Facebook, Instagram, Twitter, blog atau webpage anda untuk tujuan pengkreditan.
No comments:
Post a Comment